Followers

Wednesday, May 5, 2010

Tenaga nuklear efektif, jimat: PM

Najib ajak orang ramai beri pandangan gunakan sumber baru jana elektrik

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta orang ramai memberikan pandangan mengenai masa depan penjanaan tenaga elektrik di Malaysia, khususnya penggunaan nuklear.
Beliau berkata, penggunaan tenaga nuklear adalah efisien dan kos efektif tidak boleh dipertikaikan, tetapi kerajaan perlu mengkaji sama ada ia pilihan tepat sebagai sumber baru tenaga di negara ini.
"Adakah sebarang alternatif yang belum dipertimbangkan yang benar-benar boleh meletakkan Malaysia sebagai pelopor revolusi bumi hijau," tanya beliau dalam blog www.1malaysia.com.my semalam.

Najib berkata, ia kerana kerajaan sedang melakukan kajian kebolehlaksanaan terhadap penggunaan tenaga nuklear untuk menjana tenaga elektrik.

"Saya sangat berminat untuk lebih memahami dan mengetahui hasil kajian itu. Jika kita memutuskan untuk meneruskan dengan penggunaan tenaga nuklear 12 hingga 15 tahun akan berlalu sebelum tenaga dapat dihasilkan dengan menggunakan reaktor kecil.

"Kita tidak akan bersendirian jika memilih menggunakan tenaga nuklear, sebab itulah kita meninjau di seluruh dunia untuk belajar dari negara lain dan mengambil perhatian daripada kemajuan teknologi dalam industri serta sektor ini," katanya.
Semalam, kerajaan memberi lampu hijau kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk mengenal pasti lokasi membina sebuah loji jana kuasa nuklear negara pertama yang dijangka beroperasi menjelang 2021.

Najib berkata, adalah penting untuk negara menyimpan dan menguruskan sumber semula jadi khususnya yang tidak boleh diperbaharui yang amat terbatas dan bekalannya akan kehabisan.

"Dalam hal ini, penggunaan bahan bakar semasa untuk menjana tenaga terlalu menjurus kepada penggunaan gas asli dan arang batu, iaitu bahan bakar bagi kebanyakan penjanaan tenaga elektrik kita.

"Ketidakseimbangan sedemikian perlu diperbetulkan dalam usaha kita menjadi sebuah ekonomi menghasilkan kadar karbon yang rendah. Ketepikan pertimbangan alam sekitar, penggunaan arang batu dan gas asli secara berterusan selepas 2020 amat mahal dan merugikan," katanya.

Beliau juga berkata perkembangan ini menuntut penggunaan bahan bakar fosil secara bijaksana dalam jangka masa sederhana dan panjang serta berpindah kepada sumber tenaga alternatif yang lebih bersih dan cekap.

"Ini sebabnya kenapa inovasi menjadi sangat penting bagi kita menemukan kaedah baru supaya menjadi lebih efisien dalam usaha menjadi sebuah negara maju.

"Selagi kita berkesempatan mempergunakan limpahan cahaya matahari yang di negara kita, jangan pula kita lupa peluang yang mungkin terdapat daripada biojisim," katanya. – Bernama

Generasi kedua umat Islam Norway alami krisis identiti

KUALA LUMPUR: Generasi kedua umat Islam di Norway kini bukan saja mengalami krisis identiti, malah menjadi mangsa prejudis dan penindasan di tempat kerja serta sekolah, kata seorang penyelidik dari negara itu.
"Semakin ramai umat Islam di Norway menjadi penganggur, menyandang jawatan dengan gaji lebih rendah dan berada dalam golongan miskin, manakala sesetengah yang lain pula menjadi mangsa penindasan kaum dan sikap prejudis serta dipandang rendah oleh majikan. Masalah ini juga dihadapi umat Islam di negara Eropah lain," kata Nora Sunniva Eggen.
Eggen, felo penyelidikan PhD di University of Oslo dan sedang menyiapkan tesis tentang pandangan pemikiran Islam, berada di negara ini sebagai tetamu Institut Kajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia.
Beliau menyampaikan syarahan tentang Islam di Scandinavia, khususnya di Norway, anjuran IAIS di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Eggen berkata, Norway membenarkan kebebasan beragama serta pembinaan masjid dan laungan azan bagi solat Jumaat, selain menyediakan dana bagi masyarakat Islam.

