Followers

Tuesday, August 11, 2009

Kesihatan Tengku Puan Pahang, lima anakanda baik

KUANTAN: Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Iskandariah dan lima anakanda baginda yang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kerana dijangkiti Influenza A (H1N1) dilaporkan dalam keadaan baik.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar Dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun berkata baginda bagaimanapun masih dalam pengawasan pihak hospital.

"Baginda sekeluarga sedang berehat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Lima anakanda Tunku Azizah yang berumur tujuh hingga 14 tahun dimasukkan ke HTAA Jumaat lalu, manakala baginda dimasukkan keesokan harinya.

Hoh juga berkata daripada 13 orang yang disahkan positif H1N1 di hospital berkenaan kini dalam keadaan kritikal.

Katanya dua pesakit berkenaan ialah seorang guru lelaki berusia 38 tahun dan seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan.

Hoh juga berkata dua hospital di negeri itu iaitu HTAA dan Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh yang menempatkan pesakit H1N1 masih mempunyai antiviral, kelengkapan dan kakitangan mencukupi bagi menangani wabak itu walaupun jumlah pesakit semakin bertambah.

"Jumlah mereka yang mendapatkan rawatan bagi sakit tekak dan demam sebelum ini hanya sekitar 250 orang sehari, namun sejak penularan wabak H1N1 ini, pesakit yang mengunjungi hospital meningkat kepada 450 hingga 750 orang sehari," katanya. - Bernama

Pemansuhan PPSMI bermula berperingkat mulai 2012

PUTRAJAYA: Pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan bermula secara berperingkat mulai 2012 bagi Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.

Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran, Tan Sri Alumuddin Mohd Dom, berkata Tingkatan 6 dan Matrikulasi tidak akan terlibat dalam pemansuhan itu.

"Bagi menyediakan mekanisme 'soft landing' pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia, kedua-dua mata pelajaran terbabit akan diajar dalam dwibahasa iaitu Bahasa Malaysia/Bahasa Cina/Bahasa Tamil dan Bahasa Inggeris di sekolah rendah dan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di sekolah menengah mulai 2010.

"Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bagi Tahun 4 pada tahun 2012, 2013 dan 2014, Tahun 5 pada tahun 2013, 2014 dan 2015 dan Tahun 6 pada tahun 2014, 2015 dan 2016 akan dilaksanakan dalam dwibahasa," katanya kepada pemberita selepas menemui Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Alimuddin berkata, peperiksaan Sains dan Matematik UPSR akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2016. - Bernama

Sabah&Sarawak: Syor tambah 30 peratus pembuat dasar wanita

SANDAKAN: Cadangan supaya 30 peratus pembuat dasar diberikan kepada wanita harus segera dilaksanakan kerajaan sebagai pengiktirafan sumbangan wanita kepada pembangunan negara.

Ketua Wanita Umno Bahagian Sandakan, Asnah Tahlil, berkata pergerakan itu meminta kerajaan melantik lebih ramai wanita sebagai pembuat dasar kerana ia sudah lama diperjuangkan wanita, khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Penyertaan wanita dalam perkhidmatan awam, politik, akademik, ekonomi dan sosial selepas negara mencapai kemerdekaan semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Oleh itu, kerajaan wajar menyegerakan cadangan berkenaan kerana sekarang semakin ramai wanita memegang jawatan penting sama ada dalam sektor awam atau swasta," katanya ketika berucap pada mesyuarat perwakilan Wanita Umno bahagian di Hotel Sandakan, di sini semalam.

Mesyuarat berkenaan dirasmikan Ketua Umno bahagian, Tan Sri Ampong Puyon.

Mengenai Wanita Umno, beliau berkata, jumlah pengundi wanita yang lebih ramai daripada lelaki harus dijadikan landasan untuk memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

"Ada 2.75 ahli Wanita Umno di seluruh negara. Setiap kali menjelang pilihan raya, wanita paling sibuk berkempen untuk membantu kemenangan calon BN," katanya.

Asnah yang juga Ketua Penerangan Wanita Umno Sabah, berkata ahli pergerakan itu harus menanam tekad dan semangat bekerja lebih gigih bagi mengembalikan kegemilangan Umno sebagai tunjang perjuangan BN.

"Kita harus jujur, setia kepada parti dan sanggup bersama-sama parti sama ada ketika kuat atau ketika menghadapi pelbagai cabaran," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli pergerakan itu menjadikan mesyuarat berkenaan sebagai landasan terbaik membincangkan hala tuju parti dalam memperjuangkan masa depan rakyat.

Sabah&Sarawak: Mutu khidmatan kesihatan di hospital wajar diutama

Pembinaan pusat rawat pesakit perlukan kos tinggi: Liow

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan meminta kerajaan negeri memastikan Wisma Khidmat, di sini yang bakal diubah suai menjadi hospital swasta mampu mengekalkan perkhidmatannya kerana penyediaan perkhidmatan kesihatan membabitkan kos tinggi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata penyediaan kesihatan bukan setakat membabitkan pembinaan bangunan, malah yang lebih penting ialah mengekalkan perkhidmatannya yang membabitkan pelaburan tinggi.

"Kerajaan negeri perlu berhati-hati kerana untuk membina hospital memang mudah tetapi tidak mudah untuk menguruskannya. Kementerian Kesihatan sendiri menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja.

"Jika kerajaan negeri ingin membina hospital, ia perlu mengekalkan perkhidmatan sebaik mungkin," katanya pada sidang media selepas merasmikan penamaan Hospital Likas kepada Hospital Wanita dan Kanak-kanak, di Hospital Likas, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Marzukhi Md Isa dan Pengarah Hospital Likas, Dr Razak Tambi.

Beliau mengulas cadangan kerajaan negeri untuk menjadikan Wisma Khidmat sebagai hospital swasta yang bakal menyediakan 150 katil dengan kos RM100 juta.

Ia bertujuan mengatasi kesesakan di Hospital Queen Elizabeth (QEH), di sini selepas blok menara hospital itu ditutup setahun lalu kerana tidak selamat digunakan.

Mengenai pengubahsuaian Pusat Perubatan Sabah (SMC), di sini yang dibeli Kementerian Kesihatan dan dijadikan hospital kerajaan, Liow berkata, ia akan dimulakan segera selepas perjanjian jual beli yang dijangka akhir bulan ini.

Pembelian SMC pada harga RM245 juta diumumkan Datuk Seri Najib Razak Mei lalu. Ia menyediakan 400 katil dan beberapa bilik pembedahan.

Liow juga berkata, kerajaan akan membina menara berkembar QEH di kawasan tidak jauh dari bangunan hospital itu yang sedia ada yang mampu menempatkan 600 katil.

Tengku Puan Pahang, lima anakanda hidap H1N1

KUANTAN: Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan lima anakanda baginda dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAF) kerana dijangkiti Influenza A (H1N1).

Lima anakanda baginda yang berumur tujuh hingga 14 tahun, termasuk pasangan kembar yang berusia sembilan tahun dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu, manakala baginda dimasukkan keesokan harinya.

Pengarah hospital, Datuk Dr Ardi Awang ketika dihubungi, berkata keadaan baginda dan semua anakanda Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang sedang dirawat di wad diraja hospital berkenaan sudah diberikan antiviral.

"Kita membuat pengawasan dan baginda serta anakanda akan dibenarkan keluar daripada hospital apabila pulih sepenuhnya," katanya.

Mereka ialah Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, 14; Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, 12; pasangan kembar Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, 9; dan Tengku Puteri Jihan Khalsom 'Athiyatullah, 7 tahun.

Sementara itu, Tunku Azizah Aminah berkata, keluarga baginda dipercayai dijangkiti daripada anakandanya, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah yang mendapat jangkitan di Sekolah Kebangsaan St Thomas, di sini.

Baginda berkata, Tengku Hassanal Ibrahim dan Tengku Muhammad Iskandar yang bercuti daripada belajar di luar negara turut dijangkiti.

"Apa yang merisaukan saya adalah Tengku Ahmad Ismail yang menghidap asma dan radang paru-paru ringan. Anak saya juga kadang-kadang muntah dan meracau. Selain itu, tujuh pekerja istana telah dikuarantin kerana ada tanda-tanda penyakit itu," katanya.

Baginda juga meminta kerajaan dan rakyat lebih serius menangani wabak itu yang kini mengorbankan banyak nyawa di negara ini.

"Saya bimbang kerana pihak tertentu dan orang ramai seolah-olah tidak memandang serius wabak ini. Kesedaran kurang dan majlis yang membabitkan orang ramai masih dianjurkan walaupun penyakit mudah merebak," katanya.

Amaran tsunami di utara Semenanjung ditarik balik

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi menarik balik amaran tsunami bagi negeri di utara Semenanjung yang dikeluarkan awal pagi ini ekoran gempa bumi kuat yang dikesan di Kepulauan Andaman.

Menurut kenyataan jabatan itu, amaran tsunami yang dikeluarkan bagi penduduk di Perlis, Pulau Pinang dan Kedah termasuk Pulau Langkawi jam 4.45 pagi ditarik balik pada 6.20 pagi memandangkan tiada tsunami diperhatikan berlaku susulan daripada kejadian gempa itu.

Amaran tsunami itu dikeluarkan ekoran gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada skala Richter dikesan berlaku di Kepulauan Andaman jam 3.33 pagi dan penduduk di ketiga-tiga negeri berkenaan dinasihati supaya tidak berada di kawasan pantai.

Gempa itu berpusat di 101 kilimeter (km) dari timur laut Andaman dan 1,151 km dari barat laut Langkawi. - Bernama

H1N1: Kes kematian meningkat kepada 38

PUTRAJAYA: Enam lagi kes kematian terbaru akibat H1N1 dilaporkan di Malaysia dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan 38 kes sehingga jam 8 pagi tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr ismail Merican, berkata empat daripada kes kematian terbaru itu membabitkan mereka yang berisiko termasuk penghidap darah tinggi dan obesiti.

Katanya, jumlah jangkitan juga meningkat kepada 2,253 kes dengan 270 kes baru dilaporkan.