Followers

Tuesday, August 31, 2010

Hayati kemerdekaan, jadikannya milik kekal: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu pelajar menghayati dan memahami erti kemerdekaan dengan penuh keinsafan agar mereka mampu menggalas tanggungjawab dalam menjadikan kemerdekaan milik selama-lamanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dalam perutusannya sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-53 hari ini, mahu warga pendidik dan murid-murid bersatu hati serta berusaha mengekalkan kemerdekaan demi kemakmuran dan kegemilangan negara, tanpa mengira kaum dan warna kulit dan dengan semangat perpaduan jitu.
Katanya, perjuangan dan pengorbanan tokoh dan pemimpin terdahulu seperti Panglima Rentap, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambanthan wajar dihargai dan dihayati.
Muhyiddin berkata, keberanian dan kecekalan tokoh pejuang kemerdekaan itu wajar dihayati dan dihargai kerana sifat kepahlawanan mereka telah membawa kebebasan hari ini untuk mencorakkan masa depan negara tercinta.

"Telah tiba masanya untuk kita pula menyambung perjuangan mereka dalam mengekalkan keamanan dan kemerdekaan negara. Kita juga perlu mempertahankan kedaulatan tanah air kita ini dengan sebaik mungkin agar anak-anak dan generasi seterusnya akan turut dapat mengecapi kebebasan seperti mana yang kita miliki sekarang.

"Janganlah nanti kita pula yang menjadi penyebab kehilangan kebebasan ini untuk dinikmati oleh generasi masa hadapan," katanya.

Muhyiddin berkata warga pendidik dan para pelajar harus bersyukur kerana negara tidak lagi dijajah sebagaimana dahulu dan berupaya menentukan pentadbiran negara sendiri.
Namun, katanya jika tidak berhati-hati dan asyik bertelagah, keharmonian dan kebebasan yang dinikmati pada hari ini tentunya tidak akan bertahan lama.

"Maka saya amat mengharapkan agar murid-murid sekalian selaku bakal pemimpin di masa hadapan dapat terus bersatu padu demi menjaga warisan kemerdekaan negara kita," katanya.

Beliau berkata, Gagasan 1Malaysia yang digerakkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah satu usaha bersepadu bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan latar belakang.

"Sejarah telah membuktikan bahawa perpaduan amat penting dalam usaha mengekalkan keamanan kerana apabila tidak ada semangat bersatu padu, bukan sahaja negara, bahkan tamadun hebat turut musnah sebagaimana terjadi kepada tamadun Islam Uthmaniah di Turki dan Dinasti Ming di China," katanya.

Muhyiddin berkata, dasar baru yang diperkenalkan kementerian serta pelbagai program dan aktiviti dijalankan, menjurus kepada usaha memupuk perpaduan di kalangan para pelajar sejak di peringkat awal persekolahan lagi.

"Saya percaya murid-murid daripada pelbagai kaum dan latar belakang tidak menghadapi masalah untuk belajar bersama-sama di dalam satu bilik darjah, bersama-sama menyertai acara sukan dan kokurikulum, serta bersama-sama menyokong pasukan rumah masing-masing tanpa mengira perbezaan warna kulit," katanya.

Beliau berkata, pembabitan pelajar pelbagai kaum dalam aktiviti berkenaan memberi ruang cukup luas kepada mereka untuk berinteraksi secara langsung dan seterusnya mewujudkan persefahaman di antara mereka.

"Perpaduan sebenarnya telah pun terjalin di kalangan murid-murid melalui aktiviti-aktiviti ini secara tidak langsung dan tanpa kita sedari. Inilah yang perlu terus dipupuk dan dijaga dengan sebaik mungkin kerana murid-murid merupakan bakal pemimpin negara satu hari nanti," katanya.

Muhyiddin berkata, pihak sekolah dan guru perlulah menggunakan kebijaksanaan serta lebih kreatif dalam menyusun aktiviti di dalam dan luar bilik darjah, serta menjurus kepada penglibatan semua murid agar matlamat untuk pemupukan perpaduan dapat dicapai. - BERNAMA

22 pasangan kekasih dicekup JAIS malam merdeka

SHAH ALAM: Seramai 22 pasangan kekasih dipercayai berkhalwat ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam "Operasi Sayang" sempena sambutan ambang Merdeka ke-53 malam tadi dan awal pagi ini.

Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Nurhamizah Othman, berkata semua pasangan itu ditahan di beberapa hotel bajet sekitar Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya sepanjang operasi yang bermula pada 11 malam tadi hingga 4 pagi ini.
Beliau berkata, pelbagai taktik licik dikesan cuba digunakan pasangan kekasih bagi mengelakkan mereka daripada ditangkap seperti mendaftar masuk ke hotel atas nama masing-masing tetapi hanya menggunakan sebuah bilik.
"Curiga dengan tindakan itu, pihak kami pada mulanya pergi ke sebuah bilik yang didaftar namun tiada orang di dalamnya sebelum menyerbu ke sebuah bilik lagi.

"Di bilik itu, anggota JAIS yang terpaksa memecah masuk setelah pintu tidak dibuka mendapati ada seorang lelaki dan wanita yang bukan muhrim berada di dalamnya," katanya.

Selain pasangan itu, Nurhamizah berkata terdapat seorang wanita yang disyaki berkhalwat dengan lelaki bukan Islam menggunakan nama kekasihnya dalam buku pendaftaran bilik sewa hotel bagi mengaburi JAIS.

Katanya, semua pasangan berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun itu dibawa ke ibu pejabat JAIS di sini untuk diambil keterangan dan diikat jamin sebelum dibebaskan.
Beliau berkata, pasangan yang disyaki berkhalwat itu akan didakwa mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, katanya lelaki bukan Islam itu tidak akan didakwa oleh JAIS. - BERNAMA

Rumah rakyat Malaysia di Kalimantan Barat dilempar batu

JAKARTA: Rumah seorang jurutera Malaysia telah dilempari batu besar dalam tindakan usir atau "sweeping rakyat Malaysia" oleh sekumpulan lima lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di daerah Ketapang, Kalimantan Barat, Ahad lalu.

Difahamkan dalam insiden 2 petang itu, kumpulan lelaki berkenaan yang memakai pelekat di baju dengan tulisan "Ganyang Malaysia" telah membaling seketul batu besar ke arah jurutera berkenaan yang ketika itu membuka pintu untuk meninjau keadaan setelah mendengar bunyi bising di luar rumah.
Mereka menjeritkan kata-kata "You Malaysia balik!"
Jurutera berusia 60 tahun itu bagaimanapun sempat menutup pintu banglonya sebelum batu berkenaan menghentam pintu tersebut.

Beberapa anggota polis yang menyedari kejadian itu berjaya menghalang kumpulan lelaki berkenaan daripada memanjat pagar rumah tersebut untuk masuk dan
melakukan tindakan lebih ganas.

Akibat kejadian itu, jurutera berkenaan kini dalam keadaan trauma dan telah meminta pihak syarikatnya membenarkan beliau pulang ke Malaysia lebih awal daripada jadual tugasnya di sana.
Semasa kejadian, beliau tinggal bersendirian di rumah itu kerana isterinya sudah dihantar pulang Malaysia.

Pihak syarikat ladang berkenaan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Pihak polis dikatakan telah mengenal pasti mereka yang terbabit dalam insiden itu, namun belum ada sebarang maklumat bahawa mereka telah ditahan.

Difahamkan kumpulan lelaki itu telah mencari rakyat Malaysia di ladang berkenaan sejak Sabtu lalu dalam aksi sweeping mereka, tetapi hanya menemui jurutera itu pada hari Ahad. - BERNAMA

Sambutan kemerdekaan tetap meriah tanpa perarakan

KUALA LUMPUR: Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-53 peringkat nasional meriah dan mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya diadakan di ruang tertutup di Stadium Putra di Bukit Jalil.

Stadium yang sering kali menjadi tumpuan acara sukan, pelbagai konsert hiburan dan acara pertandingan berprestij seperti Anugerah Juara Lagu, hari ini bertukar wajah apabila dilimpahi dengan warna-warni semangat 1Malaysia.
Bertemakan "1Malaysia Menjana Transformasi", sambutan Hari Kemerdekaan kali ini memuatkan pengisian agenda yang berbeza dari tahun sebelum ini apabila tiada acara perbarisan dan perarakan.
Tampil segak, berwajah segar serta bersemangat waja, lebih 10,000 orang hadir bersama keluarga masing-masing dengan menggenggam erat Jalur Gemilang untuk dikibarkan pada acara kemuncak sambutan.

Acara sambutan bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, tepat jam 8 pagi diikuti dengan tiupan nafiri.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, serta Menteri Kabinet tiba lengkap berbusana batik 1Malaysia selain duta-duta asing dan pemimpin parti politik.

Ketibaan tetamu kehormat disambut lambaian dan sorakan kira-kira 940 kontinjen pelambai yang berbaris di sepanjang jalan yang terdiri daripada 500 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan 440 pelajar Unit Diploma Pengurusan Awam, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).
Sebaik tiba, Seri Paduka mengambil tabik hormat sebelum lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Regimen Askar Melayu Diraja.

Tuanku Mizan kemudian memeriksa kawalan kehormat utama yang terdiri daripada empat pegawai dan 107 anggota Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Mejar Ahmad Muzaimi Mohd Ali.

Majlis diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang serentak dengan nyanyian lagu Negaraku dan tembakan meriam sebanyak 14 das, dan kemudian diikuti dengan bacaan ikrar oleh 53 orang terdiri daripada wakil pendidik, perkhidmatan awam, swasta, perbadanan bukan kerajaan, seni dan budaya serta orang kurang upaya dari pelbagai kaum, diketuai oleh Pegawai Ko-Kurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Gombak Mohd Faizullah Buyong.

Semangat patriotik mula menyelubungi seluruh stadium apabila kata keramat Merdeka dilaungkan sebanyak tujuh kali diikuti dengan laungan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang turut dilaungkan dengan penuh semangat oleh orang ramai yang memenuhi stadium.

Suasana kemudiannya bertukar lebih meriah apabila Persembahan Khas 1Malaysia yang mengandungi lapan segmen ditampilkan dalam bentuk penceritaan menerusi elemen penataan cahaya, kumpulan koir, kumpulan bicara berirama, penggunaan laser di lantai serta pergerakan formasi unik dan kreatif oleh kumpulan persembahan arena yang membentuk mesej 1Malaysia.

Bermatlamatkan mengimbau kembali perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan terdahulu, segmen pertama iaitu Gagasan 1Malaysia membawa tetamu kehormat dan orang ramai menonton antaranya potret bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra, Yang di-Pertuan Agong pertama hingga ke-13 serta Perdana Menteri pertama hingga kini menerusi paparan visual yang disediakan.

Arena stadium kemudian mula dibanjiri seramai 1,640 peserta terdiri daripada kumpulan persembahan yang membentuk pergerakan formasi penceritaan, juga dibantu kumpulan bicara berirama serta kumpulan koir menerusi segmen kedua iaitu Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Segmen itu mengisahkan mengenai RMK-10 yang antara lain menekankan bidang pendidikan sebagai satu daripada agenda utama ke arah membangunkan insan bertaraf dunia.

Keasyikan penonton semakin terasa menerusi segmen seterusnya seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Kreatif dan Inovatif, Model Baru Ekonomi, Kejayaan Negara, dan Kepantasan Bertindak di mana pengisiannya bukan saja bermesejkan 1Malaysia malah menjelaskan rancangan dan transformasi kerajaan berdasarkan pada pergerakan formasi manusia, visual, kumpulan koir dan kumpulan bicara berirama yang dipersembahkan.

Paling mencuri tumpuan ialah drama aksi terjunan dari Unit Lawan Keganasan yang cuba menyelamatkan tebusan menerusi segmen Kepantasan Bertindak.

