Followers

Tuesday, May 18, 2010

Kumpulan kerja ditubuh di bawah Suruhanjaya Bersama Malaysia-Indonesia

PUTRAJAYA: Beberapa kumpulan kerja akan ditubuhkan di bawah Suruhanjaya Bersama Malaysia-Indonesia untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman akan melawat republik itu bulan depan bagi mengenal pasti bidang-bidang dan bidang tugas kumpulan kerja tersebut.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan empat mata dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di sini, hari ini.
Najib berkata, Suruhanjaya Bersama ini hendaklah melaporkan kemajuan yang dicapai kumpulan kerja ini setiap tiga bulan kepada pemimpin kedua-dua negara.

Beliau berkata, kedua-dua pihak bersetuju supaya Suruhanjaya Bersama yang sedia ada itu menjadi mekanisme untuk menyelia dan juga untuk mengambil tindakan menyelesaikan sebarang isu berbangkit antara kedua-dua buah negara berjiran itu.

"Jadi kedua belah pihak merasa bahawa Suruhanjaya Bersama kita perlu kembali bersemangat supaya lebih banyak isu dapat diselesaikan," katanya.

Selain itu, katanya, Suruhanjaya Bersama tersebut juga adalah mekanisme untuk mencari bidang-bidang baru yang boleh diperbincangkan untuk meningkatkan hubungan dua hala Kuala Lumpur-Jakarta.
Susilo tiba hari ini bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ketujuh antara pucuk pimpinan kedua-dua negara dan turut dijadual berucap pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), esok. - Bernama

Maritim: Malaysia, Indonesia setuju rundingan hala tuju baru politik

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia dan Indonesia hari ini bersetuju supaya hala tuju baru politik diberikan dalam rundingan antara dua negara berjiran berhubung isu sempadan maritim dalam usaha mengatasi sebarang masalah berbangkit.
Bercakap kepada pemberita dalam pertemuan empat mata dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di sini hari ini, Perdana Menteri berkata, setakat ini 14 siri rundingan sudah diadakan berhubung isu itu dan pada mesyuarat hari ini kedua-dua pemimpin meminta pegawai dan jawatankuasa teknikal terbabit untuk meneruskan rundingan dalam bagi mencapai matlamat.
Najib berkata, sementara wujud isu di mana Kuala Lumpur dan Jakarta mampu menyelesaikannya tanpa sebarang masalah, terdapat sesetengah isu yang agak kompleks "yang sudah pasti mengambil masa seperti isu sempadan maritim."
Perdana Menteri berkata, apabila jawatankuasa teknikal bermesyuarat, mereka tidak akan mengubah pendirian terutama dalam soal kedudukan dan pendirian mereka sendiri.

"(Jadi), ia hanya apabila mereka mendapat hala tuju baru politik bagi membolehkan mereka fleksibel untuk mengubah kedudukan mereka," katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir rundingan tahunan antara kedua pemimpin tertinggi.

Najib juga berkata, kedua-dua pihak cenderung untuk kekal dengan kedudukan mereka apabila ia menyentuh soal perundingan.

"Jadi, satu cara bagi kita mengatasi masalah itu adalah hala tuju baru politik supaya wujud sedikit pergerakan," katanya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan bahawa ini tidak bermakna bahawa hubungan antara Malaysia dengan republik itu tidak berjalan dengan lancar.

"Ia memang tidak dapat disangkal...bukanlah hubungan itu tidak begitu baik antara kedua belah pihak. Tetapi isunya adalah isu rumit apabila ia membabitkan persoalan kedaulatan... ia akan menjadi rumit," katanya.

Mengenai isu Ambalat, di Laut Sulawesi Selatan yang dikatakan kaya dengan simpanan minyak dan gas, yang dirujuk oleh Malaysia sebagai Blok ND 6 dan 7, Najib berkata: "Saya bercakap mengenai maritim...kami tidak secara khusus berbincang mengenai Ambalat tapi sempadan maritim," katanya. - Bernama

Rundingan rahsia bagi akhiri pertempuran di Bangkok

BANGKOK: Rundingan bagi mengakhiri pertempuran antara pasukan keselamatan dan pihak antikerajaan yang memasuki hari keenam masih berlangsung hari ini di mana belum menunjukkan tanda penyelesaian dicapai.
Sehingga kini, ia sudah mengorbankan 36 nyawa.
Kerajaan melanjutkan tempoh untuk mengambil alih kawasan yang dikuasai kumpulan penunjuk perasaan di tengah-tengah bandaraya bagi memberi laluan kepada rundingan itu, sekalipun tempoh akhir iaitu jam 3 petang semalam untuk kumpulan tersebut berundur berakhir.
Pemimpin kumpulan Baju Merah, Dr Weng Tojirakarn, mengesahkan hari ini seorang pemimpin mereka, Veera Musikapong sedang berusaha berunding secara rahsia bagi mencapai penyelesaian damai.

Beliau yakin, Veera akan berjaya menghentikan pertumpahan darah.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, penunjuk perasaan masih bertahan di kawasan itu sementara pihak keselamatan pula tidak bertindak untuk masuk dan mengambil alih kawasan terbabit.

Veera adalah pemimpin yang dihormati termasuk oleh pihak kerajaan kerana beliau terkenal dengan pendekatan secara aman, tidak seperti pemimpin Baju Merah yang lain.
Malah, beliau tidak membabitkan diri apabila pemimpin Baju Merah yang lain enggan berundur daripada kawasan yang diduduki melewati tarikh akhir 12 Mei lalu sekali gus membawa kepada situasi sekarang.

Pada peringkat awal, kedua-dua pihak enggan mengalah kepada tuntutan masing-masing.

Kerajaan mahu penunjuk perasaan menamatkan perhimpunan mereka dan menyerah diri bagi mencapai penyelesaian secara aman, sementara pihak antikerajaan pula mendesak supaya kerajaan terlebih dulu menarik balik pasukan keselamatan sebelum mengadakan rundingan.

Tumpuan utama kerajaan adalah untuk mengurangkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa sekiranya pasukan keselamatan terpaksa memasuki kawasan itu sebagai langkah akhir dalam usaha menyuraikan kira-kira 5,000 penunjuk perasaan di kawasan itu.

Ianya juga adalah hasrat majoriti rakyat Thailand dan masyarakat antarabangsa, malah sebahagian besar kumpulan Baju Merah sendiri.

Rundingan dijangka diselesaikan hari ini memandangkan cuti umum khas dua hari untuk Bangkok berakhir hari ini.

Ketika rundingan berlangsung, seorang lagi maut menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang terkorban 36 orang setakat ini, sementara jumlah yang cedera pula meningkat kepada 256 orang selepas 23 lagi cedera hari ini.

Pertempuran sengit berlangsung di Din Daeng dan Bon Kai sepanjang malam tadi.

Kerajaan menyediakan makanan dan tempat perlindungan sementara bagi kira-kira 2,000 keluarga yang terperangkap dalam pertempuran di Bon Kai itu.

Bantahan aman oleh kumpulan antikerajaan mendesak pembubaran Parlimen sejak 12 Mac lalu kini menjadi peperangan berdarah dengan letupan bom dan pertempuran senjata api termasuk penggunaan pelancar roket dan penembak hendap.

Kawasan seluas empat kilometer persegi yang diduduki kumpulan penunjuk perasaan itu adalah lokasi hotel bertaraf lima bintang, pusat membeli-belah yang mewah serta bangunan pejabat-pejabat utama. - Bernama

Sumbangan Islam kepada dunia mendahului barat: Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, sumbangan dan tamadun Islam kepada dunia dalam beberapa aspek sebenarnya mendahului perkembangan yang dilakukan di negara Barat.

Perdana Menteri berkata, ia terbukti, antaranya daripada segi sikap toleransi dan keadilan sosial seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat termasuk di gereja-gereja mereka pada masa kini.
"Kedudukan wanita (dalam Islam) juga dalam beberapa aspek mendahului barat.
"Allah menjadikan manusia dalam kelompok kabilah dan negara supaya kita mengenali antara satu sama lain. Perbezaan hanya ketakwaan kepada Allah," katanya selepas menghadiri Syarahan Perdana Putrajaya bertajuk "A Muslim Century - Myth or Reality" (Abad Muslim - Mitos atau Realiti).

Syarahan itu, adalah cetusan idea Perdana Menteri, disampaikan oleh tokoh intelektual Islam terkemuka, Prof Dr Ali Al’Amin Mazrui, yang ketika ini adalah Profesor Kemanusiaan Albert Schweitzer dan juga Pengarah Institut Pengajian Kebudayaan Global dari State University of New York, Amerika Syarikat. - Bernama

Konsultasi tahunan Malaysia-Indonesia memberangsangkan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata konsultasi tahunan ketujuh pemimpin tertinggi Malaysia dan Indonesia yang berlangsung di sini, hari ini menghasilkan beberapa keputusan yang memberangsangkan, sekali gus membuktikan hubungan erat antara kedua-dua negara yang kian berkembang.
Perdana Menteri berkata, pada perbincangan empat mata antara beliau dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, beberapa isu disentuh dan persetujuan dicapai termasuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) berkaitan bidang tenaga kerja.
"Hanya satu MOU ditandatangani berkaitan bidang tenaga kerja...antara lain mengkehendaki majikan Malaysia memberi kelapangan (pelepasan/cuti) sehari dalam seminggu kepada pekerja Indonesia.
“Jika terdapat persetujuan antara majikan Malaysia dan pekerja itu yang tidak ingin mengambil kelepasan itu, dia akan dibayar setimpalnya mengikut kadar upahnya," katanya pada sidang media selepas perbincangan kira-kira satu setengah jam di pejabatnya di sini.

MOU itu juga menetapkan pasport pekerja Indonesia hendaklah dipegang oleh pekerja kecuali dengan persetujuan kedua-dua pihak, ia boleh disimpan majikan.

Bagaimanapun, Najib berkata, soal gaji minimum akan terus dibincangkan oleh kedua-dua negara. - Bernama

Strategi berkesan beri galakkan usahawan muda kekal di Malaysia: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Satu strategi yang betul perlu dirangka bagi menggalakkan usahawan muda dan bijak untuk terus kekal berada di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, ia bukan hanya dilihat sebagai tanda kesetiaan mereka kepada negara tetapi bagi memastikan mereka turut menyumbang kepada pembinaan negara bangsa menerusi pembabitan mereka dalam perniagaan.
Muhyiddin berkata, ia juga disebabkan fenomena penghijrahan terutamanya generasi muda, dari negara Islam ke negara maju, kini menjadi satu perkara yang membimbangkan.
"Beberapa kajian menunjukkan bahawa dalam tempoh 50 tahun lalu, terdapat satu jumlah besar golongan intelektual berhijrah dari dunia Islam ke negara perindustrian," katanya ketika berucap pada majlis pra-pembukaan pra-forum dan pameran Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-enam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, fenomena ini bukan hanya menjejaskan pengagihan sumber manusia tetapi juga daripada segi prospek ekonomi dan pembangunan di negara Islam berkenaan dalam jangka masa panjang. - Bernama

Pas rancang perluas pengaruh di Sabah, Sarawak

KUALA TERENGGANU: Pas merancang untuk meluaskan pengaruhnya di Sabah dan Sarawak berikutan reaksi baik yang diterima parti itu sepanjang pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali.
Beliau berkata, Pas yakin masyarakat Sabah dan Sarawak semakin mengenali parti itu selepas melihat kempen yang dijalankannya semasa pilihan raya kecil Sibu yang berakhir pada Ahad lalu.
"Sehubungan itu, kita akan buka lebih banyak cawangan di sana (Sabah dan Sarawak)," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, kemenangan DAP pada pilihan raya kecil itu juga memberi keyakinan kepada Pas untuk mengukuhkan tapaknya di kedua-dua negeri tersebut.

Mengulas kedudukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikatakan menjadi liabiliti dalam pakatan pembangkang berikutan ramai pemimpinnya keluar parti, Mustafa berkata, masalah itu adalah perkara biasa bagi satu parti baru.

"PKR bukan satu liabiliti. Biasalah, ianya parti yang masih belum stabil kerana parti baru. Macam Pas juga, mungkin bila dah lama nanti dan bila wakil rakyat yang jadi duri dalam daging semuanya dah keluar, ianya akan diterima," katanya.

Beliau juga menafikan Pas kini khususnya di Kelantan dan Kedah dilanda krisis dan berkata, semua yang berlaku adalah mainan media semata-mata.
Sejak kebelakangan ini desas-desus mengatakan kerajaan Kedah yang diteraju Pas semakin goyah kerana beberapa wakil rakyat PKR didakwa akan bertindak keluar parti, sementara kerajaan Pas di Kelantan pula dilanda kemelut yang menyelubungi Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. - Bernama

Strategi berkesan beri galakkan usahawan muda kekal di Malaysia: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Satu strategi yang betul perlu dirangka bagi menggalakkan usahawan muda dan bijak untuk terus kekal berada di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, ia bukan hanya dilihat sebagai tanda kesetiaan mereka kepada negara tetapi bagi memastikan mereka turut menyumbang kepada pembinaan negara bangsa menerusi pembabitan mereka dalam perniagaan.
Muhyiddin berkata, ia juga disebabkan fenomena penghijrahan terutamanya generasi muda, dari negara Islam ke negara maju, kini menjadi satu perkara yang membimbangkan.
"Beberapa kajian menunjukkan bahawa dalam tempoh 50 tahun lalu, terdapat satu jumlah besar golongan intelektual berhijrah dari dunia Islam ke negara perindustrian," katanya ketika berucap pada majlis pra-pembukaan pra-forum dan pameran Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-enam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, fenomena ini bukan hanya menjejaskan pengagihan sumber manusia tetapi juga daripada segi prospek ekonomi dan pembangunan di negara Islam berkenaan dalam jangka masa panjang. - Bernama

Mahkamah tetapkan esok hukuman terhadap Bung Mokhtar, Zizie

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini menetapkan esok untuk menjatuhkan hukuman terhadap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar dan isterinya pelakon Zizie Izette atas dua tuduhan berpoligami dan berkahwin tanpa kebenaran pada 16 Disember 2009 lalu.
Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Ahmad juga menetapkan esok untuk menjatuhkan hukuman terhadap lima individu lain yang menjadi saksi dalam perkahwinan berkenaan.
Mereka ialah abang dan adik Zizie serta dua rakan Bung Mokhtar.
Hakim menetapkan demikian selepas selesai mendengar rayuan daripada semua tertuduh dan hujahan dari Pendakwa Syarie

Amah Indonesia wajib diberi cuti sehari seminggu: PM


PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia sebentar tadi menandatangani Memorandun Persefahaman (MoU) berkaitan tenaga kerja yang antara lain mewajibkan majikan memberi cuti rehat sehari seminggu kepada pembantu rumah negara berkenaan. 


Ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini, sebentar tadi.