Followers

Wednesday, April 21, 2010

Kerajaan tarik balik Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini menarik balik Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin lalu bagi menggugurkan tiga daripada 51 fasal yang dicadangkan pindaannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata tindakan itu dibuat selepas menerima maklum balas daripada Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) yang tidak bersetuju dengan beberapa pindaan berkenaan.
Tiga fasal yang akan digugurkan ialah Fasal 8 yang melarang mana-mana pihak kecuali Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membuat, mengeluar, mengedar, menjual atau memasang plat nombor pendaftaran; Fasal 22 bagi menaikkan had umur kelayakan memohon lesen memandu daripada 16 ke 17 tahun dan Fasal 46 yang menaikkan kadar kompaun maksimum daripada RM300 kepada RM1,000. Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Mohamed Nazri berkata rang undang-undang itu akan dibentangkan semula untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadual Jun ini.

"Selepas berunding dengan pihak dewan dan mendapat pengesahan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan Ketua Whip (Tan Sri Muhyiddin Yassin), maka kita buat keputusan untuk menarik balik pindaan ini dan akan dibawa balik dalam persidangan akan datang," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BNBBC, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin ketika ditemui pemberita berkata pihaknya memohon agar kerajaan menimbang semula dan memperhalusi pindaan akta berkenaan bagi menepati aspirasi rakyat.

"Kita telah mengadakan perbincangan selama dua hari dengan JPJ, Kementerian Pengangkutan dan agensi lain dan kita dapati rang undang-undang yang dibentang Isnin lalu tidak begitu mesra rakyat," katanya.
Bung Mokhtar berkata pihaknya akan terus berbincang dengan JPJ dan agensi berkaitan untuk memperhalusi pindaan ke atas akta berkenaan supaya tidak dilihat sebagai membebankan rakyat.

BNBBC turut mencadangkan agar JPJ mengadakan rundingan dengan orang awam untuk mendengar pendapat dan cadangan rakyat sebelum dibentangkan semula di Parlimen.

Wakil pembangkang, Lim Guan Eng (DAP-Bagan) hari ini turut menggesa kerajaan meneliti semula pindaan akta berkenaan dan berunding dengan semua pihak termasuk orang awam, pihak berkuasa dan pakar-pakar perundangan.

Bung Mokhtar dan Guan Eng turut bersetuju bahawa sebuah Jawatankuasa Pemilihan yang terdiri daripada pelbagai anggota diwujudkan bagi membincangkan perkara berkenaan. - Bernama

Selain gula, kurangkan juga pengambilan garam: Liow

HULU SELANGOR: Selain daripada mengurangkan pengambilan gula, orang ramai disarankan supaya mengurangkan pengambilan garam ataupun natrium dan sodium dalam makanan mereka, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata saranan pengurangan garam tidak melebihi satu sudu atau lima gram dibuat berikutan hasil kajian di Hong Kong yang mendapati beberapa produk makanan dalam tin seperti daging lunceon dan sardin mempunyai kandungan natrium atau sodium yang tinggi.

Kajian di Hong Kong itu yang dilaporkan agensi berita antarabangsa pada 15 April lalu, mendapati kandungan natrium dalam makanan melebihi saranan pengambilan harian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). "Daging lunceon dan sardin dalam tin merupakan makanan yang terproses dan makanan sebegini mengandungi garam, air dan bahan pengawet seperti natrium nitrat, kalium nitrat, natrium nitrit atau kalium nitrit.

"Natrium boleh digunakan sebagai ramuan makanan atau bahan pengawet," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program kempen kurangkan gula di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kerling, di sini hari ini.

Beliau berkata di Malaysia, pelabelan bagi nitrat tidak diwajibkan memandangkan fokus pelabelan pemakanan hanya bagi empat nutrien utama -- tenaga, protein, karbohidrat dan lemak, dengan pemantauan ke atas kandungan natrium hanya dibuat bagi makanan terproses.

Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, standard bagi garam (natrium klorida) ditetapkan di bawah peraturan 283, di mana garam perlu mengandungi tidak kurang daripada 95 peratusan natrium klorida.
Bagaimanapun, beberapa standard makanan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 mempunyai peruntukan membenarkan penambahan garam, dengan peruntukan khusus bagi paras garam atau natrium yang perlu tambah seperti untuk belacan, cincalok, sos ikan, ikan kering dan pekasam (jeruk).

Liow berkata peratuan Diet Makanan 2010 menyarankan pengambilan garam tidak melebihi satu sudu atau lima gram garam, bersamaan 2000 miligram natrium sehari, dan ini selaras dengan saranan WHO (2007).

"Berdasarkan kajian pengambilan makanan di kalangan Orang Dewasa Malaysia 2002/2003, pengambilan natrium di kalangan rakyat Malaysia adalah sebanyak 2,575 mg sehari.

"Ini menunjukkan rakyat Malaysia mengambil natrium melebihi jumlah yang disarankan. Kajian yang sama juga mendapati pengambilan garam yang tinggi dikaitkan dengan peningkatan tekanan darah," katanya.

Berdasarkan Panduan Diet Malaysia 2010 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, terdapat beberapa contoh makanan yang tinggi kandungan natrium melebihi paras 480 mg natrium seperti -- kacang panggang (tin), sayur/sayur jeruk (tin), sup tomato (tin), ayam goreng (makanan segera), kari ayam (tin), kiub ayam, rendang daging (tin), kari daging (tin) dan sardin (tin).

Selain itu kicap pekat dan kicap cair, kondimen seperti sos tomato/cili/tiram, cincalok dan belacan juga melebihi paras 480 mg natrium.

Sehubungan itu, Liow menyeru orang ramai mengurangkan penggunaan garam dan sos dalam makanan selain kurangkan pengambilan makanan dalam tin, dijeruk atau makanan digaramkan seperti telur masin.

"Utamakan makanan segar seperti daging segar berbanding daging ditinkan. Rendam dahulu makanan yang bergaram (seperti ikan masin/ikan bilis) sebelum dimasak untuk membuang garamnya.

"Sekiranya membeli makanan terproses, baca panel maklumat pemakanan pada label makanan untuk mengetahui kandungan garam dan pilihlah produk yang mengandungi kurang kandungan natrium," katanya. - Bernama