Followers

Thursday, June 10, 2010

Keadaan H1N1 terkawal: Liow

KUALA LUMPUR: Orang ramai tidak perlu bimbang dengan penularan wabak influenza A (H1N1) di negara ini kerana keadaan adalah terkawal, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, kebanyakan kes yang berlaku sekarang adalah secara kluster dan perkembangannya dimaklumkan kepada orang ramai setiap hari bagi membolehkan masyarakat mengambil tindakan berjaga-jaga kerana kematian masih berlaku.
"Daripada segi pengawasan dan pemantauan kita teruskan...di dalam negara peningkatannya belum ke tahap yang membimbangkan. Ia masih kekal di tahap dua ke tiga peratus," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas perasmian pameran kesihatan mulut dan rawatan pergigian di Pusat Kebajikan Ti-Ratana oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Mengulas lanjut, Liow berkata sehingga kini 88 orang disahkan meninggal dunia akibat wabak itu.

Beliau turut meminta orang ramai yang berada dalam kumpulan berisiko mendapatkan suntikan vaksin yang disediakan di klinik kerajaan dan swasta.

"Sambutan sekarang baik tapi kita juga menyeru orang ramai kalau boleh dapatkan juga vaksin daripada klinik swasta kerana klinik kerajaan menumpukan terhadap kumpulan berisiko tinggi," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Liow berkata kesihatan oral pada kalangan rakyat Malaysia bertambah baik sekarang berbanding ketika sebelum kemerdekaan.

"Hari ini lebih daripada 40 peratus pelajar sekolah yang berusia 16 tahun tidak pernah mengalami masalah gigi pada gigi kekal mereka berbanding hanya 15 peratus pada tahun 1970an," katanya.

Beliau juga berharap pakar pergigian di negara ini dapat bekerjasama dengan kerajaan untuk membangkitkan kesedaran pada kalangan masyarakat agar menjaga kesihatan oral mereka. - BERNAMA

Pelatih PLKN Wan Zharifah pernah diberi rawatan ruam

KUALA LUMPUR: Wan Zharifah Wan Othman yang didakwa hilang ingatan selepas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kuala Krai, Kelantan pada Mei lalu, pernah diberi rawatan kerana mengalami ruam pada badannya selepas tiga hari menyertai program itu.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata Wan Zharifah, 18, diberi rawatan oleh pembantu perubatan di Pusat Medik di kem Batu Jong, Kuala Krai.
"Pelatih itu, yang menyertai kem pada 27 Mac lalu, mengadu mengalami ruam dan sebulan setengah kemudian remaja itu mengadu sakit kepala sebelum memohon cuti untuk dihantar ibu bapanya berubat di kampungnya di Kuala Chendering, Terengganu.
"Komandan yang bertugas memberikan cuti selama tiga hari dan pada 18 Mei, ibu bapanya datang untuk membawa pelatih pulang ke kampung," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan PLKN kumpulan dua siri tujuh 2010 di Kem PLKN Temasya Rimba Templer, hari ini.

Abdul Hadi mengulas laporan akhbar tabloid hari ini bahawa Wan Zharifah, yang sebelum ini seorang yang ceria, tiba-tiba hilang ingatan dan berkelakuan aneh selepas mengikuti latihan selama lima minggu di kem PLKN itu.

Ibu bapa Wan Zharifah mendakwa pihak PLKN, yang sebelum ini berjanji untuk bertanggungjawab atas kejadian itu, langsung tidak bertanya khabar akan kesihatannya.

Abdul Hadi berkata, selepas tamat tempoh cuti yang diberikan, Wan Zharifah tidak kembali ke kem dan beliau juga meminta komandan kem PLKN itu untuk melihat keadaan pelatih itu tetapi masih belum menerima sebarang laporan.
Beliau berkata, PLKN juga pernah meminta pelatih itu dirawat di hospital tetapi ibu bapanya tetap mahu berubat cara kampung.

Katanya, Wan Zharifah mungkin mengalami tekanan perasaan dan kemungkinan lain sepanjang menjalani latihan tersebut.

"Mungkin ada tekanan perasaan dan sebagainya, setiap orang mempunyai kemampuan yang berbeza tetapi jika ikut kepada komandan mereka tidak nampak apa-apa masalah...dari segi saringan perubatan juga tidak nampak masalah kesihatan," katanya.

Abdul Hadi juga berkata, JLKN giat melaksanakan Komuniti Bestari di setiap siri PLKN dalam usaha mendapat kerjasama sepenuhnya daripada masyarakat bagi melaksanakan aktiviti khidmat komuniti seperti gotong-royong.

Komuniti Bestari adalah modul dalam program PLKN yang telah diadakan di 77 buah kem di seluruh negara.

Jabatan Penerangan turut bekerjasama dengan PLKN dengan mengadakan ceramah 1Malaysia yang dikenali sebagai program "Bersama 1Malaysia" diadakan secara serentak di seluruh kem pada hari yang sama.

"Ia penting bagi memastikan pelatih khidmat negara memahami dan menghayati makna sebenar 1Malaysia," katanya. - BERNAMA

Kerajaan yakin capai pertumbuhan enam peratus: TPM

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin boleh mencapai pertumbuhan enam peratus setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), dari 2011 hingga 2015, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita yakin ia boleh tercapai. "Untuk mencapainya, peranan sektor swasta dalam bidang ekonomi sangat penting dan diutamakan," katanya Timbalan Perdana Menteri pada sidang media selepas pembentangan RMKe-10 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Dewan Rakyat hari ini.
Muhyiddin berkata, RMKe-10 ialah rancangan pembangunan yang sangat penting dalam usaha negara untuk mencapai taraf negara maju yang berasaskan ekonomi berpendapatan tinggi.
“Perdana Menteri telah mengambil kira segala bidang dan kepentingan semua kumpulan masyarakat dalam perancangan ekonomi lima tahun,” katanya.

Katanya, Program Transformasi Kerajaan (GTP) juga amat penting kerana ia menjadi pemacu kepada ekonomi negara.

“GTP amat penting kerana segala perancangan yang kita hendak buat boleh terhasil jika sistem penyampaian itu dapat kita tingkatkan,” katanya.

Menyentuh isu subsidi, Muhyiddin berkata ia adalah initiatif yang dirancang secara rapi dan akan bergerak bersama GTP.
“Beliau (Perdana Menteri) mahu rakyat memberi sokongan dan dokongan kepada kerajaan dalam menjayakan matlamat RMK-10,” katanya. - BERNAMA

Sektor swasta perlu ambil peranan pertumbuhan ekonomi bawah RMKe-10

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini meminta sektor swasta supaya mengambil peranan menerajui pertumbuhan ekonomi yang sebahagian besarnya untuk mengumpul pelaburan sekitar RM115 bilion setahun bagi memastikan kejayaan Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMKe-10).

Perdana Menteri berkata langkah itu merupakan satu cabaran utama serta mengalihkan Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan meningkatkan daya saing di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran antarabangsa.
Beliau juga mengumumkan pelaksanaan beberapa langkah untuk meningkatkan lagi penyertaan Bumiputera di dalam ekonomi, memajukan enterpris kecil dan sederhana, memudahkan undang-undang kemuflisan bagi membantu para usahawan yang gagal berikutan risiko perniagaan dan satu undang-undang persaingan untuk memastikan kesamarataan di pasaran.
Najib berkata langkah berkenaan akan membantu menggerakkan Malaysia untuk menjadi salah satu daripada 10 negara teratas di dunia di segi memudahkan melakukan perniagaan menjelang 2015, sebagai satu usaha yang tidak mustahil kerana ia telah menjadi negara ke-10 paling kompetitif di dalam tempoh setahun, dan di dalam proses itu mendahului banyak negara maju.

Bagaimanapun, kerajaan tidak akan berpeluk tubuh dan akan terus berusaha untuk menjadi antara lima negara teratas di dunia di masa depan, katanya semasa membentangkan rancangan itu bagi tempoh 2010-2015 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam ucapan setebal 59 muka surat yang memakan masa lebih 105 minit itu, katanya RM230 bilion akan diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan di bawah RMK10, di mana 55 peratus akan diperuntukkan bagi sektor ekonomi, 10 peratus bagi keselamatan dan 5.0 peratus bagi pentadbiran am.

Peruntukan program dan projek dilakukan berasas tempoh dua tahun mulai 2011-2012, bagi membolehkan komitmen dilakukan berasaskan kedudukan kewangan kerajaan dan keutamaan yang baharu.
Senarai terperinci program dan projek bagi rancangan boleh pinda itu akan disiapkan menjelang akhir Ogos tahun, katanya.

