Followers

Tuesday, November 16, 2010

Mayat reput ditemui terapung di perairan Pulau Kapas

MARANG: Mayat lelaki yang telah reput dan tidak berpakaian ditemui terapung di perairan Pulau Kapas di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Marang, DSP Ahmad Mazlan Yahya, berkata mayat itu ditemui penduduk pada 5.10 petang.
Beliau berkata, berdasarkan keadaan mayat, lelaki yang dipercayai rakyat asing itu dianggar sudah seminggu meninggal dunia.
"Ketika ditemui, kaki kanan antara buku lali ke bawah sudah hampir putus," katanya.

Ahmad berkata, mayat itu dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat. - BERNAMA

Kontraktor edar heroin dihukum gantung sampai mati

KOTA BHARU: Seorang kontraktor Kelas F hari ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana kesalahan mengedar dadah jenis heroin, September tahun lalu.
Fauzi Shafiei, 49, juga dihukum penjara selama dua tahun dari tarikh dia ditahan atas tuduhan kedua iaitu memiliki dadah jenis methamphetamine.
Hakim Tuan Azman Abdullah, ketika membacakan penghakimannya, berkata pihak pendakwaan sudah berjaya membuktikan kesalahan yang dilakukan tertuduh dalam semua pertuduhan itu.
"Bagi pertuduhan kedua, kamu dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dari tarikh kamu ditahan manakala bagi pertuduhan pertama hanya satu hukuman saja yang boleh dijatuhkan terhadap kamu iaitu hukuman gantung sampai mati," katanya.

Bagi pertuduhan pertama Fauzi yang berasal dari Langkap, Permaisuri di Terengganu itu pada 8 September, jam 7.10 pagi di tepi jalan Kampung Pangkal Pisang, Peringat di sini didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 124.08 gram.

Atas pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang juga boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama iaitu sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Untuk pertuduhan kedua, Fauzi didakwa pada tempat dan masa yang sama telah memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.44 gram dan dituduh mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama.
Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili Ahmad Nizam Mohamad memohon agar mahkamah dapat menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sehingga tertuduh membuat rayuan dan juga memohon agar hukuman diringankan atas faktor mempunyai tanggungan dan sudah insaf.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Hussin. - BERNAMA

Agensi, pasukan penyelamat siap sedia hadapi gelombang kedua banjir: Muhyiddin

PAGOH: Semua pihak termasuk agensi kerajaan dan pasukan penyelamat sudah bersedia menghadapi gelombang kedua banjir besar yang dijangka berlaku tidak lama lagi.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demikian di sini, sebentar tadi.

Gempa sederhana 5.9 skala Richter melanda Indonesia

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 skala Richter melanda Papua, Indonesia pada jam 9.39 pagi tadi.
Jabatan Meteorologikal Malaysia dalam satu kenyataan berkata, gempa itu mencatatkan pusat gempa pada 1,215km timur laut Ambon, Indonesia dan 2,421km tenggara Kunak, Sabah.
Bagaimanapun, katanya, gempa itu tidak menimbulkan ancaman tsunami. - BERNAMA

Obama ucap Selamat Aidiladha kepada dunia Islam

WASHINGTON: Presiden Barack Obama dan isteri, Michelle hari ini menghantar ucapan Aidiladha kepada 1.57 bilion umat Islam yang akan menyambut hari kebesaran itu hari ini dan esok.
“Michelle dan saya ingin mengucapkan Selamat Aidiladha kepada umat Islam di seluruh dunia, semoga mereka dalam keadaan selamat khususnya kepada jemaah yang sedang menunaikan Haji," kata Obama dalam satu kenyataan.
Minggu lalu, Obama dalam lawatannya ke Indonesia berkata, pentadbirannya kini dalam landasan tepat untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan dunia Islam tetapi masih banyak yang perlu dilakukan.
Dalam mesejnya hari ini, beliau berkata, kedatangan hari kebesaran Islam itu boleh diambil sebagai sebagai satu landasan dalam memperkukuh dan berkongsi nilai membabitkan tiga agama terbesar di dunia.

"Saya mewakili rakyat Amerika ingin mengucapkan salam sejahtera sepanjang musim haji ini," katanya. - AFP