Followers

Thursday, August 6, 2009

Sabah&Sarawak: Mesyuarat Umno bahas 1Malaysia

PAPAR: Mesyuarat Persidangan Perwakilan Umno bahagian Papar, Jumaat ini dijangka membahas dan menyokong konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Umno bahagian Papar, Datuk Abdul Rahim Ismail, berkata konsep 1Malaysia iaitu `Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' itu antara yang akan dibahaskan sejajar komitmen Umno Papar untuk membantu merealisasikan konsep berkenaan.

"Umno bahagian Papar komited untuk membantu merealisasikan gagasan kerajaan itu, malah barisan kepemimpinan Umno bahagian ini juga sudah mula turun padang untuk memberi penjelasan mengenai konsep itu pada peringkat akar umbi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Umno bahagian Papar di Pejabat Umno Bahagian, di sini.

Turut hadir, Timbalannya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawang, Datuk Gulam Haidar Khan Bahadar; Ketua Pergerakan Wanita Umno bahagian, Datin Dayangku Ainun Pengiran Bagul dan Ketua Pergerakan Puteri Umno, Surianti Adam.

Persidangan itu akan dirasmikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di Dewan Masyarakat Pekan Papar, jam 2.30 petang.

Seramai 437 perwakilan Umno bahagian Papar dijangka menghadiri persidangan berkenaan.

Abdul Rahim yang juga Adun Pantai Manis meminta semua ahli Umno dan parti komponen Barisan Nasional hadir bagi mendengar amanat disampaikan Shafie.

"Mesyuarat kali ini istimewa kerana dirasmikan Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga anak tempatan," katanya.

Sabah&Sarawak: Sistem pengangkutan bandar raya, Sandakan diperkemas

RM83 juta diperuntuk kerajaan Persekutuan memantapkan perkhidmatan

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM83 juta bagi memantapkan sistem pengangkutan awam di bandar raya ini dan Sandakan termasuk RM63 juta untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam melalui Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam membabitkan empat projek utama di bandar raya ini.

Peruntukan berkenaan digunakan untuk membina Terminal Rangkaian Selatan Kepayan bernilai RM50 juta dan menaik taraf Terminal Plaza Wawasan (RM5 juta) serta membina empat rangkaian terminal dalam bandar dan tempat mengambil serta menurunkan penumpang (RM5 juta) dan RM3 juta untuk pembinaan tempat perhentian bas dan teksi membabitkan peruntukan RM3juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata peruntukan itu akan salurkan secepat mungkin, selain peruntukan RM17.5 juta bagi membina terminal bas berpusat di Sandakan dan RM3 juta menaik taraf Terminal Bas Plaza Wawasan di sini.

"Peruntukan ini membuktikan kerajaan Persekutuan prihatin terhadap kualiti hidup masyarakat di Sabah," katanya pada sidang media selepas melawat Terminal Bas Plaza Wawasan, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan; Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) negeri, Datuk Edmund Chung Ket Wah dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim.

Nazri juga berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) harus mencontohi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam mengurus sistem pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan di bandar raya.

Ia kerana, katanya, sistem pengangkutan berpusat dan kod laluan khas yang diamalkan DBKK menjadikan bandar raya ini bebas daripada kesesakan lalu lintas.

Beliau berkata, walaupun sistem itu baru diamalkan tiga tahun lalu, ia menampakkan kesan positif kepada penumpang kenderaan awam dan pemandu kenderaan persendirian.

"Ia berbeza dengan DBKL kerana tiada sistem khusus untuk bas keluar masuk di bandar raya. Sebaliknya, semuanya bertumpu di Puduraya," katanya.

Terdahulu, Nazri mendengar rintihan pemandu dan penumpang bas di terminal berkenaan bagi membantu mengatasinya.

Beliau turut menaiki bas dari terminal berkenaan ke Hotel Hyatt Regency dengan membayar tambang 50 sen.

Sabah&Sarawak: Pandangan negatif bidang pertanian perlu dikikis

KUALA PENYU: Rakyat negeri ini digesa mengikis pandangan negatif terhadap bidang pertanian yang sering dikaitkan dengan masalah kemiskinan dan tanggapan bahawa pembabitan dalam sektor itu tiada jaminan masa depan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin, berkata pandangan itu tidak seharusnya wujud kerana sektor pertanian mempunyai potensi besar sebagai sumber ekonomi utama rakyat negeri ini.

Katanya, rakyat perlu sedar bahawa bidang pertanian mampu memberikan pulangan lumayan kepada mereka jika diusahakan dengan betul kerana kegiatan pertanian penting untuk membekalkan bahan makanan.

"Jika sektor ini diusahakan dengan betul dan terancang, ia pasti menghasilkan pendapatan lumayan kepada pengusahanya. Justeru, rakyat perlu melihat sektor ini sebagai bidang berdaya maju untuk meningkatkan taraf sosioekonomi.

"Pada masa sama, rakyat seharusnya menyahut seruan kerajaan untuk membangunkan sektor pertanian," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Penyu, di sini.

