Followers

Wednesday, June 16, 2010

Reid julang imej New Zealand

RUSTENBURG: Winston Reid muncul wira dengan tandukan padu yang menerjah gawang lawan pada masa kecederaan ketika membantu New Zealand mengikat Slovakia 1-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F, Piala Dunia, malam tadi.
Shane Smeltz melakukan hantaran lintang tepat untuk membolehkan Reid tampil menanduk masuk - sekali gus membolehkan New Zealand mengutip mata pertama dalam Piala Dunia selepas gagal memenangi sebarang perlawanan dalam penyertaan sulung pada 1982.
Robert Vittek bagaimanapun memberi pendahuluan buat Slovakia pada minit ke-50 dengan menanduk masuk hantaran Stanislav Sestak.
Vittek kemudian nyaris mengukuhkan kedudukan pasukan pada minit ke-69 menerusi satu serangan balas tetapi penjaga gol, Mark Paston cepat menutup ruang menyelamatkan pintu gol.

“Saya fikir perlawanan pembukaan adalah kesempatan terbaik mendapat sesuatu dan saya amat kecewa sekiranya tewas dengan jaringan sebegitu,” kata jurulatih New Zealand, Ricki Herbet.

Empat pasukan dalam kumpulan itu masing-masing mengutip satu mata selepas Itali dan Paraguay juga terikat 1-1 dalam perlawanan awal pagi semalam.

Bagaimanapun, New Zealand dan Slovakia dianggap orang luar di Afrika Selatan.
Selepas aksi ini mereka dijangka berdepan kesukaran untuk menentang dua lagi lawan gaga dalam kumpulan berkenaan - AP

Ivory Coast ikat Portugal

PENYERANG Portugal, Liedson (depan) bergelut dengan pemain tengah Ivory Coast, Didier Zokora dalam saingan Kumpulan G, malam tadi.
PENYERANG Portugal, Liedson (depan) bergelut dengan pemain tengah Ivory Coast, Didier Zokora dalam saingan Kumpulan G, malam tadi.
Ronaldo gagal ledak, Drogba kembali beraksi

PORT ELIZABETH: Ivory Coast dan Portugal memulakan cabaran dalam kancah Piala Dunia dengan keputusan seri 0-0 dalam saingan Kumpulan G, malam tadi yang turut menyaksikan Didier Drogba kembali beraksi hanya 10 hari selepas menjalani pembedahan tangan yang patah.
Bintang Afrika itu yang memakai alat perlindungan khas dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua tetapi gagal membantu pasukannya memenangi pertembungan penting itu yang turut membabitkan juara lima kali, Brazil dan Korea Utara.
“Tiada sesiapa yang mahu tewas dalam perlawanan sebegini,” kata jurulatih Ivory Coast, Sven-Goran Eriksson.

“Ronaldo mempunyai peluang terbaik untuk mereka dan kami juga memiliki beberapa peluang seimbang bagi mencuri mata kemenangan dalam perlawanan ini.”

Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo yang juga pemain sayap Real Madrid, mempunyai peluang untuk memecah kebuntuan dalam perlawanan itu apabila rembatannya dari jarak 25 meter terkena tiang kiri yang dikawal penjaga gol, Boubacar Barry pada minit ke-10.

Keputusan itu menyaksikan Ghana menjadi satu-satunya pasukan daripada enam pasukan Afrika yang beraksi dalam Piala Dunia kali ini mencatat kemenangan dalam perlawanan pembukaan edisi 2010. – AFP

