Followers

Tuesday, September 14, 2010

Sosilawati usahawan berjaya, disegani: Khalid

KUALA LUMPUR: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, yang dibunuh dengan kejam bersama tiga individu lain, adalah usahawan berjaya dan disegani, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Beliau berkata, Sosilawati, yang juga ahli Dewan Perniagaan Melayu Wilayah Persekutuan dan Selangor, mempunyai kebolehan dan keupayaan dalam bidang perniagaan.
Abdul Khalid berharap supaya penyiasatan terhadap kes itu dapat dilakukan segera untuk mententeramkan kembali keadaan.
"Saya yakin pihak polis sudah menjalankan kerja dengan sebaiknya dan setakat ini pun mereka telah menunjukkan kecekapan dalam mencari maklumat berikutan kes ini," katanya kepada pemberita selepas melawat ahli keluarga Sosilawati di Gombak dekat sini, hari ini.

Menteri Besar Selangor itu berkata, beliau sempat menemui mangsa keetika menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, dua hari sebelum Sosilawati dilaporkan hilang.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Ahad lalu, Polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat di Kuala Langat. - Bernama

Pakistan, Malaysia tubuh jawatankuasa bersama kaji semula perjanjian ekonomi

KUALA LUMPUR: Pakistan dan Malaysia bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa bersama bagi mengkaji semula Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-Pakistan (MPCEPA).
Dalam satu kenyataan hari ini, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di sini berkata, perjanjian berkenaan yang dimeterai pada November 2007, bertujuan untuk terus meningkatkan kerjasama ekonomi, memudahkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Pesuruhjaya Tingginya ke Malaysia, Masood Khalid, berkata penubuhan jawatankuasa bersama berkenaan adalah langkah penting untuk menggalakkan perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
"Ia juga akan mengkaji semula pelaksanaan dan operasi perjanjian, menimbang dan mencadangkan sebarang pindaan dalam perjanjian perdagangan bebas, memudahkan pengelakkan dan penyelesaian pertikaian yang timbul daripada perjanjian, mengawal selia dan menyelaras kerja jawatankuasa kecil serta mengguna pakai keputusan yang sewajarnya," katanya.

Beliau berkata, pelbagai jawatankuasa kecil mengenai perdagangan dalam barangan dan perkhidmatan, prosedur kastam, pelaburan dan kerjasama ekonomi juga akan diwujudkan untuk mengemukakan cadangan kepada jawatankuasa bersama itu untuk penyesuaian akhir.

"Mesyuarat jawatankuasa bersama itu akan tentunya membantu dalam menyelesaikan beberapa isu.

"Ia juga akan memberi laluan kepada kerjasama ekonomi yang lebih luas antara kedua-dua negara dalam sebarang bidang dalam skop perjanjian yang dipersetujui bersama," kata beliau. - Bernama

Dua beradik kembar dilaporkan hilang kirim SMS pada ibu pagi tadi

IPOH: Dua adik beradik kembar perempuan yang dilaporkan hilang selepas ke rumah kawan lelaki mereka di Parit, dekat sini pada hari raya kedua akhirnya mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ibu mereka pagi ini menyatakan mereka selamat.
Ibu berkenaan, Harlizah Samah ketika dihubungi berkata beliau menerima SMS daripada anaknya itu pada 9 pagi.
"Mereka meminta maaf. Mereka juga kata ''mereka selamat''. Jangan risau dan jaga diri mama''. Itu saja," katanya.
"Mereka tidak pula menyatakan di mana mereka berada," kata Harlizah.

Beliau merayu kepada anak-anaknya itu supaya pulang ke rumah dan jika ada apa-apa masalah ia boleh dibincangkan.

Dua beradik itu dan seorang rakan mereka dilaporkan hilang selepas beraya di rumah kawan pada hari raya kedua, dikesan telah ke rumah seorang rakan lelaki mereka di Parit, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh, berkata pada 12 September iaitu hari raya ketiga, kesemua mereka turut dikesan pergi ke Teluk Intan dan dalam masa yang sama ada menghubungi rakan-rakan mereka yang lain namun apabila dihubungi semula talian mereka dimatikan.
"Bagaimanapun kita masih cuba mengesan di mana mereka berada. Mengikut keterangan ibu bapa kepada teman lelaki itu, kesemua yang dilaporkan hilang itu telah bermalam di rumah mereka di Parit dan anak lelaki itu juga (kini) tidak pulang ke rumah," kata Aziz.

Mereka yang hilang itu ialah Nurulashiqin Kamarazmi dan kembarnya, Nurulain bersama Suhaily Abdul Razak masing-masing berusia 14 tahun.
Mereka berasal dari Taman Sentosa di Kampar dekat sini.

"Polis percaya kesemua mereka itu tidak dikurung atau ditahan.

