Followers

Sunday, February 7, 2010

India uji peluru berpandu nuklear

BHUBHANESWAR (India): India berjaya menguji peluru berpandu nuklear hari ini, menurut sumber kementerian pertahanannya, beberapa hari selepas cadangan mengadakan perbincangan dengan Pakistan.

Peluru berpandu permukaan kepada permukaan Agni-III dengan jarak melebihi 3,000 km diuji daripada Kepulauan Wheeler, di luar pesisir pantai timur Orissa.

“Semua parameter dapat dicapai, ujian itu berjaya,” katanya sambil menambah, peluru berpandu berkenaan ditembak daripada landasan kereta api pelancar mudah alih.

Ia adalah ujian keempat senjata itu, di mana mampu membawa muatan konvensional atau nuklear seberat 1.5 tan dan menggunakan minyak. - AFP

Gempa kuat pada magnitud 6.3 gegar Taiwan, Jepun

TAIPEI: Gempa bumi kuat pada magnitud 6.3, menggegarkan dasar laut Taiwan dan Jepun, hari ini, kata pakar seismologi.

Katanya, setakat ini tiada laporan mangsa terbunuh dalam kejadian itu.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik berpangkalan di Hawaii dan perkhidmatan seismologi Taiwan tidak mengeluarkan amaran tsunami.

Bagaimanapun, agensi cuaca Jepun mengeluarkan amaran tsunami kecil.

Jabatan Kajiselidik Amerika Syarikat (USGS), berkata gempa yang melanda jam 3.10 petang (waktu Taiwan) pada kedalaman 16.5km di bawah dasar laut, berlaku di pulau Ishigaki, Jepun dan 225km tenggara utara Taiwan. - AFP

Tiada laporan kerosakan gempa di Ranau

KOTA KINABALU: Tiada laporan kerosakan harta benda atau aduan daripada penduduk kampung sekitar daerah Ranau berhubung kejadian gempa bumi lemah yang dikesan di daerah itu awal hari ini, kata Pegawai Daerah Ranau, Faimin Kamin.

"Mungkin ia berlaku jauh dari kawasan pekan Ranau, apa pun kita berterima kasih kerana tidak berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini," katanya, ketika dihubungi hari ini.

Daerah Ranau terletak di kaki Gunung Kinabalu iaitu gunung yang tertinggi di Asia Tenggara yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di Kuala Lumpur hari ini, satu gempa bumi lemah pada 2.6 skala Richter dikesan di kawasan itu.

Gempa itu dikesan berpusat di garisan lintang 6.1 Utara dan garisan bujur 116.8 Timur iaitu 11km dari timur laut Ranau dan 80km dari Kota Kinabalu, Sabah pada 2.07 pagi Ahad.

Gegaran kecil itu berkemungkinan dirasai di sekitar Ranau, kata kenyataan tersebut. - Bernama

MIC kemuka 12 cadangan RMK-10

KUALA LUMPUR: MIC akan mengemukakan 12 cadangan mengenai "Agenda untuk Pembangunan" masyarakat India sebelum akhir bulan ini bagi dimasukkan dalam pelan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kata presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu.

Beliau berkata, cadangan parti itu sudah siap dan akan dibincangkan pada mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Khamis ini sebelum dikemukakan kepada kerajaan.

Menurutnya, 12 cadangan itu dirangka MIC dengan kerjasama 75 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan kaum India dan Jabatan Pengajian Etnik Universiti Malaya (UM).

“Kita telah menyediakan satu laporan komprehensif yang kita siapkan dalam masa lebih tiga bulan,” katanya sebelum menyerahkan sumbangan cek yang kesemuanya berjumlah RM4,125 daripada Institut Pembangunan Pelajaran Maju (MIED) kepada 825 pelajar sekolah Tamil yang memperoleh 7A pada peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu, di sini hari ini.

Setiap seorang pelajar berkenaan menerima sumbangan cek itu bernilai RM500.

Beliau berkata, cadangan itu, antara lain, termasuk inisiatif khas untuk kaum India bagi tujuan pendidikan, ekonomi, latihan, perumahan, pekerjaan dan wanita.

Samy Vellu berkata, ia pertama kali MIC mendapatkan pandangan dan cadangan daripada banyak NGO dan sebuah institusi pengajian tinggi untuk menyediakan cadangan tersebut.

“Sebelum ini, cadangan itu (untuk Rancangan Malaysia) dirangka oleh pakar dan ahli akademik yang diambil MIC tetapi kali ini, kita mahu orang biasa memberikan input dan maklum balas mereka melalui NGO,” kata beliau.

Beliau berharap kerajaan akan mengkaji cadangan parti itu dan membuat penyelarasan yang perlu terhadap RMK-10 yang dijangka dibentangkan pada Parlimen Jun ini.

Mengulas langkah untuk memberikan nafas baru kepada MIC, katanya hasilnya “sangat positif” dengan lebih ramai kaum India memohon bantuan daripada parti itu untuk menyelesaikan pelbagai masalah mereka.

