Followers

Tuesday, February 16, 2010

Maulidur Rasul: Umno Kelantan sifatkan kenyataan Nik Aziz satu kompromi politik

KOTA BHARU: Umno Kelantan menyifatkan kenyataan, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkenaan sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini adalah kompromi demi politik.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ini kerana tidak sewajarnya kenyataan sedemikian keluar daripada mulut seorang tokoh ulama.

"Umno Kelantan dukacita dengan kenyataan Nik Aziz kerana Maulidur Rasul telah menjadi amalan di negara ini.

"Beliau sanggup mengatakan tiada fadilat dalam sambutan itu semata-mata atas kehendak politik DAP dan membelakangkan amalan yang dibuat di negara kita, sambutan itu bukan sahaja diamalkan di negara kita malah ia juga diamalkan di negara-negara Islam lain," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan pemimpin Umno Bahagian Kubang Kerian, di sini hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang antara lain dilaporkan sebagai berkata bulan ''Maulud'' tidak mempunyai fadilat atau sebarang kelebihan berbanding bulan Ramadan.

Kenyataan Mursyidul Am Pas itu menimbulkan kontroversi memandangkan kerajaan Pulau Pinang yang diteraju DAP iaitu sekutu Pas dalam pakatan pembangkang sebelum ini dikecam kerana didakwa membatalkan perarakan sambutan Maulidur Rasul di negeri berkenaan.

DAP bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan mengeluarkan satu Pekeliling menyatakan sambutan akan diadakan.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata kenyataan Nik Abdul Aziz itu juga memperkecil-kecilkan sambutan Maulidur Rasul yang telah sekian lama diamalkan di negara ini.

"Saya yakin umat Islam tidak setuju dengan pandangan (Nik Aziz) ini," katanya. - Bernama

Robert Kuok kekal orang terkaya di Malaysia

KUALA LUMPUR: Kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia terus mencatat peningkatan dengan kekayaan mereka yang terkumpul bernilai RM156.7 bilion pada 15 Januari atau 63 peratus lebih daripada RM96.3 bilion berikutan pemulihan dalam pasaran saham, demikian didedahkan hasil satu kaji selidik oleh Malaysian Business.

Bagaimanapun, menurut kenyataan hasil kaji selidik majalah itu yang dikeluarkan hari ini, kekayaan terkumpul mereka masih kurang daripada RM171.9 bilion yang direkodkan pada 2008.

Penanda aras FBM KLCI telah meningkat 44.3 peratus sejak kaji selidik terakhir ketika masyarakat dunia berusaha bangkit semula berikutan krisis kewangan global.

Senarai penuh 40 orang terkaya dan maklumat mengenai kekayaan mereka diterbitkan dalam majalah itu dalam keluaran hari ini.

Seperti tahun lalu, kekayaan 40 teratas itu dinilai berdasarkan kepada nilai saham mereka di dalam syarikat yang tersenarai pada 15 Januari tahun ini.

Kaji selidik itu juga menunjukkan hampir separuh daripada senarai yang tercatat tahun ini melonjak 50 peratus atau lebih.

Ada lebih jutawan tahun ini, iaitu 22 orang - lebih lapan orang berbanding tahun lalu.

Tan Sri Robert Kuok daripada Kumpulan Kuok yang melepaskan mahkota "Raja Gula" tahun lalu, masih mendahului senarai dengan kekayaan RM42.76 bilion, meningkat RM16.1 bilion daripada RM26.6 bilion, setahun lalu.

Hartawan telekomunikasi, Ananda Krishnan berada pada kedudukan kedua dengan kekayaan RM27 bilion.

Tan Sri Lee Shin Chen daripada IOI Corporation Bhd menduduki tempat ketiga dengan kekayaan RM11.92 bilion diikuti ahli perbankan terkemuka Tan Sri Teh Hong Piow dengan kekayaannya berjumlah RM10.86 bilion.

Tan Sri Lim Kok Thay daripada Kumpulan Genting dengan kekayaan bernilai RM10.38 bilion, melonjak kepada kedudukan kelima. Ini kerana beliau mewarisi sejumlah besar kekayaan daripada mendiang bapanya, Tan Sri Lim Goh Tong.

Tan Sri Quek Leng Chan daripada Kumpulan Hong Leong menduduki tempat keenam dengan RM7.09 bilion manakala Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary daripada Yayasan Albukhary dengan kekayaan bernilai RM6.01 bilion, menduduki tempat ketujuh.

Jutawan lain yang tersenarai dalam 10 teratas adalah balu Lim Goh Tong, Puan Sri Lee Kim Hua, Tan Sri Tiong Hiew King daripada Rimbunan Hijau Group dan Tan Sri Vincent Tan daripada Berjaya Group.

Lima muka baru dalam senarai itu ialah Lee Swee Eng daripada KNM Group, Datuk Shahril Shamsuddin dan Shahriman Shamsuddin daripada Sapura, Datuk Seri Nazir Razak daripada CIMB Group dan Ong Leong Huat daripada OSK Holdings yang muncul semula dalam senarai itu selepas tiada dalam tempoh setahun. - Bernama

Bantu wanita hamil bermasalah: MIC

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan satu mekanisme bagi mendampingi ibu yang membuang bayi, kata Timbalan Presiden MIC Datuk G Palanivel.

"Mereka yang membuang bayi selalunya adalah wanita yang mengalami krisis. Mereka terdiri daripada ibu-ibu yang hidup dalam keadaan tidak selamat. Mereka adalah wanita yang mahu menyembunyikan kehamilan.

"Sepanjang tempoh mengandung, ibu-ibu ini mengalami krisis emosi dan tidak mendapat sokongan anggota keluarga serta kawan rakan. Ada juga mereka yang membuang bayi kerana panik," kata Palanivel dalam blognya www.gpalanivel.com.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini berkata, kerajaan juga perlu mewujudkan satu sistem dan melatih pegawainya bagi mengesan ibu yang mengalami masalah demikian.

Katanya, perbuatan membuang bayi boleh dikurangkan melalui pendekatan yang komited dalam menangani masalah itu.

"Pendekatan yang baik ialah mewujudkan satu sistem bagi membantu ibu-ibu begini secara diam-diam. Kaunseling dan bantuan juga perlulah diberi bukan secara terang-terangan. Identiti mereka perlu dirahsiakan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mencari kaedah penyelesaian jangka panjang terhadap masalah yang semakin berleluasa ini, termasuk menyediakan dana yang secukupnya.

"Kerajaan juga perlu menyusun program bagi mendidik dan membantu mencegah kes kehamilan yang tidak diingini," katanya.

Palanivel berkata, mereka yang hamil perlu digalakkan melahirkan anak di tempat selamat dan bagi mereka yang "bercadang" membuang bayi, sediakanlah ruang yang selamat bagi bayi mereka.

"Ini mungkin klinik LPPKN, klinik kesihatan kerajaan, hospital daerah, hospital swasta, klinik 24 jam dan rumah kebajikan yang dikendalikan kerajaan. Tempat-tempat ini perlulah bersedia memberi bantuan kepada bayi yang dibuang.

"Identiti ibu berkenaan perlu dirahsiakan dan dia tidak patut diugut untuk dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Beliau berkata, langkah itu boleh mencegah atau sekurang-kurangnya mengurangkan jumlah kematian bayi yang dibuang.

"Lebih penting menyelamatkan nyawa seseorang bayi daripada mengheret ibu yang membuangnya ke mahkamah! Siapa tahu, mungkin suatu hari nanti, bayi yang membesar di rumah kebajikan dan diberi didikan yang baik ini akan menjadi warganegara yang baik apabila mereka dewasa," katanya. - Bernama

Pembinaan rumah rakyat miskin di KB dalam RMK-10

KOTA BHARU: Projek pembinaan rumah untuk rakyat miskin di Kota Baharu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi memastikan golongan miskin dan miskin tegar di bandar ini memiliki rumah sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata lebih 50 peratus daripada 100,000 penduduk bandar Kota Bharu masih menyewa dan tidak mampu memiliki rumah sendiri disebabkan kemiskinan.

"Kalau di negeri lain kebanyakan masalah yang dihadapi adalah masalah kemudahan atau kekurangan infrastruktur tetapi di Kelantan masalah pemilikan rumah di kawasan bandar khususnya.

"Sudah lebih 20 tahun kerajaan negeri memerintah Kelantan tetapi sehingga kini isu itu (pemilikan rumah) masih tidak selesai dan menjadi masalah utama penduduk di sini yang masih ramai terdiri daripada golongan miskin dan miskin tegar," katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan khas bersama pemimpin BN di sini hari ini.

Sambil menyifatkan jumlah itu adalah tinggi berbanding negeri lain, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri berkata peruntukan dalam RMK-10 itu bukan sahaja untuk pembinaan rumah mampu milik, tetapi turut merangkumi peruntukan menyediakan tanah yang mampu dibeli oleh golongan tidak berkemampuan itu bagi membina kediaman masing-masing. - Bernama

Gempa kuat 6.2 magnitud landa kepulauan timur Indonesia

JAKARTA: Gempa kuat 6.2 magnitud melanda kepulauan timur Indonesia, awal hari ini tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gempa yang melanda jam 6.51 pagi (21:51 GMT) dilaporkan di di kedalaman 128 kilometer (km) di 295km di barat Kepulauan Tanimbar dan 383km di timur Dili.

Setakat ini tiada laporan segera mengenai mangsa terbabit atau kerosakan yang dialami akibat gempa itu. - AFP

Cuaca panas fenomena biasa, Mac diramal hujan

KUALA LUMPUR: Cuaca panas yang melanda negara ini sejak Januari adalah fenomena biasa dan diramalkan berakhir Mac, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Pegawai Ramalannya, Azmi Atan, berkata fenomena ini sering berlaku pada setiap awal tahun tetapi tidak akan menyebabkan kemarau.

"Cuaca begini diramalkan tidak berpanjangan dan dijangkakan hujan semula bermula Mac nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengikut rekod jabatan itu, kawasan "terpanas" yang dikesan ialah daerah Chuping di Perlis yang mencatatkan suhu tertinggi iaitu 36.6 darjah Celcius semalam, manakala di Lembah Klang suhu tertinggi dicatatkan di Petaling Jaya iaitu 34.7 darjah Celcius.

Sementara itu, Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata penggunaan air di Lembah Klang sepanjang awal tahun ini masih di tahap biasa.

"Secara umumnya rakyat Malaysia merupakan golongan yang paling banyak menggunakan air. Bagaimanapun, kadar penggunaan ketika cuaca panas sejak bulan lalu masih di tahap normal dan jika ada peningkatan pun tidaklah begitu ketara," katanya.

Beliau berkata setakat ini bekalan air Syabas tidak terjejas kerana masih mempunyai simpanan yang cukup untuk menampung keperluan penduduk Lembah Klang.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai agar menggunakan air dengan berhemah dan tidak membazir supaya bekalan air terus mencukupi sekiranya cuaca panas berlanjutan. - Bernama

Mada jamin bekalan air mencukupi untuk musim baru padi

JITRA: Petani di Kedah dan Perlis diberi jaminan bekalan air mencukupi apabila musim pertama 2010 penanaman padi di kedua-dua negeri itu bermula Mac ini.

Ketika memberi jaminan itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharom, berkata paras air di Empangan Ahning dan Empangan Pedu di Padang Terap serta Empangan Muda di Sik mencukupi.

"Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) telah merancang supaya air di ketiga-tiga empangan itu melebihi 900,000 meter padu untuk menampung keperluan 96,558 hektar sawah dalam kawasannya di Kedah dan Perlis.

"Mada sedar musim panas sekarang mungkin berlanjutan sehingga April yang akan menyebabkan kemarau yang menggusarkan kira-kira 55,000 keluarga petani," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar dan pameran usahawan tani bagi kawasan Parlimen Kubang Pasu di sini hari ini.

Mohd Johari yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu diminta mengulas dakwaan bahawa bekalan air untuk pertanian dan minuman di Kedah susut kerana musim kemarau dan cuaca panas sejak awal bulan ini.

Katanya, kira-kira 20 peratus sahaja kawasan tanaman padi dalam kawasan Mada sukar untuk disalurkan bekalan air kerana kedudukannya agak tinggi dan tidak sama rata.

"Bagaimanapun, purata pengeluaran padi oleh petani Mada yang menyumbang lebih 40 peratus beras negara mencecah 6.2 tan sehektar berbanding 4.5 tan sehektar beberapa tahun lepas berikutan sistem salirannya bertambah baik," katanya.

Mohd Johari berkata, agensi di bawah kementeriannya masih giat membantu melahirkan lebih ramai petani menjadi usahawan berjaya berasaskan produk pertanian.

"Kini terdapat produk mereka dihidangkan oleh MAS (Malaysia Airlines) dalam penerbangan ke Eropah manakala ramai berhasil memasarkan produk mereka bernilai jutaan ringgit setiap tahun," katanya.

Beliau berkata, kementerian melalui agensinya sentiasa berusaha memberi nilai tambah terutama membuat pembungkusan lebih menarik.

Pada majlis itu, Mohd Johari menyampaikan insentif berjumlah lebih RM645,000 kepada 140 penerima. Turut hadir Pengurus Besar Mada Datuk Abdul Rashim Salleh. - Bernama