Followers

Tuesday, September 15, 2009

Sentimen anti-Malaysia belum padam

50 anggota Persatuan Buruh Kontrak Indonesia bawa buluh runcing berarak di Jalan Diponegoro

JAKARTA: Walaupun ada gesaan daripada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono bagi tindakan polis ke atas pihak yang melakukan bantahan anti-Malaysia, satu lagi perhimpunan membabitkan penunjuk perasaan yang memegang batang buluh runcing diadakan kelmarin.

Detik.com melaporkan kira-kira 50 orang dari Persatuan Buruh Kontrak Indonesia berkumpul di hadapan ibu pejabat Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) di sini sebelum berarak sambil melaungkan 'musnahkan Malaysia' di sepanjang Jalan Diponegoro yang menjadi tempat bantahan demokrasi minggu lalu, di tempat Sukarelawan Ganyang Malaysia melakukan sekatan jalan untuk mencari rakyat Malaysia.

"Malaysia memberi layanan buruk kepada Indonesia dan kerajaan seolah-olah tidak peduli," kata Neni salah seorang penunjuk perasaan dipetik sebagai berkata.

Walaupun ada gangguan lalu lintas, penunjuk perasaan memakai lilit kepala merah dan putih, tidak secara aktif 'menyapu' rakyat Malaysia.

Effendi Choiri, seorang pakar hubungan antarabangsa, berkata operasi sapu terhadap rakyat Malaysia mungkin mempunyai akibat yang buruk.

"Jika anda mahu memperjuangkan sesuatu, silakan berarak di jalanan, namun jangan melampaui batas kerana ia akan menjejaskan Indonesia," katanya.

Effendi berkata, mengusir rakyat Malaysia dari negara dan menghalang pelajarnya daripada belajar di universiti di sini hanya akan menjejaskan Indonesia.

"Ada berjuta rakyat Indonesia tinggal di Malaysia ketika ini," katanya. "Apa yang akan berlaku kepada mereka jika Malaysia mengambil keputusan mengusir mereka keluar? Mereka akan kehilangan kerja dan pelajar tidak dapat menghabiskan pengajian mereka."

Bagaimanapun, Effendi berkata beliau memahami tindak balas orang ramai terhadap perbalahan antara dua negara, berikutan sejarah pertikaian sebelum ini.

Katanya, ketegangan yang mendasari kedua-dua negara meletus ke permukaan kerana pertikaian terbaru. - Agensi

Pemuda Umno kesal kecaman terhadap Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Kecaman terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung MIC semalam adalah melampau dan amat biadab, kata Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim.

Beliau berkata tindak-tanduk seumpama itu bukan budaya Barisan Nasional (BN) dan MIC perlu bertanggungjawab untuk mengambil tindakan.

“Tindakan perlu dikenakan oleh BN jika pimpinan MIC membiarkan perkara itu berlalu begitu sahaja.

“Ia mesti diambil demi menjaga kerukunan dalam BN,” katanya dalam satu kenyataan.

Beberapa akhbar hari ini melaporkan bahawa Dr Mahathir telah dikritik anggota perwakilan MIC pada perhimpunan itu kerana dikatakan mencampuri urusan dalaman MIC serta menjatuhkan maruah presiden parti itu, Datuk Seri S Samy Vellu.

"Pergerakan Pemuda Umno berpandangan bahawa tindak tanduk sebegini tidak membantu mengalihkan pandangan masyarakat kepada kedudukan MIC yang sebenarnya,” kata Razali, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Beliau berkata, rasa hormat perlu diraih dan bukan boleh diminta-minta.

“Mereka kena cari jalan menonjolkan perancangan dan kerja yang baik, bukan dengan menyalahkan orang lain apatah lagi menghina pemimpin besar negara,” katanya. - Bernama

Kementerian Kesihatan garis 4 fasa cegah H1N1

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menggariskan empat fasa yang perlu diambil kira semasa menyambut mana-mana perayaan, bagi mengelak penularan wabak Influenza A (H1N1) dalam negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai, berkata ia merangkumi langkah pencegahan yang perlu diambil dalam empat tempoh fasa iaitu semasa sebelum balik kampung, semasa dalam perjalanan, semasa berada di kampung dan selepas kembali dari kampung.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu panik atau terlalu bimbang sehingga tidak tahu apa yang hendak dilakukan bagi mengelak jangkitan virus itu ketika hendak menyambut sesuatu perayaan.

"Jika semua pihak dapat mengambil langkah-langkah pencegahan, maka wabak ini dapat dikawal dengan lebih baik," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen Berhari Raya Tanpa H1N1 di Terminal Bas Jalan Duta di sini hari ini.

Sempena sambutan Aidilfitri ini, Liow sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya terus mengamalkan langkah pencegahan bagi mengelakkan wabak H1N1 ini menular.

Liow seterusnya meminta orang ramai sentiasa melayari laman web Kementerian Kesihatan untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai wabak H1N1 serta langkah kawalan dan pencegahan yang disyorkan dari semasa ke semasa.

"Walaupun di Hari Raya, senang-senang layarilah laman web kementerian, tengok apa cadangan dan syor yang ada, dan ikutlah syor-syor kementerian. Saya harap semua akan ikut nasihat yang diberikan kementerian," katanya.

Mengenai situasi semasa wabak H1N1 dalam negara pula Liow berkata, tiada kematian baru direkodkan hari ini dengan bilangan kematian kekal 74 kes, sementara 48 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan di seluruh negara, dan 126 pesakit lagi sudah dibenarkan keluar wad.

Ini menjadikan baki 970 pesakit masih dirawat di 102 hospital termasuk 13 hospital swasta.

Beliau berkata daripada jumlah itu 193 pesakit disahkan positif dijangkiti H1N1, dengan 41 daripada pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah itu, 33 pesakit terdiri daripada golongan berisiko tinggi dengan 13 pesakit berpenyakit kronik, empat penyakit respiratori kronik, lapan obesiti dan kanak-kanak bawah lima tahun (tujuh) dan seorang wanita hamil.

"Saya nak ingatkan 80 peratus kumpulan berisiko tinggi ini agar berhati-hati. Tapi saya juga nak ingatkan ada lagi 20 peratus yang bukan dari golongan berkenaan (berisiko tinggi) iaitu orang biasa yang juga terdedah dengan H1N1 ini.

"Saya risau yang 20 peratus ini, bagaimana anak-anak muda yang sihat kena wabak ini hingga menyebabkan maut. Kita tidak mahu perkara ini berlaku," katanya.

Dalam pada itu, walaupun pada musim perayaan, orang ramai diingatkan supaya tidak memandang ringan tahap kesihatan mereka khususnya kepada yang menunjukkan simptom dijangkiti wabak H1N1.

"Jangan pandang ringan jika terasa sakit, dan jangan hanya bertahan tidak berbuat apa-apa. Jika sakit cepat jumpa doktor untuk dapatkan rawatan. Jangan hanya kerana Hari Raya, ramai ambil mudah," katanya. - Bernama