Followers

Monday, July 13, 2009

Empat pelajar UiTM dijangkiti H1N1

MELAKA 12 Julai - Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Lendu, Alor Gajah di sini, mungkin akan ditutup buat sementara waktu setelah empat pelajarnya disahkan positif selesema babi atau influenza A (H1N1).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sepasukan perubatan telah dihantar ke kampus tersebut sebagai langkah pencegahan bagi mengelak virus itu merebak kepada pelajar lain.

''Pada masa ini, situasi di kampus terkawal, namun jika virus tersebut didapati telah menular kepada pelajar lain, kita terpaksa menutup kampus berkenaan buat sementara waktu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung MCA Melaka 2009 oleh Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat di sini hari ini.

Menurut Tiong Lai, daripada empat kes yang dilaporkan, seorang pelajar dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan peringkat kritikal.

''Tiga pelajar lagi sedang dirawat dan dikuarantin dalam bilik masing-masing di kampus universiti tersebut.

''Kita dapati hanya kes selesema biasa dialami pelajar di kampus itu namun kita masih mengawasi pelajar yang dijangkiti selesema bagi menentukan sama ada ia berkaitan kes H1N1 atau sebaliknya," jelasnya.

Katanya, tiga pelajar yang dikuarantin dalam bilik masing-masing terdiri daripada dua pelajar lelaki dan seorang wanita.

Pada masa yang sama, kata Tiong Lai, kementerian sedang berusaha mengenal pasti punca berlakunya kes virus H1N1 di kampus itu.

Menurutnya, kementerian juga mendapat kerjasama baik daripada pihak pentadbiran UiTM dalam menangani kes berkenaan dan dibantu seorang doktor yang berkhidmat di kampus tersebut.

''Kita juga akan menjalankan siasatan terperinci mengenai perkara ini dan mungkin mengumumkan mengenai perkembangan terbaru situasi di kampus tersebut esok," katanya.

SK Sultan Sulaiman 1 dibuka semula Rabu

KUALA TERENGGANU 12 Julai - Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 (SKSSI) di sini yang diarahkan tutup Khamis lalu setelah dua pelajarnya disahkan dijangkiti influenza A (H1N1) akan dibuka semula Rabu ini.

Pengarah Pelajaran Terengganu, Ariffin Embong memberitahu, sekolah berkenaan akan dibuka semula pada hari tersebut selepas mendapati keadaan terkawal.

''Saya juga ingin menekankan bahawa arahan tutup dan membukanya semula bukan dibuat sewenang-wenang sebaliknya atas faktor kesihatan. Kita mengikut arahan Kementerian Kesihatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan SKSSI yang ditutup Khamis lalu selepas dua pelajarnya dijangkiti virus itu.

Dua murid sekolah terbabit dikuarantin di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana dijangkiti selesema babi selepas pulang dari luar negara.

Mengulas lanjut, Ariffin menasihatkan ibu bapa supaya tidak panik dan bimbang dengan kes tersebut kerana keadaan terkawal.

Katanya, Jabatan Pelajaran sentiasa mengikut arahan Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan penularan jangkitan virus itu.

''Kuarantin merupakan langkah awal bagi mengelak berlakunya jangkitan dan saya rasa keadaan terkawal dan ibu bapa tidak seharusnya bimbang dengan apa yang berlaku," jelasnya.

2 kanak-kanak antara mangsa terbaru H1N1

PUTRAJAYA 12 Julai - Dua orang kanak-kanak masing-masing berumur setahun dan 16 bulan merupakan antara 39 pesakit baru yang disahkan dijangkiti selesema babi atau influenza A (H1N1) hari ini.

Kedua-kedua mereka merupakan mangsa H1N1 jangkitan tempatan yang tidak mempunyai sejarah lawatan ke luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Mohd. Ismail Merican berkata, daripada 39 kes baru itu, 29 adalah kes import manakala 17 kes jangkitan tempatan.

Menurutnya, ini menjadikan jumlah terkumpul jangkitan H1N1 di negara ini sekarang meningkat kepada 710 kes.

Beliau memberitahu, Sekolah Kebangsaan Sulaiman 1 di Kuala Terengganu telah ditutup manakala semua pelajar kelas 4 Jaya, Sekolah Menengah Aminuddin Baki di ibu negara dikenakan kuarantin rumah sehingga 15 Julai ini untuk mencegah penularan H1N1.

''H1N1 adalah virus baru dan kita semua tiada imuniti kepada jangkitan ini.

''Jika penularan dalam komuniti tidak dikawal dengan baik, maka ia akan merebak dengan cepat dan melibatkan kes yang banyak sehingga menyebabkan kes berkomplikasi dan kematian," katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 90 peratus atau 637 orang pesakit H1N1 di negara ini telah sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah.

Mengenai situasi di peringkat antarabangsa pula, menurutnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sehingga pukul 8 pagi hari ini telah mengesahkan 106,565 kes terkumpul di 143 negara.

''Pertambahan kes dilaporkan di Australia, Malaysia dan Brunei," ujarnya.

Sabah&Sarawak: Syor Sastera Inggeris diajar semula

KOTA KINABALU: Kesusasteraan Inggeris perlu diajar semula di sekolah untuk membantu melahirkan pelajar yang mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik, kata Exco Pelajaran Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata, sebahagian besar pelajar yang mengambil subjek itu pada 1950-an hingga 1970-an mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik, sekali gus membuktikan ia memberi kesan positif berbanding Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Ramai guru PPSMI di luar bandar dan pedalaman Sabah kurang fasih berbahasa Inggeris. Ada yang meminta bantuan pelajar membuat terjemahan. Ini menghalang usaha melahirkan pelajar fasih berbahasa Inggeris.

"Lebih baik Kesusasteraan Inggeris kembali diajar di sekolah rendah dan menengah," katanya, di sini semalam.

Masidi yang juga Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar negeri mengulas keputusan Kabinet meluluskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan dan menengah dalam bahasa Malaysia, berkuat kuasa pada 2012.

Sabah&Sarawak: Nelayan Kunak sukar darat ikan

Kegiatan nelayan beralih ke tebing konkrit sejak jeti runtuh tiga bulan

KUNAK: Selepas berpuluh tahun membantu menghasilkan sumber perikanan di Sabah, nelayan di sini masih bergelut dengan masalah pendaratan ikan secara sempurna berikutan ketiadaan jeti yang benar-benar memenuhi keperluan itu.

Industri perikanan yang berkembang pesat di daerah ini khususnya dan Pantai Timur Sabah amnya sejak beberapa tahun lalu seolah-olah tidak disokong dengan penyediaan jeti sempurna bagi membolehkan nelayan mendaratkan ikan, ketam, sotong dan pelbagai hasil laut yang lain.

Walaupun Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ada menyediakan jeti diperbuat daripada papan di Pasar Ikan Kunak, ia tidak mampu menampung keperluan semasa, apatah lagi akan datang.

Kesukaran nelayan mendaratkan hasil laut semakin getir berikutan jeti berkenaan runtuh tiga bulan lalu, sekali gus menyebabkan nelayan tidak mempunyai pilihan, selain terpaksa menggunakan tebing konkrit milik Majlis Daerah Kunak di Kampung Pangkalan untuk mendaratkan hasil laut.

Sehubungan itu, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kunak merayu LKIM menyediakan jeti pendaratan ikan lebih sempurna berbanding sedia ada, bukan setakat memudahkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan, malah memajukan industri perikanan di negeri ini.

Pengerusinya, Asiah Hamid menjelaskan, 769 ahli PNK Kunak merayu LKIM membantu menyediakan jeti berkenaan berikutan jeti sedia ada yang disifatkannya kecil dan tidak kukuh, tidak mampu menampung bot laut dalam, bot besar dan kecil serta perahu yang membawa hasil tangkapan.

"Daripada keseluruhan ahli itu, kebanyakannya adalah pemilik bot laut dalam, bot besar dan perahu. Antara peralatan digunakan untuk menangkap ikan adalah pukat jerut, pukat tunda, bagang (kelong) dan pukat hanyut. Ada juga yang memancing.

"Selain jeti yang sudah runtuh itu, ada juga jeti milik swasta di Pangi. Jeti itu tidak boleh digunakan ahli PNK Kunak kerana ia adalah milik pemilik persendirian yang hanya dikhususkan untuk bot mereka," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.

Beliau menjelaskan, nelayan terpaksa menghadapi kesukaran menghampiri tebing konkrit berkenaan yang tidak dilengkapi kemudahan untuk bot berlabuh seperti tayar penahan bot, selain mesin penarik bakul yang dimuatkan dengan ikan, udang dan seumpamanya.

Asiah berkata, PNK Kunak difahamkan, LKIM bercadang menyediakan peruntukan untuk membaiki jeti yang sudah runtuh itu tetapi ia tidak mungkin mampu menampung keperluan semasa dan akan datang.

Beliau berkata, PNK Kunak sudah berbincang dengan LKIM mengenai permohonan berkenaan tetapi belum ada keputusan muktamad, setakat ini.

