Followers

Thursday, June 24, 2010

Piala Dunia: Paraguay 0 New Zealand 0

POLOKWANE: Tamat separuh masa pertama, Paraguay dan New Zealand dalam Kumpulan F di Stadium Peter Mokaba terikat 0-0.

Piala Dunia: Slovakia 1, Itali 0 (separuh masa pertama)

PENYERANG Slovakia, Robert Vittek (11) menjaringkan gol pertama perlawanan menewaskan penjaga gol Itali, Federico Marchetti (kiri) pada aksi saingan Kumpulan F, Piala Dunia 2010 FIFA, Itali bertemu Slovakia di Stadium Ellis Park, Johannesburg, sebentar tadi. Kedudukan Slovakia 1, Itali 0 tamat separuh masa pertama. - Foto AFP
PENYERANG Slovakia, Robert Vittek (11) menjaringkan gol pertama perlawanan menewaskan penjaga gol Itali, Federico Marchetti (kiri) pada aksi saingan Kumpulan F, Piala Dunia 2010 FIFA, Itali bertemu Slovakia di Stadium Ellis Park, Johannesburg, sebentar tadi. Kedudukan Slovakia 1, Itali 0 tamat separuh masa pertama. - Foto AFP
JOHANNESBURG: Slovakia mendahului juara bertahan Itali 1-0 pada separuh masa pertama perlawanan Kumpulan F di Stadium Ellis Park.

Gol dijaringkan Robert Vittek pada minit ke-25.

Pengesan DNA babi diguna dalam operasi produk halal

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bakal menggunakan alat pengesan asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam setiap operasi penguatkuasaannya bagi menentukan produk yang dikeluarkan di negara ini atau diimport bebas daripada unsur haram.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata alat berkenaan yang dicipta oleh Institut Halal di Universiti Putra Malaysia, akan memberi kemudahan kepada pihak berkuasa dalam operasi pemantauan produk halal berbanding sebelum ini, yang melibatkan pelbagai pihak.
"Kita mengalu-alukan apa jua produk baru yang boleh mempermudahkan urusan penguatkuasaan dan pemantauan. Sebelum ini, kita memerlukan khidmat banyak pihak seperti Jabatan Kimia bagi mengesahkan sesuatu produk itu bebas daripada unsur haram atau tidak.
"Penciptaan alat ini merupakan sesuatu yang dibanggakan kerana ia menyumbang kepada integriti halal bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Pensijilan Halal Luar Negara sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2010 Ke-7 di sini hari ini.

Wan Mohamad berkata alat itu, yang mampu mengesan DNA babi dalam tempoh kurang daripada satu jam, turut diperkenalkan kepada badan-badan pensijilan halal luar negara.

"Kita serah pada budi bicara pihak berkenaan. Kita hanya memberi maklumat supaya ia turut memberi kemudahan dalam urusan pemantauan mereka," katanya.

Badan Pensijilan Halal Luar Negara adalah badan pengesahan halal yang dilantik dan diiktiraf oleh Malaysia bagi mengesahkan status halal daging dan produk yang akan dieksport ke negara ini.
Jumlah keseluruhan badan pensijilan halal yang telah dilantik dan diiktiraf oleh Jakim ialah 29 dari 23 negara. - BERNAMA

Kawalan malaria di pintu masuk negara diperketat

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengetatkan lagi kawalan di pintu masuk negara bagi memastikan kadar kes malaria dalam negara terkawal, di samping memastikan kes "import" penyakit itu tidak merebak dengan berleluasa dalam negara.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata walaupun kadar jangkitan malaria dalam negara ketika ini adalah rendah dan dapat dikawal dengan baik, namun kes import adakalanya tetap muncul.
"Sekali-sekala ada 'imported cases' daripada Indonesia dan Thailand. Ketika ini masih ada tiga kes malaria lagi di hospital Tanjung Karang membabitkan pekerja asing dari Mynamar, selain itu seorang nelayan juga warga Myanmar baru-baru ini meninggal dunia di Sekinchan, Selangor, setelah didapati menghidap malaria," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada warga Kementerian Kesihatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan menunjukkan ketiga-tiga kes di kalangan pekerja asing itu adalah kes malaria yang dibawa daripada luar negara dan kawasan Sekinchan juga didapati bebas daripada penyakit itu.

