Followers

Friday, July 2, 2010

KD Tun Razak tiba di Lumut

LUMUT: Kapal selam kedua negara, KD Tun Razak, selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini pada jam 4.40 petang Jumaat.
Sambutan rasmi ketibaan KD Tun Razak itu diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Dihilir Perak Raja, Jaafar Raja Muda Musa.
Turut menyambut ketibaan kapal itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
KD Tun Razak akan meneruskan pelayaran ke Pangkalan Kapal Selam di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah selepas seminggu di sini.

Ia memulakan pelayaran pulang dari Toulon, Peranchis sejak 30 April lalu dan dikendalikan sepenuhnya oleh 32 pegawai dan anggota TLDM.

KD Tun Razak dinamakan bersempena Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, sebagai mengenang jasa negarawan ulung itu atas sumbangannya kepada kemerdekaan, permodenan, pentadbiran dan pembangunan negara.

Ia bergerak dengan tenaga diesel dan boleh beroperasi sehingga kedalaman lebih 300 meter.
Kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman tiba di Pelabuhan Klang pada 3 September, tahun lalu.

Pemilikan kapal selam itu adalah sejajar dengan keperluan serta tanggungjawab yang diamanah kepada TLDM bagi memastikan perairan negara termasuk Zon Ekonomi Eksklusif dikawal dan dipertahankan pada setiap masa. - BERNAMA

PKR sedia hadapi saman isu FELDA: Azmin

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersedia ke mahkamah untuk menghadapi saman daripada FELDA berhubung laporan akhbar rasmi parti itu Suara Keadilan yang menyiarkan artikel bertajuk "FELDA Bankrap" pada 22 hingga 29 Jun lalus, kata Naib Presidennya, Azmin Ali.
Beliau berkata, PKR bersedia berhadapan dengan tindakan mahkamah dan mendakwa akan membongkar lebih banyak maklumat mengenai keadaan sebenar FELDA yang dicuba disembunyikan oleh pihak tertentu.
"Kita bersedia untuk menggunakan pentas ini (mahkamah) dan membongkar lebih banyak fakta supaya rakyat tidak ditipu.
"Saya tidak nampak logiknya peneroka FELDA yang sudah bertahun ditekan tampil untuk berdemonstrasi seperti baru-baru ini melainkan mereka ditaja untuk menutup kelemahan tertentu," katanya pada sidang media Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Pada sidang media itu, beliau yang juga Presiden BBC Pakatan Rakyat mengulangi pendiriannya dan kelab berkenaan yang menyokong penuh kepimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Setiausaha BBC Pakatan Rakyat, Lau Weng San, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, berkata semua pihak termasuK DAP menyokong penuh kepimpinan Abdul Khalid walaupun mengaku wujud perbezaan pendapat antara parti dalam pakatan itu.

"Perbezaan pendapat yang timbul melambangkan kami mengamalkan keterbukaan dalam memberikan pandangan dan bukannya perpecahan," katanya. - BERNAMA

Gempa bumi 6.7 skala Richter di Kepulauan Vanuatu

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat bermagnitud 6.7 pada skala richter berlaku di Kepulauan Vanuatu pada 2.04 petang ini.
Menurut kenyataan Bahagian Geofizik dan Tsunami Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa itu terletak di latitud 13.6 selatan dan longitud 166.4 timur iaitu 840 kilometer dari tenggara Honiara, Kepulauan Solomon dan 5,691 kilometer dari tenggara Kunak, Sabah.
Gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia. - BERNAMA

Nik Aziz bantah ajar pendidikan seks di sekolah

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak bersetuju pendidikan seks diajar di sekolah kerana menganggap langkah itu memberi lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada generasi muda.
Mursyidul Am PAS itu berkata, langkah itu hanya akan menggalakkan kanak-kanak di bawah umur mempelajari ilmu seks sesama mereka menyebabkan wujudnya gejala negatif seperti pembuangan bayi.
"Dalam Islam sendiri sudah ada pengajaran seks iaitu antaranya kita diwajib mengasingkan tempat tidur apabila anak-anak meningkat umur tujuh tahun, mereka juga diminta hanya melihat bahagian muka dan telapak tangan sahaja apabila bertunang.
"Ini semua adalah pengajaran seks yang sedia ada dalam pendidikan masyarakat Melayu dan Islam hari. Saya tak setuju jika ilmu seks diajar di peringkat sekolah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataannya dalam kuliah sebelum itu yang menyelar tindakan sesetengah pihak yang mencadangkan pendidikan seks di sekolah dan menganggap tindakan itu seperti mengajar pencuri kaedah mencuri dengan betul.

Nik Aziz juga mahu agar perbuatan zina dalam Islam dinyatakan sebagai "zina" dan bukan "seks bebas" seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak.

