Followers

Sunday, February 21, 2010

Bekas Setiausaha Negara AS, Alexander Haig meninggal dunia

WASHINGTON: Bekas Setiausaha Negara, Alexander Haig, 85, yang pernah berkhidmat ketika Presiden Ronald Reagan, meninggal dunia awal pagi semalam Hospital Baltimore, Maryland.

Beliau pernah mengejutkan dunia dengan lima patah perkataannnya ketika Reagan ditembak dan dirawat di hospital pada 1981 dengan menyebut "I am in control here." ("Saya yang berkuasa di sini.")

Bagaimanapun, setakat ini tiada pengumuman rasmi mengenai punca kematiannya.

Sementara itu, Presiden Barack Obama menyifatkan Haig sebagai "negarawan Amerika yang hebat" dan menjadi contoh sebagai tokoh diplomat yang disegani.

Pada 30 Mac, 1981 seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah Reagan ketika sedang meninggalkan sebuah hotel di Washington.

Reagan dibawa ke sebuah hospital berhampiran dengan ketika itu Naib Presiden, George Bush gagal dihubungi kerana berada di luar daerah.

Pegawai kanan Amerika megesyaki serangan berkenaan adalah usaha untuk membunuh presiden yang didalangi Soviet Union ketika itu serta sebahagian usaha untuk menyerang Eropah.

Haig, yang menjadi Setiausaha Negara kepada Reagan ketika itu terus membuat penjelasan kepada stesen televisyen dengan berkata:

"Secara perlembagaan, anda masih mempunyai Presiden, Naib Presiden dan Setiausaha Negara dan presiden akan memutuskan untuk memindahkan kuasanya sementara kepada naib presiden jika dia mengkehendakinya.

"Namun pada masa ini, sayalah yang berkuasa di sini, di Rumah Putih sehingga kembalinya naib presiden dan kami berhubung rapat dengannya," kata Haig.

Bagaimanapun, sebarang peralihan kuasa sementara Presiden sepatutnya dari naib presiden, diikuti Speaker Parlimen dan senator kanan parti yang berkuasa sebelum Setiausaha Negara. - AFP

32 maut ribut petir terburuk di kepulauan Portugal

LISBON: Sekurang-kurangnya 32 terbunuh dalam kejadian ribut petir terburuk melanda kepulauan Madeira milik Portugal di Atlantik, awal semalam dengan Lisbon mungkin akan mengisytiharkan darurat serta meminta bantuan Eropah.

"Setakat ini, 32 kematian dicatat manakala 68 yang lain cedera dengan semuanya kini dirawat di hospital," kata Naib Presiden pulau itu, Joao Cunha e Silva memberitahu stesen televisyen Sic Noticias.

Serentak itu, kerajaan Portugal mengerahkan kapal induknya, Corte-Real bersiap sedia belajar meninggalkan Lisbon lewat malam tadi dengan membawa helikopter, pasukan perubatan dan ubat-ubatan ke Madeira.

"Kami sedang melihat kemungkinan untuk mengisytiharkan darurat dan meminta bantuan Kesatuan Eropah," kata

Menteri Dalam Negeri, Rui Pereira.

Ribut kuat dan hujan lebat menyebabkan banjir kilat serta tanah runtuh, terutama di selatan Madeira, sebuah pulau peranginan yang terletak 900 kilometer (km) di barat daya Portugal.

Kelajuan angin mencecah 100km sejam, dengan ombak besar melanda pesisir pantai, termasuk di jalan raya sehingga menyukarkan perhubungan. - AFP

Lawatan Najib ke pedalaman Sarawak untuk tunai janji bawa pembangunan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melakukan lawatan dua hari ke Sarawak mulai esok, antara siri lawatan ke negeri di Malaysia Timur itu, dan juga Sabah, di mana beliau berikrar akan membangunkan negeri berkenaan setanding dengan negeri-negeri di Semenanjung.

Kali ini, beliau akan sekali lagi meninjau keadaan di kawasan pedalaman Sarawak dengan mengunjungi rumah-rumah panjang.

Beliau mengotakan janji beliau yang dibuat semasa beliau mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri, April tahun lalu.

Beliau membuat susulan dengan siri lawatan ke kedua-dua negeri itu.

"Bukan sahaja saya melawat bandar besar seperti Kuching, Miri dan Sibu (di Sarawak) tetapi saya juga melawat kampung-kampung,” katanya semasa merasmikan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka di Kuching, ibu negeri Sarawak pada September lalu.

Pada majlis itu, katanya beliau juga akan melawat ke setiap ceruk di Sabah dan Sarawak, menyifatkannya sebagai tempat di mana gagasan 1Malaysia diamalkan.

Jadual lawatan yang padat menanti Perdana Menteri di Sarawak sepanjang lawatan dua hari itu.

Esok, lawatan dijadual bermula di rumah panjang Iban yang terletak jauh di pedalaman iaitu Rumah Juliana di Kamidan Jaya di Ulu Awik, Saratok, di mana beliau dijangka melancarkan projek bekalan elektrik luar bandar.

