Followers

Tuesday, February 23, 2010

Harga ikan dijangka melambung

IPOH: Penguatkuasaan peraturan mewajibkan penggunaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) mulai 1 Mac ini bakal menyebabkan kenaikan harga ikan dan makanan laut lain secara mendadak serta bekalan yang merosot di pasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pengimport/Pemborong Ikan dan Sumber Laut Malaysia, Datuk Yusoff Ismail, berkata senario itu tidak dapat dielak sekiranya penguatkuasaan peraturan berkenaan diteruskan.

"Apa yang kita takuti, nasib rakyat yang juga pengguna akan menjadi taruhan kerana dengan peningkatan kos operasi sudah tentu harga ikan melambung tinggi di pasaran, sekali gus membebankan mereka," katanya pada sidang akhbar di pejabat Persatuan Pengimport dan Pemborong Ikan Perak, di sini hari ini.

Yusoff berkata, kenaikan harga tidak dapat dielak kerana pengimport terpaksa menokok harga membeli peti KIBFG sehingga hampir RM100 sebuah berbanding sekarang.

"Sebagai perbandingan, harga kotak 30 kilogram yang digunakan sekarang adalah RM28 manakala KIBFG mencecah RM120.

"Begitu juga kotak KIBFG bagi 100 kg iaitu RM205 jauh lebih tinggi dengan harga biasa iaitu RM150," katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan peraturan pengimportan ikan basah itu secara langsung akan mengakibatkan harga ikan melambung tinggi di pasaran.

Penguatkuasaan peraturan berkenaan yang sepatutnya dilaksana tahun lalu, ditangguh berikutan bantahan pengimport dan pemborong ikan kerana harga kotak ikan berinsulasi tinggi yang dikatakan terlalu mahal.

Yusoff berkata, bagaimanapun jawatankuasa berkenaan tidak berhasrat menghentikan operasi membawa masuk bekalan ikan seperti yang pernah dilakukan Mac tahun lalu.

Mulai 1 Mac ini, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan mewajibkan penggunaan KIBFG yang bertujuan memastikan kualiti ikan yang dibawa masuk ke negara ini lebih selamat, bersih dan segar sejajar dengan pembaharuan dalam industri perikanan pada masa sekarang.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar, pada Oktober lalu berkata penguatkuasaan penggunaan KIBFG itu mengambil kira pewartaannya pada 2006 yang tertangguh disebabkan pelbagai alasan daripada pihak terlibat khususnya pemborong dan pengimport ikan. - Bernama

Pembunuhan pemandu pejabat konsul malaysia diselubungi misteri

MELBOURNE 22 Feb. - Kematian pemandu di Jabatan Penuntut Malaysia akibat ditikam dan dibelasah dengan tukul di Sydney, masih diselubungi mistri.

Polis berkata, ada kemungkinan, Mohd. Shah Saemin, 43, menjadi mangsa pergaduhan di jalan raya pada pagi Isnin.

Saksi berkata, mereka melihat dua lelaki mengejar Mohd. Shah di seberang sebatang jalan raya, sebaik saja mangsa sampai di rumahnya di Leichhardt, sejurus selepas tengah malam Isnin.

"Kami percaya telah berlaku satu kemalangan jalan raya...sejurus sebelum serangan itu berlaku," kata Pemangku Supritendan Shayne Woolbank seperti yang dipetik agensi berita Australian Associated Press.

Ditanya sama ada serangan itu berpunca daripada pergaduhan di jalan raya, Woolbank berkata: "Ini antara kemungkinannya". Penyerang terbabit kali terakhir dilihat meninggalkan tempat kejadian dengan menaiki sebuah kereta sedan berwarna hitam dan polis mengesahkan seorang daripada mereka berambut kerinting.

Imej tentang pembunuhan itu, yang disiarkan di televisyen Australia dan akhbar Sydney hari ini, menunjukkan seorang petugas wanita di pejabat konsul Malaysia, menjerit dan menangis.

Anggota pasukan bantuan kecemasan dipanggil membantu mangsa, yang akhirnya meninggal dunia walaupun para pegawai polis memberi bantuan pernafasan menggunakan kaedah CPR kepadanya.

"Pada peringkat ini, kami percaya dia cedera akibat beberapa kesan tikaman serta luka dan calar," kata Woolbank.