Najib mahu pihak berkuasa tingkat kawalan elak JI bertapak

TUMPAT: Datuk Seri Najib Razak mahu pihak berkuasa meningkatkan pengawasan bagi membendung gerakan Jemaah Islamiah (JI) daripada bertapak di negara ini dan menyebarkan fahamannya kepada pelajar institusi pengajian tinggi.
Perdana Menteri berkata, jika penyebaran fahaman gerakan itu tidak segera dibendung, ia akan menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara.
"Kita mesti sentiasa waspada bahawa ada ancaman dalam pelbagai bentuk untuk menjadikan pelajar sebagai rekrut JI.
"Mereka (pelajar) akan dipengaruhi supaya melakukan keganasan dengan tujuan tertentu dan ini bererti bahawa mereka akan hadapi masa depan yang akan merosakkan diri kalau terjebak dengan kefahaman militan dan ekstrem," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Wat Matchimmaram, Kampung Jubakar di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin; dan Ahli Parlimen Gua Musang; Tengku Razaleigh Hamzah.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata telah wujud cubaan untuk menghidupkan semula gerakan JI dengan merekrut pelajar institut pengajian tinggi.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata kumpulan JI warga asing dikesan aktif menghidupkan JI dengan cuba merekrut golongan remaja termasuk pelajar institusi pengajian tinggi.
Mengulas isu itu, Najib berkata sejarah telah membuktikan bahawa gerakan tersebut telah menular bukan sahaja di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi tetapi juga kepada para pensyarah.

"Seperti yang kita tahu ada pensyarah sebelum ini terbabit dengan gerakan JI sehingga bertindak meletupkan bom.

"Jadi kita akan tingkatkan pengawasan daripada laporan risikan untuk mengetahui perkembangan gerakan tersebut," katanya.

Najib juga berkata, kerajaan akan meningkatkan pengawasan melalui laporan risikan supaya gerakan itu dapat dibendung sepenuhnya. - BERNAMA

Lesen jual barangan kawalan diseragamkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bersetuju untuk mengeluarkan hanya satu lesen bagi menjual barang kawalan iaitu gula, tepung gandum dan minyak masak bagi meringankan beban peruncit dan peniaga menjual barangan berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata lesen menjual barang kawalan itu akan berkuat kuasa 1 Julai ini.
"Semua lesen menjual barang kawalan akan diseragamkan menjadi satu lesen, maka peniaga hanya perlu memohon satu lesen saja menjual barang kawalan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dan Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia, Lean Hing Chuan.

Mereka sebelum itu mengadakan perbincangan berhubung isu penjualan bekalan gula bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selama kira-kira 40 minit.

Selaras dengan itu, Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia bersetuju membatalkan boikot menjual barangan kawalan selepas mereka bersetuju dengan keputusan kerajaan melonggarkan syarat lesen menjual barang kawalan berkenaan.

Minggu lalu, persekutuan itu mahu melancarkan boikot penjualan gula bermula semalam kerana tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan mengenakan lesen bagi menjual gula dengan alasan dibebani pelbagai syarat lesen bagi menjual barang kawalan lain.
Sebelum ini, lesen menjual tiga barang kawalan terbabit perlu diperoleh daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan manakala lesen untuk menjual beras daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Ismail Sabri berkata, beliau bersama Liow yang juga Menteri Kesihatan, akan membangkitkan keputusan itu dalam mesyuarat Kabinet untuk membolehkan semua lesen penjualan barang kawalan diseragamkan.

"Saya juga akan berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mempermudahkan permohonan lesen penjualan barang seperti alkohol, pemadam api kebakaran dan signboard yang berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan," katanya.

Sementara itu, Lean berkata pihaknya berpuas hati dengan keputusan kerajaan yang dianggap amat memahami masalah yang ditanggung peruncit.

"Kami dengan ini menarik balik keputusan untuk memboikot menjual barang kawalan selepas kerajaan sudi mendengar dan menerima masalah yang dibangkitkan," katanya. - BERNAMA

Tarikh pilihan raya satu kejutan: Najib

TUMPAT: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum akan datang semata-mata berdasarkan kepada satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokong beliau.
Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, tarikh pilihan raya akan datang akan "mengejutkan semua pihak".
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama rakyat di Wat Machimmaram di sini hari ini, beliau berkata pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum menetapkan tarikh pilihan raya.
"Apa yang penting ialah kerja kuat dalam semanagat 1Malaysia," katanya mengulas cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya beliau mengadakan pilihan raya kerana tinjauan menunjukkan sokongan kepada beliau semakin meningkat sejak menjadi Perdana Menteri pada April tahun lalu.

Satu kajian oleh Merdeka Centre for Opinion Research baru-baru ini menunjukkan 72 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi Najib berbanding 69 peratus semasa beliau mula menjadi Perdana Menteri.

Najib berkata, Barisan Nasional perlu terlebih dahulu memberi tumpuan terhadap usaha mengukuhkan kedudukan parti itu sebelum pilihan raya diadakan.

"Usaha kita pertama sekali ialah untuk kuatkan parti. Kita juga perlu mempunyai barisan kepimpinan yang berwibawa," katanya.
Mengenai majlis menghadap Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra di Istana Mahkota di Kota Baharu sebelum itu, Najib berkata acara itu adalah kunjungan peribadi dan bukannya lawatan kerja.

"Keadaan Sultan semakin baik berdasarkan taklimat yang diberikan oleh doktor peribadi Sultan," katanya. - BERNAMA

Tindakan boikot jual barangan kawalan ditarik balik

KUALA LUMPUR: Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia menarik balik keputusan memboikot menjual barangan kawalan selepas kerajaan bersetuju melonggarkan syarat pemberian lesen menjual barangan berkenaan.

Presidennya, Lean Hing Chuan, berkata pihaknya berpuashati dengan hasil rundingan yang diadakan antara persekutuan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
"Persekutuan mengumumkan yang langkah memboikot menjual barang kawalan ditamatkan hari ini," katanya pada sidang media yang dihadiri Ismail Sabri dan Dr Chua di Lobi Parlimen sebentar tadi.

Polis beri syor langkah bendung pengaruh pengganas dalam kampus:KPN

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan Kementerian Pengajian Tinggi dalam usaha untuk membendung pengaruh anasir pengganas dalam kampus, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

"Ini masalah yang serius dan kita akan mencadangkan beberapa langkah efektif yang harus diberi perhatian bagi memastikan masalah berkenaan dapat ditangani," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata dalam pertemuan dengan kementerian itu nanti, beliau turut akan menerangkan betapa seriusnya isu pembabitan pelajar dalam militan memandangkan kegiatan berkenaan membabitkan soal keselamatan negara.
"Kita mengharapkan maklum balas daripada pihak kementerian berkenaan lebih-lebih lagi dalam usaha menyelaras bentuk kerjasama untuk menangani masalah ini," katanya.

Beliau baru-baru ini dilaporkan berkata kumpulan JI warga asing dikesan cuba menghidupkan kembali perjuangan mereka dengan merekrut golongan remaja di negara ini, termasuk pelajar IPT.

Perkara itu terbongkar ekoran penahanan 10 anggota JI sejak awal tahun ini dan mereka sudahpun diusir untuk dikenakan tindakan undang-undang di negara asal.

Sehingga kini mereka sudah merekrut 20 hingga 30 pelajar IPT yang mudah terpengaruh selepas menghadiri ceramah yang diadakan oleh kumpulan ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula berkata kegiatan pelajar Malaysia di negara-negara Timur Tengah sentiasa dipantau bagi mengelakkan mereka terlibat dalam kegiatan militan.

Selain membuat pemantauan itu, Bahagian Hal Ehwal Agama Islam di JPM turut bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Luar dan Kementerian Belia dan Sukan dalam menangani perkara itu.

"Kita bincang bagaimana nak jaga anak-anak ini supaya kita ada kesepakatan untuk memantau dari masa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama media di Muzium Kesenian Islam di sini hari ini.

Jamil Khir berkata beberapa pegawai dilantik bagi memastikan pelajar di luar negara mendapat kefahaman terhadap semangat jihad yang betul. - BERNAMA

Kerajaan tidak perlu gubal akta antilompat parti: Tun Mahathir

JOHOR BAHRU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan tidak perlu mengadakan akta antilompat parti sebagaimana yang didesak Pengerusi DAP, Karpal Singh.
"Tidak perlu kerana sebelum ini pihak pembangkang tidak berkata apa-apa apabila wakil rakyat Barisan Nasional lompat parti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dr Mahathir ditemui selepas melancarkan anak syarikat kumpulan Mutiara Motors, M7 Racing Sdn Bhd, dan merasmikan Pusat Penyelidikan & Pembangunan M7 di Bangunan Mutiara Motors Larkin di sini.
Karpal dilaporkan mengulangi gesaannya kepada kerajaan supaya mempertimbangkan akta itu bagi memastikan wakil rakyat mengosongkan kerusi mereka selepas keluar parti masing-masing.

Ini berikutan tindakan mengejut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar di Perak, Keshwinder Singh, keluar DAP semalam dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Menjawab soalan, Dr Mahathir berkata wakil rakyat Bebas mempunyai peranan tersendiri iaitu menegur pihak pembangkang atau BN sekiranya ada yang melakukan kesilapan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, yang turut hadir berkata akta itu tidak perlu digubal kerana bertentangan dengan sistem demokrasi negara ini.
"Saya tidak setuju sebab kalau kita adakan akta yang sedemikian bermakna kita menghalang proses demokrasi," katanya.

Ibrahim percaya mereka yang keluar parti adalah kerana tidak berpuas hati dengan perjuangan parti mereka dan bukannya disogok atau dibeli oleh mana-mana pihak. - BERNAMA

Pemberian AP kenderaan untuk Bumiputera perlu diteruskan: Tun Mahathir

JOHOR BAHRU: Kerajaan disyor meneruskan pemberian Permit Import (AP) kenderaan terbuka secara percuma kepada peniaga Melayu dan Bumiputera yang benar-benar menggunakan permit berkenaan untuk menjalankan perniagaan dalam bidang automotif.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tujuan kerajaan memberi AP untuk membantu orang Melayu dan Bumiputera menceburkan diri dalam bidang perniagaan automotif yang sebelum ini dimonopoli peniaga bukan Bumiputera.
"Ia tidak ada masalah. Mereka yang layak dan benar-benar mempunyai bukti menjalankan perniagaan, tidak perlulah dikenakan bayaran... bagaimanapun, ia hanyalah pendapat saya yang bukan lagi dalam kerajaan.
"Sebaliknya, mereka yang menjual AP untuk meraih keuntungan ini patut diambil tindakan dan ditarik balik AP mereka," katanya ketika mengulas mengenai langkah kerajaan ketika ini yang mengenakan caj RM10,000 pada setiap AP terbuka.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran M7 Racing Sdn Bhd (M7) dan perasmian Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) M7 di Bangunan Mutiara Motors, Larkin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Motors, Datuk Ahmad Kemin, Pengarah Urusan Mutiara Motors, Mokhtar Ahmad dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Ali Hassan.

M7 adalah syarikat yang menjalankan aktiviti perlumbaan dan R&D produk alat ganti berprestasi tinggi yang dibangunkan di negara ini dan Jepun.
Produk yang kemudian dihasilkan di Jepun itu kini berjaya menembusi pasaran Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia, Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat.

Dr Mahathir berkata, beliau menyedari ada penerima AP menyalahgunakan permit berkenaan dengan menjualnya bagi meraih keuntungan cepat pada kadar RM8,000 untuk satu AP sedangkan mereka sepatutnya boleh mengaut keuntungan dengan menjalankan perniagaan berkenaan sendiri.

"Saya sedih kerana AP dicipta untuk menolong dan menjayakan peniaga Melayu dalam bidang automotif dan dengan peluang berkenaan kerajaan percaya mereka dapat meraih keuntungan dengan menceburkan diri dalam perniagaan yang tidak terbuka kepada Bumiputera.

"Bagaimanapun, ada peniaga Melayu yang benar-benar berniaga hasil daripada pemberian AP hingga mencatat kejayaan tinggi seperti Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin Amin yang kini mempunyai syarikat yang sangat besar dalam bidang automotif sehingga mampu menjual kereta dengan mengguna jenama sendiri, Naza.

"Saya juga gembira dengan kejayaan Mutiara Motors yang bermula pada 1982 yang membuktikan usaha kerajaan untuk membawa orang Melayu dalam bidang automotif ini berjaya," katanya.

