Followers

Tuesday, November 10, 2009

Laporan kenaikan elaun pemimpin, wakil rakyat tidak benar: Nazri

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, menafikan laporan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya elaun menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat dinaikkan.

Beliau yang mengakui dihubungi pegawai SPRM pagi tadi memberitahu bahawa SPRM tidak membuat sebarang kenyataan berhubung perkara itu seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris hari ini.

"Saya tidak tahu mengenai ini, SPRM memanggil saya pagi tadi dan menafikan semua ini, mereka tidak membuat sebarang kenyataan dan mana-mana seperti itu dan ini belum muktamad," katanya yang ditemui pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Berdasarkan laporan akhbar tersebut yang mendapat maklumat daripada sumber pegawai kanan kerajaan, langkah SPRM itu bertujuan untuk mengelakkan daripada salah guna kuasa dan rasuah di kalangan pemimpin kerajaan dan wakil rakyat.

Mohamed Nazri menganggap cadangan itu tidak sesuai dilaksanakan ketika negara berdepan dengan situasi ekonomi yang tidak menentu. - Bernama

Sasaran 50 peratus capaian jalur lebar diteruskan: PM

PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneruskan rancangannya untuk meningkatkan capaian jalur lebar kepada 50 peratus menjelang 2010 berbanding 24 peratus sekarang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak. - Bernama

Ekonomi Malaysia perlu berkembang 5.4 peratus setahun: Nor Mohamed

KUALA LUMPUR: Unit Perancangan Ekonomi (EPU) menganggarkan bahawa ekonomi Malaysia perlu berkembang sekurang-kurangnya 5.4 peratus setahun untuk tempoh sedekad akan datang, bagi bergerak ke dalam kumpulan ekonomi maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri sesi taklimat EPU mengenai Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) (2011-1025) bagi ketua industri di sini,k hari ini.

Nor Mohamed berkata, beliau yakin bahawa Malaysia akan mencapai pertumbuhan itu dan menjadi sebuah negara maju.

Beliau juga melahirkan keyakinannya bahawa negara ini boleh mencapai sasaran 5.4 peratus menjelang 2011, iaitu tahun pertama tempoh RMK-10.

Beliau berkata, RMK-10 adalah penentu bagi mengukur kejayaan atau kegagalan Malaysia untuk mencapai Wawasan 2020.

"Oleh itu, persediaan bagi RMK-10 sudah dilakukan dua tahun lebih awal dari tahun pelaksanaan dan dijangka dibentangkan di Parlimen enam bulan lebih awal iaitu pada 10 Jun 2010," katanya. - Bernama

Pertemuan dengan Obama baik, mesra: Jamaludin

WASHINGTON: Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, berkata pertemuan pertama beliau dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, adalah "baik dan mesra."

Jamaludin yang menyerahkan watikah pelantikannya kepada Presiden Amerika Syarikat pada 4 November adalah Duta Malaysia pertama yang diterima Presiden Obama.

Meskipun beliau terpaksa menunggu agak lama sejak ketibaannya di Amerika Syarikat untuk menyerahkan watikah pelantikannya kepada Presiden Obama dan lantik secara rasmi sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Jamaludin kini dapat menjalankan secara rasmi tugas beliau sebagai Duta Malaysia di negara yang beliau lihat sebagai mempunyai "potensi cemerlang" untuk membangunkan hubungan dua hala.

Terdapat pelbagai bidang membabitkan isu kepentingan dua hala di kedua-dua pihak, satu daripadanya ialah ketetapan perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Malaysia turut berminat untuk mendapatkan lebih banyak pelaburan dari Amerika Syarikat dan peningkatan perdagangan dengan negara berkenaan.

Jamaludin berkata, beliau percaya Malaysia juga dapat menjadi sumber pelaburan yang bernilai di Amerika Syarikat kerana semakin banyak syarikat di Malaysia yang mengenal pasti peluang pelaburan di luar negara.

"Syarikat di Malaysia perlu mengambil peluang yang disediakan kepada mereka di Amerika Syarikat yang bersikap amat terbuka kepada pelabur asing," katanya di luar kejohanan golf dan boling persahabatan anjuran Kedutaan Malaysia di sini pada Ahad lalu.

Kejohanan persahabatan itu membabitkan petugas kedutaan di Washington DC dan Suruhanjaya Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Konsulat Besar di New York.

Antara yang hadir termasuk Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Hamidon Ali dan isteri, Datin Amy Hamidon, selain Konsul Besar Malaysia yang berpusat di New York, M Zamruni Khalid, serta isterinya.