"Mereka ini dipercayai mengambil kesempatan sempena cuti sekolah untuk keluar rumah berjumpa dengan kawan-kawan sehingga menimbulkan kerisauan kepada ibu bapa," kata Abdul Aziz. - Bernama

Jangan jadikan kes pembunuhan kejam Sosilawati isu perkauman, politik

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, meminta orang ramai tidak mempolitikkan dan menjadikan kes pembunuhan kejam melibatkan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi individu sebagai satu isu perkauman.
Katanya, kes tragik itu mesti ditangani dengan rasional dan waras tanpa pengaruh negatif yang boleh mengundang perkara tidak diingini berlaku.
"Jika semua isu dalam negara ini kita lihat daripada segi perkauman, kita hanya akan mengundang bahaya yang amat sangat kepada negara. "Kita tidak boleh biar sentimen seperti ini (perkauman) berlaku serta berlanjutan," katanya ketika ditemui selepas melawat keluarga Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak dekat sini, hari ini.

Shahrizat, yang juga Ketua Wanita UMNO, berkata: "Jangan bawa politik dalam semua aspek kehidupan kerana kita tidak mahu hidup kita hanya berputar dan berlandaskan kepada kepentingan politik semata-mata."

Shahrizat berharap semua suspek yang didapati bersalah dalam kes berkenaan dijatuhi hukuman maksimum dan setimpal dengan jenayah dilakukan.

Beliau mengingatkan rakyat Malaysia untuk tidak terlalu berserah kepada pihak berkuasa semata-mata tetapi perlu bersama-sama membanteras perlakuan jenayah seperti ini.
"Kita tidak mahu budaya keganasan atau jenayah diterima begitu sahaja dan membiarkan ia sebati di dalam masyarakat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC, T Mohan, menganggap mereka yang melakukan jenayah kejam itu lebih zalim daripada binatang.

"Kami terkejut ada rakyat Malaysia yang sanggup melakukan kekejaman melampau, pembunuhan ngeri sebegini. Ini bukan budaya kita dan ini sangat mengganggu fikiran," katanya dalam satu kenyataan.

Mohan berharap polis akan menjalankan siasatan terperinci dan menghadapkan para penjenayah berkenaan ke muka pengadilan dengan segera bagi memastikan keadilan kepada mangsa. - Bernama

Kes Sosilawati: Polis minta media tidak timbulkan spekulasi

KUALA LUMPUR: Bukit Aman meminta media tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya seperti dilaporkan sebelum ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata ia dikhuatiri boleh menganggu perjalanan proses siasatan dan pendakwaan kes itu.

Suspek utama pembunuhan Sosilawati, tiga lain dibawa ke pejabatnya

SHAH ALAM: Suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, dibawa ke pejabatnya yang terletak di seberang jalan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, sebentar tadi.

Dia yang tiba dengan sebuah kereta Proton Waja berlambang Polis kira-kira jam 10.45 pagi di depan pejabatnya tetapi meninggalkan perkarangan rumah kedai dua tingkat itu, kira-kira lima minit kemudian, selepas percubaan membuka mangga kunci pejabat itu gagal.
Suspek yang dibawa semua ke IPD Kuala Langat untuk mengambil kunci baru, dibawa semula ke pejabatnya kira-kira jam 11 pagi diikuti anggota forensik, sebelum masuk ke pejabatnya di tingkat dua bangunan rumah kedai tiga tingkat itu.

Muhyiddin kutuk pembunuhan kejam Sosilawati, tiga individu lain

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengutuk perbuatan pembunuhan kejam membabitkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.
Terkejut dengan kes pembunuhan empat individu itu di bulan Syawal yang mulia ini, Muhyiddin dalam satu kenyataannya hari ini berkata: "Tiada insan yang berfikiran waras akan bertindak sedemikian".
Muhyiddin turut menyampaikan salam takziah kepada anggota keluarga Sosilawati, Kamaruddin Shansuddin, Ahmad Kamil Karim dan Noorhisham Mohammad berikutan kehilangan orang tersayang dan berharap kaum keluarga terbabit tabah menghadapi tragedi itu.
"Saya berdoa roh mereka ditempatkan di kalangan para solihin. InsyaAllah. Amin Ya Rabbal Amin," katanya.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat di Kuala Langat.

Muhyiddin berkeyakinan pihak berkuasa akan memastikan pembunuh terbabit akan dihadapkan ke muka pengadilan.
"Saya meminta kerjasama semua untuk bertenang dan menghulurkan bantuan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kes tersebut kepada pihak berkuasa supaya ia dapat diselesaikan dengan segera," katanya. - Bernama

Ops Sikap 22: 18 maut pada hari ke-11

KUALA LUMPUR: 18 kematian dicatat pada hari ke-11 Ops Sikap ke-22 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sejak operasi itu bermula 3 September lalu ialah 187 mangsa.
Laman web Polis Diraja Malaysia, berkata mereka yang terkorban membabitkan 12 penunggang motosikal, empat pengguna kereta, seorang pemandu lori dan seorang pejalan kaki.
Jumlah kematian yang dicatat pada hari ke-10 kempen itu ialah 18 orang. Selain itu, sebanyak 1,219 kemalangan dilapor berlaku semalam dengan 138 di lebuh raya, 335 di jalan persekutuan, 196 jalan negeri, 473 jalan bandaran dan 77 lagi di jalan-jalan lain.
Sebanyak 11,072 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Ops Sikap ke-22 akan berakhir Jumaat ini. - Bernama