Followers

Wednesday, April 14, 2010

67 maut akibat gempa kuat di China

BEIJING: Sekurang-kurangnya 67 terbunuh dan ramai lagi dilaporkan tertimbus berikutan gempa kuat 6.9 magnitud melanda Wilayah Qinghai, awal pagi tadi.

Banyak rumah dilaporkan runtuh dengan jalan raya rosak dan terhalang oleh tanah runtuh selain sistem telekomunikasi turut terjejas teruk.

Pegawai kerajaan berkata, ramai penduduk cedera berikutan gempa berkenaan yang mencetuskan panik di kalangan penduduk di kawasan pedalaman berdekatan sempadan Tibet itu.
Agensi berita Xinhua melaporkan, lebih 85 peratus rumah di kawasan pusat gempa musnah dan runtuh, khususnya di Pekan Jiegu.

“Terdapat keretakan besar di bangunan Hotel Yushu, bangunan empat tingkat bangunan kerajaan juga runtuh.

"Sebahagian bangunan sebuah sekolah vokasional runtuh dan dilaporkan ramai murid tertimbus," kata seorang pegawai kerajaan. - AFP

Parlimen Mahasiswa selepas pindaan perlembagaan universiti

GEORGETOWN: Pembentukan Parlimen Mahasiswa hanya dapat dilaksanakan selepas kerajaan mewartakan pindaan perlembagaan universiti awam di negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata proses pindaan perlembagaan yang membabitkan 18 universiti awam itu kini pada peringkat akhir.

"Untuk mewujudkan Parlimen Mahasiswa, kita perlu menunggu penggazetan pindaan perlembagaan universiti. Perkara ini kini berada pada peringkat Peguam Negara," katanya selepas melancarkan Koleksi Kaum Peranakan Asia Tenggara di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan sedang dalam proses meminda perlembagaan universiti awam supaya ia selaras dengan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku).

Pada 7 Januari lalu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Mohamad Shafiq Abdul, telah menyerahkan kertas cadangan kerangka penubuhan Parlimen Mahasiswa kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk dipertimbangkan.

Penubuhan Parlimen Mahasiswa itu dicadangkan golongan mahasiswa yang mahu satu saluran bagi menyuarakan pandangan dan pendapat mereka.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled menasihati golongan mahasiswa supaya tidak terbabit berkempen pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor, 25 April ini.
"Kita akan memantau supaya golongan mahasiswa tidak turut serta dalam kempen pilihan raya itu," katanya. - Bernama

Keberkesanan kurikulum baru bergantung keupayaan guru: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keberkesanan kurikulum baru sekolah akan banyak bergantung kepada keupayaan guru meningkatkan amalan pendidikan dalam kelas.

Beliau berkata, strategi pengajaran dan pembelajaran perlu menggunakan pendekatan proses penyelidikan secara membina, pembelajaran mengikut konteks, penguasaan pembelajaran yang menggabungkan pelbagai teknik fokus kepada pelajar.

"Ini termasuk uji kaji, perbincangan rakan sebaya, rangsangan, lawatan lapangan dan aktiviti menyelesai masalah yang membolehkan aplikasi sumber di dalam dan di luar bilik darjah.
"Saya berharap dengan pelaksanaan kurikulum baru ini, guru kita akan menjadi lebih inovatif dalam cara mengajar dan menggunakan pendekatan baru untuk merangsang pemikiran kreatif dan memupuk potensi inovasi pelajar," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia 2010 di Pusat Konvensyen Sunway Piramid di sini, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, kurikulum baru itu akan menggabungkan elemen kreativiti, inovasi dan kemahiran hidup dalam proses pengajaran dan pembelajaran, membabitkan semua mata pelajaran, adalah sebahagian agenda kerajaan untuk menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua.

Beliau berkata, kurikulum baru itu akan membuka ruang kepada pelajar untuk menerokai dan menggunakan kaedah baru dalam pembelajaran melalui uji kaji, reka cipta dan penyelidikan.

"Pendekatan baru ini bukan saja diguna pakai dalam mata pelajaran sains tetapi juga kemahiran hidup dan keusahawanan," katanya.
Muhyiddin berkata, usaha untuk menggabungkan lebih banyak aspek kreativiti dan inovasi dalam sistem pendidikan negara tidak akan sempurna tanpa dimasukkan peranan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Beliau berkata, penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran telah membolehkan pembelajaran interaktif, yang lebih berkesan dan merangsang minda.

Usaha untuk mendorong kreativiti dan inovasi dalam sistem pendidikan, katanya, memerlukan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta, ahli akademik dan industri, pakar dan pengamal pendidikan untuk mengusahakan dan merangsang proses pemupukan itu dan meningkatkan potensi inovasi pelajar melalui pendidikan berkualiti.

"Pendek kata, kita perlu menjana pemikiran kreatif dan memupuk budaya inovasi dalam setiap perkara yang kita lakukan. Dan kita perlu lakukan ini sebagai sebuah komuniti pendidik yang kreatif dan inovatif," katanya.