Perdana Menteri juga menyeru dijalin perkongsian awam swasta (PPP) yang lebih pintar dan berkesan di bawah RMK10, khususnya pelaksanaan 52 projek berimpak tinggi bernilai RM63 bilion yang termasuk tujuh lebuhraya, dua loji penjanaan elektrik arang batu, dan pembangunan tanah seluas 1,320 hektar (3,300 ekar) di Sungai Buloh.

Mereka juga boleh menyertai projek yang diterajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Pembangunan Strategik Kuala Lumpur oleh 1Malaysia Development Berhad yang meliputi kawasan lapangan Terbang Sungai Besi, Daerah Kewangan Antarabangsa KL di KL dan pembinaan loji regasification gas asli cecair bernilai RM3 bilion oleh Petronas di Melaka dan dua relau pelebur aluminium di Sarawak bernilai RM18 bilion.

Selain itu, Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata di dalam usaha untuk membantu projek pembiayaan sektor swasta yang akan menghasilkan kesan limpahan ekonomi yang besar, satu Dana Mudahcara akan disediakan di bawah RMKe-10, yang dijangka menarik pelaburan RM200 bilion dari sektor swasta bagi tempoh lima tahun akan datang.

Projek yang dipertimbangkan di bawah dana ini termasuk penambakan tanah di Westport di Pelabuhan Klang, Malaysia Truly Asia Centre di KL dan Taman Teknologi Tinggi Senai di Iskandar Malaysia di Johor.

Najib berkata ekonomi diunjurkan berkembang pada kadar purata 6.0 peratus pada 2010-2015 daripada 4.2 peratus di dalam Rancangan Malaysia Ke-sembilan (RMKe-9) dengan pendapatan per kapita dijangka meningkat kepada RM38,850 atau AS$12,140 berbanding RM26,420 atau AS$8,260.

Pertumbuhan di bawah RMKe-10 akan didahului oleh sektor perkhidmatan dan pengeluaran, sebagai tambahan kepada usaha merancakkan sektor pertanian ke arah aktiviti nilai tambah lebih tinggi serta mengguna pakai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bioteknologi dan teknologi relevan yang lain.

Najib berkata satu unit khas di bawah Jabatan Perdana Menteri akan menetapkan hala tuju dan menjana sistem Inovasi Negara serta dasar dan strategi inovasi untuk membolehkan Malaysia beralih kepada ekonomi berpendapatan tinggi. - Bernama

RMKe-10: Undang-undang kebankrapan dipermud

KUALA LUMPUR: Undang-undang kebankrapan akan dipermudah untuk menyokong budaya mengambil risiko terhitung, menghapuskan stigma kegagalan dan membenarkan usahawan berkaliber lagi wibawa yang gagal untuk kembali aktif.

Tingkat penyertaan wanita dalam jawatan tertinggi: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyarankan sektor swasta meningkatkan penyertaan wanita terutamanya dalam jawatan peringkat tertinggi seperti Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah.
Membuat gesaan itu ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata langkah akan diambil untuk meningkatkan penyertaan wanita di pelbagai peringkat dalam sektor awam dan swasta, termasuk bidang keusahawanan.
"Undang-undang dan peraturan berkaitan sedia ada akan disesuaikan bagi mendorong penyertaan lebih besar daripada wanita.
"Kata orang, tangan yang menghayun buai itu mampu menggegar dunia. Status wanita dalam sesebuah masyarakat itu merupakan ukuran penting sama ada negara itu dinamik serta progresif.

"Wanita adalah batu asas keluarga yang sejahtera dan tunjang kepada negara yang berjaya," katanya.

Golongan belia juga mendapat perhatian dalam RMKe-10 apabila Najib mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkemaskan sistem penyampaian program pembangunan belia sedia ada bagi memastikan generasi muda lebih produktif dalam pembangunan sosio-ekonomi negara, terutama melalui aktiviti persatuan dan sukarelawan.

"Kerajaan akan bersifat akomodatif terhadap aspirasi mereka sebagai segmen terbesar warga negara.
"Kita akan menjadi pendengar dan rakan kongsi yang lebih baik serta kondusif. Idealisme, idea dan tenaga mereka amat diperlukan negara untuk merealisasikan masa depan yang lebih baik," katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan Putrajaya akan dijadikan lokasi tumpuan belia yang menyediakan ruang bagi mereka menjalankan aktiviti serta program bermanfaat dan bersesuaian.

Golongan warga emas turut tidak dilupakan dalam RMK10 apabila Najib mengumumkan tumpuan akan diberi kepada usaha meningkatkan infrastruktur yang lebih mesra warga emas, meningkatkan akses kepada kemudahan kesihatan yang mampu dibiayai, menyedia rumah perlindungan mencukupi dan mengukuhkan kewangan serta peluang pekerjaan untuk mereka.

Dianggarkan pada tahun 2020, terdapat 3.4 juta orang warga emas di negara ini.

"Kerajaan menyedari bahawa memanfaatkan warga emas adalah satu usaha yang bernilai. Golongan ini seharusnya diberi peluang untuk meghadapi penuaan yang aktif dan produktif," katanya.

Najib berkata, kerjasama antara kerajaan, badan bukan kerajaan dan pihak swasta perlu dipertingkatkan untuk membawa pembabitan aktif warga emas dalam aktiviti sosial dan ekonomi negara.

Kerajaan juga, katanya, komited untuk meningkatkan kesejahteraan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan menyediakan pelbagai peluang termasuk latihan kemahiran, pekerjaan serta keusahawanan.

"Lebih banyak kemudahan mesra OKU juga akan disediakan, terutamanya dari segi pengangkutan awam serta kemudahan di premis dan pembangunan. Tumpuan juga akan diberi kepada usaha untuk mengarusperdana OKU ke dalam masyarakat supaya mereka boleh berdikari, produktif dan menjadi penyumbang yang dihargai dalam pembangunan," katanya. - BERNAMA

5 teras strategik jayakan RMKe-10: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini menggariskan lima teras strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020.

Bagi menuju ke arah itu, Perdana Menteri berkata Malaysia perlu merangka pendekatan baru yang mengutamakan modal insan berkualiti, inovasi dan kreativiti serta kerajaan bertindak umpama sebuah syarikat yang berdaya saing. Ketika membentangkan RMKe-10 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada struktur kos rendah untuk berdaya saing memandangkan arus globalisasi dan liberalisasi mewujudkan persaingan sengit dengan negara seperti China, India, Brazil, Rusia malah negara jiran.

Teras pertama, kata Najib ialah menggubah falsafah dan pendekatan kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia dengan metodologi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Prestasi Petunjuk Utama (KPI).

Kedua ialah dengan mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi manakala teras ketiga dengan menuju ke arah pembangunan sosioekonomi secara inklusif.

Teras keempat dan kelima ialah membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia serta mewujudkan persekitaran kondusif ke arah mempertingkatkan kualiti hidup.
RMKe-10 bertemakan "Rancangan Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial", memperuntukkan RM230 bilion bagi perbelanjaan pembangunan bagi tempoh lima tahun berkenaan.

Dalam pembentangan yang mengambil masa kira-kira satu jam 40 minit itu, Najib berkata bagi mentransformasikan negara ke arah mencapai Wawasan 2020, RMKe-10 digagaskan daripada 10 idea, antaranya memacu ekonomi domestik dengan kepekaan persekitaran luar negara.

Selain itu ialah dengan menjayakan pertumbuhan diterajui oleh produktiviti dan inovasi, memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan unggul serta menjadikan kerajaan umpama syarikat yang berdaya saing.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata RMKe-10 dirangka dengan pelbagai pendekatan baru dalam perjalanan menuju ekonomi berpendapatan dan berproduktiviti tinggi sesuai dengan Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan.

Dalam rancangan itu, beliau berkata Pendapatan Negara Kasar per kapita telah disasar untuk meningkat kepada RM38,850 atau US$12,140 pada tahun 2015.

"Ini memerlukan KDNK sebenar berkembang pada kadar enam peratus setahun. Pertumbuhan akan diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan di samping menggiatkan semula sektor pertanian yang bernilai tambah tinggi serta penyerapan kaedah ICTm bioteknologi serta pelantar teknologi yang berkaitan," katanya.

Najib berkata dalam RMK-10, kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan infrastruktur bukan fizikal termasuk pembangunan modal insan seperti pembangunan kemahiran serta keupayaan inovasi yang lebih mantap.

Dalam pada itu, katanya peruntukan RMK-10 bagi infrastruktur bukan fizikal telah meningkat kepada 40 peratus berbanding 21.8 peratus dalam RMKe-9.

"Tumpuan akan diberikan kepada program pembangunan kemahiran dan juga aktiviti R&D dan modal teroka ke arah memupuk tahap inovasi negara yang lebih memberangsangkan," katanya.

