Followers

Friday, March 5, 2010

KWSP umum dividen 5.65 peratus

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan dividen 5.65 peratus untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009, berbanding 4.50 peratus pada 2008. - Bernama

Cubaan seludup keluar minyak masak, gula gagal

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 400 paket minyak masak dan 190 paket gula pasir yang cuba diseludup keluar dari negara ini di perairan Tawau, di sini semalam.

Pegawai Memerintah KM Budiman, Lt Komander (Maritim) Asman Jamak, berkata barangan seberat satu kilogram (kg) setiap paket bernilai kira-kira RM1,400 itu dirampas hasil pemeriksaan terhadap sebuah bot Jongkong pada kira-kira 4 petang.

Ketika ditahan, bot yang membawa penumpang rakyat Indonesia itu dalam perjalanan ke Sungai Melayu, Pulau Sebatik. Semua penumpang bot itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Tiada tangkapan dibuat kerana tidak seorangpun di atas bot berkenaan mengaku barangan kawalan itu milik mereka," katanya.

Semalam, Pasukan Gerakan Marin (PGM) Tawau turut menggagalkan cubaan meyeludup keluar 410 kilogram minyak masak dan 200 kilogram gula pasir dari sebuah feri penumpang yang dalam perjalanan dari Tawau ke Nunukan. - Bernama

Gempa di Chile: Kerajaan isytihar tiga hari berkabung

SANTIAGO: Kerajaan Chile mengisyhitarkan tiga hari bermula esok sebagai tempoh berkabung bagi memberi penghormatan terakhir kepada mereka yang terkorban akibat gempa kuat, Sabtu lalu.

“Presiden mengisytiharkan tempoh tiga hari bermula tengah malam Sabtu sebagai mengingati penduduk Chile yang maut akibat gempa," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Patricio Rosende.

Presiden Chile, Michelle Bachelet juga mengarahkan bendera kebangsaan dikibarkan separuh tiang sebagai penghormati mangsa yang terkorban. Setakat ini, pegawai menyebut 802 maut akibat gempa kuat 8.8 magnitud yang turut membawa tsunami, Sabtu lalu. - AFP

Lagi gempa kuat 6.3 magnitud gegar Chile

SANTIAGO: Chile bergegar lagi awal hari ini apabila gempa bumi 6.3 magnitud melanda negara itu selepas gempa kuat minggu lalu yang setakat ini sudah mengorbankan 800 orang.

Ketua Pusat Kecemasan Kebangsaan (ONEMI), Carmen Fernandez, berkata setakat ini belum ada laporan mengenai kerosakan atau mereka yang cedera tetapi "ia menyebabkan panik dan ketakutan di kalangan penduduk".

Gempa berlaku jam 7.39 petang (2239 GMT) atau 6.39 pagi waktu Malaysia itu berpusat di 105 kilometer (km) dari Pergunungan Andes di timur laut Calama, lapor Pusat Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Sabtu lalu, Chile digegarkan dengan gempa berukuran 8.8 magnitud yang turut membawa tsunami. - AFP