Followers

Saturday, June 6, 2009

Sabah & Sarawak: Dana RM400 juta untuk bina rumah mesra rakyat

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM400 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk pembinaan projek perumahan rakyat demi keselesaan penduduk negeri ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin berkata projek perumahan yang dibina Jabatan Perumahan Negara (JPN) itu meliputi Projek Perumahan Rakyat (PPR), Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) dan Rumah Mesra Rakyat.

"Kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk memajukan projek pembinaan rumah dengan menyalurkan peruntukan besar membantu mencapai sasaran semua rakyat negeri ini memiliki kediaman sendiri.

''Projek seumpama ini juga memanfaatkan penduduk Sabah khususnya mereka yang berpendapatan rendah," katanya kepada media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Yang di-pertua Negeri Sabah Tun Ahmad Shah Abdullah di Istana Negeri, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah PPR, Jabatan Perumahan Negara, Wan Hussin Wan Hassan dan Pengarah Bahagian Penilaian dan Penyelarasan Jabatan Landskap Negara, Nurshukhah Daud.

Lajim berkata, JPN kini sedang membina beberapa projek perumahan kos rendah untuk menampung permintaan rakyat khususnya di bandar raya ini, Sandakan dan Tawau.

"JPN memberi keutamaan kepada projek perumahan di kawasan bandar kerana menyedari permintaan yang tinggi terutama daripada golongan yang berpendapatan rendah dan mempunyai keluarga ramai.

“Projek perumahan di negeri ini semakin penting berikutan populasi penduduk yang kian meningkat” katanya.

Lajim juga berkata, JPN sentiasa berusaha memberi keutamaan kepada Sabah untuk mengembangkan lagi projek perumahan bagi memastikan rakyat mampu memiliki kediaman yang serba lengkap dan selesa.

“Kini dengan sewa hanya RM124 sebulan, golongan berpendapatan rendah mampu mendiami rumah yang selesa dengan menginap di pangsapuri yang berkonsepkan mesra rakyat mempunyai tiga bilik” katanya.

0 comments: