Followers

Friday, August 7, 2009

Langkah terbaru tangani H1N1


ORANG ramai menunggu giliran pemeriksaan wabak H1N1 di Hospital Sungai Buloh, semalam.

14 korban kes selesema babi

KUALA LUMPUR: Ketika kes kematian akibat Influenza A (H1N1) meningkat 14 orang semalam, manakala keseluruhan kes mencecah 1,492, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran mengumumkan beberapa langkah terbaru bagi menangani wabak itu. Antaranya:

Hospital/klinik

Lakukan ujian lengkap ke atas golongan berisiko seperti pesakit asma dan wanita hamil.

22 hospital swasta dijadikan pusat saringan awal dengan dibekalkan antiviral Tamiflu.

Semua klinik kesihatan yang mempunyai pegawai perubatan, dibekalkan dengan Tamiflu.

Klinik swasta dibenarkan membeli Tamiflu daripada farmasi.

Sekolah

Semua sekolah diarah memeriksa suhu badan murid setiap pagi.

Mengasingkan dan membawa murid yang demam melebihi 38 darjah Celsius ke klinik.

Lagi berita di ruangan Nasional

Sabah & Sarawak: Koperasi jadi pengedar beras nasional di daerah

KOTA KINABALU: Masalah penyelewengan beras nasional di negeri ini akan diatasi tidak lama lagi melalui pelantikan beberapa koperasi sebagai pengedar utama di setiap daerah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata ia bagi memastikan beras berkenaan sampai kepada golongan sasar, iaitu anggota masyarakat berpendapatan rendah, terutama di luar bandar.

Katanya, sebuah koperasi utama akan dilantik sebagai pengedar di setiap daerah yang bertanggungjawab mengedarkan barangan berkenaan ke setiap kedai runcit dan kedai koperasi.

"Koperasi itu diberikan lesen pengedaran dan penjualan beras oleh Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara. Operasi mereka dipantau oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

"SKM akan memastikan beras yang diedar oleh koperasi tidak dijual kepada pihak lain yang bukan golongan sasar beras nasional. Jika didapati menyeleweng, tindakan tegas akan diambil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pengedaran beras subsidi 15 peratus hancur di negeri ini, di sini, semalam. Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah, Jaafar Walad; Pengarah Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara Cawangan Sabah, Mohd Amin Awang Salleh dan Timbalan Pengarah SKM Sabah, Joseph Teng Mun Koh.

Azizah berkata, sejak kerajaan mengedarkan beras berkenaan pada Jun 2008, ramai rakyat berpendapatan rendah mengeluh sukar mendapatkannya.

"Apabila ditanya kepada pekedai, mereka memberi alasan bekalan tidak mencukupi tetapi sebenarnya Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara mengedarkan 8,500 tan beras nasional setiap bulan kepada 110 pemborong.

"Jumlah itu mampu menampung keperluan 1.3 juta rakyat berpendapatan rendah. Sebenarnya, tidak wujud kekurangan bekalan seperti yang didakwa pekedai," katanya.

Beliau menjelaskan, pihaknya mendapati ada pemborong tidak mengagihkan beras berkenaan kepada pekedai tetapi menjualnya secara terus kepada pengusaha restoran untuk mendapatkan pulangan cepat, sekali gus menimbulkan kemarahan rakyat.

"Bagi mengatasinya, kementerian dengan kerjasama Kawal Selia Padi dan Beras Negara, SKM dan KPDNKK melantik koperasi sebagai pengedar utama beras subsidi. Sebagai permulaan, ia akan dilaksanakan di daerah Keningau, diikuti Tenom sebelum diperluas ke semua daerah tidak lama lagi.

"Selain beras, koperasi itu juga akan mengedarkan barangan bersubsidi yang lain. Koperasi Majlis Daerah Keningau Bhd (KMDKB) adalah koperasi pertama mengemukakan permohonan mendapatkan lesen mengedar dan menjual beras," katanya.

Beliau berkata, KPDNKK akan membiayai kos pengangkutan menghantar barangan bersubsidi ke pedalaman bagi memastikan harga barangan berkenaan sama seperti di bandar.

Sabah & Sarawak: Gotong-royong di kawasan setinggan terap konsep 1Malaysia

KUNAK: Tapak cadangan penempatan kira-kira 400 keluarga setinggan di Kampung Kunak 3, di sini berjaya dibersihkan melalui program gotong-royong berkonsepkan 1Malaysia yang dijayakan kira-kira 1,000 penduduk semalam.

Program itu bertujuan membolehkan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) negeri menjalankan kerja mengukur keluasan kawasan berkenaan secara tepat sebelum menandakan lot tertentu untuk diagihkan kepada setinggan di Kampung Kunak 3 dan Kampung Sungai Atas.

Dengan berbekalkan iltizam untuk menikmati tempat tinggal yang lebih baik, keluarga setinggan terbabit mula membersihkan kawasan berkenaan sejak jam 8 pagi hingga kira-kira jam 5 petang.

Berucap sebelum memulakan program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kunak, Nilwan Kabang, berkata konsep 1Malaysia diterapkan dalam program berkenaan bertujuan menanam semangat kerjasama antara penduduk, sekali gus memperkukuh perpaduan.

"Program ini adalah perintis bagi mewujudkan kampung lebih tersusun, sejajar hasrat kerajaan untuk menghapuskan setinggan di negeri ini," katanya.

Akhbar ini pada 24 Julai lalu melaporkan kenyataan Nilwan, kawasan berkenaan dicadangkan sebagai penempatan baru untuk kira-kira 400 setinggan, masing-masing 200 dari Kampung Kunak 3 dan Kampung Sungai Atas.

H1N1: Bilangan kematian di Mexico meningkat 149

BANDARAYA MEXICO: Tiga kematian kematian baru akibat Influenza A (H1N1) di Mexico semalam, menjadikan keseluruhan 149 orang, ketika pemimpin Amerika Utara bersiap sedia untuk membincangkan wabak itu di Mexico, hujung minggu ini.

Kes jangkitan di negara itu juga meningkat kepada 17,581, selepas 300 kes baru dicatatkan semalam.

Kementerian Kesihatan Mexico kini mengenal pasti vaksin tertentu untuk menangani virus H1N1, selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mulai semalam menjalankan kempen besar-besaran terhadap keselamatan awam berikutan semakin merebaknya wabak itu.

Mexico kini mempinyai dua juta ubat Tamiflu untuk simpanan dan sudah membuat tempahan 20 juta lagi vaksin H1N1 itu bagi keperluan 100 juta penduduknya. - AFP

H1N1: Kanak-kanak 5 tahun korban ke-15

KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun menjadi mangsa ke-15 yang meninggal dunia akibat selesema babi atau Inflenza A (H1N1) yang juga kes kematian kedua di Pahang, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Hoh Khai Mun, berkata mangsa, Mohd Roshazly Roslin, anak seorang anggota tentera di Kem Batu 10, Jalan Gambang, di sini, disahkan meninggal dunia jam 5.22 pagi tadi di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

H1N1 kini ancaman serius kepada negara: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan menganggap penularan Influenza A (H1N1) sebagai ancaman serius kepada negara, sekali gus menasihatkan rakyat mengambil langkah penegahan menyeluruh.

Serentak itu, Perdana Menteri mahu rakyat mengelak daripada menghadiri atau mengadakan perhimpunan di tempat awam sekiranya tidak perlu.

"Tidak perlu adakan perhimpunan. Jika dirasakan tidak perlu, jangan buat perhimpunan sebagai langkah mencegah wabak ini menular," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Industri Sukan Malaysia, hari ini.