Sejak ditubuhkan pada 2004, PPK Kuala Penyu kini mempunyai kira-kira 1,000 ahli.

Hadir sama, Pengerusi PPK Kuala Penyu, Zahari Mohd Zinin; wakil Pendaftar Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Herdyiony Wirma dan Naib Ketua Umno Beaufort, Datuk Kimjus Duim.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, kerajaan memberikan perhatian serius memajukan sektor pertanian bukan saja sebagai ejen pertumbuhan ekonomi negara, malah satu usaha meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat khususnya di luar bandar.

Timur: Ekonomi, H1N1 pengaruhi kunjungan

ROMPIN: Kementerian Pelancongan mengakui suasana ekonomi dan perubahan iklim yang tidak menentu serta penularan wabak selesema bagi atau Influenza A (H1N1) yang semakin serius pada peringkat global menyebabkan jumlah kehadiran pelancong antarabangsa berkurangan tahun ini.

Setiausaha Perhubungan Antarabangsa Kementerian Pelancongan, Mohd Halimi Ibrahim, berkata pihaknya menjangkakan hanya 20 juta pelancong asing dijangka berkunjung ke Malaysia berbanding sasaran 24 juta pelancong tahun ini.

Beliau berkata, sektor pelancongan negara berjaya memperoleh sehingga RM46 billion menerusi kehadiran 22 juta pelancong luar negara tahun lalu tetapi jumlah itu dijangka berkurangan kepada RM44 biliion tahun ini.

Justeru, katanya, pihaknya sedang mengkaji pelbagai strategi baru sebagai usaha memastikan sektor pelancongan negara tidak terjejas dengan lebih teruk dan memberi impak negatif kepada jumlah pendapatan negara.

"Kita sedang merancang memperkenalkan produk baru seperti warga emas atau 'Golden Third Age' (G3A) dan golongan berada, iaitu kumpulan sasaran mempunyai kuasa berbelanja yang tinggi.

"Kerajaan juga sedang dalam proses menubuhkan sebuah badan khas menerusi kementerian yang ditugaskan membuat pembidaan untuk mendapatkan hak penganjuran mesyuarat dan seminar peringkat antarabangsa," katanya.

Penerangan khas H1N1 kepada guru besar di Perak

IPOH: Guru besar dan pengetua sekolah di Perak akan diberikan penerangan khas termasuk langkah pengawalan bagi membendung penularan Influenza A (H1N1) dalam kalangan murid di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata sesi penerangan khas itu akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Katanya, satu mesyuarat khas bersama Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan Negeri akan diadakan esok berhubung kaedah terbaik untuk membendung penularan wabak A (H1N1) terutama di kalangan pelajar.

Mengenai situasi terkini di Perak, Mah berkata lapan kes baru dilaporkan, menjadikan keseluruhan kes yang disahkan positif di Perak setakat ini 80.

Katanya, Sekolah Kebangsaan Tamil Arumugam Pillai di Alor Pongsu, Bagan Serai, ditutup sementara bagi membendung wabak berkenaan selepas 16 daripada 26 pelajar sekolah itu dikesan mempunyai simptom Influenza A (HINI). - Bernama

Kampus Kuis ditutup sehingga 10 Ogos

BANGI: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) menutup kampusnya di Bandar Seri Putra di sini, bermula semalam sehingga 10 Ogos ini selepas beberapa pelajar institusi itu dikesan mengalami jangkitan penyakit seperti influenza (ILI).

Timbalan Rektor (Akademik dan Pembangunan Mahasiswa) Kuis, Mohd Khairi Hussin, dalam satu kenyataan hari ini berkata 6,000 pelajar institusi itu sudah diarah pulang ke rumah masing-masing.

Beliau berkata, langkah penutupan kampus itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan.

"Pelajar yang dijangkiti penyakit berkenaan serta pelajar yang diarah pulang juga dinasihati supaya berdisplin dan mematuhi arahan kuarantin yang ditetapkan Jabatan Kesihatan," katanya.

Setakat ini 80 pelajar dibawa ke hospital berdekatan untuk tindakan lanjut dan jumlah itu mungkin meningkat kerana ujian makmal masih dijalankan terhadap beberapa sampel pelajar yang demam serta mengalami tanda-tanda jangkitan penyakit itu.

- Bernama

KUIN ditutup 10 hari, 170 pelajar dikuarantin

ALOR SETAR: Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di sini ditutup selama 10 hari mulai hari ini setelah 170 pelajarnya didapati mempunyai simptom jangkitan Influenza A (H1N1), dua hari selepas majlis konvokesyennya berakhir.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, yang mengumumkan perkara itu hari ini berkata kes itu dikesan hari ini membabitkan pelajar kampus Alor Setar.

"Mereka hanya mempunyai simptom penyakit itu, belum ada yang disahkan menghidapnya. Semua pelajar terbabit dikuarantin di asrama KUIN di Mergong," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini.

