Followers

Monday, September 6, 2010

Malaysia-Indonesia sepakat kaji prosedur sempadan maritim

KOTA KINABALU: Mesyuarat Jawatankuasa Bersama (JCM) Malaysia dan Indonesia, di sini petang ini disifatkan mencapai matlamat dengan kedua-dua negara sepakat untuk mengkaji semula prosedur standard (SOP) membabitkan sempadan maritim.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata pihak berkuasa kedua-dua negara juga komited untuk memberi perhatian serius kepada sensitiviti yang boleh mengguris hati dan perasaan kerajaan serta rakyat Malaysia dan Indonesia.
Beliau berkata demikian padavsidang media bersama Menteri Luar Indonesia, Dr Marty M Natalegawa di sini, sebentar tadi.

Menteri Luar Malaysia, Indonesia mulakan rundingan dua hala

KOTA KINABALU: Pertemuan empat mata antara Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman dan rakan sejawatannya dari Indonesia, Dr Marty M Natalegawa, di Hotel Le Meridien di sini, bermula kira-kira jam 3 petang tadi.

Perjumpaan itu antara lain bertujuan merangka agenda yang bakal dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama (JCM) delegasi kedua-dua negara, dijadual bermula jam 3.30 petang.
Sidang media bersama kedua-dua menteri akan diadakan jam 5 petang.

Jangan terpengaruh raya Khamis: Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Umat Islam diminta tidak terpengaruh dengan khabar angin mengatakan Aidilfitri disambut pada Khamis, sebaliknya menunggu pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam Rabu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata khabar angin itu disebar oleh pihak tertentu untuk mengaut keuntungan semata-mata.
"Kita dengar (khabar angin) Raya jatuh pada Khamis...kalau jatuh pada hari Khamis maka tinggal dua hari lagi kita berpuasa dan ini seperti menjadi trend golongan tertentu (peniaga) untuk melariskan jualan mereka.
"Kita jangan ikut rentak orang bisnes," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dana Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman
Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menentukan Aidilfitri tahun ini ditetapkan pada Rabu, manakala Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Jamil Khir turut menasihatkan umat Islam supaya berjimat-cermat dalam membuat persiapan menyambut perayaan Aidilfitri.
Pada majlis itu, seramai 70 orang terdiri daripada ibu tunggal dan anak-anak terabai berikutan bekas suami atau bapa gagal atau ingkar mematuhi perintah nakfah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah menerima nafkah pendahuluan berjumlah RM200,000.

Wang itu hanya diberi kepada mereka yang memperoleh perintah Mahkamah Syariah.
- BERNAMA

Hak istimewa Melayu tak boleh dipadamkan kecuali Melayu setuju

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dari mana-mana kaum yang mempersoal atau mempertikaikan Perkara 153 dalam Perlembagaan negara yang mengiktiraf kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera adalah buta sejarah dan tidak memahami Perlembagaan, kata pakar sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.
Beliau berkata kedudukan orang Melayu sudah ditetapkan pada zaman dahulu iaitu ketika zaman penjajahan British lagi.
"Bila British sampai ke Tanah Melayu, mereka dapati terdapat beberapa tempat di Semenanjung sudah mempunyai kerajaan dan mereka mengiktiraf kerajaan berkenaan.
"Kerajaan itu ada ramai rakyat (orang Melayu) dan bagi British, rakyat kepada raja itu mempunyai hak yang khusus, orang lain yang datang dan menetap di Tanah Melayu bukan rakyat raja, oleh demikian mereka tidak dapat menikmati hak yang ada pada orang Melayu," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata orang bukan Melayu di Semenanjung pada ketika itu bukanlah warga negara ataupun rakyat raja dan mereka hanya berpeluang untuk memohon kewarganegaraan apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1 Februari 1948.

