Followers

Sunday, October 17, 2010

BN harus beritahu rakyat jasa dan budi kerajaan: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata sudah sampai masanya Barisan Nasional (BN) memberitahu rakyat akan jasa dan budi yang dilakukan parti pemerintah itu selama ini untuk mensejahterakan kehidupan mereka.

Perdana Menteri berkata, kerajaan BN tidak banyak mengembar gemburkan apa yang dilakukan untuk rakyat berbanding parti pembangkang, walaupun mereka hanya membuat sedikit sahaja untuk rakyat.
"Kita buat banyak tapi tak riuh rendah. Mereka buat sedikit tapi riuh sekampung. Kita buat bangunan tak gembar gembur...kita buat setinggi gunung...(tapi kadang kadang) orang tak hargai," katanya berucap melancarkan Karnival Skuad Sayang Wanita UMNO di Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang, dekat sini, hari ini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Najib berkata, walaupun kerajaan memberikan pengecualian pembayaran bil eletrik bagi pengguna yang bil eletriknya berjumlah RM20 ke bawah kepada lebih kurang sejuta isi rumah di seluruh negara, tetapi tidak mengembar gemburkannya seperti sebuah negeri di bawah Pakatan Rakyat yang memberikan air percuma bagi setiap penggunaan 20 meter padu ke bawah.

Najib berkata, dalam sistem demokrasi berparlimen, hati nurani rakyat jelata harus sentiasa dijaga kerana merekalah yang mendokong kejayaan sesebuah parti apabila sampai masanya.

"Sebab itu dalam Bajet 2011 saya telah cuba memasukkan kepentingan semua pihak untuk mensejahterakan rakyat," katanya.
Perdana Menteri berkata, pelbagai insentif disediakan demi kepentingan rakyat dalam bajet ini, antaranya Skim Rumah Pertamaku melalui Cagamas bagi membantu golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah di mana skim itu akan menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000.

Katanya, dalam Bajet ini, buat pertama kali dalam sejarah negara, kerajaan menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menjadi platform dalam penetapan upah golongan pekerja di negara ini.

"Jadi usaha untuk mensejahterakan rakyat akan kita teruskan," katanya.

Najib juga meminta Wanita UMNO dan BN agar terus mengadakan program seumpama itu untuk kepentingan rakyat di kawasan "mencabar" seperti Ampang di sini yang kini dipegang Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Tak kira kita dikutuk...tak kira...asal atas nama perjuangan kita tidak akan undur. Kalau nak tebus kekalahan di Ampang kena jaga rakyat Ampang," kata beliau yang juga Ketua Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Perdana Menteri juga berkata, beliau akan mempertimbangkan beberapa permintaan Ketua UMNo Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo, yang dalam ucapan di majlis itu meminta jasa baik Najib untuk memberikan peruntukan menukar bumbung asbestos di rumah pangsa kawasan perumahan itu, selain kemudahan tempat permainan.

Najib berkata, Wanita UMNO memang tulang belakang parti dan mereka cukup rajin dan kuat bekerja.

"Skuad Sayang ini saya lihat lebih menerlah kegiatannya di peringkat akar umbi," katanya.

Skuad Sayang yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu dalah program kesukarelaan dan kebajikan Wanita UMNO serta juga Wanita BN bagi menepati hasrat mendampingi rakyat di peringkat akar umbi. - BERNAMA

Barah payudara banyak di pedalaman Kelantan: HUSM

KOTA BHARU: Barah payudara, pembunuh utama golongan wanita kini dikenal pasti aktif menyerang golongan itu yang tinggal di kawasan pedalaman Kelantan.

Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Datuk Dr Zaidun Kamari, berkata statistik mencatatkan hampir 70 peratus kes barah payudara menyerang wanita di luar bandar atau pedalaman negeri itu.
"Meskipun begitu ramai belum menyedari kepentingan untuk mendapatkan rawatan segera di hospital kerana takut terhadap pelbagai risiko dan stigma negatif yang diterima daripada individu yang tidak berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Laman Blog Bagi Pusat Sumber Kanser Payudara, di sini, hari ini.
Katanya, ada kalangan penghidap hanya menerima rawatan separuh jalan kerana terpengaruh dengan kepercayaan karut apabila mengetahui harus menjalani prosedur pengambilan sampel air tulang belakang.

"Mereka terlalu takut sebagai contohnya apabila doktor mahu mengambil air tulang belakang atau mengambil darah untuk pemeriksaan, mereka risau akan lumpuh bahkan ada yang beranggapan tindakan itu akan menyebabkan mereka menjadi seorang individu yang bodoh, selain itu sikap gemar menemui bomoh," katanya.

Beliau berkata, perkara berkenaan adalah antara cabaran yang dihadapi pihak hospital dan pakar perubatan menyebabkan beberapa inisiatif baru untuk mengenal pasti wanita penghidap barah payudara dicari.

Katanya, antara inisiatif berkenaan ialah mendapatkan kerjasama imam dan penghulu kampung di seluruh Kelantan yang memainkan peranan penting termasuk sebagai "pembuat keputusan" dalam sesebuah komuniti.
"Sebenarnya kanser payudara ini jumlahnya adalah banyak tetapi kebanyakannya tidak dilaporkan terutama di kawasan luar bandar dan untuk sampaikan maklumat ke luar bandar adalah menjadi satu cabaran buat kita.

"Justeru, kita akan pergi kepada penghulu kampung, imam masjid dan juga pergi dari rumah ke rumah di pedalaman untuk mencari dan mengenal pasti golongan wanita yang berisiko ini agar dapat diberi maklumat dan bantuan awal untuk menyelamatkan nyawa mereka," katanya. - BERNAMA

Azizan minta bukti kuota perumahan Bumiputera 70 peratus

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, meminta supaya ditunjukkan bukti bahawa kerajaan negeri menetapkan kuota pemilikan rumah sehingga 70 peratus kepada Bumiputera di negeri itu.
"Minta tunjuk bukti kalau ada syarikat perumahan yang terima surat mengenai kuota ini. Takut saya terlepas pandang mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan mengenai kenyataan MCA Kedah bahawa kerajaan negeri telah menaikkan kuota pemilikan rumah untuk bumiputera daripada 50 peratus kepada 70 peratus.
Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang, turut mendakwa beliau telah melihat surat yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri yang menetapkan bahawa untuk mendapat kelulusan pembinaan perumahan, kuota untuk bumiputera mestilah sebanyak 70 peratus.

Katanya, kenaikan jumlah kuota itu dilaksanakan tanpa pendedahan umum.

"Setakat ini kita tidak mendapat sebarang maklumat mengenai perubahan jumlah kuota ini daripada sesiapa," katanya.

PGM Tawau rampas rokok, arak seludup bernilai RM1.8 juta

TAWAU: Pasukan Gerakan Marin (PGM) di sini berjaya merampas rokok pelbagai jenama dan minuman keras bernilai RM1.8 juta dipercayai diseludup masuk ke Tawau, awal pagi semalam.

Pemangku Pegawai Pemerinah PGM Tawau, ASP Mohammad Ismail, berkata barangan berkenaan dirampas dari sebuah gudang penyimpanan di Jalan Kinabutan Tiku kira-kira 8 pagi selepas membuat intipan selama tiga jam.
"Daripada jumlah itu, RM1.647 juta adalah nilai rampasan rokok termasuk cukai, manakala nilai minuman keras yang dirampas pula ialah RM111,908," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Rampasan itu juga, katanya, adalah yang terbesar di Sabah bagi tahun ini.

Beliau juga percaya gudang penyimpanan tersebut digunakan sebagai tempat transit barangan seludup sebelum diedarkan ke seluruh Sabah.

Mohammad berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. - BERNAMA

Akta Transplantasi akan digubal untuk kekang penjualan organ

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menggubal akta transplantasi untuk memantau penderma organ bagi mengelak berlakunya perbuatan penjualan organ di dalam negara, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, akta itu yang masih dalam peringkat awal penggubalan akan merangkumi semua aspek termasuk pemerdagangan manusia, pendermaan organ dalam dan luar negara, penderma organ, kaunseling, tempat pemindahan organ dan sebagainya.
"Buat masa sekarang kita tidak ada akta yang khusus bagi mengawal atau memantau penderma organ...ada yang buat pendermaan organ, transplantasi organ di luar negara.
"Kita tidak tahu sama ada ia sihat atau tidak, kadang-kadang dapat organ tidak sihat...membawa penyakit balik ke negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ peringkat kebangsaan 2010 di sini hari ini.

Mengenai pemantauan terhadap penderma organ yang bukan terdiri daripada ahli keluarga, beliau berkata ia juga perlu dilakukan bagi mengelakkan berlakunya perbuatan jual beli organ.

"Kita hendak pastikan dia (penderma organ) adalah ikhlas dan bukan kerana tarikan lain, bukan kerana keuntungan dan untuk mendapatkan kewangan. Kita kena berhati-hati kerana kita tidak mahu isu penjualan organ berlaku dalam negara kita," katanya.

Liow berkata, sehingga kini ini tiada laporan berlakunya penjualan organ di negara ini dan sungguhpun terdapat kes pemerdagangan manusia namun ia tidak membabitkan perbuatan penjualan organ.
Mengenai kesedaran rakyat terhadap pendermaan organ, Liow berkata jumlah penderma organ kini menunjukkan trend peningkatan yang mana seramai 300 orang telah mendaftarkan diri sebagai penderma organ sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Justeru, katanya, kempen kesedaran orang awam perlu dipertingkatkan dan diutamakan memandangkan melalui kempen ini mereka akan mendapat bimbingan dan pendidikan mengenai pendermaan organ.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata jawatankuasa itu akan mengadakan aktiviti jelajah di Sabah, Sarawak dan Terengganu bagi mempertingkatkan kempen kesedaran kepada orang awam.

Katannya, maklumat lanjut berkenaan pendermaan organ boleh didapati menerusi laman web www.agiftoflife.gov.my - BERNAMA

Perwakilan UMNO disaran tumpu pelan transformasi kerajaan

KUALA LUMPUR: Perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan usul pada Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula Selasa ini digalakkan menekankan pelan transformasi kerajaan (GTP).

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata isu itu perlu ditekankan semasa mereka membahas tiga usul yang akan dibentangkan pada perhimpunan itu, iaitu semasa membahas ucapan dasar Presiden, usul ekonomi serta usul pendidikan dan agama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, telah melancarkan pelan hala tuju transformasi kerajaan pada Januari tahun ini bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat selaras dengan dasar pentadbiran beliau iaitu "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".
Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) itu adalah langkah penting dalam perjalanan negara untuk mencapai aspirasi Wawasan 2020 bagi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

"Pembahas juga digalakkan membahaskan mengenai intipati Bajet 2011 yang dibentangkan Najib di Parlimen, Jumaat lalu.

"Bagi saya apa yang boleh dijadikan sorotan oleh perwakilan ialah mengenai isu perpaduan dan masa depan orang Melayu dalam konteks negara yang berbilang kaum.

"Selain itu, boleh juga dibincangkan mengenai persiapan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam kita nak berhadapan dengan Pilihan Raya Kecil (Galas, Kelantan dan Batu Sapi, Sabah) dan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas saranan Perdana Menteri semalam bahawa perlunya satu model baru politik dilakukan, Ahmad berkata ia juga isu yang menarik untuk dibincangkan dalam perhimpunan kali ini.

"Model Baru Politik itu misalnya dulu banyak menggunakan media tradisional (seperti surat khabar), sekarang kita mempunyai media baru seperti Facebook, blog dan twitter untuk kita menerangkan dasar kerajaan dan parti kepada rakyat," katanya.

Beliau juga menggesa perwakilan supaya lebih banyak memberikan cadangan yang positif yang menjurus ke arah pembinaan negara dan bangsa pada perhimpunan kali ini.

Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kasim, yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata perwakilan perlu berbahas secara serius bagi membolehkan matlamat perhimpunan agung itu tercapai.

"UMNO ini harus kita terus bina kekuatannya dan kalau nak bagi teguran, mestilah ianya membina bukan dalam bentuk yang akan memalukan pemimpin," katanya.

Persidangan Agung UMNO akan bermula malam Selasa ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan perhimpunan agung pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Perhimpunan Agung Umno pula akan bermula pada Khamis ini dan akan dirasmikan Najib yang juga Presiden parti.

Buat pertama kali sebuah forum antarabangsa diadakan sebelum pelancaran perhimpunan UMNO yang bertajuk "The creation of Global Citizen: Media Liberation and New Political Realities".

Ia dijangka dihadiri lebih 400 peserta dari dalam dan luar negara termasuk 63 peserta dari 22 parti politik dari 20 buah negara luar bersama 54 peserta dari Kelab UMNO Luar Negara. - BERNAMA

Pemuda UMNO Kedah bela 600 guru sandaran tidak terlatih

ALOR SETAR: Pergerakan Pemuda UMNO Kedah akan menghantar memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung penamatan kontrak 600 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di negeri ini dalam masa terdekat.

Ketua Pergerakannya, Badrolhisham Hashim, berkata beliau akan menghandar memorandum kepada Muhyiddin selaku Menteri Pelajaran supaya isu itu dapat ditangani dengan segera.
"Saya harap agar mereka ini (GSTT) dapat diserap menjadi guru tetap dan dipanggil untuk mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC) di maktab perguruan kerana mereka mempunyai pengalaman mengajar dan berminat dalam bidang perguruan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, ada antara guru sandaran sudah menjangkau umur 35 tahun dan mereka tidak boleh memohon untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) ataupun Diploma Perguruan Lepasan Ijazan (DPLI) atau mana-mana sektor awam yang lain.

"Mereka hanya mempunyai pilihan untuk mengikuti KDC sahaja untuk menjadi guru tetap tetapi mereka tidak terpilih untuk mengikuti kursus itu," katanya.

Kira-kira 600 GSTT di Kedah telah menerima surat penamatan kontrak daripada Jabatan Pelajaran secara berperingkat yang berkuatkuasa semalam dan 30 Oktober ini.

Seorang guru terbabit, Mohd Ridzwan Abdul Malik Faruk, 35, berkata beliau berharap sangat agar kontraknya dilanjutkan dan diberi peluang mengikuti KDC bagi membolehkan mereka menjadi guru tetap.
"Hanya melalui saluran itu sahaja kami boleh diserap menjadi guru tetap dan meneruskan khidmat kami mendidik anak bangsa," katanya.

Seorang lagi guru, Nor Hayati Ghazali, 35, berkata beliau memang serius untuk menjadi guru dan sanggup berhenti kerja dengan syarikat swasta semata-mata untuk bertugas sebagai pendidik dan memilih GSTT untuk merialisasikan impiannya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyangka kontrak GSTT diberhentikan serta merta. - BERNAMA

Pembangunan di Galas bukan 'projek segera': Mustapa

KOTA BAHARU: Dakwaan PAS bahawa UMNO telah membuat janji "projek segera" di Galas adalah tidak benar kerana Projek Perumahan Rakyat yang diumumkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, baru-baru ini sudah lama diluluskan Kerajaan Pusat.
Ketua Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata PAS seharusnya menyelidik terlebih dahulu sebelum menuduh UMNO sudah mula memancing undi untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan berkenaan.
"Tunggulah pengumuman Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mengenai projek perumahan itu di Galas pada 24 Oktober ini. Tidak semua yang kita umumkan itu adalah segera dan mungkin apa yang kita umumkan itu sudah lama dalam perancangan atau sudah diluluskan.
"Apa yang PAS buat sebab dia tak ada isu dan rakyat perlu faham mengenai perkara itu," kata Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau yang sebelum itu mengadakan dialog bersama lebih 30 pekilang di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa mengulas dakwaan PAS bahawa UMNO kini mula membeli undi pemilih DUN Galas dengan mengumumkan "projek segera".

Jumaat lalu, Tengku Razaleigh yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil DUN Galas ketika melawat Kampung Baru, Gua Musang berkata kerajaan telah menilai keperluan rakyat di situ apabila meluluskan Projek Perumahan Rakyat bernilai RM300 juta.

Tengku Razaleigh, ketika memaklumkan mengenai projek itu, berkata ia sebenarnya sudah lama diluluskan Kerajaan Pusat dan secara kebetulan berlaku kematian anggota DUN Galas, Che Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 September lalu.
Mengulas isu berkaitan, Mustapa juga meminta PAS agar tidak membuat dakwaan kononnya Kerajaan Pusat tidak menunaikan janji sewaktu berkempen pada pilihan raya kecil Manik Urai, Julai tahun lepas.

"Kalau guna isu Manik Urai mengenai perkara itu adalah tidak betul dan berkempenlah jangan mengikut emosi," katanya.

Penamaan calon untuk DUN itu ditetapkan pada 26 Oktober dan tarikh pengundian pada 4 November ini. - BERNAMA

FELDA tawar pengurus rumah tangga ganti amah asing

KUALA TERENGGANU: Kepada mereka yang memerlukan khidmat pembantu rumah namun enggan mengambil pembantu rumah warga asing, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mempunyai jalan penyelesaiannya.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, berkata FELDA bersedia untuk menyediakan golongan pembantu rumah berkemahiran yang diistilah sebagai Pengurus Rumah Tangga daripada kalangan lelaki dan wanita pada sebarang peringkat umur.
"FELDA mengambil inisiatif ini sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada pembantu rumah asing di mana kumpulan pertama terdiri daripada seramai 100 orang pelajar yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi akan diberi kursus.
"Mereka akan menjalani latihan kemahiran selama setahun mulai Januari depan yang akan dikendalikan oleh Yayasan Felda mengikut silabus berasaskan kemahiran," katanya semasa meraikan 106 bakal haji FELDA dari wilayah Terengganu di sini hari ini.

Yusof berkata, kursus seperti penjagaan kesihatan, memasak, penjagaan kanak-kanak akan ditawarkan secara percuma kepada anak-anak peneroka FELDA yang berminat tanpa had umur.

"Kita yakin sambutannya menggalakkan. Ia usaha Felda untuk beri peluang pekerjaan kepada masyarakat FELDA. Jawatan ini juga dihormati, dengan gajinya yang stabil, ada uniform dan berkemahiran," katanya.

Mohd Yusof berkata, anggaran minimum untuk perkhidmatan mereka ialah adalah antara RM700 hingga RM1,000 sebulan, bergantung kepada kemahiran Pengurus Rumah Tangga tersebut.
"Gaji mereka ini adalah murah berbanding caj untuk mengambil pembantu rumah asing beserta berbagai syarat.

"FELDA boleh janjikan yang mereka ini lebih boleh diharap, mampu dan lebih menenangkan majikan kerana majikan akan dimaklumkan tentang latar belakang mereka," katanya.

Beliau berkata, majikan juga boleh berbincang dengan Yayasan FELDA yang bertindak sebagai ejen kepada kumpulan itu mengenai syarat-syarat kerja. - BERNAMA

Mayat murid jatuh sungai ditemui dekat muara Sungai Galas

KUALA KRAI: Mayat seorang murid Tahun Enam yang hilang di Sungai Kelantan, dekat Dabong tengahari kelmarin ditemui pada 11.15 pagi ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Nasir Hassan, berkata mayat Raja Nurafi Raja Hussain, 12, ditemui kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.
"Operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari ketiga diteruskan seawal 9 pagi tadi dan anggota penyelamat telah melakukan operasi menyelam dengan jarak lebih jauh iaitu lima kilometer dari tempat mangsa tetapi tidak menemui sebarang petunjuk.
"Anggota kita berpatah balik mencari tidak jauh dari kawasan mangsa terjatuh iaitu berhampiran muara Sungai Galas dan Sungai Pergau dekat Dabong itu, dan melihat satu objek terapung sebelum mengenal pasti ia adalah mayat mangsa," katanya di sini hari ini.

Nasir berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan difahamkan dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat.

Raja Nurafi, murid Sekolah Kebangsaan Dabong, dipercayai terjatuh di sungai itu kira-kira 11 pagi kelmarin.

Anak bongsu dari tujuh beradik itu dikatakan sempat meminta duit RM1 daripada ibunya sebelum keluar dari rumah.
Dia kemudian dipercayai telah pergi ke sungai tanpa memaklumkan kepada kedua ibu bapanya sebelum dilaporkan terjatuh ke dalam sungai tersebut. - BERNAMA

Pelan pembangunan automotif Bumiputera dirangka: Mukhriz

JOHOR BAHRU: Kerajaan telah mengutip RM225.91 juta daripada syarikat pemegang AP Terbuka sejak Oktober tahun lalu sehingga Jumaat lalu, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.
Katanya, hasil yang diperoleh daripada kutipan fi sebanyak RM10,000 bagi setiap unit AP Terbuka yang dikeluarkan itu, akan digunakan sebagai dana bagi menjayakan Pelan Pembangunan Bumiputera dalam sektor automotif.
"Kerajaan sedang merangka Pelan Pembangunan Bumiputera dalam sektor automotif termasuk program untuk pemegang AP Terbuka beralih ke sektor perniagaan yang lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Wisma Lace Motor Sdn Bhd bernilai RM12 juta di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu termasuk pengasas Lace Motor, Datuk Paduka Rokiah Omar, dan Pengurus Besar, Datuk Yahya Jaafar.

Mukhriz berkata, antara program yang dikenalpasti dan boleh dilaksanakan di bawah Pelan Pembangunan Bumiputera adalah pinjaman mudah untuk dijadikan modal kerja kepada usahawan Bumiputera yang berminat menceburi bidang sektor kecil automotif atau bidang lain.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya pengusaha tempatan dapat memberi input mengenai cadangan serta program yang boleh dilaksanakan di bawah pelan pembangunan ini.

Mukhriz juga berkata, bagi membantu syarikat pemegang AP mengurangkan beban kewangan dan operasi, kerajaan telah menyahut seruan pengusaha tempatan supaya kutipan fi dilakukan secara ansuran iaitu RM5,000 sebagai bayaran awal dan bakinya dibayar kemudian.
Beliau berkata, pindaan ke atas Rang Undang-Undang Peraturan-Peraturan Kastam (Fi Lesen Import Kenderaan Bermotor) 2009 kini di peringkat akhir semakan bagi membolehkan proses bayaran ansuran itu dilaksanakan.

"Sehubungan dengan itu, komitmen terhadap pembayaran fi AP diharap akan terus dikekalkan selaras dengan matlamat untuk memastikan penyertaan berterusan Bumiputera dalam sektor automotif tercapainya," katanya.

Mukhriz turut meminta syarikat automotif tempatan supaya memberi tumpuan kepada aspek teknologi yang inovatif serta menepati citarasa dan permintaan pasaran dalam membuat keputusan bagi penghasilan sesuatu produk.

Beliau juga menyeru jalinan kerjasama pintar serta melakarkan strategi pemasaran yang kreatif untuk meningkatkan jualan serta menguasai syer pasaran.

"Pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan produk automotif yang berasaskan teknologi hijau dan bersih adalah amat dialu-alukan," katanya sambil menambah pengusaha perlu lebih proaktif menerusi aktiviti kepelbagaian perniagaan dan memanfaatkan kemudahan serta insentif yang disediakan kerajaan. - BERNAMA

Pemberian bonus bergantung kepada situasi ekonomi: Husni

IPOH: Keputusan pemberian bonus kepada penjawat awam bergantung kepada situasi semasa ekonomi negara, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata, kerajaan tidak memasukkan pemberian bonus kepada penjawat awam pada Bajet 2011 kerana kekangan kewangan yang sedang dihadapi.
"Kita tidak mahu berlakunya defisit dalam kos operasi disebabkan pemberian bonus itu...bagaimanapun kita beri wang saguhati sebanyak RM1,000. RM500 semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu sementara RM500 lagi pada hujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepas Program Pusat Khidmat Bergerak Barisan Nasional (BN) Parlimen Tambun di Klebang Jaya hari ini.
Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, walaupun pemberian wang saguhati tersebut tidaklah begitu besar tetapi ia tidak memberikan kesan defisit kepada perbelanjaan kerajaan.

Jelasnya, kerajaan terpaksa berhutang sekiranya ingin memberikan bonus kepada semua 1.2 juta penjawat awam di negara ini yang jumlahnya mencapai RM3.1 bilion.

Beliau berkata, masalahnya jumlah itu akan memberikan impak kepada perkembangan ekonomi negara kerana adalah menjadi dasar kerajaan untuk menurunkan kadar defisit kurang daripada 5.6 peratus yang dicatatkan sebelum ini.

"Kita akan menambah hutang kerajaan dan akan menyebabkan kita gagal menurunkan kadar tersebut kepada 5.5 peratus sekalipun. Keadaan tersebut akan memberikan perspektif yang tidak baik di peringkat antarabangsa kerana negara mendapat kedudukan yang tinggi di mata mereka sebelum ini," katanya.
Sementara itu, keputusan kerajaan memansuhkan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bermula Jun tahun depan adalah bagi memastikan sistem penilaian kenaikan pangkat kepada penjawat awam lebih efektif dan efisien.

"Kita mendapat maklum balas yang sistem ini perlu diubah dan perlu mencari mekanisme baru untuk penilaian kepada mereka," katanya. - BERNAMA

Program angkasawan kedua diteruskan jika cukup peruntukan

KUCHING: Kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan meneruskan program angkasawan kedua negara ke angkasa lepas jika mempunyai peruntukan kewangan yang mencukupi dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kata Timbalan Menterinya, Datuk Fadillah Yusof.
Beliau berkata, ketika ini tumpuan lebih kepada 12 projek di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan dalam RMK-10 tidak ada peruntukan yang spesifik diberikan dalam program angkasawan kedua negara.
"Harap program angkasawan kedua negara dapat diteruskan dalam tempoh lima tahun (dalam RMK-10), bergantung kepada peruntukan kewangan dan kita harap mendapat pendapatan lebih baik selepas pelaksanaan 12 NKEA," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen promosi Karnival Malaysia Inovatif Zon Sarawak di Tebingan Kuching, di sini hari ini.
Sebelum ini, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, telah dipilih oleh Jawatankuasa Pemilihan Angkasawan Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roscosmos) sebagai angkasawan pertama Malaysia untuk misi ke angkasa lepas pada 2007.

Doktor bedah ortopedik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berada selama 10 hari di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan telah menyempurnakan dua uji kaji berkaitan penghabluran protein yang membawa kepada aplikasi paten dan cap dagang.

Selain Dr Sheikh Muszaphar, angkasawan kedua Mejar Dr Faiz Khalid juga pernah menerima latihan di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin, Star City, Rusia selama 12 bulan.

Dr Faiz yang masih bertugas dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipinjamkan kepada MOSTI sejak program angkasawan itu dimulakan.
Pada 2003, kerajaan Malaysia menandatangani kontrak untuk memperoleh 18 buah jet pejuang Sukhoi Su-30MKM dari Rusia melalui pakej bernilai kira-kira AS$900 juta dan sebagai balasan, Rusia akan membeli minyak sawit Malaysia, memindahkan teknologi angkasa dan melatih seorang rakyat Malaysia menjadi angkasawan.

Program angkasawan pertama Malaysia diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Ogos 2003 dan lebih 11,000 calon memohon untuk menjadi angkasawan pertama Malaysia. - BERNAMA

10 maut dalam rempuhan di kuil India

PATNA, India: Sekurang-kurangnya 10 orang mati dalam kejadian berempuh-rempuhan di sebuah kuil di negeri Bihar di mana ribuan penganut Hindu berkumpul untuk festival tahunan.

Seramai 15 orang lagi cedera dalam kejadian itu di luar sebuah kuil di daerah Banka, kira-kira 200 kilometer dari ibu negeri Patna.
Kira-kira 40,000 penganut Hindu terbabit berkumpul di situ untuk menyaksikan upacara penyembahan kambing.
Empat wanita adalah antara mangsa yang terbunuh. - AFP

Galas, Batu Sapi petunjuk aliran sokongan pengundi

KUALA LUMPUR: Pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan dan Kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah bulan depan sekali lagi menjadi petunjuk aliran sokongan kepada parti politik.
Sejak sokongan pengundi kaum Cina terhadap Barisan Basional (BN) dilihat semakin merosot, maka dua pilihan raya kecil yang tidak diduga itu sekali lagi menjadi kayu pengukur yang penting.
Walaupun majoriti pengundi di kedua-dua kawasan itu terdiri daripada kaum Bumiputera namun 20 peratus pengundi di Galas dan 30 peratus di Batu Sapi adalah dari kaum Cina.
Orang dalaman parti menyifatkan kemerosotan sokongan kaum Cina telah menyebabkan kerusi DUN Galas, sebelum ini menjadi kubu kuat BN, jatuh ke tangan parti PAS.

Sehingga 70 peratus daripada 2,500 pengundi Cina di kawasan itu telah meilih parti pembangkang itu pada pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun, senario di kawasan Parlimen Batu Sapi adalah berbeza iaitu BN memperoleh 70 peratus undi kaum Bumiputera dan lebih 50 peratus undi dari masyarakat Cina pada 2008.

Dianggap sebagai kubu kuat BN, kawasan Batu Sapi mempunyai 60 peratus pengundi Bumiputera dan 38 peratus pengundi Cina.
Nampaknya BN akan mencapai kejayaan dengan mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi, menurut seorang dalaman BN.

Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dari BN dalam kemalangan jalan raya Sabtu lalu manakala wakil DUN Galas Chek Hashim Sulaima, 46, dari PAS, meninggal dunia akibat barah pada 27 September lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Edmund menang kerusi Parlimen Batu Sapi dengan menewaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Beliau memperoleh 9,479 undi manakala Chung mendapat 5,771 undi.

"Sabah adalah menarik bagi BN dan pembangkang kerana belum ada pilihan raya kecil diadakan di negeri itu sejak pilihan raya umum lalu," kata penganalisis politik Khaw Veon Szu.

"Bagaimanapun, pilihan raya kali ini adalah peluang terbaik bukan sahaja untuk menilai sokongan pengundi Cina tetapi juga kaum Bumiputera.

Pengundi Cina di Kelantan dan Terengganu adalah berbeza berbanding di Sabah atau Sarawak," kata Khaw, Pengarah Institut Pembangunan Sosioekonomi dan Penyelidikan (SEDAR) iaitu kumpulan pemikir Parti Gerakan.

Aliran pengundian dari kaum Cina lebih berpihak kepada pembangkang dalam kebanyakan PRK sebelum ini kecuali pada PRK Kuala Terengganu dan Bagan Pinang pada 2009.

"Adalah menarik untuk melihat sama ada keputusan keluar parti oleh beberapa pemimpin BN di Sandakan untuk menyertai parti komponen BN lain di negeri itu akan membawa sebarang kesan terhadap pengundi di Batu Sapi," kata Khaw.

Sejak dua tahun lalu, beberapa pemimpin BN seperti Datuk Peter Pang En Yin telah keluar dari Parti Liberal Demokratik (LDP) untuk menjadi wakil rakyat Bebas menyokong BN manakala Datuk Raymond Tan Shu Kiah keluar dari Parti Maju Sabah (SAPP) untuk menyertai Gerakan selepas SAPP tarik diri dari BN pada akhir 2008.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong diwakili Datuk Samsudin Yahya daripada BN dan DUN Karamunting oleh Pang yang juga Timbalan Ketua Menteri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi diadakan serentak iaitu 26 Oktober ini sebagai hari penamaan calon dan 4 November ini sebagai hari mengundi.

Penganalisis politik James Chin dari Universiti Monash, berkata Batu Sapi dan Galas bukan platform baik untuk mengukur tahap sokongan secara keseluruhan kerana Galas merupakan kerusi penduduk Melayu di kawasan luar bandar manakala Batu Sapi mempunyai isu-isu tempatan tersendiri.

Bagaimanapun, pengarah strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua, berkata keputusan kedua-dua PRK itu masih menjadi petunjuk baik sentimen pengundi berikutan kedua-dua tempat itu merupakan kubu kuat BN.

Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian, dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata masalah utama di kedua-dua kawasan PRK itu bukan mengenai peluang BN tetapi bagaimana BN menangani punca sebenar kemerosotan sokongan kaum Cina.

"Mendapat kepercayaan pengundi di dua kerusi tersebut bukan merupakan masalah kepada BN jika mereka memilih calon yang sesuai dan popular tetapi isu sama ada strategi BN dapat menangani masalah itu," katanya.

Menurutnya aliran sokongan pada 14 PRK sebelum ini jelas menunjukkan pengundi Cina bergerak ke arah pembangkang walaupun mereka mempunyai wakil dalam kerajaan pusat tetapi masih mengundi pihak pembangkang.

Katanya, perancang strategi BN perlu melihat lebih daripada pilihan raya kecil dan menumpukan kepada soal menyelesaikan masalah.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Wilfred Madius Tangau, pula berkata BN tidak mempunyai pilihan kecuali mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi bagi mengelak terhakisnya tanggapan bahawa Sabah dan Sarawak adalah "simpanan tetap" BN. - BERNAMA