Followers

Friday, July 9, 2010

Tun Razak hero peribadi saya: Pakar ekonomi Australia

MELBOURNE: Seorang pakar ekonomi pertanian Australia menyanjung tinggi Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kerana visinya untuk membangunkan tanah rancangan dan meningkatkan taraf kehidupan pekebun kecil di Malaysia pada sekitar 1960an.

"Tun Abdul Razak adalah hero peribadi saya," kata Dr Colin Barlow pada persidangan ke-18 Persatuan Pengajian Asia Australia di University of Adelaide semalam ketika beliau membentangkan kertas kerja mengenai "Peralihan Pertanian di Malaysia 1960-2010".
Barlow berkata, bahawa sebaik tiba di Kuala Lumpur pada 1963 untuk bertugas di Institut Penyelidikan Getah, beliau mendapati bahawa agensi luar bandar dan badan-badan penyelidikan kekurangan kemampuan untuk meningkatkan mutu pertanian di Malaysia dan banyak yang perlu dilakukan.
"Apa yang harus dilakukan dalam suasana sekitar 1960an ini ialah memberi tumpuan yang lebih kepada meningkatkan taraf kehidupan pekebun kecil secara individu atau berkumpulan. Kami perlukan seorang yang mempunyai kuasa, yang rapat dengan rakyat dan memahami aspirasi mereka.

"Dan kami dapati orangnya ialah Tun Abdul Razak. Beliau menjadi arkitek dalam menyediakan penyelesaian praktikal kepada kehendak popular...itulah dia hero peribadi saya."

Barlow berkata, Tun Abdul Razak, yang menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Luar Bandar ketika itu, adalah seorang individu yang menggabungkan visinya yang hebat dengan kemahiran beliau sebagai pemimpin dan pentadbir ke arah memajukan skim tanaman semula dan pembangunan rancangan tanah baru.

"Tun Abdul Razak bertanggungjawab membawa perubahan kepada pendidikan dan kesihatan luar bandar dan membina jalan dan infrastruktur lain sebelum mempelopori transformasi lebih meluas di peringkat nasional menerusi Dasar Ekonomi Baru pada 1970an," katanya.
Barlow, yang sekian lama terbabit dalam pembangunan luar bandar terutamanya di Malaysia, Indonesia, Filipina dan Sri Lanka, memberitahu persidangan itu bahawa satu lagi inisiatif penting di Malaysia sekitar 1960an ialah pembentukan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang menjadi sebuah badan yang amat berjaya selepas melalui peringkat awal yang sukar.

Ia membuka dan menguruskan banyak kawasan tanaman, pertamanya dengan getah dan kemudiannya kelapa sawit, katanya.

Barlow berkata, bahawa satu daripada kunci kejayaan Felda ialah Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali, yang berkhidmat dengan lembaga itu selama 35 tahun, separuh daripada tempoh itu sebagai pengerusi Felda.

"Beliau adalah seorang pemimpin dan pentadbir berwawasan, dan tanpanya gergasi perusahaan sosial ini mungkin gagal," katanya.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mempunyai kecenderungan ke arah memajukan sektor pertanian selain untuk mencapai kesaksamaan sosio-ekonomi manakala seorang lagi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pekilangan serta teknologi maklumat dan komunikasi.

Barlow, yang mengakui jiwanya rapat dengan Malaysia, berkata beliau ternanti-nantikan Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana ia dilihat sebagai laluan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Saya benar-benar berharap ia akan merintis jalan ke arah kejayaan Malaysia yang berterusan," katanya.

Barlow berkata, bahawa sektor pertanian di Malaysia, yang dianggap enjin pertumbuhan ketiga, berpotensi untuk berkembang tetapi ini bergantung kepada kepimpinan masa depan.

Barlow pernah menulis beberapa buku mengenai Malaysia, yang terbaru berjudul "Malaysian Economics and Politics in the New Century". - Bernama

Permohonan pengiktirafan sekolah berprestasi tinggi dibuka

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran mempelawa semua sekolah dalam band satu untuk membuat permohonan pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian hari ini, pihak sekolah wajib mengisi borang pencalonan SBT yang boleh didapati menerusi portal NKRA-Pendidikan di http://www.moe.gov.my/nkra atau di http://apps/gov.my.nkra.
Permohonan itu telah dibuka mulai 2 Julai dan tarikh tutup 15 Julai, jam 12 tengah malam.
Bagaimanapun, permohonan itu terkecuali bagi sekolah SBT yang telah diiktiraf. - Bernama

Jakim akan teliti semula program ESQ: Mashitah

JERLUN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meneliti semula program motivasi anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ) yang diharamkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kerana dikatakan mendukung fahaman liberalisme.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata Jakim akan meneliti dan mendalami modul ESQ terlebih dulu untuk melihat dengan lebih jelas apa yang disifatkan sebagai menyeleweng itu.
"Kita akan semak semula modul itu kerana mereka (ESQ) ini peniaga, jadi kita tidak mahu menyekat rezeki orang, tetapi kita akan semak, jika benar ada penyelewengan yang berlaku, kita terpaksa ambil tindakan," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Jerlun di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul program berkenaan kerana ajarannya didapati menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.

Katanya, Jakim juga mempunyai rekod berhubung program yang dikendalikan ESQ.

"Program itu masih diteruskan dan hari ini, kita tidak boleh mengatakan sama ada ia sah atau halal kerana selepas ini, kita tidak tahu apa yang mereka buat, jadi kita akan memantau dari semasa ke semasa," katanya.

Mashitah berkata, beliau percaya keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul ESQ bagi membimbing atau mengelakkan pemesongan akidah.
"Masyarakat kita memang mudah sangat terikut dengan sesuatu perkara, tambahan pula perkara yang membabitkan kesedaran akidah. Tetapi kita perlu menjaga supaya ia tidak terseleweng daripada akidah.

"Kita akan ambil langkah awal untuk mengelakkan perkara itu berlaku kerana ia boleh membabitkan penyelewengan akidah yang lebih dahsyat jika dibiarkan," katanya. - Bernama

Muhyiddin yakin D-8 terus jadi gagasan kerjasama ekonomi tulen

MALAYSIA yakin Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) yang menamatkan Sidang Kemuncak Ketujuh di sini, kelmarin terus menjadi gagasan kerjasama ekonomi tulen dengan setiap negara menguatkan azam, menggembleng penyertaan swasta dalam projek pembangunan yang dirancang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata menerusi perbincangan ketua negara dan wakil kerajaan sempena sidang kemuncak itu, wujud kesungguhan jitu setiap negara anggota untuk memastikan D-8 terus kukuh, relevan dan mencapai objektif penubuhannya.
"Walaupun D-8 adalah organisasi membabitkan negara Islam, kita harap ia kerjasama membentuk yang kukuh dan menterjemahkan projek serta program yang dirancang.
"Ini kerana untuk memastikan D-8 lebih fokus, ia perlu membabitkan peranan swasta yang sepatutnya diberi kemudahan dan galakan kerana setakat ini ia belum membabitkan hasil konkrit," katanya pada sidang akhbar kepada wartawan Malaysia sebaik tamat sidang kemuncak itu, di sini, lewat petang semalam.

Menyifatkan persidangan kali ini sebagai berhasil, Muhyidddin berkata, D-8 mampu berkembang jauh kerana ia membabitkan gagasan besar dari segi potensi pasaran dengan lapan negara anggotanya membentuk lebih 980 juta penduduk.

"Kita lihat D-8 ada kemajuan dengan syarat Pelan Hala Tuju D-8 dan Pelan Tindakan 10 Tahun yang digariskan di Kuala Lumpur sebelum ini yang patut dilaksanakan, ia hendaklah diteruskan dan Malaysia komited untuk melihat semuanya dilakukan dengan baik.

"Cuma antara perkara yang perlu ditingkatkan lagi ialah peranan sektor swasta yang perlu dibabitkan di peringkat awal lagi dalam sesuatu projek yang dicadangkan," katanya.
Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri, menyokong resolusi Iran dalam Deklarasi Abuja untuk mewujudkan dana khas bagi membiayai projek usaha sama yang dirancang D-8 tetapi memerlukan perbincangan terperinci mengenai cara penubuhannya.

Mengenai kelewatan sebahagian besar negara anggota mengesahkan pembabitan dalam tiga perjanjian ditandatangani D-8 di Kuala Lumpur dua tahun lalu, beliau berkata, semua perjanjian itu sebenarnya penting dan dalam persidangan kali ini setiap negara anggota diingatkan mengenainya.

Tiga perjanjian itu ialah Prosedur Visa Ahli Perniagaan Negara Anggota D-8, Perjanjian Perdagangan Terpilih (PTA) dan Perjanjian Mengenai Pentadbiran/Prosedur Kastam. Hanya dua negara, Malaysia dan Iran mengesahkan penyertaan dalam Perjanjian PTA yang sepatutnya menjadi 'nadi penggerak' dalam memantapkan bidang kerjasama ekonomi D-8.

Mengenai cadangan Malaysia supaya D-8 turut menumpukan kepada sektor pertanian, beliau berkata ia mendapat perhatian selaras dengan usaha Kuala Lumpur sebelum ini yang mencadangkan penubuhan bank benih serta projek berkaitan bekalan dan keselamatan makanan.

Malah, katanya, kekuatan D-8 terserlah kerana sebahagian besar ekonomi negara anggota gagasan itu masih bertunjangkan sektor pertanian yang kaya dengan sumber asli dan semula jadi.

Mengenai kejayaan D-8 yang mungkin perlahan disebabkan ada negara anggota turut terbabit dalam forum atau blok ekonomi lain, beliau berkata meskipun ia berlaku, D-8 sepatutnya tidak dibayangi gagasan atau forum kerjasama serantau yang lebih besar sekiranya setiap negara dapat membezakan keutamaan dan tumpuan masing-masing.

Pemberian kuota bagi biasiswa JPA adil, munasabah: Muhyiddin

ABUJA (Nigeria): Kerajaan tidak akan berganjak dengan formula penawaran biasiswa tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan pemberian kuota tertentu yang diputuskan kerana ia adil dan munasabah serta bersesuaian dengan kemampuan kewangan kerajaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan tidak mampu memuaskan hati semua pihak kerana jumlah permohonan untuk mendapatkan tajaan biasiswa agak besar dan sentiasa meningkat setiap tahun.
"Tujuan kenyataan dibuat sebelum ini untuk perjelaskan beberapa kekeliruan mengenai biasiswa JPA dan itulah keputusan Kabinet setelah saya diarahkan untuk berbincang.
"Dalam perbincangan dengan dihadiri wakil MCA dan MIC, termasuk Sabah dan Sarawak, mereka terima apa yang diputuskan JPA kerana kita dapati asas pemberian yang digunakan itu adalah munasabah dan bersesuaian dengan kemampuan kerajaan yang terhad," katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir Sidang Kemuncak Ketujuh Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) di sini, malam tadi.

Beliau ditanya mengenai percanggahan pendapat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berhubung kaedah penawaran biasiswa JPA bagi Program Ijazah Luar Negara dan Program Ijazah Dalam Negara (PIDN).

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) kelmarin mahu kerajaan mempertahankan kuota dan hak kaum mereka berdasarkan Perlembagaan, manakala Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia dan Persatuan Hindu Sanggam mahu kuota biasiswa ditambah dan diberikan mengikut merit serta kegiatan kokurikulum pelajar.

Muhyiddin berkata, tujuan penjelasan dibuat supaya tidak ada pihak membangkitkan lagi perkara itu kerana formula pemberian bukannya baru tetapi sudah lama digunakan JPA sebelum ini.
Beliau menegaskan, empat kategori penawaran biasiswa JPA itu cukup jelas iaitu kategori pertama berdasarkan merit, manakala kategori kedua mengikut pembahagian kaum dengan didapati sebahagian besarnya diberi kepada Bumiputera dan bukan Bumiputera.

"Kategori ketiga pula adalah Sabah dan Sarawak supaya mereka tidak tertinggal dengan masing-masing peruntukan kuota lima peratus manakala kategori keempat dari segi keutamaan sosial seperti anak keluarga miskin," katanya.

Katanya, pihak terbabit tidak semestinya menumpukan kepada biasiswa pemberian JPA semata-mata sebaliknya pelbagai bentuk biasiswa lain dikurniakan untuk pelajar berjaya, termasuk MARA, PETRONAS dan yayasan lain.

"Kalau kita ambil kira, itu bukan satu sumber saja daripada JPA, jadi jangan kita dicampur adukkan dengan pemberian yang lain yang pastinya lebih besar lagi," katanya.

Mengenai kemungkinan diwujudkan satu pusat sehenti untuk menyelaraskan semua pemberian biasiswa termasuk swasta, beliau berkata, setakat ini belum ada cadangan untuk menggabungkan semua sumber berkenaan kerana setiap agensi mempunyai pertimbangan tertentu dalam pemberian berkenaan.

Mengenai perbalahan antara MCA dan PERKASA mengenai isu kepentingan kaum, beliau berkata, semua pihak mempunyai kepentingan atau bidang yang berbeza untuk diketengahkan dan kerajaan tidak boleh campur tangan mengenainya.

"Dalam kes ini, MCA ada pandangan atau isu, PERKASA atau NGO juga pula ada pandangan dan saya tidak fikir kerajaan nak campur tangan dengan mewujudkan garis panduan tertentu.

"Dalam demokrasi mereka berhak menyatakan pendapat dan pandangan. Kadang kala orang kata ia satu keadaan yang sihat, kalau tak ada debat tak sihat dan itu hak masing-masing," katanya.

Beliau, bagaimanapun menegaskan apa yang disuarakan oleh pihak atau badan tertentu itu bukan bermakna ia pandangan kerajaan dan berharap ia jangan sampai ke tahap yang menjejaskan soal keselamatan.

