Followers

Saturday, November 28, 2009

Gempa kuat gegar selatan Mindanao

MANILA: Gempa kuat 6.0 Richter menggegarkan selatan Mindanao awal pagi tadi tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa berlaku jam 2.10 pagi waktu tempatan (1810 GMT) dan berpusat di 161 kilometer di timur laut bandar General Santos di Mindanao.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik bagaimanapun tidak mengeluarkan amaran ancaman tsunami. - AFP

Pemimpin Komanwel mahu Konvensyen UNFCCC direalisasikan: Najib

PORT OF SPAIN (Trinidad dan Tobago): Pemimpin Komanwel secara kolektif mahu Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di Denmark bulan depan mencapai perjanjian yang mengikat, bukan ikatan politik semata-mata.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata jika persidangan di Copenhagen itu gagal, amat sukar untuk tentukan komitmen sebenar dapat dizahirkan dan dilakanakan oleh negara tertentu terutama negara maju.

Berikutan itu, Perdana Menteri berkata, Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) merasakan masa kini sangat kritikal untuk Komenwel sebagai badan mewakili negara maju, membangun dan negara kepulauan kecil menyatakan pendirian supaya persidangan UNFCCC berjaya.

"Kalau CHOGM tidak membuat kenyataan yang kuat dan tegas, ini tidak akan membantu kepada suatu hasil yang boleh menjayakan persidangan di Copenhagen.

"Perubahan iklim sudah dan akan terus mengancam negara sedang membangun terutama negara kepulauan kecil yang tidak menyumbang kepada kepanasan global, tetapi mereka menerima kesan paling teruk," katanya pada sidang media selepas hari pertama CHOGM, di sini awal pagi tadi.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Mesyuarat CHOGM ke-60 kelmarin dirasmikan oleh Ratu England Ratu Elizabeth II.

Najib berkata, Perdana Menteri United Kingdom, Gordon Brown mencadangkan dana AS$10 bilion (RM35 bilion) setahun selama tiga tahun bagi membantu negara membangun terutama kepulauan kecil menghadapi perubahan iklim.

Jumlah mangsa tragedi bot karam di Kudat kini 28 orang

KUDAT: Jumlah mangsa tragedi bot karam di sini kini dilaporkan seramai 28 orang, kata Ketua Polis Kudat, Deputi Superintendan Dawi Ossen, hari ini.

Beliau berkata angka mangsa yang hilang kini meningkat kepada 12 orang daripada empat orang seperti dilaporkan semalam.

"Angka terbaru ini mengikut maklumt yang kita terima daripada keluarga yang membuat laporan polis," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kudat di sini.

Katanya angka mangsa terselamat masih 13 orang manakala tiga mangsa yang meninggal sudah ditemui.

"Gerakan mencari dan menyelamat masih diteruskan melibatkan pelbagai agensi seperti polis Marin, Unit Udara polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Darat," katanya.

Beliau berkata pencarian tertumpu di perairan dekat Pulau Banggi dan sebuah pulau kecil iaitu Pulau Muli Angin kira-kira 20 batu nautika dari Kudat.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri, yang juga Ahli Parlimen Kudat, berkata beliau akan meminta laporan daripada semua agensi terlibat mengenai kejadian itu bagi mencari jalan memperbaiki perkhidmatan feri antara Pulau Banggi dan Kudat.

"Pengangkutan feri amat penting terutamanya bagi penduduk pulau itu untuk berulang-alik ke pekan Kudat.

"Kita perlu pastikan perkhidmatan feri mencukupi dan penyelengaraan feri yang berterusan kerana pengangkutan laut adalah pengangkutan utama penduduk pulau itu dan akan kekal begitu untuk tempoh yang lama di masa hadapan," katanya.

Abdul Rahim diberi taklimat oleh Dawi mengenai kejadian itu dan sempat menemui mangsa yang terselamat Yahya Othman, 61, yang turut berada di ibu pejabat polis berkenaan.

Pada kejadian petang Khamis lepas, sebuah bot yang membawa penumpang dari jeti Kudat ke Pulau Banggi karam kira-kira jam 5.30 petang selepas sejam bertolak dari jeti Kudat.

Kebanyakan penumpang merupakan anggota sebuah keluarga iaitu seramai 21 orang dari Papar yang pulang ke Pulau Banggi untuk merayakan Hari Raya Aidiladha serta beberapa penumpang lain. - Bernama

Pengeluaran emas dunia semakin berkurangan

PENGELUARAN emas akan terus menurun di sebalik peningkatan yang bersifat sementara tahun ini dan harganya yang melonjak, ketika deposit emas sedang menyusut dan tiada penemuan baru, kata pelombong.