Jamaludin dan Hamidon turut bertukar-tukar cenderahati pada akhir kejohanan itu. - Bernama

274 terima darjah kebesaran, bintang, pingat persekutuan

KUALA LUMPUR: Perunding Trobio Forest Sdn Bhd Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor hari ini mengetuai 274 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara di sini.

Beliau menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Empat lagi penerima darjah sama ialah Pengarah Urusan Pembinaan Limbongan Setia Berhad dan TSR Capital Berhad, Tan Sri Lim Kang Yew; Pengarah Urusan Star Publication Berhad Pulau Pinang, Tan Sri Kamal M Hashim; Pengarah Eksekutif Kumpulan The Lion Group, Tan Sri Cheng Yong Kim; dan Presiden Jim Logs Holdings Sendirian Berhad Miri, Sarawak, Tan Sri Lau Hieng Wui.

Lima yang lain dianugerahi Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Setiausaha Bahagian, Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antarabangsa Kerajaan Jabatan Perdana Menteri Datuk Md Muhktar Boerhannoeddin; Pengarah Eksekutif Securiforce Sendirian Berhad, Datuk Shaheen Chugtai Mirza Habib Jan; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali; Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera, Kementerian Pertahanan, Left Jen Datuk Dr Sulaiman Abdullah; dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Wilfred Rata Nissom.

Sementara itu, enam orang menerima Johan Mangku Negara (JMN), 15 orang menerima Johan Setia Mahkota (JSM), 48 orang menerima Kesatria Mangku Negara (KMN), 78 orang menerima Ahli Mangku Negara (AMN) dan 117 orang menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN).

- Bernama

Banjir di Kelantan semakin pulih tetapi seorang lagi lemas

KOTA BHARU: Keadaan di kawasan dilanda banjir di Kelantan semakin pulih dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan menurun secara mendadak petang ini kepada 1,441 orang, namun banjir di negeri itu telah meragut satu lagi nyawa di Pasir Mas semalam.

Mohamad Syakimi Sayuti, 6, murid Tabika Banggol Chica, ditemui lemas setelah terjatuh dalam tali air ketika bermain bersama adik dan rakannya di Kampung Pak Sek, Pasir Mas.

Pada 6 November lalu, Mohd Mazlan Yajid, 28, lemas ketika mandi di Sungai Banggol Kerian, Pasir Puteh.

Ketua Pegawai Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid, berkata di jajahan Tumpat, masih terdapat 1,330 orang mangsa di tiga pusat pemindahan banjir manakala di Pasir Mas, hanya terdapat 111 orang di tiga pusat pemindahan berbanding 2,281 orang di 22 pusat pemindahan pagi tadi.

Katanya, jajahan lain telah kembali pulih, walaupun keadaan cuaca mendung dengan hujan renyai-renyai pada sebelah petang.

Wan Mustapha berkata, jalan-jalan utama yang dinaiki air semalam kini dibuka kepada semua lalulintas kecuali beberapa jalan kampung di Pasir Mas dan Tumpat yang masih ditenggelami air.

Katanya, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang berada lebih sedikit daripada paras bahaya iaitu 9.03 meter berbanding paras bahaya 9 meter manakala paras air di sungai utama lain di Kelantan telah surut berada di bawah paras bahaya.

Tinjauan Bernama di sekitar Rantau Panjang mendapati banjir yang menyebabkan bandar zon bebas cukai itu "lumpuh" mulai surut dan penduduknya sibuk membersihkan lumpur di kediaman masing-masing dan di premis perniagaan. - Bernama

Sabah&Sarawak: Jangan bersikap sambil lewa laksana pembangunan

Rakyat kini bijak nilai kualiti kerja yang dijanjikan

KOTA KINABALU: Datuk Seri Najib Razak mahu Kerajaan Sabah terutama agensi pelaksana pembangunan dan pejabat daerah di negeri ini mengubah kaedah bekerja daripada 'asal boleh' kepada 'bekerja lebih kuat' kerana rakyat bijak menilai pelaksanaan pembangunan yang dijanjikan untuk mereka.

Menegaskan perkara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata agensi kerajaan dan pejabat daerah tidak boleh lagi bersikap sambil lewa dalam melaksanakan pembangunan kerana tanggapan rakyat terhadap kualiti kerja sudah berubah berikutan pelbagai sumber maklumat diperoleh melalui internet.

Katanya, sepanjang bersama Perdana Menteri dalam lawatan kerja dua hari ke Sabah hujung minggu lalu, Najib menegaskan Kerajaan Persekutuan prihatin terhadap keperluan kewangan bagi memajukan infrastruktur dan pelbagai projek pembangunan rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Perdana Menteri mengingatkan saya supaya bekerja lebih kuat. Keadaan hari ini bukan macam dulu. Sabah negeri kedua terbesar selepas Sarawak dan masih banyak perlu dilakukan untuk memajukan negeri ini.

