Followers

Wednesday, March 31, 2010

Labuan lapor 7 kes Chikungunya tahun ini

LABUAN: Sebanyak tujuh kes penyakit Chikungunya dilaporkan di Kampung Durian Tunjong dan Batu Manikar di sini dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Zaini Hussin, berkata mangsa yang menghidap penyakit itu adalah warga tempatan yang berusia antara 20 hingga 40-an dari dua kawasan terbabit.



Bagaimanapun, beliau memberitahu Bernama di sini hari ini bahawa keadaan keseluruhannya adalah terkawal dan tiada tanda berlaku peningkatan kes bawaan nyamuk Aedes itu.


Katanya, pelbagai langkah telah diambil bagi mengelak penyakit itu terus menular termasuk melakukan penyemburan kabus, kempen kesihatan dan pemeriksaan di premis perniagaan serta kawasan sekitar kampung di daerah itu.

Dr Zaini berkata, antara simptom penyakit Chikungunya termasuklah demam panas mengejut, sakit teruk pada sendi, ruam pada badan dan sakit kepala.

Beliau meminta mereka yang mepunyai simptom penyakit itu segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan.

Dr Zaini juga menasihatkan orang ramai agar meluangkan masa setiap minggu untuk membersihkan kawasan di dalam dan persekitaran rumah dan amalan ini diyakini dapat membantu memutuskan kitaran hidup nyamuk Aedes. - Bernama

Bom lama ditemui di Sandakan

 SANDAKAN: Sebiji bom lama yang dipercayai peninggalan zaman Perang Dunia Kedua ditemui di kawasan sebuah akademi belajar memandu di Jalan Kem Tentera dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Supt Fadzil Mohd Ali, berkata bom sepanjang kira-kira satu meter itu ditemui oleh seorang pemandu jentolak ketika sedang melakukan kerja mengorek parit.

"Bom itu akan dimusnahkan dalam masa terdekat," katanya. - Bernama

Wujud kelemahan dalam tangani mangsa pemerdagangan orang: Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, hari ini mengakui masih wujud kelemahan daripada segi dasar kerajaan dalam menangani isu mangsa kegiatan pemerdagangan orang.

Justeru, katanya, Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan yang dilancarkan hari ini diharap dapat membantu membaiki kelemahan itu.



"Pemerdagangan orang membabitkan dua komponen iaitu penjenayah dan mangsa. Untuk penjenayah Malaysia mempunyai undang-undang yang mencukupi bagi menghukum mereka, namun untuk mangsa kita setakat ini hanya menumpukan kepada perlindungan, iaitu penyelesaian selepas ianya berlaku.


"Justeru, pelan yang kita lancarkan hari ini adalah untuk menangani kekurangan itu khususnya dalam menyediakan langkah-langkah pencegahan bagi melindungi mangsa, serta mendidik masyarakat kita akan seriusnya jenayah ini dan kesan negatif kegiatan itu ke atas mereka," katanya kepada pemberita di sini.

Hishammuddin sebelum itu melancarkan pelan itu yang menetapkan hala tuju dan fokus dalam usaha mencegah dan membanteras gejala pemerdagangan orang, yang dirangka bagi tempoh lima tahun dari 2010 hingga 2015.

Pelan itu antara usaha dan komitmen kerajaan dalam membanteras jenayah berkenaan mengandungi lima garis panduan yang antaranya menekankan kepada tindakan kerajaan menangani masalah itu, penyertaan masyarakat, layanan berasaskan hak asasi kepada mangsa, dan koordinasi antara agensi kerajaan berkaitan serta dengan badan-badan antarabangsa.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Mengulas isu sindiket yang menjadikan Malaysia sebagai transit bagi aktiviti pemerdagangan orang, Hishammuddin berkata aktiviti itu tidak seteruk seperti yang digambarkan sesetengah pihak.

"Imej negara banyak bergantung kepada persepsi luar, sebenarnya tindakan yang kita sudah lakukan sebelum ini jauh melebihi daripada tindakan negara-negara lain yang mungkin tidak mendapat persepsi yang sama.

"Kita tidak pandai masuk bakul angkat sendiri atau tidak pandai pukul gendang. Saya akui ada kelemahan tetapi tidaklah seteruk seperti yang digambarkan masyarakat antarabangsa," katanya.

Menjawab satu soalan, Hishammuddin berkata kerajaan tidak bercadang untuk menghapuskan kemudahan visa semasa ketibaan (VOA) meskipun terdapat kes penyalahgunaan di kalangan pelancong dari negara yang layak.

"Banyak negara yang kita telah tarik balik kemudahan VOA kerana menyalahgunakan kemudahan yang diberi namun kita tidak bercadang untuk hapuskannya terus kerana ada beberapa negara tidak mendatangkan masalah kepada kita. Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu pula dibakar," katanya.

Sementara itu, Shahrizat berkata beliau berharap kerajaan dapat mewujudkan lebih banyak pusat perlindungan wanita dan kanak-kanak mengikut zon memandangkan 80 peratus mangsa pemerdagangan manusia adalah wanita dan kanak-kanak.

"Sekarang ini kita ada tiga tempat perlindungan, satu untuk wanita dan dua untuk kanak-kanak. Sehingga kini lebih daripada 400 wanita dan 44 kanak-kanak diselamatkan dan diletakkan di sini dan daripada jumlah itu seramai 159 wanita dikenalpasti sebagai mangsa.

"Banyak mangsa dibawa ke sini untuk tujuan pelacuran, buruh paksa dan lain-lain tujuan tidak elok. Jika dibiarkan angkanya akan meningkat dan membawa masalah sosial," katanya. - Bernama

Malaysia bukan "tempat lambakan" pelajar asing bermasalah

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu Malaysia bukan tempat lambakan atau "dumping ground" bagi pelajar antarabangsa yang tidak berkelayakan atau bermasalah.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr Hou Kok Chung, berkata kerajaan tidak berkompromi dalam soal kualiti pelajar asing yang diterima belajar di institusi pengajian tinggi dalam negara.



Beliau berkata oleh itu kerajaan menggalakkan institusi pengajian tinggi swasta untuk mengambil pelajar-pelajar antarabangsa di bawah tajaan kerajaan atau sesebuah organisasi.


"Ini kerana pelajar-pelajar ini dijamin dari segi komitmen dan kualiti," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Abd Muttalib (BN-Maran) di Parlimen di sini.

Ismail dalam soalannya meminta supaya Menteri Pengajian Tinggi menyatakan jumlah pelajar asing di semua peringkat pengajian yang sedang menuntut dalam negara termasuk di sekolah antarabangsa.

Beliau juga mahu tahu jumlah kes pelanggaran undang-undang negara yang membabitkan pelajar asing sepanjang tempoh lima tahun lalu.

Hou berkata, sehingga 31 Disember lalu, Malaysia menerima hampir 80,700 pelajar asing dari lebih 150 buah negara dan daripada jumlah itu 22,400 menuntut di instituti pengajian tinggi awam manakala bakinya, 58,300 di institusi pengajian tinggi swasta.

"Ini bermakna, Kementerian Pengajian Tinggi berjaya mendahului sasaran 80,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2010. Data yang diperolehi daripada Kementerian Pelajaran Malaysia menunjukkan bahawa bilangan pengambilan pelajar antarabangsa di 51 sekolah antarabangsa di seluruh negara ialah hampir 16,600 orang," katanya.

Beliau berkata secara umum jumlah kes jenayah yang membabitkan pelajar antarabangsa adalah kecil.

Katanya berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia 2009, jumlah kes jenayah kekerasan melibatkan pelajar antarabangsa ialah 17 kes, iaitu enam kes ugutan jenayah, empat kes merusuh, tiga kes curi, dua kes cabul, satu kes rogol dan satu kes mendatangkan cedera.

Kepada soalan lain Hou berkata, pihaknya mengambil beberapa langkah untuk menangani masalah berhubung pelajar asing seperti memperkemas kriteria-kriteria pengambilan melalui garis panduan permohonan persekutuan pelajar antarabangsa ke IPTS dalam negara.

"Selain itu sehingga 30 November lepas pihak Kementerian Dalam Negeri menarik balik lesen pengambilan pelajar antarabangsa yang dimiliki oleh 29 IPTS ekoran pelbagai kesalahan seperti mengambil pelajar antarabangsa untuk kursus yang belum memperolehi akreditasi profesional, tidak lagi beroperasi di premis yang didaftarkan dan tiada unit hal ehwal pelajar antarabangsa," katanya.

Beliau berkata IPTS juga perlu memaklumkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia dan kementerian mengenai pelajar yang tidak hadir ke kuliah bagi tiga hari berturut-turut atau kehadiran kurang daripada 80 peratus, CGPA kurang daripada 2 atau gagal peperiksaan serta tamat pengajian dan pulang ke negara asal.

Katanya kementerian juga dalam proses untuk mengguna pakai sistem "non objection certificate" atau NOC terhadap pelajar antarabangsa iaitu sijil sokongan daripada kedutaan negara asal mengenai kerakyatan mereka.

"Kementerian juga akan meletakkan syarat baru iaitu pelajar persendirian akan diwajibkan membayar deposit sebagai jaminan bahawa pelajar berkenaan mampu untuk belajar di Malaysia," katanya.

Menjawab soalan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang), Hou berkata semua pelajar antarabangsa perlu menyesuaikan diri dengan budaya di Malaysia.

Katanya kementerian juga memastikan semua IPTS mengambil mereka dalam nisbah 20:80 bagi menjamin suasana yang betul-betul "Malaysian" untuk memudahkan pelajar asing berkenaan menyesuaikan diri dengan pantas. - Bernama

Gempa bumi kuat di Kepulauan Andaman, India

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter melanda Kawasan Kepulauan Andaman, India jam 12.55 tengah malam tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan di sini berkata, gempa bumi itu berpusat di latitud 13.51 utara dan longtitud 92.85 timur, kira-kira 751 kilometer (km) barat laut Ranong, Thailand, dan 1,110km barat laut Langkawi.

Tiada amaran tsunami dikeluarkan jabatan itu. - Bernama

Kemiskinan tegar berkurangan kepada 3.6 peratus pada 2007

KUALA LUMPUR: Malaysia melakukan kemajuan memberangsangkan dalam usaha pembasmian kemiskinan secara keseluruhannya namun ketidakseimbangan kekal menjadi cabaran sebenar.

Laporan Pertama Model Ekonomi Baru (MEB) bagi Malaysia, yang ditunggu-tunggu rakyat, diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menunjukkan kemiskinan tegar telah dikurangkan daripada kira-kira 50 peratus pada 1970 kepada hampir 20 peratus pada 1987.



Ia terus berkurangan kepada 3.6 peratus pada 2007 di sebalik pertumbuhan kukuh ekonomi dan Dasar Ekonomi Baru (DEB), menurut Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) dalam Laporan Pertama MEB yang dikeluarkan di sini hari ini.


Walaupun kemiskinan tegar telah berkurangan, data baru-baru ini menunjukkan jurang semakin melebar di antara yang kaya dan miskin, dengan 40 peratus isi rumah terus mempunyai tahap pendapatan rendah, terutamanya mereka yang berada di kawasan luar bandar.

Kajian pendapatan isi rumah pula menunjukkan bahawa pertumbuhan pendapatan hanya kukuh bagi 20 peratus penjana pendapatan utama Malaysia.

Sejumlah 40 peratus isi rumah terkebawah mengalami pertumbuhan pendapatam purata yang lembap, dengan memperoleh RM1,500 sebulan pada 2008, menurut laporan itu.

Laporan itu menyebut pengagihan kekayaan yang kurang memuaskan menghalang sebahagian besar rakyat Malaysia daripada berkongsi menikmati kejayaan dalam jangka panjang dan ini merencatkan pergerakan sosial.

Menurut laporan itu, lonjakan pendapatan Malaysia terus menunjukkan arah peningkatan secara beransur-ansur, bagaimana masih kekal berada jauh di bawah garis "pendapatan tinggi".

Sejak menjadi sebuah negara berpendapatan sederhana pada 1992, Malaysia sebahagian besarnya hari ini kekal di tempat sama.

Laporan itu menyebut, tanpa keistimewaan baru dan pelan pembaharuan strategik, banyak negara tidak berupaya memboloskan diri keluar daripada kategori pendapatan sederhana - satu fenomena yang diistilahkan "perangkap pendapatan sederhana". - Bernama

Tuesday, March 30, 2010

Liow yakin Chua mampu kembalikan perpaduan dalam MCA

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini melahirkan keyakinannya bahawa Presiden parti, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mampu mengembalikan perpaduan di kalangan anggota parti.

"Misi kita sekarang ialah perlu kukuhkan parti, kembalikan kestabilan serta perpaduan parti. Saya yakin Chua Soi Lek sebagai presiden boleh menyatupadukan parti kita dengan cepat dan saya akan membantu beliau," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Liow berkata kepimpinan tertinggi parti yang baru dipilih perlu bekerjasama dan bekerja dengan ikhlas bagi mengembalikan kepercayaan anggota perwakilan serta akar umbi terhadap MCA.

"Perwakilan nak lihat kita semua bekerjasama, mereka semua tahu bahawa parti perlukan perpaduan, kemantapan dan kekukuhan, oleh itu saya rasa pemimpin perlu mendengar hasrat perwakilan dan ahli-ahli parti ini," katanya.

Pemilihan MCA Ahad lepas menyaksikan Liow yang juga Menteri Kesihatan menewaskan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Kong Cho Ha dengan majoriti 65 undi.

Keputusan pemilihan parti itu juga menyaksikan Dr Chua menewaskan penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas Presiden Tan Sri Ong Ka Ting. - Bernama

Malaysia miliki infrastruktur baik untuk rangsang pelaburan

KUALA LUMPUR 30 Mac - Malaysia mungkin berhadapan cabaran besar ketika ekonomi dunia melalui perubahan, namun lokasi strategik negara serta infrastrukturnya yang maju, akan menarik pelaburan untuk memajukan hab-hab logistik dan pengangkutan.

"Kita bukan miskin, malah mempunyai infrastruktur yang baik,” kata Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) dalam bahagian pertama laporan Model Ekonomi Baru (MEB) Malaysia yang dikeluarkan hari ini.
"Infrastruktur kita kini yang dilengkapi taman-taman perindustrian moden dan koridor pembangunan, bertujuan merangsang perniagaan inovatif dan bernilai tambah yang tinggi,” katanya.

NEAC juga berkata pelaburan besar itu menyumbang kepada pembangunan infrastruktur berkelas dunia di Malaysia dan ini menyumbang kepada kedudukan Malaysia sebagai pemimpin dalam sektor pengilangan barangan elektrik dan elektronik (E&E), eksport sumber asli utama dan penerbangan penumpang.
Kekuatan negara dalam infrastruktur dibuktikan menerusi rangkaian luas jalan yang menyediakan hubungan udara dan laut untuk mengangkut penumpang dan barangan.

Selain itu, NEAC berkata penggunaan bekalan elektrik di Malaysia juga tinggi dengan kemudahan air dan sanitasi sudah dinikmati oleh peratusan tinggi isi rumah, selain kemudahan berkomunikasi seperti Internet.
NEAC berkata negara juga sudah mewujudkan asas pengilangan berkelas dunia.

Pertumbuhan pesat dalam pengilangan, sebahagian besarnya bertumpu terhadap sektor E&E yang bermula pada 1980-an dan menyumbang lebih daripada 30 peratus keluaran pada 2000, berbanding kurang daripada 15 peratus pada 1970.

NEAC berkata Malaysia sudah menjadi negara pengeksport utama barangan pengguna dan produk elektronik perushaan dan sedang berusaha melonjak ke peringkat seterusnya supaya lebih inovatif dan bernilai tambah yang lebih tinggi serta industri teknologi khusus.

Industri seperti itu katanya mungkin menjadi sebahagian dariapda rangkaian bekalan untuk beroperasi dalam keperluan global untuk apliaksi berskala besar. - Bernama

MIDA jadi agensi promosi pelaburan antarabangsa

KUALA LUMPUR 30 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan perubahan nama Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

Perubahan nama tersebut serentak dengan pengkorporatannya sebagai agensi promosi pelaburan antarabangsa.

Ketika mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) pada perasmian Invest Malaysia di sini, Najib turut mengumumkan bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini dibenarkan untuk meningkatkan pelaburan ekuiti di luar negara.

Pada masa sama, KWSP bersama kerajaan akan membangunkan tanah seluas 3,000 ekar di Sungai Buloh untuk dijadikan pusat baru di Lembah Klang. - Utusan

Medvedev janji `cari dan hapuskan’ pengebom

MOSCOW 30 Mac – Presiden Rusia, Dmitry Medvedev hari ini berjanji untuk `mencari dan menghapuskan’ mereka yang bertanggungjawab dalam dua serangan berani mati di stesen kereta api Moscow yang mengorbankan 38 orang, semalam.

“Mereka adalah binatang. Kami akan mencari dan menghapuskan mereka,” kata Medvedev selepas melawat stesen kereta api Lubyanka.

“Rakyat kami telah terbunuh, ini adalah satu jenayah terkutuk,” tambah beliau selepas meletakkan sejambak bunga merah di platform kereta api tersebut.

Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dilaporkan telah menelefon Medvedev untuk menyuarakan rasa simpati berhubung insiden tersebut. – Reuters

MEB jadikan Malaysia ekonomi berpendapatan tinggi

KUALA LUMPUR 30 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) yang sememangnya dinanti-nantikan akan mengubah ekonomi menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan dan inklusif serta menempatkan negara pada landasan betul untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata MEB akan menjadikan Malaysia lebih kompetitif pada peringkat serantau dan global yang menghasilkan manfaat bagi semua rakyat Malaysia di mana pendapatan per kapita masing-masing boleh meningkat kepada AS$15,000 menjelang akhir dekad, daripada AS$7,000 sekarang ini.

Di bawah MEB itu, katanya kerajaan tidak lagi boleh menerima amalan perbuatan merentir dan “patronage”, yang telah lama mencemar matlamat membantu golongan sasaran di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).
MEB bakal menjadi inklusif di mana semua rakyat Malaysia menyumbang dan mendapat manfaat dari pertumbuhan ekonomi yang mesti merupakan elemen fundamental sebarang pendekatan ekonomi baharu,” katanya semasa berucap pada persidangan “Invest Malaysia 2010” di sini. - Bernama

Intipati Model Ekonomi Baru (MEB)

KUALA LUMPUR 30 Mac - Berikut antara intipati Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini:
* Kumpulan Wang Simpanan Pekerja akan dibenar melabur lebih bahyak lagi di dalam aset di seberang laut.
* Lembaga Kemajuan Industri Malaysia (MIDA) akan dikorporatkan dan akan dinamakan semula sebagai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk membolehkannya lebih efektif sebagai satu agensi promosi pelaburan.
* Kerajaan dan KWSP akan membentuk usahasama bagi menggalakkan pembangunan tanah seluas 1,200 hektar (3,000 ekar) di Sungai Buloh untuk menjadi satu hab baharu bagi Lembah Klang.
* Beberapa bidang tanah di Jalan Stonor, Jln Ampang, Jln Lidcol di Kuala Lumpur akan ditender dan dimajukan oleh sektor swasta, yang jika gagal akan merupakan satu pembaziran kerana kerajaan membelanjakan kos penyelenggaraannya.
* Pembangunan tanah di Sungai Buloh dan pembangunan beberapa bidang tanah di bandar raya ini dijangka menjana pelaburan baharu bernilai lebih RM5 bilion
* Syarikat di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan seperti Percetakan Nasional Malaysia, CTRM Aero Composites Sdn. Bhd., Nine Bio Sdn. Bhd. dan Innobio kemungkinan diswastakan.
* Petronas telah mengenal pasti dua subsidiari yang agak besar dengan rekod prestasi yang baik untuk disenaraikan pada tahun ini di Bursa Malaysia, yang akan mengurangkan kehadiran kerajaan di dalam perniagaan dan meningkatkan peranan sektor swasta.
* Khazanah Nasional Bhd. akan melupuskan kawalan kepentingan 32 peratusnya di dalam Pos Malaysia Bhd melalui proses pelupusan strategik dua peringkat.

Tiga pelajar kita cedera serangan bom di Russia

<strong>PELAJAR Malaysia, Er Chi Kent  yang cedera dalam 
kejadian serangan bunuh diri di Russia.</strong> <strong>Amy Fareena</strong>
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TigapelajarkitacederaseranganbomdiRussia/pix_gal1
 
MANGSA serangan bom di dua stesen kereta api bawah tanah Metro di Lubvanka dan Park Kultury dekat Moscow, Russia pagi semalam diberi rawatan kecemasan.
KUALA LUMPUR: Tiga pelajar Malaysia cedera dalam dua serangan bom bunuh diri yang mengorbankan 38 nyawa di dua stesen kereta api bawah tanah Metro di Lubvanka dan Park Kultury dekat Moscow, Russia pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi waktu tempatan itu, pelajar terbabit dalam perjalanan ke kolej sebelum terperangkap di salah satu lokasi kejadian.

Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay, berkata tiga pelajar perubatan berusia 20-an itu disahkan cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

“Berita kejadian mengejutkan, namun pihak Konsulat Malaysia di sana sedang berusaha memastikan tiada rakyat kita yang terbabit,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Beliau berkata, ibu bapa pelajar diharap bertenang dan menghubungi Wisma Putra di talian 03-88874570 untuk mendapatkan perkembangan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, seorang pelajar Malaysia, Amy Fareena Ahmad Farid, 23, berkata beliau bernasib baik kerana dihalang orang awam daripada memasuki stesen Park Kultury.

Beliau bersama seorang rakan rakyat Malaysia dalam perjalanan ke stesen Baravidskaya untuk ke kolej bagi menghadiri kuliah di Moscow Medical Academy.

“Kami baru saja keluar dari asrama kediaman kira-kira jam 8.30 pagi (waktu tempatan) yang terletak tidak jauh dari stesen berkenaan.

Ketika itu saya menyedari orang ramai bertempiaran lari seperti berlaku sesuatu yang dasyat.
“Kemudian kami dimaklumkan stesen ditutup atas sebab tidak diketahui.

Seorang pengawal memberitahu supaya kami ke stesen Cultural Park yang terletak tidak jauh dari stesen Baravidskaya,” katanya ketika dihubungi di Moscow semalam.

Bagaimanapun, katanya, sejurus tiba, mereka dihalang memasuki stesen berkenaan dan melihat orang ramai berpusu-pusu keluar.

“Hanya selepas itu, saya dimaklumkan stesen itu diserang pengebom berani mati.
Saya mula panik dan takut, tetapi bersyukur tidak menjadi mangsa serangan itu,” katanya. Amy Fareena berkata, beliau dan rakannya kemudian dihubungi pihak konsulat yang bertanya keadaan mereka dan meminta supaya berada di tempat selamat.

Dua elaun khas baru bagi guru sekolah pedalaman

MIRI: Kementerian Pelajaran bercadang menambah dua lagi kategori elaun khas bulanan bagi guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman, kata Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Dr Amir Salleh @ Mohd Salleh.

Katanya kategori baru itu di bawah ''Elaun Pedalaman'' akan membabitkan elaun tambahan masing-masing sebanyak RM750 dan RM1,250.

"Elaun baru ini dijangka dilaksanakan dalam sedikit masa lagi dan ia adalah tambahan kepada kategori yang sedia ada iaitu RM500, RM1,000 dan RM1,500," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian bengkel tiga hari mengenai sekolah-sekolah kecil di sini hari ini.
Timbalan Menteri Pelajar Dr Mohd Puad Zarkashi merasmikan bengkel berjudul ''Strategi Pedagogi Bagi Meningkatkan Prestasi Sekolah-Sekolah Kecil'' yang disertai oleh 36 peserta dari enam negara.

Amir berkata menerusi pengenalan kategori elaun tambahan, ia berharap kadar pertukaran guru di sekolah kawasan pedalaman dapat dikurangkan.

Katanya, insentif tambahan untuk guru itu juga dilihat sebagai salah satu strategi ke arah mencegah prestasi buruk sekolah di kawasan pedalaman.

Amir berkata sebuah modul baru akan diperkenalkan tahun depan sebagai sebahagian daripada kurikulum untuk pelajar sekolah pedalaman bagi meningkatkan kemampuan pembelajaran mereka.
Katanya perkhidmatan sokongan khas termasuk penginapan, tuisyen percuma, program pemakanan tambahan serta bantuan kewangan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) akan diteruskan kepada pelajar sekolah pedalaman. - Bernama

Kementerian Pelajaran terus mantapkan hala tuju kurikulum sekolah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pejalaran sudah mengambil langkah bagi memantapkan lagi hala tuju kurikulum sekolah rendah dan sekolah menengah supaya relevan dengan tuntutan semasa dan selari dengan falsafah Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK).

