Followers

Thursday, November 12, 2009

Tidak adil heret wanita dalam politik suami: Rosmah

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata adalah tidak adil mengheret isteri dan anak-anak dalam politik suami.

"Janganlah dibuat wanita sekecil itu, buat seolah-olah kita bahan pertaruhan dalam kancah politik. Kalau nak berpolitik, politik sahaja jangan sangkut-paut dengan wanita," kata Rosmah ketika rakaman rancangan "Apa Kata Wanita Bersama Bersama Zamzarina" di Angkasapuri di sini hari ini.

Rosmah diminta mengulas isu baiah Pas yang mana wakil rakyat mengikrar sumpah taat setia kepada parti dan sekiranya mereka melompat parti, jatuhlah talak talak tiga ke atas isteri mereka.

Rosmah berkata, politik dan rumahtangga tidak harus dicampuradukkan kerana jika isteri tertekan ia akan membawa kepada keburukan personaliti isteri dan akhirnya rumah tangga tidak bahagia.

"Kalau suami tak gembira, nak keluar pun takut (lompat parti), tak keluar pun tertekan," katanya.

Sementara itu, Rosmah berkata tidak mustahil Malaysia pada masa akan datang dipimpin oleh Perdana Menteri wanita berdasarkan kegigihan dan komitmen wanita yang tinggi terhadap kerjaya dan keluarga pada masa kini.

Katanya, pada masa ini lebih 70 peratus daripada pelajar institusi pengajian tinggi terdiri daripada wanita dan ramai wanita menerajui pentadbiran tertinggi jabatan kerajaan dan syarikat swasta. - Bernama

H1N1: Calon, petugas SPM diminta berjaga-jaga

KUALA LUMPUR: Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta petugas yang mengawasi peperiksaan itu diminta mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak jangkitan virus Influenza A(H1N1).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata ibu bapa semua calon peperiksaan SPM yang bermula 18 November ini perlu sentiasa memantau tahap kesihatan anak mereka serta memaklumkannya kepada pihak sekolah bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

"Petugas yang mengawasi peperiksaan itu pula diminta mengasingkan calon yang memiliki gejala "Influenza-Like Illness" (ILI) daripada pelajar yang sihat serta memastikan calon yang mempunyai pelajar kumpulan ini memakai topeng muka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga menasihatkan pelajar yang menduduki peperiksaan SPM supaya mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga kebersihan diri serta kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun.

Beliau juga meminta pelajar yang mempunyai gejala ILI supaya segera memberitahu ibu bapa, penjaga, dan guru, agara tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mengelak sebarang kesulitan untuk menduduki peperiksaan.

Dr Mohd Ismail turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan atau mengabaikan langkah-langkah pencegahan Influenza A(H1N1) walaupun kebelakangan ini trendnya menunjukkan penurunan.

Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh seminggu lalu, 587 pesakit baru dengan gejala ILI dimasukkan ke hospital untuk rawatan manakala 557 kes lagi dibenarkan pulang.

Katanya, setakat 7 November, jumlah kes ILI yang masih dirawat ialah 332 di 46 hospital dan daripada jumlah itu, hanya 15 pesakit disahkan positif Influenza A(H1N1).

Beliau berkata, dalam tempoh sama, hanya seorang pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi manakala empat kes masih menerima rawatan di situ kerana mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak bawah 5 tahun (2 kes), morbid obesiti (1 kes) dan penyakit kronik (1).

"Sehingga kini, jumlah kematian di seluruh negara akibat jangkitan itu kekal 77 orang," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh seminggu lepas, terdapat dua kejadian kluster ILI dilaporkan berlaku di Sekolah Kebangsaan LKTP Jerangau Barat, Hulu Terengganu, Terengganu dan Kampung Lubuk Chupak, Bukit Sapi, Lenggong, Perak.

"Keputusan ujian makmal terhadap sampel klinikal yang diambil secara rawak dari kejadian kluster di Sekolah LKTP Jerangau Barat, Hulu Terengganu menunjukkan positif Influenza A(H1N1)," katanya.

Sehubungan itu, Dr Mohd Ismail berkata tindakan kawalan dan pencegahan yang sewajarnya sudah dilaksanakan oleh pihak pejabat kesihatan daerah terbabit.

Sementara itu pemantauan kejadian ILI di 619 klinik sentinel tidak menunjukkan sebarang peningkatan dan hanya 11 peratus daripada 818 sampel klinikal yang diterima makmal disahkan positif virus Influenza A(H1N1).

Di peringkat global pula sehingga 1 November lepas, Dr Mohd Ismail berkata lebih 482,300 kes yang disahkan positif, membabitkan 6,071 kematian.

"Pihak WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) juga melaporkan bahawa penularan Influenza A(H1N1) masih lagi aktif terutama sekali di negara-negara dalam zon beriklim sederhana di Hemisfera Utara seperti Amerika Utara, Kanada Barat, Eropah dan Asia," katanya.
- Bernama

PBB isytihar 18 Julai 'Hari Nelson Mandela'

NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam memilih 18 Julai sebagai 'Hari Antarabangsa Nelson Mandela' sebagai menghormati jasa pemimpin tersohor Afrika Selatan itu dalam memperjuangkan keamanan dunia.

Resolusi yang dibentangkan itu mendapat sokongan sebulat suara di kalangan 192 anggota PBB.

Nelson diikhtiraf menerusi Anugerah Keamanan Nobel berikutan jasanya membawa keamanan, meleraikan konflik kaum, memperjuangkan hak asasi dan kesamaan jantina.

“Nelson Mandela adalah ikon antarabangsa dan simbol keamanan dan kesejahteraan komuniti dunia," kata Duta Afrika Selatan ke PBB, Baso Sangqu. - AFP

Susilo adakan pertemuan dengan Najib

PUTRAJAYA: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono tiba pagi ini untuk mengadakan pertemuan tertutup dan mesyuarat delegasi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini.

Ketibaan beliau di Bangunan Perdana Putra jam 8.45 pagi disambut Najib dan beberapa menteri Kabinet, termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Malaysia adalah negara pertama dilawati Susilo selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal kedua, baru-baru ini.

Selepas mesyuarat delegasi, kedua-dua pemimpin itu dijadual mengadakan sidang akhbar bersama.

Hari ini hari kedua lawatan dua hari Presiden Indonesia itu ke Malaysia, dalam usaha meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala. - Bernama

Malaysia-Indonesia terus perkukuh jalinan persahabatan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia ingin menperkukuhkan persahabatan dengan Indonesia serta mewujudkan lebih banyak peluang dalam pelbagai bidang demi kebaikan di antara kedua-dua negara berjiran.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media bersama dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di Pejabat Perdana Menteri di sini, sebentar tadi.

Lawatan rasmi Susilo ke Malaysia selama dua hari adalah lawatan pertama sebelum beliau ke luar negara selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal kedua, Oktober lalu.

Sementara itu, Susilo berkata Malaysia dipilih negara pertama dilawatinya kerana Malaysia negara sahabat dan tetangga serta rakan paling dekat Indonesia.

Isu remeh tidak gugat hubungan KL-Jakarta

PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia tidak akan membiarkan isu-isu remeh yang dibangkitkan sesetengah pihak untuk menggugat hubungan di antara kedua-dua negara tetapi akan terus berusaha mengukuhkan hubungan erat dua hala yang sedia terjalin, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap dalam sidang akhbar bersama dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di sini hari ini, Najib berkata sementara ada pihak tertentu yang mahu menimbulkan masalah dalam hubungan di antara kedua-dua negara, hakikat adalah sebaliknya kerana pemimpin Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan yang akrab.

"Meskipun kita mempunyai beberapa isu yang tertangguh, ia tidak seharusnya menjadi keutamaan yang melebihi perkara-perkara baik yang dilakukan kedua-dua kerajaan untuk mengukuhkan hubungan. "Kita mempunyai hubungan tradisional yang akrab seperti kunjungan antara pemimpin Indonesia ke Malaysia dan sebaliknya.

"Kita sedang melihat kepada interaksi lebih erat antara institusi seperti media dengan media, Parlimen dan Parlimen serta pertubuhan bukan kerajaan dengan badan bukan kerajaan," katanya.

Najib berkata kedua-dua mereka yang mengadakan pertemuan empat mata hari ini juga mahu program belia antara kedua-dua negara ditingkatkan manakala kerjasama ekonomi terus diperluaskan. - Bernama

251 terima pingat, darjah kebesaran

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, hari ini mengurniakan pingat dan darjah kebesaran kepada 251 penerima di Istana Negara, sempena ulang tahun keputeraan baginda pada 6 Jun.

Mengetuai senarai ialah Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Mohd Basri Wahid, yang antara penerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.

Lima lagi yang menerima PJN hari ini ialah Ahli Parlimen Tanjong Manis, Datuk Norah Tun Abdul Rahman; ahli Lembaga Disiplin Umno, Datuk Mohd Zihim Mohd Hassan; pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Emiritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi; Pengerusi Lembaga Pengurusan Impact, Datuk Mohd Noor Amin Mohd Noor Khan; dan Ketua Pegawai Eksekutif Innovation Associates Consulting Sdn Bhd, Datuk Dr Md Hamzah Md Kassim.

Tiga orang pula menerima darjah PJN Kehormat yang membawa gelaran Datuk iaitu Pengurus Besar Convex Malaysia Sdn Bhd, Datuk Peter R Brokenshire; Ketua Eksekutif Kumpulan Cahya Mata Sarawak Bhd, Datuk Syed Ahmad Alwee Alsree; dan Profesor Datuk Dr Eric Tan, seorang doktor dari Australia.

Sementara itu, tujuh orang menerima Johan Mangku Negara (JMN), 16 orang menerima Johan Setia Mahkota (JSM), 61 orang menerima Kesatria Mangku Negara (KMN), 70 orang menerima Ahli Mangku Negara (AMN) dan 88 orang menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN).
- Bernama

Malaysia rakan kongsi untuk kemajuan bangsa serumpun: Susilo

PUTRAJAYA: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berkata kunjungan pertama beliau ke negara ini selepas dipilih kembali sebagai Presiden ialah kerana Malaysia adalah sahabat dan jiran terdekat serta rakan kongsi yang kuat untuk kemajuan kedua-dua bangsa.

Beliau berkata kunjungannya itu juga kerana ingin tali persahabatan dan persaudaraan di antara kedua-dua negara yang memiliki akar sejarah, budaya dan peradaban serumpun dapat dijaga dengan sebaik-baiknya.

Katanya jika ada masalah, ia perlu segera diatasi secara bijak dan tepat agar kebaikan dan kerjasama yang banyak dilakukan tidak tertutup dengan masalah yang timbul.

"Sebagai rukun tetangga yang dekat, berinteraksi antara satu sama lain, pastilah sekali-sekala ada perbezaan pendapat.

"Indonesia tidak pernah mempunyai masalah dalam hal ini misalnya dengan masyarakat yang ada di Somalia, Afrika, di Chile, Amerika Latin, di Eropah, tetapi tetangga dekat, sekali-sekala terjadi seperti itu.

"Tugas kami sebagai pemimpin adalah mengelolanya dengan bijak agar tidak menjadi besar sehingga mengganggu apa yang dikerjasamakan dengan baik selama ini," katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini hari ini. - Bernama

Sekolah berprestasi tinggi tanda aras kecemerlangan: TPM

JITRA: Matlamat utama Kementerian Pelajaran ialah untuk menjadikan sekolah berprestasi tinggi sebagai tanda aras kecemerlangan bagi dicontohi sekolah lain terutama sekolah kebangsaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, disebabkan status berprestasi tinggi akan diberikan kepada sekolah yang mencapai atau melebihi tanda aras itu, kerajaan berharap lebih banyak sekolah berusaha meningkatkan kualiti dan menjadi pilihan utama semua rakyat.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam pendidikan, kerajaan meletakkan sasaran untuk mewujudkan 100 sekolah berprestasi tinggi menjelang 2012.

"Status itu akan diberi kepada sekolah terbaik yang mempunyai identiti unik yang membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan.

"Sekolah-sekolah ini akan mempunyai budaya kerja yang kuat dan cemerlang dan melahirkan modal insan yang dinamik untuk pembangunan negara," katanya ketika berucap pada penutup persidangan mengenai Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan di Institut Aminuddin Baki, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah, adalah penting untuk melahirkan pemimpin yang berprestasi tinggi di kalangan pemimpin sekolah.

"Guru Besar, pengetua dan pasukan kepimpinan sekolah mesti dinamik, tekun, berdisiplin, pakar dalam bidang mereka dan berorientasikan hasil.

"Dalam membina kecemerlangan, pemimpin sekolah mesti mengenalpasti secara spesifik cabaran yang perlu ditangani, mempunyai fokus yang jelas mengenai hasil dan prestasi yang ingin dicapai dan mengamalkan secara berterusan budaya ingin cemerlang," katanya.

Beliau berkata, mereka perlu mempunyai sikap sanggup menerima cabaran dan sentiasa berusaha mencari idea dan amalan baru dalam meningkatkan kualiti pengurusan sekolah dan pembelajaran.

Muhyiddin berkata, tanpa pemimpin yang mempunyai prestasi tinggi, pelajar tidak akan cemerlang dan kualiti sekolah akan menurun. - Bernama

Amaran angin kencang, ribut petir, laut bergelora

KUALA LUMPUR: Angin kencang Timur Laut kategori pertama dijangka berlaku di perairan Samui mulai 17 hingga 19 November ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, angin kencang dengan kelajuan 40-50 kilometer sejam (kmsj) dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter itu akan berlaku di Kelantan dan Terengganu, Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Sementara itu, kejadian ribut petir di perairan Melaka, Negeri Sembilan, Johor Barat, Kuching, Sabah Utara iaitu di Kudat dan Sulu dijangka berterusan sehingga malam ini.

Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 40kmsj dan laut bergelora dengan ombak boleh mencapai ketinggian 2.5 meter sekaligus berbahaya kepada bot-bot kecil. - Bernama

Isteri pemimpin berperanan mantapkan hubungan diplomasi: Rosmah

PUTRAJAYA: Isteri pemimpin negara juga mempunyai peranan tersendiri dalam membantu memantapkan ikatan jalinan diplomasi antara Malaysia dan Indonesia.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata ia sekaligus dapat membantu ikatan perhubungan kedua-dua negara tidak mudah diganggu gugat oleh isu kecil dan remeh.

"Sebagai negara jiran yang dekat akan sentiasa wujud pelbagai isu yang membabitkan rakyat kedua-dua negara.

"Walaupun isu itu perlu diatasi di peringkat kerajaan namun saya pasti ia tidak akan berjaya merenggangkan hubungan akrab yang sedia terjalin," katanya semasa berucap pada majlis ramah mesra bersama isteri Presiden Indonesia, Ani Yudhoyono, di Sri Satria di sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah anggota kehormat Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Tun Rahah Mohd Noh dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Sementara itu, dalam ucapan balasnya, isteri Presiden Indonesia bersependapat dengan Rosmah bahawa sekiranya terdapat permasalahan antara Malaysia dan Indonesia ia tidak akan mengurangkan sedikit pun ikatan persaudaraan dan persahabatan kedua-dua negara.

"Perkara itu perlu kita perturunkan kepada semua rakyat kedua-dua negara termasuk di kalangan kaum wanita," katanya.

Ani berada di sini menemani suaminya, Susilo Bambang Yudhoyono yang mengadakan lawatan ke Malaysia selama dua hari bermula semalam.

Wanita Pertama Indonesia itu turut melahirkan rasa terima kasih terhadap keprihatinan Kerajaan Malaysia yang setiasa bersedia menghulurkan apa jua bantuan terhadap rakyatnya setiap kali negara itu dilanda bencana.

"Ucapan terima kasih juga kepada Malaysia di atas layanan baik yang diberikan kepada rakyat Indonesia yang bekerja mahu pun yang menuntut di sini (Malaysia)," katanya.

Ani turut berharap semua warga Indonesia yang bekerja di negara ini dapat bekerja dengan baik.

Beliau juga melahirkan rasa minat untuk berkongsi kegiatan dan pengalaman antara Bakti dengan persatuan Isteri Kabinet Indonesia. - Bernama

Susilo akhiri lawatan dua hari ke Malaysia

SEPANG: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, berlepas ke Singapura dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, selepas mengadakan lawatan dua hari ke Malaysia bermula semalam.

Pesawat membawa Presiden Indonesia dan isteri, Ani Yudhoyono, itu berlepas pada jam 2.25 petang.

Berada di lapangan terbang bagi mengucapkan selamat jalan ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, selaku Menteri Pengiring.

Malaysia adalah negara pertama dilawati Susilo selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal kedua pada 20 Oktober lalu.

Sepanjang lawatan dua hari itu, Susilo turut menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Istana Negara, menerima kunjungan hormat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan menerima kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. - Bernama

Mufti, ulama juga perlu dapat kebenaran: Jais

SHAH ALAM: Ulama dan mufti perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terlebih dahulu sebelum dibenar menyampaikan ceramah agama atau khutbah di negeri ini walaupun mereka menerima pengecualian tauliah Jais.

Pengarah Jais, Datuk Muhammed Khusrin Munawi, berkata pengecualian tauliah kepada mereka yang ingin mengadakan ceramah atau khutbah di Selangor hanya diberikan kepada golongan tertentu antaranya ulama, mufti negeri, jawatankuasa fatwa, Hakim Mahkamah atau Pendaftar Mahkamah Syariah serta Menteri atau Exco yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam.

"Memang ada pengecualian syarat tauliah diberikan kepada individu tertentu tetapi untuk menyampaikan khutbah atau ceramah di Selangor, mereka yang dikecualikan juga perlu mendapatkan kebenaran daripada Jais, bukannya boleh terus buat begitu saja.

"Bagi penceramah bebas, mereka tidak tertakluk kepada pengecualian ini dan perlu mendapatkan tauliah daripada Jais," katanya ketika ditemui pemberita pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Muhammed Khusrin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai wujud ataupun tidak pengecualian tauliah daripada JAIS kepada individu tertentu yang ingin mengadakan ceramah, kuliah atau khutbah agama di negeri ini.

Katanya, semua pihak termasuk mufti atau ulama perlu mendapatkan permohonan daripada Jais dan memaklumkan apakah ceramah atau ilmu yang mahu disampaikan kepada para jemaah.

"Saya tidak nampak masalah dengan prosedur ini. Contohnya, Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria pernah buat permohonan kepada Jais untuk menyampaikan ceramah di Selangor sebelum ini. Dengan bahasa mudahnya, jika seseorang nak masuk ke rumah orang lain, dia perlu beri salam dahulu, perlu ada adab, hormat kepada tuan rumah, bukan main masuk saja," katanya.

Muhammed Khusrin berkata, beliau tidak akan berkompromi dalam hal ini kerana peraturan itu memang termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003. - Bernama

Najib, Hu saksi pemeteraian lima MoU

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan Presiden China, Hu Jintao, hari ini menyaksikan penandatanganan lima Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara dalam beberapa bidang.

Majlis menandatangani MoU itu diadakan di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini.

MoU pertama ditandatangani antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Kawal Atur Perbankan China mengenai kerjasama pemantauan perbankan.

Malaysia diwakili oleh Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, manakala China diwakili oleh Presiden Suruhanjaya Kawal Atur Perbankan China, Liu Ming Kang.

MoU kedua ditandatangani antara Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dan Duta Tugas-tugas Khas dan Mutlak Republik Rakyat China, Liu Jian, mengenai kerjasama di dalam bidang pendidikan tinggi.

MoU ketiga membabitkan kerajaan Malaysia dan Beijing Enterprsie Water Group (BEWG) Ltd dari China mengenai kerjasama di dalam industri perkhidmatan perkumbahan.

Ia ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Dr Halim Man, dan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif BEWG, Zhang Hong Hai.

Najib dan Hu turut menyaksikan pemeteraian perjanjian tambahan berkaitan perjanjian pinjaman am mengenai penggunaan kredit pembeli keutamaan antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, dan Pengerusi dan Presiden Export Impot Bank China, Li Ruo Gu.

MoU yang terakhir ialah mengenai perjanjian pinjaman kredit pembeli keutamaan mengenai projek jambatan kedua Pulau Pinang.

Ia ditandatangani oleh Pengerusi Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, dan Li Ruo Gu.

Sebelum itu, semasa menyampaikan ucapan pembukaan, Najib berkata lawatan dua hari Hu ke Malaysia melambangkan hubungan dua hala 35 tahun antara kedua-dua negara.

Katanya, kedua-dua negara tidak dapat membayangkan dua perkara penting akan berlaku di masa depan, semasa menjalin hubungan diplomatik 35 tahun lalu.

"Yang pertama, kita tidak dapat membayangkan bagaimana berjayanya China satu hari nanti," katanya sambil memuji Presiden Hu kerana kejayaan itu.

Najib turut menyatakan bahawa hubungan dua hala telah mekar sejak itu dan meningkat menjadi sangat penting, strategik dan komprehensif.

Perdana Menteri berkata, beliau mahu lawatan Hu itu menjadi bukan sahaja satu adat istiadat tetapi juga sesuatu yang amat bermakna.

"Saya ingin mengemudikan hubungan dua hala ini ke paras yang lebih tinggi," katanya. - Bernama

Indonesia mahu bersama Malaysia buktikan Islam seiring demokrasi: Susilo

KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, berkata negara itu ingin bersama-sama Malaysia membuktikan kepada dunia bahawa agama Islam adalah seiring dengan demokrasi moden.

Beliau berkata, republik itu juga mahu bersama negara Islam lain membangunkan satu model dan membuktikan bahawa Islam juga mempunyai nilai yang dimiliki peradaban lain.

"Tun Musa Hitam betul, Indonesia seperti Malaysia ingin membuktikan tidak ada konflik antara demokrasi dan Islam. Saya baru saja bercakap di Universiti Harvard bahawa tidak benar antara Islam dan demokrasi itu tidak seiring.

"Mari kita buktikan bahawa nilai Islam juga memiliki nilai yang dimiliki peradaban lain," katanya pada majlis makan tengah hari sempena lawatan rasmi beliau ke negara ini di sini, hari ini.

Majlis itu dianjurkan Majlis Promosi Hubungan Antara Malaysia-Indonesia yang dipengerusikan Musa.

Turut hadir pada majlis itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Terdahulu, berucap mengalukan kehadiran Presiden Indonesia itu, Musa berkata, kejayaan Susilo memenangi pilihan raya presiden untuk penggal kedua secara berturut membuktikan demokrasi boleh berlangsung sekalipun di negara Islam yang sedang membangun.

"Nama SBY (Susilo Bambang Yudhoyono) bila disebut membawa imej segera kepada kita bahawa beliau seorang Presiden Indonesia yang mengukir sejarah kerana dipilih secara demokrasi terbuka buat kedua kali.

"Beliau dapat membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa demokrasi juga membantu dalam memajukan masyarakat," katanya.

Musa menyifatkan kejayaan Susilo memenangi pilihan raya kali kedua itu diteguhkan dengan pemerintahan yang bukan saja berjaya meningkatkan ekonomi negaranya tetapi juga perubahan-perubahan lain yang dilakukan beliau.

"Bapak Presiden buktikan beliau serius untuk kikis gejala negatif dalam pentadbiran Indonesia yang bawa akibat buruk kepada masyarakat Indonesia, sekarang kita nampak kejayaan (walaupun) perlahan-lahan tetapi maju ke depan," katanya lagi.

Dalam ucapannya itu yang didengari oleh lebih 200 tokoh daripada komuniti perniagaan Malaysia dan Indonesia, Susilo turut berterima kasih kepada masyarakat Malaysia atas sambutan yang begitu memberangsangkan.

"Saya datang dengan niat yang tulus membawa pesan persahabatan daripada rakyat Indonesia untuk rakyat Malaysia dan marilah kita jemput masa depan kita dengan optimisme yang tinggi dengan niat yang baik dengan pemikiran yang positif bahawa Malaysia dan Indonesia akan lebih kukuh dan bisa (boleh) bekerjasama lebih baik lagi, bahkan kita akan menjadi bahagian penting daripada perkembangan dunia yang makin aman, makin adil, makin demokratis," kata beliau.

Susilo juga berkata, beliau menghormati Malaysia dalam pelbagai perkara dan banyak belajar daripada negara ini.

Presiden Indonesia itu tiba di sini semalam bersama isteri, Ani Bambang Yudhoyono dalam rangka lawatan rasmi dua hari.

Malaysia adalah negara pertama yang dilawati beliau selepas mengangkat sumpah sebagai presiden buat penggal kedua Oktober lalu. - Bernama

Susilo beri isyarat positif hubungan dua hala: Najib

PUTRAJAYA: Hasil lawatan dua hari Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, ke Malaysia sangat bermakna dan memberi isyarat positif dalam hubungan dua hala serta hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Demikian kesimpulan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai lawatan itu, yang berakhir hari ini.

Najib berkata, dua mesej utama yang dapat disimpulkan ialah mewujudkan lebih banyak peluang bagi interaksi ekonomi dan membantu membuat lebih banyak rakan daripada kedua-dua negara.

"Kedua-dua pemimpin sepakat kedua-dua kerajaan beriltizam untuk terus memantapkan hubungan kedua-dua negara supaya tidak berlaku pasang surut tetapi kekal sebaik mungkin," katanya.

Najib berkata, mereka sedar walaupun berlaku beberapa masalah tetapi ia bersifat kecil dan berlaku dalam kelompok kecil sahaja dan ia tidak patut menutup kebaikan besar yang dilakukan oleh kedua-dua pemerintah.

Susilo pula berkata, beliau inginkan tali persahabatan dan persaudaraan kedua-dua bangsa yang memiliki akar budaya yang sama dapat dijaga dengan sebaik-baikya.

"Jika ada masalah, atasi cepat-cepat kerana tidak mahu kerana sedikit masalah boleh menjejaskan hubungan yang baik," katanya.

Beliau sedar tentunya masalah kecil akan timbul sekali-sekala antara kedua-dua negara disebabkan terdapat ramai rakyat Indonesia di Malaysia dan juga ramai rakyat Malaysia di Indonesia serta kedudukan negara jiran yang berdekatan antara satu sama lain.

"Indonesia tidak ada masalah dengan Somalia atau Afrika," katanya yang bermaksud sudah tentu keadaan itu berlaku disebabkan tidak ramai rakyat Indonesia di negara-negara tersebut, ditambah pula kedudukan negara-negara itu yang jauh.

Bagi meningkatkan kerjasama ekonomi kedua-dua negara, Susilo berkata kedua-dua negara perlu mencari peluang-peluang sejajar dengan peranan Asia termasuk Asia Tenggara, sebagai kuasa ekonomi global yang baru.

Katanya, lebih banyak usaha perlu dilakukan di kawasan pertumbuhan BIMP (Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina) dan IMT-GT (Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand).

Najib pula berharap lebih ramai pelabur Indonesia melabur di Malaysia serta pelabur kedua-dua negara boleh melabur di Indonesia yang mempunyai banyak kawasan dan tenaga kerja bagi menjamin jaminan bekalan makanan.

Malaysia, katanya, boleh menyalurkan lebihan tenaga ke Indonesia.

Kerjasama ekonomi itu juga boleh meliputi tindakan bersama memerangi kempen antiminyak sawit, promosi pelancongan dan produk halal.

Bagi mengeratkan hubungan rakyat kedua-dua negara, Najib berkata selain meneruskan hubungan antara pemimpin dan institusi sedia ada kedua-dua negara, hubungan antara media, institusi Parlimen, parti politik, badan bukan kerajaan dan belia antara kedua-dua negara perlu diwujudkan.

"Kita perlu wujudkan lebih banyak Friends of Malaysia in Indonesia and Friends of Indonesia in Malaysia.

"Begitu juga peranan Kumpulan Tokoh-tokoh Terkemuka kedua-dua negara perlu menginstitusikan kumpulan itu supaya cadangan mereka berbentuk lebih proaktif dan bukan bertindak apabila ada masalah sahaja," katanya.

Susilo juga senada dengan Najib dalam mengeratkan lagi hubungan rakyat kedua-dua negara.

Presiden itu berkata, hasil pemantauan kerajaannya mendapati layanan yang diterima pekerja Indonesia di negara ini daripada segi hak pekerja dan perlindungan sebagai bertambah baik dari tahun ke tahun.

Dalam lawatan itu, Susilo dan isterinya, Ani Yudhoyono, menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam.

Susilo dan isterinya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang petang ini untuk ke Singapura bagi menghadiri Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik. - Bernama

Mekanisme baru subsidi minyak Mei depan

KUALA LUMPUR: Mekanisme baru sistem pengurusan subsidi minyak untuk rakyat akan dimulakan Mei tahun depan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung.

Beliau berkata, pengumuman mengenai mekanisme itu akan dibuat selepas kajian terperinci mengenai cara pemberian subsidi dan golongan sasar dikenal pasti.

"Buat masa ini, saya tak dapat beritahu mekanisme pada keseluruhannya dengan terperinci sebab kerajaan masih dalam proses mengadakan rangkanya.

"Hanya pada Mei tahun depan kita akan mula mekanisme baru subsidi yang mana kumpulan sasar rakyat akan terima manfaatnya," katanya menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini mengumumkan mengenai sistem pengurusan subsidi minyak yang akan dilaksana tahun depan bagi memastikan hanya golongan sasar mendapat manfaatnya.

Mengenai jumlah subsidi petrol dan diesel yang ditanggung kerajaan sehingga September lepas, Chor berkata jumlahnya ialah RM3.54 bilion.

"Selain itu dianggarkan jumlah tanggungan subsidi bagi tahun 2010 ialah RM10 bilion sekiranya mekanisme sedia ada dikekalkan," katanya. - Bernama