“Kita kini peroleh antara 100 dan 200 kaum India datang ke ibu pejabat MIC setiap hari untuk minta bantuan daripada MIC, barulah kita dalam landasan yang betul,” katanya.

Berikutan peningkatan bilangan kaum India memohon bantuan daripada parti itu, Samy Vellu memutuskan untuk memperkenalkan semula sesi bertemu dengan orang ramai pada setiap Selasa di ibu pejabat MIC mulai bulan depan.

Beliau juga berkata, parti tersebut telah melancarkan “Program Dahulukan Rakyat” di semua 3,600 cawangan di seleuruh negara di mana sekurang-kurangnya satu program utama yang membabitkan masyarakat itu yang perlu dijalankan oleh cawangan berkenaan setiap bulan.

“Kita mula memantau cawangan berkenaan dan tidak lama lagi kita akan menilai mereka menerusi kad pungutan peringkat tinggi, Petunjuk Pencapaian Utama dan penarafan bintang,” tambah beliau. - Bernama

Gempa bumi lemah dikesan di Sabah awal pagi

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi lemah berukuran 2.6 pada skala Richter dikesan di Sabah, awal pagi ini.

Gempa itu dikesan berpusat di garisan lintang 6.1 Utara dan garisan bujur 116.8 Timur iaitu 11km dari timur laut Ranau dan 80km dari Kota Kinabalu, Sabah pada 2.07 pagi ini.

Gegaran kecil itu berkemungkinan dirasai di sekitar Ranau, kata Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan. - Bernama

Rangka manusia zaman Mesolitik ditemui di Gua Bewah

HULU TERENGGANU: Sekumpulan arkeologis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu, yang menjalankan kerja ekskavasi di Gua Bewah, Tasik Kenyir, sejak tiga bulan lalu, menemui rangka manusia yang dipercayai dari zaman Mesolitik.

Timbalan Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu (Atma), UKM, Prof Datuk Dr Nik Hasan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, berkata rangka manusia zaman Mesolitik yang dipercayai remaja itu dianggar berusia 8,000 hingga 11,000 tahun.

"Rangka pra sejarah itu ditemui pada kedalaman 65 sentimeter (sm) hingga 70 sm yang disemadikan dalam keadaan merengkok dan kita telah menghantar sampel DNA (asid deoksiribonukleik) ke Amerika Syarikat untuk dianalisis.

"Keputusannya dijangka diketahui selewat-lewatnya bulan depan," katanya kepada pemberita selepas Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, dan media melawat ke gua berkenaan di sini hari ini.

Nik Hasan Shuhaimi berkata, penemuan rangka manusia pra sejarah ini adalah kali kedua di Tasik Kenyir selepas kali pertama ditemui di Gua Batu Tok Bidan, Tasik Kenyit pada 1975.

Beliau yang mengetuai kerja ekskavasi bersama Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Mohd Yusof Abdullah, dan 33 anggota cari gali lain berkata ia adalah penemuan penting sejarah ketamadunan manusia di Malaysia.

"Selain rangka manusia turut dijumpai di gua berkenaan adalah serpihan tembikar tanah yang dipercayai dari zaman Neolitik.

"Di antara serpihan tembikar itu terdapat serpihan yang tertulis corak seakan-akan tulisan lukisan batu yang pernah ditemui oleh pengkaji di tapak cari gali zaman Neolitik yang lain di seluruh Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan negeri akan meneruskan usaha cari gali bagi mencari artifak bersejarah lain.

Katanya, artifak yang ditemui di Gua Bewah tidak akan ditempatkan di muzium, sebaliknya dikekalkan dan diletakkan dalam bingkai kaca untuk tatapan pengunjung.

"Kita tak bercadang untuk bawa pulang artifak yang ditemui dan kita akan kekalkan ia di sini dalam usaha kita menarik kedatangan pelancong ke negeri ini dan ke Tasik Kenyir," katanya.

Bagi meneruskan usaha cari gali artifak bersejarah di gua berkenaan, Ahmad berkata gua itu akan ditutup sementara mulai hari ini kepada orang ramai.

Mengenai cadangan untuk memajukan Tasik Kenyir dengan mewujudkan Pulau Burung, Pulau Rama-rama dan Taman Orkid bagi meningkatkan kedatangan pelancong, Ahmad berkata ketiga-tiga cadangan itu kini dalam proses pelaksanaan.

"Bagi Pulau Burung yang akan mempunyai lebih 40 spesis burung, kita menjangkakan ia akan dapat dibuka kepada orang ramai April ini. Ia kini berada di tahap 85 peratus pelaksanannya.

"Bagi Taman Orkid pula, buat masa ini kita tanam orkid liar dan dijangka dalam tempoh enam bulan kemudian, ia akan turut dibuka manakala Pulau Rama-rama kita akan laksanakan nanti. Semuanya kita laksanakan berperingkat," katanya. - Bernama