Followers

Thursday, December 2, 2010

Syarikat automobil mesti naik taraf, cipta inovasi: Mahathir

KUALA LUMPUR: Syarikat automobil mestilah menaikkan taraf masing-masing dan mencipta inovasi, jika tidak mahu segera menemui kesudahan yang mengaibkan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu menyebut sebagai contoh jenama-jenama lama yang terkenal tetapi kini telah lenyap, terutamanya kereta-kereta British.
"Kita tidak lagi nampak kereta Austin dan Morris buatan Britain, Borgward buatan Jerman serta Studebaker dan Hudson buatan Amerika, dan banyak lagi yang lain," katanya dalam ucaptama khasnya pada Persidangan Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 di sini tengah hari ini.
Dengan begitu banyak inovasi dirangkumkan ke dalam sebuah kenderaan, kata Dr Mahathir, model dan jenama yang menawarkan kilas yang paling berkuasa, kelajuan yang lebih tinggi dan pengendalian jalan raya yang baik, adalah model dan jenama yang laris jualannya.

Pada masa sama, ada juga kereta istimewa dari jenama terkenal dan dijual dalam jumlah terhad setiap tahun tetapi masih boleh terus bertahan disebabkan oleh ciri-cirinya yang istimewa, katanya.

Dr Mahathir berkata sukar bagi sesebuah syarikat untuk bertahan jika ia tidak laku dalam pasaran dunia.

"Meskipun jenama dan syarikat mungkin sudah lenyap, namun penggunaan kereta sebagai pengangkutan peribadi sentiasa ada disebabkan oleh permintaan daripada orang ramai.
"Tidak kira sebagus mana sistem pengangkutan awam sekalipun, kereta tetap akan digunakan pada masa akan datang.

"Malah orang sanggup menyewa rumah dan berpuas hati dengan keadaan itu, tetapi tiada siapapun mahu menyewa kereta kecuali bagi kegunaan sementara ketika berada di tempat lain," katanya.

Dr Mahathir meramalkan penyusutan bilangan peserta industri automotif tetapi, katanya, industri itu sendiri tidak akan lenyap.

Katanya hanya yang agresif dan yang berkemampuan menjalankan penyelidikan dan pembangunan besar-besaran akan kekal.

Bagi Malaysia, Dr Mahathir berkata negara mempunyai terlalu banyak kereta dan harganya pula terlalu rendah.

Beliau menegaskan bahawa pada 1985 semasa Proton dilancarkan, jualan kenderaan tahunan hanyalah kira-kira 50,000 tetapi kini jumlahnya ialah 570,000 setahun.

"Oleh itu, kita perlu menaikkan harga melalui cukai yang tinggi bagi mengurangkan jumlah kereta," kata Dr Mahathir, yang juga penasihat kepada Proton Holdings Bhd, pembuat kereta nasional.

Beliau berkata bilangan kereta boleh dikurangkan dengan sistem transit aliran massa elektrik dan kereta api berkuasa elektrik. - BERNAMA

Persatuan mahu gaji pemandu bas diselaras RM1,200 sebulan

ALOR SETAR: Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM) hari ini meminta kerajaan menimbang untuk menetapkan gaji minimum semua pemandu bas pada RM1,200 sebulan.
Setiausahanya Sa'adan Man berkata, ini kerana kadar gaji sedia ada bukan sahaja tidak sama, tetapi juga sangat rendah.
"Gaji yang terlalu rendah menyebabkan pemandu bas khususnya bas ekspress bergantung kepada komisen perjalanan," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mengulas laporan mengenai usaha Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia mengkaji gaji pemandu bas ekspress di negara ini, beliau turut mencadangkan agar kajian itu mencakupi semua pemandu bas.

"Sebelum ini nasib kami tidak mendapat perhatian serius daripada mana-mana pihak termasuk kerajaan walaupun perkhidmatan ini wujud puluhan tahun. Masanya telah tiba perkhidmatan kami dihargai dan dihormati semua pihak," katanya.

Isnin lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata pihaknya dan Kementerian Sumber Manusia sedang mengkaji aspek gaji pemandu bas ekspress yang dikatakan terlalu rendah sehingga menyebabkan mereka bergantung kepada komisen perjalanan.

