Followers

Saturday, November 27, 2010

Jawatankuasa bersama banteras penyelewengan diesel bersubsidi diwujudkan

BERA: Satu jawatankuasa bersama membabitkan beberapa kementerian diwujudkan bagi membanteras kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi secara menyeluruh di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penubuhan jawatankuasa itu membabitkan kementeriannya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pengangkutan, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dipersetujui pada mesyuarat kabinet semalam.
Beliau berkata, pihaknya percaya penyelewengan diesel bersubsidi itu bukan hanya berlaku di kalangan nelayan, malah pihak lain yang turut menerima subsidi berkenaan seperti teksi dan bas.
"Kerajaan tidak akan berkompromi berhubung isu penyelewengan subsidi diesel ini kerana ia membabitkan wang rakyat," katanya selepas merasmikan karnival Kesihatan dan Keselamatan Parlimen Bera di Taman Kerayong Makmur hari ini.

Katanya, sebelum ini, setiap tindakan penguatkuasaan dijalankan di peringkat kementerian masing-masing sehingga menyukarkan pemantauan secara menyeluruh.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, koordinasi dan pertukaran maklumat secara bersama lebih berkesan dalam membanteras kegiatan yang disifatkannya seperti mengkhianati negara sendiri.

Selain itu, beliau berkata, jawatankuasa berkenaan akan mencari mekanisme terbaik dalam pemberian subsidi diesel bagi mengelak perkara tersebut daripada berulang.
Mengulas laporan bahawa ada anggota penguat kuasa KPDNKK terbabit dalam penyelewengan subsidi diesel, Ismail Sabri berkata, kementeriannya tidak akan melindungi pegawai yang tidak berintegriti.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah anggota yang terbabit, namun mengesahkan tiga penguat kuasa KPDNKK Pahang disiasat berhubung perkara itu.

"Jika ada kes, SPRM akan bawa mereka ini ke muka pengadilan," katanya. - BERNAMA

Najib umum 2 jenis padi baru sempena MAHA 2010

SERDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan dua variasi padi baru iaitu MR253 dan MR263 sempena perasmian Pameran Pertanian, Horikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA 2010) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), di sini.
Menurut satu kenyataan dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), kedua-dua variasi padi baru itu mempunyai keistimewaan tersendiri yang mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi.
Bagi jenis MR253, ia mampu memberikan hasil padi yang tinggi walaupun ditanam di kawasan tanah bermasalah seperti tanah gambut dan tanah berasid.
Jenis padi itu sesuai terhadap persekitaran tersebut dan akan membantu meningkatkan hasil agar lebih berdaya maju dan membantu meningkatkan pengeluaran padi, kata kenyataan itu.

Di samping itu, hasil variasi itu juga mempunyai ciri-ciri lain seperti kerintangan terhadap perosak utama dan kualiti biji yang baik.

Menurut kenyataan itu, variasi MR263 pula mempunyai ciri utama yang rintang kepada karah. Jenis padi itu bakal menggantikan variasi padi yang sedang digunakan secara meluas di negara ini iaitu MR219 dan MR220.

Kerintangan MR219 terhadap penyakit karah telah didapati semakin menurun.
Sehubungan itu, jenis padi MR263 dihasilkan bagi melengkapkan variasi tersebut supaya dapat membantu mencegah perosak.

Turut hadir pada majlis perasmian MAHA 2010 ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar. - BERNAMA

Kematian Tun Dr Lim satu kerugian kepada negara: Muhyiddin

GEORGETOWN: Pemergian mendiang Tun Dr Lim Chong Eu yang meninggal dunia Rabu lalu, adalah satu kerugian besar kepada negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, pemergian Dr Lim adalah satu kerugian besar bukan saja kepada Pulau Pinang tetapi kepada Malaysia di atas jasa dan sumbangannya.
Bercakap kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Dr Lim di Dewan Sri Pinang di sini hari ini, Muhyiddin berkata, Dr Lim adalah pengasas pembangunan Pulau Pinang yang moden kerana banyak usaha yang telah dilakukannya untuk membangunkan negeri ini sebagai sebuah negeri perindustrian.
"Kita tidak melihat dalam konteks Pulau Pinang sahaja tapi untuk negara juga banyak sumbangan yang mendiang berikan. Dalam soal politik juga kita tahu mendiang adalah salah seorang pengasas kepada Barisan Nasional, pandangan beliau sentiasa diambil kira dari sudut bagaimana hendak meningkatkan hubungan kerjasama antara kaum.

"Pertubuhan parti GERAKAN adalah satu bukti tentang pentingnya perpaduan rakyat menjadi satu perkara yang diperjuang mendiang Dr Lim. Disebabkan itu, kami merasai pemergian beliau adalah satu kehilangan yang besar bukan sahaja kepada Pulau Pinang tapi negara," katanya.

Katanya, beliau mengenali mendiang secara peribadi sewaktu Dr Lim menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dan beliau Menteri Besar Johor.

"Kita mengenali mendiang sebagai seorang negarawan Malaysia yang terulung dan secara langsung rakyat Pulau Pinang khususnya, mengetahui bahawa mendiang adalah pengasas pembangunan Pulau Pinang yang moden, banyak usaha yang telah dilakukan untuk membangunkan Pulau Pinang sebagai negeri perindustrian yang termaju di Malaysia," katanya.
Muhyiddin berkata, beliau dan isteri serta bagi pihak kerajaan Malaysia ingin menyampaikan ucapan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga mendiang Dr Lim berikutan kematian beliau.

Muhyiddin yang diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan beberapa pemimpin UMNO negeri tiba kira-kira 9.30 pagi dan berjumpa dua anak lelaki mendiang iaitu Lim Chien Aun dan Lim Chien Cheng.

Dr Lim, 91, meninggal dunia Rabu lepas setelah hampir sebulan dirawat di Hospital Pulau Pinang akibat diserang angin ahmar.

Mendiang meninggalkan isteri, Toh Puan Goh Sing Yeng, dua anak lelaki iaitu Chien Aun, Chien Cheng serta dua anak perempuan Lim Pao Lin dan Lim Pao Yen. - BERNAMA

Ahli PKR seluruh negara 400,000: Saifuddin Nasution

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail, hari ini mengulangi kenyataannya bahawa parti itu mempunyai 400,000 ahli di seluruh negara.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 50 peratus adalah Melayu, India (22 peratus), Cina (13 peratus) dan kaum di Sabah dan Sarawak (15 peratus).
"Mengikut rekod keahlian parti, sehingga 25 November lalu, keahlian kita mencapai 370,000 ahli dan sebanyak 24,000 lagi permohonan dalam proses menjadi ahli parti," katanya ketika membentangkan laporan Setiausaha Agung di Kongres Nasional Tahunan Ke-7 PKR di sini.
Majlis perasmian kongres oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, turut dihadiri dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

Mengulas pemilihan parti, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang, berkata sebanyak 99.7 peratus ahli PKR layak mengundi pada pemilihan tersebut yang melaksanakan kaedah "satu ahli satu undi".

Saifuddin juga berkata, seramai 70,000 ahli di seluruh negara direkodkan keluar mengundi ketika pemilihan di peringkat Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) yang menyaksikan seramai 13,000 calon mencuba nasib bagi merebut pelbagai jawatan termasuk ketua cabang.

Mengulas jumlah aduan yang diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) pada pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Saifuddin berkata, sehingga Khamis lalu, sebanyak 18 aduan diterima.
Katanya, kesemua aduan itu masih dalam siasatan JPP dan ia tidak akan dipinggirkan. - BERNAMA

UMNO Kelantan harap pembinaan Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dipertimbangkan

BACHOK: Badan Perhubungan UMNO Kelantan, berharap Kerajaan Pusat dapat menimbang permohonan pembinaan segera jalan baru antara Kota Bharu ke Kuala Krai untuk mengatasi kesesakan yang teruk terutama pada musim perayaan.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata sudah sampai masanya permohonan itu diberi keutamaan memandangkan keadaannya semakin terdesak.
"Bila tiba musim perayaan, jalan yang ada sekarang tidak dapat menampung kenderaan anak-anak Kelantan yang bekerja di perantauan pulang berhari raya di kampung," katanya selepas merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai di Pusat Kesihatan Beris Panchor di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 150 murid sekolah dari kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Tawang menyertai program itu secara percuma.

Dr Awang Adek, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan rakyat Kelantan terutama yang pulang dari Kuala Lumpur untuk menyambut Hari Raya Aidiladha dua minggu lepas terpaksa mengambil masa antara 10 dan 14 jam untuk sampai ke kampung halaman disebabkan kesesakan jalan berbanding tujuh jam pada hari biasa. - BERNAMA

Bekas timbalan setiausaha agung PKR dakwa surat pecat Jenapala palsu

PETALING JAYA: Bekas timbalan setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Johnson Chong, hari ini mendakwa parti itu tidak pernah mengeluarkan sebarang surat untuk memecat seorang lagi bekas timbalan setiausaha agung parti itu, P Jenapala.
Beliau berkata, "surat pemecatan" itu sebenarnya adalah palsu.
"Apa yang benar-benar menjijikkan saya ialah hakikat bahawa saya tahu seseorang di ibu pejabat parti tahu bahawa surat itu palsu. Ia dibuat bagi menutup kesilapan tidak disengajakan oleh seseorang apabila mereka mengatakan Jenapala telah dipecat dalam bulan Februari 2009," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chong menjelaskan bahawa beliau adalah timbalan setiausaha agung yang bertanggungjawab membantu lembaga disiplin menangani kes yang dirujuk kepada mereka oleh Majlis Pimpinan Pusat.

Beliau berkata, ketika isu Jenapala timbul semasa pemilihan parti, seseorang dari ibu pejabat telah menghubunginya dan bertanya jika terdapat surat dihantar kepada Jenapala untuk memecatnya.

"Saya kata tidak ada surat sedemikian dan tidak ada keputusan untuk memecatnya. Yang ada hanya keputusan untuk memecat beliau secara prinsip iaitu jika dia benar-benar didapati terlibat dengan pembentukan satu parti politik yang baru.

