Followers

Wednesday, September 1, 2010

KL belum cadang keluar nasihat perjalanan ke Indonesia: PM

PUTRAJAYA: Malaysia belum bercadang mengeluarkan nasihat perjalanan ke Indonesia membabitkan rakyat negara ini berikutan perkembangan terbaru demontrasi anti Malaysia di negara itu, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan Buku Mesej Selamat Hari Merdeka oleh Pengetua Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, di pejabatnya di sini, tengah hari tadi.

Tarikh lihat anak bulan Syawal 8 September

KUALA LUMPUR: Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menentukan Hari Raya Aidilfitri tahun ini ialah pada 8 September ini.

Ia akan dilakukan di 30 tempat yang ditetapkan di seluruh negara, demikian menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini.
Majlis Raja-Raja sudah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia akan mengisytiharkan melalui radio dan televisyen pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa yang ditetapkan.

Tempat melihat anak bulan adalah Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara (Melaka); Teluk Kemang, Port Dickson (Negeri Sembilan); Bukit Melawati, Kuala Selangor (Selangor); Pulau Angsa (Selangor); Bukit Jugra (Selangor), Pantai Pasir Panjang (Perak); Pantai Aceh (Pulau Pinang); Kampung Pulau Sayak (Kedah); Pemandangan Indah, Pulau Langkawi (Kedah); Menara Alor Setar (Kedah).

Selain itu, Bukit Besar, Kuala Terengganu (Terengganu); Bukit Kemuning (Terengganu); Pulau Perhentian (Terengganu); Balai Cerap KUSZA, Bukit Peraksi, Pasir Puteh (Kelantan); Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai (Kelantan); Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu (Kelantan).

Turut terbabit Tanjung Lubang, Miri (Sarawak); Teluk Bandung, Kuching (Sarawak), Tanjung Batu, Bintulu (Sarawak); Balai Cerap Al-Biruni, Putatan, Sabah; Bukit Tanjung Batu, Nenasi (Pahang); Gunung Berincang, Cameron Highlands (Pahang); Bukit Pelindung, Kuantan (Pahang).

Menara Universiti Malaysia Sabah (Labuan); Menara Kuala Lumpur (Kuala Lumpur); Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat (Perlis). - Bernama

Gempa bumi sederhana melanda Ceram, Kepulauan Mariana

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana melanda Ceram, Indonesia dan Kepulauan Mariana, di Filipina awal hari ini.

Jabatan Meteorologikal Malaysia dalam satu kenyataannya, berkata gempa pertama berukuran 5.3 skala Ritcher berlaku pada jam 4.47 pagi di Ceram kira-kira 59 kilometer (km) barat laut Ambon, Indonesia dan 1,378 km tenggara Tawau, Sabah.
Gempa kedua berukuran 5.2 skala Ritcher berlaku pada 5.15 pagi di Kepulauan Mariana, 2,196 km timur laut Davao, Filipina dan 3,045 km timur laut Sandakan, Sabah.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan. - Bernama