Followers

Sunday, January 17, 2010

Kami semua panik apabila bot terbalik: Mangsa

GEORGETOWN: "Semua berlaku dalam sekelip mata...kami semua cemas dan panik dan ada antara kami yang terus tenggelam," kata seorang mangsa terselamat dalam kejadian perahu naga terbalik akibat dipukul ombak di sini, pagi tadi.

Kuah Zi Xu, 17, ketika menceritakan detik cemas itu, berkata selepas mendayung selama 45 minit, mereka cuba membuat pusingan 'U' untuk berpatah balik apabila secara tiba-tiba bot mereka dipukul ombak tinggi.

Pelajar tersebut adalah antara 12 mangsa yang terselamat dalam peristiwa sedih tragedi itu ketika menjalani latihan di kawasan perairan dekat Lebuh Macallum di sini, pada jam 8.45 pagi tadi.

"Kerana dipukul ombak, bot kami kemudiannya terlanggar sebuah tongkang di kawasan perairan itu sebelum terbalik dan kami semua terjatuh ke dalam air," katanya yang ketika itu duduk mendayung pada bahagian belakang bot itu.

Katanya, selepas itu ramai di antara mereka terselamat apabila berenang ke arah sebuah bot yang secara kebetulan berada di kawasan berhampiran untuk menyelamatkan diri.

Kuah, yang masih trauma dengan tragedi itu, menyifatkan apa yang berlaku sebagai sesuatu yang sukar dipercayai.

"Saya macam tidak percaya, saya tak mahu cerita lagi, saya sangat sedih", katanya.

Jurucakap Pasukan Mencari dan Menyelamat, Timbalan Penguasa Bomba, Skein Citbanchong, berkata, setakat ini dua orang, iaitu pelajar Jason Ch'ng 17 dan seorang guru Chin Ai Fang sudah ditemui mati lemas.

Empat lagi pelajar iaitu Brandon Yeoh, 17, Yong Xiang, 16, Koh Yiz Hiang, 17, dan Cheah Zi Jun, 17 masih belum ditemui.

Mereka adalah antara 18 anggota pasukan pendayung perahu naga Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Ling Air Itam di sini yang sedang menjalani latihan bagi menghadapi Kejohanan Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang pada pertengahan tahun ini. - Bernama.com

KPDNKK kaji had kuota petrol

KANGAR: Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengkaji tindakan mengehadkan kuota bagi setiap pam minyak khususnya di sekitar sempadan Malaysia-Thailand.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia bagi mengelakkan subsidi petrol dan diesel disalahgunakan untuk tujuan penyeludupan.

Beliau berkata demikian ketika meninjau operasi stesen minyak di sekitar sempadan, sebentar tadi.

Amaran hujan lebat di Sabah hingga Selasa depan

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi hari ini, mengeluarkan amaran hujan sederhana kadang kala lebat peringkat jingga di beberapa kawasan di Sabah yang diramal berterusan sehingga Selasa ini.

Menurut kenyataan jabatan itu, ia membabitkan bahagian Sandakan (Beluran dan Kinabatangan), Pantai Barat (Kota Belud, Tuaran, Papar, Kota Kinabalu dan Penampang), Beaufort, Kota Marudu dan Lahad Datu.

Jabatan itu juga mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat kuning sehingga Selasa ini di Tongod, Ranau, Kuala Penyu, Tambunan, Keningau dan Tenom.

Keadaan itu jika berterusan boleh menyebabkan banjir dan tanah runtuh di kawasan tanah rendah berdekatan tebing-tebing sungai, demikian menurut kenyataan itu. - Bernama.com

Perahu naga tenggelam: Mayat pelajar 17 tahun ditemui

GEORGETOWN: Mayat seorang pelajar yang dikenal pasti Jason Ch’ng, 17, ditemui kira-kira jam 2.50 petang tadi.

Pelajar terbabit adalah mangsa kedua yang ditemui daripada enam hilang susulan kejadian perahu naga yang tenggelam pagi tadi, selepas jurulatih mereka disahkan mati sebelum ini.

Setakat ini, empat pelajar lain masih hilang dan usaha mencari diteruskan.

Perahu naga tenggelam: Jurulatih sah maut, 5 masih hilang

GEORGETOWN: Jurulatih yang dilaporkan selamat sebelum ini adalah mangsa yang disahkan mati dalam kejadian perahu naga yang tenggelam pagi tadi, kata Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Gan Kong Meng.

Beliau berkata, mangsa dikenali sebagai Chin Ai Siang adalah seorang daripada enam yang dilaporkan hilang apabila perahu naga itu terbalik ketika cuba membelok.

“Kejadian dipercayai berpunca ketika perahu naga itu cuba membelok sebelum terbalik dipukul ombak besar,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Gan berkata, ketika ini lima pelajar masih hilang dan gerakan mencari diteruskan.

Kelima-lima pelajar yang masih hilang adalah Brandon Yeoh, 17; Jason Ch’ng, 17; Yong Xiang, 16; Koh Yizhiang, 17 dan Cheah Zi Jun, 17.

Sementara itu, seorang mangsa terselamat yang tidak mahu dikenali, berkata ketika kejadian hanya 11 orang yang memakai jaket keselamatan manakala baki pelajar lain tidak memakainya.

Beliau berkata, dipercayai yang masih hilang adalah mangsa yang tidak menggunakan jaket keselamatan.

Perahu naga tenggelam: 6 pelajar dikhuatiri lemas di Pulau Pinang

GEORGETOWN: Enam pelajar Sekolah Menengah Chun Ling dikhuatiri lemas selepas perahu naga yang dinaiki 17 orang termasuk guru tenggelam di perairan Lebuh Macalom jam 8.30 pagi tadi.

Pelajar terbabit dikatakan sedang menjalani latihan perahu naga dan 11 yang lain dapat menyelamatkan diri.

Perahu naga tenggelam: Seorang pelajar maut, jurulatih selamat

GEORGETOWN: Seorang jurulatih yang terbabit dalam kejadian perahu naga tenggelam pagi tadi ditemui dalam keadaan selamat kira-kira jam 11 pagi ini, manakala mayat seorang pelajar berusia 17 tahun ditemui jam 11.15 pagi.

Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum diketahui.

Setakat ini, empat daripada enam yang hilang masih belum ditemui dan gerakan mencari diteruskan.

PBB sahkan ketua misinya antara terkorban di Haiti

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): Ketua PBB, Ban Ki-Moon, mengesahkan ketua misi pertubuhan itu ke Haiti, Hedi Annabi dan timbalannya daripada Brazil, antara yang terbunuh dalam kejadian gempa baru-baru ini yang turut meranapkan ibu pejabat utama di negara terbabit.

"Sama amat sedih untuk mengesahkan kematian tragik wakil khas kami ke Haiti, Hedi Annabi. Beliau dan timbalannya, Luiz Carlos da Costaa dan pemangku komisioner polis daripada Polis Diraja Kanada, Doug Coates disahkan antara yang terkorban," katanya dalam satu kenyataan.

Pengumuman itu menjadikan jumlah keseluruhan wakil PBB yang terkorban mencecah 40 orang dalam kejadian gempa Selasa lalu yang mencatatkan ukuran 7.0 skala Ritcher, di mana turut meragut sekurang-kurangnya 50,000 nyawa, menurut pihak berkuasa Haiti. - AFP