Followers

Friday, November 27, 2009

Kemboja batalkan perjanjian pinjaman dengan Thailand

PHNOM PENH: Kemboja sudah memaklumkan Thailand bahawa pihaknya membatalkan perjanjian di mana Bangkok akan membuat pinjaman 1.4 bilion baht (AS$41.2 juta) bagi menaik taraf lebuh raya daripada sempadan Thailand.

Jurucakap Kementerian Luar Negara Kemboja, Koy Kuong, berkata hari ini negaranya tidak akan menerima pinjaman terbabit kerana tidak mampu membina sendiri jalan raya terbabit.

Langkah itu diambil ketika hubungan antara kedua-dua negara tegang selepas Kemboja menerima kedatangan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, yang kini menjadi pelarian daripada proses keadilan Thailand.

Setiap negara sudah memanggil duta masing-masing dan Bangkok membatalkan perjanjian bagi membincangkan kerja pembangunan bersama di kawasan luar pesisir pantai yang didakwa milik kedua-dua negara. - AP

Proton Exora masuki pasaran Thailand minggu depan

BANGKOK: Proton Holdings Bhd dijangka melancarkan model pertama kenderaan pelbagai guna (MPV) Exora di pasaran Thailand ketiak Ekspo Motor Antarabangsa Thailand, minggu depan.

Pengurus Besar (Operasi) Phranakorn Auto Sales, Apichart Wangsatorntanakhun, berkata berdasarkan maklum balas awal dari pihak media dan pakar industri, mereka mengharapkan sambutan baik dari pembeli tempatan.

"Kami membawa lebih 12 wartawan untuk menguji Exora di Malaysia. Kenderaan itu menerima reviu cemerlang dari media serta mereka yang mengadakan perbincangan dengan kami dan melihat kenderaan itu di pusat pameran kami,” katanya di sini, hari ini.

Menurut ulasan akhbar harian ''The Nation'' hari ini, model Exora mempunyai pengendalian yang baik dan pemanduan yang seimbang dalam kelasnya berserta hiasan dalaman serba guna dan nilai baik bagi pengangkutan keluarga berbanding kereta MPV saiz kecil Toyota Avanza dan Honda Freed yang lebih mahal.

Proton memasuki pasaran Thailand yang dikuasai pengeluar kenderaan Jepun pada akhir 2007 dengan mengambil kesempatan duti import yang rendah iaitu lima peratus yang dikenakan mengikut perjanjian kawasan perdagangan bebas Asean (Afta).

Phranakorn dilantik sebagai pengedar rasmi kenderaan keluaran Proton di Thailand.

Menurut Apichart, harga kompetitif Exora yang setanding dengan kualiti, rekaan dalaman dan pelbagai aksesori seperti kerusi sarung kulit dan perakam DVD akan membolehkan ia bersaing dengan model MPV lain dalam pasaran.

Katanya, harga MPV buatan Malaysia yang pertama itu iaitu model manual 1.6cc atau jenis automatik dalam lima warna akan dijual antara Baht 699,000 (RM71,320) hingga Baht 799,000 (RM81,522).

Menurutnya, sejak Proton memasuki pasaran sengit Thailand, syarikat Malaysia itu sudah menjual lebih 7,000 kereta dengan model utamanya ialah Savvy.

Mengulas sasaran jualan, Apichart berkata, syarikat itu meletakkan sasaran tinggi tetapi enggan menyatakan bilangannya.

"Pada keseluruhannya, kami harap untuk memperoleh 900 tempahan bagi semua jenis model Proton pada pameran motor ini. Selain itu, kami menawarkan premium insuran percuma dan sarung kulit kerusi percuma untuk pembeli kereta Savvy," katanya.

Tahun lalu, Proton, yang mempunyai 35 wakil penjual di seluruh Thailand, menerima 863 tempahan semasa pameran tersebut dengan jumlah pengunjung mencecah 1.5 juta orang dan 14,000 tempahan direkodkan.

Selain Savvy, model lain yang terdapat di sini ialah Neo, Gen 2, Persona dan Persona CNG. - Bernama

Banjir Hulu Terengganu pulih sepenuhnya

KUALA TERENGGANU: Banjir di daerah Hulu Terengganu pulih sepenuhnya manakala di Kuala Terengganu, Dungun dan Marang keadaan beransur baik.