"Kemudian, tahu-tahu saja saya melihat ada surat yang ditandatangani setiausaha agung parti terdahulu, yang kononnya dihantar kepada Jenapala untuk memecatnya pada Februari 2009. Saya jadi bungkam," katanya.
Chong berkata, beliau tidak ragu-ragu bahawa surat itu palsu, dan tercengang kerana PKR sanggup berbuat demikian bagi menutup kesilapan yang tidak disengajakan, yang sepatutnya dijelaskan kepada media sebelum beralih ke perkara lain.

Semalam, bekas setiausaha agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim membuat laporan polis kerana mendakwa tandatangannya telah dipalsukan dalam surat pemecatan Jenapala.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung surat bertarikh 2 Februari 2009, yang kononnya ditulis dan ditandatangani Salehuddin.

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa mendengar saman Jenapala terhadap tiga pemimpin PKR berhubung jawatan timbalan presiden parti itu.

Menerusi saman pemula pada 18 November lalu, Jenapala berkata, beliau ingin mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa beliau layak bertanding jawatan timbalan presiden PKR. - BERNAMA

Puvaneswaran ketuai senarai ikon sukan Malaysia

GUANGZHOU: Beberapa atlet yang cemerlang di Sukan Asia ke-16 walaupun tidak meraih emas, boleh dilabelkan sebagai ikon sukan negara, kata ketua kontinjen Malaysia, Datuk Zolkples Embong.
Beliau berkata, atlet yang mengetuai senarai ikon sukan Malaysia itu ialah atlet karate, R Puvaneswaran yang menyumbangkan emas kelapan negara dalam acara kumite lelaki bawah 55kg.
"Puvaneswaran sepatutnya telah bersara daripada pertandingan kompetitif ketika umurnya kini 35 tahun. Tetapi dia menunjukkan komitmen yang tinggi dan memberikan Malaysia satu emas," katanya ketika memberikan rumusan temasya ini.
Puvaneswaran mula menyertai Sukan Asia di Hiroshima, Jepun pada 1994 dan lima kali mewakili negara dengan menyumbangkan dua emas, satu perak dan satu gangsa kecuali edisi 1998 di Bangkok di mana penyertaannya dibatalkan.

Selain emas di sini, dia juga meraih emas dalam acara sama di Busan, Korea Selatan pada 2002.

Zolkples juga memuji atlet wushu wanita Chai Fong Ying yang menyumbangkan emas pada edisi Doha dan di Guangzhou.

Kejayaan Fong Ying, katanya memecah monopoli sukan yang secara tradisinya dimonopoli oleh atlet berbangsa Cina dari China, Hong Kong dan Taiwan.
Zolkples, yang juga Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), turut berbangga dengan pencapaian Ibrahim Amir yang meraih perak dalam sukan billiard, acara perseorangan Lelaki 8 Bola Pool.

"Di usia 49 tahun, Ibrahim menunjukkan komitmen yang tinggi dan beliau tewas kepada pemenang emas dari Taiwan yang juga pemain Pool kedua terbaik dunia," katanya.

Bagi penembak Nur Suryani Mohamed Taibi, walaupun sekadar meraih gangsa dari acara 10m Air Rifle Wanita, satu-satunya pingat dari acara menembak, prestasinya menakjubkan kerana dapat mengekalkan konsentrasi di sini selepas beraksi di Sukan Komanwel di New Delhi.

Ketika di New Delhi, Nur Suryani bergandingan dengan Nur Ayuni Farhana Abdul
Halim membidik emas dari acara 10m Air Rifle Berpasangan Wanita.

"Dalam tempoh 27 hari antara Sukan Komanwel di New Delhi dan Sukan Asia, Nur Suryani berjaya mengekalkan prestasi," kata Zolkples.

Pasangan bola tampar pantai wanita, Luk Teck Hua dan Beh Shun Thing yang mara ke perlawanan separuh akhir sebelum tewas kepada China turut mendapat perhatian Ketua Pengarah MSN.

"Sasaran MSN hanya ke suku akhir tetapi mereka mara ke separuh akhir," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Zolkples berkata Program Cabaran 2010 yang bermula pada 2007, dengan tujuan melahirkan atlet cemerlang bagi Sukan Komanwel di New Delhi dan Sukan Asia Guangzhou, kini tamat.

Pada mulanya, seramai 547 atlet berada di dalam program berkenaan dan daripada jumlah itu, 300 atlet mengatasi had dan masa kelayakan untuk beraksi di Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Atlet program itu yang tidak menunjukkan peningkatan prestasi akan digugurkan bila MSN mengadakan program baru bagi menghadapi Sukan SEA di Indonesia tahun hadapan, Sukan Olimpik di London pada 2012 dan Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada 2014," katanya.

Mengenai pengumuman beberapa atlet untuk menjadikan temasya di Guangzhou ini sebagai medan terakhir sebelum bersara seperti pemain badminton perseorangan, Datuk Lee Chong Wei dan dua pemenang emas acara karate iaitu Ku Jin Keat dan Puvaneswaran, Zolkples berkata MSN mempunyai program pelapis untuk menggantikan mereka. - BERNAMA