Mengenai akhbar Suara Keadilan mungkin diterbitkan selepas kerajaan tidak memperbaharui permitnya mulai 1 Julai lalu, Muhyiddin berkata, pihak berkaitan perlu mematuhi keputusan itu dan sekiranya masih berdegil mereka bakal berdepan tindakan undang-undang.

Dua gempa bumi sederhana dilaporkan di Taiwan

TAIPEI: Dua gempa bumi sederhana melanda pesisir laut timur Taiwan hari ini, iaitu selang beberapa jam antara satu sama lain, kata pakar seismologi.

Jabatan Kaji selidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS), berkata ia berlaku pada magnitud 5.3 kira-kira jam 8.41 pagi (waktu tempatan), 115 kilometer tenggara Taipei pada kedalaman 130 kilometer.
Gegaran itu turut dirasai di Taipei, bagaimanapun, tiada laporan kecederaan dan kerosakan susulan kejadian itu. - AFP

Sidang Kemuncak D-8 sedarkan pemimpin pencapaian dikecapi

ABUJA (NIGERIA): Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Sidang Kemuncak Ketujuh Kumpulan Lapan Negara-negara Islam Membangun (D-8) yang berakhir semalam boleh dianggap berjaya kerana ia menyedarkan perwakilan mengenai pencapaian pertubuhan berkenaan selama ini.

"Sebagaimana disebutkan dalam persidangan, sudah sekian lama perbincangan di adakan di peringkat D-8 namun hasil yang konkrit masih belum dilihat," katanya dalam satu persidangan media di sini.
Katanya, persidangan di Abuja ini dianggap penting untuk melihat satu kemajuan yang menggalakkan bagi memastikan kerjasama ekonomi antara negara-negara anggota dapat menghasilkan faedah untuk mereka.
D-8 yang ditubuhkan pada 1997 dianggotai oleh Bangladesh, Indonesia, Iran, Malaysia, Mesir, Nigeria, Pakistan dan Turki.

Muhyiddin berkata, berdasarkan perbincangan di semua peringkat pada sidang kemuncak kali ini, beliau melihat ada kesungguhan dari kalangan peserta untuk memastikan D-8 maju kehadapan walaupun pada masa yang sama negara-negera tertentu mempunyai agenda sendiri yang mereka perlu uruskan.

"Namun ini (D-8) adalah satu organisasi negara-negara Islam, kita hendak kerjasama ini adalah sesuatu yang menguntungkan, yang diharapkan di bawah kepimpinan Nigeria," katanya.

Pada persidangan semalam, Malaysia yang juga Pengerusi D-8 sejak 2008 menyerahkan jawatan Pengerusi Pertubuhan itu kepada Nigeria.
Malaysia pada persidangan ini mencadangkan supaya D-8 mengenal pasti syarikat-syarikat yang berminat dengan projek-projek bekalan makanan dan keselamatan makanan supaya projek-projek khusus seperti bank benih dan pembuatan baja dapat diteruskan, kerana semua anggota D-8 tahu mengenai kepentingan sektor pertanian dalam ekonomi mereka.

Muhyiddin berkata, D-8 turut memeterai satu perjanjian bagi memudahkan mengeluaran visa kepada golongan peniaga di kalangan negara-negara anggota, dan Malaysia yang meraktifikasikan perjanjian itu berharap negara-negara anggota akan mengambil langkah untuk memudahkan proses ini di negara masing-masing.

"Ini kerana masih ada negara yang belum meraktifikasikan perjanjian yang sebelum ini sudah dipersetujui bersama, dan saya harap perkara ini dapat dilaksanakan dengan segera bagi memudahkan golongan peniaga dan usahawan," katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga sedang meneliti beberapa perjanjian lagi untuk diratifikasikan, dan menurutnya beliau tidak melihat sebarang masalah untuk menjayakannya kerana semua perjanjian itu adalah sebahagian daripada deklarasi-deklarasi lebih awal.

Mengulas hala tuju D-8 di bawah pimpinan Nigeria untuk dua tahun akan datang, Muhyiddin berkata, Nigeria dan Sekretariat D-8 mempunyai tugas yang besar untuk menjadikan D-8 sebagai sebuah pertubuhan yang lebih berjaya.

Beliau juga berkata, tidak semestinya pertindihan matlamat antara negara-negara anggota yang menganggotai pertubuhan lain di peringkat antarabangsa menyebabkan D-8 lembab di dalam tindakan mereka.

Katanya, ia adalah kerana banyak manfaat yang boleh dinikmati oleh negara anggota kerana D-8 mempunyai pasaran yang besar membabitkan 980 juta orang dan rata-rata negara anggotanya adalah kaya dengan hasil bumi, dan memerlukan pembangunan serta prasarana yang boleh diterokai oleh pihak swasta daripada negara-negara anggota sendiri. - Bernama