Followers

Monday, June 1, 2009

H1N1: 11 masih dikuarantin

GEORGETOWN: Seramai 11 orang masih dikuarantin berhubung kes Influenza A (H1N1), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, lapan orang dikuarantin sebab pernah mempunyai hubungan dengan pesakit positif H1N1 di Singapura dan tempoh kuarantin mereka akan tamat esok.

Katanya, tiga lagi dikuarantin sehingga Khamis ini sebab mempunyai kaitan dengan kes di Hong Kong.

"Tiada lagi kes baru dilaporkan berlaku di negara ini, namun pemantauan akan terus dilakukan," katanya kepada pemberita hari ini.

Hanya dua kes dilaporkan positif di Malaysia sebelum ini iaitu pada 15 dan 16 Mei lalu yang juga adalah kes import.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata pelawat dari luar negara serta penduduk tempatan tidak perlu lagi bimbang dengan situasi wabak di dalam negara.

"Namun langkah penjagaan kebersihan diri perlu diberi perhatian," katanya.

Bagi peringkat antarabangsa, beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia memaklumkan bahawa Vietnam adalah negara terbaru yang mencatatkan kes pertama wabak itu, menjadikan bilangan keseluruhan 56 negara.

"Tiada kes kematian baru dilaporkan dan jumlah kematian di seluruh dunia kekal pada 115 kes," katanya. - Bernama

0 comments: