Followers

Thursday, September 9, 2010

Jangan timbulkan spekulasi berhubung kehilangan Sosilawati: KPN

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kes jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki yang dilaporkan hilang bersamanya sejak 30 Ogos lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata sehingga kini polis tidak menerima sebarang maklumat terbaru berhubung kes itu termasuk menerima laporan yang mendakwa Sosilawati mati dibunuh.
"Kita masih siasat lagi kes ini. Setakat ini polis masih belum menerima sebarang maklumat terbaru yang boleh membawa kepada penemuan mereka.
"Berhubung khabar angin yang mengatakan dia (Sosilawati) telah mati dibunuh, pihak saya langsung tidak mendengar perkara seperti itu. Apa-apa pun biar polis siasat dahulu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang ketika berada di Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Berikutan kejadian itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berdepan sebuah hotel di Subang Jaya, Isnin lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya sudah menyalurkan maklumat yang diperolehi daripada saksi-saksi berhubung kes terbabit kepada polis Kuala Lumpur (KL).
"Kes ini adalah di bawah siasatan pihak polis KL. Namun apa juga bantuan...apa sahaja kerjasama yang diperlukan kita akan beri dan itu memang amalan pasukan polis.

"Ada maklumat yang disalurkan pada pihak kita dan kita sudah pun salurkan (maklumat itu) kepada polis KL termasuk maklumat yang diperolehi dari saksi di Banting berhubung kejadian itu," katanya kepada pemberita selepas melawat anggota trafik yang bertugas di khemah Ops Sikap di Sungai Buloh.

Tinjauan di perkarangan rumah Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak dekat sini mendapati rumah itu lengang dan hanya terdapat beberapa individu dipercayai saudara dan kenalan rapat yang berada di rumah berkenaan. - Bernama

Gempa bermagnitud 6.1 gegarkan pantai Chile

WASHINGTON: Gempa bumi kuat pada magnitud 6.1 menggegarkan pantai di tengah-tengah Chile, awal hari ini, menurut Jabatan Kajiselidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS).
Pusat Amaran Tsunami Pasifik tidak mengeluarkan amaran berhubunga gempa berkenaa, yang berlaku jam 3.28 pagi, kira-kira 35 kilometer barat daya bandar pesisir pantai Concepcion, pada kedalaman 17 kilometer.
Gempa itu berlaku berdekatan dengan pusat gempa yang yang menggegarkan Chile sebelum ini pada magnitud 8.8, 27 Februari lalu. - AFP

Muhyiddin seru sambut perayaan dalam suasana harmoni

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini menyeru supaya sambutan perayaan di negara ini terus diadakan dalam suasana harmoni supaya generasi masa depan dapat menghargai kepelbagaian agama dan budaya, sekaligus menyemai perasaan cintakan negara.
Sambil mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di Malaysia, beliau turut mengingatkan bahawa kebahagiaan sambutan yang dikecapi hari ini adalah hasil perpaduan serta toleransi yang telah dibina sejak sekian lama.
"Dalam semangat muhibah sempena Aidilfitri ini, marilah kita sama-sama memohon maaf, melupakan segala persengketaan dan memperkukuhkan jalinan perpaduan antara masyarakat majmuk di negara kita," katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut esok.
Beliau berkata, sambutan Aidilfitri, seperti juga Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Wesak dapat menyemai semangat bersatu-padu dan berharmoni di antara masyarakat berbilang kaum.

Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kepada anggota pasukan keselamatan serta pegawai dan kakitangan awam yang telah memberi sumbangan menjaga keamanan dan keselamatan negara, serta memastikan semuanya berjalan dengan lancar.

Beliau menyeru supaya budaya kunjung-mengunjung yang menjadi budaya unik masyarakat Malaysia diteruskan untuk mengeratkan silaturrahim, serta menggalakkan suntikan semangat 1Malaysia dalam menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri. - Bernama

PPP minta Indonesia pantau kemasukan gadis Malaysia ke Lombok

KUALA KRAI: Parti Progresif Penduduk (PPP) meminta pihak berkuasa Indonesia membantu memantau kemasukan gadis Malaysia ke Lombok yang dipercayai dibawa teman lelaki mereka yang berasal dari kawasan itu.
Naib Presidennya, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof, berkata kebanyakan gadis terbabit dibawa ke Lombok bukan saja tanpa dokumen perjalanan yang sah tetapi juga tanpa pengetahuan keluarga.
"Saya minta menjelang musim perayaan ini mereka diberi peluang untuk pulang ke tanah air dengan bantuan kerajaan Indonesia, kerana ibu bapa mereka amat merindui mereka," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima aduan beberapa keluarga yang anak gadis mereka dilarikan jejaka Lombok sejak beberapa tahun lepas dan tidak pulang sehingga sekarang.

Nik Sapeia berkata, kebanyakan gadis terbabit adalah remaja yang seolah-olah “dipukau” sehingga
sanggup meninggalkan keluarga untuk mengikuti teman lelaki mereka kembali ke Lombok.

"Selepas tinggal beberapa ketika di sana, mereka menderita akibat kemiskinan dan antara mereka telah mempunyai anak yang ramai," katanya.
Beliau berkata, PPP juga berharap kerajaan republik itu dapat mengenal pasti gadis terbabit dan memaklumkan kepada kerajaan Malaysia bagi membolehkan usaha membawa pulang mereka dilaksana. - Bernama

Kerajaan Sabah akan terus dengar isu penting jejas rakyat: Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa kerajaan negeri akan terus mendengar isu penting membabitkan mereka ataupun kumpulan tertentu.
"Adalah tidak adil untuk sesetengah pihak mendakwa kerajaan dan pemimpinnya tidak menghiraukan isu-isu yang dibangkit.
"Kami sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk berlaku adil kepada semua," katanya dalam mesej Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.
Musa berkata, setiap rakyat mempunyai tempat dalam masyarakat dan mesti diberi peluang yang sama untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Beliau juga menggesa rakyat Malaysia di Sabah supaya mengamalkan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Perpaduan kekal keutamaan dalam polisi kerajaan dan saya gembira melihat 1Malaysia sekarang menjadi cara hidup," katanya.

Mengulas pembangunan, Musa berkata, kerajaan persekutuan giat melaksanakan inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara dan kerajaan negeri akan membantu sedaya upaya.
Pada peringkat negeri, beliau berkata, Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang meliputi pelbagai sektor ekonomi dengan keutamaan dalam pertanian, perkilangan dan pelancongan kini berada di landasannya.

"Satu daripada isu utama yang ditumpukan Sabah menerusi SDC ialah mengurangkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar serta antara rantau. Kita mesti memastikan pembangunan saksama untuk semua," katanya.

Musa turut menggesa masyarakat untuk turut mengingati mereka yang kurang bernasib baik pada Aidilfitri ini dan berkongsi kegembiraan itu bersama golongan tersebut menerusi sumbangan dan sebagainya.

Beliau juga berterima kasih kepada pasukan keselamatan di atas perkhidmatan yang diberikan dalam mengawal keselamatan Sabah. - Bernama

Ops Sikap ke-22: 18 terkorban pada hari keenam

KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 kematian dicatat pada hari keenam Ops Sikap ke-22 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sejak operasi itu bermula Jumaat lalu meningkat kepada 95 orang, setakat ini.

Laporan menerusi laman web Polis Diraja Malaysia mencatatkan mereka yang terkorban ialah tujuh masing-masing penunggang motosikal dan pengguna kereta, lori (2), dan masing-masing seorang penumpang bas dan pejalan kaki.

Selain itu, sebanyak 1,336 kemalangan dilaporkan berlaku semalam dengan 177 di lebuh raya, 340 di jalan persekutuan, 222 di jalan negeri, 517 jalan bandaran dan 80 lagi di jalan-jalan lain.

Sebanyak 8,772 saman sudah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya setakat ini.

Ops Sikap ke-22 sempena Hari Raya Aidilfitri ini akan berakhir pada 17 September. - Bernama

Tiga beranak maut dalam kemalangan jalan raya di Tawau

TAWAU: Tiga beranak maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan jenis Ninja King di kilometer 20, Jalan Tawau–Merotai, dekat sini, hari ini.

Pemangku Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Tawau, Asisten Superintendan Sabri Zainol Abidin, berkata mangsa itu dikenali sebagai Agnes Gau Bole, 36, dan sepasang anaknya, Immanuel Bole (8 tahun), dan Fredercia Indriani Bole, 14.
"Seorang mati serta-merta di tempat kejadian dan dua lagi meninggal ketika dalam perjalanan ke Hospital Tawau," katanya di sini.
Sabri berkata, keluarga itu adalah pemegang pasport Indonesia yang hendak ke bandar Tawau untuk membeli persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Sabri berkata, keluarga berkenaan dikatakan sedang dalam perjalanan dari Merotai ke Tawau sebelum kejadian itu berlaku pada kira-kira 7 pagi.

"Kita percaya kenderaan itu dipandu laju sehingga menyebabkan ia terbabas dan masuk gaung di sebelah kiri jalan," katanya.

Sabri meminta saksi kejadian supaya tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Joseph Jelian atau pembantunya, Sarjan David di talian 089-752222 sambungan 258. - Bernama