Muhyiddin berkata, menyedari hakikat ekonomi baru dan pelbagai cabaran yang menanti, kerajaan perlu menilai semula model pembangunan modal insan Malaysia.

Katanya, sistem pendidikan negara, daripada peringkat prasekolah hingga pengajian tinggi, perlu ditumpukan untuk mengeluarkan individu berwibawa dan tenaga kerja yang kompetitif di masa depan.

"Kita perlu menyediakan persekitaran yang sesuai untuk memupuk kreativiti dan inovasi yang akan membolehkan transformasi lebih besar terhadap ekonomi dan sosial negara kita. Jika berbuat sebaliknya, kita akan merisikokan keupayaan daya saing dan kemakmuran ekonomi kita," katanya.

Oleh yang demikian, katanya di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, fokus kerajaan ialah menambah baik model pembangunan modal insan negara dengan menggabungkan lebih banyak aspek kreativiti dan inovasi dalam sistem pendidikan. - Bernama

Suri rumah dakwa nampak remaja perempuan diculik lelaki

KEPALA BATAS: Penduduk Kampung Kuala Bekah, Penaga, dekat sini, gempar apabila tersebar berita seorang remaja perempuan didakwa diculik seorang lelaki dan dilarikan ke dalam kawasan hutan berhampiran sebuah kilang di kampung itu, semalam.
Seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Tan, 45, mendakwa beliau melihat remaja berkenaan sedang meronta-ronta untuk melepaskan diri daripada pelukan seorang lelaki ketika melalui Jalan Kuala Bekah kira-kira jam 4 petang semalam.

Katanya, ketika itu beliau sedang memandu dan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membawa cucunya berusia tujuh tahun ke klinik. ketika saya lalu di jalan berkenaan saya nampak lelaki yang memakai baju warna koko mengacukan pisau ke leher mangsa berbaju biru muda di tepi jalan dan lelaki terbabit turut memeluk mangsa dari belakang," katanya di lokasi remaja perempuan itu dipercayai diculik, di sini, hari ini.

Katanya, ketika beliau berpatah balik untuk melihat apa yang berlaku, bagaimanapun kedua-duanya sudah tiada di tempat kejadian.

Tan yang bimbang sesuatu yang tidak baik berlaku kepada remaja itu dipercayai berusia lingkungan 17 atau 18 tahun, terus membuat laporan di balai polis berhampiran.

Berikutan penyebaran berita penculikan remaja perempuan itu menyebabkan lokasi terakhir mangsa dilihat dibanjiri penduduk kampung berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Superintendan Sukri Awang, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat oleh Tan.

"Bagaimanapun sukar hendak kami katakan ini sebagai kes culik kerana tiada bukti dan tiada ibu bapa melaporkan mengenai kehilangan anak mereka.

"Ketika ini, kami hanya berpandu kepada cerita saksi. Bagaimanapun, kami masih menyiasat kes ini," katanya.

Katanya, polis turut menjalankan operasi mencari mangsa dan lelaki berkenaan di kawasan hutan di situ dari jam 7 malam semalam dan terpaksa dihentikan kira-kira jam 12 malam berikutan keadaan gelap. - Bernama

Gempa kuat 6.9 magnitud landa China

BEIJING: Gempa bumi kuat berukuran 6.9 magnitud melanda kawasan pedalaman di selatan Wilayah Qinghai, awal pagi ini, lapor Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Gempa berlaku jam 7.49 pagi waktu tempatan (2349 GMT Tuesday) berpusat di 380 kilometer (km) di barat daya bandar Golmud.Kawasan berkenaan bersempadan dengan utara Tibet dan mempunyai kurang penduduk.
Bagaimanapun setakat ini tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan berikutan kejadian itu. - AFP

Bekas pelajar UiTM mengaku salah buang bayi di tempat buang sampah

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Chendering, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dakwaan membuang bayi, lebih dua tahun lalu.

Tertuduh Zarina Sulaiman, 21, dari Kampung Felda Cherul, Kemaman, mengaku melakukan perbuatan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Yusoff Yunus.

Mengikut fakta kes, Zarina dituduh secara rahsia membuang mayat seorang bayi perempuan yang dilahirkan olehnya sama ada sudah mati sebelum, ketika, atau selepas dilahirkan olehnya dan dengan sengaja telah menyembunyikan kelahiran bayi itu.

Dia dituduh melakukan melakukan perbuatan itu di Asrama Sutera UiTM Cawangan Chendering, Kubang Ikan, Chendering, dekat sini, antara 11 malam dan 12 malam, 29 Januari 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan sosial tertuduh dan menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh tidak mampu membayar wang ikat jamin tersebut dan di hantar ke Penjara Pengkalan Chepa.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Marzita Subaker.

Dalam kejadian itu, mayat seorang bayi perempuan ditemui dalam keadaan separuh terbakar di celah timbunan sampah di tempat pembuangan sampah di kawasan asrama berkenaan oleh seorang tukang sapu. - Bernama