Followers

Monday, June 1, 2009

Sabah & Sarawak: Guru pakar kurang di pedalaman

Jurang pendidikan pasti berlaku selagi masalah tak diatasi: Masidi

KOTA KINABALU: Sekolah luar bandar di Sabah berdepan masalah kekurangan guru mahir bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik menyebabkan prestasi murid dan pelajar dalam mata pelajaran berkenaan jauh ketinggalan berbanding di bandar.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata guru yang ditugaskan mengajar mata pelajaran terbabit kebanyakannya tidak mahir dalam bidang berkenaan tetapi terpaksa memikul tugas kerana ketiadaan guru mahir.

Katanya, keadaan itu bukan saja menjejaskan prestasi murid dan pelajar dalam ketiga-tiga mata pelajaran, malah memberi kesan kepada pencapaian sekolah luar bandar, sekali gus mewujudkan jurang yang besar dengan tahap akademik sekolah di bandar.

"Masalah utama sekolah luar bandar di negeri ini ialah kekurangan guru mahir. Contohnya guru yang mengajar Bahasa Inggeris tidak fasih berbahasa Inggeris, malah ada guru tidak faham maksud ungkapan tertentu dalam bahasa Inggeris.

"Faktor ini juga antara sebab pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dipertikai kerana ramai guru yang mengajar subjek itu tidak fasih bahasa Inggeris.

"Selagi masalah ini tidak diatasi, selagi itulah jurang perbezaan pencapaian murid dan pelajar sekolah luar bandar dengan sekolah di bandar akan terus meningkat," katanya di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Exco Pendidikan negeri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai usaha merapatkan jurang perbezaan kualiti pendidikan antara kawasan luar bandar dan bandar.

Selain isu guru mahir, Masidi berkata, sekolah luar bandar di Sabah juga berdepan masalah infrastruktur tidak lengkap berikutan ketiadaan penyelarasan antara pelbagai agensi yang terbabit menyediakan kemudahan untuk sekolah luar bandar.

"Contohnya kerajaan membina bangunan untuk makmal komputer tetapi komputer belum ada atau ada komputer tetapi tidak ada bekalan elektrik. Kegagalan melengkapkan infrastruktur itu menyebabkan ia tidak dapat digunakan.

"Kerjasama semua pihak yang terbabit dalam penyediaan kemudahan sekolah perlu ditekankan bagi memastikan murid dan pelajar dari kawasan itu tidak ketinggalan menikmati kemudahan pembelajaran yang moden," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin usaha sedang dibuat bagi menyelesaikan masalah itu selaras dengan komitmen kerajaan meningkatkan tahap pendidikan di kawasan luar bandar Sabah.

Mengenai keputusan mengehadkan pengambilan 10 mata pelajaran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun depan, beliau berkata, langkah itu sesuai bagi membolehkan guru memberi tumpuan kepada pengajaran mata pelajaran teras.

"Sebelum ini, kalau ada pelajar ambil lebih 10 subjek, guru mungkin terpaksa memberikan tumpuan tambahan kepada mata pelajaran lain yang diambil pelajar terbabit. Ia menyebabkan tumpuan guru terhadap mata pelajaran lain terjejas," katanya.

0 comments: