Followers

Thursday, November 5, 2009

Majlis Fatwa tidak pernah kategori Wahabi sesat: Mashitah

KUALA LUMPUR: Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

"Kalau kita kata sesat, maknanya kalau kita pergi Makkah, kita tak bolehlah solat dengan tok imam di Mekah...tak sah, habislah jemaah haji kita. Dia (Wahabi) tak sesat, cumanya ia bergantung kepada kesesuaian di negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan bertajuk "Pendermaan Organ dari Perspektif Islam" di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Antara ajaran fahaman Wahabi ialah tidak mengamalkan bacaan doa qunut dan Yasin selain tidak mengadakan tahlil dan tidak berzikir selepas solat seperti amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mashitah yang menyifatkan isu mengenai Wahabi ini sebagai "sensitif", berkata setakat ini fahaman tersebut masih boleh dibendung dari terus berkembang ke seluruh negara.

"Kita juga perlu menjaga (sensitiviti) beberapa negeri, negara dan masyarakat kita. Jadi kalau kita timbulkan banyak isu ini, masyarakat akan jadi keliru. Sekarang ini kita tekankan di Malaysia ialah kita berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Perbezaan dalam aliran ini selagi tidak menyentuh mengenai akidah, maka ia adalah fahaman yang boleh diterima tetapi kalau sentuh soal akidah, contohnya Allah itu duduk ke tak duduk ke, maka kita akan ambil satu pendekatan yang lebih serius. Tetapi setakat ini fahaman Wahabi itu kita masih dapat bendung," katanya.

Mashitah ketika ditanya pemberita sama ada fahaman tersebut boleh dikategorikan sebagai berbahaya, berkata:

"Kerajaan dan Majlis Fatwa sedang melihatnya dengan berhati-hati supaya tidak menimbul ketegangan dalam kalangan orang agama mahu pun masyarakat yang melihat.

"Kita di Malaysia ini mengambil pendekatan yang halus dan berdiplomasi. Sensitiviti kebanyakan orang itu, kita kena jagalah. Itu yang kita nak jaga supaya perpaduan sesama kita terpelihara."

Turut hadir pada seminar itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Othman Mustafa dan Pengarah Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Azmi Shapie.

Terdahulu, mengenai pendermaan organ, Dr Azmi berkata sehingga Oktober tahun ini, seramai 134,000 orang telah mendaftar dan berikrar untuk menjadi penderma organ dan 19,000 orang pesakit buah pinggang dicatatkan sehingga bulan yang sama.

"Dari jumlah ini, Melayu adalah kumpulan yang terendah untuk tampil mendermakan organ. Ini adalah kerana mereka kurang pendedahan atau pemahaman mengenai pendermaan organ," katanya.

Othman dalam ucapannya pada seminar itu pula berkata, agama tidak menghalang pendermaan organ tetapi rasa takut adalah antara faktor penghalang seseorang Muslim untuk menderma organ.

Beliau berkata, walaupun pendermaan organ seperti jantung dan kornea dibolehkan dan difatwakan pada tahun 1970, namun jumlah individu Islam yang menderma amat kecil berbanding mereka yang beragama lain. - Bernama

Pasukan pemantau H1N1 ditubuh di setiap negeri hadapi gelombang kedua

PUTRAJAYA: Pasukan pemantau Influenza A (H1N1) diwujudkan di setiap negeri bagi mencegah gelombang kedua wabak itu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, pasukan itu yang diterajui Bahagian Kawalan Penyakit akan memantau situasi setiap hari bagi mengesan jangkitan penyakit itu.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Hari Inovasi kementerian di sini hari ini, Liow berkata jumlah kes H1N1 berkurangan dengan ketara daripada 400 hingga 500 kes sehari kepada 20 hingga 30 kes.

"Pada hari biasa kami juga akan menggerakkan sistem pemantauan ini. Maka dengan ini kita akan tahu jumlah kes selesema dan batuk yang perlu diberi perhatian serius.

"Kita mempunyai banyak jenis selesema. Semua ini memerlukan pemantauan, data, pengawasan. Jadi kami akan memantau perkara ini dengan teliti," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Liow berkata Hari Inovasi akan menjadi acara tahunan kementerian itu mulai tahun ini sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya aspek inovasi diberi penekanan dalam sektor awam.

Beliau juga berkata, warga kementerian yang terbabit dalam sebarang penyelidikan dan inovasi bukan sahaja diperlukan di makmal, agensi atau institusi, tetapi juga akan menyumbang ke arah kemajuan global.

"Walau bagaimanapun, tidak semua hasil penyelidikan atau pun inovasi yang dihasilkan sesuai diguna pakai di dalam negara. Di sinilah berlakunya proses pemindahan teknologi dan bermulanya proses kerjasama antara satu negara dengan negara yang lain," katanya.

Pada majlis itu, Hospital Tampin dan Klinik Kesihatan Penampang meraih Anugerah Kualiti Perkhidmatan Kaunter manakala Anugerah Kualiti Kumpulan Meningkat Mutu Kerja bagi kategori teknikal dan pengurusan masing-masing diterima oleh Pejabat Pergigian Daerah Seberang Perai Utara, Butterworth dan Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Hospital Jelebu menerima Anugerah Kualiti Pengurusan Kewangan manakala Anugerah Kualiti Laman Web dimenangi oleh Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar. - Bernama

Gempa sederhana landa utara China

BEIJING: Gempa sederhana berukuran 5.5 Richter melanda utara China, awal pagi tadi, tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gegaran jam 5.56 pagi waktu tempatan (2156 GMT) itu berpusat di 164 kilometer (km) di utara bandar Golmud di Wilayah Qinghai, menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Zon dilanda gempa terbabit kebanyakannya didiami penduduk etnik Mongolia dan Tibet yang bekerja di lombong arang batu dan petani. - AFP

Gempa 6.0 Richter gegar Kepulauan Azores, Portugal

LISBON: Gempa bumi kuat berukuran 6.0 Richter menggegarkan Kepulauan Azores di Lautan Atlantik, awal pagi tadi.

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa berlaku di 445 kilometer (km) di selatan kepulauan berkenaan di kedalaman 10km, jam 4.41 petang waktu tempatan (1841 GMT).

Kepulauan terpencil itu terletak 1,500km dari Lisbon dan didaimi kira-kira 240,000 penduduk. - AFP

Pindaan Akta DBP elak bahasa rojak

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 akan dibawa ke kabinet sebelum dibentang ke Parlimen pada tahun depan bagi memberikan penguatkuasaan kepada badan itu dalam memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, draf pindaan Akta DBP 1959 itu sedang disemak oleh Penasihat Undang-undang Kementerian Pelajaran.

"Bahasa rojak kini semakin menggerunkan kita, saya semakin risau dengan masalah ini, dan melihat kepada penggunaan bahasa Melayu yang semakin parah di dalam masyarakat.

"Jika sebelum ini DBP tidak berpeluang untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat, dengan pindaan ini diharap keadaan tersebut berubah," katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Kualiti DBP di sini, hari ini.

Mohd Puad melahirkan rasa dukacita kerana masyarakat kurang memberikan komitmen dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu termasuklah sambutan dingin yang ditunjukkan mereka sepanjang Bulan Bahasa Kebangsaan, bulan lalu.

"Kita mengharapkan sebelum akta tersebut dipinda sepenuhnya adalah penting untuk kita melihat apa yang perlu dibuat segera terhadap perancangan tenaga kerja, program dan projek DBP bagi membolehkan penguatkuasaan bahasa Melayu dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya. - Bernama