Keadaan itu, katanya, mengakibatkan pemandu bas terdedah kepada risiko kemalangan kerana keletihan mengejar perjalanan. - BERNAMA

PM pulang ke tanah air dari Kemboja

SUBANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pulang ke tanah air hari ini selepas menghadiri Persidangan Parti-parti Politik Asia Antarabangsa (ICAPP) ke-6 selama dua hari di Kemboja.
Pesawat khas membawa beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini pada 3 petang.
Turut mengiringi beliau ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Najib diberi penghormatan berucap kepada 353 pemimpin politik dari 53 negara di rantau Asia-Pasifik.

ICAPP, forum membabitkan parti-parti memerintah, pembangkang dan bebas di rantau ini, dibentuk pada tahun 2000 bertujuan antara lain untuk meningkatkan kerjasama dan persefahaman antara mereka.

Delegasi Malaysia termasuk Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Nik Mohamed Zawawi Salleh. - BERNAMA

Malaysia tidak akan ubah dasar kadar faedah: Zeti

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan mengubah dasar kadar faedahnya buat masa ini meskipun dengan kenaikan mengejut kadar faedah Thailand semalam.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata kadar faedah negara kini berada pada paras yang bersesuaian.
Bank Pusat Thailand semalam mengejutkan pasaran kewangan dengan menaikkan pendasar kadar faedahnya sebanyak 25 mata asas kepada dua peratus dan berkata akan terdapat lagi langkah yang lebih ketat untuk mengekang inflasi, sekali gus menolak naik baht.
"Berdasarkan kepada penilaian, kadar faedah kita berada pada paras yang sesuai pada masa ini jika dilihat kepada tinjauan pertumbuhan dan inflasi," kata beliau kepada pemberita selepas jamuan tengah hari Perniagaan CEO anjuran Dewan Perdagangan Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.

Zeti ditanya sama ada Malaysia akan mengubah dasar kadar faedahnya selepas langkah Thailand menaikkan kadar faedahnya.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya yang lalu, BNM mengambil keputusan mengekalkan kadar dasar semalamannya pada 2.75 peratus.

Mengenai tinjauan untuk Bank Islam mega, Zeti berkata pengumuman akan dibuat lewat bulan ini.
"Terlalu awal untuk mengulasnya sekarang. Ia masih lagi dalam jadual kami untuk membuat pengumumam tetapi kami tidak boleh nyatakan bila," katanya. - BERNAMA

Pencipta bom neutron meninggal dunia

LOS ANGELES: Pencipta bom neutron, Samuel T Cohen, meninggal dunia di Los Angeles pada usia 89 tahun.
Pada 1958, Cohen mencipta senjata nuklear taktikal yang membunuh manusia tetapi menyebabkan hanya sedikit kerosakan pada harta benda.
Anak Cohen, Paul, memberitahu the Los Angeles Times dan New York Times bahawa bapa beliau meninggal dunia akibat barah perut Ahad lalu.
Cohen menyokong bom neutron sebagai pilihan lebih baik dari segi moral kepada senjata nuklear lain.

Bom neutron menggunakan partikel halus yang boleh menembusi objek dengan kerosakan kecil tetapi membunuh manusia.

Amerika Syarikat membangunkan senjata itu pada 1980-an dan beberapa negara lain dipercayai turut memilikinya tetapi bom neutron tidak begitu diterima.

Cohen yang berasal dari New York mempelajari fizik di Institut Teknologi Massachusetts dan membantu membina bom atom yang digugurkan di Nagasaki, Jepun. - AP

Gempa kuat gegar Papua New Guinea

SYDNEY: Gempa bumi dengan kekuatan 6.9 pada skala Richter menggegarkan Papua New Guinea hari ini.
Bagaimanapun, Pusat Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS) menyatakan tiada ancaman segera tsunami. - AFP

Najib tiba di Kemboja lawatan kerja 2 hari

PHNOM PENH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tiba di sini, malam ini untuk memulakan lawatan kerja dua hari ke Kemboja.
Ketibaan Najib, yang diiringi oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, disambut oleh Menteri Pelancongan Kemboja, Dr Thong Khon di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Mohd Radzi Abdul Rahman dan Duta Malaysia ke Kemboja, Datuk Pengiran Mohd Hussein Mohd Tahir Nasruddin juga hadir untuk menyambut beliau.
Najib akan menghadiri Perhimpunann Agung Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP) ke-6 dan menyampaikan ucaptama di Peace Palace, Pejabat Perdana Menteri Kemboja di sini, pagi esok.