Beliau berkata pendekatan itu juga adalah selaras dengan usaha menggalakkan sektor swasta untuk turut serta melabur dalam infrastruktur fizikal dan juga menyediakan perkhidmatan seperti latihan kemahiran.

"Menyokong hasrat ini, kerajaan akan menyumbar pelaksanaan perolehan perkhidmatan kepada sektor swasta. Maksudnya sektor swasta akan bersaing untuk menawarkan perkhidmatan latihan kemahiran pada kos yang kompetitif," katanya.

Perdana Menteri berkata RMKe-10 juga akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah dengan Bumiputera merupakan bilangan terbesar iaitu 73 peratus daripada 2.4 juta isi rumah dalam kumpulan itu.

Katanya sebagai langkah meningkatkan daya saing dan kecekapan pasaran serta memastikan penggunaan sumber yang lebih optimal, kawalan harga dan subsidi perlu dirasionalkan secara berperingkat untuk menghapuskan penyelewengan pasaran dan penyelewengan.

"Bagaimanapun, keputusan pengurangan subsidi akan dilaksanakan setelah mengambil kira maklum balas dan merundingi rakyat.

"Di atas segalanya, saya memberi jaminan dalam usaha mengurangkan subsidi, golongan berpendapatan rendah dan mereka yang paling memerlukan akan terus diberi bantuan untuk meringankan impak pengurangan subsidi ke atas kos sara hidup masing-masing," katanya.

Selaras dengan pendekatan utama yang diberi kepada NKEA "Greater Kuala Lumpur", beliau berkata kerajaan akan memperkemas lagi juraian dan rangkaian perhubungan awam di Kuala Lumpur dengan pelaksanaan projek mega "Mass Rapid Transit" berkapasiti tinggi.

Beliau percaya projek itu adalah satu lagi ikon kepada ibu negara Malaysia dan akan memberi impak yang meluas dan meliputi rangkaian perniagaan berkaitan.

"Apabila siap kelak, sistem yang bersepadu ini dijangka meliputi kawasan dalam lingkungan 20km dari pusat bandar dan melibatkan pembinaan landasan sepanjang lebih kurang 150km yang membolehkan dua juta perjalanan sehari berbanding dengan 480,000 perjalanan bagi sistem pengangkutan bandar masa kini," katanya.

Perdana Menteri berkata agenda pembangunan Bumiputera akan terus diberi penekanan selaras dengan konsep pertumbuhan dengan pengagihan dalam rancangan berkenaan.

Najib berkata mulai RMKe-10, pelaksanaan program dan projek secara pelan berpusingan akan diperkenalkan.

Melalui pendekatan itu, beliau berkata peruntukan program dan projek pembangunan akan dibuat untuk setiap dua tahun bermula dengan 2011-2012.
Beliau berkata pendekatan itu membolehkan komitmen dibuat berdasarkan keupayaan kewangan semasa kerajaan dan memberi fleksibiliti kepada kerajaan untuk mengambil kira keutamaan baru sesuai dengan perubahan persekitaran ekonomi domestik atau global.

"Senarai terperinci program dan projek bagi pelan pusingan pertama ini akan dikeluarkan pada akhir Ogos 2010. Bagi melaksanakan program pembangunan RMK-10, kerajaan akan menyediakan siling peruntukan sebanyak RM230 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

"Untuk tujuan ini, sebanyak 55 peratus akan diagihkan kepada sektor ekonomi, 30 peratus kepada sektor sosial, 10 peratus kepada sektor keselamatan dan lima peratus kepada sektor pentadbiran am," katanya.

Dengan merujuk semangat Piala Dunia yang akan bermula esok, Perdana Menteri berkata rakyat negara ini bolehlah mengiaskan kejayaan untuk merealisasikan sebuah negara Malaysia yang maju dengan rakyat berpendapatan tinggi kepada analogi sebuah pasukan bola yang berjaya.

"Bagi sebuah pasukan bola, untuk berjaya, kesemua pemain daripada pasukan tersebut tanpa mengira posisi, perlu bekerjasama serta bermain sebagai satu pasukan.

"Jika tidak, mereka bukan sahaja tidak mungkin menang malahan boleh kalah teruk. Setiap pemain bermula daripada penjaga gol, pemain pertahanan, pemain tengah dan penyerang adalah sama pentingnya.

"Bagaimana hebat pun pemain secara individu namun mereka hanya akan menggondol kemenangan sebenar secara berpasukan. Oleh itu, setiap aset pasukan adalah berharga dan perlu dioptimumkan potensina bagi mencapai kejayaan," katanya. - Bernama

RMKe-10: Intipati ucapan pembentangan PM

*Pelaksanaan projek mega Mass Rapid Transit berkapasiti tinggi di Greater Kuala Lumpur meliputi kawasan dalam lingkungan 20 km dari pusat bandar dan melibatkan pembinaan landasan lebih kurang 150 km yang membolehkan dua juta perjalanan penumpang sehari berbanding dengan 480,000 perjalanan penumpang sistem pengangkutan bandar masa kini.
*Meningkatkan peratus penggunaan pengangkutan awam dengan ketara di Greater Kuala Lumpur daripada 12 peratus pada tahun 2009 kepada 30 peratus pada tahun 2015.
*Sistem pengangkutan awam darat akan diperluaskan kepada bandar raya lain, iaitu sistem Bas Rapid Transit akan diperkenalkan di Wilayah Iskandar, Johor, dan jumlah bas awam akan ditambah sebanyak 200 di Pulau Pinang untuk menampung 26 laluan dengan penambahan kapasiti sebanyak 75,000 penumpang sehari.
*Pembinaan lapan hospital, termasuk hospital-hospital pakar, 197 buah klinik dan juga tambahan 50 klinik 1Malaysia akan disiapkan dalam tempoh separuh pertama RMKe-10.

*78,000 buah rumah mampu milik akan dibina di bawah RMKe-10.

*Dana RM500 juta bagi membiayai kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan rumah mampu milik awam mahupun swasta berdasarkan perkongsian 50-50 kerajaan dengan pengurusan atau persatuan penduduk rumah berkenaan.

RMKe-10: Intipati ucapan pembentangan PM

*Dasar penggajian pekerja asing akan diperkemas dengan kadar levi berbeza mengikut nisbah pekerja asing kepada jumlah pekerja dalam syarikat dan berbeza mengikut tahap kemahiran. Kadar yang lebih tinggi akan dikenakan bagi pekerja kurang mahir dan akan akan ditingkatkan setiap tahun.
*Talent Corporation akan ditubuhan oleh kerajaan bagi menarik dan mengekal modal insan berkemahiran yang diperlukan termasuk rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi.
*Talent Corporation akan menyediakan Rangka Tindakan Modal Insan Berkemahiran dengan kerjasama sektor awam dan swasta dan menjadi pusat sehenti bagi memudahkan urusan dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, termasuk urusan imigresen bagi kemasukan tenaga kerja mahir ke Malaysia.
*Perancangan strategik dan terurus bagi mewujudkan kawasan bandar mampat dan efisien dan suasana kehidupan yang menarik dan nyaman.

*Pembinaan sepanjang 6,300 kilometer jalan berturap di Semenanjung Malaysia, 2,500 kilometer di Sabah dan 2,800 kilometer di Sarawak yang akan memberi faedah kepada 3.3 juta penduduk.

*Liputan bekalan air luar bandar yang lebih berkualiti dengan sasaran liputan sebanyak 99 peratus di Semenanjung Malaysia, 98 peratus di Sabah dan 95 peratus di Sarawak.

*Kemudahan elektrik di kawasan luar bandar akan diperluaskan untuk meliputi penyambungan bekalannya ke 6,000 buah rumah di Semenanjung Malaysia, 59,000 di Sabah dan 76,000 di Sarawak.

RMKe-10: RM230 bilion bagi perbelanjaan pembangunan

KUALA LUMPUR: Bagi melaksanakan program pembangunan RMKe-10, kerajaan akan menyediakan siling peruntukan sebanyak RM230 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Untuk tujuan ini, sebanyak 55 peratus akan diagihkan kepada sektor ekonomi, 30 peratus kepada sektor sosial, 10 peratus kepada sektor keselamatan dan 5 peratus kepada sektor pentadbiran am.

RMKe-10: Intipati ucapan pembentangan PM

*Fokus kepada meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah di mana Bumiputera merupakan bilangan terbesar, iaitu 73 peratus daripada 2.4 juta isi rumah dalam kumpulan ini.

*Subsidi dirasionalkan secara berperingkat, golongan berpendapatan rendah dan mereka yang paling memerlukan akan terus diberi bantuan. *Pelaksanaan pelbagai program ekonomi dan penyediaan kemudahan asas kepada golongan terpinggir yang tinggal di kawasan pedalaman, terutamanya yang mendiami rumah panjang di Sabah dan Sarawak, serta Orang Asli dan pekerja di estet di Semenanjung Malaysia.

*Peruntukan RM109 juta untuk sambungan bekalan air ke 182 estet yang mempunyai keluasan 1,000 ekar (400 hektar) atau kurang dan terletak tidak melebihi lima kilometer dari paip utama.

*Kemudahan pinjaman AIM dan TEKUN akan disediakan dalam usaha menangani kemiskinan bandar dan akan dipakej bersama dengan latihan keusahawanan.

*Dana RM100 juta untuk pinjaman mudah bagi 280,000 isirumah kampung baru Cina membayar premium tanah bagi perlanjutan tempoh pajakan melalui Bank Simpanan Nasional.

RMKe-10: Intipati ucapan pembentangan PM

*Sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera dan ekonomi di peringkat makro kekal.
*Lima inisiatif strategik memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera:
Pertama: Meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera melalui penginstitusian. Kedua: Mempertingkatkan pemilikan hartanah Bumiputera.
Ketiga: Menambah baik program pembangunan kemahiran dan keusahawanan serta pembiayaan melalui pelbagai agensi pembangunan Bumiputera.
Keempat: Membangunkan guna tenaga profesional Bumiputera secara lebih tuntas.
Kelima: Menubuhkan satu majlis peringkat tertinggi untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda pembangunan Bumiputera.

RMKe-10: Intipati ucapan pembentangan PM

*Bekalan tenaga akan terus diperkukuh ke arah mewujudkan pasaran yang lebih kompetitif dan mengurangkan tanggungan subsidi tenaga secara berperingkat.
*Beberapa bandar raya akan dijadikan destinasi tarikan baru kepada pelabur dalam industri berteknologi tinggi serta tenaga kerja berbakat dan berpengetahuan.
*Kerajaan akan tambah RM3 bilion lagi menjadikan jumlah Skim Jaminan Modal Kerja kepada RM10 bilion bagi enterpris kecil dan sederhana (SME) mendapat akses kemudahan pembiayaan.
*Kerajaan sedang mengkaji untuk mempertingkatkan lagi sumber kewangan SME dan Agro Bank.

RMKe-10: Intipati ucapan pembentangan PM

*Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi akan meliputi bandar-bandar besar, kawasan pertumbuhan ekonomi utama dan kawasan industri, liputan jalur lebar ke kawasan pinggiran bandar dan luar bandar dan prasarana tanpa wayar dengan pakej mampu langgan bagi penduduk di luar bandar.
*Lebuhraya Pantai Timur dari Kuantan ke Kuala Terengganu akan disiapkan dalam tempoh RMKe-10 kos RM3.7 bilion dan akan dihubungkan ke Pelabuhan Kuantan yang akan dinaik taraf.
*Projek membina landasan elektrik berkembar dari Gemas ke Johor Bahru, dengan kos anggaran RM8 bilion akan dilaksanakan sebagai pelengkap kepada sistem landasan elektrik berkembar dari Padang Besar di utara ke Johor Baharu di selatan.
*Loji rawatan kumbahan yang menggunakan teknologi hijau di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, akan diperluaskan ke seluruh negara.

RMKe-10: Intipati ucapan pembentangan PM

*Dana berjumlah RM20 bilion akan disediakan melalui Dana Mudahcara atau “Facilitation Fund“ bagi memudahkan sektor swasta membiayai projek perkongsian awam-swasta.
*Melalui Dana Mudahcara, kerajaan anggar menarik pelaburan swasta sekurang-kurangnya RM200 bilion; Antara projek yang dipertimbangkan ialah penambakan tanah di Westport, Pelabuhan Klang, Pembangunan Malaysia Truly Asia Centre di Kuala Lumpur dan Taman Teknologi Tinggi Senai di Iskandar Malaysia, Johor.
*Sebuah unit khas ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memandu dan mengarah keberkesanan sistem inovasi negara serta program pembangunan inovasi sedia ada.
*Pembiayaan kerajaan kepada syarikat modal teroka awam akan berbentuk ekuiti dan bukan pinjaman.

*Dana Inovasi Mudharabah (MIF) dengan peruntukan sebanyak RM500 juta akan diperkenal bagi menyediakan modal berisiko kepada syarikat modal teroka kerajaan.

*Dana Perkembangan Perniagaan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM150 juta akan ditubuhkan bagi merapatkan jurang pembiayaan antara pengkomersilan peringkat awal dan pembiayaan modal teroka bagi produk berteknologi tinggi.

*Undang-undang kebankrapan akan dipermudah untuk menyokong budaya mengambil risiko terhitung, menghapuskan stigma kegagalan dan membenarkan usahawan berkaliber lagi wibawa yang gagal untuk kembali aktif.

RMKe-10: Sekolah Amanah akan diperkenalkan

KUALA LUMPUR: Sekolah Amanah atau Trust Schools akan diperkenalkan untuk memudah cara perkongsian awam swasta dalam pengurusan sekolah kerajaan yang terpilih.
Sekolah terbabit akan diberi autonomi oleh kerajaan dan dengan itu dipertanggungjawabkan bagi meningkatkan prestasi pelajar.
Autonomi yang akan diberikan termasuk keanjalan untuk mengubah suai kurikulum pembelajaran, menggunakan peruntukan mengikut keperluan, memberi insentif kepada guru mengikut tahap prestasi serta memilih guru dan staf sokongan.

RMKe-10: Undang-undang kebankrapan dipermudah

KUALA LUMPUR: Undang-undang kebankrapan akan dipermudah untuk menyokong budaya mengambil risiko terhitung, menghapuskan stigma kegagalan dan membenarkan usahawan berkaliber lagi wibawa yang gagal untuk kembali aktif. 

RMKe-10: 52 projek berimpak tinggi bernilai RM63 bilion diwujudkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewujudkan 52 projek berimpak tinggi bernilai RM63 bilion, antaranya 7 lebuh raya (RM15 billion), janakuasa arang batu (RM10 billion) dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10).

RMKe-10: Intipati ucapan pembentangan PM

*Satu unit khas, iaitu Unit Transformasi Ekonomi, akan ditubuhkan untuk merancang, menyelaras pelaksanaan dan pembangunan NKEA.

*Suruhanjaya Persaingan dan Tribunal Rayuan akan ditubuhkan untuk memastikan pelaksanaan undang-undang lebih teratur dan berkesan.
* Kerajaan terus berusaha untuk meletakkan Malaysia di lima tangga terbaik negara paling kompetitif di dunia.

RMKe-10: Intipati ucapan pembentangan PM

*Peruntukan RMKe-10 bagi infrastruktur bukan fizikal meningkat kepada 40 peratus, berbanding 21.8 peratus dalam RMK9, tumpuan diberikan kepada program pembangunan kemahiran, aktiviti R&D dan modal teroka.
*Sebuah institusi perkhidmatan awam bertaraf dunia akan diwujudkan untuk meningkatkan kompetensi penjawat awam. * Tumpuan kepada 12 bidang ekonomi utama negara (NKEA) akan diumumkan Oktober nanti:
(i) Minyak dan gas
(ii) Minyak sawit dan produk berkaitan
(iii) Perkhidmatan kewangan
(iv) Pemborongan dan peruncitan
(v) Pelancongan
(vi) Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)
(vii) Perkhidmatan Pendidikan (viii) Elektrik dan elektronik
(ix) Perkhidmatan perniagaan
(x) Penjagaan kesihatan swasta
(xi) Pertanian
(xii) Greater Kuala Lumpur

Sekatan ke atas Gaza tidak akan ditarik balik: Israel

JERUSALEM: Israel tidak akan menarik balik sekatan terhadap Semenanjung Gaza kecuali Hamas membenarkan Palang Merah melawat askarnya yang ditangkap pada 2006, kata Menteri Luarnya, Avigdor Lieberman.
“Kita perlu jelaskan bahawa syarat paling minimum untuk menarik balik sekatan terhadap Gaza ialah membenarkan Palang Merah mengunjungi Gilad Shalit,” Avigdor," kata Lieberman dalam satu kenyataan yang meruju kepada tentera berusia 23 tahun yang ditawan Hamas itu.
“Selagi syarat itu tidak dipenuhi, tiada sebab kami akan menukar situasi itu (sekatan)," katanya.
Israel kini dikutuk antarabangsa kerana mengenakan sekatan terhadap Gaza sehingga semua bentuk bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin tidak dibenar memasuki Gaza sama sekali.

Sekatan itu dilakukan Israel apabila Shalit ditangkap Hamas serta beberapa lagi militan dalam satu operasi pada Jun 2006 lalu dan sekatan itu diperluaskan lagi sejak Hamas memperoleh kuasa di Gaza setahun kemudian. - AFP