Sistem mikro kredit Ar-Rahnu wajar diperluaskan untuk rakyat: PM

KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata sistem gadaian Islam mikro kredit wajar diperluaskan ke seluruh negara kerana sistem berkenaan mampu membantu pembangunan ekonomi setempat dan menaikkan taraf hidup rakyat.
Beliau berkata 4.3 juta rakyat negara ini sudah menikmati skim itu dalam memberi pinjaman segera kepada peniaga dan mereka yang memerlukan wang segera.
Katanya sistem gadaian Islam mikro kredit itu memberikan kemudahan yang terbaik kerana ianya bersandarkan syariah Islam yang menepati kehendak pengguna dengan kadar pinjaman yang munasabah.
"Saya cukup minat dengan sistem pajak gadai Islam ini, ianya juga adil boleh tebus semula. Sistem itu jauh lebih baik dengan tiada penipuan tidak seperti "ah long" yang cuba memerangkap mangsa dengan kadar faedah yang terlalu tinggi.

"Ar-Rahnu mampu mengurangkan dan membantu membasmi gejala haram “ah long” yang berleluasa di negara kita," katanya ketika berucap melancarkan Ar-Rahnu Bank Islam Malaysia Berhad di sini hari ini.

Najib berkata apa yang membanggakan Malaysia adalah negara diiktiraf sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa yang terbaik di London.

Beliau berkata sebelum ini sistem gadaian diperkenalkan pada kurun ke-19 kepada pelombong bijih timah namun ianya didapati membebankan golongan berpendapatan rendah.
"Justeru itu, kerajaan mencadangkan satu alternatif sistem pajak gadai melalui perkhidmatan Ar-Rahnu yang sesuai dengan syariat Islam. Ia satu lagi instrumen kewangan Islam," katanya.

Beliau berkata skim ini merupakan alternatif kepada orang ramai khususnya yang berpendapatan rendah dan mengalami kesulitan kewangan, khususnya bagi modal perniagaan secara kecil-kecilan.

Katanya lebih 4.3 juta rakyat Malaysia telah mendapat manfaat daripada program mikro kredit Ar-Rahnu ini, yang telah diperkenalkan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia pada tahun 1993.

Najib berkata kerajaan amat peka dalam memastikan pelbagai lapisan masyarakat sama ada yang terdiri daripada syarikat terulung, syarikat Industri Kecil Sederhana mahu pun para peniaga kecil supaya mempunyai akses kepada pembiayaan kewangan.

"Inilah sebabnya saya telah menekankan pembiayaan Ar-Rahnu ini di dalam ucapan Bajet 2010 yang telah dibentangkan pada Oktober yang lalu," katanya.

Beliau berkata Ar Rahnu mempunyai kelebihan. kerana dalam memberi nilai gadaian yang sepatutnya, tidak mempunyai unsur riba, nilai gadaian yang tidak merosot, wang lebih gadaian yang dipulangkan.

"Malah tempoh pembayaran balik yang munasabah, dan pemberian notis kepada penggadai tentang upacara lelongan," katanya. - BERNAMA

Gempa kuat 7.1 Richter landa Irian Jaya, Indonesia

JAKARTA: Gempa kuat berukuran 7.1 skala Richter melanda Irian Yaya, wilayah timur Indonesia dengan amaran tsunami dikeluarkan Jabatan Geofizik Indonesia sebentar tadi.
Gempa berlaku jam 12.16 tengah hari waktu tempatan (0316 GMT) di 123 kilometer di tenggara Pulau Biak, di Selatan Papua.
Sementara itu, di di Manokwari, kira-kira 300 kilometer di pusat gegaran di tenggara Indonesia, keadaan panik tercetus dengan penduduk meninggalkan rumah bagi menyelamatkan diri apabila amaran tsunami bersifat setempat dikeluarkan.
Penduduk mendakwa mereka lari ke tempat lapang selepas bangunan dan rumah bergegar.

“Gegaran kuat dapat dirasai sehingga 40 saat. Penduduk lari meninggalkan rumah dan bangunan," kata seorang wartawan di bandar itu.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada laporan mengenai kerosakan teruk di kawasan pusat gegaran gempa. - AFP