Dalam segmen tersebut turut dipersembahkan Tempur Tanpa Senjata, Gerak Para, Kawad Senyap dan Aksi Komando dari pasukan anggota keselamatan negara.

Konsep penceritaan persembahan kali ini bukan sahaja berpandukan pada pergerakan formasi manusia, penggunaan audio visual, penataan cahaya malah ketekunan dan ketangkasan kumpulan bicara berirama dan kumpulan koir dalam meningkatkan semangat patriotik di kalangan penonton yang hadir, jelas dapat dirasai.

Sebagai persembahan penutup, nyanyian lagu 1Malaysia, Joget Malaysia dan Jalur Gemilang oleh kumpulan koir dari penuntut Universiti Lim Kok Wing, Institut Pendidikan Guru (IPG), artis kebudayaan dan peserta persembahan menyemarakkan lagi suasana apabila kemerduan lagu patrotik itu disemarakkan lagi dengan laungan nyanyian oleh semua peserta persembahan yang terlibat dalam menjayakan acara sambutan kemerdekaan kali ini.

Sambutan yang berlangsung kira-kira 90 minit itu, dijayakan 8,727 kontinjen yang terdiri daripada jabatan dan institut dari Kementerian Pelajaran seperti Institut Pendidikan Guru, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dan Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutan.

Ia turut disertai oleh Pasukan Anggota Keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Kumpulan Sokka Gakkai Malaysia, pasukan PDRM tanpa uniform, Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dari setiap negeri, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Universiti Lim Kok Wing dan Intan.

Di MIRI, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng mengetuai sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 peringkat negeri yang diadakan di Stadium Tertutup Bandaraya Miri.

Acara dimulakan sebaik Salahuddin menerima tabik hormat daripada pasukan kawalan kehormat utama yang terdiri daripada 108 orang anggota dari Batalion ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di Kem Sri Miri.

Majlis turut diserikan dengan persembahan Simfoni Orkestra Negeri Sarawak, bacaan ikrar oleh wakil suku kaum Sarawak serta persembahan tarian Kasih Malaysia.

Lebih 5,000 orang menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan di stadium tertutup itu yang bermula jam 8.30 pagi ini.

Monday, August 30, 2010

Pihak berkuasa perlu ambil tindakan tegas behubung isu perkauman: TPM

PUTRAJAYA: Pihak berkuasa harus mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan sentimen perkauman agar ia tidak menimbulkan natijah yang buruk, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tindakan seumpama itu, tegas Timbalan Perdana Menteri, harus dilaksanakan secara berterusan walaupun mungkin ia sudah diambil sebelum ini.
"Kita tidak mahu rakyat berasa tidak selamat..jika perbuatan ini dbiarkan berleluasa, maka ia akan mencetuskan ketidakseimbangan dalam masyarakat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sumber Air Negara (MSAN) Kelima di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas video klip terbaru yang menyentuh isu perkaumanan oleh Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee.

Namewee yang berasal dari Muar, Johor, sebelum ini pernah menimbulkan kemarahan orang ramai apabila menghasilkan video klip yang menghina lagu kebangsaan, Negaraku.

Muhyiddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, juga telah menyatakan bahawa isu seumpama ini akan diberi perhatian serius.

"Pihak berkuasa telah diarahkan supaya mengambil tindakan yang serius dalam soal seperti ini, termasuk perbuatan yang mencemarkan bendera dan yang boleh mencetuskan perasaan bimbang di kalangan rakyat," katanya.
Ketika ditanya mengenai tindakan terhadap Namewee, beliau berkata tiada kompromi terhadap perkara yang bersangkut paut dengan keharmonian dan keamanan negara.

"Kalau ada yang beranggapan (perbuatan) itu tidak menerima tindakan atau kerajaan lambat bertindak atau memilih-milih, sebenarnya ia tidak begitu. Apa yang penting sekarang ialah tindakan tegas kerana kita tidak akan berkompromi dengan isu seperti ini," katanya.

Mengenai kenyataan berbaur perkauman oleh Pengetua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor, baru-baru ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata jawatankuasa khas yang menyiasat perkara itu telah menyerahkan laporan berkenaan.

Katanya, kes itu diserahkan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, untuk mengambil tindakan berdasarkan peraturan disiplin jabatan. - BERNAMA

Jangan biarkan isu perkauman hancurkan semua yang dibina: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata masyarakat tidak boleh membenarkan cara hidup rakyat Malaysia yang berpaksikan kepelbagaian dan kesederhanaan diasak oleh budaya kejumudan serta sikap melampau yang terjelma melalui isu perkauman serta agama.

"Segala apa yang kita capai, segala apa yang kita bina dan segala apa yang kita hargai, boleh hancur berkecai dan musnah dalam sekelip mata. Oleh itu, kita perlu menghargai keamanan, keharmonian dan kestabilan yang ada," kata Perdana Menteri dalam perutusannya sempena Hari Kemerdekaan ke-53 yang akan disambut esok.
Beliau berkata, sudah tiba giliran generasi sekarang untuk menerajui Malaysia ke peringkat kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi.
Perdana Menteri berkata, cabaran sebenar rakyat Malaysia hari ini adalah untuk mentransformasikan negara supaya menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Ke arah itu, katanya, kerajaan telah memasakkan asas yang kukuh dalam bentuk pelan transformasi kerajaan (GTP) dan pelan transformasi ekonomi (ETP) sebagai pelan hala tuju yang jelas ke arah matlamat mulia tersebut.

Najib berkata, kejayaan mengubah Malaysia daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian berpendapatan sederhana, adalah hasil iltizam, perancangan dan kerja keras kerajaan bersama rakyat dengan berpegang kepada falsafah untuk sentiasa berada di hadapan keluk perubahan dan pembaharuan.

"Hasil perasaan tidak mahu berpuas hati terhadap status quo sedia ada dan kesanggupan berubah, pendahulu kita telah membawa Malaysia ke arah mencapai kejayaan demi kejayaan sebagai sebuah negara.
"Hari ini tibalah giliran generasi kita untuk menerajui Malaysia ke peringkat kemajuan dan kemakmuran yang lebih tinggi. Persoalannya, beranikah kita untuk memecah tradisi bagi mencapai hasil yang melampaui kebiasaan," katanya.

Menyingkap perjuangan tokoh ternama negara, Najib berkata bapa kepimpinan negara tidak pernah berpuas hati untuk menerima keadaan seadanya walau sebesar manapun cabaran yang melanda.

"Mereka sentiasa mendambakan dan berusaha ke arah mencipta masa depan yang lebih baik untuk negara dan rakyat," katanya.

Perdana Menteri berkata, setiap seorang anak Malaysia adalah penting dan berkemampuan menyumbang kepada penciptaan kemakmuran dan kesejahteraan nasional dan sudah tiba masanya untuk memanfaatkan sepenuhnya bakat-bakat tempatan yang ada.

"Alangkah ruginya negara jika bakat-bakat yang kita latih dengan segala susah payah, berhijrah bagi mencari padang yang lebih subur, hanya dek kegagalan kita mengadakan persekitaran terbaik untuk mereka menyumbang.

"Ini kerana fenomena globalisasi bukan sahaja menyaksikan pengaliran mudah modal dan teknologi merentas sempadan tetapi juga melibatkan pengaliran bebas modal insan," katanya.

Najib berkata, bagi mencapai matlamat masa depan yang lebih baik, Malaysia mestilah mengekalkan perpaduan nasional yang menjadi tonggak keamanan dan kestabilan selama ini.

Untuk itu, katanya, asas integrasi rakyat Malaysia perlu bersandarkan nilai-nilai yang dikongsi dan dipersetujui bersama oleh semua kaum seperti mana terkandung dalam ideologi kebangsaan yakni Rukun Negara dan termaktub dalam Perlembagaan persekutuan sebagai kontrak sosial nasional.

Najib turut mengingatkan rakyat bahawa kerajaan yang ada amat komited untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara dengan segala instrumen undang-undang dan kekuatan yang ada daripada ancaman dalam mahupun luaran.

"Ingatlah bahawa, Malaysia adalah tanah tumpah darah kita, di sini kita dilahirkan, di sini kita membesar, di sini kita mencari rezeki, di sini kita mencipta kebahagiaan dan di sinilah dengan takdir Tuhan, kita akan bersemadi," katanya.

Beliau menyeru warga Malaysia sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ini untuk sama-sama berganding bahu dengan satu tekad untuk menjadikan Malaysia negara yang terbaik.

"Demi masa depan anak-anak kita, kelangsungan Malaysia mesti dipertahankan. Janganlah yang elok menjadi retak, janganlah yang bersambung menjadi putus. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat," katanya. - BERNAMA

AS ucap tahniah kepada Malaysia sempena Hari Kemerdekaan

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) hari ini mengucapkan tahniah kepada Malaysia sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-53 esok.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kedutaan AS di sini, Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, berkata Amerika Syarikat berharap hubungan antara kedua-dua negara akan terus dipertingkat dan diperkukuhkan.
"Bagi pihak Presiden Obama dan rakyat Amerika Syarikat, saya mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia sempena Hari Kemerdekaan ke-53 pada 31 Ogos.
"Pertukaran dalam bidang pendidikan dan kebudayaan yang telah lama wujud telah membuahkan persefahaman erat antara rakyat Malaysia dan Amerika, dan kerjasama kita dalam ekonomi dan keselamatan menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara," katanya.

Sementara itu, kedutaan AS di sini akan ditutup sehari esok. Untuk kecemasan ia boleh dihubungi melalui talian 03-21685000. - BERNAMA

Isu di Indonesia tidak jejas pelaburan: Mustapa

KOTA BHARU: Tindakan segelintir rakyat Indonesia yang berdemonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta baru-baru ini sehingga sanggup membakar Jalur Gemilang dan melontar najis sama sekali tidak menjejas hubungan erat kedua-dua negara dan pelaburan sedia ada.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata apa yang berlaku hanya membabitkan segelintir rakyat negara itu yang langsung tidak ada kena mengena dengan dasar kerajaan dan aspirasi sebahagian besar rakyatnya.
"Hubungan kita dengan Indonesia sangat baik sekali dan saya dengan rakan sejawat di Indonesia sering mengadakan perbincangan setiap tiga bulan sekali lebih-lebih lagi kita dalam semangat ASEAN.
"Banyak syarikat besar Malaysia buat pelaburan di sana dan pelabur sama-sama menyumbang bagi kebaikan kedua-dua negara dan kita berharap isu itu langsung tidak mengganggu-gugat hubungan sedia ada," katanya selepas majlis bersahur bersama lebih 60 anak yatim di Pusat Jagaan Rohaniah di Taman Uda Murni di sini, hari ini.

Mustapa berkata, apa yang berlaku itu berkemungkinan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengeruhkan hubungan baik itu dan yakin mereka yang terbabit tidak akan berjaya berbuat demikian.

"Apa pun kita akan terus memupuk hubungan yang sangat baik ini dan kita berharap tidak ada lagi mana-mana pihak yang cuba menggugat hubungan ini," katanya. - BERNAMA

Sunday, August 29, 2010

Gempa bumi 5.2 skala Richter gegar Indonesia

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi berukuran 5.2 pada skala Richter menggegarkan wilayah Irian Barat pada jam 6.02 petang tadi.

Menurut satu kenyataan Jabatan Meteorologi, pusat gempa bumi itu berlaku di 654 km timur laut Ambon, Indonesia dan 1,726 km tenggara Kunak, Sabah.
Gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami, menurut kenyataan itu. - Bernama

Kapal penggerudi minyak pertama direka, dibina di Malaysia belayar dua hari lagi: Mokhzani

SITIAWAN: Kapal KM-1, iaitu kapal penggerudi minyak yang pertama direka dan dibina sepenuhnya di Malaysia akan memulakan pelayarannya dua hari lagi.
Ketua Eksekutif Kumpulan Kencana Petroleum Bhd, Datuk Mokhzani Mahathir, berkata kapal yang dibina dengan kos kira-kira AS$150 juta itu akan memulakan tugasnya untuk Petronas Carigali di perairan sabah.
Beliau berkata demikian pada sidang media di atas kapal itu di sini, pagi tadi.

Hasilkan video bangkit sentimen perkauman perlu dikenakan tindakan tegas: Rais

KUALA LUMPUR: Perbuatan menghasilkan video yang membangkitkan sentimen perkauman perlu dikenakan tindakan tegas supaya ia tidak menjadi amalan di kalangan rakyat negara ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, perbuatan seperti itu boleh dikategorikan sebagai perkara yang menyalahi seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Perbuatan seperti itu, katanya, tidak harus dilihat semata-mata sebagai kebiasaan, malah ia sangat menyedihkan kerana selepas sekian lama berjuang untuk mencapai kemerdekaan dan membina negara, sepatutnya masyarakat negara ini menjadi lebih matang.
"Apalah seronoknya bagi kita, misalnya memperkecil-kecilkan lagu Negaraku, mengubah senikatanya, menconteng wajah Yang di-Pertuan Agong atau membuat video seperti itu.

"Ini jelas merendahkan lagi martabat kita sebagai satu negara dan satu bangsa di bawah gagasan 1Malaysia," katanya ketika mengulas tindakan Wee Meng Cheng atau dikenali sebagai Namewee yang mengulangi perbuatan yang dianggap biadab dengan menerbitkan klip video yang boleh menyemarakkan api perkauman.

Terdahulu, Rais menyaksikan raptai penuh sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini yang berlangsung hampir dua jam.

Namewee, seorang pemuda dari Muar, Johor seperti mana yang disiarkan dalam laman web YouTube, membuat klip berbaur perkauman dengan merujuk kepada kes seorang guru yang dikatakan membuat kenyataan berbaur perkauman, antara lain mencerca guru berkenaan serta menyebut Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai kurang ajar.
Rais berkata, dalam hal ini, kementeriannya berharap Peguam Negara bertindak lebih tangkas bagi membendung perkara-perkara yang berunsur perkauman daripada terus berlaku.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama untuk menonton video itu dan menilainya secara objektif namun terserah kepada Jabatan Peguam Negara dan pihak penguatkuasaan sama ada tindakan undang-undang layak diambil.

"Kalau di Britain orang tak conteng muka Queen... kenapa kita di Malaysia suka sangat buat perkara seperti ini. Jadi, untuk mencegahnya undang-undang harus tegas," katanya. - Bernama

Indonesia digesa jaga kepentingan pelabur Malaysia: Mukhriz

KULIM: Kerajaan Indonesia diminta supaya menjaga kepentingan dan keselamatan pelabur Malaysia di negara tersebut seperti mana yang dilakukan oleh pihak Malaysia di negara ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata hubungan erat antara kedua-dua negara yang telah terjalin sekian lama perlu dijaga termasuk dalam soal ekonomi.
"Kita tidak mahu berlaku insiden-insiden yang mencemarkan perhubungan yang sentiasa baik itu,” katanya di sini, semalam.
Beliau tidak menolak kemungkinan tunjuk perasaan terhadap Malaysia di republik tersebut didalangi oleh pihak yang cemburu melihat hubungan erat antara kedua-dua negara.

“Kita tak mahu membuat spekulasi yang bukan-bukan tetapi kita yakin bahawa ada pihak yang cuba membuat (kacau) semata-mata untuk meleraikan pertalian baik kedua-dua negara,” katanya.

Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia dilempari dengan najis manusia Isnin lalu oleh sekumpulan penunjuk perasaan dari Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA). - Bernama

Demonstrasi boleh jejas hubungan Malaysia-Indonesia

JAKARTA: Demonstrasi baru-baru ini depan Kedutaan Besar Malaysia di sini oleh Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) nampaknya telah mengubah senario diplomasi hubungan dua hala Indonesia-Malaysia.

Pelemparan najis manusia di perkarangan kedutaan itu dan mengotorkan bendera Malaysia sebagai membantah penangkapan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia oleh Polis Marin Malaysia di perairan Riau, pada 13 Ogos itu nampaknya telah menjejas hubungan itu.
Kuala Lumpur berpendirian pegawai penguatkuasa berkenaan telah menceroboh perairan Malaysia dan menculik nelayan-nelayan Malaysia pada tarikh berkenaan.
Manakala, Jakarta pula mendakwa bahawa nelayan Malaysia menceroboh dan mencuri ikan di perairannya.

Sementara suasana baru mula panas di Malaysia, situasi di Indonesia sudah meningkat ke tahap mendesak diputuskan hubungan diplomatiknya dengan Malaysia.

Pensyarah Kanan bidang Hubungan Antarabangsa Universiti Indonesia, Andi Widjojanto, dan peneliti Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI), Ikrar Nusa Bhakti, misalnya sudah mencadangkan supaya Indonesia menurunkan tahap hubungan dengan Malaysia, jika tidak memutuskan terus hubungan itu, sebagai langkah terapi kejutan terhadap Malaysia.

Namun, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY), yang sering dipersalahkan masyarakat kerana tidak tegas menangani persoalan ini berkata, jalan terbaik menyelesaikannya ialah melalui perundingan namun Indonesia tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan wilayahnya.
Susilo sudah mengirim surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyatakan harapan supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan baik dan rundingan mengenai masalah perbatasan diteruskan.

Aktivis masyarakat yang tidak suka melihat hubungan baik Malaysia-Indonesia cepat menggunakan peluang daripada insiden ini untuk mencetuskan semangat nasionalisme dan menyalahkan SBY, yang didakwa terlalu mengalah dalam perundingan dengan Malaysia.

Ahli politik termasuk menteri kabinet Indonesia cepat menyalahkan Malaysia kerana insiden Riau itu, yang diburukkan lagi dengan laporan media yang menggambarkan Malaysia sebagai angkuh.

Tekanan yang terus meningkat memaksa Menteri Luar, Dr Marty Natalegawa untuk mengirim nota diplomatik kepada Malaysia bagi membantah tindakan Polis Marin Malaysia itu, dengan menyatakan bahawa insiden itu berlaku di perairan Indonesia.

Indonesia mendasarkan keputusan itu pada peta tahun 2009 berbanding Malaysia yang menggunakan peta 1979.

Malaysia menjawab dengan menegaskan kejadian itu berlaku di luar pantai Johor. Kawasan ini berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982.

Dalam pada itu, media Indonesia terus memainkan isu seperti layanan buruk terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia dan isu ratusan warga Indonesia menghadapi hukuman mati di Malaysia kerana kesalahan dadah dan jenayah berat, untuk menambah rasa benci rakyat Indonesia terhadap Malaysia.

Undian pendapat oleh harian Republika pada 23 Ogos menunjukkan 3,607 responden atau 72.91 peratus daripada responden mengatakan Malaysia negara paling kurang mesra dengan Indonesia, di kalangan tujuh negara lain termasuk Australia, Singapura, Brunei dan Filipina.

Malaysia sendiri berdepan dengan pelbagai masalah di Indonesia termasuk tanah kediaman Duta Besar Malaysia di Kemang, Jakarta Selatan dirampas oleh pihak tententu.

Ia mengambil masa 12 tahun untuk mahkamah mengembalikan tanah itu sedangkan ini adalah tanggungjawab Jakarta untuk melindungi kepentingan perwakilan asing.

Tanah ladang kelapa sawit milik Sime Darby berjumlah 48,000 hektar, yang sebahagian besarnya di Kalimantan kini terancam akan dilelong manakala Petronas yang diminta melabur di Indonesia dengan janji dapat menjual bahan bakar bersubsidi tidak diberikan hak itu kecuali di Sumatera dengan jumlah yang amat kecil.

Pertemuan Anifah dan Dr Marty yang dijadualkan pada 6 September di Kota Kinabalu bagi membincangkan soal sempadan bersama adalah perkembangan positif.

Oleh kerana pertikaian sempadan ini tidak mungkin dapat diselesaikan dalam jangka masa singkat, insiden seperti ini berkemungkinan berulang.

Kita harap segala mekanisme sudah tersedia dan hubungan bilateral ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya nanti. - Bernama

Seorang lelaki dihukum gantung, bersalah bunuh tunang

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas seorg lelaki kerana didapati bersalah membunuh tunangnya, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Zamani A Rahim, membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapti pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Tertuduh, Raja Saiful Nizam Raja Ali, 27, dituduh melakukan kesalahan itu pada 29 ogos 2006, jam antara 12.01 tengah malam hingga 4 pagi di lereng bukit Tanjung Jaga, Yan dengan sengaja melakukan pembunuhan menyebabkan kematian Rohayu Kasa, 28.
Dia didakwa mengikut seksyen 302 kanun keseksaan yang mana jika sabit keslahan membawa hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan Timb Pendkwaraya Ridha Abdah Subri, manakala tertuduh diwakili G Ravishankar.

Suasana mahkamah menjadi sebak apabila ahli keluarga tertuduh yang hadir menangis dan berpelukan sebaik hukuman dijatuhkan.

Tertuduh yang berkemeja kuning dan berseluar gelap bagaimanapun kelihatan tenang.

Indonesia keluarkan amaran berbahaya selepas letusan gunung berapi

JAKARTA: Indonesia dalam keadaan berhati-hati selepas gunung berapi di pulau Sumatera meletus, meluahkan asap dan abu sedalam 1,500 meter ke udara sehingga memaksa sekurang-kurangnya 12,000 penduduk berpindah.
"Pada awalnya kami menganggap abu dan asap itu disebabkan hujan, tetapi ini kami tahu punca kejadian itu adalah tekanan daripada magma. Ia jelas berbahaya...jadi kami meningkatkan amaran ke tahap tertinggi atau peringkat merah," kata Ketua Pusat Amaran Bencana negara itu, Surono di sini, sebentar tadi. - AFP

Saturday, August 28, 2010

Masjid, surau perlu rujuk majlis agama untuk benarkan bukan Islam masuk

YAN: Jawatankuasa masjid atau surau diminta merujuk kepada majlis agama Islam -negeri dalam soal membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengelirukan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata setiap negeri mempunyai panduan masing-masing dalam soal itu dan jawatankuasa atau pengurusan masjid perlu mematuhi panduan tersebut dan tidak sepatutnya sewenang-wenangnya membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid terutama di ruang solat.
Katanya rumah ibadat agama lain pun, mereka mempunyai garis panduan dalam membenarkan penganut agama lain memasuki tempat ibadat mereka.
"Kita tiada masalah untuk penganut agama lain masuk ke masjid atau surau. Ada masjid-masjid kita benarkan pelancong bukan Islam masuk tetapi kita sediakan garis panduan seperti yang wanita kena menutup kepala dan sebagainya.

"Kalau nak bawa masuk bukan Islam kenalah minta kebenaran majlis agama Islam negeri-negeri. Orang bukan Islam pun kenalah hormat dengan tempat ibadat umat Islam," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan zakat kepada fakir miskin di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar semalam mengenai Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching dari DAP yang memasuki ruang solat utama Surau Al-Huda, Kajang Sentral Ahad lepas untuk memberi "tazkirah", tanpa menutup kepala.

Jamil Khir berkata isu yang berlaku di Kajang itu tidak sepatutnya timbul jika jawatankuasa surau berkenaan merujuk kepada majlis agama Islam negeri dan memahami garis panduannya.
"Hal-hal seperti ini boleh diselesaikan dengan perbincangan antara jawatankuasa masjid atau surau dengan majlis agama Islam negeri. Apa yang penting mereka kena maklumkan," katanya.

Beliau berkata perkara itu juga menjadi satu isu kerana tidak sepatutnya perkara politik dibawa masuk ke dalam masjid. - BERNAMA

Isa Bakar meninggal dunia pagi tadi



<strong>ANTARA rakan pasukan yang pernah bergandingan dengan Isa Bakar. </strong>


<strong></strong>
<strong></strong>




GEORGETOWN: Bekas lagenda bola sepak negara, Isa Bakar meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang, jam 10.15 pagi tadi.
Allahyarham berusia 58 tahun.
Beliau dilaporkan dimasukkan ke hospital selepas mengalami batuk berdarah, semalam.
Isa yang bermain di posisi penyerang pernah berganding dengan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari untuk pasukan kebangsaan sekitar 1970-an.

Lin Dan ikut badi Chong Wei tersingkir di Paris


REAKSI Park Sung Hwan (kiri) selepas mengalahkan Lin Dan pada saingan suku akhir Kejohanan Badminton Dunia, lewat malam tadi. - Foto AP/Reuters
REAKSI Park Sung Hwan (kiri) selepas mengalahkan Lin Dan pada saingan suku akhir Kejohanan Badminton Dunia, lewat malam tadi. - Foto AP/Reuters


PARIS: Juara Olimpik dan juara dunia, Lin Dan dari China mengikuti jejak langkah perseorangan utama dari Malaysia, Lee Chong Wei tersingkir pada saingan suku akhir Kejohanan Badminton Dunia, lewat malam tadi.

Lin yang memburu kejuaraan untuk kali keempat, dikejutkan oleh pemain pilihan ke-13 dari Korea Selatan, Park Sung Hwan 21-13, 21-13, manakala Chong Wei terdahulu ditundukkan pemain perseorangan utama Indonesia, Taufik Hidayat.
Chong Wei yang juga pemain pilihan utama kejohanan itu kali ini menang sembilan daripada 14 pertemuannya dengan Hidayat sebelum ini.
Namun malam tadi, Chong Wei ditunjukkan jalan keluar oleh bekas juara Olimpik dan juara dunia itu dengan 15-21, 21-11 and 12-21. - AFP

Dua Menteri Luar bincang isu Malaysia-Indonesia 6 September

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Indonesia, Dr Marty Natalegawa akan menemui Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di sini pada 6 September depan bagi membincangkan kejadian demonstrasi terhadap Malaysia di Jakarta baru-baru ini selain isu dua hala.
Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay, berkata beliau percaya perbincangan itu akan membuka jalan penyelesaian kepada kesemua isu berkaitan Malaysia dan Indonesia.
Ditanya kemungkinan berulangnya demonstrasi oleh anggota Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) terhadap Kedutaan Besar Malaysia dan rakyat Malaysia di republik itu, beliau berkata Wisma Putra akan menyelesaikan isu itu secara diplomatik dan berusaha mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua buah negara.
Malah, katanya pemerintah Indonesia memberi jaminan untuk mencari jalan penyelesaian dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang melakukan demonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia itu selain menjamin keselamatan rakyat Malaysia di sana.

"Masyarakat Indonesia di negara ini juga tidak perlu risau tentang keselamatan mereka kerana kesemua masalah sedang dikendalikan dengan cara yang matang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 anjuran Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) di sini hari ini.

Bendera baru-baru ini berdemonstrasi dan melemparkan najis manusia di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta merancang mengusir keluar rakyat negara ini dari Indonesia.

Ia sebagai bantahan insiden di perbatasan perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Bintan, Kepulauan Riau, apabila bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menahan lima nelayan Malaysia dan Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian negara itu, kerana didakwa menceroboh wilayah masing-masing.
Tahanan kedua-dua belah pihak itu telah dibebaskan 17 Ogos lalu. - BERNAMA

Gempa 5.9 magnitud landa Iran

TEHRAN: Gempa berukuran sederhana 5.9 magnitud melanda sebahagian wilayah padang pasir Dasht-e Kavir di utara bandar Damghan, lewat semalam, menurut agensi berita IRNA.
Laporan itu memetik Jabatan Geofizik Universiti Tehran bahawa pusat gempa dikesan kira-kira 278 kilometer di timur ibu negara Tehran.
Bagaimanapun laporan itu menyebut tiada nyawa terkorban dengan gegaran berlaku jam 11.53 malam. - AFP

Pelajar Malaysia di Indonesia diarah berwaspada

PASIR GUDANG: Lebih daripada 6,000 pelajar Malaysia di Indonesia diarah berwaspada dan berhati-hati berikutan gerakan anti-Malaysia yang dianjurkan oleh Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) di negara itu.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementeriannya telah mengeluarkan arahan tersebut kepada semua pelajar tempatan di Indonesia melalui Jabatan Penuntut Malaysia di Jakarta.
"Kementerian memantau situasi itu dan setakat ini tidak ada laporan pelajar kita menjadi mangsa gerakan itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada keluarga berpendapatan rendah dan ibu tunggal di Bandar Seri Alam dekat sini hari ini.
Khaled yakin kerajaan Indonesia akan melakukan yang terbaik untuk menjamin keselamatan semua pelajar Malaysia.

Beliau juga percaya bahawa pelajar terbabit mampu menangani sendiri situasi tegang berkenaan melalui pelbagai persatuan mahasiswa.

Bendera baru-baru ini dilaporkan berdemonstrasi dan melemparkan najis manusia di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta merancang mengusir keluar rakyat negara ini dari Indonesia.

Ia sebagai bantahan insiden di perbatasan perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Bintan, Kepulauan Riau, apabila bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menahan lima nelayan Malaysia dan Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian negara itu, kerana didakwa menceroboh wilayah masing-masing.
Tahanan kedua-dua belah pihak itu telah dibebaskan pada 17 Ogos lalu. - BERNAMA

Friday, August 27, 2010

Kewarganegaraan satu anugerah, bukan untuk dituntut: KDN

KUALA LUMPUR: Pemberian taraf kewarganegaraan Malaysia adalah satu anugerah tertinggi kepada warga asing dan bukan satu hak yang boleh dituntut oleh mana-mana individu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius dan sentiasa berhati-hati dalam mempertimbangkan setiap permohonan kewarganegaraan seseorang itu.
"Ini adalah penting bagi memastikan hanya mereka yang betul-betul memahami dan mendalami budaya masyarakat Malaysia serta berkelakuan baik sahaja yang dianugerahkan taraf kewarganegaraan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ia dikeluarkan susulan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkaitan kira-kira 25,751 pemegang kad pengenalan merah yang masih belum menerima status warganegara.

Lee berkata, KDN juga perlu memastikan mereka memberi taat setia kepada negara, menghormati dan menjunjung asas Perlembagaan negara serta prinsip Rukun Negara.

"Di dalam keadaan-keadaan tertentu, kepakaran dan sumbangan-sumbangan pemohon yang boleh memberi manfaat kepada negara dan rakyat negara ini akan diambil kira," katanya.

"Kajian juga akan dijalankan oleh kementerian untuk menentukan sama ada pemohon mempunyai pertalian kekeluargaan atau akar umbi di negara ini sebelum sesuatu permohonan diputuskan," katanya.
Lee berkata, hakikatnya masih ramai di kalangan pemegang kad pengenalan merah belum mengemukakan permohonan sebagai warganegara.

Jumlah permohonan taraf kewarganegaraan yang tertunggak yang diterima KDN dari tahun 1997 hingga 2006 bagi semua perkara di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah 32,927 dan semua permohonan telah selesai diproses dan dikeluarkan keputusannya pada tahun 2009, katanya.

Pada masa kini, katanya, kementerian sedang memproses permohonan kewarganegaraan bagi tahun 2007, 2008 dan 2009 yang berjumlah 29,677.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 16,302 keputusan telah dikeluarkan dan bakinya telah diproses adalah sebanyak 13,375 di mana keputusannya akan dikeluarkan selewat-lewatnya pada 31 Disember tahun ini," katanya.

Mengenai cadangan pemberian taraf kewarganegaraan secara automatik kepada pemohon berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai anak-anak berstatus warganegara Malaysia, Lee berkata cadangan itu perlu dikaji secara menyeluruh kerana peraturan sedia ada telah ditetapkan berdasarkan sebab yang jelas.

Selain itu, katanya, mulai 1 Mac tahun ini, KDN telah mempermudahkan permohonan bagi pemohon yang berumur 50 tahun dan ke atas di mana mereka tidak lagi perlu menduduki ujian bertulis dalam Bahasa Melayu.

"Mereka hanya dikehendaki hadir sesi temuduga untuk memastikan pemohon tersebut mempunyai pengetahuan Bahasa Melayu yang memadai sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya. - BERNAMA

Demonstrasi depan kedutaan dilakukan kumpulan upahan: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata tunjuk perasaan yang diadakan di hadapan pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia baru-baru ini dilakukan oleh kumpulan upahan.

Perdana Menteri berkata, kumpulan itu diupah pihak tertentu untuk melakukan demonstrasi dengan tujuan merenggangkan hubungan antara kedua-dua negara.
"Itu tujuan dia supaya kita marah, kita bertindak balas dan renggang hubungan dengan Indonesia. Jadi kita jangan terperangkap dengan mainan ini," katanya dalam satu persidangan akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini hari ini.
Semalam, kira-kira 600 penunjuk perasaan bersikap liar dengan membakar dan meludah Jalur Gemilang dan berteriak "ganyang Malaysia" bagi membantah apa yang mereka dakwa pencerobohan pihak berkuasa Malaysia di perairan perbatasan kedua dua negara.

Najib berkata, beliau tidak menganggap tindakan tunjuk perasaan itu mencerminkan pendirian pemerintah Indonesia kerana kedua-dua negara mempunyai hubungan yang sangat baik.

"Jadi kita selesa dengan hubungan kita dan jangan sesiapa merosakkan hubungan antara pimpinan Malaysia dan Indonesia. Kita anggap ini sebagai perbuatan kumpulan upahan Indonesia, mereka dapat upahan," katanya.

Beliau berkata, Duta Indonesia di Malaysia Tan Sri Da'i Bachtiar juga sudah dipanggil untuk meminta pihak berkuasa Indonesia melakukan kawalan yang lebih ketat supaya perkara berkenaan tidak berlaku lagi.
Sementara itu, Najib yang juga Presiden UMNO turut menghadiri majlis berbuka puasa bersama anggota-anggota parti komponen Barisan Nasional serta melakukan solat Tarawih di surau Pusat Dagangan Dunia Putra. - BERNAMA

Gejala sosial isyarat bahaya kepada masyarakat: Rosmah

GEJALA SOSIAL ISYARAT BAHAYA KEPADA MASYARAKAT
KUALA LUMPUR: Masyarakat tidak seharusnya mengambil mudah terhadap gejala sosial yang berleluasa di negara ini kerana ia berkemungkinan menyampaikan isyarat yang tidak tepat mengenai Malaysia, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau berkata, isyarat tidak tepat ini boleh mencerminkan sikap tidak peka masyarakat negara ini dalam menangani gejala sosial yang boleh merosakkan imej rakyat Malaysia yang kini dianggap amat prihatin, pemurah dan penyayang.
"Dalam kita sibuk mengejar keberkatan dengan menunaikan kewajipan kita di bulan Ramadan yang mulia ini, masih terdapat gejala sosial yang amat mendukacitakan berlaku hampir setiap hari.

"Sebagai seorang ibu, apa yang amat memilukan saya ialah berkenaan pembuangan bayi yang tidak berdosa yang kini semakin berleluasa," katanya semasa berucap pada majlis sumbangan bantuan Hari Raya Aidilfitri bersama Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) di sini hari ini.

Katanya, kejadian seperti ini jelas menunjukkan sikap tidak bertamadun sesetengah golongan masyarakat yang zalim sehingga sanggup melakukan perkara yang terkutuk dan hina.

