Followers

Monday, May 24, 2010

Berita Harian Online | Malaysia bukan hab sindiket dadah antarabangsa: Polis

TAWAU: Malaysia bukan hab sindiket pengedaran dadah antarabangsa seperti yang diandaikan sesetengah pihak, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Zul Hasnan Najib Baharuddin.

Beliau berkata, ada pihak yang beranggapan sedemikian selepas beberapa cubaan mengedar dadah berjaya dibongkar sebelum ini, namun menurutnya apa yang berlaku ialah cubaan sindiket dadah antarabangsa untuk menggunakan Malaysia sebagai transit dadah berjaya disekat oleh pihak berkuasa Malaysia.

Katanya, ada rakyat asing yang cuba membawa dadah melalui Malaysia untuk disalurkan ke negara lain namun kegiatan mereka berjaya dikesan lebih awal sebaik saja mereka menjejakkan kaki ke dalam negara.

Menurutnya, ketika ini, polis sudah mengenal pasti negara Iran, India dan Taiwan sebagai ancaman kepada Malaysia dari segi kegiatan membawa masuk dadah jenis sintetik ke dalam negara.

"Syabu jika dibeli di Iran harganya cuma RM60 sekilogram saja, dan apabila berada di sini nilainya RM162,260 sekilogram, sebab itu mereka suka membawa dadah ke sini sebelum dihantar ke negara lain. Lagipun kualiti syabu Iran amat baik," katanya selepas merasmikan pembukaan balai polis baru Bergosong di Pulau sebatik di sini, hari ini.

Zul Hasnan berkata, sehingga kini 57 rakyat Iran diberkas kerana kesalahan membawa dadah ke dalam negara, dan 80 peratus daripada mereka sudah pun didakwa di mahkamah. - Bernama

Malaysia, Singapura setuju turunkan kadar tol Linkedua

SINGAPURA: Malaysia dan Singapura bersetuju mengurangkan kadar tol di Linkedua bagi meningkatkan hubungan darat antara kedua-dua negara.
Persetujuan itu dicapai pada pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong di Hotel Shangri-La di sini, hari ini.

“Tol di kedua-dua laluan Linkedua itu, menghubungkan Tuas dan Tanjung Kupang di Johor, akan diturunkan pada kadar yang besar,” kata kedua-dua pemimpin itu pada satu sidang media bersama di sini.
Kadar baru itu dijangka diumumkan dalam tempoh sebulan ini.

Najib berkata, beliau dan Lee bersetuju bahawa untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala, hubungan darat antara Malaysia dan Singapura perlu dipertingkat dan dipermudahkan.

Kedua-dua pemimpin itu juga mengumumkan bahawa Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri mengenai Iskandar Malaysia, yang ditugaskan meningkatkan perhubungan antara kedua-dua negara, telah bersetuju mengenai beberapa langkah.

Perkhidmatan bas berjadual antara kedua-dua negara akan digandakan dengan memperkenalkan lapan laluan baru, masing-masingnya empat di setiap negara, antara Pasar Bakti dan Larkin di Johor dan dua pusat percutian (Resort World Sentosa dan Marina Bay Sands Singapore), Boon Lay, Yishun, Newton dan Lapangan Terbang Changi di Singapura.
Perkhidmatan teksi antara kedua-dua negara juga akan dipermudahkan, dengan membenarkan teksi mengambil dan menurunkan penumpang dari mana-mana lokasi dalam laluan domestik berbanding dengan hanya di terminal teksi tertentu.

Mengulas sektor pelancongan, kedua-dua negara sedang mengkaji kemungkinan mengadakan produk eko-pelancongan berkembar.

Malaysia dan Singapura akan juga berkongsi pengalaman dan merangka secara bersama pelan membersih sungai sejajar dengan usaha yang dijalankan oleh Iskandar Malaysia. - Bernama

Masih ramai rakyat Malaysia tidak ambil vaksin H1N1

CYBERJAYA: Penerimaan rakyat Malaysia terhadap vaksin Influenza A(H1N1) masih tidak memberangsangkan walaupun ia boleh diperolehi secara percuma di klinik dan hospital kerajaan seluruh negara, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, senario itu tidak seharusnya berlaku memandangkan wabak berkenaan masih menular dalam negara dan orang ramai, khususnya golongan yang berisiko tinggi seharusnya mendapatkan vaksin itu dengan segera.

Menurutnya, setakat ini, hanya 123,000 rakyat Malaysia termasuk golongan berisiko tinggi yang sudah mendapatkan vaksin ini, dan masih ramai yang tidak mengendahkan seruan kerajaan supaya mendapatkan suntikan berkenaan.
"Vaksin ini tidak mempunyai sebarang kesan sampingan yang serius, kecuali sedikit kesakitan di bahagian lengan, sedikit demam atau mungkin juga pening kepala kepada sesetengah orang," katanya pada satu sidang media di sini, hari ini selepas menyaksikan upacara penganugerahan gelaran Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Lim Malaysia kepada Presiden Pengasas Universiti Kreatif dan Teknologi Lim Kok Wing, Tan Sri Dr Lim Kok Wing di sini.

Liow berkata demikian ketika mengumumkan maklumat terkini mengenai wabak H1N1 yang masih menular di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Katanya, pada peringkat pertama pemberian vaksin, keutamaan diberikan kepada 89,000 petugas barisan depan dari Kementerian Kesihatan dan 73,000 petugas barisan hadapan dari kementerian lain termasuk anggota polis, imigresen dan kastam yang bertugas di semua pintu masuk negara.

Sementara itu, Liow berkata, 14,633 kes positif H1N1 dilaporkan dalam negara sehingga kini, membabitkan 86 kematian, di samping 590 kes penyakit serupa influenza (ILI), dengan 61 daripadanya disahkan sebagai positif H1N1.
"Lapan pesakit masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kesemua mereka adalah dari golongan berisiko tinggi," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) juga jelas Liow, masih meletakkan wabak itu sebagai ancaman serius terhadap penduduk dunia.

"Sesiapa saja yang dikesan memiliki tanda-tanda awal penyakit ini perlu mendapatkan rawatan segera. Bagi golongan yang berisiko tinggi, peluang untuk pulih masih cerah sekiranya menerima rawatan dalam tempoh tiga hari selepas jangkitan, tetapi keadaan mereka akan menjadi buruk sekiranya tiada rawatan diterima selepas tempoh itu," katanya.

Pada masa sama, Liow berkata, orang ramai perlu peka dengan ancaman wabak denggi yang semakin merebak, yang sejak awal tahun sehingga dua hari lalu sudah meragut 60 nyawa.

"Sebanyak 18,850 kes denggi dilaporkan sepanjang tempoh berkenaan dengan 60 kematian berbanding 20,934 kes dan 53 kematian untuk tempoh yang sama tahun lalu," katanya.

Lim Kok Wing dianugerahkan dengan gelaran itu sebagai mengiktiraf peranannya dalam menubuhkan universiti pertama di dunia yang menggunakan gelaran “Lim” sebagai nama universiti. - Bernama

AS gesa China bertindak terhadap Korea Utara

BEIJING: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton, menggesa China bekerja sama dengan AS bagi mengatur tindak balas terhadap Korea Utara yang dituduh menenggelamkan kapal perang Korea Selatan.
Ketika merasmikan mesyuarat peringkat tinggi AS-China di Beijing hari ini, Clinton berkata Korea Utara mesti dipertanggungjawab terhadap insiden itu yang didapati penyiasat disebabkan torpedo yang ditembak kapal selam Korea Utara.

China adalah sekutu utama Korea Utara dan sehingga kini mengambil pendirian berkecuali dalam siasatan itu.
Korea Selatan bercadang meminta Majlis Keselamatan PBB mengendalikan perkara itu yang disifatkan sebagai perlanggaran gencatan senjata yang mengakhiri Perang Korea.

Pegawai AS berkata mereka perlu meyakinkan China bahawa Korea Utara bertanggungjawab terhadap insiden itu. - AP

Cadangan majukan tanah Sabah dengan tender terbuka dialu-alukan: Musa

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata kerajaan negeri mengalu-alukan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk memajukan tanah Persekutuan di Sabah melalui konsep tender terbuka tetapi tanah berkenaan lazimnya tidak bersaiz besar kerana kebanyakannya adalah untuk pembinaan sekolah, hospital dan klinik.