Azizan berkata, pelajar lain diarah pulang bercuti di kampung masing-masing.

Katanya, cuma kampus utama Alor Setar ditutup manakala kampus cawangan Sungai Petani beroperasi seperti biasa.

Lebih 3,000 pelajar termasuk pelajar luar negara menuntut di KUIN.

Daripada jumlah itu hampir 2,000 belajar di kampus Alor Setar. - Bernama

H1N1: 3 lagi kematian dilaporkan

KUALA LUMPUR: Sebanyak tiga lagi kematian akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga hari ini, menjadikan keseluruhan 11 kematian dengan 1,476 kes dilaporkan di seluruh negara setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata ketiga-tiga kes kematian itu berlaku di Hospital Melaka.

Katanya, kes kematian kesembilan membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang mempunyai sejarah jangkitan saluran pernafasan kronik.

"Beliau dimasukkan ke Hospital Melaka Jumaat lalu dan disahkan mengidap jangkitan influenza A(H1N1) pada jam 6.19 petang Ahad dan meninggal dunia pada jam 4.30 petang kelmarin dengan diagnosa jangkitan virus H1N1 dengan radang paru-paru teruk," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, kes kematian ke-10 pula membabitkan remaja lelaki berumur 12 tahun dengan kegagalan buah pinggang kronik dan sedang menjalani rawatan dialisis.

Katanya, pesakit dimasukkan ke Hospital Melaka kelmarin dengan simptom demam, batuk dan sesak nafas sejak semenjak 1 Ogos 2009 dan disahkan positif H1N1 semalam.

"Pesakit meninggal dunia pada jam 2 petang kelmarin disebabkan jangkitan radang paru-paru teruk," katanya.

Beliau berkata, kes kematian ke-11 pula membabitkan seorang lelaki berusia 20 tahun dengan kronik asma yang dimasukkan ke Hospital Melaka pada Ahad lalu dengan simptom demam, batuk dan sesak nafas sejak Jumaat lalu.

"Beliau terus dimasukkan ke unit rawatan rapi dan disahkan mengalami radang paru-paru teruk. Pesakit meninggal dunia pada 3 Ogos 2009 jam 2.30 pagi dan disahkan mengidap jangkitan influenza A(H1N1) pada 4 Ogos 2009 jam 5.50 petang," katanya.

Kes H1N1 dijangka meningkat akibat jerebu

BANDAR SERI BEGAWAN: Kes Influenza A(H1N1) dijangka meningkat berikutan berlakunya lagi jerebu di Malaysia kecuali langkah pencegahan proaktif diambil bagi mengekang jangkitan tempatan, kata Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau berkata, jerebu membabitkan mereka yang mengalami penyakit berkaitan pernafasan seperti lelah, akan merumitkan lagi perkara itu kerana virus H1N1 menyerang terus sel paru-paru dan mengakibatkan radang paru serius serta kematian.

"Saya setuju bahawa jerebu berlaku lagi yang akan merumitkan lagi kes H1N1 yang mana ubat antiviral, Tamiflu, hanya berkesan dalam masa 48 jam pertama bermula," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan rundingan tahunan ke-13 antara Malaysia dan Brunei di sini.

Semasa mesyuarat itu yang bersetuju mengenai perlunya bekerjasama dalam menangani pandemik H1N1 global, Liow juga menemui rakan sejawatnya dari Brunei, Pehin Datuk Suyoi Osman, untuk bertukar-tukar pandangan mengenai cara-cara mengekang merebaknya penyakit itu dalam komuniti.

Bilangan kes kematian akibat Influenza A(H1N1) di Malaysia meningkat kepada 12 orang hari ini, dengan empat kematian termasuk tiga kanak-kanak. - Bernama

H1N1: Kanak-kanak 6 tahun mati di Batu Pahat

BATU PAHAT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun meninggal dunia di Hospital Batu Pahat pagi tadi dan disahkan sebagai mangsa H1N1 kedua di Johor.

Ia adalah kes kematian ke-12 yang disahkan setakat ini di negara ini.

Pagi tadi, Kementerian Kesihatan mengumumkan tiga lagi kematian berkaitan H1N1, semuanya di Melaka.

Angka korban selesema babi terus meningkat

KUALA LUMPUR: Empat lagi kematian akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan di negara ini, menjadikan jumlah korban keseluruhan virus itu meningkat kepada 13 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata kematian ke-10 membabitkan budak lelaki berumur 12 tahun di Hospital Melaka pada Isnin lalu dan yang ke-11, seorang lelaki berumur 20 tahun di hospital sama pada Ahad lalu.

Dalam kenyataannya semalam, beliau berkata, kes ke-12 pula membabitkan seorang budak lelaki berusia enam tahun yang meninggal dunia di Hospital Batu Pahat pada jam 2.30 pagi semalam.

Mangsa ke-13 yang juga korban pertama H1N1 di Pahang adalah kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang meninggal di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada jam 12.40 tengah hari semalam.