Followers

Thursday, July 15, 2010

Harga gula diselaras 25 sen, diesel dan petrol 5 sen mulai esok

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini memutuskan harga gula diselaras sebanyak 25 sen sekilogram, harga petrol RON95 dan diesel 5 sen seliter dan gas memasak LPG sebanyak 10 sen sekilogram mulai esok.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyatannya sebentar tadi menyebut, harga petrol RON97 pula akan diapungkan secara terkawal.
"Kabinet membuat keputusan hari ini bahawa harga bahan api dan gula diselaraskan sebagai sebahagian program rasionalisasi subsidi kerajaan," kata kenyataan itu.
Ini bermakna, harga gula di pasaran mulai tengah malam ini akan dijual RM1.75 sekilogram, gas LPG RM1.85 sekilogram, petrol RON95 menjadi RM1.85 seliter dan diesel RM1.75 seliter.

Pengurangan subsidi bagi menguatkan ekonomi negara: Najib

ALOR SETAR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan perlu mengurangkan subsidi bagi menjimatkn perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan defisit fiskal supaya pasaran dunia dan dalaman lebih yakin dengan kekuatan ekonomi negara.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, penjimatan perbelanjaan itu juga akan digunakn untuk pembangunan negara yang akhirnya memberi faedah kepada rakyat.
Beliau turut memberi jaminan pengurangan subsidi akan dibuat secara minimum supaya tidak membebankan rakyat.
Najib berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah di sini, sebentar tadi.

Kesan ketara pemulihan ekonomi tahun depan: Muhyiddin

TANAH MERAH: Pemulihan ekonomi negara dijangka dapat dilihat dengan lebih ketara tahun depan berikutan langkah pemulihan ekonomi yang dilaksanakan secara agresif.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan yakin dapat menambah pelabur baharu dan dengan itu, peluang pekerjaan akan bertambah.
"Kita telah melaksanakan pembaharuan ekonomi sebaik mungkin, sejajar pertumbuhan sebanyak 10 peratus pada suku pertama tahun ini, dan kerajaan telah memperkenal beberapa pendekatan baharu, termasuk Model Baru Ekonomi.
"Ya, mungkin hasil itu belum dilihat, namun saya yakin bermula tahun depan, rakyat akan menikmati peningkatan ekonomi negara yang lebih pesat," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah dan Karnival Rakyat Parlimen Tanah Merah, di sini hari ini.

Beliau berkata, pertambahan peluang pekerjaan dan kemasukan pelaburan asing, adalah antara faktor yang akan merealisasikan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Muhyiddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat perubahan agar situasi ekonomi dan politik selaras dengan iklim semasa dunia, yang jika tidak, negara bakal ketinggalan.

"Kalau suasana ekonomi sudah berubah, maka kita pun perlu mengubah cara kita menjalankan ekonomi supaya lebih berkesan.
"Limpahan nikmat kesan ekonomi ini juga dapat dirasakan semua rakyat di negara kita," katanya.

Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM2.5 juta bagi meningkatkan infrastruktur air bersih bagi penduduk di kawasan pedalaman Peralla, di jajahan ini. - Bernama

Kapal selam kedua KD Tun Razak tiba di Teluk Sepanggar

KOTA KINABALU: Kapal selam kedua negara KD Tun Razak selamat tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, dekat sini hari ini.

Ketibaan KD Tun Razak disambut Yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan warga TLDM.
KD Tun Razak yang dikendalikan 32 anggota tentera laut yang telah mengikuti latihan kapal selam di Perancis selama empat tahun memulakan pelayaran pulang dari Toulon, Perancis pada 30 April lepas dan mengharungi 7,063 batu nautika sebelum sampai ke tanah air.
Kapal selam kedua itu dilengkapi sistem pelancar torpedo, misil dan periuk api serta mampu mengawasi perairan negara pada kedalaman 100 hingga 200 meter.

Berucap pada majlis sambutan itu, Ahmadshah berkata kehadiran KD Tun Razak mampu meningkatkan keupayaan TLDM melaksanakan tanggungjawabnya menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan negara.

Bagi menjamin kedaulatan perairan negara yang luas, TLDM memerlukan lebih banyak aset yang efisien dan canggih, dan kapal selam adalah aset strategik tercanggih dikendalikan TLDM masa kini, katanya.

Selain KD Tun Razak, beliau berkata pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sepanggar turut menempatkan kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman, sejak September tahun lalu. - BERNAMA

UMNO perlu lakukan proses pembaharuan politik dengan segera: Muhyiddin

JELI: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata UMNO perlu melakukan proses pembaharuan politik dengan segera bagi mendapatkan semula keyakinan rakyat.