Jurucakap Bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Terengganu, berkata jumlah mangsa yang masih berada di pusat pemindahan di Terengganu kini seramai 995 orang iaitu Kuala Terengganu (618), Dungun (346) dan Marang (31) orang.

Katanya, semua pusat pemindahan di Hulu Terengganu ditutup jam 6.30 petang semalam selepas semua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan bacaan paras air di semua sungai utama di Terengganu berada pada paras biasa.

Sementara itu, Pengarah Majlis Keselamatan Negara Kelantan, Mohamad Rosle Mamat, meminta masyarakat negeri itu mengambil berat arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku gelombang ketiga yang menyebabkan banjir lebih buruk.

Beliau berkata, perkara itu boleh berlaku kerana pada kebiasaan, banjir di Kelantan berlaku dalam tiga peringkat yang menyebabkan kawasan rendah digenangi air.

Gelombang ketiga yang mungkin berlaku boleh menyebabkan keadaan yang sama atau lebih buruk lagi memandangkan musim tengkujuh di pantai timur belum berakhir, katanya. - Bernama

Konsisten dalam promosikan perubahan iklim, elak wujud sekatan perdagangan, pelaburan: Najib

PORT OF SPAIN: Datuk Seri Najib Razak, berkata usaha mempromosikan perubahan iklim perlu konsisten dengan mengekalkan kebebasan dan keterbukaan perdagangan serta pelaburan global, tanpa mewujudkan sekatan baru kepada perdagangan dan pelaburan.

Perdana Menteri turut menggesa kepada perubahan dalam sistem perindustrian, model perniagaan, andaian ekonomi, peraturan pasaran dan kerangka tadbir urus bagi menangani cabaran yang dibawa oleh kemerosotan alam sekitar.

"Kita tidak boleh beroperasi dalam keadaan seperti biasa. Kerajaan dan sektor swasta perlu melakukan perubahan dalam cara kita beroperasi," kata beliau dalam ucaptamanya kepada Majlis Perniagaan Komanwel di sini, semalam.

Beliau berkata, pelbagai komitmen yang ada di bawah perdagangan perlu ditangani dengan cara yang komprehensif dalam menguruskan agenda pembangunan negara-negara membangun selain langkah untuk mengurangkan perubahan iklim.

"Kita perlu berusaha bagi memperkukuhkan pembangunan ekonomi di negara-negara ini. Oleh itu, sebarang piawaian terhadap alam sekitar perlu konsisten dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan tidak digunakan sebagai samaran untuk fahaman perlindungan," katanya.

Najib menyampaikan ucapan bertemakan "Pendekatan Baru ke arah Pembangunan Lestari: Langkah Seterusnya" menjelang perasmian Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) oleh Ratu Elizabeth II, hari ini di ibu negara pulau Caribbean, Trinidad dan Tobago.

Beliau diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, bagi menghadiri sidang kemuncak Ketua-Ketua Komanwel dari 27 hingga 29 November, yang akan dihadiri 53 pemimpin negara bekas jajahan British.

Keahlian Komanwel termasuk 1.8 bilion orang, atau 30 peratus daripada jumlah penduduk dunia.

Lebih separuh daripada mereka adalah golongan muda berusia 25 tahun atau ke bawah.

Dalam ucapannya, Najib menegaskan, bahawa negara-negara maju mesti menjadi peneraju dan menunjukkan komitmen yang lebih tegas ke arah pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GSG).

"Mereka seharusnya turut menyediakan bantuan kepada negara-negara membangun daripada segi pembiayaan, mempermudahkan pemindahan teknologi dan pembinaan sahsiah bagi membantu menyepadukan proses pengurangan serta usaha menyesuaikan perubahan iklim ke dalam projek pembangunan," katanya.

Mengulas sektor swasta pula, beliau berkata, mereka seharusnya membina komponen kelestarian dalam strategi perniagaan mereka.

"Saya percaya hanya syarikat yang membangunkan produk dan perkhidmatan yang menangani cabaran global seperti bekalan dan akses tenaga, perubahan iklim, tekanan ke atas ekosistem, atau air, akan bertapak untuk jangka panjang," katanya.

Najib turut berkongsi dengan hadirin mengenai pengalaman Malaysia dalam menjayakan matlamat pembangunan lestari, antara lain menerusi dana berjumlah RM1.5 bilion (AS$430 juta) yang diwujudkan oleh kerajaan bagi menyediakan pinjaman mudah kepada syarikat yang membekalkan dan menggunakan Teknologi Hijau.

Perdana Menteri berkata, bagi Malaysia, bergerak ke arah pasaran lebih hijau dapat membawa manfaat seperti penjimatan ke atas tukaran wang asing, meningkatkan daya saing industri, perluasan pasaran eksport, peluang baru pekerjaan dan persekitaran yang lebih baik.

Dengan memberikan contoh, beliau berkata, sehingga Jun 2009, Malaysia menarik hampir RM12 bilion pelaburan dalam industri ''solar photo-voltaic'' menerusi pelaburan langsung asing.

Sementara itu, Najib menghadiri majlis jamuan bagi meraikan beliau anjuran Sunway Construction (Caribbean) Limited, semalam.

Sunway adalah syarikat Malaysia pertama yang meneroka sektor pembinaan di Trinidad dan Tobago, negara kepulauan paling selatan di Caribbean di perairan timur laut Venezuela.

Beliau dijadual menghadiri majlis perasmian CHOGM pada Jumaat selepas menunaikan solat sunat Aidiladha. - Bernama

Sambutan Aidiladha seluruh negara penuh kesyukuran

KUALA LUMPUR: Umat Islam di seluruh negara hari ini menyambut Hari Raya Aidiladha dengan penuh rasa kesyukuran disertai dengan semangat pengorbanan dalam menghadapi pelbagai dugaan dan bencana.

Walaupun banjir melanda beberapa negeri sejak minggu lalu terutama di Kelantan dan Terengganu, namun sambutan Aidiladha di negeri terbabit tetap meriah.

Di Terengganu, seramai 1,026 mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan banjir di Hulu Terengganu dan Marang menyambut kedatangan Aidiladha secara ala kadar.

Aidiladha adalah hari kebesaran Islam di mana umat Islam di seluruh dunia memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. dalam mentaati perintah Allah S.W.T.

Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. ini adalah tanda kebesaran Allah dan kekuatan iman kedua-dua Nabi Allah dalam mentaati suruhanNya.

Umat Islam disunatkan melakukan ibadat korban sebagai memperingati peristiwa Nabi Ibrahim a.s. yang diperintah Allah S.W.T. supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. bagi membuktikan kepatuhan baginda terhadap suruhan Allah S.W.T. dan peristiwa itu menjadi lambang pengorbanan teragung dalam sejarah manusia.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama rakyat jelata di Masjid Negara di sini.

Turut berangkat dua anakanda baginda, iaitu pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mu''az.

Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad, mengimamkan solat sunat itu sebelum menyampaikan khutbah bertajuk ''Mewujudkan Keturunan dan Pemimpin Pelapis yang Soleh" yang antara lain menyentuh mengenai keperluan mendidik anak-anak dengan sebaik-baiknya sebagai mana pengorbanan Nabi Ibrahim a.s, bersama kedua-dua isterinya Siti Sarah dan Siti Hajar.

Hampir 5,000 jemaah dengan pakaian berwarna-warni bersama-sama menunaikan solat sunat itu, serta mengambil kesempatan untuk bersalaman dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Tuanku Mizan.

Di SHAH ALAM, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 20,000 umat Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Ali dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Solat sunat itu diimamkan oleh Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid, dan majlis korban di masjid itu akan dilakukan esok membabitkan 28 lembu. - Bernama

Gempa sederhana gegar El Salvador, Guatemala

SAN SALVADOR: Gempa bumi sederhana menggegarkan El Savador, semalam dan turut dirasai negara jirannya, di samping tiada kehilangan nyawa dilaporkan serta tidak ada kerosakan berlaku di kedua-dua negara terbabit, kata pegawai negara itu di sini.

Laporan yang dikeluarkan Agensi Kaji selidik Geologi Amerika Syarikat (USGS), berkata gegaran di luar pesisir itu dilaporkan berukuran 5.9 skala Richter.

Bacaan pusat gempa dalam lingkungan 76 kilometer barat San Salvador di Lautan Pasifik menyebabkan berlaku gempa bumi pada jam 1 petang waktu negara itu.


Perkhidmatan seismologi Salvador, berkata gempa dicatatkan pada 6.0 skala Richter.

Kakitangan perkhidmatan kecemasan pula berkata, ia turut dirasai sebahagian Guatemala,iaitu jiran di sebelah utara El Salvador. - AFP