Beliau juga mengesahkan tukul mungkin digunakan dalam serangan itu.

"Tidak syak lagi, ini satu serangan ganas," katanya.

Mohd. Shah kini adalah warganegara Australia dan tinggal di Sydney sejak kira-kira tiga tahun lepas.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Pejabat Konsul Malaysia di Australia, Dr. Mohd Nasir Abu Hassan berkata, petugas di pejabat itu terkejut dengan kejadian berkenaan.

"Dia sangat baik dan tidak banyak cakap. Dia seorang yang sangat tenang dan amat patuh pada arahan," katanya.

Dr. Mohd. Nasir berkata, persiapan sedang dibuat bagi menghantar pulang mayat mangsa kepada keluarganya di Malaysia.

Beliau berkata, Mohd. Shah telah menetap di Australia selama 10 tahun dan bertugas dengan pejabat berkenaan sejak tiga tahun lepas.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, dalam kenyataannya hari ini, berkata kementerian berkenaan telah dimaklumkan tentang kematian Mohd. Shah, yang kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada keluarga dan waris mangsa.

"Mereka memohon agar mayat Mohd. Shah dibawa pulang untuk dikebumikan di Melaka," kata beliau.

Anifah berkata, Mohd. Shah telah melepaskan taraf warganegara Malaysianya pada 2004 dan menjadi warganegara Australia serta tinggal di Sydney sejak kira-kira tiga tahun lepas.

"Kementerian ini mengucapkan takziah kepada keluarga Mohd. Shah atas pemergian Allahyarham dan akan menghulurkan bantuan sewajarnya melalui pejabat Suruhanjaya Tinggi kita di Australia," katanya.

"Saya menggesa polis Australia dan pihak berkuasa berkenaan di negara itu supaya menjalankan penyiasatan penuh terhadap kes ini bagi memastikan sama ada kejadian berkenaan merupakan kes samseng jalanan, bukan jenayah disebabkan kebencian terhadap kaum," katanya. - Bernama

RM3.4 bilion untuk Sarawak


Najib Tun Razak meninjau keadaan Sungai Batang Sadong dekat Pekan Simunjan, Sarawak, semalam. Perdana Menteri diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri Simunjan, Mohd. Naroden Majais (kanan). – BERNAMA


SRI AMAN 22 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghargai kepentingan Sarawak hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM3.4 bilion untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur di negeri itu terutamanya untuk penduduk pedalaman yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2012.

Perdana Menteri berkata, kerajaan Pusat menyediakan pelan perancangan dan kaedah pelaksanaan yang rapi untuk mencapai sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) dari segi pembangunan prasarana seperti bekalan elektrik, air bersih, pembinaan jalan raya dan rumah orang miskin di luar bandar di pedalaman Sarawak.

‘‘Tujuan saya datang (ke Sarawak) antaranya untuk melihat kejayaan yang telah kita lakukan serta untuk memberi komitmen dan keyakinan bahawa banyak lagi projek luar bandar akan kita laksanakan seperti akujanji kita kepada rakyat Sarawak di bawah konsep Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI) terutama sekali melibatkan pembangunan prasarana luar bandar,” kata beliau.

Beliau menambah kerajaan begitu komited untuk meningkatkan keperluan prasarana di bawah NKRA pembangunan prasarana yang boleh dilihat melalui peruntukan kerajaan sebanyak RM3.4 bilion itu.

Najib berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar bernilai RM5.8 juta di Rumah Radin, Lachau Ulu, Lachau di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri George Chan Hong Nam dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Najib berkata, laporan tentang program pembangunan prasarana itu akan dikeluarkan apabila tiba masanya kerana ada daripada projek tersebut sedang dalam pelaksanaan untuk faedah rakyat yang menaruh kepercayaan kepada kerajaan sedia ada.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, apa yang dilakukan kini adalah untuk meneruskan kesinambungan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam menyediakan kemudahan untuk rakyat.

Dalam hal itu kata beliau, apa yang dekat pada hatinya ialah mengenai pembangunan luar bandar kerana terpengaruh dengan sifat ayahnya, Allahyarham Tun Abdul Razak yang dikenali sebagai Bapa Pembangunan Malaysia.

‘‘Allahyarham ayah saya berjalan beribu-ribu batu, beliau pernah pergi ke Kampung Pichin pada tahun 1966 dan saya juga telah ke sana pada tahun lepas. Saya tidak tahu macam mana ayah saya boleh sampai ketika itu,” kata beliau.

Najib memberitahu, salah satu misi yang dekat di hatinya dan ingin diselesaikan ialah agenda pembangunan luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak.

Turut mendapat perhatian beliau dalam ucapannya ialah mengenai janji pembangkang yang disifatkan sebagai janji ‘orang yang belum mendapat kuasa.’

‘‘Jangan ikut pembangkang yang datang bermusim. Bila orang tiada kuasa mudah untuk mereka menabur janji,” katanya.

Najib berkata, pembangkang kini mengalami sindrom tidak percaya kepada pemimpin atasan yang banyak berlaku di Semenanjung dan apabila pemimpin atasan tidak dipercayai lagi, ia sudah tentu akan memberi kesan kepercayaan rakyat kepada parti pembangkang.

6,000 HAKTER KAWASAN HUTAN TERBAKAR

1902_front_a
TERBAKAR ... gambar diambil dari udara menunjukkan kawasan padang ragut Nukahan sedang terbakar.
BEAUFORT: Lebih 6,000 hakter tanah milik penduduk dan kawasan padang ragut (grazzing reseve) di Nukahan dekat Kuala Penyu dan Kampung Luagan berdekatan Hutan Simpan Klias di sini musnah dalam kebakaran sejak seminggu lalu.

Cuaca panas yang berlaku di kedua-dua kawasan itu telah memusnahkan 5,000 hakter di Nukahan manakala 1,000 hakter lagi di Kampung Luagan.

Wakil Rakyat Lumadan, Kamarlin Haji Ombi yang membuat tinjauan dari udara bersama kaki- tangan Jabatan Perhutanan dengan menggunakan helikopter berkata, kebakaran juga di lihat bertompok-tompok di kebanyakan kawasan lain.

Bagaimanapun katanya, jumlahnya tidaklah luas tetapi kebakaran itu adalah penyumbang kepada keadaan jerebu masa kini yang melanda daerah ini sejak dua minggu lalu.

Beliau berkata, usaha memadam kebakaran tanah milik penduduk di Luagan dalam daerah Beaufort, sedang dilakukan oleh Jabatan Bomba bersama Jabatan Perhutanan dari terus merebak ke kawasan Hutan Simpan Klias yang mempunyai keluasan kawasan 3,360 hektar yang merupakan Hutan Simpan Kelas Satu.

“Dari siasatan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Perhutanan mendapati kebakaran ini dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka yang dilakukan oleh petani menyebabkan kebakaran tidak dapat dikawal lalu merebak ke kawasan orang lain,” katanya.

Beliau yang kesal dengan sikap ini berkata, tindakan para petani yang mengambil jalan mudah untuk membersihkan kawasan tanah mereka menyebabkan beribu-ribu hakter kawasan hutan ini terbakar.

“Perbuatan mereka ini juga menyebabkan beratus-ratus ekar tanah pertanian seperti ladang getah, ladang kelapa sawit dan nenas terbakar,” katanya.

Pada masa yang sama Kamarlin meminta Jabatan Air melakukan pencatuan bekalan air jika perlu untuk memastikan semua pengguna mendapat bekalan air.

“Saya minta Jabatan Air bersedia menghantar bantuan bekalan air ke kawasan-kawasan yang terjejas untuk meringankan bebanan rakyat,” katanya.

Sementara itu seorang jurucakap Jabatan Hutan yang terlibat dalam tinjauan udara itu berkata, kebakaran juga sedang berlaku di kawasan Hutan Simpan Binsulok yang mempunyai keluasan 12 ribu hektar dan setakat ini kira-kira 100 hektar telah terbakar.

Hutan Simpan Binsulok juga adalah merupakan Hutan Simpan Kelas Satu (1), dan Jabatan Perhutanan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang mengawal kebakaran daripada merebak lebih jauh ke dalam hutan simpan itu.

Mengenai kebakaran di Kg Luagan, beliau berkata, ianya belum memasuki kawasan hutan simpan Klias.

“Jabatan Perhutanan dengan 80 kekuatan kakitangannya sedang menjalankan operasi me- madamkan kebakaran dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat di kedua-dua daerah ini,” katanya.

Sementara itu Penguasa Zon Beaufort Jabatan Bomba dan Penyelamat Alexander Jalinon berkata kebakaran sedang berlaku di Nukahan Kuala Penyu seluas 5,000 daripada 10,000 hakter juga merupakan kawasan padang ragut.

Beliau berkata operasi memadamkan kebakaran sedang dijalankan dan keadaan ini masih terkawal dan berharap ianya akan dapat dipadamkan dalam tempoh terdekat.

Keserasian Kerajaan Pusat, Sarawak licinkan pembangunan: Najib

SARATOK: Persefahaman tinggi di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak selama ini berjaya melicinkan lagi usaha pembangunan di negeri ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, persefahaman ini membolehkan Kerajaan Pusat memberikan tumpuan kepada isu-isu pembangunan yang dihadapi rakyat di negeri ini.

Berucap merasmikan Projek Elektrik Luar Bandar di Rumah Panjang Juliana Bedus di sini, Perdana Menteri berkata, tumpuan usaha pembangunan ini tidak berlaku di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

"Di Semenanjung, ada negeri yang tidak sehaluan dengan Kerajaan Pusat menjadi kucar-kacir, tak dapat mengurus keluarga masing-masing dan bergaduh sesama sendiri," katanya.

Najib berkata demikian dalam rangka lawatan dua hari ke Sarawak.

Katanya, rakyat Sarawak akan terus mendapat manfaat, termasuk mendapat peruntukan besar untuk pembangunan sektor luar bandar, hasil daripada kerjasama erat di antara Kerajaan Pusat dan negeri ini.

Perdana Menteri berkata, rakyat luar bandar di Sarawak akan dapat menyaksikan perubahan besar daripada segi pembangunan infrastruktur menerusi peruntukan RM3.4 bilion Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor itu dalam tempoh tiga tahun sehingga 2012.

Najib turut memberi jaminan struktur masyarakat di Sarawak akan tetap dihormati dan diambilkira dalam setiap pembangunan yang dirancang kerajaan.

"Sarawak layak untuk mendapat segala kemudahan kerana keyakinan rakyatnya dan ini tanggungjawab kita (kerajaan) untuk menyediakan segala kemudahan ini," katanya. - Bernama

Pemandu Konsulat Malaysia mati dibunuh di Sydney

MELBOURNE: Seorang pemandu Konsulat Malaysia mati ditikam dan dihentak menggunakan tukul di Sydney, awal pagi ini.

Kejadian dipercayai bermotifkan buli jalanan terhadap mangsa, seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 43 tahun yang telah menjadi warga Australia dan tinggal di Sydney sejak kira-kira tiga tahun lalu.

Kejadian berlaku ketika mangsa tiba di rumahnya di Marion Street di Sydney yang terletak di pinggir bandar sebelah barat Leichhardt awal pagi ini apabila saksi melihat dua lelaki mengejar mangsa di seberang jalan.

"Kita percaya terdapat kemungkinan berlaku kemalangan... sebaik sebelum serangan dilakukan," kata pemangku Superintenden Shayne Woolbank yang dipetik sebagai berkata akhbar The Daily Telegraph di tempat kejadian pagi ini.

Ditanya sama ada buli jalanan menjadi motif serangan, Woolbank berkata: "Ia satu daripada kemungkinan."

Penyerang mangsa kali terakhir dilihat meninggalkan tempat kejadian dengan menaiki sebuah kereta sedan berwana hitam.

Mangsa yang namanya masih belum dikeluarkan oleh pihak berkuasa cuba diselamatkan oleh krew kecemasan yang dihubungi untuk membantu mangsa, namun gagal ketika seorang pegawai polis cuba memberikan bantuan pernafasan.

"Pada peringkat ini, kita percaya beliau mengalami beberapa kesan kecederaan akibat tikaman dan juga beberapa kesan lebam dan luka," katanya.

Polis turut mengesahkan penyerang menggunakan tukul ketika menyerang mangsanya.

"Ia tidak dapat dinafikan sebagai satu serangan yang ganas terhadap mangsa," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Australia, Dr Mohd Nasir Abu Hassan menyifatkan mangsa seorang sebagai seorang yang penyayang terhadap rakan-rakanya dan tidak suka terlibat dalam sebarang pertelingkahan. - Bernama