Beliau juga akan melawat Rumah Radin, sebuah lagi rumah panjang Iban di Lachau Ulu di Sri Aman di mana beliau akan melancarkan satu lagi projek bekalan elektrik luar bandar.

Selepas itu beliau akan ke Simunjan di mana beliau akan diberikan taklimat mengenai projek mitigasi banjir di Kampung Nanas dan Kalaka. Selepas itu, beliau akan melakukan tinjauan mesra di pasar pekan itu.

Pada Selasa, beliau akan melawat kawasan penempatan Iban di Nanga Tada, Nanga Ngungun dan Nanga Jagau di Kanowit yang terletak di tengah-tengah Sarawak, di mana terdapat lebih 200 rumah panjang.

Masyarakat Iban dipindahkan ke Sibu, Kanowit dan Kapit semasa zaman darurat komunis pada 1960-an dan 1970-an di bawah program Perintah Keselamatan Kawasan Rejang (Rascom) untuk melindungi keselamatan orang ramai daripada pengganas komunis.

Penghulu Ugap anak Seribu, 49, ketua bagi 16 rumah panjang di Nanga Tada, kini kira-kira 90 minit perjalanan melalui jalan raya dari Sibu, tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa Najib, selaku perdana menteri, akan melawat mereka pada suatu hari.

Namun, ini bukan lawatan pertama Najib ke Nanga Tada.

Beliau pernah menjejakkan kaki ke kawasan itu pada 18 Ogos, 2000 atas kapasiti Menteri Pertahanan apabila beliau berkunjung ke rumah panjang Meruan untuk menyampaikan ucapan takziah kepada Medan Nunying, bapa anggota komando tentera Mathew Medan, 25, yang terbunuh pada 2 Julai dalam insiden rampasan senjata dan penahanan tebusan membabitkan kumpulan Al-Ma''unah di Sauk, Perak.

Ugap berkata Najib mungkin mahu mengikut jejak langkah bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, yang sebagai perdana menteri kedua negara, telah melawat rumah panjang Dadom di Nanga Bugau, Sungai Kajah, pada awal 1972.

Sarawak pada ketika itu sedang menghadapi ancaman kira-kira 500 pengganas komunis yang mengugut, mengganas dan malahan membunuh kaum Iban yang tinggal berselerak di kawasan pedalaman dalam usaha mereka memujuk penduduk supaya menyokong perjuangan mereka dan bagi mendapatkan bekalan makanan.

Ugap, yang ketika itu mengiringi bapanya mendiang Penghulu Seribu anak Repong pada lawatan itu, masih ingat dengan gesaan Tun Razak agar masyarakat Iban tidak memberikan sebarang bantuan kepada pengganas komunis dan teguh berdiri di belakang kerajaan.

Kemudiannya pada 25 Mac, 1972, Tun Razak mengumumkan di Kuching penubuhan Rascom, satu percaturan berani di mana buat julung kalinya di negara ini, pasukan yang menggabungkan orang awam, polis dan tentera ditubuhkan untuk memerangi pengganas komunis.

Rascom kemudiannya diperluaskan ke tiga lagi kawasan di Bahagian Ketiga Sarawak pada ketika itu - Nanga Sekuau, Nanga Ngungun dan Nanga Jagau, di samping di kawasan lebih kecil iaitu Nanga Dap dan Rantau Panjai.

Penghuni rumah panjang yang terletak di kawasan pedalaman dikumpulkan dan dipindahkan ke penempatan baru yang dilengkapi pos keselamatan, rumah panjang baru, klinik kesihatan dan sekolah.

Konsep itu mencatatkan kejayaan besar bagi Sarawak dan juga bagi Malaysia. Program itu dihentikan secara rasminya pada 9 November, 1994.

Kini setelah 38 tahun berlalu, rumah-rumah panjang berkenaan hanya didiami golongan tua dengan generasi muda telah berpindah ke bandar dan bandaraya di seluruh Sarawak dan di Johor dan juga pelantar minyak di luar negara untuk mencari penghidupan lebih baik.

Nanga Tada, dengan 16 rumah panjang dan populasi kira-kira 3,000 orang, Nanga Ngungun dengan 23 rumah panjang dan 3,364 penghuni manakala Nanga Jagau dengan 21 rumah panjang dan 1,833 penghuni. Nanga Jagau hanya boleh dihubungi dengan bot, membabitkan perjalanan antara tujuh dan 12 jam.

Ugap, Penghulu Ambrose Digat bagi Nanga Ngungun dan Penghulu Johnny Masam bagi Nanga Jagau berharap kerajaan akan dapat membawa perubahan dan pembangunan ke kawasan mereka.

"Mungkin kerajaan dapat terlebih dahulu menyediakan dan melaksanakan program menjana ekonomi atau pembangunan tanah untuk menghalang penduduk daripada berhijrah," kata Johnny, 53.