"Apabila British mula merancang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara bangsa, apa yang sudah wujud disambung, menjelang 1957, Perlembagaan Persekutuan digubal dan dimasukkan perkara-perkara yang sudah wujud," katanya.

Justeru, Khoo berkata, rakyat khususnya kaum-kaum lain perlu sama-sama menghormati hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan kerana pada ketika ia digubal dahulu, kaum lain sendiri sudah bersetuju dengan perkara-perkara yang dimasukkan dalam Perlembagaan berkenaan.
"Kedudukan istimewa orang Melayu telah bermula sejak dahulu dan berasaskan sistem kerajaan yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu. Di Semenanjung, sejak 1895 sudah ada sembilan kerajaan yang kekal sampai ke hari ini," katanya.

Perlembagaan telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian pada 1956, Perlembagaan itu kemudian berkuatkuasa apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Perkara 153 Perlembagaan Malaysia memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo (Sabah dan Sarawak) serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.

Ia juga secara terperinci menjelaskan bagaimana Kerajaan Persekutuan mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera dengan menetapkan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, pemberian permit dan lesen perniagaan.

Khoo berkata punca mengapa kebelakangan kini terdapat pihak-pihak yang mempersoalkan mengenai hak-hak dan keistimewaan yang dinikmati oleh orang Melayu adalah kerana masyarakat pada masa kini sudah buta sejarah.

"Orang tak faham (Perlembagaan)...jahil, mereka tidak tahu apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan, tidak perlu ada perbincangan atau perbahasan mengenai Perlembagaan kerana apa yang penting ikut saja undang-undang yang telah diguna pakai sejak dulu," katanya.

Beliau berkata sekiranya Perlembagaan mahu dipinda, persetujuan daripada dua pertiga Anggota Parlimen perlu dicapai dan mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, sesiapa yang mahu menghapuskan atau meminda Perkara 153 pula, perlu mendapatkan persetujuan orang Melayu dan Bumiputera terlebih dahulu selain majoriti di Parlimen dan perkenan Seri Paduka Baginda.

"Kalau Perkara 153 perlu dipinda atau dihapuskan, keseluruhan orang Melayu mesti setuju, kalau orang Melayu rasa belum sedia untuk pinda, maka ia tidak boleh dipinda," katanya.

Bulan lalu, MCA menggariskan 13 resolusi pada Kongres Ekonomi Cina antaranya meminta kerajaan mementingkan keupayaan merit dan bukannya kuota bagi memberi peluang kepada semua pihak untuk bersaing secara sihat dan adil.

Kenyataan ini secara tidak langsung menggesa kerajaan agar memansuhkan Perkara 153 dan cuba mempertikaikan tanggungjawab yang ada pada ketua negara iaitu Yang di-Pertuan Agong yang memelihara hak dan keistimewaan orang Melayu.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria semasa menjadi panel wacana Perpaduan Ummah Dalam Kesedaran Penghakisan Hak Orang Melayu di Ipoh, bulan lalu pula mendedahkan bahawa ada perlembagaan baru dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan yang akan menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang.

Terbaru, pada Selasa lalu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menulis dalam portal berita The Malaysian Insider bahawa idea ''hak orang Melayu'' yang dibawa oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hanya satu gagasan ideologi dan falsafah yang tidak berakarumbikan Perlembagaan.

Nurul Izzah berkata, adalah penting untuk ditekankan bahawa Suruhanjaya Reid, yang merangka Perlembagaan, melihat Perkara 153 sebagai pendekatan sementara dan tertakluk kepada kajian semula selepas 15 tahun oleh Parlimen.

Berang dengan kenyataan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, penganalisis politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata Nurul Izzah perlu meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen kerana membuat tafsiran yang salah tentang hak-hak Melayu serta menyeleweng dan menipu rakyat.

"Dia jahil dan sedang keliru. Dia tidak tahu bahawa Laporan Reid hanyalah syor-syor yang dipinda oleh kertas putih yang diterbitkan di London tentang Perlembagaan Tanah Melayu," katanya.

Zainal turut mendesak kerajaan agar meneliti kenyataan Nurul Izzah itu kerana orang yang mempersoalkan hak-hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan telah melanggar undang-undang dan Akta Hasutan 1948.

"Kerajaan mesti teliti ucapan-ucapan seperti ini sama ada ia boleh disabitkan dengan Akta Hasutan, jika ya, maka pihak itu boleh didakwa," katanya.

Zainal, pensyarah di Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), tidak menafikan bahawa wujudnya gerakan yang dilakukan oleh orang bukan Melayu untuk menghapuskan hak Melayu dan orang Melayu itu sendiri.

"Ia seperti ideologi asing yang dicetuskan di Singapura pada sekitar 1963-1964 yang ingin memecahkan Malaysia, seluruh rakyat harus menentang gerakan ini kerana ia akan menyebabkan pergolakan rakyat," katanya.

Beliau berkata kaum lain telah diintegrasikan sebagai warga negara melalui undang-undang, maka semua yang menjadi warga negara atau rakyat mesti patuh pada undang-undang dalam Perlembagaan, jika tidak perasaan taat setia dan cinta kepada negara mereka boleh dipersoalkan.

"Mereka jadi rakyat kerana Perlembagaan benarkan, jadi mereka mesti hormat sepenuhnya kepada Perlembagaan, dan menjadi tanggungjawab mereka untuk menjunjung tinggi Perlembagaan negara. Kalau tak kita boleh persoalkan kerakyatan dan taat setia mereka," katanya.

Zainal berkata Perkara 153 amat penting bagi melindungi dan membantu orang Melayu dan Bumiputera khususnya yang berada di luar bandar dan pedalaman.

"Orang kampung, Orang Asli dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak yang duduk di luar bandar dan pedalaman mesti dibantu, kerajaan wajib laksanakan Perkara 153 demi kesejahteraan rakyat dan membela golongan yang tidak dapat menikmati kemudahan yang canggih seperti di bandar," katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata semua kaum di Malaysia perlu menghormati perkara yang termaktub dalam Perlembagaan kerana jika ia tidak dipelihara maka akan berlaku perpecahan dan ketidakstabilan di negara ini.

Beliau berkata ketika Tanah Melayu menuntut kemerdekaan lagi sudah wujud suasana tidak puas hati mengenai Perlembagaan tetapi ia hanyalah daripada golongan minoriti.

"Sekarang golongan minoriti ini sudah dapat akses ke dalam blog-blog dan media, dulu tidak ada, sekarang sudah ada kebebasan bersuara dan kita nampak seolah-olah ramai yang menentang, sebenarnya tidak," katanya.

Ahmad Atory berkata kaum lain tidak patut mempersoalkan mengenai kuota yang dinikmati oleh orang Melayu dan Bumiputera kerana dengan adanya kuota tersebut orang Melayu akan boleh bersaing dengan kaum lain yang lebih maju.

"Melayu ketinggalan, jika tiada kuota kaum lain akan bolot semua dan tiada yang tinggal. Kalau (benar dakwaan kononnya) kita nafikan hak kaum lain maka tiada orang Cina yang jadi bilionaire," katanya.

Ahmad Atory berkata kerajaan selaku pelaksana hak dan keistimewaan orang Melayu perlu ada mekanisme tertentu untuk mengurus pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Kerajaan perlu ada program kenegaraan, mata pelajaran Sejarah amat penting untuk generasi masa depan mengenal sejarah kemerdekaan negara, kerajaan juga perlu ada hujah dan fakta untuk menerangkan kepada golongan-golongan ini mengenai sejarah negara," katanya.

Beliau berkata pemimpin-pemimpin terdahulu yang merangka Perlembagaan telah "terlajak sejarah" iaitu mereka tidak menjangka sama sekali bahawa fasal-fasal yang termaktub dalam Perlembagaan ditentang hebat oleh kaum bukan Melayu pada zaman sekarang.

"Kalau mereka jangka mungkin ada beberapa perkara yang boleh dibetulkan, tetapi kita tidak boleh nak kata apa, sudah terlajak sejarah, bapa-bapa kemerdekaan sudah buat benda ini (Perlembagaan)," katanya.

Beliau berkata fenomena "terlajak sejarah" itu kini terpaksa dipikul oleh generasi sekarang di mana tanggungjawab yang ada adalah lebih berat daripada tokoh-tokoh terdahulu selaras dengan peredaran zaman. - BERNAMA

Jangan persoal kontrak sosial: PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata bahawa semua perkara yang sudah disepakati oleh pengasas negara terutama perlembagaan yang berdasarkan kontrak sosial antara kaum, tidak seharusnya dipersoalkan, kata Datuk Seri Najib Razak.
"Kita hendaklah beringat dan berpegang teguh kepada perkara yang telah dipersetujui dan dimaktubkan oleh bapa-bapa kita, generasi yang lalu, sejak sekian lama sehingga kita berada dalam suasana seperti hari ini," katanya semasa berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata bahawa dalam menjaga hubungan antara kaum pula, setiap rakyat hendaklah peka kepada sensitiviti serta mengelak daripada perbuatan, tindakan atau tutur kata yang boleh melukakan saudara daripada kaum-kaum lain.
"Kalau dua aspek itu dapat dielakkan banyaklah suhu panas akan reda dalam negara kita dan saya percaya ia juga boleh membawa kepada pengukuhan perpaduan nasional dan kestabilan politik negara kita," katanya

Najib berkata kedua-dua aspek itu juga penting dalam pengurusan politik negara turut melibatkan hubungan antara kaum.

"Kita selalu sebut bahawa tonggak kepada negara kita ialah perpaduan nasional dan kestabilan negara (tetapi) kestabilan itu akan terancam kalau kita tidak dapat menguruskan perhubungan kaum dengan begitu baik," katanya.

Najib berkata gagasan 1Malaysia amat perlu dihayati, difahami serta diamalkan khususnya kepada penjawat awam dalam apa jua yang dilakukan supaya dapat menjadi contoh dan teladan kepada penjiwaan serta amalan 1Malaysia.
"Ingatlah menjadi tanggungjawab kita memelihara negara kita untuk anak-anak dan cucu kita, janganlah yang elok itu menjadi retak dan janganlah yang sudah bersambung itu menjadi putus," katanya. - BERNAMA

Masyarakat perlu jaga sensitiviti isu kaum, agama

POKOK SENA: Orang ramai perlu mengelak daripada membangkitkan perkara sensitif menerusi sebarang medium terutama isu agama dan kaum supaya tidak timbul perasaan marah dan tidak puas hati orang lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata tidak kira apa agama sekalipun yang dianuti, jika orang menghina pegangan agama dan kepercayaan akidah agama itu, sudah pasti akan timbul perasaan marah.
"Jadi jangan sampai kepada berlaku satu tindak balas yang menyebabkan masing-masing berada dalam keadaan tidak tenang dan tidak tenteram," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program tanggungjawab korporat Bank Islam Malaysia Berhad di sini semalam.
Beliau berkata kesan daripada penghinaan kepada kepercayaan sesuatu agama itu akan menyebabkan permusuhan bukan sahaja di laman sosial Facebook tetapi juga permusuhan yang melibatkan bangsa, agama dan soal kerukunan masyarakat di Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa individu yang menggunakan internet seperti Youtube dan laman sosial Facebook untuk menghina Islam, orang Melayu dan Perlembagaan Persekutuan.

Jamil Khir berkata beliau berharap masyarakat menghormati pandangan orang lain dan jangan mengambil tindakan bersendirian sehingga menghina orang lain dalam laman sosial yang bersifat kebebasan.

