Followers

Tuesday, October 5, 2010

Islam bukan satu ancaman: Najib

BRUSSELS: Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ingatan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Islam bukan satu ancaman dan bahawa Islamophobia sering dicetuskan oleh ekstremis dalam semua agama.

Perdana Menteri berkata, masyarakat antarabangsa perlu melihat Malaysia sebagai contoh jelas bagaimana rakyat dari pelbagai agama dapat hidup bersama secara harmoni.
Bercakap pada perbincangan meja bulat media yang dihadiri pertubuhan media antarabangsa yang berpangkalan di sini, Najib berkata konflik yang timbul bukan di antara agama tetapi antara ekstremis dan puak sederhana bagi semua agama. "Islam tidak sepatutnya satu masalah asalkan wujud kesederhanaan dalam semua agama," katanya.

Islam adalah antara perkara yang dibangkitkan semasa sesi itu dan Najib ditanya berhubung cara Malaysia menangani persepsi terhadap agama di kalangan masyarakat Eropah di tengah-tengah perundingan perjanjian perdagangan bebas Eropah-Malaysia, yang akan dilancarkan di sini hari ini.

Najib berkata adalah lebih baik jika masyarakat Eropah dapat menyertai dialog dengan negara-negara Islam sederhana seperti Malaysia.

Sambil menyatakan bahawa beliau tidak merestui tindakan golongan ekstremis, Najib berkata usaha bagi menyelesaikan Islamophobia ialah mencari jalan penyelesaian jangka panjang kepada isu rakyat Palestin.
Katanya nasib rakyat Palestin, yang telah dinafikan hak mereka, "menyentuh perasaan di kalangan dunia Islam."

"Setengah orang berasa jika tiada lagi harapan, apa lagi yang ada untuk menyambung hidup," katanya sambil menambah sebaik masalah rakyat Palestin diselesaikan, keganasan akan reda. - BERNAMA

Ketua AMK beri keterangan berhubung dakwaan kes pembunuhan Sosilawati

SHAH ALAM: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar, dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, pagi tadi, berhubung siasatan dakwaannya bahawa kepimpinan tertinggi PDRM mempunyai kaitan dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, akhir Ogos lalu.

Shamsul yang tiba di IPD Shah Alam kira-kira jam 11.15 pagi tadi, turut ditemani peguamnya, Yusmadi Yussof dan seorang peguam daripada Majlis Peguam, Fadiah Najwa Fikri.
Beliau selesai memberi keterangan kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Malaysia bangkitkan isu kesan ICT terhadap nilai budaya di ITU

GUADALAJARA (Mexico): Kesan teknologi maklumat terhadap nilai budaya adalah antara isu pokok yang akan dibangkitkan oleh Malaysia pada persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) ke-18 yang bermula di sini, semalam.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata isu jenayah siber serta pencerobohan terhadap peribadi individu akan turut dibawa oleh Malaysia pada persidangan yang dihadiri lebih 2,000 peserta dari 160 negara.
Beliau berkata, pihaknya akan turut mengetengahkan aspek perundangan sama ada undang-undang sedia ada, termasuk undang-undang tempatan, bagi menangani jenayah siber tanpa bantuan tenaga antarabangsa.
"Ini adalah sebahagian dari isu yang harus kita ketengahkan dan semoga mendapat sokongan dari pihak ahli," katanya selepas perasmian persidangan itu oleh Presiden Mexico Felipe Calderon di Guadalajara Expo Centre di sini.

Rais dijangka berucap pada sesi pleno persidangan itu Selasa pagi.

Persidangan empat tahun sekali itu yang akan berlangsung sehingga 22 Okt ini turut menyaksikan pemilihan ahli Majlis Tertinggi ITU serta keahlian Lembaga Badan Pengawalseliaan Radio (RRB).

Plenipotensiari ITU ialah sidang global yang diadakan empat tahun sekali bagi menetapkan strategi ITU, agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang bertanggungjawab memperuntukkan antara lainnya piawaian teknikal untuk semua jaringan ICT dan membangun dan melaksanakan strategi untuk mengurangkan jurang digital.
Pemilihan lima ahli eksekutif ITU bersama pemilihan ahli RRB dan negara ahli yang akan terdiri daripada ahli Majlis ITU bagi tempoh empat tahun sehingga Plenipotensiary berikutnya, akan berlangsung pada Khamis.

Ia bermula dengan pemilihan Setiausaha Agung dan Timbalan Setiausaha Agung dan seterusnya Pengarah Biro Perhubungan Radio, Biro Pempiawaian Telekomunikasi dan Biro Pembangunan Telekomunikasi.

Seramai 21 calon bertanding merebut 12 kerusi RRB manakala calon dari 65 negara bertanding untuk kerusi Majlis ITU.

Jumlah kerusi yang bertanding bagi ahli Majlis berkemungkinan meningkat pada persidangan ini kerana terdapat beberapa cadangan dari negara ahli ITU.

Kemasukan Timor Leste sebagai ahli baru ITU pada Ogos 2010 menjadikan jumlah keseluruhan ahli ITU kepada 192.

Malaysia, yang telah dipilih menganggotai Majlis Tertinggi ITU sejak tiga penggal berturut-turut bagi mewakili rantau Asia dan Australasia, akan turut mempertahankan jawatan.

Begitu juga dengan kedudukan di RBB, Malaysia yang diwakili Dr Ali Ebardi telah terpilih buat pertama kali pada persidangan lepas di Turki pada tahun 2006, akan mempertahankan kedudukan tersebut.

Ali, yang juga Naib Presiden Measat Satellite Systems Sdn Bhd, adalah juga Pengerusi RBB.

Rais berkata, jika Malaysia tidak mendapat kedudukan utama bagi kerusi Majlis Tertinggi ITU, ianya tidak menjadi isu memandangkan Malaysia telah lama diberi tempat untuk menduduki kerusi tersebut.

"Malah Malaysia akan terus mempelopori dan memperjuangkan isu mengenai teknologi maklumat," katanya.

Rais berkata, pencapaian Malaysia dalam bidang ICT amat membanggakan, dan akhir tahun ini kadar penembusan internet akan melebihi 50 peratus dan ia adalah pencapaian yang sangat tinggi terutama dengan pembabitan penduduk di luar bandar.

Beliau juga berkata, melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Malaysia perlu membuat jaringan dengan pengawal selia yang lain bagi meningkatkan lagi kedudukan negara dari segi kesahihan.

Buat pertama kali pada persidangan ini ia akan menampilkan sesi debat antara pakar dari pihak kerajaan dan industri bagi membincangkan isu seperti sekatan kemasukan jalur lebar, peranan penting ICT untuk mengatasi perubahan iklim dan keselamatan siber. - BERNAMA

TKSU Kementerian Pengajian Tinggi meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ramli Hasan, 52, yang meninggal dunia pada awal pagi tadi, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lebuh Raya Karak-Kuala Lumpur di Gombak di sini.

Allahyarham yang meninggal dunia di Hospital Selayang pada jam 2.53 pagi meninggalkan isteri Datin Kasiah Tahir, 49, dan lima orang anak.
Anak keduanya, Aizat Akmal Ramli, 23, berkata ayahnya yang tidak pernah mengalami apa-apa penyakit tetapi mengadu sakit dada tengah malam tadi.
"Lepas itu kami bawa ayah ke klinik tapi mereka kata ayah tidak sakit apa-apa, dan kemudian kami balik semula ke rumah dan saya tidur balik.

"Tapi apabila baru sahaja melelapkan mata, emak kejutkan kami supaya bangun, katanya ayah dah sakit tenat.

"Kami kemudian bawa ayah ke Hospital Selayang dan dimasukkan ke wad kecemasan tapi tak lama kemudian mereka kata dah tak dapat buat apa-apa," katanya kepada pemberita di Taman Batu Muda di sini hari ini.
--LAGI
TKSU-MENINGGAL 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

Aizat Akmal berkata sebelum menghembuskan nafas terakhir ayahnya sempat berpesan kepadanya supaya menjaga adik-adiknya yang lain dengan baik.
Turut menziarahi Allahyarham ialah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Tan Sri Dr Zulkefli A. Hassan serta pegawai kementerian.
-- BERNAMA

Polis siasat laporan Timbalan Pengarah BTN Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat laporan yang dibuat oleh Timbalan Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Wilayah Persekutuan, Hamim Husin berhubung dakwaan laman portal berita 'Malaysian Insider' yang mendakwa beliau telah membuat kenyataan berbaur perkauman baru-baru ini.

Hamim, membuat laporan itu di Balai Polis Daerah Sentul jam 12.30 tengah hari, semalam, tetapi beliau enggan mengulas kandungan laporannya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan akan memanggil saksi lain jika ada, secepat mungkin.
"Kita juga akan menyiasat jika ada akta lain yang boleh disabitkan seperti Akta Hasutan," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Minggu lalu, Pergerakan Puteri UMNO juga telah membuat laporan polis berhubung perkara yang sama di IPD Sentul.

Bagaimanapun, beliau berkata tindakan akan dibuat setelah siasatan dan laporan penuh disiapkan.

Sebelum ini, laman portal berita itu melaporkan bahawa pegawai kanan BTN itu telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman pada sesi tertutup dengan Pergerakan Puteri UMNO pada 27 September lalu.
Berikutan laporan itu, Kabinet telah meminta Ketua Setiausaha Negara untuk menyiasat perkara itu terlebih dahulu sebelum tindakan susulan diambil. - BERNAMA