Liow berkata, pejabat Kesihatan daerah Sekinchan menjalankan pemeriksaan terhadap 122 pekerja tempatan dan 216 pekerja asing dan semuanya disahkan negatif.

"Oleh itu, tiada tanda-tanda jangkitan penyakit ini menular di kalangan penduduk tempatan," katanya dan menambah kadar penyakit malaria di dalam negara adalah sangat sedikit, kebanyakan berlaku di kawasan estet dan ladang.
Beliau berkata, pada masa ini, bilangan kes malaria di dalam negara adalah sebanyak 3,000 kes setahun.

"Berbanding kadar malaria pada tahun 70-an, jumlah ketika itu cukup serius iaitu kira-kira 60,000 kes setahun, begitu juga pada tahun 90-an. Tetapi sekarang, turun kepada kadar 3,000 kes setahun," katanya. - BERNAMA

Layak terima pinjaman penuh PTPTN jika pendapatan keluarga bawah RM4,000

KUALA LUMPUR: Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang pendapatan bersih keluarga mereka RM4,000 ke bawah layak mendapat pinjaman penuh iaitu meliputi yuran dan sara hidup dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mulai 1 Julai ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kadar pendapatan bersih keluarga pelajar yang layak mendapat pinjaman penuh sebelum ini ialah RM3,000 ke bawah.
"Sebelum ini juga keluarga pelajar berpendapatan bersih RM3,000 hingga RM5,000 mendapat pinjaman yang meliputi yuran dan sebahagian sara hidup, manakala yang berpendapatan RM5,000 ke atas hanya dapat pinjaman untuk yuran.
"Langkah PTPTN untuk meningkatkan kadar pendapatan bersih keluarga ini akan memperluaskan lagi peluang pelajar IPT yang layak untuk diberi pinjaman penuh berasaskan kepada kriteria yang memang telah ditetapkan seperti kursus yang diambil ada akreditasi dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Halatuju Pembangunan Keusahawanan IPT di sini hari ini.

Seminar sehari anjuran kementerian itu bertujuan memberi kefahaman kepada pihak pengurusan atasan IPT mengenai cabaran dan halatuju pembangunan keusahawanan di peringkat pengajian tinggi dan kepentingannya kepada pembangunan sahsiah pelajar.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled menyerahkan peruntukan RM5.55 juta bagi penubuhan Pusat Keusahawanan dan pelaksanaan program pembudayaan keusahawaan kepada setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) negara.

Selain 20 IPTA dalam negara, kolej komuniti, politeknik dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut terlibat dalam pemberian peruntukan berkenaan, katanya.
"Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperuntukkan RM150,000 bagi tujuan penubuhan Pusat Keusahawanan dan RM100,000 bagi pelaksanaan program pembudayaan keusahawanan untuk setiap IPTA negara.

"Penubuhan pusat keusahawanan ini amat signifikan sebagai entiti yang akan merancang, menyelaras, memantau dan menilai segala program pembangunan keusahawanan dan bertindak sebagai ''contact point'' dalam hal ehwal pembangunan keusahawanan IPT," katanya.

Mohamed Khaled berkata semua IPT termasuk Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) perlu menubuhkan pusat keusahawanan masing-masing kerana ketika ini hanya tiga IPTA yang mempunyai pusat keusahawanan iaitu Universiti Malaya, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

"Negara memerlukan ramai usahawan untuk menjayakan agenda Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesepuluh, dan peranan IPT bukanlah kecil. Jika IPT dapat memberi latihan dan pendedahan kepada pelajar yang mempunyai potensi keusahawanan yang tinggi, mereka inilah yang akan mempunyai prospek paling cerah untuk menjadi usahawan setelah bergelar graduan," katanya. - BERNAMA