“Perdana Menteri juga mahu kita tidak melengah-lengahkan projek pembangunan kerana rakyat akan menilai dan membuat keputusan apabila tiba pilihan raya," katanya berucap merasmikan Persidangan Pegawai Daerah Sabah ke-18 di Le Meridien Hotel di sini, semalam.

Persidangan sehari itu dihadiri semua Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah bertujuan meningkatkan kualiti kerja di peringkat daerah dalam melaksanakan pembangunan ekonomi dan sosial untuk rakyat.

Empat kertas kerja dibentangkan, masing-masing oleh Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen), Datuk Ismail Abdullah; pegawai Kementerian Kewangan dari Putrajaya, S Kumaresan; pegawai Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Abdullah Embong dan Nurhartaty Rahmat serta Pengarah Jabatan Audit Sabah, Juhari Haron.

Najib berada di Sabah Sabtu dan Ahad lalu bagi merasmikan Kongres Nasional Parti Bersatu Sabah (PBS), Perhimpunan Agung Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Konvensyen Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) - semuanya parti komponen Barisan Nasional (BN).

Musa berkata, pegawai daerah dan penolong pegawai daerah harus mengutamakan integriti kerana ia adalah aspek penting dalam memastikan kejayaan projek pembangunan untuk rakyat.

“Contohnya, kayu untuk buat jambatan. Kalau kita tak memantau kerja dengan betul, kayu itu reput tak sampai tiga bulan kerana kualitinya rendah. Kalau kita periksa betul-betul kayu itu dari awal projek dilaksanakan, perkara seperti ini tak akan berlaku.

"Begitu juga kalau beli skru pemutar. Satu skru pemutar disebut harga RM1,000 dan ini tidak logik. Justeru, adalah penting bagi kita mengamalkan integriti dan ikhlas dalam kerja kita," katanya.

Sehubungan itu, Musa menggesa pegawai daerah dan penolong pegawai daerah bekerja dalam satu pasukan bersama agensi pelaksana pembangunan kerajaan negeri atau Persekutuan serta berusaha mengatasi masalah dihadapi ketika melaksanakan projek berkenaan.

Jika masalah itu tidak boleh diatasi di peringkat pejabat daerah, katanya, mereka perlu segera merujuk kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri atau beliau sendiri.

Sabah&Sarawak: Kampung dicemari sampah

KOTA KINABALU: Penempatan atas air Kampung Sembulan Tengah di sini tidak mampu dikekalkan sebagai perkampungan tradisi seperti Kampung Air Tanjung Aru kerana menghadapi masalah longgokan sampah sarap dan tapak yang sukar dipulihkan.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim, berkata sampah yang mencemari kampung itu sukar dibersihkan, manakala tapaknya pula bukan lagi laut seperti sebelum ini.

Berikutan keadaan itu dan kos pelaksanaan penstrukturan semula yang terlalu tinggi, sukar untuk menyusun semula perkampungan berkenaan menjadi kampung tradisi moden dan selesa.

“Yang boleh kita lakukan ialah robohkan saja rumah yang ada di situ dan tapaknya ditimbus untuk dibangunkan dengan pangsapuri. Kalau mahu mengekalkannya, memang mustahil.

“Sebelum ini pun sudah banyak tindakan diambil oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mengatasi masalah sampah di kampung itu tetapi tidak ada satu pun berjaya. Semuanya sia-sia,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kedudukan penempatan atas air Kampung Sembulan Tengah yang tercemar teruk dengan sampah dan air bertakung yang kotor.

Katanya, keadaan itu memalukan kerana mudah dilihat pengunjung luar, khususnya pelancong berikutan kedudukannya yang hampir dengan pusat peranginan dan dikelilingi projek komersial.

“Saya sendiri tidak tahan dengan keadaan itu hingga saya terpaksa menyuruh kakitangan DBKK memasang zink di keliling kampung supaya kotorannya tidak dapat dilihat.

“Saya malu kerana ada pelancong datang ke situ mengambil gambar dan memasukkannya ke dalam internet. Mereka mengatakan bandar raya ini kotor dan tidak terurus,” katanya.

Beliau berkata, masalah sampah-sarap di kampung itu berpunca daripada tindakan penghuni, termasuk pendatang tanpa izin membuang sampah ke air.

"Majoriti yang tinggal di sana sekarang adalah orang luar yang menyewa. Pemiliknya tidak tinggal di situ kerana sudah ada rumah lebih selesa di tempat lain,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan mengenai harapan penduduk kampung itu yang mahu penempatan berkenaan dikekalkan sebagai kampung tradisi kerana ia adalah perkampungan Bumiputera tunggal dalam bandar raya ini.

Najib minta rakyat manfaat laman 1Malaysia

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat supaya terus memanfaatkan laman web 1Malaysia untuk menyuarakan sebarang rasa tidak puas hati dan mengemukakan cadangan demi kebaikan bersama.

Perdana Menteri berkata, laman web itu memudahkan rakyat untuk berinteraksi dengan beliau dan lebih penting memberi peluang kepada mereka untuk menyuarakan pandangan dalam pelbagai aspek termasuk soal pentadbiran.

"Ini bukan satu laman web yang pasif tapi sebaliknya interaktif sepenuhnya yang mana pengunjung bukan saja boleh membaca pandangan saya tapi juga boleh menghantar terus cadangan mereka secara dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) MSC Malaysia Ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Najib mempengerusikan mesyuarat itu buat kali pertama.

Mesyuarat bertema `Ekonomi Inovasi: Merentas Jalan Kemakmuran' itu membincangkan peranan inisiatif MSC Malaysia dalam model ekonomi baru yang diterajui inovasi dan pengetahuan.

Antara ahli IAP yang hadir pada mesyuarat tahun ini ialah Naib Pengerusi BBWorld, Dr Robert Bishop; Naib Presiden Korporat Microsoft, Dr Ya-Qin Zhang; Pengurus Besar Eksekutif Al-Jazeera Children Chanel, Mahmoud Bouneb; Naib Pengerusi Forbes Publishing Co, Christopher Forbes; Pengarah FoodReg Malaysia, Robert Madge dan Naib Presiden Kanan

Huawei Technologies, Ding Yun Ryan.

Perdana Menteri berkata, peluang yang diberikan kepada rakyat untuk mengemukakan pandangan dalam laman web itu sebelum pembentangan Bajet 2010 baru-baru ini menerima lebih daripada 400 maklum balas.

Katanya, selepas bajet pula kira-kira 500 maklum balas diterima dan dipertimbangkan dalam merangka bajet akan datang.

"Rakyat Malaysia yang berminat untuk mengetahui jadual kerja harian saya pada waktu sebenar boleh mengikutinya menerusi Twitter saya," katanya.

Selain itu, Najib juga berkata, kerajaan ketika ini sedang >melaksanakan infrastruktur komunikasi kebangsaan yang lebih maju dan canggih dengan pemasangan aplikasi yang membolehkan 1.2 juta isi rumah dan premis perniagaan yang melanggan internet mendapat kelajuan antara 10 megabait sesaat (mbps) hingga 1 gigabait sesaat (gbps).

Perdana Menteri berkata, rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi itu akan memberi satu platform untuk membangunkan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk masa depan.

Pada masa sama, Najib berkata, perancangan itu akan membolehkan rakyat, komuniti perniagaan dan agensi kerajaan menjadi lebih berdaya saing menerusi teknologi komunikasi terkini.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan tidak boleh terus berasa selesa dan sebaliknya perlu merancang untuk membentuk asas lebih kukuh bagi untuk mendapatkan pencapaian lebih baik pada masa depan.

"Kita mahu membina perisian, isi kandungan dan rangkaian sosial kita sendiri dan mahu penyelesaian berkenaan digunakan untuk menyelesaikan cabaran dalam bidang perubatan, alam sekitar, perniagaan dan saintifik," katanya.

Lanun Somalia serang kapal tangki

NAIROBI, Kenya: Lanun Somalia menyerang sebuah kapal tangki minyak dan melepaskan tembakan senjata automatik serta grenad roket jauh di tengah laut berbanding serangan sebelum ini.

Perkembangan terbaru itu menunjukkan keupayaan lanun Somalia semakin meningkat ketika mereka memperhebatkan aktiviti di Afrika Timur.

Pasukan Tentera Laut Kesatuan Eropaha berkata, lanun dalam dua bot menembak ke arah kapal Hong Kong, BW Lion, kira-kira 1,600 kilometer ke timur pantai Somalia.

Kapten kapal tangki terbabit meningkatkan kelajuan dan membelok untuk mengelak serabgan itu. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pasukan tentera laut itu mengerah sebuah pesawat dari kepulauan Seychelles untuk menyiasat.

Lanun sudah mula melancarkan serangan berani ke atas kapal di Lautan India dan Teluk Aden bagi menawan kapal dan anak kapal untuk menuntut wang tebusan.