Beliau berkata, proses pembaharuan politik Umno masih perlahan dan sekiranya parti tidak mengambil tindakan segera berhubung perkara itu, ia mungkin akan menjadi ancaman kepada parti pada pilihan raya umum akan datang.
"Proses transformasi politik (UMNO) agak lambat sedikit. Kita harus usahakan apa saja kehendak rakyat supaya keperluan yang hendak dilihat masyarakat dilaksanakan.
"Ia perlu dibuat segera. Satu proses pembaharuan perlu dibuat segera," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Jeli, di sini hari ini.

Beliau berkata, malahan proses pembaharuan di dalam kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) telah berjaya dilaksanakan. - Bernama

Program Imam Muda dapat liputan di Jerman, Switzerland

FRANKFURT: Media di Jerman dan Switzerland melaporkan secara meluas mengenai program realiti televisyen Malaysia berjudul "Imam Muda".

Ketika negara barat memperkenalkan program uji bakat televisyen bagi memilih bintang, Malaysia menganjurkan "bintang imam" dalam satu program pencarian bakat, seperti yang dilaporkan oleh beberapa akhbar di Jerman dan Switzerland.
Butiran mengenai program "Imam Muda" dilaporkan dengan meluas oleh akhbar harian daripada Tagesspiegel, Merkur Online menerusi n-tv.de, Bild.de, Sueddeutsche Zeitung sehinggalah kepada akhbar harian Switzerland, Tagesanzeiger.
Ia membuatkan pembaca begitu asyik, menerusi gambaran yang diketengahkan pembaca dalam komen mereka terhadap laporan berita itu.

Menerusi program "Imam Muda", kira-kira lapan anak muda muncul di televisyen di Malaysia pada waktu perdana, lengkap berbaju Melayu dan bersongkok.

Tagesanzeiger, misalnya menyifatkan calon berkenaan sebagai "superstar" di televisyen Malaysia dan melaporkan bahawa mereka nampaknya telah menjadi pujaan hati ramai wanita muda.

Berbeza dengan program realiti yang lain, apabila peserta lazimnya menyanyi atau menari, calon dalam program "Imam Muda" memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran, mengikuti latihan menguruskan jenazah untuk dikebumikan, dan berikrar untuk melindungi golongan muda Malaysia daripada seks serta dadah.
Program pencarian bakat yang disiarkan setiap minggu itu diketuai oleh seorang ulama terkemuka, Hasan Mahmud.

Beliau mewujudkan sekumpulan imam muda yang dapat dijadikan contoh dan menggunakan bantuan mereka untuk memerangi gejala "keruntuhan sosial dan moral."

Calon terbabit, berusia antara 18 dan 27 tahun, dipilih berdasarkan kriteria personaliti dan pengetahuan agama mereka.

Seperti juga dalam "American Idol" dan program bakat yang lain, calon disingkirkan setiap minggu apabila mereka gagal melayakkan diri.

Banyak penonton dan pembaca yang terkejut apabila mendapati sepanjang tempoh program itu, calon diasingkan dan ditempatkan dalam ruang tidur sebuah masjid tanpa telefon bimbit, Internet, televisyen dan peralatan moden lain; supaya mereka dapat "berfikir sendiri dan tidak perlu bergantung harap kepada bantuan atau galakan dari luar."

“Pemenang pertandingan itu berpeluang menunaikan fardu Haji di Makkah, bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran di universiti di Madinah, dan bekerja di masjid," kata pengulas dalam akhbar harian Tagesspiegel yang diterbitkan dari Berlin.

Akhbar Jerman itu menegaskan bahawa semua peserta yang mengambil bahagian pastinya "dikagumi oleh peminat remaja dan bakal ibu mentua."

"Bagi umat Islam, menantu yang ideal adalah bakal imam kerana mereka berpendidikan dan mempunyai pengetahuan mendalam tentang Islam," akhbar itu memetik Iselan Bazar daripada rangkaian Astro Oasis yang menyiarkan rancangan pencarian bakat agama itu. - Bernama

Pengimportan daging untuk musim perayaan akan dipantau: Noh

MACHANG: Pengimportan bekalan daging bagi kegunaan di bulan puasa dan hari raya nanti akan dilakukan secara lebih berhati-hati agar ia tidak menjejas penternak tempatan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan diarahkan supaya memantau keadaan berkenaan.
"Kita tidak mahu mengimport sebagaimana yang dilakukan tahun lepas yang telah memberi kesan kepada pendapatan penternak tempatan," katanya di sini malam tadi.
Bagi barangan seperti beras pulut, Noh berkata beliau akan turut mengarahkan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) supaya memastikan bekalannya mencukupi.

"Ini terutama bagi penduduk di pantai timur seperti di Kelantan dan Terengganu yang sangat memerlukan bahan ini untuk membuat kuih sebagai juadah berbuka puasa," katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa bekalan daging lembu, kambing dan ayam serta barangan keperluan lain untuk musim perayaan adalah mencukupi. - BERNAMA