Kurikulum transformasi yang dibina itu bagi membolehkan pembentukan diri murid untuk menjadi modal insan seimbang yang antaranya berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, berperibadi mulia dan jati diri kukuh, bagi mengisi keperluan negara serta mampu berdepan persekitaran dunia global.

Timbalan Menterinya, Datuk Wee Ka Siong, berkata peningkatan kualiti pembelajaran menjadi agenda utama kementerian untuk membentuk generasi muda negara yang menjadi pengguna dan pencipta maklumat dalam usaha merealisasikan Wawasan 2020.

Beliau berkata, kurikulum transformasi menyediakan ruang dan peluang bagi memenuhi keperluan murid bagi membangunkan modal insan holistik, berfikiran kreatif, kritis dan berinovatif.

"DPK antara teras utama dalam pembangunan sistem pendidikan di Malaysia dan masih relevan tetapi bagi menghadapi cabaran globalisasi dan zaman serba canggih ini, murid juga dilengkapi kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis, mahir berkomunikasi dan mendalami teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
"Jadi, generasi yang dilahirkan ini mampu menguasai bidang sains dan teknologi ditahap tinggi, seterusnya menjana idea baru dalam menghadapi cabaran dunia masa kini dan depan serta mampu bersaing dengan negara lain di peringkat global," katanya menjawab soalan Salahuddin AYub (Pas-Kubang Kerian) di Dewan Rakyat, pagi ini.

Interaksi generasi lama, baru dapat elak kesilapan sama diulangi: Tun M

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata interaksi antara generasi lama dan baru amat penting bagi memastikan kesilapan yang sama tidak diulangi dan tindakan yang diambil tidak merugikan negara.

Beliau berkata generasi baru merupakan pewaris perjuangan mereka yang terdahulu dan melalui interaksi itu, mereka dapat mempersiapkan dan melengkapkan diri mereka dengan ilmu agar dapat meneruskan segala kerja yang dilakukan oleh pemimpin terdahulu.

"Kita harus tahu apa yang berlaku dahulu agar kita dapat menentukan apa yang harus dikekalkan dan digugurkan.

"Jika kita tidak tahu sejarah perjuangan bangsa kita, negara, pemimpin kita, mungkin kita akan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali," katanya ketika berucap pada majlis penutup Program Bicara Negarawan bersama beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Seramai 54 pelajar cemerlang terpilih daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta hadir pada majlis itu.

Turut hadir ialah isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir berkata bagi sebarang tindakan yang salah, perlu ditentukan agar tidak mengulanginya manakala bagi tindakan baik yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara pula perlu diulangi dan diperbaiki lagi.
Beliau juga berkata generasi baru perlu bersyukur kerana Malaysia adalah sebuah negara yang stabil dan membangun dengan pesat.

Jika dibandingkan dengan negara lain, ramai rakan sebaya mereka tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti berikutan kegagalan pentadbiran kerajaan, masalah rasuah, kemiskinan dan sebagainya, katanya.

Sehubungan itu, katanya mereka perlu mengingati sejarah dan para pemimpin terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun V.T.Sambanthan dan sebagainya.

Katanya berikutan perjuangan pemimpin seperti mereka, negara dapat dibangunkan menjadi kaya dan memberi peluang yang lebih banyak kepada generasi muda untuk mendapat ilmu dan pelajaran sehingga ke peringkat universiti.

Sementara itu, pada sesi soal jawab, Dr Mahathir berkata Dasar Pandang Ke Timur diwujudkan oleh kerajaan bertujuan untuk mencontohi budaya kerja masyarakat Jepun dan Korea kerana ia adalah kunci kejayaan.

Katanya Jepun, Korea dan kini China tidak membina negara mereka melalui Pelaburan Langsung Asing (FDI) tetapi mereka mempelajari teknologi Barat dan memulakan syarikat mereka sendiri.

"Sebab itu kenapa pada hari ini kita mempunyai Matsushita, Sony, Hitachi, Samsung, semua ini syarikat mereka sendiri. Sudah tiba masanya kita berfikir seperti mereka.

"Bolehkah kita melakukannya, saya fikir kita boleh. Saya fikir rakyat Malaysia mempunyai kebolehan menjadi pengusaha bertaraf dunia. Sebab itu kenapa baru-baru ini Proton mengumumkan ia tidak lagi mensasarkan pasaran Malaysia sahaja tetapi menumpukan pada pasaran dunia.

"Inilah kelainan yang terdapat pada Dasar Pandang Ke Timur yang saya fikir kerajaan sekarang patut menerimanya," katanya. - Bernama

25,000 usahawan tani diwujud dalam RMK-10: Noh Omar

KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal melahirkan 25,000 usahawan tani menerusi pembukaan 500 pasar tani dan sebuah pasar tani kekal di setiap negeri di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata pada tahun ini, Fama mensasar membuka 100 pasar tani dengan penambahan peserta seramai 4,000 orang, berbanding 372 pasar tani dengan 17,724 peserta sedia ada.

Beliau berkata, Fama juga sudah mengambil beberapa langkah termasuk memperkenalkan pasar tani mega dan pasar tani siswazah serta menganjurkan kursus untuk petani dalam usaha memperkasa dan menjadikan pasar tani wadah bagi menjana ekonomi rakyat terutama golongan petani, penternak, nelayan dan pengusaha industri asas tani.


"Selaras gagasan 1Malaysia, penyertaan program pasar tani terbuka kepada semua rakyat berusia antara 18 hingga 60 tahun dan keutamaan diberi kepada mereka yang terbabit dalam pengeluaran makanan termasuk pengusaha ladang organik, ladang kontrak, taman kekal pengeluaran makanan dan pengusaha program buku hijau.

"Setakat ini, 17,324 peserta berdaftar dalam program pasar tani iaitu 18,522 orang Melayu,Cina (658), India (56), Bumiputera Sabah (1,133), Bumiputera Sarawak (553) dan 316 bagi kaum lain," katanya menjawab soalan Datuk Sapawi Amat Wasali @ Ahmad (BN-Sipitang) ketika sesi soal jawab di Parlimen, pagi ini.
Noh berkata, Fama juga akan membuat lawatan mengejut di pasar tani terbabit bagi memeriksa kualiti produk dijual, termasuk memastikan harga terutama barang kawalan tidak melebihi had ditetapkan.

7 dasar baru hasil kajian mengenai pekerja asing: Najib

KUALA LUMPUR: Tujuh dasar baru sudah dilaksanakan hasil satu kajian oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara berhubung kesan kehadiran pekerja asing terhadap ekonomi Malaysia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata antara dasar itu ialah penubuhan pasukan petugas khas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi meneliti semula dasar serta prosedur pengambilan pekerja asing secara keseluruhan.

"Pusat Kelulusan Setempat juga ditubuhkan untuk memproses permohonan majikan yang lengkap dan layak mengambil pekerja asing yang dianggotai wakil dan pegawai daripada enam agensi berkaitan termasuk KDN, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan Kementerian Sumber Manusia," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Najib berkata satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh KDN juga diwujudkan bagi memantau prosedur permohonan baru pekerja asing.

"Dasar Job Clearing System pula menjadi satu syarat bagi memastikan semua pekerjaan ditawarkan kepada rakyat tempatan terlebih dahulu, dan majikan yang memerlukan pekerja asing pula dinasihatkan supaya memohon lebih awal bagi mengelak sebarang kelewatan mendapatkan pekerja asing," katanya.

Najib berkata dasar itu juga termasuk pengenalan buku panduan, dasar, prosedur dan syarat-syarat penggajian pekerja asing di negara ini oleh Kementerian Sumber Manusia yang telah diedarkan kepada majikan yang ingin mengambil pekerja asing bertujuan memastikan proses pengambilan pekerja asing menjadi lebih teratur serta berkesan.

"Bagi mengurangkan kebergantungan industri terhadap pekerja asing, mulai 1 April tahun lalu majikan akan menanggung bayaran levi," katanya.
Beberapa memorandum persefahaman turut dimeterai antara Malaysia dan Indonesia pada 13 Mei 2006 dan Malaysia-India pada 3 Januari 2009 bertujuan memperkukuhkan lagi sistem pengurusan pekerja asing di negara ini.

"Walaupun cadangan-cadangan dalam kajian itu telahpun dilaksanakan, perlu ditegaskan bahawa kerajaan prihatin dan memantau perkembangan pekerja asing di negara ini," katanya. - Bernama

Monday, March 29, 2010

Gempa 6.1 Richter gegar Chile

WASHINGTON: Chile digegarkan dengan gempa 6.1 skala Richter awal hari ini, selepas gempa kuat dan tsunami di bahagian tengah negara itu yang mengorbankan 452 orang, bulan lalu.
Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa berlaku jam 5.43 petang waktu tempatan (2143 GMT) yang berpusat di 282 kilometers di barat daya Santiago.

Bagaimanapun belum ada laporan mengenai kecederaan atau kerosakan yang berlaku.


Pada Februari lalu, Chile dilanda gempa terkuat 7.0 Richter yang berpusat di Concepcion yang mengorbankan 552 orang dengan nilai kerosakan mencecah AS$30 bilion. - AFP

Sunday, March 28, 2010

Wujudkan dasar bantu penagih dadah: MCPF

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) hari ini menggesa kerajaan mewujudkan dasar yang jelas bagi membantu penagih dadah yang telah menjalani pemulihan dan ingin memulakan kehidupan baru, mendapatkan pekerjaan.

Naib Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kerajaan dan sektor swasta perlu menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas penagih dadah dan membantu mereka kembali ke pangkuan masyarakat bagi memastikan mereka tidak kembali menagih.

"Kerajaan perlu menimbangkan mewujudkan satu dasar untuk membantu bekas penagih mendapatkan pekerjaan seperti mana dasar yang diwujudkan bagi golongan orang kurang upaya.. "Penagih dadah yang telah berjaya menjalani pemulihan dan latihan perlu dibantu. Jika mereka gagal mendapat kerja, mereka akan terus terbabit dalam jenayah," katanya dalam satu kenyataan di sini. - Bernama

RM900 juta untuk pembangunan luar bandar

PENAMPANG: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan membelanjakan kira-kira RM900 juta tahun ini bagi menyediakan pelbagai kemudahan asas kepada penduduk luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata Kabinet sudah memberi lampu hijau kepada kementerian itu untuk membelanjakan peruntukan itu.

"Jumlah ini adalah sebahagian daripada RM18 bilion yang disediakan oleh kerajaan untuk menjayakan NKRA di seluruh negara. "Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperhebat pembangunan luar bandar dan kita akan melaksanakan program ini secara komprehensif selaras dengan wawasan Perdana Menteri yang mahu mendahulukan kepentingan rakyat luar bandar.

"Kita bukan sahaja menumpukan usaha kepada penyediaaan kemudahan infrastruktur seperti bekalan air, elektrik dan jalan kampung tetapi membantu penduduk luar bandar meningkatkan ekonomi mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Juara Rakyat di Kampung Madsiang, dekat sini hari ini.

Shafie berkata pendekatan seumpama itu diyakini dapat meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar tanpa mengira bangsa dan keturunan, sekaligus mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa memastikan pembangunan seimbang dapat dinikmati oleh masyarakat luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak.

Pada majlis itu, Shafie turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM3.2 juta bagi membina sekitar 80 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin bagi kawasan Penampang. - Bernama

BN tidak ketandusan pemimpin: Muhyiddin

GENTING HIGHLANDS: Barisan Nasional (BN) tidak ketandusan pemimpin yang boleh diketengahkan sebagai calon dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusinya berkata, BN tidak berada dalam dilema untuk menentukan calon sama ada daripada Umno atau MIC, tetapi berada dalam dilema kerana terdapat ramai calon yang berkelayakan.

"Kita tidak berada dalam dilema, tetapi dilema kita kerana ramai calon yang layak...calon yang baik yang boleh kita ketengahkan. Kita tidak ketandusan pemimpin yang boleh kita ketengahkan," katanya kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kebangsaan 2010 di Institut Aminuddin Baki (IAB) di sini hari ini. Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, apa pun akhirnya parti akan memutuskan yang terbaik sebagai calon yang boleh diterima oleh pengundi.

Ketika ditanya mengenai cadangan Umno yang ingin mencalonkan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, Muhyiddin berkata: "Saya tidak fikir Mat Taib (Muhammad) setuju." - Bernama

Kubur 21 wira Iban dipindah ke Sarawak

KUALA LUMPUR: Apabila kubur 21 wira Iban dipindahkan ke kampung halaman mereka di Sarawak tahun ini, rasa terkilan yang dialami sejak sekian lama oleh seorang bekas tentera yang terkenal kerana kehebatan semangat juangnya, pasti akan terubat.

Ini kerana sejak terbaca keluhan seorang wanita Sarawak mengenai kubur seorang pengesan jejak berbangsa Iban yang terbiar di tepi sebatang jalan raya di Alor Setar 20 bulan lalu, perasaan Lt Kol (B) Robert Rizal Abdullah amat tersentuh.

"Saya berasa sayu apabila menatap gambar berkenaan lalu saya berjanji akan membawa perkara itu kepada pengetahuan pihak berkuasa tertinggi. Ia menjadi satu misi bagi saya," tulis Robert Rizal dalam blognya http://pgbwarrior/blogspot.com). Beliau namakan misi itu Ops Ngerapuh dan dalam bahasa Iban, perkataan Ngerapuh bermaksud memindahkan jasad mereka yang meninggal dunia.

Ketika ditemu bual Bernama, Robert Rizal, 61, kelihatan begitu lega dengan perkhabaran itu kerana sebelum ini, Ops Ngerapuh kelihatan seolah-olah sudah terhenti.

"Kini ia bergerak kembali. Saya yakin urusan pemindahan ini akan dilakukan pada tahun ini," katanya yang kini bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan dan Kerajaan Sarawak berhubung perkara itu.

EMF tidak bahaya jika bawah 1000mG: TNB

SABAK BERNAM: Pendedahan kepada radiasi gelombang elektromagnetik (EMF) di bawah tahap 1000 milliGauss (mG) tidak membawa kesan yang boleh memudaratkan kesihatan manusia, kata Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Naib Presiden TNB (Penghantaran), Rozimi Remeli, berkata seseorang itu berkemungkinan mengalami kesan sampingan sekiranya terdedah EMF secara berterusan 24 jam pada kadar melebihi 1000 mG.
Katanya, persepsi yang mengatakan bahawa sinaran EMF boleh menyebabkan penyakit seperti kanser adalah disebabkan kurang pemahaman mengenai EMF. Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan sekiranya seseorang itu sentiasa terdedah kepada radiasi atau sinaran EMF melebih 1000mG, kemungkinan orang itu terdedah kepada kesan sampingan.

"Bagaimanapun di bawah 1000 mG adalah selamat," katanya selepas menghadiri majlis perasmian Seminar Kesedaran Keselamatan Elektrik 2010 peringkat Selangor di Sungai Besar, dekat sini, hari ini.

Seminar yang dihadiri oleh 370 guru besar dan guru dari daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor itu, bertujuan memberi kesedaran mengenai keselamatan elektrik kepada golongan pendidik.

Rozimi berkata, antara peralatan yang menghasilkan medan elektromagnetik adalah seperti telefon bimbit, televisyen, komputer, talian kabel elektrik, pencawang elektrik, mesin fotostat dan ketuhar gelombang mikro.
"Kebanyakan peralatan elektrik dalam rumah menghasilkan sinaran EMF yang tinggi seperti ketuhar dan telefon bimbit tetapi ia tetap tidak memberi kesan sampingan kepada kesihatan," katanya.

Beliau berkata, kabel pemancar TNB hanya menghasilkan kira-kira 15 mG EMF dan oleh itu, orang ramai tidak perlu bimbang sekiranya rumah mereka terletak di bawah kabel TNB.

Katanya, ketuhar gelombang mikro di rumah menghasilkan 400 mG EMF.

"Kalau kita berani duduk depan ketuhar yang hasilkan EMF yang tinggi sudah tentu kita juga berani duduk di bawah talian kabel elektrik...apatah lagi ia dipasang di tempat tinggi," katanya.

Rozimi berkata, di Jepun talian kabel elektrik berada di atas bumbung rumah penduduk di bandaraya Tokyo dan ia adalah keadaan yang normal.

"Mungkin sebab kefahaman mereka lebih tinggi sebab itulah mereka boleh membina rumah di bawah kabel elektrik. Di Malaysia, kita perlu ambil masa sikit untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang perkara ini," katanya.

Sehubungan itu, katanya, TNB kini bukan sahaja tertumpu kepada pembekalkan elektrik tetapi juga memberi maklumat kepada rakyat bagaimana elektrik dihasilkan dan disalurkan, bahaya dan risiko serta kesan kepada kehidupan seharian manusia.

Katanya, TNB mensasarkan golongan guru supaya menyampaikan maklumat kepada generasi muda dalam usaha mendidik masyarakat tentang keselamatan elektrik. - Bernama

1 maut pangsapuri Moscow runtuh

MOSCOW: Sebahagian daripada blok pangsapuri di barat Moscow runtuh hari ini, menyebabkan seorang terbunuh dan memerangkap beberapa yang lain di bawah timbunan konkrit.

Agensi berita Rusia melaporkan pegawai keselamatan sebagai berkata separuh daripada bangunan tiga tingkat di bandar Pavlovskaya Sloboda itu runtuh dan dua orang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.

Mereka berkata, letupan gas mungkin penyebab bangunan itu runtuh dan anggota bomba sudah berjaya mengawal api yang membakar beberapa unit pangsapuri itu. Letupan akibat gas sering berlaku di Rusia, terutama di luar bandar di mana prasarana itu kurang lengkap. - AP

Saturday, March 27, 2010

Jangan bangkit isu pengundi hantu: SPR

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengingatkan semua pihak agar tidak menimbulkan isu pengundi hantu pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen Hulu Selangor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata ini kerana isu itu tidak pernah wujud sebaliknya timbul apabila ada pihak tidak memahami peraturan baru yang dilaksana sejak Julai 2002.
"Menurut peraturan yang dikuatkuasa sejak Julai 2002, pemilih hanya boleh mengundi mengikut alamat yang tertera pada kad pengenalannya walaupun dia tidak tinggal di kawasan itu," katanya kepada pemberita di sini. Beliau berkata, isu pengundi hantu timbul apabila pemilih itu kembali ke kawasan berkenaan untuk membuang undi tetapi tidak dikenali penduduk setempat.

"Isu pengundi hantu ini mungkin timbul apabila orang yang tidak tinggal di situ kerana telah berhijrah tetapi alamatnya dalam kad pengenalan adalah di kawasan berkenaan, jadi pada hari mengundi dia pulang untuk mengundi dan penduduk sekitar tidak mengenalinya maka timbullah isu kononnya ada pengundi hantu.

"Contohnya seperti di Hulu Selangor nanti, alamat kad pengenalan di Hulu Selangor, tetapi tidak semua pengundi duduk di situ, mereka duduk di Shah Alam, Kuala Lumpur dan Klang atau di mana-mana," katanya.

Beliau juga menegaskan SPR hanya menggunakan maklumat rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengemaskini Daftar Pemilih.
Pada pilihan raya kecil kawasan Hulu Selangor nanti, Abdul Aziz berkata pihaknya akan menggunakan Daftar Pemilih yang disahkan pada Disember 2009 yang menyaksikan 65,058 pengundi layak membuang undi.

"Semua yang telah mendaftar sehingga Disember lalu layak untuk mengundi pada pilihan raya kecil itu nanti," katanya.

Beliau juga tidak hairan jika badan itu sekali lagi dijadikan tempat melepas geram oleh pihak yang tidak berpuas hati kelak.

"SPR tidak mengikut arahan mana-mana pihak, sebaliknya menjalankan tugas berpandukan perundangan yang telah ditetapkan," katanya.

Mengulas isu berkaitan, Abdul Aziz mengingatkan semua pihak tidak memulakan kempen termasuk termasuk menaikkan poster, bendera atau mengadakan ceramah di kawasan itu.

"Belum boleh mulakan lagi, jika ada yang sudah mula naik poster dan sebagainya tindakan adalah di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis. Tunggu dulu pengumuman rasmi," katanya.

Pengumuman mengenai butiran pilihan raya kecil kawasan itu akan dibuat Jumaat ini.

Kerusi itu kosong selepas penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggal dunia Khamis lalu akibat barah otak. - Bernam

Friday, March 26, 2010

Harga ais naik kepada RM3.50 satu beg mulai 1 April

BUTTERWORTH: Pengusaha kilang kiub ais di wilayah utara akan menaikkan harga jualan kepada RM3.50 mulai 1 April ini berikutan kenaikan kos penyelenggaraan.

Presidennya, Abdullah Ahmad, berkata sebelum ini harga yang ditawarkan adalah RM2 hingga RM2.50 bagi setiap beg berisi kira-kira 15 kilogram kiub ais.

"Sebelum ini kita menawarkan harga murah sejak 2008 hingga sekarang kerana memberi diskaun kepada pembeli terutama peniaga kedai makanan. "Ia juga sebagai satu strategi pemasaran. Bagaimanapun mulai 1 April ini harga ais akan kembali pada harga asal iaitu RM3.50 sama seperti harga tanpa diskaun sebelum ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, sepanjang memberi diskaun, 16 buah kilang di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak terpaksa menanggung sehingga 50 peratus kenaikan kos penyelenggaraan.

"Kita terpaksa naikkan harga kiub ais kerana peningkatan kos penyelanggaraan terutama pengangkutan iaitu lori yang digunakan untuk menghantar ais kepada pelanggan," katanya.

Abdullah berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada pelanggan berhubung kenaikkan harga ais namun ia tidak dapat diterima.
Katanya, pihaknya akan mengadakan perbincangan dari masa ke semasa dengan pelanggan berhubung perkara berkenaan.

"Bila kita umumkan pada media, kita harap pelanggan terutama peniaga dapat terima harga baru yang kita tawarkan itu. Bagaimanapun, notis susulan berhubung perkara itu akan diserahkan kepada mereka," katanya. - Bernam

Amaran angin kencang, laut bergelora

KUALA LUMPUR: Angin kencang Timur Laut dan laut bergelora dijangka berlaku di perairan Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pantai Barat dan Kudat), Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan mulai esok hingga Selasa ini.

Jabatan Meteorologi, dalam kenyataannya hari ini, berkata angin dijangka bertiup selaju 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j)dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. Sementara itu, ribut petir yang berlaku di perairan Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka pula dijangka berterusan sehingga lewat pagi ini.

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 km/j dan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter serta berbahaya kepada bot-bot kecil. - Bernama

Kempen derma darah di Masjid Negara

KUALA LUMPUR: Masjid Negara hari ini menganjurkan kempen derma darah dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 100 penderma daripada kalangan jemaah dan pengunjung.

Kempen selama empat jam itu bermula 10 pagi bertujuan menggalakkan orang ramai menderma darah selain membantu Pusat Darah Negara meningkatkan kesedaran masyarakat Islam mengenai pentingnya amalan itu.

Ketua Pegawai Perhubungan Awam Masjid Negara, Azhar Tuarno, berkata kempen itu yang diadakan tiga kali setahun mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat Islam dan bukan Islam sejak diadakan pada 2003. Seorang penderma, Kamal Mydeen, 48, berkata beliau mula menderma darah sejak berusia 30 tahun dan merasakan aktiviti sedemikian membuatkan dirinya lebih sihat.

"Masuk kali ini sudah lima kali saya menderma darah dan saya dapati badan saya semakin sihat dan bertenaga," katanya. - Bernama

Gempa bumi sederhana melanda Banda Sea, Indonesia

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.8 pada skala Richter melanda Banda Sea, kira-kira 435 kilometer timur Ambon, Indonesia, pada jam 11.13 malam tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan berkata gempa bumi itu tidak menyebabkan sebarang ancaman tsunami. - Bernama

Tiada keperluan tambah program kepekaan jantina: Wee

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak bercadang menambah program kepekaan jantina dalam kurikulum sekolah, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata kementerian berpandangan tiada keperluan untuk menambah program itu secara khusus ke dalam kurikulum sekolah memandangkan pengisian kurikulum telah pun mengambil kira keperluan semua murid sama ada lelaki ataupun perempuan.

"Walaupun terdapat beberapa mata pelajaran yang digubal cenderung kepada sesuatu jantina, namun kementerian tidak pernah menyekat peluang bagi semua murid untuk mengikuti mata pelajaran berkenaan. "Contohnya mata pelajaran vokasional (MPV) seperti Penjagaan Muka dan Dandanan Rambut dan Ekonomi Rumah Tangga turut ditawarkan kepada murid lelaki, begitu juga mata pelajaran Automotif Kenderaan, Amalan Bengkel Mekanikal turut ditawarkan kepada semua murid termasuk murid perempuan," katanya menjawab soalan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang).

Menjawab soalan tambahan Zuraida mengenai keperluan mengadakan segmen untuk memberi pengetahuan bagi menghormati kaum wanita supaya gejala sosial dan penganiayaan wanita dapat dielakkan, Wee berkata walaupun tidak mempunyai segmen khusus namun ia adalah komponen yang telah dimasukkan dalam mata pelajaran Pendidikan Moral atau Sivik.

Kepada soalan tambahan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) berhubung tindakan kementerian untuk mengatasi masalah longgokan guru wanita di bandar dan guru lelaki di pedalaman akibat dasar perikemanusiaan yang diamalkan kementerian, beliau berkata kementerian sebenarnya dalam proses menempatkan semula guru berkenaan dengan melihat pilihan yang ada.

Beliau berkata, kementerian sebenarnya tidak memilih jantina untuk dihantar ke kawasan bandar atau pedalaman, kecuali untuk kawasan-kawasan yang memerlukan tenaga guru lelaki untuk berdepan dengan cabaran yang besar.
"Kalau hantar guru wanita ke kawasan pedalaman tiga (P3) ianya amat susah dan untuk menyeberangi sungai bukan satu perkara yang mudah jadi kita terpaksa menghantar mereka yang lebih lasak untuk berdepan dengan cabaran ini," katanya. - Bernama

PM umum elaun bulanan untuk polis

KUALA LUMPUR: Elaun bulanan RM200 akan diberikan kepada 33,000 pegawai dan anggota polis yang menjalankan tugas am manakala kenaikan pangkat konstabel dan lans koperal akan berasaskan tempoh perkhidmatan.

Perkara ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semasa berucap pada majlis sambutan Hari Polis ke-203 di sini sebentar tadi.
Pemberian elaun bulanan itu membabitkan peruntukan tambahan RM84 juta setahun. Kenaikan pangkat dari konstabel ke lans koperal ditetapkan dalam tempoh tiga tahun manakala dari lans koperal ke koperal selepas tempoh lima tahun. Perubahan itu babitkan 52,000 anggota lain-lain pangkat.

Wednesday, March 24, 2010

Gempa bumi 6.2 gegar Manila

MANILA: Institut seismologi Filipina menyatakan satu gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter menggegarkan barat Manila awal tengah hari tadi.

Bangunan di ibu negara itu bergoncang selama 30 saat dan ramai pekerja bergegas keluar meninggalkan pejabat masing-masing.

Tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa. Pengarah institut itu, Renato Solidum, berkata gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer di bawah dasar laut.

Pusat Kajian Geologikal (USGA) pula menyatakan gempa bumi itu berukuran 6.1 dan pada kedalaman 33 kilometer. - AP

Kekuatan ekonomi, kewangan kukuh asas pemulihan cepat: BNM

KUALA LUMPUR: Kekuatan ekonomi dan kewangan yang kukuh telah menyediakan asas bagi pemulihan yang cepat, kata Bank Negara Malaysia (BNM) di dalam Laporan Tahunan 2009.

Kekuatan dan kestabilan sistem kewangan domestik sepanjang tempoh itu memastikan pengantaraan kewangan tidak terganggu dan sektor swasta boleh terus mendapat akses kepada kredit.

"Bersama-sama dengan kedudukan kewangan swasta yang kukuh, situasi ini akan mendorong pemulihan yang cepat dalam permintaan dalam negeri sebaik sahaja krisis kewangan global terkawal dan ekonomi global kembali stabil. "Melangkah ke hadapan, asas-asas ini akan mencerahkan lagi prospek pemulihan yang lebih kukuh," kata BNM.

Sebagai ekonomi yang amat terbuka, BNM berkata, Malaysia turut terjejas oleh kemelesetan ekonomi global yang bermula pada suku ketiga 2008 dan berterusan hingga suku pertama 2009.

Dengan penstabilan pasaran kewangan global yang disusuli oleh pemulihan dalam ekonomi maju, tindak balas dasar yang pantas melalui dasar fiskal dan monetari telah memainkan peranan penting dalam mengekalkan permintaan dalam negeri sepanjang tempoh itu.

"Asas-asas ekonomi Malaysia yang kukuh, sistem kewangan yang teguh dan pelaksanaan langkah sokongan dasar komprehensif yang proaktif telah berjaya menghindarkan ekonomi negara daripada tergelincir ke kancah pertumbuhan negatif yang lebih buruk dan berpanjangan," katanya.
BNM berkata, sistem perbankan Malaysia berada pada aras yang kukuh semasa krisis kewangan global meletus.

Tahap permodalan sistem perbankan Malaysia terus kukuh, dengan nisbah modal wajaran risiko pada 14.7 peratus pada akhir Disember 2009 daripada 12.6 peratus pada akhir 2008.

Nisbah pinjaman tak berbayar bersih, kata BNM adalah rendah pada 1.8 peratus daripada 2.2 peratus pada akhir 2008.

Memandangkan Malaysia adalah ekonomi yang sangat terbuka, Bank Negara berkata, kesan kemelesetan global begitu dirasai oleh sektor yang berkaitan dengan perdagangan luar.

Eksport dan pengeluaran perkilangan masing-masing menurun 7.4 peratus dan 11.1 peratus, manakala aktiviti pelaburan swasta menjadi lembap oleh keadaan perniagaan yang semakin merosot.

Bagaimana pun, menurutnya, permintaan dalam negeri yang berterusan, khususnya penggunaan swasta, memberi sokongan kepada ekonomi lantas mengelakkannya daripada mengalami penguncupan ekonomi pada suku keempat 2008. - Bernama

Isu KPN permainan politik: Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata isu dakwaan beliau berselisih faham dengan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan, adalah permainan politik sesetengah pihak untuk melaga-lagakan mereka.

"Bagi saya isu ini bukan satu kebetulan. Orang boleh nilai isu ini memang disasarkan tetapi bukan kepada Hishammuddin atau Musa jadi sasaran...Sasaran adalah kepada sesiapa yang mengisi jawatan itu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang sebelum itu mengatakan hubungan mesra antara beliau dan Musa yang dipaparkan dalam sidang media semalam hanyalah lakonan. Dalam sidang media semalam, Hishammuddin menafikan dakwaan bahawa beliau berselisih faham dengan Musa berikutan kenyataan Ketua Polis Negara itu bahawa terdapat "pihak ketiga" yang mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, isu itu sengaja dilagakan kerana KPN adalah pemimpin tertinggi dalam menjaga keselamatan negara.

"Kalau tak KPN dengan saya, KPN dengan Timbalannya, kalau tidak Perdana Menteri dengan Timbalannya ataupun Timbalan Perdana Menteri dengan Menteri lain. Itu modus operandi mereka," katanya.

Katanya, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri permainan politik sesetengah pihak berhubung isu itu.
"Saya rasa isu ini dieksploitasi sebegitu rupa namun rakyat boleh melihat sendiri perkara ini tidak mempunyai asas langsung. Lebih baik teruskan agenda kita dalam membangunkan negara," katanya.

Katanya, sebelum ini Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mendakwa Ketua Pengarang China Press diarah meletak jawatannya atau akhbar itu akan digantung tiga hingga enam bulan berhubung isu itu namun perkara itu telah diselesaikan secara baik.

"Bagi saya, lagi banyak tuduhan sebegini, lebih mudah kita nak menunjukkan bahawa mereka lakukan kerana kepentingan politik dan pemikiran yang sempit dan tidak rasional kerana berdepan dengan realiti pun mereka tidak boleh menerima hakikat," katanya. - Bernama

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.5 hingga 5.5 peratus pada 2010: BNM

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia bersedia untuk terus berkembang, disokong permintaan dalam negeri yang bertambah kukuh dan persekitaran luar yang semakin baik, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan berkembang 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan tahunan 2009.