Sementara itu, Pengurus Besar PNK Kunak, Mohd Daud Mohd Alueh, berkata pembinaan jeti baru amat diperlukan berdasarkan peningkatan jumlah hasil laut yang didaratkan di jeti Kampung Pangkalan.

"Sebanyak 9.134 juta kilogram (kg) atau kira-kira 9,000 tan metrik ikan didaratkan di jeti Kampung Pangkalan dari 1 Ogos 2008 hingga 6 Julai lalu.

"Jumlah ini tidak termasuk ikan yang didaratkan di jeti milik swasta di Pangi. Ini membuktikan jeti baru amat diperlukan bagi memastikan industri perikanan di daerah ini terus berkembang," katanya.

Sementara itu, Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Kunak, Halid Haron, berkata Pejabat PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak bersikap terbuka mengenai lokasi pembinaan jeti berkenaan sama ada kekal di Kampung Pangkalan atau di lokasi lain.

Ini kerana, katanya, jalan masuk ke Kampung Pangkalan tidak ada laluan keluar yang menyebabkan lori mengangkut ikan dan kenderaan individu terpaksa membuat pusingan di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran jeti Kampung Pangkalan.

Sehubungan itu, katanya, Pejabat PKR memohon LKIM supaya meneliti masalah nelayan terbabit dan membantu mengatasinya dengan menyediakan jeti baru yang lebih sempurna.

Wabak Influenza A kini terkawal: Liow

KOTA BHARU: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata wabak Influenza A (H1N1) yang melanda negara kini terkawal walaupun bilangan yang disahkan positif mencecah 700 kes.

Beliau berkata, kebanyakan yang positif adalah mereka yang baru memasuki negara disamping beberapa kes yang membabitkan jangkitan tempatan selepas seseorang itu berada di dalam negara.

"Pada keseluruhannya boleh dikatakan terkawal dan berharap ianya tidak merebak lagi," katanya ketika berucap pada perasmian Konvensyen Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kelantan di sini, hari ini.

Walaupun terdapat enam kes positif dilaporkan di Kelantan dan di Terengganu 17, ia kini berada di dalam keadaan terkawal dan beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dan bimbang dengan penularan penyakit itu dan meminta mereka supaya sentiasa berjaga-jaga.

Mengenai penyakit berjangkit seperti denggi, malaria dan kolera, beliau berkata, ia tidak membimbangkan kerana orang ramai sudah sedar dengan bahaya penyakit itu.

"Yang membimbangkan sekarang penyakit yang tidak berjangkit seperti darah tinggi, kencing manis dan lemah jantung yang dianggap serius," katanya.

Tanpa menyebut kadar kematian pengidap penyakit itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan cara hidup sihat. - Bernama

H1N1: 62 kes baru, 34 jangkitan tempatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan melaporkan 62 kes baru Influenza A (H1N1), iaitu 28 kes import dan 34 kes jangkitan tempatan yang dicatatkan sehingga jam 8 pagi tadi.

Ia menjadikan jumlah terkumpul kes Influenza A (H1N1) di negara ini kepada 772 kes, di mana 535 adalah kes import dan 237 kes jangkitan tempatan.

Tiada kematian dilaporkan sepanjang tempoh terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata daripada 34 kes jangkitan tempatan, 24 sudah mendapatkan rawatan pesakit luar manakala 10 pesakit dimasukkan ke wad.

Beliau berkata, daripada 772 jumlah pesakit yang disahkan dengan H1N1, 685 atau 89 peratus sudah sembuh dan discaj daripada hospital.

Katanya, baki pesakit yang sedang dirawat berjumlah 87 orang, termasuk mereka yang menerima rawatan pesakit luar.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan turut memaklumkan terdapat satu kelompok kes influenza yang dikesan pada 11 Julai lalu, di kalangan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah, Melaka.

60 penuntut dengan tanda-tanda influenza sudah diletakkan di bawah pengasingan di kolej berkenaan.

Ujian rawak yang dijalankan pada waktu itu membabitkan lima penuntut, yang mana empat daripadanya disahkan positif jangkitan Influenza A (H1N1).

Kini, dua penuntut sudah dimasukkan ke Hospital Melaka manakala tiga lagi ditempatkan di bawah pemantauan di rumah masing-masing, iaitu dua di Selangor dan seorang di Kuala Lumpur.

Kerjasama antara Pihak Pengurusan Tertinggi UiTM dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka diadakan bagi membincangkan langkah kawalan dan pencegahan wabak tersebut, termasuk aktiviti saringan ke atas pelajar lain yang terdedah serta dekontaminasi ke atas semua blok penginapan dan isolasi, dewan kuliah dan lain-lain bangunan yang digunakan pelajar.