Followers

Tuesday, May 4, 2010

Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 40.1 peratus

KUALA LUMPUR: Jumlah perdagangan Malaysia pada Mac lalu naik 40.1 peratus kepada RM104.54 bilion berbanding Mac tahun lalu, dengan peningkatan dalam eksport dan import.

Eksport negara melonjak 36.4 peratus kepada RM59.44 bilion, nilai eksport tertinggi pernah dicatatkan pada Mac setakat ini, berbanding bulan yang sama tahun lalu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ia juga adalah nilai eksport bulanan tertinggi direkodkan sejak krisis ekonomi selepas September 2008.
Dalam satu kenyataan mengenai keluaran awalan perangkaan perdagangan luar Malaysia bagi tempoh Januari-Mac di sini, beliau berkata jumlah import meningkat 45.3 peratus kepada RM45.09 bilion pada bulan berkenaan.

"Lebihan dagangan sebanyak RM14.35 bilion juga dicatatkan pada Mac, naik sebanyak 14.8 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu. Ini menjadikannya lebihan dagangan yang ke-149 bulan berturut-turut sejak November 1997," katanya.

Mustapa berkata, semasa tempoh Januari-Mac tahun ini, jumlah perdagangan negara meningkat sebanyak 32.6 peratus kepada RM278.51 bilion, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam eksport ke China, Singapura, Jepun, Hong Kong, Amerika Syarikat, Thailand, India, Korea, Belanda dan Australia.

Katanya, eksport bagi tempoh berkenaan berkembang sebanyak 30.8 peratus kepada RM158.73 bilion manakala import naik 35.1 peratus kepada RM119.78 bilion, menyebabkan lebihan dagangan sebanyak RM38.95 bilion.
Sektor produk utama yang menyumbang kepada peningkatan ketara dalam eksport pada Mac adalah barangan elektrik dan elektronik (E&E) bernilai RM5.38 bilion (31.8 peratus jumlah eksport), produk kimia dan bahan kimia pada RM1.48 bilion (60.8 peratus), minyak sawit pada RM1.46 bilion (49.3 peratus), kelengkapan pengangkutan sebanyak RM1.40 bilion (188.4 peratus) dan petroleum mentah sebanyak RM1.08 bilion (55.8 peratus).

China, Singapura, Jepun, Amerika Syarikat dan Thailand adalah lima destinasi eksport utama, menguasai 53.2 peratus jumlah eksport Malaysia pada Mac.

Asean menyumbang RM15.89 bilion atau 26.7 peratus daripada jumlah eksport Malaysia pada Mac, naik sebanyak 45.3 peratus daripada bulan yang masa tahun lalu.

Sementara itu, produk import utama yang menyumbang kepada kepada kenaikan ketara dalam import pada Mac yang mana barangan E&E bernilai RM16.17 bilion (35.9 peratus daripada jumlah import), produk kimia dan bahan kimia sebanyak RM4.28 bilion (9.5 peratus), jentera, perkakasan dan peralatan sebanyak RM3.75 bilion (8.3 peratus) manakala produk petroleum bertapis sebanyak RM2.57 bilion (5.7 peratus).

Sumber import utama ialah Singapura, Jepun, China dan Amerika Syarikat yang menyumbang 48.8 peratus daripada jumlah keseluruhan. - Bernama

MyKad baru lebih tahan lama

SIBU: Kad pengenalan pintar Malaysia, MyKad yang baru mempunyai kualiti yang lebih baik kerana diperbuat daripada bahan yang lebih tahan lama.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelaing Mersat, berkata bahan yang digunakan ialah polikarbonat sepenuhnya berbanding bahan polivinil kloride polikarbonat sebelum ini.
"Ini dapat mengatasi isu yang selalu berbangkit mengenai dokumen pengenalan diri yang berkualiti rendah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jelaing berkata, pengeluaran kad pengenalan yang lebih berkualiti merupakan sebahagian dari Penunjuk Prestasi Utama (KPI) kementeriannya.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Alwi Ibrahim, pula berkata MyKad yang lebih berkualiti mula dikeluarkan tahun lalu.

"Sirim (Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia) telah menguji bahan baru itu. Ia dijamin tahan lama," katanya. - Bernama

KPT muktamad MoU konsesi bina 6 kampus baru UiTM

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) bagi konsesi membina enam kampus baru Universiti Teknologi Mara (UiTM) di seluruh negara.
Ini diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebentar tadi.

Makmal pengurusan khas warga asing dilancarkan di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah melancarkan makmal pengurusan khas warga asing di sini, hari ini, khususnya bagi memperkemaskan data berkaitan golongan terbabit.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata makmal itu dianggotai 30 pegawai kanan jabatan dan agensi negeri serta persekutuan.
Katanya, makmal itu antara lain bertujuan menangani masalah pendatang tanpa izin yang sudah lama berlarutan di sabah.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Innoprise di sini, sebentar tadi.

Anwar khianati kawan


KUALA LUMPUR  - Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh kerajaan menggunakan khidmat firma perhubungan awam pro-Israel APCO Worldwide dan kononnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan khidmat bekas ejen Israel dalam projek berkaitan pengurusan maklumat dan komunikasi, dikecam hebat oleh sebuah laman web berhaluan kanan Amerika.
Melalui tulisannya dalam 'The New Ledger', sebuah penerbitan Internet Amerika yang menyiarkan pendapat golongan yang menyokong sistem kapitalis dan konservatif, Rachel Motte berkata, Anwar telah membuang kawan lamanya di Washington dan menjadikan kontrak APCO Worldwide sebagai asas untuk mereka cipta teori konspirasi mengenai penguasaan Yahudi, rancangan Zionis dan kegiatan subversif di Malaysia.
Katanya, beberapa orang kanan Anwar juga telah melemparkan pelbagai tuduhan, termasuk kononnya kerajaan Malaysia telah menggunakan khidmat sebuah syarikat yang mempunyai hubungan rapat dengan rejim Zionis di Israel berkaitan projek maklumat dan komunikasi.
Dalam tulisan bertajuk "The Reversal of Anwar Ibrahim", Motte mendakwa Anwar, yang dianggapnya sebagai ahli politik berbisa dan berkarisma, menjadi punca munculnya semangat anti Yahudi di Malaysia.
Katanya, ini bukan kali pertama "beliau mengambil jalan ini" dan beliau "mempunyai sejarah menggigit Yahudi (sikap prejudis atau bermusuh dengan Yahudi) apabila keadaan memerlukan beliau berbuat demikian.
Sebagai contoh, kata penulis itu, menjelang pilihan raya umum pada 2008, dalam satu wawancara dengan IslamOnline, Anwar berkata, beliau mempunyai bukti bahawa kerajaan bukan saja memberi sokongan kepada puak pelobi Yahudi di Amerika tetapi juga kepada beberapa pihak di Israel.
Motte berkata, beliau berterima kasih kepada pengundi di Malaysia kerana tindakan mereka menyebabkan gabungan parti pembangkang yang diterajui Anwar tidak mendapat undi majoriti pada pilihan raya itu.
Katanya, sejurus selepas Anwar dibebaskan dari penjara kira-kira 10 tahun lepas, beliau datang ke Washington, D.C. dan menghabiskan masa sejak 10 tahun lepas bagi menampilkan imejnya sebagai seorang yang penuh bersopan santun dan berperibadi mulia di Barat.
"Hasilnya, pemerhati hal ehwal luar Amerika menganggapnya sebagai contoh pemimpin Islam yang demokratik dan pejuang pentadbiran yang liberal dari Asia Tenggara.
''Beberapa tahun lepas, beliau dijemput mengajar selama setahun di Johns Hopkins School of Advanced International Studies dan di situ, beliau menjalin persahabatan dengan Yahudi Amerika seperti Paul Wolfowitz — sebagai suatu cara untuk menunjukkan betapa beliau telah jauh berubah daripada imejnya sebagai seorang militan Islam suatu ketika dulu.
"Malah, pada 2008, (bekas naib presiden) Al Gore — yang terkenal sebagai lelaki yang bijak dan tajam persepsinya — terdorong untuk menulis dalam laman blognya bagi mempertahankan maruah Anwar apabila beliau dikritik.
"Beliau adalah antara tokoh hebat dari Barat yang tidak boleh dibeli — tetapi seseorang itu boleh rapat dengan beliau sekiranya beliau bermusuh dengan pihak tertentu dan mempunyai hubungan dengan media yang berpengaruh dalam Beltway (perkataan yang digunakan bagi merujuk kepada sebahagian daripada sistem politik Amerika sebenar atau yang dibayangkan dan mengambil sempena nama lebuh raya antara negeri yang melingkari ibu negara Amerika)," kata penulis itu.
Motte berkata, hubungan antara Anwar dan tokoh-tokoh Yahudi Amerika yang berpengaruh begitu rapat hinggakan jika ditanya kepada rakyat Amerika siapakah tokoh demokrat liberal di Malaysia bagi tempoh 1999 hingga 2009, mereka dengan mudah akan menjawab tokoh itu ialah "Anwar Ibrahim." "Tapi, adakah apa yang digambarkan oleh Anwar Ibrahim tentang dirinya di luar Malaysia sama dengan tindakan yang dilakukannya di negaranya sendiri?," tanya penulis itu.
Motte berkata, apabila berada jauh dari CNN, Al Gore dan Johns Hopkins, Anwar menampilkan dirinya sebagai penghasut yang menyemarakkan semangat anti-Amerika dan anti-Yahudi.
Kata Motte lagi, "dalam mencari siapa yang boleh dijadikan rakan Amerika di dunia Islam, memang sukar untuk membezakan antara kawan yang baik dan kawan yang jahat."
"Bagaimanapun, lazimnya, ahli politik yang memperjuangkan teori konspirasi anti-Yahudi bukanlah rakan Amerika," katanya bagi merujuk kepada Anwar.
Motte berkata, perkembangan di Malaysia beberapa bulan lepas menyerlahkan perubahan yang mengejutkan apabila ketua Pembangkang Anwar Ibrahim meniupkan semangat anti-Yahudi, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pula berdiri teguh bersama Presiden Barack Obama dan Amerika.
Penulis itu mengulangi kenyataannya bahawa memang sukar untuk meneka siapakah yang boleh dijadikan kawan oleh Amerika di dunia Islam, selain Raja dan Permaisuri Jordan, beberapa orang di Emiriyah Arab Bersatu dan keluarga diraja Saudi.
"Sebagai contoh, lihatlah sesuatu yang aneh di Malaysia. Negara itu dan parti yang memerintahnya sedia bekerjasama dan bersikap konstruktif terhadap Amerika, tetapi lain pula halnya dengan parti politik pembangkangnya. Keanehan inilah yang sering digambarkan oleh media Barat," katanya.
Motte berkata, kepimpinan Malaysia sekarang bersikap pro perniagaan, pro Amerika dan berani berterus terang kepada dunia Islam bahawa ia adalah sekutu strategik Amerika.
Malah, katanya, pada Sidang kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington baru-baru ini, Najib berikrar akan membantu Amerika dalam pelbagai bidang.
Katanya, nama baik Malaysia sebagai sebuah negara majoriti Islam yang stabil dan berpendirian sederhana begitu menyerlah pada dekad ini hasil usaha keras dan kepimpinan perdana menterinya sekarang dan perdana menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi. - BERNAMA

AS isytihar miliki 5,113 senjata nuklear

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mendedahkan untuk pertama kali bahawa ia memiliki 5,113 senjata nuklear, satu tindakan untuk memantapkan usaha kawalan senjata itu.
“Demi kepentingan keselamatan Amerika Syarikat, kami perlu setelus yang mungkin dalam program nuklear kami," kata Setiausaha Negara, Hillary Clinton, pada persidangan mengenai Perjanjian Pencegahan Penularan Senjata Nuklear di New York.
Langkah simbolik itu dirancang bagi meningkatkan momentum persidangan itu dan menyusul selepas AS dan Rusia bersetuju mengurangkan senjata nuklear masing-masing. - Reuters

Gempa bumi 6.4 gegar Chile

WASHINGTON: Satu gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter menggegarkan Chile pagi ini.
Tiada laporan segera berhubung kecederaan atau kerosakan.
USGA menyataan gempa bumi itu berpusat di 151 kilometer di barat daya Conception pada kedalaman 12 kilometer. - Reuters

PPUM tawar rawatan jantung tanpa pembedahan

PETALING JAYA: Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kini menawarkan rawatan "extracorporeal shockwave myocardial revascularization" (ESMR) kepada pesakit jantung tanpa mereka perlu menjalani pembedahan.
Ketua Unit Kardiologi PPUM, Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad, berkata teknik perubatan itu adalah untuk pesakit jantung koronari yang tidak sesuai untuk menjalani rawatan angioplasti atau pembedahan pintasan jantung.
"ESMR adalah satu inovasi baru di mana 'shock wave' (gelombang kejutan) ditujukan kepada otot jantung yang tidak mempunyai cukup pengaliran darah. Rawatan akan merangsang penumbuhan salur darah baru di dalam otot jantung.
"Ia akan menambahkan pengaliran darah kepada otot jantung, sekali gus mengurangkan kesakitan jantung dan seterusnya dapat mengurangkan simptom pesakit," katanya pada majlis pelancaran dan penyerahan alat ESMR kepada PPUM, di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Datuk Ghauth Jasmon.

Wan Azizan berkata, rawatan ESMR diberikan dari luar badan pesakit di mana setiap sesi rawatan mengambil masa satu jam sebanyak tiga kali seminggu.

"Pesakit tidak perlu tinggal di PPUM. Selepas menjalani rawatan selama seminggu, pesakit direhatkan untuk tiga minggu sebelum rawatan seterusnya. Pesakit perlu menjalani rawatan sebanyak sembilan kali," katanya.
Beliau berkata, kos bagi rawatan ESMR adalah kira-kira RM2,500.

Katanya, PPUM akan menggunakan peralatan ESMR mulai esok yang diperolehi dengan kos RM2.8 juta. - Bernama