Followers

Monday, June 8, 2009

Sabah & Sarawak: Perancis minat labur, wujud komuniti di Sabah

KOTA KINABALU: Perancis berminat menjalin kerjasama lebih erat dan melabur di Sabah, selain berhasrat mewujudkan komuniti warga negara itu seiring operasi Akademi Laut di Teluk Sepanggar kelak.

Duta Perancis ke Malaysia, Marc Barety, berkata sejarah hubungan baik di antara Malaysia dan negaranya membolehkan lebih banyak bidang diterokai demi manfaat kedua-dua pihak.

"Saya yakin rakyat Perancis boleh menyesuaikan diri dengan cepat dengan suasana kehidupan di Sabah.

"Hubungan Perancis-Malaysia semakin berkembang. Saya beri jaminan warga Perancis akan datang membawa keluarga mereka menetap di sini sebaik Akademi Perkapalan bagi melatih rakyat tempatan dalam bidang kapal selam di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sepangga beroperasi tahun depan.

"Malah, ada syarikat Perancis turut berminat meninjau peluang perniagaan di sini," katanya selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, di kediaman rasminya di Sri Gaya, kelmarin.

Ia adalah lawatan sulung Barety ke Sabah sejak mula bertugas di Malaysia, lapan bulan lalu.

Sementara itu, Musa menyambut baik hasrat Perancis ingin menerokai industri tempatan di Sabah.

"Sudah pasti ia akan memanfaatkan kedua-dua pihak kerana banyak yang boleh ditawarkan Sabah, terutama dalam sektor pelancongan dan hospitaliti.

"Saya harap Sabah dan Perancis dapat mengenal pasti bidang yang boleh menjadi titik permulaan ke arah kerjasama itu," katanya.

Beliau berkata, Sabah mempunyai tarikan tersendiri di bidang perniagaan berikutan kestabilan politiknya dan faktor pengurusan ekonomi yang baik.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi tumpuan terhadap usaha membangunkan kawasan luar bandar dan membasmi kemiskinan menerusi pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

0 comments: