Followers

Tuesday, May 25, 2010

Tumpahan minyak tidak masuki perairan Pengerang: JAS

JOHOR BAHRU: Tumpahan minyak daripada kapal tangki MT Bunga Kelanga 3 yang berlanggar dengan kapal MV Waily di Tanjung Stapa, perairan Pengerang kira-kira 6.10 pagi tadi, dijangka tidak akan memasuki perairan Malaysia dan menjejaskan pantai.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, dalam satu kenyataan di sini, berkata ia berdasarkan tiupan arah angin ke barat daya dengan kelajuan 20 hingga 30 kilometer sejam dan keadaan air laut yang surut mulai 3.25 petang tadi.

"Pihak AET Tanker Holding Sdn Bhd, anak syarikat MISC Bhd yang mengendalikan MT Bunga Kelana 3 telah memasang "boom" di sekeliling kapal dan Petroleum Industry of Malaysia Mutual Aid Group telah dilantik bagi menghadapi kemungkinan tumpahan minyak merebak ke perairan Pengerang," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, JAS Johor dengan kerjasama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Unit Udara Polis dan Jabatan Laut Wilayah Selatan akan terus memantau keadaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Ketika kejadian, MT Bunga Kelana 3 membawa 63,054 tan metrik light crude oil milik Petronas dari Bintulu ke kilang penapis Petronas di Melaka, manakala kapal MV Waily membawa kargo bijih besi dan sedang dalam pelayaran dari India ke Hong Kong.

Kejadian menyebabkan 2,000 tan metrik minyak tumpah setelah berlaku koyakan sepanjang 10 meter pada MT Bunga Kenanga manakala MV Waily hanya mengalami kerosakan kecil.

Tumpahan tersebut yang menyamai 14,660 tong minyak cukup untuk memenuhkan kolam renang bersaiz olimpik.
Bunga Kelana 3 didaftarkan di Pelabuhan Klang manakala MV Waily berdaftar di Kingstown, Saint Vincent and The Grenadines.

APMM yang menerima maklumat mengenai kejadian tiba di tempat kejadian kira-kira jam 10.27 pagi untuk menyelamatkan 50 anak-anak kapal berada di atas kedua-dua kapal tersebut yang terdiri daripada warga Malaysia, India, Pakistan, Indonesia, China dan Filipina.

Semua anak-anak kapal berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan. - Bernama

Mayat bayi ditemui ditanam dekat landasan kereta api

SHAH ALAM: Polis menemui mayat seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditanam berhampiran landasan kereta api berdekatan Stesen Komuter Padang Jawa, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Noor Azam Jamaluddin, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 10 malam memaklumkan mengenai penemuan longgokan tanah berupa kubur kecil.

"Polis kemudian menggali longgokan tanah itu dan menemui satu benda dibalut kain putih. Apabila dibuka didapati ada mayat bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Noor Azam berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. - Bernama

Umno tak pernah campur urusan parti komponen BN: Shafie

BANGI: Umno sama sekali tidak pernah mencampuri sebarang urusan dalaman parti komponen Barisan Nasional (BN) walaupun di saat mereka sedang bergelut dengan masalah dalaman masing-masing, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Sambil melahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap tuduhan bahawa Umno melakukan pembunuhan politik untuk memecah-belahkan MIC, Shafie berkata tuduhan seumpama itu perlu diseiringkan dengan bukti jika ia benar-benar berlaku.

"Sepanjang pengetahuan saya, sebagai salah seorang Naib Presiden parti dan antara pemegang jawatan tertinggi parti, tidak pernah sama sekali Umno mencampuri urusan dalaman parti komponen lain, termasuk di Sabah dan Sarawak.
"Sejarah telah membuktikan bahawa MCA pernah menghadapi masalah dalaman yang sangat serius tetapi kami tidak pernah mencampuri urusan mereka. Sudah tentu Umno akan mengambil berat kerana apa yang berlaku akan memberikan implikasi terhadap keseluruhan jentera BN," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian bangunan tambahan Institut Kemajuan Desa (Infra) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuduhan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, S Vell Paari, kononnya Umno menggunakan pembunuh politik untuk memecah belahkan MIC.

Shafie berkata, sebarang perbalahan dalam parti komponen BN akan memberi kesan terhadap usaha memperkukuh dan memperkasakan BN.

Justeru, katanya, adalah wajar jika pemimpin BN melahirkan hasrat untuk melihat proses penyelesaian berlangsung pada kadar segera.
"Dengan mengambil berat tidak bererti kami mencampuri urusan dalaman mereka malah kami tidak pernah berbincang mengenai sebarang perkara termasuk berkaitan hala tuju MIC, tetapi kami mahu tahu, bila MIC boleh diperkasakan semula atau bagaimana ia boleh diperkasakan semula.

"Kalau ada suara dari dalam parti itu sendiri, takkan kita (Umno) pula yang dipersalahkan," katanya. - Bernama

Mahmoud Abbas lawat Malaysia esok

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Palestin akan meningkatkan keakraban hubungan dua hala yang sedia terjalin dengan lawatan kerja Presiden Mahmoud Abbas ke negara ini mulai esok.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan hari ini berkata Abbas akan diiringi beberapa menteri dan pegawai kanan kerajaan dalam lawatan tiga hari itu.

Pemimpin Palestin itu dijangka mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, serta mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Istana Negara di sini. Lawatan Abbas adalah kali kedua selepas 2007.

"Lawatan itu juga menyediakan peluang untuk pemimpin kedua-dua negara membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa bagi kepentingan bersama khususnya mengenai perkembangan terbaru di Palestin," menurut kenyataan itu. - Bernama

Pencari petai temui bom lama

BALING: Dua pencari petai hutan hari ini terkejut apabila besi buruk yang disepak dan diketuk mereka di hutan Gunung Gadong, Siong di sini, rupa-rupanya sebutir bom lama.
Zaini Md Edi, 31, dan Ayub Abdul Rahman, 30, dari Kampung Kuala Kedua yang terletak kira-kira tiga kilometer dari hutan itu, berkata mereka mengetuk "besi buruk" itu beberapa kali setelah menyepaknya.

"Kami mengorek besi tersebut dengan parang dan terkejut apabila mendapati ia adalah bom," kata Ayub semasa ditemui di sini, hari ini.
Katanya, mereka mengambil keputusan mengalihkan bom lama itu ke kawasan lebih tinggi sebelum membuat laporan di Pondok Polis Kampung Lalang, Siong.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Kampung Kuala Kedua, Al Mokhtar Ahmad, 49, berkata sebelum itu, penduduk kampung menemui sebutir lagi bom lama tidak jauh dari tempat bom berkenaan ditemui. - Bernama

Najib pengerusikan mesyuarat Majlis Hal Ehwal Agama Islam

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-51.
Mesyuarat itu yang bermula jam 3 petang diadakan di pejabat Perdana Menteri di sini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, turut hadir. - Bernama

H1N1: 29 lagi kes positif dilaporkan

KUALA LUMPUR: Sejumlah 29 kes disahkan positif Influenza A (H1N1) dilaporkan di seluruh negara sehingga petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul kes adalah 14,692.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Mohd Ismail Merican, berkata tiga laporan kejadian kluster penyakit serupa Influenza (ILI) telah dilaporkan di Selangor. Jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad seluruh negara adalah sebanyak 569 kes dan daripada jumlah tersebut 74 kes (13 peratus) telah disahkan positif H1N1," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, terdapat lima kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan semuanya mempunyai risiko H1N1 dan tiada laporan kematian diterima dan jumlah terkumpul kematian H1N1 kekal 86 orang.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan virus H1N1 seperti fasiliti kesihatan kerajaan yang menyediakan kemudahan pelalian kepada kumpulan berisiko serta langkah pencegahan boleh melayari laman webwww.moh.gov.my atau h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200/0300. - Bernama

Persad-Bissessar dipilih PM wanita pertama Trinidad dan Tobago


Kamla Persad-Bissessar
Kamla Persad-Bissessar
PORT OF SPAIN: Kamla Persad-Bissessar dipilih sebagai Perdana Menteri wanita pertama Trinidad dan Tobago selepas lima parti yang bergabung mencatatkan kemenangan dalam pilihan raya negara bekas jajahan British itu.

Bekas Perdana Menteri, Patrick Manning mengaku kalah selepas lima jam pengundian ditutup, lewat malam tadi selepas pengiraan di kaca televisyen menunjukkan bendera kuning pakatan memenuhi kerusi hampir di semua tempat dalam peta negara itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya dan Persempadanan bagaimanapun masih belum memberikan keputusan penuh 41 kerusi yang dipertandingkan.
Persad-Bissessar dalam kempennya berjanji akan membendung kebimbangan orang ramai terhadap peningkatan skandal rasuah dan keganasan di negara berkenaan.

Pemimpin berusia 58 tahun itu juga berjanji akan menambah kadar pencen dan menubuhkan dana khas bagi kanak-kanak yang sakit. - AFP

Kapal tangki Malaysia berlanggar di Selat Singapura

SINGAPURA: Sebuah kapal tangki yang berdaftar di Malaysia, MT Bunga Kelana 3, berlanggar dengan sebuah kapal pengangkut pukal di Selat Singapura kira-kira 13 kilometer (km) ke tenggara Changi East pagi ini.
Lembaga Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata kapal tangki itu berlanggar dengan kapal pengangkut pukal yang berdaftar di St Vincents dan Grenadines, MV Waily, di laluan pemisah trafik (TSS) di selat itu kira-kira 6.10 pagi.

Dalam satu kenyataan, MPA berkata tidak ada laporan mengenai kecederaan terhadap anak kapal tetapi satu dari tangki kargo kapal minyak itu rosak mengakibatkan tumpahan minyak.
Kapten kapal tangki itu menganggarkan 2,000 tan metrik minyak mentah mungkin telah tumpah ke laut.

