Followers

Thursday, September 30, 2010

Ringgit kekal pada 3.0835

KUALA LUMPUR: Ringgit Malaysia masih tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini dengan unit tempatan itu kekal pada 3.0835/0875 iaitu paras tertingginya dalam tempoh 13 tahun.

"Kami meramalkan permintaan terhadap unit tempatan terus teguh meskipun Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman pada 2.72 peratus pada Khamis," kata seorang peniaga.
Beliau berkata, sokongan belian dilihat pada tahap 3.08 hari ini apabila mata wang itu terus meraih manfaat daripada kelemahan dolar.
Dolar AS jatuh berikutan pengumuman data ekonomi AS yang lemah baru-baru ini, yang memperkukuh jangkaan Rizab Persekutuan AS akan mengambil lebih banyak tindakan untuk membantu ekonomi AS.

Bagaimanapun, unit tempatan susut berbanding mata wang utama lain.

Ia lebih rendah sedikit berbanding dolar Singapura pada 2.3461/6497 daripada 2.3406/3426 semalam dan turun berbanding yen kepada 3.7021/7080 daripada 3.6865/6905 pada Rabu.

Ringgit susut kepada 4.2072/2106 berbanding euro daripada 4.1895/1948 semalam dan lebih rendah berbanding pound sterling pada 4.9026/9070 daripada 4.8770/8836 sebelumnya. - BERNAMA

Peperiksaan SPM 2010 bermula 23 November

KUALA LUMPUR: Tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini akan diadakan mulai 23 November ini dan bukannya pada 22 November sebagaimana yang diumum sebelum ini, berikutan cuti umum di Johor.

Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sudah memaklumkan mengenai tarikh baru peperiksaan SPM itu kepada semua Jabatan Pelajaran Negeri melalui surat siaran bertarikh 7 Mei lalu.
Katanya, pindaan tarikh itu juga dimuat turun di laman sesawang LPM pada minggu pertama bulan Jun lalu, sementara jadual waktu peperiksaan SPM yang baru sudah pun dicetak dan dihantar ke semua Jabatan Pelajaran negeri untuk diedarkan ke semua sekolah menengah pada 23 Julai lalu.
Kementerian itu berkata, pemindaan tarikh peperiksaan itu dibuat berikutan langkah kerajaan Johor mewartakan 22 November sebagai cuti umum negeri itu sempena Hari Keputeraan Sultan Johor Sultan Ibrahim.

Dengan itu, peperiksaan SPM tahun ini akan bermula dari 23 November dan berakhir pada 20 Disember 2010, katanya. - BERNAMA

Terengganu henti hantar pelajar ke Indonesia

KUALA TERENGGANU: Mulai tahun ini, Terengganu tidak lagi menghantar pelajarnya ke Indonesia berikutan kebimbangan pelajar dan ibu bapa tentang beberapa insiden di negara itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata bagaimanapun kerajaan tidak akan memanggil balik tetapi akan terus mengekalkan pelajar yang sudah berada di sana.
"Kita tidak mahu hantar pelajar baru ke Indonesia, sebab pelajar trauma bila berlaku gempa bumi," katanya kepada pemberita selepas majlis MB bersama pelajar sasaran semua "A" PMR, SPM, dan STPM 2010, di sini hari ini.
Beliau berkata, ibu bapa juga bimbang dan khuatir akan keselamatan anak mereka untuk belajar di Indonesia dengan "kejadian yang tidak menyenangkan".

Ahmad berkata, Terengganu memberi tumpuan kepada negara seperti Cuba untuk menghantar pelajar dalam bidang bioteknologi dan nanoteknologi.

"Sebelum ini Terengganu memberi tumpuan kepada negara Asia Barat, Republik Czechoslovakia, Russia dan beberapa negara lain untuk pelajar perubatan," katanya.

Beliau berkata, mulai tahun depan, Terengganu mensasarkan untuk menghantar seramai 150 pelajar dalam bidang perubatan ke luar negara.
Katanya, tahun ini Terengganu menghantar seramai 107 orang pelajar perubatan ke luar negara, berbanding 45 pada 2008.

"Ketika ini doktor wanita mengatasi doktor lelaki di hospital Terengganu dan sebab itu kerajaan negeri mengambil langkah meramaikan jumlah doktor lelaki bagi mengimbanginya," katanya.

Lebih 5,000 pelajar dari seluruh Terengganu menghadiri perhimpunan berkenaan yang diadakan di Stadium Negeri di sini. - BERNAMA

Perbuatan hina agama tidak boleh dibiarkan: Chor

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap pihak yang menghina agama kerana jika dibiarkan, perbuatan itu boleh mengugat keharmonian kaum di negara ini.

Naib Presiden MCA, Datuk Chor Chee Heung, berkata pemimpin pelbagai agama di negara ini perlu kerap mengadakan perbincangan menerusi Jawatankuasa Antara Agama bagi menjamin keharmonian yang dinikmati selama ini.
"Kita tidak boleh membenarkan mana-mana pihak menghina agama lain kerana ia menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia," katanya yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, selepas melancarkan Seminar Pencegahan Jenayah Menerusi Persekitaran (CPTED) 2010 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kewujudan klip video dalam laman web "YouTube" yang memaparkan seorang paderi menyampaikan ceramah menghina Islam di Kuching, Sarawak.

Dalam laporan akhbar Isnin lalu, Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA), Zainol Abideen, berkata paderi yang didakwa bernama Benjamin Stephen itu dikatakan menyampaikan ceramah menghina Islam di sebuah gereja di negeri itu. - BERNAMA

Majlis Perniagaan Malaysia-Singapura dirombak

KUALA LUMPUR: Majlis Perniagaan Malaysia Singapura (MSBC) dirombak semula susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Singapura baru-baru ini.
Majlis itu kekal tidak aktif selepas ditubuhkan pada 2004 untuk menyediakan perspektif dan maklum balas sektor swasta mengenai perniagaan di Malaysia dan Singapura dan untuk mengeratkan kerjasama di kalangan sektor swasta di kedua-dua negara.
Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), yang dilantik sebagai Sekretariat bagi MSBC, berkata majlis itu disusun dan digiatkan semula dengan Datuk Lim Say Chong, Pengerusi Carlsberg Brewery Malaysia, dilantik sebagai pengerusi barunya.
FFM dalam satu kenyataan hari ini, berkata ahli majlis yang dilantik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri termasuk Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM), Datuk Low Kian Chuan; Bendahari ACCCIM, Ter Leong Yap; Presiden FMM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansor; Ketua Pegawai Eksekutif Reliance Pacific Bhd, Datin Irene Gan dan Chew Phye Keat, Rakan Kongsi Raja Daryl and Loh.

Ahli lain yang dilantik termasuk Presiden Dewan Perniagaan Melayu Kuala Lumpur, Datuk Syed Amin Aljeffri; Pengerusi Zaid Ibrahim & Co, Datuk Dr Nik Norzrul Thani; Pengarah Urusan KPK Quantity Surveyors (Semenanjung) Sdn Bhd, Datuk Sri K Kandan dan Pengerusi Eksekutif & Pengarah Urusan Nusantara
Technologies Sdn Bhd, Datuk Ghazali Datuk Mohd Yusoff.

Pada mesyuarat pertama MSBC baru-baru ini, majlis membincangkan kaedah meningkatkan aliran rentas sempadan perdagangan dan pelaburan yang lebih besar antara kedua-dua negara.
Mereka juga membincangkan penggalakan penggunaan Dana Pembangunan Perniagaan Negara Ketiga Malaysia-Singapura yang lebih efektif.

Satu mesyuarat bersama dengan Majlis Perniagaan Singapura-Malaysia dijadual diadakan pada suku pertama tahun depan. - BERNAMA

Wednesday, September 29, 2010

Bursa bawa siri jelajah Invest Malaysia ke HK bulan depan

KUALA LUMPUR: Dalam satu perkongsian dengan OSK Investment Bank, Bursa Malaysia akan membawa siri jelajah utamanya, Invest Malaysia, ke Hong Kong pada 21 Oktober.
Siri jelajah bertema "Memperkasa Kecemerlangan Global" itu bertujuan memberi pendedahan tentang peluang-peluang pelaburan yang menarik di Malaysia, kata Bursa satu daripada bursa terbesar di Asia dalam satu kenyataan hari ini.
Ia berkata, pelabur Hong Kong akan dapat memanfaatkan potensi pertumbuhan peluasan multinasional negara ini yang diterajui oleh syarikat Malaysia yang luas jangkauannya di seluruh Asean dan Asia.
Daripada siri jelajah ini, katanya, pelabur akan mendapat kefahaman tentang syarikat-syarikat bermodal sederhana hingga besar, yang telah berjaya menerajui sektor di peringkat serantau dan global.

Bursa Malaysia berkata, Invest Malaysia Hong Kong 2010 memberikan kefahaman tentang gabungan unik juara serantau dan global yang telah memperkukuh diri sebagai peneraju dalam bidang masing-masing, atau syarikat baharu berkembang dengan cadangan nilai yang unik.

Antara acara utama lain termasuklah penerangan tentang program transformasi ekonomi kerajaan yang bertujuan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Ia disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (PEMANDU) Kerajaan Malaysia, Senator Datuk Seri Idris Jala.
Malaysia adalah negara ke-66 terbesar mengikut saiz dengan penduduknya berjumlah 28 juta, dan juga mempunyai ekonomi ke-30 terbesar di dunia.

Pertumbuhan KDNK negara dijangka kira-kira lapan peratus, yang akan menjadikannya satu daripada ekonomi paling pantas berkembang di Asia. - BERNAMA

Peraturan-Peraturan Kerja pekerja separa masa kuatkuasa Jumaat

PUTRAJAYA: Peraturan-Peraturan Kerja (pekerja separa masa) 2010 yang sudah diwartakan akan berkuatkuasa Jumaat ini, sekaligus membolehkan kira-kira 6.8 juta tenaga kerja sambilan menikmati perlindungan lebih baik dari segi caruman KWSP dan perlindungan PERKESO

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam berkata demikian ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media di kementeriannya di sini, sebentar tadi.

Nik Aziz ajak ahli UMNO sertai PAS demi perpaduan Melayu

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini mengajak ahli UMNO menyertai PAS sebagai cara menangani isu perpaduan orang Melayu.

Mursyidul Am PAS itu berkata, ini kerana parti berkenaan mewakili semua yang beragama Islam, dan sewajarnya orang Melayu yang juga orang Islam berada di dalam parti berkenaan.
"UMNO tak payah bertanding selama-lama dan duduk dalam sebuah parti, iaitu PAS. Kalau boleh, tak perlu ada parti orang Melayu lain selain daripada PAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian komputer riba kepada 200 pelajar Kolej Masterskil Kampus Metro Kota Bharu, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, agar UMNO tidak menandingi kerusi Dewan Undangan Negeri Galas pada pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi.

Takiyuddin sebaliknya mencadangkan kerusi itu diserahkan kepada PAS demi perpaduan orang Melayu selain mengelakkan pergeseran berpanjangan antara dua parti utama orang Melayu tersebut.

Nik Abdul Aziz juga menegaskan perkara tersebut sudah sekian lama menjadi hasratnya.

Ditanya mengenai calon untuk pilihan raya kecil tersebut, Nik Aziz berkata PAS tidak mempunyai masalah untuk memilih calonnya.
"Sebagai sebuah parti yang sentiasa berada dalam persiapan sama ada musim pilihan raya atau tidak, soal calon sudah lama dikenal pasti, cuma ia akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

"Apatah lagi apabila PAS sudah ada kelab penyokong bukan Islam iaitu Cina yang boleh diletakkan sebagai calon jika perlu, cuma ia akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti," katanya.

Kerusi Galas kosong selepas penyandangnya Che Hashim Sulaima dari parti Pas meninggal akibat barah usus pada Isnin lalu. - BERNAMA

Tuesday, September 28, 2010

Peguam Negara bimbang siasatan kes Sosilawati diperbesarkan

PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, hari ini melahirkan kebimbangan berhubung kemungkinan siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, akan diperbesar-besarkan.
Beliau berkata, terdapat banyak kenyataan yang dibuat pelbagai pihak dalam kes itu, dan media sepatutnya melaporkan hanya fakta tanpa sebarang penambahan kerana ia mungkin menjejaskan kes berkenaan.
"Saya fikir ikut saja nasihat KPN (Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar). Bertenanglah dan biarkan kami lakukan tugas kami.
"Saya rasa pada masa yang betul dan apabila siasatan telah selesai, mereka akan memberi satu kenyataan yang wajar serta mendedahkan segalanya. Ketika itu, tiada sebarang masalah," katanya selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed.

Abdul Gani ditanya sama ada beliau melihat campur tangan pelbagai pihak yang tampil membuat kenyataan berhubung kes itu, termasuk keluarga ahli perniagaan India, akan menjejaskan siasatan kes pembunuhan itu.

Ahad lalu, Ismail mengingatkan media supaya tidak menulis cerita berunsur spekulasi berhubung kes itu, sebaliknya menunggu pengesahan daripada polis.
Peringatan itu dibuat berikutan laporan media bahawa dua kubur ditemui di ladang tempat Sosilawati dan tiga yang lain didakwa dibunuh.

Sosilawati, 47, pemandu peribadi Kamaruddin Shansudin, 44, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu, selepas mereka ke Banting, Selangor, untuk urusan penjualan tanah.

Pada 13 September lalu, polis mengesahkan kesemua mangsa telah dibunuh dan mayat mereka dibakar serta abunya dibuang ke dalam sungai berhampiran Ladang Gadong, Banting.

Polis menemui tulang serta barangan lain dari sungai berkenaan dan telah menahan lapan suspek, termasuk dua adik beradik peguam, bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan kejam itu.

Ditanya jika Jabatan Peguam Negara boleh meyakinkan orang ramai bahawa akan ada satu keputusan di akhir siasatan kes berkenaan, Abdul Gani berkata: "Setahu saya, dalam semua siasatan, sesuatu akan berlaku iaitu sama ada kami dakwa atau tidak. Itu adalah sesuatu yang pasti".

Mengulas mengenai kertas siasatan kes berkenaan yang dikembalikan kepada polis, beliau berkata, tidak ada tarikh akhir untuk penghantarannya.

"Saya perlu menunggu mereka menghantarnya (kertas siasatan). Biar mereka siasat kes tersebut secara terperinci kerana ia membabitkan kepentingan awam.

"Terdapat banyak perkara yang perlu disiasat. Saya tidak boleh memberikan tarikh akhir kepada mereka, tetapi saya tahu mereka sedang bertungkus-lumus.

"Dan mereka akan memberikannya kepada saya secepat mungkin. Malah, saya bertemu dengan mereka hampir setiap hari," katanya.

Mengulas kawasan yang perlu disiasat semula, beliau berkata: "Banyak, tetapi saya tidak boleh memberitahu anda mengenai kelemahannya."

Sementara itu, Pengarah Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara mengenai kertas siasatan kes Sosilawati dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

"Kita mempunyai kertas siasatan yang boleh dianggap sebagai mantap, tetapi terpulang kepada perbincangan kita dengan pihak Jabatan Peguam Negara. Iaitu sama ada mereka memerlukan kami untuk mencari bahan-bahan tertentu lagi dalam siasatan kami terhadap kes ini," katanya ketika ditemui di rumah terbuka Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas laporan DNA kes itu, Mohd Bakri berkata, polis masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak memberi tekanan kepada Jabatan Kimia berhubung perkara itu kerana mereka memerlukan masa bagi menjalankan tugas yang rumit.

"Kita mesti berikan mereka masa, pakar patologi, Jabatan Kimia, bagi menganalisis tulang yang kita jumpa. Untuk mendapatkan DNA, bukanlah sesuatu yang mudah," katanya.

Mohd Bakri juga mengulangi amaran bahawa polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemberita yang salah melaporkan kes Sosilawati.

"Saya mesti memberi amaran kepada anda (pemberita) kerana saya akan mengambil tindakan sewajarnya, kami telah memberikan peluang secukupnya bagi anda mendapatkan maklumat, namun bukan untuk menulis sesuatu yang tidak benar, jika tidak, kami akan mengambil keterangan daripada anda," katanya.

Sementara itu, Mohd Bakri berkata, polis akan melawat beberapa lokasi lagi di sekitar Ladang Gadong, Banting untuk mencari bukti terbaru berhubung kes yang membabitkan suspek kes pembunuhan Sosilawati, berdasarkan beberapa petunjuk baru yang muncul dalam siasatan mereka.

"Anda semua perlu ingat, kita menyiasat dalam dua aspek, satu kes yang kita siasat sekarang iaitu kes (pembunuhan) Sosilawati bersama tiga orang, dan satu lagi ialah berkenaan kehilangan tiga orang, dan satu kes pembunuhan yang berlaku di Banting," katanya. - Bernama

Kes bunuh Sosilawati: Peguam tidak tahu bila anak guamnya didakwa

KUALA LUMPUR: Peguam Ravi Nekoo yang mewakili dua adik beradik peguam yang ditahan berhubung pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, berkata beliau tidak tahu bila pelanggannya dan enam lagi suspek akan didakwa.
"Perintah tahanan reman pelanggan saya akan berakhir Sabtu, jadi saya rasa mereka mungkin didakwa Jumaat ini, atau polis mungkin memutuskan untuk memohon tempoh tahanan dilanjutkan kepada majistret," katanya hari ini.
Ravi akan menulis kepada pemangku ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah, bagi membolehkan beliau dan seorang lagi peguam mempunyai akses kepada suspek kerana kedua-dua pelanggannya yang berumur 41 dan 38 tahun kini ditahan kontinjen polis negeri itu.
"Setakat ini, hanya sekali polis memberikan akses kepada kami dan isteri suspek bertemu mereka. Bagaimanapun, kami mahu bertemu dengan mereka tanpa kehadiran pegawai polis," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan undang-undang, peruntukan Seksyen 28A(5) Kanun Prosedur Jenayah membenarkan peguam mempunyai akses kepada pelanggannya dalam penglihatan pegawai polis, tapi bukan pendengaran.

"Dalam kata lain, mereka (polis) boleh menyaksikan perbualan kami namun mereka tidak boleh mengikutinya. Kami perlukan privasi sepenuhnya dalam perkara ini, yang telah dinafikan sejak kunjungan pertama lagi," katanya.

Beliau berkata, polis telah mengguna pakai Seksyen 28A(8) Kanun Prosedur Jenayah yang menyatakan peguam mungkin mengganggu bukti, atau mereka bimbang suspek akan melarikan diri.
Sosilawati, 47, pemandu peribadi Kamaruddin Shansuddin, 44, peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru di sini Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu selepas mereka dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 September lalu, polis mengesahkan keempat-empat mereka dipukul sehingga mati, mayat mangsa dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting.

"Mereka sudah pun mempunyai lebih daripada 14 hari untuk mengumpul bukti daripada suspek, maka kini berikan akses untuk kami bertemu dengan pelanggan kami," katanya yang turut meminta polis membenarkan enam lagi suspek dalam kes itu diberikan akses bertemu peguam mereka.

Ravi juga berkata, ketika ini, hanya beliau dan isterinya, Pushpa Ratnam berada dalam pasukan pembelaan bagi kes itu, manakala seorang lagi peguam iaitu D P Vijandran belum memutuskan sama ada akan menyertai mereka atau tidak. - BERNAMA

SKMM diarah siasat klip video paderi hina Islam: Rais

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya membuat siasatan serta merta terhadap klip video dalam laman YouTube yang memaparkan seorang paderi menyampaikan ceramah menghina Islam.

Rais berkata, beliau sudah mengarahkan SKMM supaya merekodkan perkara-perkara yang perlu seperti masa penyiaran, kandungan suara dan simbol yang dikeluarkan oleh paderi tersebut dalam klip video itu.
"Kita akan buat siasatan secepat mungkin di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, saya sendiri akan tentukan supaya kes ini dibawa ke perhatian pihak berkuasa secepat mungkin," katanya selepas merasmikan seminar "Isu dan Cabaran Dalam Memulihara Arkib Audiovisual di Rantau Tropika" di sini, hari ini.
Semalam, seorang penulis blog yang juga Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA), Zainol Abideen, mendedahkan tindakan seorang paderi, Benjamin Stephen yang didakwa menghina agama Islam dan Rasulullah.

Paderi tersebut dilaporkan menghina Islam ketika menyampaikan ceramahnya di sebuah gereja di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Zainol dalam blognya, http://mahaguru58.blogspot.com turut meminta pihak berkuasa bertindak pantas sebelum umat Islam bertindak sendiri.

Rais berkata, isu itu adalah hal yang serius dan kementerian akan mengambil tindakan tidak kira di mana ia dipancarkan sama ada menerusi laman YouTube atau Yahoo, asalkan ia disiarkan di negara ini kepada pendengar dan pemerhati internet.
"Saya juga akan hubungi pihak penguatkuasa supaya semua laporan dan siasatan SKMM yang dikemukakan dapat perhatian segera oleh mereka," katanya. - BERNAMA

Najib cadangkan Hari Malaysia di NYSE

NEW YORK: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat Bursa Saham New York (NYSE) pada hari Isnin dan seterusnya membunyikan loceng penutup urus niaga pada hari lawatan berkenaan.
Terdahulu, beliau mengadakan perbincangan dengan eksekutif penting bursa diketuai oleh ketua pegawai eksekutif (CEO) NYSE Euronet, Duncan Niederauer, mengenai cara-cara membantu pelabur Malaysia untuk akses ke pasaran modal Amerika Syarikat (AS).
Dalam taklimat ringkas selepas menandatangani buku tetamu, Najib berkata yang beliau telah mencadangkan supaya diadakan Hari Malaysia di bursa berkenaan bagi menarik pelabur AS ke pasaran Malaysia serta pasaran-pasaran lain di rantau Asia Tenggara.
Beliau berkata, Malaysia boleh menjadi pintu laluan ke pasaran ASEAN yang beliau sifatkan sebagai antara yang paling pesat berkembang di Asia.

Perdana Menteri berkata, bursa-bursa ASEAN seharusnya bekerjasama rapat dan lebih bersepadu untuk menarik pelabur asing.

Mengiringi Najib pada lawatan itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Duta Malaysia ke AS, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis; pengerusi Bursa Malaysia, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan beberapa pegawai lain.

Perdana Menteri berada di New York bagi menghadiri sesi ke-65 Perhimpunan Agung PBB.
Bursa NYSE, terletak di 11 Wall Street, ialah bursa saham terbesar di dunia dengan permodalan pasaran dianggarkan $11.9 trilion setakat Ogos tahun ini. - BERNAMA

Monday, September 27, 2010

Usharani sambung keterangan berhubung kehilangan suami

BANTING: S Usharani, isteri usahawan India, Allal Kanthan Muthuraja yang dilaporkan hilang di negara ini sejak awal tahun lalu, hari ini menyambung keterangan berhubung kehilangan suaminya selama empat jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini.
Usharani, 27, tiba di IPD berkenaan pada 1.45 tengah hari bersama Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, dan dua lelaki yang tidak dikenali.
Sebelum ini, Usharani membuat laporan mengenai kehilangan suaminya 8 September lalu dan memberi keterangan berhubung perkara itu di IPD sama pada 23 September.
Semalam, beliau dilihat hadir ke IPD berkenaan pada 10.00 pagi dan meninggalkan premis itu 45 minit kemudian.

Manikavasagam berkata, Usharani memberi keterangan dari jam 2 petang hingga 6 petang dengan bantuan seorang jurubahasa Tamil.

"Proses ditangguhkan hari ini kerana semalam pegawai berkenaan terbabit dalam proses mendapatkan perintah tahanan reman untuk tiga suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain," katanya.

Beliau berkata, Usharani dijangka pulang ke Chennai pagi Rabu depan dan malam ini wanita itu akan melakukan upacara sembahyang untuk suaminya di sebuah kuil di Pudu.
Katanya, Usharani akan dibawa bertemu dengan pegawai Kedutaan India petang esok. - BERNAMA

Hina agama akan cetus sensitiviti, merebak kepada pertembungan bangsa: Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan tindakan menghina agama lain tanpa mengira latar belakang individu terbabit akan menjejaskan usaha membina Malaysia ke arah negara maju sekaligus menafikan keadilan rakyat di negara ini.
Beliau berkata, tidak kira sama ada pihak terbabit adalah paderi atau individu lain, tindakan itu boleh mencetuskan pertembungan antara agama yang seterusnya merebak kepada pertembungan bangsa.
“Saya masih belum melihat klip video itu. Tetapi sedang meneliti isu ini. Kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil sebarang tindakan dan menunggu sama ada terdapat laporan dibuat,” katanya pada sidang media ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri 2010 anjuran JAKIM di sini, sebentar tadi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas beberapa klip dalam laman web perkongsian video, YouTube yang menunjukkan seorang paderi menghina Islam dalam ceramahnya.

Menurut laporan akhbar hari ini, Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA), Zainol Abideen berkata, paderi yang dikenali Benjamin Stephen, menghina Islam ketika berceramah di sebuah gereja di Kuching, Sarawak.

Jamil Khir berkata, pihaknya akan bertindak apabila ada individu yang tampil membuat laporan berhubung isu terbabit.

Beliau berkata, di sebalik amalan Malaysia memberikan kebebasan kepada rakyat untuk menganut ajaran agama lain, perlu diingat setiap individu ditegah daripada menimbulkan rasa terhina penganut agama tertentu.
Ia katanya, apabila ada pihak mula rasa terhina, sensitiviti agama akan tercetus sehingga merebak kepada masalah pertembungan bangsa.

Empat suspek dibawa ke Ladang Gadong cari bukti baru

BANTING: Empat suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya dibawa memasuki Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini, hari ini dengan sebuah van polis.

Tinjauan mendapati kesemua suspek yang berpakaian oren itu dibawa ke situ kira-kira jam 11.20 pagi tadi dipercayai bagi membantu pasukan forensik mengesan bukti-bukti terbaru kes itu.
Kira-kira 20 minit sebelum itu, lima kenderaan forensik termasuk kereta polis memasuki kawasan ladang itu.
Wartawan dan jurugambar yang pada mulanya dibenarkan memasuki kawasan ladang kemudiannya diarah keluar oleh anggota polis yang mengawal pintu masuk ladang milik suspek utama yang juga seorang peguam, kira-kira 20 minit kemudian.

Kira-kira jam 3.30 petang, semua suspek dibawa keluar dari ladang itu.

Difahamkan tiada sebarang bukti terbaru ditemui dalam operasi selama empat jam itu.

Bagaimanapun, operasi itu dijangka disambung semula esok.
Sosilawati, 47; pemandu peribadinya Kamarudin Shamsuddin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat. - Bernama

Iskandar Malaysia lepasi sasaran: Ghani

JOHOR BAHRU: Meskipun ekonomi yang perlahan, projek Iskandar Malaysia yang dilancarkan pada 2006 telah melepasi sasaran yang ditetapkan, kata Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
Abdul Ghani yang mempengerusikan bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berkata, pelaburan kumulatif Iskandar Malaysia sehingga setakat Julai tahun ini berjumlah RM63.09 bilion.
"Ia adalah peningkatan RM7.53 bilion daripada Disember tahun lalu," katanya semasa perasmian Cawangan Nusa Bestari HSBC Amanah Malaysia, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua HSBC Amanah, Mukhtar Hussain.

Abdul Ghani berkata, 40.6 peratus daripada pelaburan yang dikomitedkan di Iskandar Malaysia telah dibelanjakan setakat ini, dengan pelaksanaan projek berjalan rancak.

"Pembangunan projek ini bukan hanya menjana keseronokan yang diperlukan tetapi juga menjadi pemangkin dalam membawakan pelaburan tambahan dan kemajuan kepada Iskandar Malaysia," katanya.

Beliau yakin Iskandar Malaysia selaras dengan aspirasi nasional dan akan menjadi platform penting bagi mencapai matlamat ekonomi di Johor.
Sementara itu, Mukhtar pada sidang akhbar kemudian, berkata HSBC Amanah mempunyai tujuh cawangan di Malaysia ketika ini termasuk yang terbaharu di Nusa Bestari dan mensasar menubuhkan 26 di seluruh negara dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi. - BERNAMA

Peningkatan positif dalam perbelanjaan berhemah: Ambrin

PORT DICKSON: Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata terdapat perubahan semakin baik pada jabatan dan agensi kerajaan dalam melaksanakan perbelanjaan kewangan berhemah dan telus.
Beliau, bagaimanapun, tidak menolak bahawa terdapat kepincangan dalam perbelanjaan yang menyebabkan pembaziran wang rakyat sebelum ini.
"Tetapi pucuk pimpinan sama ada di peringkat Kabinet mahupun EXCO kerajaan negeri sangat serius dalam menanganinya.
"Macam di Negeri Sembilan ini, kita tahu Menteri Besarnya baca laporan audit kita dan beliau selanjutnya berbincang dengan pegawai-pegawai kanan, jadi ini merupakan tindakan yang sangat wajar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Audit se-Malaysia di sini hari ini.

Ambrin berkata, setiap kepincangan didedahkan melalui laporan audit negara setiap tahun sebenarnya mendapat tindakan dan bukan dibiarkan begitu saja.

"Hasilnya, pada tahun ini jabatan audit memberi Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan berdasarkan Indeks Akautabiliti 2009 kepada 47 jabatan dan agensi kerajaan berbanding hanya lebih kurang 20 pada tahun sebelumnya," katanya.

Beliau menafikan bahawa sistem yang diwujudkan oleh kerajaan hari ini mempunyai banyak kepincangan, menyebabkan berlaku pembaziran wang rakyat.
"Banyak masalah yang ada adalah disebabkan kelemahan manusia, sistem itu telah direka bentuk supaya ada 'check and balance' untuk memastikan ada akauntabiliti dan sebagainya," katanya.

Katanya, kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya kakitangan kerajaan menerapkan budaya berprestasi tinggi tidak akan berlaku jika pegawai di bawahnya tidak mengambil sikap pro aktif dan tidak mahu belajar daripada pengalaman.

Beliau, bagaimanapun, bersyukur kerana setiap teguran dalam laporan audit negara telah diambil tindakan dan pegawai kerajaan berusaha untuk membaiki kelemahan diri mereka.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika memberikan ulasannya, berkata beliau cukup bertuah kerana pernah berada dalam sistem pengurusan swasta dan hari ini menjawat jawatan penting dalam kerajaan.

"Saya hendak mengikis persepsi masyarakat yang menyatakan jabatan kerajaan ini lemah dan tidak berubah sebab saya pernah berada dalam swasta dan kerajaan.

"Saya boleh nampak sikap dan prestasi kakitangan kerajaan, saya boleh katakan ia semakin baik.

"Kunci kepada perubahan ini ialah ketua jabatan perlu memantau kerja anak buah mereka dan sesekali memberikan semangat kepada mereka," katanya yang pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam syarikat swasta sebelum menjadi ahli politik. - BERNAMA

Penghakiman dalam bahasa Inggeris tidak sah: Karpal

PUTRAJAYA: Penghakiman mahkamah yang ditulis dalam bahasa Inggeris adalah tidak sah, Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini.
Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar, Karpal Singh mempertikaikan bahawa penghakiman yang ditulis hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan mahkamah sokongan dalam kedua-dua kes jenayah dan sivil mestilah dalam Bahasa Malaysia mengikut peruntukan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963.
"Semua tiga penghakiman (yang ditulis oleh Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Malik Ishak, Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dalam bahasa Inggeris yang menolak rayuan Anwar) kekal tidak mengikut perlembagaan kerana ini melanggari Artikel 152 dan Seksyen 8," katanya.
Pada hakikatnya, Karpal berkata penghakiman Abdul Malik menyatakan bahawa peruntukan wajib hendaklah dipatuhi sepenuhnya.

Beliau berkata mengikut undang-undang, semua proseding, termasuk penghakiman, mestilah dalam Bahasa Malaysia kecuali jika ia dalam Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan di mana sesebuah mahkamah itu boleh mengarahkan proseding itu didengar separuh dalam Bahasa Malaysia dan separuh lagi dalam bahasa Inggeris, melalui usulnya sendiri atau permohonan untuk mana-mana proseding setelah memberikan pertimbangan dalam aspek keadilan proseding berkenaan.

"Penghakiman itu adalah batal dan tidak sah. Tidak ada penghakiman yang sah untuk mahkamah ini (Mahkamah Persekutuan) untuk meneruskan lagi kebenaran permohonan rayuan Anwar. Mahkamah itu (Mahkamah Persekutuan) hendaklah mengarahkan Mahkamah Rayuan untuk menulis satu penghakiman yang lebih wajar dalam bahasa kebangsaan," katanya.

Peguam veteran itu membangkitkan isu tersebut sebagai perkara permulaan dalam perbicaraan proseding mahkamah mengenai saman fitnah Anwar terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pada 10 Oktober tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Anwar atas alasan teknikal, untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman RM100 juta beliau terhadap Dr Mahathir.

Tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa memorandum rayuan yang difailkan Anwar dalam bahasa Inggeris adalah cacat dan tidak sah dan dokumen mahkamah itu mestilah difailkan dalam Bahasa Malaysia.

Anwar mengemukakan tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir pada Januari 2006 kerana mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap beliau di persidangan Hak Asasi Manusia Malaysia, 9 September, 2005.

Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria, menangguhkan keputusan mereka mengenai perkara permulaan pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

Dua lagi anggota panel ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong dan Mahkamah Rayuan, Datuk Suriyadi Halim Omar.

Peguam Datuk VK Lingam yang mewakili Dr Mahathir, mengemukakan prosedur tidak pematuhan dengan mengatakan ia menyalahgunakan proses mahkamah untuk membawa perkara permulaan itu pada peringkat permohonan kebenaran.

Lingam berkata, sebaliknya Karpal Singh mestiah memfailkan satu permohonann yang wajar untuk membangkit isu tersebut.

Beliau menerangkan bahawa dalam Mahkamah Rayuan, beliau memohon kebenaran mahkamah untuk mengemukakan kesnya dalam bahasa Inggeris dan mahkamah membenarkannya berbuat demikian.

"Penghakiman dan perintah (oleh mahkamah) sentiasa dalam bahasa Malaysia tetapi alasan penghakiman adalah dalam bahasa Inggeris kerana peguam dalam proseding tersebut telah memohon untuk menjalankan proseding berkenaan dalam bahasa Inggeris mengikut Akta Bahasa Kebangsaan," katanya.

Di luar mahkamah, Karpal Singh memberitahu pemberita bahawa keputusan tersebut mengenai perkara permulaan menimbulkan implikasi yang besar.

Beliau berkata ini adalah pertama kali selepas kemerdekaan, isu tersebut dibangkitkan.

"Saya cadangkan sehingga Mahkamah Persekutuan memutuskan mengenai isu tersebut, hendaklah kes lain ditangguhkan di mana penghakiman ditulis dalam bahasa Inggeris," katanya. - BERNAMA

Proses pertukaran petugas imigresen selesai November: KP

PELABUHAN KLANG: Proses pertukaran petugas Jabatan Imigresen di Pelabuhan Klang yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat berkuatkuasa hari ini dijangka selesai selewat-lewatnya November depan, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman.
Beliau berkata, pertukaran petugas di Pelabuhan Klang yang membabitkan Pelabuhan Barat, Utara dan Selatan termasuk di Jeti Penumpang Pulau Ketam ke beberapa cawangan negeri akan melalui sekurang-kurangnya tiga fasa rombakan.
"Kita sudah mulakan pertukaran secara berperingkat iaitu membabitkan kira-kira 22 petugas Imigresen (di Pelabuhan Klang) dan pegawai baru pun dah mula melaporkan diri.
"Kita berharap dengan ada (pegawai) yang baru operasi akan lebih baik kerana orang baru lebih cekap. Kena bersedia untuk berubah, itu yang saya jangkakan," katanya pada sidang media di pejabat Imigresen Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini rombakan yang dilakukan terhadap petugas jabatan itu bertugas di pintu keluar masuk yang dikategorikan sebagai "kawasan panas" di seluruh negara dalam usaha membersihkan jabatan itu daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Akhbar sebelum ini melaporkan terdapat anggota dan pegawai Imigresen di Jeti Penumpang Pulau Ketam menerima sogokan sehingga RM60,000 sebulan menyebabkan pintu masuk negara mudah dibolosi pendatang tanpa izin dari Indonesia.

Mengulas mengenai isu itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan dan mengambil tindakan susulan terhadap petugas awam yang terbabit dalam rasuah.
Abdul Rahman berkata, proses rombakan petugas terbabit adalah langkah pertama yang diambil pihaknya dan sekiranya wujud isu salah laku membabitkan petugas, tindakan sewajarnya akan diambil selepas siasatan dijalankan.

"Kita telah bekerjasama dengan SPRM untuk bantu kita daripada segi data kelakuan pegawai. Mungkin juga prosedur perlu diperbaiki dan ditambah baik. Pertukaran petugas adalah keputusan kerajaan dan kita laksanakan sahaja.

"Ini (rombakan kakitangan) bukan isu terbabit atau tidak (dalam salah guna kuasa). Mengikut prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan, setiap tiga tahun memang kena tukar pegawai dan kakitangan Imigresen yang sudah ditukarkan ialah mereka yang dah bertugas kira-kira tiga tahun atau kita panggil mereka sebagai 'hot officers' (pegawai yang terdedah kepada salah guna kuasa)," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata pelaksanaan perkhidmatan "1Kaunter" di Pejabat Imigresen Pelabuhan Klang bermula 21 Mei lalu adalah satu kesinambungan terhadap usaha penambahbaikan perkhidmatan jabatan itu untuk memudahkan orang ramai berurusan di kaunter pasport.

Beliau berkata, perkhidmatan itu, urusan seperti proses pembayaran dan pemprosesan pasport boleh dilakukan dalam satu kaunter sahaja dan seterusnya urusan penyerahan pasport dapat dilakukan oleh jabatan itu dalam tempoh sejam daripada waktu pembayaran dilakukan.

"Sejak pejabat ini mula beroperasi menggunakan 1Kaunter, kita telah keluarkan sejumlah 4,321 pasport untuk Jun, 4,041 pasport untuk Julai dan 4,242 pasport untuk Ogos. Secara puratanya pejabat ini menghasilkan kira-kira 4,000 pasport setiap bulan.

"Perkhidmatan 1Kaunter ini diperkenalkan hasil pandangan orang ramai. Buat masa ini perkhidmatan 1Kaunter dilaksanakan di pejabat Imigresen yang baru sahaja iaitu di Pelabuhan Klang dan akan datang di Subang Jaya. Sekiranya cara ini diterima oleh orang ramai kita akan perluaskan ke pejabat Imigresen yang lain," katanya. - BERNAMA

Tinjauan pelaburan Malaysia menggalakkan: Branson

KUALA LUMPUR: Tinjauan pelaburan Malaysia di seberang laut pada masa ini amat menggalakkan tetapi beberapa isu perlu ditangani supaya tidak menjejaskan reputasi negara di kalangan pelabur asing, kata usahawan Britain, Sir Richard Branson.
Bercakap kepada kira-kira 800 pemimpin perniagaan di sini, beliau berkata, imej negara masih lagi penting kerana ia membolehkan kerajaan untuk menarik para pelabur dan pada masa yang sama, melaksanakan dasar yang lebih baik untuk melengkapinya.
"Saya rasa Malaysia mempunyai reputasi yang baik tetapi beberapa isu seperti apa yang berlaku dengan bekas Timbalan Perdana Menteri anda, menjejaskan Malaysia," kata beliau pada majlis khas forum Invest Asia 2010, anjuran International Herald Tribune di sini, hari ini.
Branson diminta mengulas sama ada dasar ekonomi dan pelaburan Malaysia pada masa ini akan terus mampan untuk pertumbuhan masa depan jika iklim politik boleh menjejaskan pelaburan.

Beliau juga berkata, iklim politik semasa tidak menjejaskan Malaysia dengan ketara tetapi kerajaan perlu mengambil langkah-langkah berani untuk menangani isu itu.

"Pada umumnya, saya rasa banyak yang boleh kami di Barat ini belajar dari Malaysia dan kami sememangnya mahu belajar dari anda," kata Branson yang dilaporkan mempunyai nilai kekayaan bernilai AS$4 bilion.

Pengasas Virgin Group itu mengembangkan perniagaannya kepada dunia muzik, pengembaraan udara, mudah alih, perhotelan, aeroangkasa dan lain-lain dengan sekitar 200 syarikat di lebih 30 negara.
Usahawan berjaya itu meraikan ulangtahunnya yang ke-60 baru-baru ini, turut memaklumkan pentingnya melakukan kerja-kerja kemanusiaan di kalangan usahawan memandangkan mereka mempunyai sumber kewangan dan kemahiran keusahawanan yang cukup untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Dengan kekayaan yang berlebihan, ia seiring dengan tanggungjawab. Saya rasa pemimpin perniagaan mempunyai keupayaan dan pengalaman yang ahli politik tiada,” katanya.

Sesi khas itu diperantarakan oleh bekas wartawan CNN, Lorraine Hahn.

Forum dua hari yang bertemakan "Dawn of the New Decade" bermula hari ini.

Ia akan menyaksikan perbincangan dari 19 pakar terkemuka antarabangsa, berkongsi pendapat mengenai pilihan pelaburan di Asia dan cara untuk mengukuhkan portfolio pelaburan. - Bernama

Marshitah gesa KDN siasat paderi hina Nabi

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Marshitah Ibrahim, hari ini meminta Kementerian Dalam Negeri dengan segera melakukan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas terhadap seorang paderi yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad S.A.W. dan agama Islam dalam satu ceramahnya di sebuah gereja di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.
"Saya khuatir akan berlaku (sesuatu) kalau tindakan tegas tidak ambil," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yayasan Waqaf Malaysia bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas berhubung kewujudan beberapa klip video dalam laman web YouTube yang memaparkan seorang paderi menyampaikan ceramah menghina Islam.
Akhbar hari ini melaporkan Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA), Zainol Abideen, sebagai berkata paderi bernama Benjamin Stephen itu menyampaikan ceramah menghina Islam di sebuah gereja di Kuching, Sarawak.

Kes tanah Sosilawati antara 290 kes penipuan disiasat JSJK Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Kes penjualan dan pembelian tanah di Bukit Jambul, Pulau Pinang yang dikendalikan peguam yang disyaki suspek utama pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain ialah antara 290 kes membabitkan peguam yang dalam siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.

Timbalan Pengarah JSJK, Datuk Noryah Md Anvar, berkata polis sedang menyiasat kes jenayah komersial itu yang membabitkan peguam di seluruh negara termasuk membabitkan kes penipuan penjualan tanah dan rumah.
"Kesalahan lain ialah menipu, pemalsuan dokumen, geran tanah dan afidavit serta pecah amanah," katanya di Bukit Aman di sini, hari ini.
Difahamkan, pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain berkait rapat dengan wang hasil jualan sebidang tanah bernilai RM29 juta di Pulau Pinang milik Sosilawati bersama dua lagi rakan kongsi.

Pembelian dan penjualan tanah itu difahamkan dikendalikan sepenuhnya oleh suspek utama, selaku peguam dan bertindak sebagai broker, berikutan pengalaman luasnya sebagai pengamal undang-undang terutama dalam urusan berkaitan jual beli tanah.

Sosilawati, pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages dan pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; perunding kewangan CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Pada 12 September lalu, polis mengesahkan keempat-empat mereka dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor.
Ketika ditanya siasatan kes tanah itu, Noryah enggan mengulas lanjut dan berkata, akan memaklumkannya kepada media jika terdapat perkembangan terkini.

Beliau berkata, sehingga kini, 35 peguam ditahan di seluruh negara membabitkan penipuan penjualan tanah termasuk seorang peguam berusia 50 tahun yang ditahan pagi ini kerana terbabit dalam kes penipuan tanah bernilai RM15 juta.

"Peguam itu ditahan di rumahnya di Sunway pada jam 8 pagi ini kerana dipercayai terbabit dalam penipuan penjualan tanah di Kuala Lumpur.

"Dia akan dituduh di mahkamah hari ini," katanya.

Noryah berkata, daripada 35 peguam yang ditahan itu, 10 orang adalah di Selangor, lapan di Johor, empat orang masing-masing di Kedah dan Kuala Lumpur, tiga orang masing-masing di Perak dan Negeri Sembilan, dua di Melaka dan seorang di Pulau Pinang.

"Mereka berjawatan profesional, sangat licik dan menggunakan kepercayaan serta harapan yang diberikan oleh pelanggan-pelanggan mereka dengan menipu.

"Kebanyakan kesalahan ialah memalsukan dokumen termasuk geran tanah sehingga pejabat tanah mempercayai tindakan mereka itu," katanya. - Bernama

Buktikan semangat patriotisme dengan pulang berkhidmat di tanah air: Liow

DUBLIN (IRELAND): Rakyat Malaysia yang berkhidmat sebagai doktor pakar di luar negara diminta membuktikan semangat patriotisme dan kecintaan mereka kepada negara dengan pulang berkhidmat di tanah air.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika mengeluarkan nasihat itu, berkata semangat kesetiaan kepada negara akan lebih bermakna jika mereka bersama kerajaan untuk memantapkan lagi sektor perubatan di Malaysia yang masih kekurangan tenaga pakar.
"Walaupun mereka kata sangat patriotik dan boleh tunjuk (semangat) itu di mana-mana tetapi lebih baik di Malaysia kerana negara kita memerlukan pakar dalam pelbagai bidang.
"Mereka boleh berkhidmat di hospital kerajaan dan boleh juga bekerja di pusat perubatan swasta," katanya pada sesi pertemuan bersama 22 rakyat Malaysia yang berkhidmat sebagai doktor di Dublin.

Liow berkata, susulan daripada pertemuan itu ada di antara mereka menyatakan kesediaan untuk pulang ke tanah air dan kerajaan amat mengalu-alukannya dan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk mempercepatkan kenaikan pangkat dan gaji yang berpatutan serta tiada sekatan untuk mereka berkhidmat di sektor swasta.

"Apa yang kita lalui (pertemuan) ini berjaya dan mereka telah nampak transformasi dalam Kementerian Kesihatan. Mereka juga telah melihat platform yang lebih besar dan yakin dengan usaha kerajaan.

"Ada di antara mereka yang hadir menyatakan ingin pulang ke tanah air tahun hadapan dan ada juga yang menyatakan masih memerlukan sedikit masa lagi untuk mendapatkan pengalaman sebelum berkhidmat dengan kerajaan," katanya.
Beliau berkata, mereka yang berkhidmat dengan kerajaan juga akan diberi bantuan untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan proses kenaikan pangkat mereka lebih mudah bergantung kepada kelulusan dan pengalaman bekerja.

Pada pertemuan itu, Liow turut menerangkan mengenai pelbagai penambahbaikan yang dilakukan oleh kerajaan terhadap perkhidmatan perubatan terutama yang membabitkan doktor serta doktor pakar.

Kenaikan pangkat berdasarkan ''time-based'' telah dilaksana iaitu melalui pakej akan membolehkan seseorang doktor, bermula sebagai UD41 ''house officer'', mencapai gred UD54 dalam masa 12 tahun jika bukan seorang pakar, dan dalam masa sembilan tahun jika doktor pakar.

Liow berkata, selain faedah istimewa dan peluang kenaikan pangkat, doktor dalam perkhidmatan kerajaan kini menikmati peluang latihan yang lebih baik menerusi peningkatan pengambilan pelatih ''Open Masters Programme'' daripada 400 orang kepada 600 orang sejak 2008 dan ditingkatkan sehingga 800 orang tahun hadapan.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S K Devamany dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot Jaem.

Terdahulu, pada sesi pertemuan itu, Dr Tidi Maharani Hassan, 27, yang juga doktor pakar termuda di Dublin menyatakan kekesalannya terhadap anggapan sesetengah pihak bahawa doktor yang berkhidmat di luar negara adalah mereka yang membazirkan wang kerajaan kerana baginya perkhidmatan mereka di situ adalah untuk mencari pengalaman sebelum berkhidmat dengan kerajaan.

Beliau yang juga doktor pakar paru-paru, berkata beliau berkhidmat di luar negara kerana kelengkapan makmal dan kursus yang dianjurkan amat baik.

Dr Kama Muhammad, 38, yang berkhidmat sebagai doktor pakar bedah di Ireland pula meminta kerajaan melakukan penambahbaikkan dalam semua aspek kerana beliau dimaklumkan terdapat pelbagai masalah dihadapi oleh doktor di tanah air seperti waktu kerja dan kenaikan pangkat.

Dublin adalah satu daripada tempat yang menjadi tumpuan penuntut Malaysia dalam bidang perubatan dan kebanyakan mereka memutuskan untuk terus berkhidmat di situ kerana berpendapat pengurusan masa dan jadual kerja yang memuaskan berbanding Malaysia. - Bernama

Muhyiddin: Kerajaan belum putuskan jual PLUS

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata kerajaan belum lagi memutuskan sama ada akan menjual kepentingan miliknya melalui Khazanah Nasional Bhd dalam Plus Expressways Bhd (PLUS) kepada mana-mana pihak.

"Belum ada apa-apa perkara muktamad. Kalau ada apa-apa perkembangan nanti akan dimaklumkan kemudian," katanya ketika ditemui selepas majlis pembukaan Simposium Pasaran Modal Dunia di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Baru-baru ini, terdapat laporan mengatakan Khazanah Nasional bercadang untuk menjual pegangannya di dalam PLUS.

Khazanah mempunyai pegangan secara langsung sebanyak 16.74 peratus di dalam PLUS dan 38.51 peratus melalui UEM Group.

Mengulas kos sebenar pengambilalihan projek empangan hidroelektrik Bakun oleh kerajaan negeri Sarawak daripada kerajaan pusat, Muhyiddin berkata, soal terperinci mengenai harga sebenar dan cara penjualan akan dimaklumkan kemudian.

Bagaimanapun, beliau percaya harga penjualan adalah berpatutan dan akan diterima oleh kedua-dua pihak.
Mengenai cadangan untuk memperdagangkan ringgit di pasaran antarabangsa, Muhyiddin berkata, kerajaan belum ada cadangan melaksanakannya pada masa ini.

Beliau berkata, banyak perkara perlu diteliti sebelum melaksanakannya.

"Banyak perkara perlu diteliti walaupun kita yakin dalam tempoh dasar yang kita amalkan ini telah memberi kesan yang amat baik kepada negara tetapi kita belum ada cadangan untuk dagangkan ringgit di luar negara," katanya. - Bernama

Malaysia perlu tingkatkan komitmen jangka panjang swasta: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata wujud keperluan bagi meningkatkan fokus pada komitmen sektor swasta bagi tempoh jangka panjang sebagai pemangkin bagi mencapai kemampanan pemulihan ekonomi global.
Perdana Menteri berkata, pelabur kini lebih rela mengelakkan daripada mengambil risiko dengan memberikan keutamaan kepada keselamatan dan kecairan jangka pendek.
"Kesediaan untuk komit dana bagi satu tempoh jangka panjang perlu bagi merangsang persekitaran keusahawanan," katanya pada simposium Pasaran Modal Dunia di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata wujud keperluan untuk mencapai satu keseimbangan yang lebih baik di segi keperluan sosial antara kewangan di satu pihak dan kepentingan masyarakat pada satu pihak yang lain.

"Keuntungan tidak boleh dijadikan motivasi tunggal enterpris kerana ia kemungkinan tidak dapat menampung keperluan masyarakat," katanya.

Najib juga berkata, agenda tadbir urus global perlu melaksanakan anjakan daripada amalan persaingan negara-negara bagi mempromosikan kerjasama global dan kolaborasi.
"Persaingan perlu diuruskan agar ia tidak berubah menjadi kebebasan kepada semua pihak untuk bersaing, yang jika tidak akan menyebabkan kita mengemis daripada jiran kita.

"Pembinaan jambatan yang boleh dipercayai dan keyakinan merentasi sempadan adalah satu tangung jawab pada pandangan saya memerlukan pemberian lebih perhatian daripada yang diberikan sebelum ini," katanya.

Najib juga mencadangkan bahawa tadbir urus antarabangsa disemak semula kerana ia memainkan peranan dalam membentuk satu jalinan antara perniagaan dan kewangan yang diurus dengan baik.

Katanya, pengaturan institusi perlu diperkukuhkan bagi mempromosikan pengagihan kekayaan ekonomi dan kebaikan sosial yang meluas.

"Kawal atur yang baik perlu diterjemahkan kepada pemantauan dan keseimbangan bagi mengelak dominasi oleh pihak berkepentingan yang berpengaruh dalam proses pembuatan keputusan global," katanya. - BERNAMA

AS, Korea Selatan mula latihan antikapal selam

SEOUL: Amerika Syarikat dan Korea Selatan melancarkan latihan bersama antikapal selam bagi menunjukkan kekuatan terhadap Korea Utara ketika parti yang memerintah bakal mengadakan mesyuarat penting.
Latihan itu bermula sehari sebelum persidangan Parti Pekerja di Pyongyang yang dijangkakan akan memberi laluan kepada peralihan kuasa Kim Jong-Il kepada anaknya, Jong-Un.
Latihan di Laut Kuning itu adalah latihan bersama terbaru yang diadakan Seoul sejak Korea Utara dituduh menenggelamkan kapal perang Korea Selatan yang meragut 46 nyawa anak kapalnya.
“Kira-kira 1,700 anggota tentera laut Korea Selatan dan AS terbabit dalam latihan mengesan kapal selam dan latihan peringkat tinggi itu," kata jurucakap Ketua Turus Korea Selatan. - AFP

Gempa bumi kuat 6.1 skala Richter gegarkan selatan Iran

TEHRAN: Gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter menggegarkan selatan Iran hari ini.
Bagaimanapun, tiada laporan kerosakan atau kehilangan nyawa diterima.
Gempa bumi itu melanda bandar Konar Takhteh di wilayah Fars pada jam 2.52 petang dan dirasai sejauh 175 kilometer di wilayah Shiraz.
Saluran televisyen negara itu melaporkan Jabatan Geofizik Universiti Tehran mencatatkan ukuran 6.1 pada skala Richter manakala Jabatan Kajiselidik Geologikal AS (USGS) merekodkan 5.7 pada skala Richter. - AFP

Sunday, September 26, 2010

Malaysia rangka pelan tindakan ekonomi dengan Selatan Thai

KOTA BAHARU: Malaysia akan merangka satu pelan tindakan ekonomi dalam usaha mengukuhkan jalinan kerjasama di lima wilayah yang terletak di sempadan Malaysia dan Thailand.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kerjasama erat untuk membangunkan lima wilayah di utara Malaysia dan Selatan Thailand itu akan direalisasikan bagi memangkin ekonomi dan kemajuan di kedua-dua sempadan berkenaan.


"Seperti kita ketahui, utara Malaysia kurang maju, begitu juga Selatan Thailand yang boleh dikatakan kawasan yang agak ketinggalan.
"Justeru inisiatif untuk menjalin dan mengukuhkan kerjasama erat bagi membangunkan ekonomi di kedua-dua kawasan itu akan diteruskan kerana banyak faedahnya," katanya kepada pemberita selepas sambutan Aidilfitri di Pusat Dagangan Kota Baharu (KBTC) di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga telah merancang pelbagai program dan projek dari semasa ke semasa untuk dilaksanakan di kawasan berkenaan.

"Antara projek yang kita akan laksanakan ialah membangunkan sektor pertanian, Industri Kecil Sederhana (IKS), pembangunan industri halal, pelancongan dan banyak lagi," katanya.

Mustapa berkata banyak potensi untuk pelbagai sektor dibangunkan di kawasan berkenaan kerana kedudukannya yang strategik dan sentiasa dikunjungi rakyat dari dua negara berkenaan.
Beliau berkata inisiatif membangunkan sempadan itu bukan semata-mata untuk membantu negara Thailand tetapi ia lebih kepada kerjasama untuk mengukuhkan pendapatan penduduk di sempadan itu.

"Sebagai contoh di utara Malaysia yang hari ini punca utama pendapatan penduduk adalah getah tetapi ia masih tidak cukup dan perlu ada punca pendapatan lain atau sampingan untuk mengukuhkan ekonomi penduduk," katanya.

Justeru katanya kerajaan akan sentiasa berusaha mencari peluang dan mengenalpasti bidang-bidang lain untuk kelangsungan hidup penduduk, terutama dengan mwujudkan jalinan kerjasama yang kukuh dengan negara-negara jiran. - BERNAMA

Ada kepentingan syarikat dapat projek adalah fitnah: Shafie

LAHAD DATU: Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal menyifatkan dakwaan parti pembangkang beliau mempunyai kepentingan dalam syarikat yang memperoleh projek di bawah kementeriannya adalah fitnah yang tidak berasas.

Katanya dakwaan berkenaan tidak benar sama sekali kerana semua pihak dipelawa untuk menyertai tender terbuka bagi projek yang dilaksanakan di bawah kementerian itu.


"Mustahil untuk semua syarikat yang mendapat projek itu adalah syarikat saya kerana saya tidak berdaftar dengan mana-mana syarikat.
"Proses tender dibuat secara terbuka dan dilakukan oleh Kementerian Kewangan manakala kementerian saya hanya menapis permohonan rakyat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Agensi-Agensi di bawah kementerian itu di sini hari ini.

Beliau berkata setiap senarai projek dinyatakan secara terbuka bagi memberi peluang kepada semua pihak dan bukannya hanya dimonopoli oleh pihak tertentu sahaja.

Naib Presiden UMNO itu berkata, keutamaan diberikan kepada pengagihan projek bagi syarikat yang layak dan mempunyai rekod yang baik dalam menyiapkan sesuatu projek mengikut jadual yang diberikan oleh kerajaan.

"Mungkin ada ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) memperoleh projek berkenaan tetapi mereka adalah ahli perniagaan dan memiliki syarikat," katanya.
Mohd Shafie berkata pembangkang perlu melihat proses pemberian projek di Selangor dan Pulau Pinang jika dibuat secara telus sebelum membuat dakwaan itu. - BERNAMA

Chong Wei juara di Jepun kalahkan Lin Dan

CHONG Wei memperagakan trofi kemenangan apabila muncul juara Terbuka Jepun selepas menewaskan pemain China dan musuh utamanya, Lin Dan, 22-20, 16-21, 21-17, pada perlawanan final, sebentar tadi. - Foto Reuters
CHONG Wei memperagakan trofi kemenangan apabila muncul juara Terbuka Jepun selepas menewaskan pemain China dan musuh utamanya, Lin Dan, 22-20, 16-21, 21-17, pada perlawanan final, sebentar tadi. - Foto Reuters
TOKYO: Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei muncul juara Terbuka Jepun selepas menewaskan pemain China dan musuh utamanya, Lin Dan, pada perlawanan final, sebentar tadi.

Pemain pilihan utama dari Malaysia itu hanya memerlukan masa 81 minit untuk menang ke atas Lin Dan, 22-20, 16-21, 21-17.


Dalam acara perseorangan wanita pula, pemain bukan pilihan yang juga juara remaja dunia 2002, Jiang Yanjiao menewaskan pemain nombor satu dunia, Wang Xin 23-21, 21-18. - AFP

3 suspek kes Sosilawati, jutawan India direman 6 hari

SEPANG: Mahkamah Majistret Sepang membenarkan tahanan reman terhadap tiga suspek termasuk peguam dua beradik dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, bermula hari ini sehingga 1 Oktober ini.
Salah seorang peguam yang mewakili dua beradik itu, Ravi Nekoo memberitahu wartawan di luar mahkamah bahawa tahanan reman selama enam hari itu bagi membenarkan polis melakukan siasatan lanjut mengenai kes kehilangan jutawan lelaki warga India Allal Kanthan Muthuraja sejak 18 Januari lalu.

Semalam, ketiga-tiga suspek yang tamat tahanan remannya di atas siasatan kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain, ditahan semula bagi membantu siasatan kehilangan jutawan dari India itu.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 September lalu, polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.

Ketiga-tiga suspek tiba di perkarangan mahkamah jam 9.35 pagi dalam tiga buah kereta yang berasingan dengan kawalan rapi polis.

Mereka kemudian meninggalkan mahkamah selepas perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Hurman Hussain pada 11.40 pagi.
Ravi berakta majistret telah meminta salah seorang anak guamnya yang mendakwa dipukul oleh pihak polis semasa di reman sebelum ini supaya membuat laporan mengenai perkara itu.

"Kita akan berjumpa dia (anak guamnya) bagi membuat laporan polis," katanya.

Beliau berkata laporan itu dijangka dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di Banting pada hari ini atau dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau berkata seorang lagi suspek masih lagi tidak diwakili peguam.

Selain daripada Ravi, dua beradik peguam itu diwakili oleh Datuk Ng See Teong, R.Pushpa dan Amer Hamzah Arshad. - BERNAMA

UMNO satukan kaum Bumiputera, bawa pembangunan ke Sabah

TAWAU: Kemasukan UMNO ke Sabah sejak 20 tahun lalu berjaya menyatukan kaum Bumiputera di Sabah yang berpecah dan sering berbalah disebabkan perbezaan fahaman parti politik, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata kemasukan UMNO juga telah mewujudkan kestabilan politik di negeri ini yang kondusif untuk pembangunan rakyat.

"UMNO memanjangkan sayapnya ke Sabah ini bertujuan untuk menyatukan kaum Bumiputera. Saya dapat menyaksikan perpecahan di kalangan kumpulan-kumpulan parti USNO, BERJAYA dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
"Tapi bila mana UMNO ke negeri ini, semua kaum mula berteduh dan berpadu dengan teguh di bawah parti keramat UMNO ini," katanya ketika berucap sempena Majlis Gema Aidilfitri, anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Tawau di Kampung Hidayat, di sini malam tadi.

Rentetan daripada peristiwa berkenaan, Shafie berkata, pembangunan terus mencurah ke Sabah dan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak penekanan terus diberi terhadap pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Katanya sepanjang rancangan-rancangan Malaysia yang lalu, inilah buat kali pertamanya Sabah dan Sarawak diberi fokus utama dalam pembangunan luar bandarnya meskipun pada masa yang sama negeri-negeri lain tidak diabaikan.

Bagaimanapun, Shafie berkata rakyat perlu bersabar kerana tidak semua pelaksanaan projek rakyat yang sudah dirancang dan sedang dilaksanakan dapat dilihat dalam sekelip mata kerana ada sesetengahnya mengambil masa disebabkan banyak faktor.
Sebagai contoh, katanya, di Sarawak untuk melaksanakan projek untuk penduduk luar bandar termasuk jalan raya, bekalan air dan elektrik di sesetengah kawasan, bahan binaan dan peralatan terpaksa dibawa menggunakan sungai dan semua ini memakan masa.

Katanya meskipun pelbagai cabaran perlu dihadapi termasuk faktor proses pengambilan tanah untuk melaksanakan projek-projek luar bandar berkenaan namun ia tidak menghalang kerajaan untuk melaksanakannya seperti yang digariskan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).

Beliau berkata semua ini dilakukan kerajaan agar rakyat di luar bandar tidak tertinggal daripada pembangunan arus perdana negara. - BERNAMA

Saturday, September 25, 2010

TASKA terbabit dalam kematian bayi diarah henti operasi: Shahrizat

KUALA LUMPUR: Dua Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA), satu di Putrajaya dan satu lagi di Seremban yang menyebabkan berlaku kematian bayi semasa penjagaan mereka, diarah menghentikan operasi selama tiga hari.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata langkah itu dibuat bagi membolehkan penyiasatan yang lebih terperinci dijalankan terhadap TASKA berkenaan.

Isnin lalu, seorang bayi perempuan berusia tiga bulan, Nur Azwa Safrina Khairul Anuar didapati mati ketika dalam buaian di sebuah Taska di Paroi, Seremban.
Manakala, Selasa lalu, seorang bayi perempuan juga berusia tiga bulan, Farisha Nur Hazreen Mohd Fairuz mati dikatakan akibat tercekik susu yang diberikan pengasuhnya di sebuah Taska di Presint 8, Putrajaya.

"Siasatan awal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati kedua-dua Taska ini tidak berdaftar dengan JKM dan dengan itu JKM mempunyai kuasa untuk mendakwa kedua-dua Taska tersebut," kata Shahrizat dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jika disabit kesalahan, pihak TASKA terbabit boleh diambil tindakan undang-undang iaitu denda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Jika ia membabitkan kesalahan berulang, denda RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali akan dikenakan," katanya.
Shahrizat berkata, selain tindakan undang-undang oleh pihak polis dan JKM, ibu bapa kanak-kanak berkenaan juga boleh mengambil tindakan undang-undang sivil terhadap Taska terbabit.

Beliau menjelaskan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 turut memperuntukkan bahawa sekiranya Taska mendedahkan kanak-kanak sehingga mengalami kecederaan fizikal, sama ada menyebabkan kematian atau sebaliknya, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Peranan dan tanggungjawab pengusaha Taska adalah sangat berat dan penting dalam menentukan keselamatan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka dan sehubungan itu mereka mesti mematuhi piawaian minimum dan syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya.

Ibu bapa juga perlu peka dan boleh merujuk di laman web JKM untuk memastikan status sesebuah Taska sama ada berdaftar atau pun tidak dengan JKM dan orang ramai boleh melaporkan kepada JKM, Taska yang tidak berdaftar atau menghubungi Nur di talian 15999, tambahnya. - Bernama

Muhyiddin ajak ibu bapa galakkan anak-anak guna Internet tingkat pembelajaran

MUAR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengajak semua ibu bapa untuk menggalakkan anak mereka menggunakan kemudahan internet untuk meningkatkan pembelajaran mereka.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kemudahan internet ini banyak memberi faedah dan membolehkan wakil rakyat berhubung dengan orang ramai.

Beliau berkata demikian ketika sidang video dengan seorang bapa pelajar sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Pasir, Mohd Salleh dari Parit Lanjut, Bukit Pasir di sini, hari ini.
Muhyiddin berada di sekolah itu hari ini untuk meninjau kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Pasir yang dibangunkan oleh Telekom Malaysia.

Beliau yang diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Wira Kamaruddin Siaraf; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Halim Shafie dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Zamzamzairani Mohd Isa menghabiskan masa selama sejam untuk mendengar taklimat kemajuan projek tersebut.

Muhyiddin turut menyaksikan interaksi di antara pelajar sekolah tersebut dengan pelajar Sekolah Menengah Puteri, Cyberjaya di mana wakil pelajar kedua-dua sekolah menyatakan betapa berfaedahnya kemudahan tersebut untuk kemajuan pembelajaran.

Projek infrastruktur gentian optik yang dilaksanakan Telekom Malaysia di sekolah itu menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan 10Mbps, satu akses internet yang pantas bagi aplikasi pengajaran dan pembelajaran.
Melalui teknologi tersebut, seorang guru pakar mampu mengajar mata pelajaran kepada pelajar beberapa buah kelas di sekolah yang sama dan sekolah-sekolah lain.

Sehingga kini, kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi di bawah projek SchoolNet itu telah dilaksanakan di 20 buah sekolah di Putrajaya dan lima buah sekolah di Cyberjaya.

Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Pasir menjadi sekolah yang pertama di luar Lembah Klang untuk menerima projek tersebut. - Bernama

Tamadun Melayu lenyap jika sistem pemerintahan, institusi diraja terhapus

PETALING JAYA: Tamadun dan bangsa Melayu dikhuatiri lenyap jika sistem pemerintahan dan institusi diraja tidak terus dipertahankan, kata pensyarah Jabatan Pengajian Cina Universiti Tunku Abdul Rahman, Dr Tee Boon Chuan.

Beliau berkata, masyarakat perlu sedar bahawa sistem pemerintahan beraja yang menjadi tunjang masyarakat Melayu, mempunyai sejarah panjang dan keunikan tersendiri.

Katanya, masyarakat Melayu satu ketika dulu, begitu memandang tinggi sistem pemerintahan beraja sehingga ia mampu menjadi satu daripada faktor perkembangan tamadun Melayu di Nusantara.
"Budaya dan cara hidup yang diamalkan oleh keluarga diraja menjadi warisan turun-temurun, dan keunikan tatacara serta amalan dalam institusi itu sendiri telah menjadi sebahagian daripada identiti bangsa dan tamadun Melayu.

"Jika ia (institusi diraja) lenyap dan dihapuskan, maka terhapuslah Melayu, dan Melayu hanya akan tinggal nama dan rupa bentuk sahaja, tetapi semangatnya telah tiada," katanya ketika ditemui pada Persidangan Kebangsaan Bandingan Pengajian Melayu dan Pengajian Cina di kampus universiti berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata, faktor lain yang menyebabkan institusi diraja wajar dipertahankan ialah kehilangan serta kekurangan salinan kuno yang menggambarkan kehebatan tamadun Melayu suatu ketika dulu, ke tangan pihak asing.

"Jadi, apa yang kita ada kini hanyalah sistem beraja yang dianggap sebagai pemegang sejarah dan warisan tamadun Melayu, dan usaha menghapuskan institusi diraja boleh disamakan dengan usaha melenyapkan warisan dan tamadunnya," kata Dr Tee yang turut membentangkan kertas kerja bertajuk ''Benarkah Melayu Itu Suatu Bangsa Taoisme'' pada persidangan tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata, persidangan berkenaan mampu membuka ruang lebih besar kepada cendekiawan dan orang ramai bagi memahami kebudayaan serta cara hidup masyarakat Melayu dan Cina di negara ini.

Dr Tee berkata, ia kerana usaha memahami kedua-dua kaum kurang dilakukan sehingga kadangkala menimbulkan banyak pergeseran, walaupun mereka berusaha memelihara ketenangan yang dinikmati.

"Ada berapa cendekiawan Melayu yang pakar dalam bahasa Cina, dan berapa orang pula cendekiawan Cina yang pakar dalam bahasa Melayu? Kalau kita tengok semula, bilangannya amat mengecewakan.

"Keadaan yang tidak sihat ini perlu diubah, dan diharap persidangan ini dapat membuka lembaran baru kepada kedua-dua kaum untuk terus memahami aspek budaya dan latar belakang kaum masing-masing dengan lebih mendalam," katanya. - Bernama

Siasatan kes pembunuhan Sosilawati dijangka selesai masa terdekat: KPN

GEORGETOWN: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, hari ini berkata siasatan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, dijangka selesai dalam tempoh terdekat.
"Polis masih meneruskan siasatan (kes pembunuhan Sosilawati)...kita akan selesai tidak lama lagi," katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob sempena Hari Raya Aidilfitri di sini.

Semalam, pasukan forensik polis dilaporkan sekali lagi melawat ladang milik suspek utama kes pembunuhan Sosilawati yang terletak di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, Selangor.
Sosilawati, 47, pemandu Kamarudin Shansuddin, 44, peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang pada 30 Ogos selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 September lalu, polis mengesahkan mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mangsa dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong. – Bernama

Malaysia cadang bangunkan Sekolah Perubatan Johns Hopkins di Serdang

NEW YORK: Malaysia bakal menjadi hab bagi latihan perubatan berkemahiran tinggi apabila kerajaan pada dasarnya bersetuju cadangan membangunkan Sekolah Perubatan Johns Hopkins berserta hospital 600 katil dan sebuah pusat penyelidikan, melalui pelaburan swasta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata institusi itu kemungkinan diwujudkan di sekitar Serdang.“Perjanjian usahasama antara syarikat Malaysia dengan Johns Hopkins Medical International dijangka ditandatangani pada November di Kuala Lumpur,” kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia yang mengikuti lawatan kerja beliau ke sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak kedua ASEAN-Amerika Syarikat dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Sebelum itu, Najib mengadakan pertemuan dengan Presiden Global Ventures Johns Hopkins Medical International di hotel penginapannya di sini.

Menurut Perdana Menteri, sekolah perubatan itu adalah yang terkemuka di dunia dan mempunyai kurikulum baru yang berbeza berbanding kurikulum yang lain.

"Mereka menggunakan falsafah "Genes To Society" iaitu satu pendekatan perubatan bersifat peribadi," kata Perdana Menteri.
Katanya, sekolah perubatan itu menyediakan program graduan selama empat tahun dan bercadang mengambil 100 pelajar setiap tahun dari seluruh dunia.

"Johns Hopkins mempunyai nama yang amat baik. Ideanya ialah bagi menjadikan Malaysia sebagai hab," katanya.

Pada masa ini, terdapat sekurang-kurangnya tiga hospital kerajaan berdekatan dengan Serdang yang boleh digunakan sebagai hospital latihan iatu Hospital Serdang, Hospital Putrajaya dan Hospital Kajang.

Baru-baru ini, laporan akhbar memetik sumber sebagai berkata bahawa pelaburan itu mungkin membabitkan kira-kira RM1.8 bilion.

Kampus Johns Hopkins University terdapat di China, Singapura, Itali dan Amerika Syarikat. - Bernama

Reman suspek kes ugut isteri jutawan India dilanjut enam hari

SEPANG: Tempoh tahanan reman dua suspek kes ugut isteri jutawan dari India, Allal Kathan Muturaja yang dilaporkan hilang di Banting sejak awal tahun ini, dilanjutkan enam hari lagi oleh Mahkamah Majistret Litar di sini, hari ini.
Majistret Hurman Hussain membenarkan permohonan polis berhubung perkara itu bagi membolehkan kedua-dua suspek membantu siasatan kes mengugut isteri jutawan itu yang juga warganegara India, S Usharani, 27.

Ia adalah kali kedua tempoh tahanan reman mereka dilanjutkan.
Kedua-dua suspek disyaki terbabit dengan perbuatan mengugut Usharani bagi memperoleh wang RM100,000 sebagai pendahuluan 10 peratus daripada RM1juta yang kononnya bagi membebaskan Muturaja, 34.

Mereka yang memakai baju lokap berwarna oren, dibawa ke mahkamah pada 9.30 pagi.

Turut kelihatan peguam yang mewakili kedua-dua lelaki itu, Chelvarajan R Suppiah. - Bernama

Laporan berita berserta bukti kukuh perlu diamalkan pengamal media: Maglin

PETALING JAYA: Laporan dan penerbitan berita berserta bukti yang kukuh perlu diamalkan oleh setiap pengamal media supaya media massa terus disegani dan dihormati masyarakat, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D’Cruz.
Katanya, corak laporan yang tidak berasaskan bukti kukuh akan mengundang salah faham dan kontroversi sekaligus akan menyebabkan mereka hilang pengaruh sebagai sumber yang boleh dipercayai oleh masyarakat dalam mendapatkan maklumat.

