Followers

Friday, November 19, 2010

Rizab antarabangsa Bank Negara US$105.8 bilion

KUALA LUMPUR 19 Nov.- Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM326.455 bilion (US$105.8 bilion) pada 15 November, 2010.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, BNM berkata, paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.8 bulan import tertangguh dan 4.5 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Rizab antarabangsa terdiri daripada mata wang asing (US$95.1 bilion), kedudukan Rizab Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) (US$500 juta), Hak Pengeluaran Khas (US$2.1 bilion), emas (US$1.5 bilion) dan aset rizab lain (US$6.6 bilion).

Jumlah aset bank pusat, termasuk rizab antarabangsa berjumlah sehingga RM387.576 bilion.

Aset-asetnya yang lain termasuklah kertas kerajaan Malaysia (RM2.284 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM40.524 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM11.797 bilion) dan aset-aset lain (RM6.516 bilion).

Liabilitinya terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta); kumpulan wang rizab am (RM13.478 bilion); rizab-rizab lain (RM1.368 bilion); mata wang dalam edaran (RM54.233 bilion); deposit oleh institusi kewangan (RM161.792 bilion); deposit Kerajaan Persekutuan (RM21.525 bilion); deposit lain (RM900.901 juta); kertas Bank Negara (RM102.555 bilion); peruntukan Hak Pengeluaran Khas (RM6.465 billion); dan liabiliti lain (RM25.159 bilion). - Bernama

Zaid Ibrahim keluar PKR 16 Disember

PETALING JAYA 19 Nov. - Datuk Zaid Ibrahim hari ini telah menghantar surat kepada Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menyatakan hasratnya untuk keluar parti pada 16 Disember ini.

Pada sidang akhbar di rumahnya di sini pagi ini, beliau turut berterus terang untuk berusaha menubuhkan parti baru secepat mungkin.

Beliau turut menyatakan akan tetap bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 walaupun jika terpaksa bertanding atas tiket Bebas. - Utusan

Pertempuran anti-PBB merebak ke ibu negara Haiti

PORT-AU-PRINCE 19 Nov. - Pertempuran meletus di sini antara pasukan keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beratus-ratus penduduk Haiti yang bertindak membaling batu ketika pergolakan itu mensasarkan kepada pasukan pengaman yang dipersalahkan atas penularan wabak kolera di ibu negara ini, semalam.

Terdapat kebimbangan bahawa keganasan boleh tercetus selepas penganjur bantahan mengarahkan satu demonstrasi besar-besaran diadakan di luar kementerian kesihatan untuk memperlihatkan kemarahan mereka mengenai kolera dan pasukan keselamatan PBB, dikenali sebagai MINUSTAH.

Dua penduduk Haiti terbunuh dalam rusuhan di bandar raya di utara negara ini, Cap-Haitien Isnin lalu di mana seorang daripadanya ditembak oleh seorang anggota pengaman ketika kumpulan pembantah bertindak membakar sebuah balai polis dan beberapa kenderaan serta mengancam untuk membakar sebuah kawasan PBB. - AFP

Kes bunuh peguam dapat selesai segera - KPN

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Polis telah memperoleh petunjuk berhubung kes pembunuhan seorang peguam di Ipoh Selasa lepas, dan yakin kes itu dapat diselesaikan dengan kadar segera, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan penemuan itu.

"Kita memandang serius kes ini. Saya telah mengarahkan Datuk Seri Mohd Bakri Zinin (Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman) dan pegawai-pegawainya untuk menjalankan siasatan agar kes ini dapat segera diselesaikan," katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 5 petang , seorang peguam G.Balasundram, 57, yang baru turun dari kereta ditetak berkali-kali oleh dua lelaki bertopeng di luar rumahnya di Taman Desa Rishah, Buntong, Ipoh, Perak.

Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun meninggal dunia pada pukul 9 malam, hari yang sama. - Bernama