Tahun lalu, KDNK menguncup 1.7 peratus berikutan kemelesetan ekonomi dunia, yang dianggap bank pusat sebagai “kemerosotan terburuk dalam sejarah moden”.

Ekonomi susut 6.2 peratus pada suku pertama tahun lepas, menjadikan penguncupan pertama berbanding tahun sebelumnya dalam KDNK sebenar sejak suku ketiga 2001. Dalam laporannya yang dikeluarkan hari ini, bank pusat berkata, ekonomi Malaysia kembali mencatatkan momentum pertumbuhan pada suku keempat 2009, berkembang sebanyak 4.5 peratus dengan pengukuhan pemintaan dalam negeri dan luar menyumbang kepada pertumbuhan.

Menurut laporan berkenaan, kestabilan ekonomi dalam negeri pada suku kedua dan pemulihan seterusnya pada separuh kedua tahun lalu adalah hasil pakej rangsangan fiskal, dasar monetari yang agresif dan langkah-langkah komprehensif bagi memastikan akses kepada pembiayaan yang berterusan.

"Di samping perbelanjaan awam yang lebih tinggi, langkah-langkah dasar juga membantu memulihkan sentimen sektor swasta, yang bersama-sama dengan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik, menyebabkan pengembangan penggunaan swasta pada separuh kedua tahun lepas," kata laporan itu.

“Tanda-tanda bahawa aktiviti pelaburan swasta mula stabil semakin jelas menjelang akhir tahun 2009. Selain itu permintaan luar negeri menjadi pemangkin pertumbuhan selanjutnya apabila ekonomi global, terutama ekonomi serantau, beransur-ansur pulih,” jelas Bank Negara.
Menurut Bank Negara, dengan sektor awam akan kekal menyokong, pertumbuhan dijangka didorong oleh aktiviti sektor swasta yang lebih besar dan permintaan luar yang kukuh daripada negara-negara serantau.

Asas makro ekonomi yang kukuh, kedudukan kewangan sektor swasta yang baik dan sistem kewangan yang teguh akan menyokong kepada pemulihan yang dipacu sektor swasta, manakala persekitaran monetari yang menyokong, termasuk akses berterusan kepada pembiayaan kompetitif akan kekal untuk mengukuhkan pemulihan dalam aktiviti sektor swasta.

Sumbangan utama kepada pertumbuhan tahun ini akan diperoleh daripada jangkaan pengukuhan dalam permintaan dalam negeri, dipacu terutamanya oleh sektor swasta dengan keadaan dalam negara yang baik termasuk peningkatan dalam pasaran pekerja, pendapatan boleh guna yang bertambah baik dan keyakinan pengguna yang semakin meningkat akan terus menyokong penggunaan swasta.

Menurut Bank Negara, seiring dengan pengukuhan permintaan luar dan peningkatan aktiviti dalam negeri, pelaburan swasta dijangka kembali pulih pada 2010. Tambahan pula, perbelanjaan modal yang lebih tinggi oleh perusahaan awam bukan kewangan dan kepantasan pelaksanaan baki projek di bawah pakej rangsangan kedua, akan terus memperkukuhkan permintaan dalam negara.

Pemulihan dalam ekonomi global, katanya akan menyediakan dorongan kepada pertumbuhan pada 2010, terutamanya daripada pengembangan yang lebih kukuh dalam ekonomi serantau.

Memandangkan sektor luar yang agak besar dalam ekonomi, pengukuhan permintaan luar akan memberi kesan limpahan yang positif kepada ekonomi yang lebih luas, dari segi pekerjaan, pengeluaran dan sentimen keseluruhan dengan ini menyokong pelaburan dan penggunaan swasta dengan lebih lagi, kata bank pusat itu.

Menurut laporan berkenaan, unjuran pertumbuhan 4.5 hingga 5.5 peratus pada 2010 bagi ekonomi domestik adalah berdasarkan kepada jangkaan pemulihan ekonomi global secara beransur-ansur dan tidak sama, dengan ekonomi dunia masih berdepan dengan beberapa risiko terutama di dalam ekonomi maju.

“Dalam hal ini, permintaan dalam negeri akan menjadi faktor utama dalam memacu pertumbuhan pada 2010. Dalam persekitaran ini, dasar akan kekal menyokong pertumbuhan, terutamanya bagi memastikan aktiviti sektor swasta terus kukuh dan pulih.

Mengenai monetari, dasar monetari akan kekal akomodatif di samping akan terus memberi tumpuan untuk memastikan sektor swasta terutama perusahaan kecil dan sederhana mempunyai akses kepada pembiayaan.

Menurut bank pusat, asas kewangan dan ekonomi Malaysia yang kukuh, meletakkan ekonomi domestik dalam kedudukan yang baik untuk pemulihan yang lebih kukuh memandangkan keadaan dunia yang terus bertambah baik.

Dengan ekonomi terus pulih pada 2010, dasar fiskal akan kekal bersedia ke arah penyediaan asas untuk pemulihan permintaan sektor swasta yang lebih teguh.

Menurut bank pusat itu lagi, perkara utama kepada pemulihan ekonomi mampan ialah pemulihan kukuh pelaburan dan penggunaan swasta.
Oleh itu dasar fiskal diberi keutamaan ke arah meningkatkan peranan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi. - Bernama

Spesies dinosaur baru ditemui di Amerika Syarikat

WASHINGTON: Saintis menemui spesies baru dinosaur yang mempunyai saiz badan seperti biri-biri, leher yang panjang dan hidup kira-kira 185 juta tahun lalu dan skeleton yang jarang ditemui bagi spesis itu.

Ahli Paleontologi berkata, ia adalah makhluk yang memakan tumbuh-tumbuhan dikenali 'Seitaad ruessi'. Penemuannya membabitkan sebahagian rangkanya dikenal pasti di sekitar batu merah wilayah Navajo, Utah, barat Amerika Syarikat.

Katanya, Tulangnya ditemui dibawah batu dan batu jemur di kawasan pedalaman golongan Anasazi purba di kawasan yang dikenali Eagles Nest Menurut jurnal akses terbuka dalam talian Perpustakaan Awam Sains, kajiselidik yang diterbitkan 24 Mac edisi PLoS ONE, Seitaad adalah nenek moyang kepada gergasi berleher panjang, dinosaur berekor panjang seperti Diplodocus, Apatosaurus dan Brachiosaurus yang berada di bumi pada penghujung tempoh jurasik. - AFP

Rukun Negara tak perlu dipinda: Pak Lah

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata tiada keperluan untuk meminda perkara pertama Rukun Negara kerana sebarang pindaan hanya akan menimbulkan satu lagi polemik.

Katanya, kepercayaan kepada Tuhan boleh dipegang bersama oleh seluruh rakyat Malaysia iaitu sama ada beragama Islam, Kristian, Hindu atau Buddha.

"Apabila Jawatankuasa Rukun Negara bincang perkara ini dulu, ia mahu dijadikan satu rukun yang akan dipegang oleh rakyat tanpa menentukan mereka mesti menganuti sesuatu agama yang tertentu," katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar Kebangkitan Gerakan Islah Di Alam Melayu di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) di sini, hari ini. Katanya, Rukun Negara telah lama menjadi pegangan dan dihayati seluruh rakyat Malaysia sebagai salah satu lambang perpaduan yang mesti diteruskan.

"Apa yang dikehendaki adalah supaya rakyat Malaysia menjadi rakyat yang ada agama. Rakyat mempercayai Tuhan. Itu yang telah ditekankan semasa perbincangan Rukun Negara," katanya.

Beliau yang juga pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) berkata, demikian ketika diminta mengulas cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, semalam supaya dipinda perkara pertama Rukun Negara kerana nama "Allah" telah digunakan secara meluas termasuk di kalangan bukan Islam.

Hadi meminta kerajaan mengubah Rukun Negara pertama daripada percaya kepada Tuhan kepada percaya kepada Allah.
Seminar selama dua hari itu bertujuan menghargai pemikiran dan sumbangan tokoh pemimpin masyarakat terdahulu terutama dalam membawa kegemilangan Islam di Nusantara.

Sebanyak 10 kertas kerja dibentangkan dalam seminar itu oleh cendekiawan daripada pelbagai latar belakang dan institusi. - Bernama