Kedua-dua kapal kini berlabuh di Selat Singapura dengan MT Bunga Kelana 3 berada kira-kira 7km ke selatan Changi East.

Pusat Kawalan Operasi Pelabuhan MPA menyiarkan pengumuman pelayaran kepada kapal-kapal yang melalui TSS supaya berhati-hati terhadap kapal yang berlabuh itu.

Lalu lintas di TSS bagaimanapun tidak terjejas.
MPA telah menggerakkan syarikat-syarikat pembersih minyak, yang telah menugaskan tiga kapal lengkap dengan alat pembersih minyak.

Usaha mengawal dan membersihkan tumpahan minyak sedang berjalan.

MPA telah juga memberitahu pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia mengenai insiden itu. - Bernama

Malaysia minta rakan dialog Asean bantu atasi isu buruh

KUALA LUMPUR: Malaysia berharap rakan dialog Asean akan membantu negara anggota kumpulan serantau itu menyelaras dasar mengenai pekerjaan dan menggalakkan dialog sosial serta mengukuhkan sistem pentadbiran buruh mereka.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata bahawa dalam menghadapi saat krisis, langkah memantapkan sistem pentadbiran buruh amat kritikal.

"Saya berpendapat bahawa sistem pentadbiran buruh yang berkesan adalah kunci kepada tadbir urus yang cekap dalam pasaran buruh," katanya pada Mesyuarat Menteri Buruh Asean di Hanoi, Vietnam, hari ini.
Teks ucapan beliau dikeluarkan di sini.

Subramaniam berkata, Malaysia berharap lebih banyak bantuan teknikal dan kewangan disalurkan kepada negara anggota Asean bagi melaksanakan program dan aktiviti yang dicadangkan dalam Pelan Kerja Menteri-menteri Buruh Asean 2010-2015.

Rakan dialog Asean ialah Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.

Subramaniam juga berkata, rantau Asean turut merasai kesan daripada krisis kewangan yang melanda Amerika Syarikat tahun lalu dengan penutupan kilang, pengurangan pelaburan dan peningkatan kadar pengangguran.
Katanya, walaupun tempoh paling buruk kemerosotan ekonomi itu telah berlalu dan kini terdapat tanda pemulihan dalam beberapa sektor ekonomi, Malaysia masih meneruskan usahanya bagi mewujudkan keadaan ekonomi yang sentiasa kukuh dan bertahan.

"Tumpuan kerajaan (Malaysia) ialah menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya, khususnya mereka yang diberhentikan," katanya.

Katanya, Malaysia telah mengambil langkah bagi meningkatkan inisiatif latihan kemahiran untuk pekerjanya sehingga ke peringkat profesional dan pengurusan.

"Ini bagi menjamin bahawa kemahiran ini relevan dengan suasana ekonomi di masa depan kerana Malaysia perlu bergerak maju sebagai negara berpendapatan tinggi seperti yang disasarkan dalam Model Baru Ekonomi," katanya. - Bernama

Gempa kuat di Brazil

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi yang kuat pada magnitud 6.4 di skala Richter berlaku di bahagian barat Brazil pada 12.18 pagi tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa itu dikesan di 8.1 darjah selatan dan 71.6 darjah barat, 749 kilometer (km) ke timur laut Lima, Peru dan 18,879 km ke barat daya Kunak, Sabah.

"Tidak ada ancaman tsunami kepada Malaysia," menurut kenyataan itu. - Bernama

Perkeso bayar pampasan RM1.35 bilion tahun lalu

PETALING JAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membayar pampasan bernilai RM1.354 bilion bagi 69,081 kes kemalangan di tempat kerja yang dilaporkan kepadanya sepanjang tahun lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata industri perkilangan melaporkan paling tinggi kes kemalangan berlaku di tempat kerja iaitu 20,939 kes, diikuti industri perkhidmatan awam dan keselamatan sosial wajib (12,224 kes), perdagangan (11,228 kes) dan sektor pembinaan 4,108 kes.

"Daripada jumlah itu, kes pekerja hilang upaya sementara adalah paling banyak dilaporkan iaitu sebanyak 55,955 kes, hilang upaya kekal sebanyak 13,895 kes, manakala kemalangan maut di tempat kerja adalah 1,231 kes," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Tahunan Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) di sini hari ini.
Maznah berkata, berdasarkan peningkatan statistik berkenaan, pihak pengurusan dalam setiap industi pekerjaan perlu lebih agresif dalam mengambil dan melatih tenaga kerja mahir bagi mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja.

Katanya, walaupun industri binaan sahaja yang diwajibkan mempunyai pekerja sepenuh masa bagi memantau aspek keselamatan dan kesihatan bagi projek bernilai RM20 juta dan ke atas, adalah wajar untuk industri lain mengikut langkah yang sama agar risiko kemalangan pada pekerja dapat dikurangkan. - Bernama