"Seorang pengamal media perlu sentiasa berhat-hati dalam setiap apa yang ditulis, mereka sewajarnya tidak menulis atau mencipta sesuatu perkara yang belum disahkan lagi kebenarannya.
"Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, penerbitan bahan berita yang tidak disertakan bukti yang kukuh boleh mencetuskan salah faham dan kekeliruan di kalangan masyarakat sekaligus boleh menggugat keamanan di kalangan kaum dan semangat Gagasan 1Malaysia yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Bandingan Pengajian Melayu dan Pengajian Cina di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, kerajaan menerusi kementeriannya sedang mempergiatkan usaha bagi menyemarakkan semangat Gagasan 1Malaysia di kalangan rakyat Malaysia khususnya pada golongan muda.

"Sejajar dengan matlamat ini, kami kini giat memberi penerangan di sekolah-sekolah, di universiti dan di kolej untuk menyampaikan mengenai wawasan negara dan menyemai semangat cintakan negara di kalangan rakyat Malaysia.
"Kami akan cuba sedaya upaya agar gerak kerja untuk mendidik warga Malaysia akan dapat melakar transformasi Malaysia yang bersatu dan berjaya dalam mencapai Wawasan 2020," katanya. - Bernama

Menteri Pelajaran tidak ada kuasa eksekutif: Muhyiddin

MUAR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan bahawa Menteri Pelajaran tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawai perjawatan tetap kerajaan seperti pengetua sekolah.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran mencabar pemimpin DAP, Lim Kit Siang, untuk membuktikan di segi peruntukan perundangan kuasa-kuasa yang dimiliki oleh menteri untuk mengambil tindakan disiplin.

"Lim Kit Siang tolonglah, fahamlah, pergi masuk sekolah belajar undang-undang, tentang pentadbiran atau tentang pengurusan. Dia (Kit Siang) tidak ada pengalaman, dia ketua pembangkang tetapi tidak tahu apa-apa," katanya di Dewan Sri Pekembar, Pagoh hari ini.
Muhyiddin mengulas dakwaan Kit Siang bahawa beliau enggan menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk mengambil tindakan terhadap seorang pengetua di Kulaijaya dan seorang guru di Bukit Selambau yang didakwa mengeluar kenyataan berbaur perkauman baru-baru ini.

Terdahulu, beliau merasmikan program Lonjakan Kecemerlangan Pendidikan Parlimen Pagoh 2010, yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebarang tindakan tatatertib terhadap kakitangan kerajaan berjawatan tetap mestilah mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

Selain itu, menurut beliau, setiap tuduhan juga perlu disiasat dengan teliti, manakala pegawai kerajaan yang dituduh itu diberikan peluang seadil-adilnya untuk menjawab tuduhan terhadap mereka.
"Kita mesti bersikap adil selaras dengan peruntukan Perlembagaan," katanya.

Muhyiddin berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menyiasat tuduhan terhadap guru dan pengetua itu telah pun selesai menjalankan tugas mereka.

Jawatankuasa siasatan itu diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha kementerian.

Muhyiddin berkata, di dalam kes pengetua dan guru sekolah terbabit yang juga adalah pegawai kerajaan berjawatan tetap, kuasa untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka terletak di bahu Ketua Setiausaha Negara.

"Saya tidak boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya di atas desakan politik DAP atau lain-lain pihak. Perkara ini melibatkan perjawatan tetap kerajaan dan kita mempunyai prosedur dan peraturan mengenainya," katanya.

Muhyiddin berkata, tindakan yang diambilnya itu adalah berlainan dengan sikap emosional dan politikal Kit Siang.

"Kit Siang tidak faham, tak pernah jadi pegawai kerajaan. Dia orang politik, 100 peratus totok politik. Dia tidak faham dengan soal pentadbiran," katanya.

Katanya, pemimpin pembangkang itu hanya mahu menarik sokongan golongan tertentu.

Sementara itu, Dr Zulkurnain yang turut berada pada sidang media itu berkata, pihak yang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pegawai kerajaan berjawatan tetap DG48 adalah Ketua Setiausaha Negara.

"Hanya pihak yang melantik (pegawai kerajaan) saja berkuasa dan berhak untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai berkenaan, menteri tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai kerajaan berjawatan tetap," katanya. - Bernama

Najib tawar bantu Obama atasi fenomena Islamophobia di AS

NEW YORK: Malaysia mahu membantu Amerika Syarikat (AS) mengatasi fenomena Islamophobia di kalangan masyarakat kuasa besar itu supaya mereka tidak salah faham dan berpandangan negatif terhadap agama Islam.
Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau sudah menyuarakan perkara itu kepada Presiden Barack Obama ketika mencelah dalam mesyuarat kedua pemimpin ASEAN-Amerika di kotaraya New York, Jumaat (waktu tempatan).

Malah, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Obama kerana pendirian tegasnya terhadap cadangan seorang paderi di Florida untuk membakar kitab suci Al-Quran yang akhirnya membatalkan hasratnya.
Sungguhpun mesyuarat itu lebih berkisar soal perdagangan, keselamatan dan isu serantau, Najib sempat menarik perhatian Presiden Obama mengenai peningkatan fenomena Islamophobia di Amerika Syarikat kebelakangan ini.

Ensiklopedia dalam talian Wikipedia mentafsirkan Islamophobia sebagai ketakutan atau kebencian terhadap agama Islam dan penganutnya.

"Langkah paling penting ialah memberi kefahaman asas mengenai agama Islam bahawa ia membawa nilai-nilai sejagat dan selari dengan konsep pemodenan dan agama yang progresif.

"Islam juga dapat menjamin hak, bukan sahaja orang Islam tetapi juga hak bukan Islam," kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerjanya selama enam hari di New York.
Fobia itu meningkat berikutan cadangan pembinaan pusat Islam dan sebuah masjid di tapak "Ground Zero" iaitu lokasi serangan pada 11 September 2001 yang meranapkan Pusat Dagangan Dunia New York.

Seorang paderi di Florida yang mulanya mengugut untuk membakar kitab suci Al-Quran sempena ulang tahun serangan pengganas 9/11 membatalkan hasratnya berikutan gesaan Obama yang menegaskan bahawa langkah itu hanya menguntungkan al-Qaeda dan membahayakan beribu-ribu tentera AS di Afghanistan dan Iraq.


Mengulas langkah untuk mengatasi fenomena Islamophobia, Najib menegaskan perlunya kefahaman yang lebih baik tentang Islam di kalangan rakyat Amerika Syarikat.

Sebagai contohnya, Perdana Menteri merujuk kepada kajian majalah Time baru-baru ini menunjukkan 26 peratus rakyat Amerika menyangka Presiden Obama adalah beragama Islam.

Najib: "Ini bererti di Amerika Syarikat, pengetahuan tentang perkara seperti ini adalah amat rendah dan peningkatan terhadap apa itu Islam sebenarnya amat perlu dilakukan.

"Dan juga kita tidak seharusnya ditekan oleh kumpulan-kumpulan yang ekstrem yang bersuara lantang hingga mengambarkan seolah-olah seluruh Amerika Syarikat tidak setuju (dengan Islam), tetapi ia (kumpulan ekstrem) sebenarnya cuma kumpulan kecil."

Kaji selidik itu juga menunjukkan tahap keraguan rakyat Amerika hinggakan ada berpendapat seorang Muslim tidak seharusnya menjadi Presiden.

Tunjuk perasaan bagi membantah cadangan pembinaan masjid di Ground Zero kemudian turut diadakan berhampiran bangunan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ketika berlangsungnya sesi ke-65 Perhimpunan Agung PBB.

Najib dijadual menyampaikan ucapan sulungnya pada perhimpunan agung PBB (UNGA) pada Isnin.

Najib berkata, beliau juga memberitahu Obama bahawa Malaysia mengalu-alukan proses damai yang sedang diusaha antara Palestin dan Israel ke arah mencapai penyelesaian konflik berasaskan prinsip kewujudan bersama dua negara.

Perdana Menteri juga menjelaskan mengenai pertemuan beliau dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas di ibu pejabat PBB, Khamis.

Menurut Najib, pemimpin Palestin itu menjelaskan mengenai laluan yang begitu sukar untuk mencapai penyelesaian konflik yang berpanjangan memandangkan pendirian keras rejim Tel Aviv selain masalah kerjasama dengan kumpulan Hamas.

Bagaimanapun, Mahmoud Abbas memberitahunya bahawa keadaan di Tebing Barat kini bertambah baik berbanding masa dulu.

Ia bermakna, menurut Najib, jika rakyat Palestin memilih kedamaian sebagai satu langkah ke hadapan dan bukannya konflik, bererti mereka boleh mendapat masa depan yang lebih baik dan terjamin.

"Peringkat awal sudah boleh lihat dengan baik di Tebing Barat, tetapi masih ada masalah dalaman iaitu dengan Hamas, bagi membolehkan mereka bertindak sebagai satu suara," kata Najib.

Menyentuh pertemuannya dengan Wakil Khas Amerika Syarikat ke Afghanistan dan Pakistan, Richard Holbrooke, Najib berkata, mereka berbincang mengenai pemergian pasukan perubatan dari Malaysia pertengahan bulan depan ke sana atas jemputan kerajaan Afghanistan.

Najib berkata, Holbrooke juga menceritakan kepadanya betapa dahsyatnya kesan banjir di Pakistan baru-baru ini terhadap 20 juta rakyat negara itu, yang disifatkan lebih buruk daripada bencana tsunami.

"Rakyat Pakistan ditimpa musibah yang amat dahsyat dengan kediaman, ternakan, sekolah dan jalan raya musnah teruk. Daripada aspek sosial, bencana ini lebih dahsyat skalanya berbanding tsunami," katanya. - Bernama

MAIPS, Persatuan Islam China kongsi pengalaman

BEIJING: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Persatuan Islam China akan memanfaatkan perkongsian pengalaman terutama dalam usaha membangunkan masyarakat Islam.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah masyarakat Islam di Cina mempunyai pengalaman tersendiri dalam menjalani kehidupan mereka begitu juga dengan umat Islam di Perlis.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs mengadakan pertemuan selama sejam dengan kepimpinan Persatuan Islam China yang diketuai Pengerusinya, Cheng Guan Yuan, di sini malam tadi; yakin jalinan hubungan antara MAIPs dan persatuan itu akan memberi manfaat kepada kedua pihak.
Raja Muda Perlis yang mengetuai delegasi MAIPs dalam rangka lawatan kerja selama seminggu ke China sejak 20 September lalu tiba di sini dari Xian semalam.

Turut menyertai lawatan itu ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu; Setiausaha Kerajaan Perlis, Datuk Azizan Hamid; Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Jafperi Othman; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Abdul Malik Hussin dan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya.

Terdahulu, baginda dan delegasi menunaikan solat Jumaat di Masjid Niu-Jie serta melawat muzium masjid itu.

Pada sebelah petang meninjau pasar mini Islam dan melawat masjid Dong Si yang juga antara masjid terkemuka di sini.
Sebelum itu, baginda bertemu dengan masyarakat Islam di Shanghai dan Xian termasuk melawat beberapa masjid terkemuka bagi bertukar-tukar fikiran dengan pegawai masjid.

Khamis lalu, baginda dan delegasi melawat Masjid Besar Xian yang diasaskan lebih 600 tahun lalu dan bertemu imam besarnya, Ma Liang ji.

Ma yang juga dikenali sebagai Mohd Yunus Ma gembira dengan kehadiran Raja Muda Perlis kerana selama ini beliau memang mengenali ayahanda baginda,
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Ma yang berusia 80 tahun berkata, masjid itu menerima kehadiran lebih 1,000 jemaah pada setiap kali solat Jumaat manakala sepanjang Ramadan pada setiap tahun, masjid itu juga menerima kehadiran ribuan jemaah untuk solat sunat Tarawih setiap malam.

Sebelum itu, ketika di Shanghai, baginda dan delegasi melawat masjid Xiao Tao Yuan dan Masjid Fu You bagi meninjau kegiatan masyarakat Islam di masjid-masjid. - Bernama

PGPO tingkatkan usaha bantu umat Islam selatan Thai

HATYAI: Perdana Global Peace Organisation (PGPO), akan mempertingkatkan usaha membantu umat Islam yang menjadi mangsa keganasan dengan bukan hanya memberi tumpuan kepada Palestin tetapi juga kepada umat Islam di beberapa wilayah yang bergolak di selatan Thailand.
Penasihat PGPO, Datuk Mukhriz Dr Mahathir, berkata PGPO yang sebelum ini memberikan tumpuan kepada Palestin perlu juga melihat umat Islam di rantau ini iaitu penduduk Islam di selatan Thailand yang menghadapi masalah.

Beliau berkata, PGPO sebelum ini mendapatkan sumbangan kira-kira RM1 juta untuk membina sebuah masjid baru di Kampung Pasir Jawa, Saiburi, Pattani sejak 2006 bagi kegunaan umat Islam di sana sebagai simbolik untuk mewujudkan keamanan kerana Islam bukanlah agama keganasan.
"Ini kita lakukan untuk tunjukkan sokongan kepada umat Islam di selatan Thailand. Kita tidak boleh lupakan jiran yang seagama dengan kita.

“Masjid yang dinamakan Masjid Kampung Pasir Jawa itu sudah lebih 90 peratus siap. Sebulan dua lagi ia boleh digunakan umat Islam," katanya di sini.

Beliau berkata, PGPO perlu melakukan sesuatu untuk menyampaikan mesej keamanan dan mahu mengasingkan imej keganasan dengan Islam kerana apa yang berlaku di tiga wilayah selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala tidak semestinya berkaitan dengan agama.

"Malangnya apabila berlaku keganasan ia dikaitkan dengan Islam. Selain itu kita juga akan bantu dari segi ekonomi. Kita mahu tingkatkan perdagangan antara Malaysia dan Thailand di kawasan yang bersempadan," kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.
Mukhriz berkata, Malaysia sendiri sejak dahulu mengamalkan dasar memperkayakan negara jiran kerana jika negara jiran bermasalah, tempiasnya turut terkena kepada Malaysia.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pattani, Nik Mukhtar Waba, berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan bantuan dari negara luar dalam membantu masyarakat Islam di Pattani.

Beliau berkata, walaupun banyak masjid dibina di wilayah bergolak, ia tidak sepatutnya menjadi masalah, sebaliknya beliau yakin pembinaan banyak masjid boleh membawa ketenteraman di wilayah-wilayah berkenaan.

"Sebenarnya pergolakan yang berlaku tidaklah serius seperti yang digembar-gemburkan. Sebenarnya pihak kerajaan masih dapat mengawal keadaan di wilayah-wilayah itu," katanya.

Beliau berkata, kerana itu ramai ahli perniagaan dari Malaysia tetap datang ke Malaysia untuk mengadakan ekspo dan pameran, dan usaha mereka itu mendapat sambutan yang baik daripada penduduk tempatan. - Bernama

Sidang Kemuncak New York: Presiden Obama adakan pertemuan dengan pemimpin ASEAN

NEW YORK: Pemimpin 10 negara anggota Asia Tenggara (ASEAN), Jumaat (waktu tempatan) mengadakan perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sini.
Pertemuan pemimpin ASEAN-AS itu dipengerusi bersama oleh Obama selaku tuan rumah dan Presiden Nguyen Minh Triet dari Vietnam yang juga pengerusi ASEAN.

Mesyuarat selama dua jam itu diadakan di Hotel Waldorf-Astoria di Park Avenue, dan dihadiri oleh kebanyakan ketua kerajaan negara-negara Asia Tenggara.
Mereka termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei Darussalam.

Pada mesyuarat itu, Najib diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Turut hadir, Setiausaha Agung ASEAN, Surin Pitsuwan.

Sidang Kemuncak New York itu diadakan Obama, selepas pertemuan pertama beliau dengan pemimpin Asean di Singapura tahun lalu. Amerika Syarikat dilapor memberi tumpuan khusus kepada rantau itu yang diletakkan pada kedudukan kelima terbesar pasaran eksport komuniti perdagangan Amerika Syarikat. Terdahulu pemimpin ASEAN mengadakan pertemuan pada sarapan pagi dengan wakil Majlis Perniagaan AS.

Sejurus selepas sidang kemuncak itu, Najib mengadakan beberapa pertemuan termasuk dengan Utusan Khas AS ke Afghanistan dan Pakistan, Richard Holbrooke serta Pengasas Wikipedia, Jummy Wales. - Bernama

Penyokong, pemimpin BN perlu yakin menang pilihanraya: Dr Zambry

IPOH: Penyokong dan pemimpin Barisan Nasional (BN) Perak mesti mempunyai keyakinan untuk memenangi semula pilihanraya umum akan datang sebagai prasyarat sebelum berusaha ke arah kemenangan itu.
Pengerusi BN Perak yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata semangat kemenangan itu perlu untuk mengatasi serangan propaganda Pakatan Rakyat yang mempengaruhi psikologi penyokong BN.

Katanya, parti pembangkang menggunakan berita dan rencana dalam portal berita untuk menggambarkan kerajaan BN penuh dengan kemungkaran manakala mereka pemimpin yang sempurna.
"Sebagai parti yang prihatin dan dinamik, BN perlu sentiasa bersiap-sedia menghadapi pembangkang dengan mengukuhkan jentera parti.

"Kita tidak mahu ahli parti berasa selesa dan mengambil mudah persekitaran kerana ini proses pemantapan semangat serta jentera BN.

"Kita mesti sentiasa meneliti perkembangan baru dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah itu hingga memenangi pilihanraya umum akan datang," katanya di sini, petang tadi.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pusat Khidmat Masyarakat Bergerak BN di Bangunan UMNO dan Majlis Hari Raya BN Perak.
Pada majlis itu, Zambry juga menyampaikan derma siswa untuk pelajar sumbangan Yayasan Perak serta bantuan sara hidup untuk golongan kurang berada sumbangan Yayasan Bina Upaya.

Tiga suspek kes Sosilawati ditahan semula berhubung kes bunuh ahli perniagaan India

KUALA LUMPUR: Tiga suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, termasuk dua peguam adik beradik, ditahan semula bagi membantu siasatan polis berhubung pembunuhan seorang ahli perniagaan dari India.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah, berkata polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga suspek esok.


Kehilangan ahli perniagaan, Allal Kathan Muthuraja, turut dikaitkan dengan suspek kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain, apabila dia dilapor hilang selepas dijemput kedua-dua peguam itu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba di Malaysia 18 Januari lalu.
Rabu lalu, polis mengesahkan Muthuraja, 34, yang dilaporkan hilang sejak awal tahun ini, telah dibunuh.

Isteri mangsa, S Usharani, 24, membuat laporan mengenai kehilangan suaminya di Balai Polis Banting pada 8 September lalu dan memberi keterangan berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, semalam.

Ketiga-tiga suspek sebelum ini ditahan reman selama seminggu sejak 12 September lalu, berhubung kes pembunuhan Sosilawati, 47, pemandu peribadi Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32.

Tempoh tahanan reman mereka kemudian dilanjutkan seminggu lagi dan berakhir hari ini.
Keempat-empat mangsa pembunuhan kejam itu dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu, selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 September lalu, polis mengesahkan kesemua mangsa dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor. - Bernama

Friday, September 24, 2010

Tee Keat kemuka bukti isu nombor plat MCA

SEPANG: Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, hari ini mengemukakan surat sebagai bukti bahawa beliau telah menolak permohonan tender nombor pendaftaran kenderaan bagi negeri Melaka iaitu MCA1 sehingga 9999 tidak dibuka kepada umum.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, salinan surat yang bertarikh 16 Mac itu menunjukkan bahawa beliau telah minitkan kepada Setiausaha Sulit Kanannya bahawa permohonan tersebut tidak dipersetujui kerana tidak wajar dan tidak digalakkan, termasuk pada negeri lain.


"Apa yang dihebohkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, adalah surat yang bertarikh 17 Februari tahun ini yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Kanan saya pada ketika itu.
"Pada tarikh tersebut, saya masih bercuti sakit selepas pembedahan tumit saya. Tiada sebarang keputusan utama dibuat dan saya balik bertugas pada awal Mac.

"Pada 16 Mac, kes yang tertunggak dibawa ke perhatian saya, ada yang ditolak dan diluluskan, termasuk kes itu," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Selasa lalu, Kong mengemukakan surat sebagai bukti menunjukkan Setiausaha Sulit Kanan bekas Menteri Pengangkutan itu yang meminta pembukaan tender bagi nombor tersebut dikecualikan.

Semalam, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata arahan supaya tender nombor pendaftaran kenderaan tersebut tidak dibuka untuk tawaran umum masih berkuat kuasa.
Beliau berkata, JPJ memerlukan arahan baru daripada Menteri Pengangkutan sekarang bagi membatalkan arahan menteri terdahulu untuk membolehkan nombor pendaftaran tersebut dibuka kepada umum.

Tee Keat berkata, sebagai Menteri Pengangkutan, Kong sepatutnya menghubungi beliau untuk mendapatkan penjelasan jika terdapat sebarang perkara yang didapati tidak jelas dan samar.

"Bagi saya, perkara ini jika beliau tidak jelas seperti mana yang dijanjikan dahulu, beliau boleh hubungi saya pada bila-bila masa untuk mendapatkan penjelasan dan saya sanggup memberi apa sahaja penjelasan yang diperlukan.

"Tetapi sejak beliau mengambil alih jawatan itu, tidak pernah ada sebarang permintaan untuk penjelasan bagi sebarang perkara termasuk isu ini," katanya.

Tee Keat berkata, sebagai menteri juga, Kong berhak dan mempunyai kuasa untuk memansuh atau membatalkan apa sahaja keputusan yang pernah dibuat sebelum ini termasuk kes itu.

Katanya, beliau juga sedang mengkaji kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kong yang menuduh beliau sebagai pembohong berhubung isu itu.

Mengenai kenyataan Solah, Tee Keat berkata beliau memahami kedudukan Solah sebagai Ketua Pengarah JPJ yang perlu mengikut arahan ketuanya.

"Tapi yang saya tak faham kenapa seorang yang berstatus Menteri Persekutuan sanggup berbuat demikian. Bila samar atau tidak jelas, boleh hubungi saya atau membuat kajian sedalam mungkin dan bukan secara sembarangan, buat kesimpulan dan tuduhan liar," katanya. - BERNAMA

Penjanaan pemikiran berasaskan Islam perlu diberi tumpuan berterusan

PUTRAJAYA: Penjanaan pemikiran yang baik berteraskan Islam bagi kebaikan manusia dan alam seharusnya menjadi tumpuan dan usaha berterusan di kalangan cendekiawan Muslim.

Ia bagi menghasilkan kaedah dan pendekatan yang boleh menandingi dan menyaingi malah mengatasi pendekatan, idea, dan teori Barat yang pada masa ini menguasai dan mempengaruhi alam pemikiran global.
Pengaruh teori Barat itu telah menular di segenap sudut walaupun kadang kala idea dan pendekatan konvensional ini gagal dalam memberi penyelesaian terbaik.
Saranan ini dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menyampaikan ucapan balas selepas dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (Kehormat) Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Canselor USIM, Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin pada Majlis Konvokesyen Khas USIM yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Katanya, tanpa disedari dunia kini menghadapi krisis moral, sosial, politik dan ekonomi kerana terlalu terikat dan terkongkong dengan matlamat dan falsafah yang dicanangkan oleh idea dan teori Barat ini.

“Malah kita kini merasai apa yang kita warisi dan diajar dalam agama kita sesuatu yang tidak sesuai dan ketinggalan zaman,” kata Dr Mahathir.
Umat Islam juga, katanya, merasa rendah diri apabila berdepan dengan teori dan pemikiran yang dibawa oleh pemikir-pemikir Barat yang pada umumnya tidak mengasaskan teori mereka kepada agama.

“Mereka mencipta pelbagai teori dan idea dan diterima dengan patuh oleh masyarakat Islam tanpa usul periksa dan penilaian yang mendalam daripada neraca Wahyu dan bimbingan yang Maha Kuasa,” katanya.

Dr Mahathir berkata, bertolak daripada falsafah kebebasan berfikir dan kebebasan individu tanpa batasan yang dicanangkan oleh teori dan falsafah Barat ini, masyarakat akan kehilangan arah dan matlamat sebenar kehidupan.

Sehubungan itu, katanya, dalam menyediakan pemikiran dan penyelesaian alternatif terbaik kepada pelbagai masalah dan krisis dunia ini, umat Islam memerlukan lebih ramai pemikir dan pencetus idea di kalangan orang Islam sendiri yang mempunyai keupayaan yang tinggi dan boleh memberi keyakinan.

Oleh itu, katanya, masyarakat Islam perlu keluar dari dunia dan budaya retorik kepada yang lebih bermakna dan pendekatan penyelesaian yang lebih praktikal.

Islam katanya, turut menganjurkan kebebasan berfikir namun ia berbeza dengan pendekatan Barat yang tidak terbatas.

“Islam sentiasa meraikan dan mengambil kira konsep keseimbangan dan menolak kebebasan mutlak individu dan amalan tidak terbatas yang menghasilkan sikap keterlaluan yang boleh membawa keburukan serta kesan negatif kepada masyarakat,” katanya. - Bernama