Followers

Thursday, August 20, 2009

H1N1: Tiada kes baru kematian dilaporkan

KUALA LUMPUR: Tiada kes kematian baru berkaitan Influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga jam 9 pagi tadi tetapi 257 kes baru dengan gejala penyakit seperti selesema (ILI) telah dimasukkan ke hospital.

Angka korban H1N1 di negara ini kekal kepada 68 mangsa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata 234 kes pula telah dibenar keluar hospital, menjadikan menjadikan baki seramai 1556 kes sedang dirawat di 98 hospital termasuk tiga hospital swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, hanya 220 kes atau 14 peratus yang disahkan positif H1N1," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, daripada 220 kes yang disahkan H1N1, 44 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 12 kes kemasukan baru, manakala tiga kes lagi dipindah keluar ke wad biasa.

Katanya, daripada 44 kes yang sedang dirawat di ICU, 20 kes atau 45 peratus mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (7), hamil dan bersalin (4), bayi (4), asma (2), obesiti (2) dan kanak-kanak istimewa (1).

H1N1: Wanita hamil mangsa terbaru

KUALA LUMPUR: Seorang wanita hamil berumur 33 tahun di Johor menjadi mangsa korban terbaru Influenza A (H1N1) menjadikan jumlah kes kematian di negara ini seramai 68 orang, selepas tiada kes kematian dicatatkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata wanita hamil 34 minggu itu dilaporkan meninggal dunia pada 13 Ogos akibat "pneumonia yang teruk dan sesak nafas" dan disahkan positif H1N1 keesokan harinya.

Wanita berkenaan dimasukkan ke wad hospital swasta di Johor Bahru pada 8 Ogos setelah mengalami demam dan batuk selama sehari, dan lima hari kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Aminah Johor Baharu setelah mengalami sesak nafas dan diberikan rawatan Tamiflu, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata selain itu, sebanyak 195 lagi kes disahkan positif H1N1 dengan 35 kes daripadanya mendapat rawatan di ICU dengan 20 kes terdiri daripada mereka yang mempunyai faktor risiko iaitu diabetes (empat kes), penyakit kronik (lima kes), asma (dua kes), hamil dan bersalin (empat kes), obesiti (satu kes), kanak-kanak istimewa (dua kes) dan kanak-kanak di bawah setahun (dua kes).

Katanya, pada masa sama, seramai 188 orang telah dibenarkan keluar daripada hospital di seluruh negara.

Dr Mohd Ismail menasihatkan orang ramai supaya lebih prihatin membezakan gejala selesema biasa dengan jangkitan influenza.

"Di antara perbezaaan yang ketara ialah apabila dijangkiti influenza, individ akan mengalami demam yang tinggi melebihi 38 darjah Celcius sehingga tiga ke empat hari, sakit kepala, sakit tekak, kerap letih, sakit badan yang biasanya teruk, letih lesu dan batuk tanpa kahak di peringkat awal.

"Selesema biasa pula jarang mengalami demam atau demam ringan (kurang daripada 38°Celcius ), hidung berair dan kerap bersin," katanya.

Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penularan pandemik H1N1 di dunia masih aktif dengan melibatkan 182 negara.

Sehingga pagi ini, terdapat peningkatan kes jangkitan sebanyak 3,354 kes menjadikan jumlah kes terkumpul 231,269 dengan peningkatan kes kematian sebanyak 207 menjadikan jumlah kematian terkumpul 2,353 di seluruh dunia.

Orang ramai juga dinasihat sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan langkah-langkah pencegahan dengan melayari laman web khas H1N1 di http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300. - Bernama

H1N1: Angka kematian seluruh dunia hampiri 1,800

GENEVA: Sejumlah 1,799 orang maut akibat wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1) sejak virus baru itu dikesan April lalu, menurut angka terbaru dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam.

Angka yang dikeluarkan di laman web WHO itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 1,462 seminggu lalu.

Ghana, Tuvalu dan Zambia adalah tiga negara terbaru yang mengesahkan kes pertama H1N1 dan WHO berkata, pandemik H1N1 kini sudah menular kepada lebih 170 negara di dunia.

Jumlah kematian terbesar adalah di Utara dan Selatan benua Amerika iaitu 1,579 orang, diikuti Asia Tenggara (106) dan Eropah (53).

Mereka yang disahkan dijangkiti H1N1 di seluruh dunia kini berjumlah 182,166 orang. - AFP