Ujian tetap diperlukan untuk nilai pelajar: Tun Mahathir

KANGAR: Peperiksaan walau dalam apa sistem sekali pun tetap perlu diadakan kerana ia satu bentuk ujian untuk menilai kebolehan seseorang, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mengulas isu pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Dr Mahathir berkata apa yang perlu dinilai sebenarnya adalah kaedah pelaksanaan dan bukannya peperiksaan itu semata-mata.
"Kita perlu pastikan sistem yang akan diperkenal menggantikan UPSR dan PMR adalah lebih baik daripada sedia ada, termasuk mengkaji pelaksanaanya sebaik mungkin supaya ia menepati sasaran pelaksanaan dan berbaloi diperkenal menggantikan dua peperiksaan terbabit.
"Walau apa keputusan sekali pun (mansuh UPSR dan PMR atau tidak), katanya sekurang-kurangnya satu jenis ujian perlu diadakan kerana ia adalah satu kemestian. Jika tidak sukar untuk kita mengetahui kebolehan orang," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan amanat kepada lebih 2,000 warga Perlis, sempena majlis pertemuan khas bersama pemimpin dan rakyat di Dewan 2020, di sini.
Hadir sama, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) bagi menggantikan UPSR dan PMR yang dijangka dimansuhkan selepas ini.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, suka atau tidak, kerajaan tetap perlu mewujudkan satu bentuk ujian sebagai penanda aras, walau dengan apa cara (sistem) sekali pun.

"Pada saya, jika dimansuhkan kedua-dua peperiksaan itu, yang salahnya bukan peperiksaan tetapi cara ia (peperiksaan) dikendalikan. Bagaimanapun, kalau tidak ada peperiksaan langsung, itu tak boleh.

"Justeru, kita kena kaji adakah sistem peperiksaan yang ada sekarang ini boleh diganti dengan sistem yang lebih baik," katanya.

Gempa bumi kuat landa New Britain, Papua

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi kuat dengan magnitud 6.3 melanda wilayah New Britain di Papua New Guinea pada 1.32 petang hari ini.
Jabatan Meteorologikal, dalam kenyataan di sini, menyatakan pusat gempa adalah di 5.6 darjah Selatan dan 151.2 darjah Timur, 617 kilometer timur laut Port Moresby, Papua New Guinea, dan 3828 kilometer tenggara Kunak, Sabah.
Gempa bumi itu tidak menimbulkan ancaman tsunami. - BERNAMA

Peminat serbu dapatkan iPhone 4 yang dilancarkan hari ini

PEMINAT Apple mencuba telefon bimbit terbaru iPhone 4 di pusat jualan Apple di daerah Ginza, Tokyo, hari ini. - Foto Reuters
PEMINAT Apple mencuba telefon bimbit terbaru iPhone 4 di pusat jualan Apple di daerah Ginza, Tokyo, hari ini. - Foto Reuters
TOKYO: Ratusan peminat Apple sanggup beratur panjang di sekitar Bandaraya Tokyo hari ini untuk menjadi kalangan orang pertama memiliki telefon bimbit terbaru iPhone yang dilancarkan di seluruh dunia hari ini.

iPhone 4 yang mula dijual serentak di Britain, Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat hari ini, tetapi Jepun negara yang terawal kerana perbezaan zon waktu siang.
iPhone keluaran terbaru dianggap tercanggih dengan kemampuan melakukan sembang menerusi video, paparan video berdefinasi tinggi dengan resolusi visual yang lebih jelas dan berkualiti.
Di sekitar Tokyo sahaja, lebih 500 orang beratur di pusat jualan Apple di Daerah Ginza untuk mendapatkan telefon bimbit pintar versi terbaru itu.

Pembeli terawal, Ryoichi Hoshino yang ditemui berkata: "Saya amat mengagumi reka bentuknya. Ia memenuhi jangkaan saya lebih 110 peratus.

“Saya akan menggunakannya untuk menonton filem serta mengikuti rangkaian sosial Twitter."

Bagi penulis teknologi, Eiji Ishii, 42, beliau tertarik dengan iPhone kerana teknologinya ia jauh lebih hebat berbanding telefon bimbit yang amat sesuai untuk mereka yang berkerja di pejabat.
“Saya amat teruja. Ia nipis dan ringan," katanya sambil menunjukkan iPhone4 digenggamannya.

Awal bulan ini, Ketua Eksekutif Apple, Steve Jobs mengumumkan iPhone versi baru itu boleh didapati dengan harga AS$199 untuk model 6 gigabit (GB) dan AS$299 untuk model 32GB.

Katanya, telefon bimbit pintar itu boleh didapati di lebih 18 negara milai Julai sebelum diperluaskan ke 24 negara pada Ogos.

