Followers

Wednesday, December 9, 2009

Jenayah di sempadan Malaysia-Thailand terkawal

JELI: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata walaupun kegiatan jenayah di sempadan Malaysia-Thailand terkawal, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan lagi kerjasama dengan polis Thailand khususnya dalam aspek penguatkuasaan.

Beliau berkata, sebagai komitmen dalam mengawal keselamatan di sempadan, PDRM akan menambah bilangan anggota yang ditempatkan di sempadan dan mendapatkan kerjasama agensi lain yang relevan termasuk polis Thailand.

"Kita akan bincang dengan agensi lain bagi memastikan kawalan di kawasan itu (sempadan) sentiasa terjamin dan baik," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penamaan semula jambatan kedua yang menghubungkan Bukit Bunga di sini ke Ban Buketa di selatan Thailand kepada Jambatan Persahabatan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva, di sini hari ini.

Jenayah di sempadan kebiasaannya membabitkan aktiviti penyeludupan pelbagai barangan seperti beras dan dadah.

Musa juga berkata, kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat bagi membantu membendung jenayah di sempadan juga amat penting. - Bernama

Manila, MILF ulangi komitmen bagi rundingan damai

KUALA LUMPUR: Panel damai kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mengulangi komitmen bersama untuk membina keadilan dan keamanan berkekalan dan menyeluruh di Mindanao.

Fasilitator kerajaan Malaysia dalam rundingan damai itu, Datuk Othman Abdul Razak, berkata kedua-dua pihak optimistik mencapai persetujuan dalam merumuskan perjanjian damai yang mereka harap dapat ditandatangani menjelang April tahun depan.

"Ketika pihak berkenaan menuju ke arah perdamaian, mereka juga bersetuju untuk mewujudkan persekitaran yang selamat bagi rundingan dengan memperbaharui bidang kuasa Pasukan Pemantauan Antarabangsa (IMT) untuk memantau perjanjian gencatan senjata, kemanusiaan, pemulihan, pembangunan dan perlindungan awam.

"Bagi tujuan itu, pihak berkenaan akan menjemput sebagai anggota IMT, Malaysia, Jepun, Brunei dan Libya dan badan bukan kerajaan iaitu Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Mindanao People's Caucus (MPC) dan Non-Violent Peace Force (NVPF)," katanya dalam kenyataan bersama di sini hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Pengerusi Panel Kerajaan Filipina, Rafael E Seguis, dan Pengerusi Panel MILF, Mohagher Iqbal, selepas perundingan selama dua hari di sini antara kedua-dua belah pihak, dan turut disertai International Contact Group (ICG) yang baru ditubuhkan terdiri daripada Britain, Jepun dan Turki.

Antara yang mewakili ICG sepanjang perundingan dua hari itu ialah Duta Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie; Pesuruhjaya Tinggi Britian ke Malaysia, Boyd McCleary; Kuasa Usaha Turki, Yasin Temizkan; serta Steven Rood dan Herizal Hazri dari Yayasan Asia.

Bagi tempoh 12 tahun lalu, Filipina dan MILF telah beberapa kali mengadakan rundingan untuk menamatkan konflik di selatan Filipina yang telah berlarutan selama empat dekad.

Rundingan Damai itu diaturkan oleh Malaysia sejak 2001, bertujuan menamatkan pemberontakan penduduk Islam selama empat dekad yang telah meragut 120,000 nyawa dan menjauhkan pelabur berpotensi dari kawasan itu yang dipercayai kaya dengan hasil minyak dan gas.

Othman berkata, pada rundingan itu, pihak berkenaan turut memperbaharui komitmen dan usaha mereka dalam menyelaraskan larangan dan pemulauan elemen jenayah dan tidak mematuhi undang-undang dengan mengaktifkan semula Kumpulan Tindakan Bersama Sementara. - Bernama

Modul BTN perlu ada elemen 1Malaysia: Mohd Puad

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Puad Zarkashi, berpendapat modul Biro Tata Negara (BTN) sedia ada tidak perlu dirombak sebaliknya memerlukan suntikan elemen 1Malaysia bagi memantapkan modul itu.

Beliau berkata, dengan adanya elemen 1Malaysia dalam modul itu, ia dapat menerapkan semangat tulen gagasan itu, yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan sekaligus membawa kebaikan kepada rakyat.

"Jika kita lihat semula gagasan tersebut, ia membawa banyak kebaikan kepada rakyat seperti mengurangkan jenayah sehingga 20 peratus, memperbaiki sistem pengangkutan awam supaya lebih efisien dan meningkatkan kualiti pendidikan, semuanya untuk rakyat, inilah yang kita mahu rakyat faham," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Satu Asia, Belia dan Media Sosial: Kerjasama Dalam Talian dan Masa Depan Asia di sini, hari ini.

Beliau mengulas pendapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang mengatakan kurikulum BTN akan dirombak bagi mencerminkan gagasan 1Malaysia.

mohd Puad juga tidak bersetuju dengan kenyataan Mohamed Nazri yang melabel bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai perkauman kerana mempertahankan modul BTN.

"Saya tidak bersetujulah dengan beliau (Mohamed Nazri) dan ini tidak adil dengan mengatakan Tun Mahathir bersikap sedemikian hanya kerana beliau mempertahankan modul tersebut.

"Lagipun selama 22 tahun pemerintahannya, beliau disegani oleh segenap lapisan masyarkat dan mempunyai pengikut yang ramai termasuk di kalangan golongan muda," katanya.

Mengenai kuasa ambil dan pecat yang bakal diberikan kepada guru besar dan pengetua sekolah dalam memenuhi aspirasi kecemerlangan sesebuah sekolah, Mohd Puad menjelaskan guru yang dipecat, bukan bermaksud mereka akan hilang pekerjaan sebaliknya akan ditukarkan ke sekolah lain.

Semalam, beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa sistem pendidikan akan mempertimbangkan untuk memberi kuasa kepada pengetua atau guru besar untuk memecat dan mengambil guru yang berdedikasi untuk membantu mereka menjadikan sekolah mereka sekolah cemerlang.

Forum selama empat hari bermula semalam itu dianjurkan oleh Majlis Belia Asia dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia, Institut Pembangunan Minda (INMIND) dan Kerjasama Komiti Belia Asia (CAYC) dan dihadiri wakil belia dari 23 negara Asia Pasifik.

- Bernama

Penjualan diesel, petrol di sempadan dihad

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengehadkan penjualan minyak diesel dan petrol di sempadan negara termasuk di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat bagi membendung kegiatan penyeludupan bahan api tersebut yang dikesan kembali aktif ketika ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata antara langkah itu ialah melarang penjualan minyak diesel dan petrol melebihi 20 liter kepada setiap kenderaan dari luar negara di kawasan dalam lingkungan 50 kilometer (km) dari sempadan negara.

"Pemilik kenderaan juga tidak dibenar melintasi sempadan dengan minyak melebihi 20 liter dalam tangki," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, arahan itu tertakluk di bawah Peraturan Barang Kawalan (Larangan Eksport) 2000, iaitu pemilik kenderaan atau pengusaha stesen minyak yang ingkar boleh dikenakan tindakan seperti kereta ditahan dan dirampas serta lesen perniagaan ditarik balik.

Beliau berkata, surat arahan akan diedar kepada semua pembekal atau pengusaha stesen minyak secepat mungkin manakala notis pemberitahuan akan diberi kepada pemilik kenderaan yang memasuki sempadan negara ketika mereka mendapatkan cop pengesahan kemasukan di kaunter Imigresen di sempadan.

Mengenai rasional di sebalik langkah itu, Ismail Sabri berkata beliau mendapat laporan terdapat banyak kejadian penyeludupan dan ketirisan petrol berlaku di kawasan sempadan negara, terutama di sempadan Thailand.

"Bagi membendung kegiatan itu kementerian memutuskan untuk menguatkuasakan arahan mengehadkan penjualan minyak. Kita tidak mahu subsidi minyak yang sepatutnya dinikmati rakyat turut diperoleh orang luar kerana ia tidak adil kepada kerajaan dan rakyat sebagai pembayar cukai," katanya.

Malaysia adalah negara yang menawarkan harga terendah dalam penjualan diesel dan petrol berbanding negara jiran.

Harga diesel di Malaysia dijual pada kadar RM1.70 seliter berbanding Thailand RM2.76, Singapura RM3.04, Indonesia RM2.58 dan Filipina RM3.99 manakala untuk petrol RON95 Malaysia menawarkan harga RM1.80 seliter, Thailand RM4.01, Singapura RM4.31, Indonesia RM2.26 dan Filipina RM5.45.

Ismail Sabri berkata, perbezaan harga yang ketara itu menyebabkan berlakunya aktiviti penyeludupan dan pembelian luar biasa banyak di dalam negara.

Sehubungan itu beliau mengingatkan pihak terbabit supaya tidak mengingkari arahan itu demi kebaikan bersama dan kementerian juga katanya akan menempatkan petugasnya di stesen minyak bagi memantau keadaan.

"Saya bagi amaran kepada pengusaha-pengusaha minyak di kawasan sempadan supaya tidak menyalahguna hak yang diberi kepada mereka untuk menanggung orang luar dengan menikmati subsidi yang diberi kerajaan," katanya.

Ismail Sabri berkata, bagi memastikan arahan itu terlaksana, kementerian juga akan meningkatkan kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP).

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan yang arahan itu tidak akan berjaya menghapuskan aktiviti penyeludupan minyak sepenuhnya, tetapi yakin sekurang-kurangnya akan mengurangkan bilangan kes itu. - Bernama

Selepas Selangor dan Pulau Pinang, Kelantan pula tolak BTN

KOTA BHARU: Selepas Selangor dan Pulau Pinang, kini Kerajaan Kelantan pula menolak pegawai dan kakitangannya daripada menyertai program Biro Tata Negara (BTN).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata beliau tidak bersetuju menghantar pegawai dan kakitanganya menyertai program yang dianjurkan BTN selagi modul dan kurikulumnya tidak diubah mengikut acuan Islam.

Malah, beliau mahu kurikulumnya dirombak dan menonjolkan ke arah Islam. Menurutnya, beliau bersama dua negeri di bawah Pakatan Rakyat bersetuju untuk tidak menghantar pegawainya mengikuti kursus BTN itu.

"Kalau dalam keadaan (kurikulum sekarang) saya setuju tak kirim. Kalau Selangor tolak, Pulau Pinang tolak, tak ada sebab saya nak kirim. Kirim wat gapo (buat apa)?," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak bercadang untuk ''mengharamkan'' pegawainya menyertainya kerana haram itu perkataan Islam, cuma tidak bersetuju dan tidak menggalakkan menghantar pegawai menyertai program anjuran BTN.

Kerajaan Pulau Pinang 2 Disember lalu melarang semua kakitangannya daripada mengikuti kursus BTN berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Ketua Menterinya, Mansor Othman berkata, tindakan itu dibuat kerana mendapati kursus BTN memberikan kesan negatif dan menjadi medan menyebarkan propaganda Barisan Nasional (BN).

Minggu lalu, kerajaan Selangor mengharamkan kakitangannya dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) milik penuh kerajaan negeri mengikuti kursus atau program dikendalikan BTN berkuat kuasa serta-merta.

Nik Abdul Aziz berkata, sudah lama beliau memerhatikan bahawa kurikulumnya tidak diajar mengikut Islam dan bercanggah dengan dasar agama.

"Kalau boleh BTN ini mengadakan forum dengan pakar ekonomi ke atau ahli dalam bidang tertentu ke arah Islam merombakkan semula BTN mengikut acuan Islam," katanya. - Bernama

Potensi pelaburan keseluruhan misi melonjak kepada RM8.145 bilion

OSAKA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata misi pelaburan khas selama empat hari ke Osaka dan Tokyo berjaya menarik keseluruhan potensi pelaburan RM8.145 bilion.

Timbalan Perdana Menteri berkata, potensi pelaburan dari pertemuannya dengan kapten industri di Osaka adalah RM585 juta.

“Pelaburan itu dijangka tiba di Malaysia di dalam tempoh suku tahun akan datang dan bagi memulakan projek," katanya, sambil menyatakan bahawa dalam tempoh jangka panjangn terdapat banyak syarikat dari rantau ini berminat melabur di Malaysia, yang bakal membawa masuk lagi RM2.6 bilion.