Rosmah menyeru masyarakat terutamanya ibu bapa membantu pihak berkuasa serta kerajaan dengan meningkatkan pemantauan ke atas segala aktiviti anak-anak mereka.
"Ibu bapa hendaklah memberi lebih penekanan akan aspek keagamaan kepada anak masing-masing bagi mengelakkan kejadian yang bakal menjurus ke arah gejala yang semakin menular sejak akhir-akhir ini," katanya.

Sumbangan Ramadan YPC yang bernilai RM75,000 diberikan kepada 444 pelajar sekolah yang terdiri daripada anak-anak yatim dan daripada keluarga berpendapatan rendah dan miskin dari 36 sekolah angkat YPC.

Sementara itu, Pengerusi YPC Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata program-program yang dilaksanakan oleh YPC sinonim dengan Konsep 1Malaysia kerana tiada golongan atau kaum yang dipinggirkan dalam usaha menggerakkan transformasi besar dalam gagasan 1Malaysia.

Katanya, YPC akan terus membantu sistem kerajaan dalam memperkasakan pendidikan anak bangsa melalui pelaksanaan program-program motivasi kecemerlangan pelajar, kursus motivasi guru dan program pembelajaran berasaskan internet. -BERNAMA

Indonesia jamin keselamatan rakyat Malaysia di Jakarta

KUALA LUMPUR: Indonesia memberi jaminan mengenai keselamatan rakyat Malaysia di republik berkenaan berikutan tindakan penunjuk perasaan anti-Malaysia yang memijak dan membakar Jalur Gemilang serta membaling najis manusia ke halaman Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Prof Dr Da’i Bachtiar, berkata pihak keselamatan Indonesia akan memastikan bahawa undang-undang negara sentiasa dipatuhi walaupun pemerintah Republik Indonesia membenarkan demonstrasi diadakan.
“Polis Indonesia sudah memperkukuhkan kawalan keselamatan di Kedutaan Malaysia dan kediaman rakyat Malaysia di Jakarta supaya kejadian yang tidak diingini dapat dicegah.
“Pihak berkuasa di Indonesia juga sedang menyiasat dan mengumpul bukti berhubung kejadian penunjuk perasaan membaling najis dan memijak Jalur Gemilang dan jika ada pihak yang didapati bersalah, tindakan akan diambil kepada mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Da’i berkata demikian untuk mengulas insiden penunjuk perasaan membaling najis dan memijak Jalur Gemilang di depan Kedutaan Malaysia sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, tindakan penunjuk perasaan di Kedutaan Malaysia pada 13 Ogos adalah tidak beretika tetapi dakwaan sukar dilakukan kerana peruntukan undang-undang Indonesia membenarkan rakyatnya berkumpul dan menyuarakan pendapat.

Katanya, pihak berkuasa di Indonesia juga belum dapat memastikan dakwaan bahawa sebuah parti politik di republik berkenaan mendalangi demonstrasi berkenaan untuk mendesak Presiden Susilo Bambang Yudhoyono supaya bertegas dengan Malaysia.

Nik Aziz sifatkan tunjuk perasaan anti Malaysia memalukan

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan sekumpulan rakyat Indonesia membakar Jalur Gemilang dan melempar najis manusia ketika berdemonstrasi di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Isnin lepas sebagai "memalukan".

Mursyidul Am Pas itu berkata, sepatutnya sebagai negara berjiran, kedua-dua kerajaan boleh menyelesaikan sebarang perselisihan faham secara kekeluargaan.
"Memang perkara itu memalukan kerana kita berjiran, sebangsa dan seagama, kenapa boleh jadi begitu? Ini memalukan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Mingguan Jumaat di Dataran Ilmu, di sini hari ini. Nik Abdul Aziz sebelum itu diwawancara sebuah stesen televisyen Indonesia, TV One.

Beliau yang diminta mengulas insiden Isnin lalu itu juga berpandangan Malaysia dan Indonesia adalah seperti dua beradik yang seharusnya menjadi contoh baik kepada negara lain. - BERNAMA

Geran khas bantu belia laksana program 1Malaysia

GERAN KHAS BANTU BELIA LAKSANA PROGRAM 1MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyediakan geran khas bagi membantu dan menyokong pelaksanaan program berkaitan dengan Konsep 1Malaysia yang dikendali oleh golongan belia, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, geran itu yang akan dipercepatkan kelulusannya, akan membolehkan lebih ramai golongan muda membabitkan diri dalam program 1Malaysia yang dianjurkan.
Ketika menjawab soalan dalam dialog sempena sesi TownHall Makmal Pemuda Barisan Nasional (BN) di sini hari ini, beliau berkata kebanyakan cadangan yang dikemukakan pada sesi itu adalah bernas dan akan diteliti oleh kerajaan.

"Satu daripada cadangan yang menarik perhatian saya ialah mewujudkan dana khas bagi menyokong program 1Malaysia yang dijalankan oleh belia. Kita akan sediakannya tidak lama lagi supaya lebih ramai orang muda terlibat dalam program 1Malaysia," katanya.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, dan Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin.

Berdasarkan laporan akhir Makmal Pemuda BN yang dibentangkan oleh Khairy, antara cadangan yang dikemukakan ialah supaya Geran 1Malaysia diwujudkan bagi membantu pelaksanaan projek atau program yang menggalakkan atau meningkatkan hubungan antara kaum dan prinsip 1Malaysia.
Najib berkata, kerajaan akan mencari mekanisme terbaik untuk memperkenalkan geran berkenaan.

"Mungkin kita boleh masukkan (pengwujudan geran) dalam ucapan belanjawan untuk dibentangkan dalam belanjawan akan datang dan mungkin juga dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) sebab ia merupakan pelan berterusan," katanya.

Perdana Menteri berkata, walaupun mungkin tidak semua cadangan yang dikemukakan oleh makmal berkenaan diterima dan dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting ialah kerajaan telah mendengar suara orang muda di negara ini.

Turut dibangkitkan pada sesi dialog berkenaan ialah mengenai isu gaji minimum pekerja tempatan dan dalam soal ini.

Najib berkata, perbincangan sedang dilakukan dengan pihak majikan berhubung cadangan berkenaan.

"Bagaimanapun pelaksanaan gaji minimum itu hanya akan dilaksanakan berdasarkan sektor pekerjaan," katanya.

Mengenai desakan supaya golongan mahasiswa dibenarkan untuk berpolitik, Najib berkata beliau masih terbuka untuk sebarang cadangan walaupun Kabinet secara dasarnya tidak begitu bersetuju.

"Saya masih memikirkan perkara ini dan terbuka untuk berdebat mengenai isu ini untuk membolehkan keputusan yang lebih baik dibuat," katanya.

Menjawab satu soalan lain, Perdana Menteri berkata BN sedang menimbangkan mengenai cadangan membenarkan keahlian terus ke dalam BN, yang sekaligus menunjukkan kesungguhan parti itu untuk berubah.

Mengenai laporan akhir Makmal Pemuda BN itu, Najib berkata kerajaan bersedia untuk menimbangkan cadangan yang dikemukakan.

Makmal Pemuda BN yang telah dicetuskan sendiri oleh Perdana Menteri pada Februari lalu adalah satu usaha untuk mencari titik sentuh antara kerajaan BN dengan golongan muda negara ini selain bertujuan untuk memahami aspirasi, permasalahan dan cadangan orang muda ke arah menjana dasar-dasar kerajaan yang mesra orang muda.

Laporan akhir Makmal hari ini terbahagi kepada empat sektor utama iaitu ekonomi, kualiti hidup, pendidikan serta perpaduan dan demokrasi.

Antara cadangan yang dikemukakan termasuk gesaan supaya kerajaan memperkenalkan dasar gaji minimum tidak kurang daripada RM1,000 sebulan bagi pekerja sepenuh masa, membina pangkalan data bagi membantu golongan muda yang di dalam fasa "peralihan" seperti kehilangan kerja, sakit teruk atau krisis kewangan.

Dalam sektor pendidikan pula, kerajaan disaran untuk melancarkan kempen penjenamaan semula perguruan sebagai profesion terpilih dan membenarkan lebih kebebasan dalam pilihan mata pelajaran di sekolah.

Bagi menggalakkan proses integrasi antara kaum, kerajaan disaran memberi insentif termasuk pelepasan cukai kepada syarikat-syarikat yang mempunyai pekerja pelbagai kaum dan pelepasan cukai kepada restoran yang mendapat sijil perakuan halal.

Dalam menjamin proses demokrasi diamalkan, Makmal Pemuda BN mencadangkan supaya waktu maksimum dua tahun ditetapkan bagi tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ia juga mencadangkan supaya pelajar universiti dibenarkan bergiat aktif di dalam politik dengan memberi kebenaran kepada mereka untuk menjadi ahli atau memegang jawatan di dalam mana-mana parti politik. - BERNAMA

Thursday, August 26, 2010

Statutory rape: Boy, 16, sought by cops

KOTA MARUDU: Police are looking for a 16-year-old boy in connection with a statutory rape incident.

A 14-year old student lodged a police report against him yesterday.

District police chief DSP Mohd Isa Yusoff told New Sabah Times that the girl accompanied by her parents lodged the police report after the latter found out about the incident which allegedly took place on August 20.

Initial investigation showed the boy, who was employed as a labourer, and the alleged had sex on August 20.

“The girl in her police report claimed that she and the suspect had sex once at about 10pm in an unnumbered house in Kampung Langkon,” said Mohd Isa.

Police have referred the girl to hospital for medical examination and the case is being probed under Section 376 (1) of Penal Code.





Najib kecewa tindakan hina Malaysia

PUTRAJAYA 26 Ogos - Perdana Menteri melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan sekumpulan rakyat Indonesia yang bertindak memijak Jalur Gemilang dan melempar najis manusia ketika berdemonstrasi di depan bangunan Kedutaan Malaysia di Jakarta, Isnin lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan perkara tersebut dalam mesyuarat Kabinet semalam selepas dimaklumkan kejadian itu.
''Beliau amat kecewa kerana menjadi satu kesalahan untuk mereka bertindak sedemikian rupa tetapi beliau menaruh kepercayaan bahawa pihak berkuasa Indonesia bertindak sewajarnya untuk menyelesaikan kejadian itu.
''Kita percaya rakyat Malaysia amat rasional dan mereka diminta bersabar serta jangan lakukan perkara yang sama seperti di Indonesia," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan sesi dialog bersama 24 orang Duta Belia Indonesia di Wisma Putra di sini hari ini.
Anifah memberitahu, kerajaan Indonesia sendiri telah memberi jaminan akan melindungi rakyat negara ini daripada sebarang gangguan atau ugutan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab itu.
''Saya ada menghubungi Menteri Luar Indonesia tengah hari ini dan kita bersetuju bahawa jaminan itu perlu diberikan keutamaan.
''Bagaimanapun pada masa sama, kita akan terus beri tekanan kepada Indonesia supaya tindakan tegas diambil ke atas Bendera bagi membendung segala kegiatan melampau," katanya.
Sementara itu, Anifah memberitahu, tidak ada unsur perisikan yang telah dijalankan oleh Malaysia dalam mendapatkan kepastian bahawa sebuah parti politik Indonesia terbabit dengan kumpulan yang mengadakan demonstrasi tersebut.

Malaysia terus dihina

PENUNJUK perasaan membakar bendera Malaysia di hadapan Kedutaan Besar Malaysia Indonesia di Jakarta, semalam.