"Apa salahnya kalau seks bebas kita sebut zina, supaya orang Islam berasa gerun dengan perkataan itu yang telah diharamkan Islam dan orang berzina mesti dihukum dengan hukum hudud," katanya.
Isu pendidikan seks telah sekian lama diperbincangkan dengan kebanyakan pihak menggesa langkah itu dilaksanakan bagi menangani permasalahan sosial seperti pembuangan bayi yang semakin berleluasa sekarang.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada keputusan muktamad dibuat mengenai perkara tersebut. - BERNAMA

EKSKLUSIF:Sistem trio wajar diperkenal di Malaysia: Subkhiddin

SEPANG: Sistem trio yang diperkenalkan untuk pengadil Piala Dunia FIFA 2010 wajar dilaksanakan di Malaysia bagi membantu meningkatkan keyakinan pengadil tempatan, kata pengadil Malaysia, Subkhiddin Mohd Salleh.
Beliau yang dipilih FIFA dalam senarai pengadil ke Piala Dunia di Afrika Selatan itu, berkata keberkesanan sistem itu perlu dipelajari untuk dilaksanakan di Malaysia dengan memberi penekanan di setiap negeri.
Menjelaskan sistem itu, beliau berkata trio daripada negeri sama boleh mengadili perlawanan di negeri lain di mana kerjasama sepasukan itu dapat membantu mereka memberikan keyakinan antara satu sama lain.
"Trio di Kuala Lumpur boleh menggendalikan perlawanan di Kelantan, manakala Trio di negeri lain pula ditugaskan untuk perlawanan membabitkan pasukan di luar negeri mereka," katanya ketika ditemui Berita Harian Online di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi tadi.

Subkhiddin berkata, pengalaman yang diperolehi di Afrika Selatan akan dikongsi bersama dengan pengadil tempatan, menerusi pelaksanaan satu program khusus dalam usaha meningkatkan kemampuan mereka.

Beliau berkata, program itu juga berperanan mengetengahkan wakil pengadil Malaysia ke Piala Dunia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Mengulas rancangannya selepas ini, Subkhiddin berkata beliau hanya mempunyai tempoh satu tahun untuk berkhidmat di peringkat antarabangsa dan mensasarkan untuk mengadili Piala Asia di Qatar, Januari tahun depan.

230 ahli PKR Bagan Datoh keluar parti

BAGAN DATOH: Seramai 230 ahli daripada empat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam kawasan Parlimen Bagan Datoh keluar daripada parti itu untuk menyertai parti Makkal Sakhti.

Empat cabang PKR itu ialah Sungai Timah, Batu 25, Taman Desa Baru dan Hutan Melintang.
Bekas Ketua PKR Cabang Batu 25, M Subaramaniam, menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Pemuda Makkal Sakhti Pusat, N Ramu, di sini malam tadi.
Kebanyakan mereka yang menyertai Makkal Sakhti berusia sekitar 35 tahun.

Subramaniam berkata, mereka sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan PKR yang sejak akhir ini tidak konsisten dalam memperjuangkan nasib masyarakat India selain gagal menunaikan pelbagai janji yang ditabur.

Beliau berkata, semua bekas ahli PKR itu berikrar memberi sokongan kepada Barisan Nasional untuk merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Hutan Melintang daripada PKR.

Ramu pula berkata, pihaknya menyasarkan 2,000 anggota baru Makkal Sakhti dalam tempoh tiga bulan akan datang. - BERNAMA

EKSKLUSIF:Subkhiddin kecewa hampakan rakyat Malaysia

Subkhiddin Mohd Salleh
Subkhiddin Mohd Salleh
SEPANG: Wakil tunggal Malaysia ke Piala Dunia FIFA 2010 iaitu pengadil nombor satu negara, Subkhiddin Mohd Salleh, kecewa kerana tidak berpeluang mengendalikan sebarang perlawanan sejak kejohanan di Afrika Selatan itu bermula pada 11 Jun lalu.

Beliau berkata, kekecewaan itu ditumpukan kepada kegagalannya memenuhi impian rakyat Malaysia yang mahu melihat pengadil negara itu beraksi di tengah padang.
Katanya, sepanjang kejohanan di peringkat kumpulan dan kalah mati, beliau dilantik beberapa kali sebagai pengadil keempat yang berperanan memberi bantuan dan pendapat kepada pengadil utama bagi menjamin kelancarannya.
"Walaupun tidak dapat beraksi di tengah padang seperti yang diharapkan, saya berbangga kepada seluruh rakyat Malaysia dengan sokongan yang diberikan. Ia adalah kekuatan yang membantu saya untuk terus kekal di sana dan memberikan tugasan yang terbaik apabila diperlukan.

"Selain itu, sokongan keluarga dan rakan rapat di Malaysia yang sering menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menjadi penawar bagi mententeram tekanan yang saya hadapi ketika berada di Afrika Selatan," katanya ketika ditemui Berita Harian Online di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi tadi.

Subkhiddin yang tiba di KLIA pada jam 5.40 pagi tadi dari Johannesburg, Afrika Selatan, sebelum meneruskan penerbangan ke Pulau Pinang pada jam 7.30 pagi, sempat meluangkan masa bersama wartawan Berita Harian Online bagi menceritakan pengalamannya sepanjang berada di Afrika Selatan.

Beliau berkata, perbualan hampir empat kali setiap hari bersama isteri dan keluarga adalah penawar kepada dirinya.
"Saya selalu meluahkan kepada keluarga khususnya isteri apabila tidak dapat mengendalikan perlawanan dan sering membuat panggilan kepada Isteri selepas terbabit dalam satu perlawanan sebagai pegawai keempat.

"Sememangnya, apabila terpilih ke piala dunia, harapan adalah untuk mengendalikan sekurang-kurangnya sehingga peringkat kalah mati," katanya.