Bagi diri beliau dan Ambrose Digat, 62, adalah menjadi impian mereka agar kerajaan menimbangkan membina jalan raya bagi menghubungkan Nanga Ngungun dan Nanga Jagau ke bandar Kanowit, di samping menyediakan kemudahan liputan komunikasi. Ketiga-tiga penghulu juga berharap kerajaan menimbangkan menyediakan bekalan elektrik 24 jam berbanding 12 hingga 18 jam sekarang.

Najib akan diberikan sambutan tradisi Iban sebaik tiba di rumah panjang Ugap di mana 3,000 penghuni dijadual akan menyambut kedatangan beliau. Beliau juga akan dijemput menyempurnakan upacara tradisi kesyukuran Iban iaitu "miring".

Ahli Parlimen Kanowit Aaron Dagang berkata, rumah di kawasan penempatan berusia 38 tahun ini kini dalam keadaan daif.

"Setiap kali saya berjumpa dengan penduduk di situ, mereka akan tanya bila kami akan gantikan atap dan pendawaian elektrik yang telah usang, Kebanyakan mereka adalah petani yang hanya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

"Kami telah lama membangkitkan masalah ini. Kami amat gembira apabila perdana menteri kata yang beliau akan melawat dan melihat sendiri keadaan di rumah panjang berkenaan," kata Dagang ketika dihubungi.

Beliau menyifatkan lawatan Najib sebagai "amat penting kepada penduduk di kawasan luar bandar” dan melahirkan harapan bahawa Perdana Menteri turut dapat melawat ke Kapit dan Belaga.

"Masih terdapat banyak kawasan luar bandar yang memerlukan perhatian. Kami berasa amat positif dengan apa yang sedang dilakukan perdana menteri kerana ia selaras dengan gagasan 1Malaysia," katanya.

Dari Kanowit, Najib akan terbang ke Sibu untuk majlis makan tengah hari bersama masyarakat Cina sebelum melawat pasar di bandar itu.

Ini lawatan kedua Najib ke Sibu selaku perdana menteri. Beliau melawat bandar itu pada Julai tahun lalu untuk merasmikan Festival Kebudayaan Cina Kebangsaan ke-26.

Kemudiannya beliau melakukan lawatan mengejut ke pasar malam yang mendapat sambutan mesra peniaga dan pengunjung.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata kekerapan lawatan Najib ke negeri itu menunjukkan perdana menteri mahu membawa lebih banyak pembangunan kepada penduduk luar bandar.

Ahli Parlimen Serian Datuk Richard Riot berkata lawatan pertama Najib selaku perdana menteri ke kawasan pedalaman Sarawak ialah ke Kampung Pichin, kira-kira 75km dari Kuching.

Secara kebetulan, Tun Razak melawat kampung itu pada 1966 semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Riot, yang berasal dari kampung itu berkata kekerapan Najib melakukan lawatan ke kawasan pedalaman amat signifikan kepada penduduk luar bandar di Sarawak kerana mereka masih menghadapi masalah daripada segi prasarana asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya. - Bernama

Kementerian Pelajaran timbang kaedah PFI

BATU PAHAT; Kementerian Pelajaran bercadang menggunakan kaedah "Inisiatif Kewangan Swasta" (PFI) bagi membina infrastruktur sukan di sekolah, kata Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, kementerian bercadang menggunakan kaedah itu berikutan kekurangan peruntukan yang diterima tahun ini serta kos pembinaan infrastruktur sukan yang tinggi.

"Pada tahun ini, sebagaimana yang dimahukan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sukan akan menjadi elemen yang penting di sekolah dan selaras dengan itu kita akan meningkatkan infrastruktur sukan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Skim Khairat Kematian Percuma Parlimen Batu Pahat.

Mohd Puad berkata, kos membina sebuah Sekolah Sukan saja boleh mencecah sehingga RM120 juta.

"Di dalam pembinaan sebuah Sekolah Sukan, kerajaan bukan hanya membina bangunan sekolah tetapi juga stadium yang siap dengan trek olahraga dan balapan serta gelanggang untuk sukan-sukan yang berlainan" katanya.

Beliau juga berkata, walaupun berhadapan dengan kekurangan peruntukan, kementerian tetap meneruskan peruntukan terhadap beberapa bidang pendidikan yang penting seperti Skim Bantuan Makanan Tambahan, Skim Bantuan Buku Teks dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.

Mengenai skim khairat itu, Mohd Puad berkata kawasan Parlimen Batu Pahat membelanjakan RM36,000 setahun sebagai bayaran premiumnya bagi membolehkan penduduk yang menyertainya dapat menikmati kemudahan yang ditawarkan oleh skim terbabit.

"Waris kepada penduduk yang menyertai skim kelolaan Takaful Ikhlas ini akan menerima RM1,000 jika berlaku kematian terhadap pemegang polisi skim ini," katanya. - Bernama