Beliau kemudian akan merasmikan Kompleks Kedutaan Malaysia berharga RM86 juta di sini sebelum mengakhiri lawatannya ke negara ini.

Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke tanah air pada pagi esok. - BERNAMA

Asia tidak mampu kemusnahan disebabkan ekstremisme: Najib

PHNOM PENH: Asia yang berkembang sebagai sebuah zon ekonomi yang menjadi elemen penting, tidak mampu bagi sebarang gangguan atau kemusnahan yang disebabkan oleh ekstremisme atau keganasan, kata Datuk Seri Najib Razak.
Dalam meneruskan pencarian beliau bagi satu pergerakan global yang sederhana menentang ekstremisme, Perdana Menteri berkata parti-parti politik Asia mempunyai peranan penting ke arah ini.
"Saya gesa parti politik di seluruh Asia, menyahut seruan Malaysia untuk satu pergerakan global yang sederhana dan menolak politik kebencian dan sebarang bentuk ekstremisme," katanya dalam ucaptama pada Perhimpunan Agung Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP) ke-6, di sini hari ini.
Beliau berkata sebagai anggota keluarga Asia, mereka mempunyai kepentingan dalam memastikan rantau ini kekal bebas dan selamat daripada ideologi yang menyebabkan konflik, kemusnahan, tidak ada perpaduan dan permusuhan.

"Proses globalisasi dan kemunculan China dan India sebagai gergasi ekonomi, telah menukar cara dunia melihat Asia, dan bagaimana Asia melihat dirinya," katanya.

Mengimbas mesejnya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) September lalu, Najib berkata beliau telah menyeru bagi satu pergerakan global yang ada pendekatan kesederhanaan untuk mengambil alih daripadanya.

Beliau menyeru untuk kesederhanaan dalam meminggirkan ekstremisme dan pengganas yang telah menjadikan dunia sebagai tawanan dengan ketaksuban dan berat sebelah mereka.
Najib berkata tidak ada yang lain lebih penting daripada di Asia, di mana di sesetengah tempat tahanan, kumpulan ekstremisme terus wujud untuk menyebarkan mesej kebenciannya.

Beliau berkata penyokong ekstremisme akan sentiasa mencuba untuk menggariskan sempadan, memisahkan antara satu sama lain dan membayangkan sesuatu yang merbahaya tetapi tidak wujud.

"Saya telah menyatakan banyak kali bahawa isu sebenar bukanlah antara Muslim dan bukan Muslim, tetapi lebih kepada antara ekstremisme dan kesederhanaan semua kepercayan sama ada agama Islam, Kristian, Yahudi, Hindu atau mana-mana kepercayaan lain," katanya. - BERNAMA

Sokongan rakyat kepada BN semakin pulih: Najib

PHNOM PENH: Sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) semakin pulih setelah kerajaan menunaikan janji pilihan rayanya dan komitmen yang diberikan, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata tanda-tanda awal juga menunjukkan bahawa rakyat menerima baik pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan BN bagi memenuhi kehendak dan harapan mereka.
"Apabila kita kotakan janji-janji pilihan raya dan komitmen kita, kewibawaan kita, dari kaca mata rakyat, sudah meningkat," katanya dalam ucap utama pada perhimpunan agung keenam Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP) di sini hari ini.
Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata keputusan sebenar sama ada BN telah memenuhi harapan rakyat akan hanya diketahui daripada keputusan pilihan raya umum akan datang.

Bercakap pada sidang akhbar kemudian apabila ditanya sama ada BN boleh berasa lega sekarang hasil daripada petanda-petanda awal itu, beliau berkata BN tidak boleh berasa lega sekarang, sebaliknya perlu bekerja lebih keras lagi. - BERNAMA