Mereka kini menahan lebih 190 orang termasuk pasangan British yang ditawan dari kapal layar persendirian. - AP

Thaksin tiba di Kemboja sebagai penasihat ekonomi

PHNOM PENH: Bekas Perdana Menteri Thailand yang digulingkan, Thaksin Shinawatra tiba di ibu negara Kemboja hari ini berikutan pelantikannya sebagai penasihat ekonomi di negara jiran itu.

Thaksin dijadual memberikan syarahan esok kepada lebih 300 pakar ekonomi di Phnom Penh.

Jurucakap kerajaan, Khieu Kanharith, mengesahkan pesawat peribadi yang membawa Thaksin mendarat di lapangan terbang tentera di ibu negara itu.

Thaksin tiba bersama kira-kira 10 yang lain dan menuju ke Phnom Penh dengan kawalan ketat.

Pengumuman mengenai pelantikan Thaksin oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen menimbulkan kejutan dan dianggap memburukkan lagi hubungan dua hala antara Bangkok dan Phnom Penh. - AP

Keadaan banjir di Kelantan semakin pulih

KOTA BAHARU 10 Nov. — Keadaan banjir di Kelantan semakin pulih berikutan hanya hujan renyai-renyai serta cuaca panas di negeri ini dengan 3,643 mangsa masih ditempatkan di 15 pusat pemindahan banjir di dua jajahan iaitu di Pasir Mas dan Tumpat berbanding 4,000 orang semalam.

Ketua Pegawai Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri (PKOBN), Wan Mustapha Wan Abdul Hamid berkata, di Pasir Mas seramai 2,281 orang ditempatkan di 12 pusat pemindahan banjir membabitkan 622 keluarga dan di Tumpat seramai 1,362 orang di tiga pusat pemindahan membabitkan 406 keluarga.

"Daerah-daerah lain sudah kembali pulih,” katanya.

Katanya, jalan-jalan yang ditutup ialah Jalan Rantau Panjang lama di Kampung Siram yang ditutup kepada semua lalu lintas dan di Kampung Meranti, juga di Pasir Mas, hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.

Di Tumpat, Jalan Kasban masih ditutup kepada semua kenderaan kerana dinaiki air sehingga satu meter.

Tempat menyukat banjir di Kampung Jenob di Sungai Golok masih menunjukkan paras bahaya iaitu sedalam 20.16 meter manakala di Rantau Panjang sedalam 9.22 meter di mana paras bahaya adalah sembilan meter.

Sehingga kini belum ada korban mangsa banjir dilaporkan dalam bencana itu. - Bernama

Mangsa banjir di Kedah meningkat

ALOR SETAR: Jumlah mereka yang dipindahkan akibat banjir di Kedah meningkat kepada 2,060 sehingga 7 malam ini berbanding 1,203 orang tengah hari tadi.

Kota Setar menjadi daerah terbaru yang dilanda banjir apabila 379 orang mangsa dari 112 keluarga dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata, daerah Pokok Sena mencatatkan jumlah mangsa tertinggi sebanyak 989 orang dari 181 keluarga diikuti Kubang Pasu seramai 569 orang (127 keluarga) dan Padang Terap seramai 123 orang (25 keluarga).

Katanya, bacaan paras air sungai di Sungai Kepala Batas, Kota Setar ialah 4.16 meter melebihi paras bahaya 3.50 meter dan Sungai Bata di Kubang Pasu 9.22 meter (bahaya 9.15 meter). - Bernama

Mangsa banjir Kedah meningkat kepada 1,203 orang

ALOR SETAR: Jumlah mereka yang dipindahkan akibat banjir di Kedah meningkat kepada 1,203 orang sehingga 12 tengah hari tadi berbanding 752 orang petang semalam.

Pokok Sena menjadi daerah terbaru yang dilanda banjir apabila 512 orang mangsa daripada 134 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan banjir hari ini.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata bahawa di Kubang Pasu, bilangan mangsa yang masih berada di pusat pemindahan ialah 516 orang dan di Padang Terap 175 orang.

Katanya bacaan paras air di Sungai Bata di Kubang Pasu ialah 9.22 meter, melebihi para bahaya 9.15 meter. - Bernama

Gempa bumi kuat gegar kepulauan Fiji

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat berukuran 7.1 pada skala Richter melanda kepulauan Fiji pada jam 6.45 petang tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan pusat gempa bumi itu ialah di 102 kilometer dari Timur Laut Suva, Fiji dan 7,059 kilometer dari Tenggara Kunak, Sabah.

Bagaimanapun, gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia. - Bernama