Followers

Thursday, July 8, 2010

Malaysia berada di landasan tepat capai pertumbuhan 6 peratus

PETALING JAYA: Malaysia dalam kedudukan untuk mencapai sasaran pertumbuhan enam peratus tahun ini seiring dengan keadaan ekonomi yang bertambah baik di Asia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

"Pertumbuhan di China, India, Vietnam dan Indonesia adalah baik dan semakin baik dan kita dalam kedudukan untuk mencapai sasaran pertumbuhan enam peratus," katanya selepas merasmikan Seminar Mengenai Peluang Pada 2010 dan Melangkauinya Bagi Pelabur dan Syarikat Asia MPH Power-Packed oleh Jim Rogers di sini, hari ini.
Mengulas Bajet 2011, Nor Mohamed berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan membentangkannya di Parlimen pada 15 Oktober ini.
Pada masa ini, input sedang dikumpulkan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan.

Selasa lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata Bajet 2011 akan menetapkan rentak transformasi Malaysia ke arah ekonomi maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata, ia akan dicapai melalui empat tonggak agenda transformasi negara, iaitu Konsep 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10). - Bernama

Pendidikan Islam, Moral tidak perlu jadi subjek teras UPSR

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran berpendapat subjek Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral tidak perlu dijadikan mata pelajaran teras dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi meningkatkan sahsiah dan jati diri murid.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ini kerana langkah sedemikian tidak menjamin penghayatan pada kalangan murid untuk menjadi amalan mereka.
"Peningkatan jati diri dan sahsiah murid adalah lebih berkesan melalui proses pendidikan dan penghayatan nilai, bukan dengan cara memasukkan mata pelajaran berkenaan dalam peperiksaan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Hamim Samuri (BN-Ledang) yang berbentuk cadangan meminta kementerian memasukkan kedua-dua subjek itu di dalam UPSR bagi meningkatkan lagi jati diri dan sahsiah murid selaku pewaris generasi.

Mohd Puad berkata, meskipun tidak dijadikan subjek UPSR, murid Islam tetap diwajibkan mengikuti Pendidikan Islam, sementara bukan Islam mempelajari Pendidikan Moral.

"Mata pelajaran tersebut ditaksir melalui Penilaian Berasaskan Sekolah dalam bentuk formatif semasa dan sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran," katanya.

Subjek Pendidikan Islam ditaksir sebagai Penilaian Asas Fardhu Ain (PAFA) dan dicatatkan pada slip keputusan UPSR, manakala pentaksiran Pendidikan Moral dibuat oleh guru dan keputusan direkodkan dalam buku rekod kemajuan murid. - BERNAMA

Gempa bumi gegar California

LOS ANGELES: Gempa bumi berukuran 5.4 pada skala Richter menggegarkan padang pasir selatan California di timur Los Angeles, menimbulkan kebimbangan di wilayah itu tetapi tidak menyebabkan kerosakan atau kecederaan serius.
Jabatan Geologikal Amerika Syarikat menyatakan gempa bumi sederhana itu berlaku pada 4.53 petang waktu Pasifik dan berpusat pada 24 kilometer dari barat laut komuniti padang pasir Borrego Springs, 214 kilometer ke timur Los Angeles.
Bangunan tinggi bergoyang di pusat bandar Los Angeles dan gegaran dirasai sehingga San Diego di selatan dan Santa Barbara di utara.
Ia diikuti beberapa gempa susulan.

Tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan. - Reuters

Piala Dunia: Sepanyol atasi Jerman untuk ke final

pix_gal0
DURBAN: Sepanyol menewaskan Jerman 1-0 dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2010 di Stadium Moses Mabidha pagi tadi.

Gol kemenangan Sepanyol dijaringkan Carles Puyol pada minit ke-73.
Sepanyol akan bertemu Belanda pada perlawanan akhir.