JAKARTA 26 Ogos – Penunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di sini terus bersikap liar dengan membakar dan meludah Jalur Gemilang serta bergaduh dengan pasukan polis Indonesia yang mengawal di situ hari ini.
Seramai 600 orang menyertai demonstrasi itu berteriak “ganyang Malaysia” bagi membantah apa yang mereka dakwa pencerobohan pihak berkuasa Malaysia di perairan perbatasan kedua-dua negara, berhampiran Bintan, Kepulauan Riau, 13 Ogos lepas.
Demonstrasi bermula kira-kira pukul 1 petang itu berakhir kira-kira dua jam kemudian dan tunjuk perasaan kali ini disertai oleh anggota Forum Kebangsaan Indonesia, Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Benteng) dan Forum Betawi Rempug.
Tunjuk perasaan menjadi kecoh apabila polis menangkap dua orang penunjuk perasaan yang membakar Jalur Gemilang, menyebabkan para penunjuk perasaan bertempiaran lari dan ada juga melempar buluh serta kasut ke arah polis.
Cuaca yang terlalu panas menyebabkan para penunjuk perasaan keletihan dan berkumpul di bawah pokok untuk berteduh dan pada masa yang sama ketua-ketua mereka juga seolah-olah telah kehilangan suara untuk berucap menggunakan alat pembesar suara.
Tunjuk perasaan pada mulanya mengecam penangkapan tiga anggota penguat kuasa Jabatan Kelautan dan Perikanan Indonesia dekat perairan Johor, tempoh hari, akhirnya bertukar kepada tunjuk perasaan mengecam kepimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Tunjuk perasaan bertema ‘Panggung Merah Putih-Tegakkan Harga Diri Bangsa’ itu mendesak Malaysia supaya meminta maaf kepada seluruh rakyat Indonesia kerana perbuatan menghina kedaulatan Indonesia.
Mereka juga mahu Malaysia menghormati hak asasi manusia serta memberi perlindungan undang-undang kepada seluruh rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia.
Penunjuk perasaan juga mendesak kerajaan Indonesia supaya bertindak tegas dan berani dalam menyelesaikan persoalan dengan Malaysia.
Mereka juga mahu kerajaan Indonesia mengambil alih semua ladang kelapa sawit milik syarikat Malaysia di seluruh Indonesia.
Pada Isnin lalu, 37 anggota Bendera mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia turut membawa bersama lima bungkus najis manusia.
Salah seorang daripada mereka sempat melemparkan bungkusan itu ke dalam pagar kedutaan manakala yang lainnya meletakkan najis tersebut di atas Jalur Gemilang dan memijaknya. – UTUSAN

PM beri jaminan masa depan peneroka FELDA kukuh

BANDAR SERI JEMPOL: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memberi jaminan bahawa masa depan peneroka di tanah rancangan FELDA adalah kukuh dan selamat.

Beliau berkata, FELDA pada hari ini mempunyai tanah seluas 330,000 hektar dan membuat keuntungan pada purata RM1.1 bilion setiap tahun.
"Mana ada syarikat atau organisasi yang bankrap mempunyai harta sebanyak RM12.2 bilion bersih. Gambaran orang yang sudah bankrap adalah tinggal sehelai sepinggang," katanya ketika berucap di Program Rahmat Ramadan Perdana 2010 di Masjid Bandar Seri Jempol hari ini.
Kira-kira 8,000 penduduk sekitar Jempol dengan sebahagian besarnya peneroka Felda memenuhi tiga khemah besar yang disediakan pada program itu sehingga Najib beberapa kali memberi penghargaan kepada pemimpin Jempol yang menjayakan program itu.

Perdana Menteri berkata, dengan keuntungan tahunan FELDA itulah, organisasi itu mampu menawarkan pinjaman kepada peneroka untuk membesarkan rumah mereka tanpa sebarang bunga atau faedah yang menurut Najib adalah "pinjaman terbaik di dunia".

"Keadaan di FELDA sudah jauh berubah, sebagai manusia kita nak hari ini lebih baik dari semalam dan waktu masa kita mula jadi peneroka, kita mungkin pernah sangsi akan masa depan kita sebagai peneroka tetapi berkat jerih payah, persaudaraan dan kerjasama dengan kerajaan, hari ini kita jadi tuan punya tanah di mana setiap seorang memiliki sekurang-kurangnya 10 ekar tanah," katanya.

Perdana Menteri berkata, apabila FELDA sudah berjaya, rata-rata tanah rancangan FELDA adalah kubu padu menyokong kerajaan dan ini menyebabkan timbulnya serangan dari pihak tertentu termasuk mendakwa FELDA bankrap untuk mencemar FELDA dan sekaligus menganggu gugat sokongan para peneroka kepada kerajaan.
"Dalam peratusan (pengundian pada) pilihan raya (kecil kawasan Parlimen) di Hulu Selangor lalu, jumlah sokongan amat tinggi dan calon kita yang menang mengaku tidak mungkin berjaya tanpa sokongan empat tanah rancangan FELDA di kawasan itu," katanya.

Najib berkata, Malaysia sekarang ini mempunyai 317 rancangan Felda dengan 112,635 orang peneroka dan sudah banyak negara lain cuba meniru pembangunan ala FELDA ini tetapi mereka gagal.

"FELDA sudah bayar cukai sebanyak RM7 juta dan zakat sebanyak RM1.8 juta," katanya.

Perdana Menteri berkata, adalah tidak berasas untuk menuduh FELDA bankrap apabila aliran wang tunainya merosot kerana ia adalah pusingan di dalam perniagaan.

Katanya, jika FELDA aset tanahnya seluas 330,000 hektar itu, dijangkakan organisasi itu akan mendapat keuntungan dalam bentuk wang tunai berjumlah RM20 bilion.

Sementara itu, Najib meminta rakyat Malaysia khususnya peneroka supaya bersyukur dengan nikmat yang telah diberikan Allah SWT kepada negara ini.

"Nikmat yang paling besar dan utama ialah nikmat Islam dan keimanan itu sendiri yakni bila kita beriman dengan Allah, jalan kita diredai," katanya.

Beliau berkata, selain daripada nikmat Islam dan keimanan, rakyat juga mendapat nikmat untuk berada dalam negara yang aman dan kerana keamanan inilah rakyat dapat menjalani segala ibadat.

"Inilah nikmat negara aman di mana kita harus syukur atas nikmat yang Tuhan kurniakan. Selain dari itu saya percaya kita juga dapat nikmat dalam negara yang dipimpin oleh sebuah kerajaan yang sentiasa letakkan kepentingan kepada rakyat sejak dulu lagi," katanya. - BERNAMA

Peguam gagal hadir ke mahkamah punca FELDA tewas

BANDAR SERI JEMPOL: Kegagalan peguam FELDA untuk hadir ke Mahkamah Persekutuan menjadi penyebab organisai itu tewas dalam kes tuntutan 354 orang peneroka FELDA Kemahang 3 hari ini, kata Pengerusi FELDA, Tan Sri Dr Yusof Noor.
Beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan ini bukan disebabkan wujudnya penipuan, konspirasi dan sebagainya seperti yang dinyatakan oleh sesetengah pihak.
"Kegagalan kes ini sebenarnya disebabkan oleh peguam yang dilantik oleh FELDA gagal hadir semasa perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Tinggi Kota Baharu," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Sehubungan itu, Oleh yang demikian, FELDA tidak dapat membela tuntutan yang dikemukakan oleh kumpulan peneroka itu sebagaimana sepatutnya dalam mana-mana tindakan sivil.

FELDA sedang mengkaji dan meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap firma guaman terbabit kerana menjadi punca utama kekalahan kes ini, katanya.
Beliau berkata, berikutan keputusan itu, Felda telah mengarahkan peguamnya untuk melepaskan jumlah wang penghakiman bertarikh 13 Januari 2008 yang mana telah didepositkan ke dalam akaun bersama kedua-dua peguam dalam tempoh terdekat ini.
Wang penghakiman berjumlah RM11 juta itu akan dilepaskan kepada peguam peneroka untuk membolehkan mereka mengagih-agihkan wang tersebut kepada kumpulan peneroka berkenaan.
-- BERNAMA

Ketua PKR Bukit Bintang, 15 ahli sertai UMNO

KUALA LUMPUR: Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Bukit Bintang, Wilayah Persekutuan, Mahmood Abdullah, bersama 15 anggota yang sebahagiannya adalah Ahli Jawatankuasa (AJK) cabang berkenaan hari ini mengumumkan keluar parti dan menyertai UUMNO, berkuatkuasa serta-merta.

Borang menyertai UMNO itu diserahkan kepada Timbalan Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, serta disaksikan Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Mohd Shafie Abdullah, dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee.
Mahmood berkata, keputusan keluar parti itu dibuat tanpa adanya rasa benci atau rasa tidak puas hati terhadap sesiapa sebaliknya ia diputuskan demi untuk mengukuhkan bangsa Melayu dan agama Islam yang secara konsisten diperjuangkan UMNO.
"Tujuan kami kembali kepada UMNO adalah kerana yakin dengan fokus perjuangan yang dibawa Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mempunyai agenda perjuangan yang tidak berubah-ubah berbanding PKR.

"PKR mempunyai pelbagai agenda dan matlamat...tidak fokus. Sebagai orang Melayu yang duduk dalam PKR saya rasa bersalah," katanya pada sidang media selepas menyerahkan borang di Pejabat Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan di sini.

Katanya, selepas mencatat kejayaan cemerlang semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, segala kepincangan dalam perjuangan parti itu mula ketara dengan dihujani pelbagai masalah.

"Saya tak menyesal menyertai PKR tetapi berada di dalamnya, khususnya selepas PRU lalu membuatkan saya gelisah," katanya dan menambah lebih 200 lagi ahli parti itu akan menyertai UMNO selepas Aidilfitri ini.
Ditanya apakah tindakannya itu didorong oleh pemilihan barisan kepimpinan PKR September ini, Mahmood berkata ia tidak langsung berkait kerana jawatan ketua bahagian Bukit Bintang yang disandangnya sejak tiga tahun lalu langsung tidak dicabar. - BERNAMA

PM kecewa serangan ke atas Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, turut melahirkan rasa kecewa atas tindakan penunjuk perasaan daripada kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) melempar najis manusia ke kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Isnin lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata Perdana Menteri menzahirkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet semalam, setelah beliau memberi penjelasan terhadap apa yang berlaku.
"Sudah tentu beliau amat kecewa. Perdana Menteri berpendapat adalah salah bagi mereka bertindak sedemikian. Namun beliau mempunyai keyakinan dengan pihak berkuasa Indonesia, beliau yakin terhadap Presiden (Susilo Bambang Yudhoyono) bahawa perkara ini akan diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan rombongan Duta Belia 2010 Indonesia di Wisma Putra di sini hari ini.
Anifah berkata, mesyuarat Kabinet semalam sepakat untuk menyelesaikan perkara itu secara baik dan meminta rakyat Malaysia supaya bersabar dan bersikap rasional dengan mengelakkan kejadian yang sama di negara ini.

Anifah berkata, Kementerian Dalam Negeri juga diminta untuk memastikan keselamatan warga Indonesia di negara ini tidak terjejas berhubung insiden itu.

Katanya, Malaysia berharap Indonesia dapat mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan "perlakuan keji" tersebut kerana tanah Kedutaan Besar Malaysia itu mempunyai keistimewaan dan kekebalannya sendiri sepertimana yang tertakluk mengikut Artikel 22 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

Beliau berkata, lebih-lebih lagi apabila Ketua Bendera itu sendiri mengakui melakukan perbuatan berkenaan dalam blognya yang boleh dijadikan bahan bukti.
"Jika ia salah di sisi undang-undang Indonesia, saya harap tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat. Tetapi saya bukannya mahu mengajar Indonesia mengenai apa yang mereka harus lakukan mengikut undang-undang mereka. Kita menghormati," katanya.

Dalam kejadian berkenaan, penunjuk perasaan daripada kumpulan Bendera dipercayai bertindak sedemikian bagi menandakan kemarahan terhadap Malaysia terutama berhubung penangkapan tiga pegawai Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia yang didakwa menceroboh ke kawasan perairan Malaysia baru-baru ini.

Anifah berkata, Malaysia bagaimanapun tidak mengharapkan Indonesia memohon maaf terhadap kejadian yang berlaku itu, kerana ia hanya perbuatan segelintir pihak dan bukannya mewakili seluruh rakyat dan kerajaan Indonesia.

Pada masa sama, beliau berkata Malaysia juga tidak akan meminta maaf atas insiden penangkapan tiga pegawai Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia itu, walaupun benar mereka telah digari dan dipakaikan baju banduan.

"Kalau betul mereka digari dan sebagainya kita tidak meminta maaf kepada sesiapapun sebab itu adalah undang-undang negara kita dan sesiapapun yang masuk ke negara Malaysia haruslah menghormati undang-undang Malaysia," katanya ketika diminta mengulas permintaan Parlimen Indonesia agar Malaysia meminta maaf kerana menggari dan memakaikan baju banduan kepada tiga petugas KKP itu.

Bagaimanapun, Anifah berkata beliau sedia berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri untuk menyemak semula prosedur berkenaan sekiranya ia tidak mendatangkan manfaat kepada mana-mana pihak, kerana pencerobohan kawasan itu bukanlah jenayah yang berbahaya.

Dalam perkembangan lain Anifah berkata pihak media, dari kedua-dua Malaysia dan Indonesia juga harus bertanggungjawab dengan laporan masing-masing, dengan memberi laporan yang tepat berdasarkan fakta dan menjaga sensitiviti antara negara.

"Saya menyokong kebebasan media, tapi janganlah kebebasan media itu sehingga mengundang masalah yang lain. Janganlah kebebasan media itu digunakan oleh orang yang punya agenda yang lain," katanya. - BERNAMA

Rakyat Indonesia di Malaysia kesal tindakan cemar kedutaan

KUALA LUMPUR: Rakyat Indonesia yang berada di negara ini melahirkan rasa kesal dengan tindakan kumpulan penunjuk perasaan yang melempar najis ke dalam pintu pagar Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan mengotor serta memijak Jalur Gemilang di atas jalan raya.

Mereka turut menyifatkan tindakan itu sebagai kelakuan yang tidak mencerminkan nilai dan jati diri bangsa Indonesia dan menegaskan bahawa tindakan kumpulan yang dikenali sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera), bukan mewakili sejumlah besar rakyat negara itu.
Berikutan itu, Persatuan Pelajar Indonesia (PPI) se-Malaysia meminta seluruh media Indonesia dan Malaysia agar lebih profesional atau tidak berpihak dalam menyampaikan laporan yang berkaitan dengan hubungan baik Malaysia-Indonesia untuk menjaga serta menghindari keretakan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
"PPI kesal kerana tidak ada ketegasan dan ketelusan dalam menangani kes penahanan tiga petugas pengawas kelautan dan perikanan dan kurangnya informasi yang disampaikan oleh pemerintah Indonesia dan Malaysia kepada media dalam penyelesaian kes itu sehingga berita beredar di masyarakat Indonesia menjadi simpang siur," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

PPI turut meminta semua pihak arif dan bijaksana dalam melihat permasalahan yang terjadi dan menyelesaikannya secara diplomasi yang baik, bukan dengan emosi dengan menghormati kedaulatan negara masing-masing.

Katanya, satu kesepakatan dua hala juga perlu diadakan segera bagi membincangkan tentang batas wilayah perairan antara Indonesia dan Malaysia dan diharapkan kedua-dua negara menghormati batas wilayah perairan masing-masing.

"Ini perlu disegerakan kerana kita mahu masyarakat kedua-dua negara ini berasa selesa dan selamat berada di kedua-dua negara ini," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Union Migran Indonesia di Malaysia, Muhammad Iqbal, turut mengutuk tindakan segelintir rakyat di negaranya yang bertindak keterlaluan itu.

Beliau berkata, kumpulan penunjuk perasaan itu sepatutnya mencontohi Pergerakan Pemuda UMNO yang berhimpun secara aman serta menyerahkan memorandum dan petisyen berhubung isu terbabit ke Kedutaan Indonesia di sini.

"Cara begitu lebih jelas matlamatnya...bukan melakukan perkara provokasi yang boleh menimbulkan kemarahan banyak pihak. Siapa tidak marah jika bendera negara mereka diperlakukan sedemikian rupa," katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata rakyat tidak seharusnya mengeruhkan keadaan yang akan memudaratkan hubungan di antara kedua-dua negara.

"Biarlah pihak yang bertanggungjawab buat kajian dan siasatan untuk dapatkan laporan terperinci, sebagai rakyat Malaysia jangan melompat, sabar, kita tidak tahu mungkin ada orang diupah untuk lontar najis ke kedutaan kita," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Malaysia Masood Khalid di sini hari ini.

Abdul Azeez berkata, beliau yakin Wisma Putra sedang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik bagi mengelakkan hubungan akrab yang terjalin selama ini terjejas.

"Siasatan biar menyeluruh, saya yakin perkara ini dapat diselesaikan secara istiqamah di mana akhirnya ia akan menguntungkan rakyat di kedua-dua negara," katanya.

Isnin lalu 37 anggota Bendera berdemonstrasi di hadapan bangunan kedutaan berkenaan dan membawa lima bungkus najis manusia sebagai "hadiah" kepada Malaysia, yang didakwa telah mencemarkan maruah Indonesia dengan cara lebih kotor daripada itu.

Seorang daripada mereka sempat melempar bungkusan najis ke dalam pintu pagar Kedutaan Besar Malaysia manakala yang lain bertindak melepaskan kotoran itu ke atas Jalur Gemilang yang mereka pijak di atas jalan raya.

Mereka melepaskan kemarahan terhadap Malaysia berikutan insiden di perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Bintan, Kepulauan Riau pada 13 Ogos yang menyaksikan bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menahan tujuh nelayan Malaysia, sementara Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian Indonesia itu. - BERNAMA

Bendera Malaysia dibakar, diludah dalam demonstrasi di Jakarta

JAKARTA: Penunjuk perasaan di hadapan kedutaan Besar Malaysia di sini terus bersikap liar dengan membakar dan meludah Jalur Gemilang serta bergaduh dengan pasukan polis Indonesia yang mengawal di situ hari ini.

Seramai 600 orang menyertai demonstrasi itu berteriak "ganyang Malaysia" bagi membantah apa yang mereka dakwa pencerobohan pihak berkuasa Malaysia di perairan perbatasan kedua-dua negara, berhampiran Bintan, Kepulauan Riau 13 Ogos lalu.
Ketika emosi memuncak, penunjuk perasaan bergaduh dengan pasukan Polis Indonesia yang menghalang mereka daripada menghampiri pintu pagar untuk masuk ke dalam kawasan kedutaan.
Mereka membaling batu dan selipar ke arah polis. Seorang daripada mereka ditahan polis kerana membaling sebatang buluh, yang sebelum itu digunakan untuk mengibarkan bendera Indonesia, ke arah pasukan keselamatan.

Insiden pada 13 Ogos itu membabitkan penahanan tiga pegawai penguatkuasa laut Indonesia oleh Polis Marin Malaysia ekoran penahanan tujuh nelayan Malaysia oleh bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia kerana didakwa meneroboh.

Malaysia mempertahankan bahawa nelayan tersebut berada di perairan sendiri apabila ditahan oleh pihak penguatkuasa Indonesia itu. Kesemua tahanan itu telah dibebaskan pada 17 Ogos.

Kumpulan penunjuk perasaan hari ini menuntut Malaysia memohon maaf serta meminta kerajaan Indonesia memanggil balik Duta Besar Indonesia di Malaysia. Keadaan reda apabila anggota kumpulan yang beremosi dapat ditenangkan oleh beberapa orang pemimpin kumpulan berkenaan.

Sejak insiden 13 Ogos itu, beberapa demonstrasi dilakukan oleh kumpulan-kumpulan kecil antara 20 dan 40 orang sahaja namun ia tetap ganas sehingga ada yang bertindak merosakkan plak nama Kedutaan Besar itu, memanjat pintu pagar dan tembok pintu pagar dan berdiri di atasnya.

Kerosakan pada harta benda kedutaan besar itu telah dilakukan oleh penunjuk perasaan dari kumpulan Laskar Merah Putih.

Penghinaan paling buruk dilakukan terhadap Malaysia ialah perbuatan melempar najis manusia ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di sini oleh penunjuk perasaan dari kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) pada Isnin lalu. - BERNAMA

Rumah Duta Besar Malaysia di Jakarta terus dikawal

JAKARTA: Untuk hari kedua berturut-turut, kediaman Duta Besar Malaysia di Patra Kuningan, Jakarta Selatan, terpaksa dikawal ketat oleh Polis Indonesia berikutan satu lagi ancaman demonstrasi dan melempar najis.

Semalam, kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) serta kumpulan gabungannya yang menamakan diri Pemuda Pemudi Anti Malaysia dilaporkan merancang melakukan perbuatan itu pada 10 pagi ini tetapi membatalkan niat itu atas sebab-sebab yang tidak diketahui.
Kumpulan sama bercadang meneruskan rancangan mereka namun sehingga petang ini, mereka belum muncul.

Seperti semalam, bahagian jalan di hadapan rumah Duta Besar Malaysia telah ditutup kepada lalulintas sejak pagi ini dan polis telah menempatkan anggotanya di sekitar kawasan itu.

Aksi demonstrasi ini dilakukan bagi membantah insiden penahanan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia oleh Polis Marin Malaysia pada 13 Ogos.

Dalam insiden itu bahagian penguatkuasa kementerian dari Indonesia itu turut menahan tujuh nelayan Malaysia. Kedua-dua pihak mempertahankan bahawa penahanan itu adalah bagi kesalahan pencerobohan terhadap wilayah perairan masing-masing.
Semua tahanan itu telah dibebaskan pihak berkuasa kedua-dua belah pihak pada 17 Ogos. - BERNAMA

Kumpulan kejiranan New York sambut baik rancangan bina masjid

NEW YORK: Gabungan keluarga mangsa yang terbabit dengan serangan 11 September 2001 mengadakan demonstrasi, Rabu (waktu Amerika Syarikat), sebagai tanda menyokong rancangan membina sebuah masjid berdekatan dengan tapak berlakunya serangan itu di Lower Manhattan.

Kumpulan yang menggelar diri mereka " Jiran New York untuk Nilai Amerika" berkumpul berdekatan "Ground Zero" dan tapak yang dicadangkan pembinaan pusat Islam dan masjid terbabit.
"Sebagai satu kumpulan dalam komuniti dan pertubuhan yang mewakili beratus dan beribu warga New York, kami mengalu-alukan rancangan membina pusat komuniti Islam di Lower Manhattan dan kami mengalu-alukan apa pun pusat yang mahu dibina di kawasan kejiranan ini," katanya. - AFP

Previous flashpoints between Malaysia, Indonesia

- October 2007: Indonesians dispute the use of Rasa Sayang in Malaysia's Tourism Board promotion.
- October 2008: Indonesian lawmakers protest against alleged territorial violations by Malaysia in Ambalat.
- June 2009: Indonesian model, Manohara Odelia Pinot, 17, alleged abuse by Malaysian prince Tengku Mohammad Fakhry.
- June 2009: Jakarta stopped sending maids to Malaysia temporarily until the two countries agreed on new measures to provide better protection to the workers.
- August 2009: Indonesian protesters vented their anger on Malaysia over alleged "theft" of everything from batik to dances and songs, calling Malaysia a "nation of thieves".
- August 2009: Indonesian media reports a labourer being beaten in Malaysian police lock-up.
- August 2009: Indonesia's state-owned recording company alleged that Negaraku was an imitation of Indonesia's song Terang Boelan, adapted from French song La Rosalie.
- February 2010: Indonesian demonstrators showed disrespect while Negaraku was played, which resulted in the Football Association of Indonesia, being fined US$5,000 (RM15,728) by the Asean Football Federation.

