Followers

Sunday, June 6, 2010

Sukarelawan diarah bogel semasa soal siasat Israel

SHAH ALAM: "Saya diarah berbogel semasa disoal siasat selama setengah jam kerana disangka pengganas dan mempunyai kaitan dengan rangkaian al-Qaeda. Mereka cuba kaitkan saya dengan al-Qaeda tetapi saya cakap kami ialah aktivis.
"Mereka mungkin menyangka saya pengganas sebab rambut saya di dalam pasport panjang sedangkan semasa ditahan, saya berambut pendek seperti seorang komando," kata exco badan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia Abd Halim Mohd Redzuan, 40.
Menceritakan pengalaman semasa ditahan di sebuah penjara lama oleh tentera Israel, Abd Halim berkata beliau ditempatkan bersama-sama seorang Ahli Parlimen Bahrain dan seorang pegawai masjid dari Indonesia.
"Sepanjang 15 jam ditahan di penjara itu, kami banyak dengar bagaimana tentera Israel gunakan kekerasan pada banduan lain dan keadaan penjara juga sangat teruk.

Semasa dibebaskan mereka cakap mereka nak bawa kami ke penjara lain dan bila tiba di sempadan Jordan, barulah saya nampak kawan-kawan lain, lega sangat rasanya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Abd Halim bersama lapan daripada 12 sukarelawan Malaysia yang berada di atas kapal "Mavi Marmara", diraikan dalam satu majlis menyambut kepulangan mereka sejurus selepas tiba di tanah air pagi tadi.

Mereka dibebaskan oleh Israel Rabu lalu, hampir dua hari setelah kapal Turki yang dinaiki untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza, diserang tentera rejim itu.
Abd Halim juga antara tiga aktivis yang ditembak dengan peluru getah di bahagian kepala, belakang dan paha oleh tentera Israel.

Katanya, sejurus tiba di sempadan Jordan, beliau menggunakan telefon bimbit milik seorang pegawai Kedutaan Malaysia untuk menghubungi Pengerusi Lifeline4Gaza (LL4G) Zulkifli Mohd Nani dan isterinya.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Abd Halim yang berasal dari Klang berkata, buat masa ini beliau hanya ingin meluangkan masa bersama-sama keluarga.

Sementara itu, ketua misi LL4G Noorazman Mohd Samsuddin, 41, berkata walaupun berhadapan saat-saat genting semasa kapal mereka diserang tentera Israel, semua 12 sukarelawan negara telah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi situasi seumpama itu.

"Alhamdulillah, bila diserang, kami tidak takut dan tenang menghadapi situasi genting itu," katanya yang berasal dari Sungai Buloh.

Bagaimanapun, Noorazman berkata pengalaman "duduk di antara dua sujud" selama lebih 15 jam dengan tangan diikat ke belakang, adalah antara pengalaman perit yang tidak akan dilupakan.

"Selepas melalui pengalaman itu, kami kemudian dibawa ke sebuah penjara dalam keadaan mata ditutup selama kira-kira sembilan jam dan ditahan di penjara dengan dua hingga empat orang dalam satu sel selama 12 jam sebelum dibebaskan.

"Selepas mereka berpuas hati dengan soal siasat, kami disuruh keluar dari Israel secepat mungkin, kerana menurut mereka, jika kami berada lebih dari tiga hari di situ, kami boleh dibicarakan," katanya.

Noorazman berkata, pengalaman perit sepanjang ditahan tentera Israel, tidak melemahkan semangat mereka kerana selepas ini, mereka merancang menghantar satu lagi konvoi bagi misi bantuan kemanusiaan yang lain ke Gaza, cuma masanya belum ditetapkan lagi. - BERNAMA

6 sukarelawan Malaysia tiba di Jordan selepas dibebaskan Israel

KUALA LUMPUR: Enam sukarelawan Malaysia yang mengikuti kapal Rachel Corrie untuk misi kemanusiaan ke Gaza selamat tiba di Jordan selepas dibebaskan Israel pada jam 5.20 petang tadi.

Enam sukarelawan itu ialah Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria, wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO), Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, serta wartawan TV3, Halim Mohamed dan jurukamera, Mohd Jufri Judin.
Mereka ditahan selepas tentera Israel bertindak merampas kapal Rachel Corrie petang semalam.
Terdahulu, pegawai imigresen Israel, Sabine Haddad, memberitahu AFP enam rakyat Malaysia itu dan seorang warga Cuba akan meninggalkan Israel menerusi Allenby ke Jordan.

Katanya, 11 yang lain pula akan menaiki pesawat menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion berhampiran Tel Aviv.