"Kebebasan sebenarnya ada batasannya...janganlah sampai kita mencerobohi hak orang lain sehingga menimbulkan rasa tak senang dan marah orang terhadap kita," katanya. - BERNAMA

PM umum 8 inisiatif pembaharuan strategik pacu MBE

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata usaha memperkasa sumber pertumbuhan ekonomi baru, mencipta ekonomi domestik yang berdaya saing dan memastikan kebolehmapanan pertumbuhan ekonomi adalah antara lapan perkara yang terangkum dalam Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) yang akan memacu Model Baru Ekonomi (MBE).
Perdana Menteri berkata perkara lain yang terangkum dalam SRI ialah mengupaya kembali sektor swasta, membangun tenaga kerja berkualiti dan mengurang kebergantungan tenaga kerja asing, memperkasa sektor awam, tindakan affirmatif yang telus dan mesra pasaran serta membina asas pengetahuan dan infrastruktur.
"Lapan SRI itu sedang dan akan diterjemah melalui Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10) dan RMK11. Saya berharap kita semua mengerti, memahami dan mengambil tindakan atas ke-lapan-lapan SRI itu."
"Misalnya, dalam memperkasa sumber-sumber pertumbuhan ekonomi, ia bukan sahaja melalui peruntukan kerajaan, pelaburan domestik, pelaburan langsung asing (FDI), tetapi bagaimana menjana kekayaan melalui inovasi dan tindakan yang lebih kreatif," katanya semasa berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Najib berkata SRI ini perlu dipastikan kejayaannya kerana ini satu cara dan kaedah membolehkan pencapaian matlamat yang diharapkan iaitu menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

Mengenai membangun tenaga kerja berkualiti dan mengurang kebergantungan tenaga kerja asing, beliau berkata adalah penting untuk negara meningkatkan lagi penjanaan insan yang berkebolehan, berkemahiran seperti mana yang dituntut oleh pasaran semasa.

Selain menjadi pelengkap kepada MBE, Perdana Menteri berkata lapan SRI itu akan merentasi 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).
"Jika kita dapat meneruskan kelangsungan pertumbuhan ekonomi yang mampan, ia akan menjadi pelengkap kepada apa yang dianggap sebagai agenda kerajaan ke arah matlamat dan impian semua," katanya. - BERNAMA

Perintah darurat di New Zealand dilanjutkan

CHRISTCHURCH: Pihak berkuasa New Zealand hari ini melanjutkan perintah darurat selepas gempa kuat melanda Christchurch, kelmarin dengan bandar raya kedua terbesar itu dilaporkan masih lumpuh.
Gempa susulan yang kuat berterusan melanda Christchurch selepas gempa pertama berukuran 7.0 magnitud pada Sabtu lalu, yang setakat ini nilai kerosakan dianggarkan mencecah AS$1.44 bilion.
Polis dan tentera mengadakan sekatan jalan raya bagi memantau aliran keluar masuk ke bandar raya iti, manakala Agensi Pertahanan Awam berkata bandar raya itu masih ditutup kerana dikhuatiri berlaku runtuhan.
“Perintah darurat di negeri ini dilanjutkan lagi sehingga tengah malam Rabu," kata jurucakap kerajaan.

Sekolah, kedai dan tempat perniagaan ditutup dan penduduk dinasihatkan supaya berada di rumah masing-masing sehingga pemeriksaan lengkap dilakukan terhadap lebih 500 bangunan yang rosak.

Pihak berkuasa memberitahu ia mengambil masa untuk mengembalikan kehidupan seperti biasa di bandar raya yang mempunyai lebih 340,000 penduduk itu.

"Ia bukan boleh pulih dalam masa terdekat," kata Perdana Menteri, John Key, yang dijadual memanggil mesyuarat Kabinetnya hari ini untuk merancang memulihkan Christchurch dalam masa segera. - AFP