Wednesday, August 25, 2010

Indonesia diminta pastikan keselamatan rakyat Malaysia

PUTRAJAYA: Kerajaan Indonesia diminta memastikan keselamatan rakyat Malaysia di republik itu serta mengambil tindakan terhadap kumpulan yang melempar najis manusia ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata bukan sahaja nama baik Malaysia malah reputasi Indonesia turut tercemar akibat perbuatan sebegitu keji oleh segolongan rakyat negara itu baru-baru ini.
"Saya juga telah meminta kerajaan Indonesia memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Indonesia dipelihara, demi menjaga hubungan baik kedua-dua negara yang amat kita hargai," katanya kepada pemberita selepas bertemu Timbalan Duta Indonesia ke Malaysia, Tatang B Razak di Wisma Putra bagi mendapat penjelasan berkaitan perkara itu.
Beliau berkata tindakan berunsur provokasi seperti membakar dan memijak bendera Malaysia serta membaling najis, adalah satu penghinaan kepada Malaysia, malah perbuatan itu mencabar kedaulatan negara.

Beberapa pihak di Indonesia telah mengadakan demonstrasi sebagai tanda kemarahan terhadap Malaysia yang didakwa telah merendahkan maruah Indonesia dalam insiden penahanan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan negara tersebut oleh Polis Marin Malaysia di perairan Bintan pada 13 Ogos lalu. - BERNAMA

Malaysia minta UNESCO iktiraf Lembah Lenggong tapak warisan dunia

KUALA LUMPUR: Kabinet hari ini meluluskan rancangan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan supaya kawasan Lembah Lenggong di Perak dijadikan Tapak Warisan Dunia selepas Georgetown dan Melaka.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata Malaysia akan mengemukakan laporan dan cadangan kepada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) untuk mengiktiraf kawasan berkenaan sebagai tapak warisan.
"Kabinet telah meluluskan rancangan kementerian ini untuk menjadikan Lembah Lenggong sebahagian tapak warisan dunia bagi dikaji oleh UNESCO dan diiktiraf sebagai tapak sejarah dan tapak yang penting dari segi warisan Malaysia sendiri.
"Sekiranya UNESCO bersetuju, kita akan beroleh satu tapak lagi di mana zaman paleolitik, neolitik dan gangsa dapat disatukan sejarahnya dan juga artifaknya di Malaysia," katanya di sini, hari ini.

Rais berkata, penemuan rangka manusia purba “Perak Man” di kawasan Lembah Lenggong adalah antara faktor yang akan menarik perhatian UNESCO untuk menjadikan kawasan itu sebagai tapak warisan dan lokasi pelancongan dunia.

"Kita akan mendapat satu tambahan daya tarikan kepada Malaysia selain menunjukkan tamadun di Malaysia sudah berkembang dan kemanusiaannya diterima sebagai fakta sejarah.

"Yang ini baru dicadangkan kepada UNESCO...yang di Melaka dan Pulau Pinang sudah diterima. Jadi ini aspeknya sama tahap dengan Lembah Bujang, Kedah, tetapi di Kedah, isiannya berbeza, yang itu mengandungi artifak-artifak tamadun, tetapi di Lembah Lenggong, kita dapati artifak rangka manusia itu sendiri yang usianya sekitar 10,000 hingga 11,000 tahun yang lampau.
"Bukan itu saja, di Lenggong kita dapati beberapa tapak yang mungkin dapat menonjolkan tamadun lama dan sebab itu kita memohon kepada Unesco untuk mengiktiraf kawasan ini sebagai kawasan warisan dunia, yang boleh dijadikan sebagai aspek penceritaan sejarah dan aspek penceritaan warisan," katanya.

Ditanya berapa tempoh masa untuk UNESCO memberikan jawapan terhadap cadangan Malaysia itu, Rais berkata, keputusan berkemungkinan selepas satu tahun.

"Tetapi gerak kerja itu dilangsungkan sekarang sampailah dalam tempoh 10 hingga 11 bulan dan laporan itu akan diteliti oleh pakar-pakar dunia yang berpusat di Paris.

"Mereka akan buat keputusan sama ada persembahan kita menurut fakta sejarah atau keunikan aspek sejarah dan peninggalan arkeologi dapat dirumus sebagai tanda-tanda tamadun yang harus dikekalkan dan harus dipulihara," katanya. - Bernama

Rakyat Malaysia tidak digalak berkunjung ke Indonesia: Anifah

PUTRAJAYA: Wisma Putra tidak menggalakkan rakyat Malaysia daripada berkunjung ke Indonesia kecuali jika mempunyai urusan yang perlu disegerakan, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini Wisma Putra belum lagi mengeluarkan nasihat perjalanan rasmi ke Indonesia.
Ini berikutan tindakan 37 penunjuk perasaan mewakili Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) kelmarin yang melempar najis manusia di Kedutaan Malaysia di Jakarta dan memijak Jalur Gemilang.

Kafe tawar khidmat seks diserbu, 10 pelacur ditahan

PETALING JAYA: Dengan berselindung di sebalik lesen perniagaan restoran, tetapi satu sindiket pelacuran ligat menjalankan kegiatan urut seks dan servis pelacur di sebuah bangunan berdekatan Taman Bukit Mayang, di sini sejak tiga bulan lalu.

Difahamkan pemilik restoran terbabit memperoleh lesen bagi menjalankan perniagaan makan dan minum di tingkat dua bangunan itu, tetapi telah menyalahgunakan lesen itu dengan menawarkan khidmat pelacuran kepada pelanggan di tingkat tiga bangunan berkenaan yang turut dilengkapi dengan asrama untuk pelacur terbabit.
Dalam serbuan yang dilakukan pada 9.30 malam tadi yang diketuai Pegawai Operasi, Asisten Komisioner Lim Chee Wah dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, seramai 10 orang pelacur warga asing ditahan.
Mereka yang berumur antara 20 hingga 38 tahun membabitkan lima orang warga Indonesia, empat orang warga Vietnam dan seorang warga China.

Turut ditahan dua lelaki tempatan berumur 20 dan 40 tahun yang bertindak sebagai penjaga restoran berkenaan.

Katanya ketika diserbu, terdapat lima orang pelanggan di dalam premis berkenaan, bagaimanapun mereka dibebaskan selepas keterangan mereka diambil.

"Sebelum ini, serbuan yang sama telah dilakukan pada Mac lalu di restoran berkenaan namun kegiatan pelacuran masih lagi berlaku dan kita sedang memburu pemilik restoran bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan kegiatan pelacuran. - BERNAMA

Malaysia disenaraikan 37 terbaik dunia buktikan tuduhan pembangkang tidak benar

BACHOK: Penyenaraian Malaysia ke-37 terbaik di dunia dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kualiti hidup membuktikan tuduhan buruk parti pembangkang terhadap kerajaan adalah tidak benar.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata perspektif korup dan bankrupsi yang dilemparkan parti pembangkang selama ini terhadap pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) juga ternyata meleset.
"Mereka sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan, bukan mengutuk dan melemparkan tuduhan yang tidak berasas," katanya pada majlis berbuka puasa bersama warga kerja Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Tangok di sini, semalam.
Majalah Newsweek dalam laporannya dua hari lalu antara lain menyatakan Malaysia kini menduduki tangga ke-37 terbaik di dunia mengatasi Indonesia, Thailand, China, Filipina, India dan Vietnam dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kualiti hidup.

Majalah itu turut meletakkan Malaysia di tangga kelapan terbaik di dunia dalam bidang pendidikan berbanding negara membangun yang lain.

Awang Adek, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkata berasaskan laporan itu diharap parti pembangkang menghentikan pelbagai dakyah yang ditaburkan kepada rakyat supaya membenci kerajaan termasuk dakwaan FELDA bankrap, zalim dan tidak memberi perhatian untuk membela rakyat miskin dan orang Melayu.

Katanya, reformasi kerajaan itu kini telah menampakkan hasil apabila ramai di kalangan anak petani, pekebun kecil dan nelayan telah mendapat pendidikan tinggi dan mengecapi kualiti hidup lebih baik.
"Saya sendiri anak nelayan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed anak penanam tembakau dan ia sukar dicapai di negara lain yang kebanyakannya mereka yang berjaya dalam kualiti hidup terdiri daripada anak-anak golongan bangsawan," katanya.

Awang Adek berkata, ia akan menyerlahkan lagi dasar kerajaan seperti Model Ekonomi Baru (MEB), Pelan Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10). - Bernama

Polis tingkat kawalan penjualan, permainan mercun: Musa

KOTA BHARU: Berikutan kejadian menjual dan bermain mercun di musim perayaan ini sehingga mengakibatkan ada nyawa yang terkorban, pihak polis akan memperketatkan kawalan bagi mengekang kemasukan dan penjualan mercun serta bunga api.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata beliau telah mengarahkan ketua-ketua polis negeri dan daerah terutama di kawasan sempadan supaya segera bertindak membanters kegiatan tersebut.
"Mereka perlu memastikan tiada tempat yang boleh dijadikan lokasi menjual dan menyimpan mercun seperti yang berlaku di Terengganu dua hari lalu yang mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak.
"Saya telah mengarahkan semua anggota saya supaya memeriksa di semua tempat termasuklah di pasar Ramadan. Jual mercun sahaja kita akan segera ambil tindakan.

"Ketua-ketua polis di sempadan perlu awasi jangan berlaku penyeludupan mercun dan kita akan bekerjasama dengan semua pihak seperti kastam (Kastam Diraja Malaysia) bagi menangani masalah ini," katanya kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Ihya Ramadan bersama Pemangku Raja Kelantan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kelantan di sini malam tadi.

Turut hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalannya, Datuk Ahmad Yacob, dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Mengenai tragedi di Terengganu itu, Musa berkata ia perlu dielakkan sementara ibu bapa pula perlu sentiasa mengawasi anak-anak mereka daripada bermain mercun dan bunga api.
"Apa yang berlaku di Terengganu itu amat menyayat hati termasuk juga beberapa kes kecederaan lain akibat bermain mercun. Kita tidak mahu ada anak-anak kita yang tersadai di hospital kerana bermain mercun," katanya.

Dalam kejadian di Kampung Makam Lama, Cabang Tiga di Kuala Terengganu pada Ahad lalu, Khairul Arif Ayub, 6, maut dalam kejadian letupan di sebuah rumah tinggal yang dipercayai menjadi gedung simpanan bunga api dan mercun.

Dua orang lagi iaitu Mohd Asrizan Muda, 22, dan Mazlan Abdullah, 29, mengalami cedera parah dan masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Sehubungan kejadian itu, bapa kepada kanak-kanak berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan.

Mengenai pencegahan kemalangan jalan raya semasa musim perayaan ini, Musa berkata kira-kira 4,000 anggota polis akan diarahkan berkawal bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas dan seterusnya dapat mengelak kemalangan termasuk yang mengorbankan nyawa.

"Saya rasa jalan akan begitu sesak dan pengguna perlu ikut peraturan lalu lintas. Kita tidak mahu banyak kemalangan jalan raya berlaku sehingga kehilangan nyawa," katanya.

Mengenai isu yang membabitkan jawatan beliau yang dijadual tamat bulan depan dan terdapat pihak yang mahu ia dilanjutkan kerana prestasi beliau yang menyakinkan selama memegang jawatan Ketua Polis, beliau berkata perkara itu terserah kepada kerajaan.

"Saya tak boleh nak cakap apa. Ini kerajaan yang tentukan," katanya. - BERNAMA