Beliau berkata, proses menghantar sukarelawan terbabit pulang tertangguh apabila lima warga Ireland, termasuk pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Mairead Maguire, pada mulanya enggan menandatangani dokumen pelepasan untuk mengemukakan rayuan berhubung penahanan mereka kepada hakim Israel.

MiFi Digi produk WiFi mudah alih pertama di Malaysia


MiFi produk terbatu Digi yang mampu menyambungkan lima peranti WiFi berbeza untuk disambungkan ke Internet dengan serentak menerusi sambungan WiFi.
MiFi produk terbatu Digi yang mampu menyambungkan lima peranti WiFi berbeza untuk disambungkan ke Internet dengan serentak menerusi sambungan WiFi.
SHAH ALAM: Pengendali perkhidmatan telekomunikasi global, Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) mengumumkan kehadiran produk WiFi mudah alihnya, iaitu pertama di Malaysia.

Ia yang dikenali dengan nama MiFi, mampu menyambungkan lima peranti WiFi yang berbeza untuk disambungkan ke Internet dengan serentak menerusi sambungan WiFi.
Saiznya yang dibangunkan hampir sama dengan telefon mudah alih moden, adalah router tanpa wayar mudah alih dilengkapi dengan keupayaan menyamai router WiFi sedia ada.
Penghasilan produk itu bertujuan membolehkan sambungan jalur lebar mudah alih dikongsi dengan pengguna lain.

Pengenalan produk itu membolehkan pengguna jalur lebar mudah alih mewujudkan persekitaran WiFi mini bergerak.

Kepada yang berminat, Digi menyediakan ruang tempahan MiFi di laman webnya untuk tempoh dua minggu.

H1N1: 10 kes baru dilaporkan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 kes baru positif influenza A (H1N1) dikesan di seluruh negara menjadikan jumlah terkumpul sehingga kini 14,952 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata tidak ada kejadian kluster penyakit serupa influenza (ILI) baru atau kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas.
"Terdapat sejumlah 55 kluster ILI yang masih aktif di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dr Mohd Ismail berkata sebanyak 521 kes dirawat di hospital seluruh negara dan daripada jumlah itu 50 kes atau 9.6 peratus disahkan positif H1N1.

"Lapan pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi dan tujuh daripadanya merupakan individu yang mempunyai faktor risiko," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, oleh kerana jangkitan H1N1 masih aktif di kebanyakan negara, orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah kawalan dan pencegahan.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan virus itu serta langkah-langkah pencegahan boleh layari laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200/0300. - BERNAMA

Rakyat perlu sedar impak besar jalur lebar kepada ekonomi: TPM

MUAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu rakyat menyedari betapa pentingnya impak jalur lebar kepada pertumbuhan ekonomi negara dan mengambil langkah perlu untuk memperluaskan penggunaannya serta kualiti penyampaian.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kadar penembusan jalur lebar Malaysia pada 36.1 peratus masih ketinggalan berbanding Singapura (150 peratus) dan Korea Selatan serta Jepun (melebihi 80 peratus).
"Daya saing sesebuah negara di peringkat global bergantung besar kepada penggunaan ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) dan jalur lebar oleh pihak swasta dan pihak kerajaan negara tersebut," katanya ketika melancarkan "Digital Pagoh-Muar 1Malaysia" di Pagoh hari ini.
Berdasarkan kajian ke atas negara Asean katanya, didapati bagi setiap peningkatan 10 peratus penembusan jalur lebar, ia boleh menyumbang kepada satu peratus di dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Muhyiddin berkata, adalah jelas negara perlu berusaha lebih kuat untuk menandingi kadar penembusan jalur lebar yang tinggi sebagaimana yang terdapat di Singapura, Korea Selatan dan Jepun.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Muhyiddin berkata, teknologi ICT dan jalur lebar adalah pemangkin dan pembolehcara untuk pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.
"Dalam dunia yang bergerak pantas dan tanpa sempadan, semuanya bergantung kepada kecepatan dan kecekapan dalam mengurus perhubungan, penyampaian maklumat dan melakukan transaksi dan bertindak," katanya.

Model Baru Ekonomi (MBE), katanya, juga menekankan aspek kreativiti dan inovasi untuk menjana ekonomi pendapatan tinggi dan menerusi kemudahan jalur lebar ia boleh menyokong industri-industri untuk bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.

Beliau berkata, di dalam memacu pencapaian yang lebih tinggi di dalam bidang ICT dan jalur lebar, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Jalur Lebar yang dipengerusinya telah pun bersetuju untuk melaksanakan beberapa perkara.

Di antara perkara itu, katanya, adalah pelaksanaan projek daerah digital untuk mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak, sebagaimana Digital Pekan yang telahpun dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Projek Digital Pagoh-Muar adalah pelancaran daerah digital yang kedua di negara ini.

Projek Komuniti Jalur Lebar untuk mengatasi isu pemilikan komputer peribadi yang rendah, di mana setakat ini sebanyak 2,143 pusat telah dibina di seluruh negara dan 383 lagi pusat akan dibina tahun ini.

Muhyiddin berkata, jawatankuasa juga akan mempertingkatkan perkhidmatan selular di kawasan luar bandar dengan membina 1,000 menara baru bagi mencapai 97 peratus liputan kawasan berpenduduk pada hujung tahun ini.

Sementara itu, Rais, dalam ucapannya, berkata Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjangkakan kadar penembusan jalur lebar isi rumah di negara akan mencecah kadar 50 peratus pada akhir tahun ini.

Beliau berkata, sebanyak tujuh Pusat Komuniti Jalur Lebar akan dibina di Pagoh sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyokong projek Digital Pagoh-Muar. - BERNAMA

Perjuangan buka mata dunia terhadap kekejaman Israel: Ashwad

SEPANG: Dua puluh lapan jam berada di dalam penjara Israel dan diasak dengan deraan mental oleh tentera Zionis tidak mematahkan semangat wartawan penyiaran Ashwad Ismail untuk terus berjuang membuka mata dunia mengenai kekejaman rejim itu.
Anak muda berusia 25 tahun dan bertugas di stesen berita Astro Awani itu berkata walaupun pengalaman yang ditempuhnya amat perit namun tanggungjawab sebagai penyalur maklumat khususnya mengenai kekejaman rejim tersebut tetap akan diteruskan.
"Misi kita belum selesai. Misi untuk tegakkan realiti masih belum dapat dilakukan. Hanya secebis sahaja konflik di Asia Barat yang dapat diketengahkan dalam misi ini," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Ashwad tiba di tanahair jam 5.45 pagi tadi bersama 11 lagi rakyat Malaysia selepas dibebaskan oleh Israel pada Rabu lalu, dua hari setelah kapal "Mavi Marmara" yang dinaiki mereka untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza, diserang tentera rejim itu.

Ketibaan mereka dari Istanbul, Turki disambut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini.

Walaupun kepenatan, pelukan sayang kaum keluarga yang sabar menunggu di kompleks itu jelas menceriakan mereka. Bacaan doa selamat, nyanyian nasyid dan laungan takbir daripada orang ramai yang menyambut ketibaan mereka menguatkan lagi semangat kumpulan itu.

Mengulas lanjut, Ashwad berkata walaupun secara fizikal mereka tidak diapa-apakan oleh tentera Israel, namun deraan mental adalah memeritkan.
"Israel memang pandai dengan deraan mental. Fizikal tidak diapa-apakan tetapi mental diasak daripada pelbagai sudut. Kita di Malaysia jarang melawat penjara, tak pernah pun masuk penjara, tapi ini di Israel. Berada di situ sudah cukup terseksa, inikan pula menghadapi tindakan kejam mereka," katanya.

Walaupun misi itu dianggap gagal daripada satu aspek kerana tidak mencapai objektif untuk menghantar bekalan kepada penduduk Gaza, Ashwad berkata terdapat kejayaan lain di sebaliknya.

"Kejayaannya adalah sedikit sebanyak menjadi pencetus gelombang baru ke arah mengetepikan atau memulaukan Israel dalam lanskap geopolitik dunia. Sikap penjarahan dan dasar anti Islam mereka terhadap bumi Palestin sepanjang enam dekad nyata memberi kesan besar," katanya.

Beliau berkata, insiden itu juga mencetuskan tekanan hebat daripada masyarakat antarabangsa ke atas rejim menyebabkan mereka terpaksa akur.

"Bukan sahaja dari Turki, tetapi pemimpin Yahudi di negara Eropah turut mengecam kekejaman Israel. Kita dapat lihat kapal Rachel Corrie kini tidak dikenakan tindakan ganas walaupun situasi mereka sama seperti kami.

"Terdapat cubaan merampas kapal dan dibawa ke Pelabuhan Ashdod tetapi tiada pergelutan dan pertumpahan darah berlaku," katanya.

Bagi jurukamera Astro Awani yang turut serta dalam misi tersebut, Shamsul Kamal Abdul Latip, 43, pengalaman ketika berada dalam tahanan Israel adalah sangat memeritkan dan tidak pernah terjangkau di ingatannya akan melalui detik seperti itu.

"Kami terpaksa berjemur di tengah panas di atas kapal Israel selama 15 jam sebelum tiba ke Pelabuhan Ashdod. Pada masa itu nak minum pun susah...kawan-kawan cuba memberi minuman dalam keadaan tangan masing-masing terikat.

"Barang-barang pula seperti kamera dan peralatan lain turut dirampas. Kami ingat tak dapat balik tapi pejabat yang menguruskan barang rampasan kemudiannya memulangkannya semula kepada kami. Malangnya ada peralatan tersebut yang sudah rosak akibat dirampas dengan kasar oleh tentera Israel," katanya.

Ditanya sama ada dia akan mengikuti tugasan sedemikian pada masa akan datang, Shamsul berkata perkara itu akan hanya difikirkan selepas mendapat rehat yang cukup dan fikirannya kembali tenang. - Bernama

Malaysia akan terus tekan Israel hentikan kezaliman: PM

KUALA LUMPUR: Malaysia akan meneruskan usaha bersama masyarakat antarabangsa bagi memaksa Israel menamatkan kezaliman terhadap rakyat Palestin, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, Malaysia mahu tekanan diplomatik terhadap Israel ditingkatkan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan yang boleh menamatkan kepungan terhadap Gaza.
"Tindakan susulan mesti kita lakukan, kita tidak mahu sekadar satu usul yang mengutuk Israel tetapi tindakan yang boleh membawa perubahan.
"Ini yang kita nak, bukan setakat berhenti dengan usul tetapi tindakan dengan PBB supaya Israel tidak lagi membuat tindakan begitu zalim terhadap rakyat Palestin," katanya dalam temubual secara langsung bersama TV3 di kediamannya di sini sebentar tadi.

Najib ditemui pada majlis meraikan kepulangan 12 sukarelawan Malaysia pagi tadi selepas ditahan tentera Israel Isnin lalu yang menyerang dan menawan kapal mereka, Mavi Marmara.

Sukarelawan terbabit adalah antara ratusan aktivis yang menyertai flotila misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Perdana Menteri juga berharap enam lagi sukarelawan Malaysia dalam misi kapal MV Rachel Corrie yang ditawan tentera Israel petang semalam akan dibebaskan dan selamat kembali ke tanah air.
"Saya difahamkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, pada jam 6 petang ini mereka akan dibebaskan. InsyaAllah mereka akan selamat," katanya.

Dalam ucapannya pada majlis itu kemudian, Najib berkata kesanggupan sukarelawan negara menggadai nyawa untuk membantu rakyat Palestin yang sekian lama menderita akibat kekejaman Israel itu amat dihargai kerajaan dan mungkin menjadi catatan dalam sejarah pembebasan Palestin kelak.

"Mungkin mereka kata orang lain lebih layak digelar wira tetapi mereka 12 ini adalah wira negara yang kami amat bangga sekali.

"Apa yang dilalui mereka bukan saja menyayat hati tetapi akan membua mata rakyat Malaysia dan dunia mengenai kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin yang selama ini kita sekadar baca dan lihat di kaca televisyen...," katanya.

Merujuk bukti kekejaman komando Israel membunuh sembilan sukarelawan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza di atas kapal Mavi Marmara itu, Perdana Menteri berkata ia bukan saja satu bentuk keganasan tetapi contoh sebenar takrifan keganasan yang ditaja negara.

"Hakikatnya, kumpulan yang tiada senjata diserang tanpa perasaan sama sekali dan ditembak dengan senjata dari jarak dekat. Malah ada yang ditembak dari belakang, ini 'cold blooded act of killing' (pembunuhan bersahaja) yang dilakukan komando Israel atas arahan rejim Tel Aviv," katanya.

6 sukarelawan negara misi Rachel Corrie akan dibebaskan 6 petang ini

SEPANG: Enam sukarelawan Malaysia yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan kapal MV Rachel Corrie yang ditawan tentera Israel semalam akan dibebas dan dihantar ke Jordan jam 6 petang ini.
Perkara ini diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada sidang media di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebentar tadi.
"Kementerian Luar Jordan sudah memaklumkan kepada Kedutaan Malaysia bahawa mereka akan di hantar ke King Hussein Bridge pada 12 tengah hari (6 petang waktu malaysia)," katanya.
Enam sukarelawan itu ialah Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria, wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO), Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, serta wartawan TV3, Halim Mohamed dan jurukamera, Mohd Jufri Judin.

Muhyiddin berada di sini untuk menyambut kepulangan 12 sukarelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel Isnin lalu apabila kapal mereka, Mavi Marmara, diserang dan ditawan.