“Dari segi pengeluaran, 2009 jelas menggambarkan arah alirannya”, kata Omar Jabara jurucakap kepada Newmont Mining, pengeluar emas kedua terbesar dunia berpangkalan di Amerika Syarikat kepada AFP.

Keseluruhannya, pengeluaran emas dari lombong sudah merosot sejak 2001 dan merekodkan penurunan daripada 85 juta auns kepada sekitar 75 juta auns setahun, kata Vincent Borg, jurucakap kepada pengeluar terbesar emas, Barrick Gold.

“Ia merosot kira-kira sejuta auns setiap tahun dan jangkaan kami ialah ia akan terus menyusut walaupun harganya lebih tinggi ketika ini,” katanya.

Hampir di mana saja, deposit mineral sedang menyusut dan deposit baru tidak ditemui dengan segera bagi menggantikannya, jelas pakar terbabit.

Afrika Selatan, yang satu ketika berada di puncak pengeluaran dunia, menyaksikan kemerosotan pengeluaran tahunan sebanyak 9.3 peratus pada suku kedua lalu, menurut Dewan Perlombongannya.

Di peringkat global pula, asetnya kini tidak terdapat lagi tempat sepatutnya, kata Tonya Todd, jurucakap kepada Glocorp, firma perlombongan emas kedua terbesar Kanada.

“Hanya kerana emas mencecah harga tertinggi ketika ini tidak bermakna kami boleh menghantar mesej kepada 26 lombong milik syarikat supaya keluarkan seberapa banyak emas yang boleh. Ini adalah kerana mereka sebenarnya sudah berbuat demikian,” kata Borg.

Bagaimanapun, Barrick dan Newmont dijangka terus meningkatkan pengeluaran tahun depan masing-masing sebanyak tujuh dan sehingga 10 peratus, meskipun arah aliran dijangka akan terus menurun untuk jangka panjang.

Jabara menjelaskan ia akan mengambil antara tujuh hingga 10 tahun untuk memulakan pengeluaran dalam sebuah lombong selepas menemui deposit emas yang berdaya maju.

“Tiada penemuan penting dalam beberapa tahun kebelakangan di sebalik harga emas yang tinggi dan bajet penerokaan yang lebih tinggi,” kata Borg.

Apa yang sedang berlaku dan dijangka berlanjutan ialah gred atau kualiti deposit dalam industri akan berapa pada paras ‘purata atau lebih rendah daripada deposit yang ditemui pada masa lalu, kata Jabara.

Pengeluaran lombong emas global diunjurkan meningkat 3.7 peratus tahun ini kepada kira-kira 2,500 tan tetapi akan memenuhi hanya dua pertiga permintaan yang melonjak kepada 3,800 tan di tengah-tengah krisis kewangan global, menurut Majlis Emas Dunia.

Sebelum ini, kitar semula emas atau penjualan stok penimbal bank pusat melindungi kekurangan bekalan.

Bagaimanapun, sepanjang krisis kewangan terbaru, bank membeli emas dalam kuantiti yang besar untuk melindungi rizab monetari daripada kelemahan dalam dolar AS. - AFP

Kereta api Russia tergelincir: 22 maut, 54 cedera

MOSCOW: Sekurang-kurangnya 22 maut manakala 55 cedera, apabila kereta api ekspres bagi laluan antara Moscow dan Saint Petersburg tergelincir.

Agensi berita negara itu, ITAR-TASS, melaporkan kemalangan itu mungkin berpunca daripada serangan pihak yang masih belum diketahui. - AFP

Kereta api Rusia tergelincir, jumlah kematian tidak dapat disahkan

MOSCOW: Kereta api penumpang tergelincir antara Moscow dan St Petersburg lewat semalam, menurut pihak berkuasa negara itu, manakala agensi berita Rusia melaporkan ada di kalangan mangsa yang berada di dalamnya maut.

Jawatankuasa Penyiasatan persekutuan, berkata tiga gerabak belakang kereta api ekspres dari Moscow ke St Petersburg itu terkeluar daripada landasan di wilayah Novgorod.

Jurucakap Landasan Kereta api Rusia yang diuruskan di peringkat negeri, Dmitry Pertsev, berkata empat gerabak tergelincir dan terdapat laporan kecederaan di kalangan penumpang.

Seorang pegawai kecemasan daerah yang tidak dikenali, berkata ada penumpang yang maut di mana jumlahnya tidak diketahui.

Sementara itu, laporan RIA Novosti yang memetik pegawai penguatkuasaan undang-undang, berkata terdapat penumpang yang maut dan sekurang-kurangnya 25 cedera. - AP