Sebelum itu, beliau mengumumkan bahawa misi ke Tokyo menghasilkan potensi pelaburan RM4.96 bilion.

Daripada potensi pelaburan RM585 juta yang dijangka masuk di dalam tempoh sederhana, katanya RM515 juta adalah pelaburan bagi pengeluaran komponen elektrik dan elektronik manakala yang lain ialah bagi biofuel, loji panel solar dan biomas.

”Dengan itu, misi ini adalah satu kejayaan," katanya kepada pemberita selepas menemui kapten industri di Osaka, Jepun, yang pada segi sejarahnya merupakan ibu negara komersil Jepun dan pusat kawasan metropolitan terbesar Jepun, Keihanshin (Osaka-Kobe-Kyoto).

Sambil menjelaskan mengenai pertemuan awal, katanya sebahagian besar syarikat yang menghadiri mesyuarat meja bulan telah pun mempunyai kilang di Malaysia dan mempunyai rancangan untuk diperbesarkan.

“Mereka melihat Malaysia sebagai satu destinasi kritikal," katanya.

Sebagai contoh, katanya Panasonic Corporation, salah satu peserta pertemuan hari ini telah berada di Malaysia sejak lebih 40 tahun.

“Mereka berkata, mereka telah menutup operasi Indonesia dan mengembangkan operasi di Malaysia,” katanya, sambil menyatakan bahawa Panasonic merancang menjadikan Malaysia sebagai hub pengedarannya.

Katanya Malaysia mencadangkan Panasonic membawa ke Malaysia pusat penyelidikan dan pembangunannya, yang akan mengukuhkan lagi kehadirannya.

Pertemuan hari ini dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) manakala penganjur bersamanya ialah Dewan Perniagaan dan Industri Osaka, dengan disokong oleh Pusat Asean-Jepun, Kumpulan Kewangan Mizuho dan Persekutuan Ekonomi Kansai.

Antara syarikat yang hadir ialah Kaneka Corporation, Daihatsu Motor Co. Ltd, Mizuho Corporate Bank, Panasonic Corp, Nippon Electric Glass dan Sharp Corp. - Bernama

20 sekolah berprestasi tinggi diberi pelbagai insentif: TPM

OSAKA: Kementerian Pelajaran akan menawarkan insentif dan keistimewaan kepada 20 sekolah menengah yang terpilih sebagai sekolah berprestasi tinggi (SBT), termasuk memberi kelonggaran dalam pengurusan kewangan, kurikulum dan pentadbiran sekolah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, ia membolehkan sekolah yang terpilih itu terus berkembang dan mencatat lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang berbincang dengan Perbendaharaan untuk memberi imbuhan kewangan kepada setiap sekolah, selain sedang memperhalusi faedah atau imbuhan lain yang bakal mereka peroleh.

"Keistimewaan lain yang dicadangkan ialah memberi fleksibiliti dari segi kurikulumnya. Contohnya, jika ramai pelajar sekolah berkenaan sudah mahir bahasa Inggeris maka tidak perlu memberi tumpuan yang lebih sebaliknya boleh digunakan bagi mata pelajaran yang perlu diperbaiki.

"Selain itu, dari segi membuat keputusan berkaitan perbelanjaan bajet sekolah biasanya ada had dan batasannya tetapi kita akan beri kelonggaran kepada mereka untuk membelanjakan perbelanjaan yang disediakan kementerian.

"Mengenai operasi pula, kita akan bagi kelonggaran tertentu bukan automoni supaya sekolah boleh berkembang dan tidak terikat dengan syarat ditetapkan tetapi kita akan pantau supaya kedudukan sekolah ini akan terus cemerlang," katanya selepas mengadakan persidangan meja bulat dengan ketua industri di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, pemberian insentif dan keistimewaan kepada sekolah yang diiktiraf itu kini dalam peringkat akhir dan akan diumumkan selepas dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat.

Najib yakin langkah Bangkok bawa keamanan di wilayah selatan

NARATHIWAT: Datuk Seri Najib Razak berkata beliau yakin langkah yang diambil kerajaan Thailand akan membawa keamanan di selatan negara itu yang bergolak sejak beberapa tahun lalu.

Perdana Menteri berharap, penduduk di wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani akan mengamalkan kehidupan secara aman supaya keadaan akan kembali pulih.

Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berada di Narathiwat hari ini pada hari terkahir lawatan tiga hari beliau ke Thailand.

Beliau diiringi rakan sejawatannya dari Thailand, Abhisit Vejjajiva.

Wilayah selatan Thailand sering menyaksikan serangan bom oleh puak pemisah yang tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan Thailand yang lalu.

Golongan pemisah juga menuntut kemerdekaan bagi tiga wilayah berkenaan.

Ketika berucap di Institut Islam Attarkiah di pusat bandar Narathiwat, Najib berkata bahawa beliau amat berpuas hati dengan hasil rundingannya dengan Abhisit semalam khususnya berhubung perkara yang berkaitan dengan selatan Thailand. - Bernama

Terengganu diisytihar bebas wabak taun

KUALA LUMPUR: Terengganu yang dilanda taun sejak 11 November lalu, kini diisythar bebas daripada wabak itu setelah tiada kes baru dilaporkan sejak dua minggu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata sejak wabak itu dikesan di negeri itu bulan lalu, sebanyak 187 kes dikesan dengan satu kematian dilaporkan.

"Walaupun wabak ini telah tamat, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan terus melaksanakan tindakan kawalan, pencegahan dan pengawasan bagi menggelak ia berulang," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dr Ismail berkata, siasatan mendapati jangkitan taun di Terengganu berlaku kerana kerana pengendali makanan dan orang ramai kurang mengambil berat mengenai penjagaan kebersihan diri dan amalan pengendalian makanan yang selamat. - Bernama

H1N1: Korea Utara sahkan kes pertama

SEOUL: Korea Utara buat pertama kali mengesahkan wabak selesema babi (H1N1) melanda negara itu dengan sembilan kes setakat ini.

Kementerian Luar negara itu mengesahkan, sembilan kes itu ialah di ibu negara, Pyongyang dan Bandar Sinuiju, berhampiran sempadan China.

Agensi berita Korean Central malaporkan, pihak berkuasa Pyongyang sudah mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengadakan sistem kuarantin pesakit dan membendung virus daripada merebak.

Presiden Korea Selatan, Lee Myung-Bak pula memberitahu, kerajaannya sedia memberi bantuan dari segi perubatan kepada jirannya itu. - AFP

Konflik selatan Thailand masalah dalaman: Najib

BANGKOK: Menegaskan konflik di selatan Thailand adalah masalah dalaman dan negara itu perlu dibenarkan menggunakan model sendiri untuk menanganinya, namun Malaysia berpandangan keganasan adalah masalah yang serius yang tidak boleh dipandang ringan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Malaysia tidak bercadang untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman Thailand, tetapi bersedia untuk membantu negara jiran itu dalam apa juga cara yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak.

Ditanya jika anggaran 9,000 hingga 10,000 militan di tiga wilayah di selatan yang bersempadan dengan Malaysia akan memberikan ancaman serius kepada kedua-dua negara, Najib berkata ia pastinya satu masalah jika dibiarkan.

"Kita tidak tahu jumlah sebenar (militan), macam-macam angka diberikan. Tetapi ia adalah masalah serius kerana pembunuhan terus berlaku, letupan bom terus berlaku, dengan itu kita tidak boleh memandang ringan akan keseriusan masalah ini," katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengetuai delegasi Malaysia ke Perundingan Tahunan Keempat dengan Thailand.

Katanya, Malaysia dan Thailand perlu menangani masalah itu tetapi katanya setakat ini tiada penglibatan elemen asing seperti kumpulan pengganas serantau Jemaah Islamiyah, dikesan terbabit.

Najib juga berkata, beliau akan tetap mengadakan lawatan ke Narathiwat seperti dirancang dengan rakan sejawatannya dari Thailand Abhisit Vejjajiva disebalik kejadian letupan bom malam tadi yang membunuh pasangan suami isteri dekat sebuah hotel yang menjadi tempat penginapan delegasi kedua-dua negara.

"Ya, Insyaallah. Saya tidak fikir pihak Thailand akan membenarkan apa-apa akan berlaku," katanya.

Najib adalah Perdana Menteri Malaysia yang pertama akan melawat ke wilayah bergolak itu.

Katanya, beliau yakin tuan rumah akan memastikan keselamatan pemimpin-pemimpin yang melawat negara mereka.

"Jika mereka fikir tidak selamat, mereka tidak akan benarkan lawatan diadakan," katanya.

Terdahulu, dalam sidang akhbar bersama dengan Abhisit selepas mesyuarat di Rumah Kerajaan, Najib berkata penduduk di selatan tidak sepatutnya menimbangkan untuk berpisah daripada kerajaan, tetapi kekal setia kepada negara, perlembagaan dan Raja.

"Pada masa yang sama, mereka sepatutnya dibenarkan untuk mengamalkan budaya dan agama mereka, serta menggunakan bahasa ibunda dan undang-undang Islam," katanya.

Najib berkata, beliau memaklumkan kepada Abhisit bahawa Malaysia bersedia memberikan bantuan kepada Thailand untuk menangani konflik itu yang telah meragut lebih 3,500 nyawa.

"Perdana Menteri memberikan penjelasan secara terus terang mengenai pemikiran dan strategi positif Thailand untuk membawa keamanan. Malaysia, sebagai rakan, akan menghormati ini sebagai masalah dalaman," katanya.

Mengenai cadangan beliau sebelum ini bahawa Bangkok patut menawarkan autonomi kepada tiga wilayah majoriti penduduk Islam iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala, Najib berkata tiada sebarang percanggahan mengenai perkara itu dengan Abhisit dan Malaysia sedia menerima sebarang model yang dicadangkan oleh Thailand.

Beliau berkata, model lain yang diguna pakai di selatan Filipina dan Acheh mungkin tidak sesuai bagi Thailand.

Sementara itu, Abhisit berkata kerajaan pimpinan beliau telah menggariskan pelan yang akan membolehkan bagi kuasa desentralisasi yang akan memberi lebih banyak peluang kepada penduduk setempat untuk memilih pemimpin mereka sendiri di peringkat wilayah dan daerah.

"Kami juga sedang berusaha untuk menarik baik dekri darurat dan menggantikannya dengan undang-undang khas," katanya sambil menegaskan kerajaan pimpinannya akan terus mengadakan perbincangan dengan penduduk setempat dan menolak kemungkinan mengadakan perbincangan dengan kumpulan pemisah berikutan tiada yang tampil mengaku bertanggungjawab bagi keganasan di situ.

Abhisit berkata, Malaysia bersedia untuk mempermudahkan komunikasi dengan penduduk setempat melalui pembinaan kapasiti, yang akan melengkapi penekanan kerajaan Thailand terhadap keadilan dan ekonomi bagi penduduk di sana.

"Kami menghantar isyarat yang kami sedang mengambil langkah-langkah penting bagi penyelesaian yang juga termasuk dimensi politik. Saya amat bersetuju yang kami perlu lakukannya dengan kadar segera, tetapi kami perlu mempunyai pendekatan yang dapat diterima dan tidak menjejaskan hubungan antara masyarakat di rantau ini dan dalam negara," katanya.

Diminta mengulas laporan akhbar di sini semalam bahawa beliau akan pulang ke tanah air dengan kekecewaan berikutan kurangnya kemajuan dalam menangani konflik di selatan, Najib berkata perkara itu tidak mungkin berlaku kerana beliau tahu yang masalah itu tidak dapat ditangani dalam jangka masa singkat.

Najib juga berkata, kedua-dua negara akan bertukar-tukar data biometrik untuk menangani isu dua kewarganegaraan dan menurutnya tidak terdapat data yang jelas pada ketika ini untuk menunjukkan jumlah individu yang memiliki kewarganegaraan kedua-dua negara.

Mengenai kerjasama ekonomi dan perdagangan, Najib berkata Thailand akan menghantar misi pelaburan ke Malaysia tahun depan untuk meningkatkan pelaburan.

Perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah AS$18.2 bilion pada 2008 berbanding AS$16.5 bilion pada 2007.

Najib juga berkata, terdapat perancangan untuk meningkatkan lagi kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara berjiran, termasuk menghubungkan koridor ekonomi di utara dan timur Malaysia dengan Zon Ekonomi Khas Selatan Thailand. - Bernama