Apple sehingga kini sudah menjual lebih 50 juta set iPhone sejak dilancarkan pada 2007. - AFP

Gempa bumi dekat Ottawa gegar Kanada, AS

OTTAWA: Gempa bumi sederhana melanda ibu negara Kanada, Ottawa, awal pagi tadi menyebabkan ribuan orang bertempiaran lari meninggalkan bangunan tetapi hanya kerosakan kecil dilaporkan.
Tiada kecederaan dilaporkan akibat gempa bumi berukuran 5.0 pada skala Richter itu yang menggemparkan penduduk di Amerika Utara kerana gempa bumi di situ biasanya lemah dan jarang dirasai di kawasan yang luas.
Namun, satu jambatan runtuh di Bowman, Quebec, iaitu berhampiran pusat gempa yang dilaporkan pada kedalaman 38 kilometer di utara Cumberland, Ontario.
Gegaran gempa bumi itu pada 1345 EDT (1741 GMT) dirasai sehingga New York City.

Gempa bumi itu yang menggoncang bangunan di Toronto dan Montreal, berlarutan antara 25 dan 30 saat di Ottawa.

Ia menyebabkan penggera kebakaran berbunyi dan banyak bangunan di bandaraya itu dikosongkan, termasuk Parliament Hill. - Reuters

Gillard perdana menteri wanita pertama Australia

PERDANA Menteri Australia yang baru, Julia Gillard (kiri), bersama pemangku, Wayne Swan, selepas keluar daripada bilik pemilihan di Parliament House di Canberra. - Foto Reuters
PERDANA Menteri Australia yang baru, Julia Gillard (kiri), bersama pemangku, Wayne Swan, selepas keluar daripada bilik pemilihan di Parliament House di Canberra. - Foto Reuters
CANBERRA: Julia Gillard menjadi perdana menteri wanita pertama Australia selepas bekas pemimpin, Kevin Rudd meletakkan jawatan sebagai ketua Parti Buruh, sekali gus mengelakkan pemilihan yang beliau sudah dijangka kalah.

Gillard, 48, menang tanpa bertanding selepas Rudd menerima kenyataan beliau kehilangan sokongan anggota parti dan penerimaan rakyat terhadap kepemimpinannya semakin berkurangan.
“Saya amat berbesar hati, saya akan membuat kenyataan penuh sebentar lagi," kata Gillard kepada media selepas keluar daripada bilik pemilihan di Parliament House di Canberra.
Menteri Kewangan, Wayne Swan, yang berjaya membawa Australia menempuh krisis kewangan global, akan menjadi timbalan perdana menteri selepas beliau dan Gillard mengangkat sumpah kemudian. - AFP

Piala Dunia: Australia 2 Serbia 1

NELSPRUIT: Australia mencatatkan keunggulan pada perlawanan terakhir Kumpulan D apabila menewaskan Serbia 2-1 di Stadium Mbombela, sebentar tadi namun gagal melangkar ke pusingan kedua.
Australia hanya di tempat ketiga Kumpulan D dengan Jerman dan Ghana selaku juara dan naib juara kumpulan melangkah ke pusingan kalah mati
Gol Australia diperoleh menerusi Tim Cahill pada minit ke-69 dan Brett Holman (m-73), manakala jaringan tunggal Serbia menerusi Zoran Tosic (m-84).

Piala Dunia: Jerman 1 Ghana 0

JOHANNESBURG: Jerman menewaskan Ghana 1-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan D Piala Dunia 2010 di Stadium Soccer City, sebentar tadi.
Keputusan itu bermakna kedua-dua pasukan layak ke pusingan kedua kalah mati dengan Jerman selaku juara kumpulan diikuti Ghana di tempat kedua.
Gol Jerman dijaringkan Mesut Ozil pada minit ke-60.
Ini bermakna Jerman akan bertemu England yang layak selepas menduduki tempat kedua Kumpulan C pada pusingan kalah mati nanti.

Piala Dunia: AS 1, Algeria 0

TSHWANE: Amerika Syarikat layak ke pusingan kalah mati apabila menang tipis 1-0 ke atas Algeria pada perlawanan terakhir Kumpulan C di Stadium Loftus Versfeld, sebentar tadi.

Dengan kedudukan itu, Ammerika Syarikat layak bersama England yang menewaskan Slovania 1-0.
Gol Amerika Syarikat dijaringkan pada masa kecederaan oleh Landon Donovan (m-90+2).