"Lawatan Raja Norway ke beberapa masjid tempatan baru-baru ini menjadi bukti jelas bahawa tidak wujud sentimen anti-Islam dalam kalangan pemimpin dan masyarakat di Norway, tetapi persoalan berkaitan identiti generasi kedua umat Islam di Norway tetap menjadi isu penting," kata Eggen.

Beliau berkata, kerajaan negaranya perlu segera menangani masalah penindasan dan amalan berat sebelah yang dikenakan terhadap umat Islam dalam mencari pekerjaan.
Norway menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia, kebanyakannya untuk mencari pekerjaan dan melanjutkan pelajaran.

Masyarakat Islam di negara itu lebih diterima oleh masyarakat tempatan, berbanding di kebanyakan negara lain, katanya.

Eggen mencadangkan supaya kerajaan Norway menambah jumlah sekolah, kemudahan perbankan Islam, tanah perkuburan dan saluran pengedaran makanan halal bagi umat Islam di negara itu. - Bernama

Penemuan penempatan Sungai Batu sahkan tamadun awal

SUNGAI PETANI: Penemuan bukti baru penempatan manusia di Sungai Batu dalam kawasan Lembah Bujang semakin jelas menonjolkan negara ini sebagai kawasan tamadun terawal di Asia Tenggara.
Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Prof Emeritus Datin Paduka Zuraina Majid, berkata bukti itu ditemui hasil kajian saintifik oleh Universiti Sains Malaysia (USM).
"Penemuan kepelbagaian bentuk monumen bertarikh 1,900 tahun (110 Masehi), tulisan, industri besi dan perdagangan (tidak terhad kepada candi dan artifak) memberi interpretasi dan kefahaman sejarah warisan lebih komprehensif dan menyeluruh.
"Penemuan ini menceritakan sejarah dan warisan yang kukuh selain memberi impak untuk negara dan tamadun awal Asia Tenggara," katanya semasa memberi taklimat kepada puteri Sultan Kedah, Datuk Seri Tunku Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang melawat tapak penyelidikan arkeologi Sungai Batu, Taman Sejarah Negara Lembah Bujang, dekat sini, hari ini.

Prof Zuraina berkata, penemuan satu kompleks baru di Sungai Batu yang mempunyai 90 tapak dalam kawasan seluas tiga kilometer persegi menjadi kunci kewujudan tamadun awal itu.

Beliau berkata, USM sedang melakukan kajian saintifik iaitu penggalian dan analisis ke atas 10 daripada 30 tapak yang menunjukkan bukti saintifik tamadun awal di Sungai Batu boleh disahkan.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Prof Zuraina berkata pihaknya merancang membuka galeri untuk mempamer dan mendedahkan penemuan penting berkenaan serta persidangan antarabangsa bagi mendedahkannya kepada dunia luar di Kuala Lumpur, Julai ini.
"Bagaimanapun Jabatan Warisan Negara menghadapi masalah kerana kedudukan 10 tapak tersebut terletak atas tanah seluas 22 hektar milik individu," katanya. - Bernama

35 Senator diberi vaksin H1N1

KUALA LUMPUR: Seramai 35 Ahli Dewan Negara hari ini mendapatkan vaksin virus Influenza A(H1N1) di klinik bangunan Parlimen di sini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata, jumlah itu adalah separuh daripada keseluruhan dos yang dibekalkan kepada ahli Dewan hari ini.
Dos yang selebihnya akan digunakan bagi ahli Dewan yang ingin mendapatkannya esok.
"Setakat hari ini sebanyak 35 vaksin telah diberi kepada ahli Dewan Negara dan saya puas hati sebab ia (vaksin) mendapat sambutan daripada ahli Dewan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, ketika sesi soal jawab di Dewan Negara pagi ini memaklumkan bahawa ahli Dewan boleh mendapatkan vaksin itu di klinik Parlimen hari ini. - Bernama

PM akan rasmi Konvensyen Usahawan Melayu 2010

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan merasmikan Konvensyen Usahawan Melayu 2010 yang bertujuan mencari idea dan rangka kerja baru pembangunan usahawan Melayu di dalam Model Ekonomi Baru (MEB).
Konvensyen yang dijangka menarik lebih 600 orang peserta terdiri daripada ahli profesional, ekonomi dan usahawan, akan berlangsung selama dua hari dari 14 hingga 15 Mei di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan tema, "NGO Force Ke 3, Penjana Ekonomi Bangsa".
Presidennya, Syed Ali Alattas, berkata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, juga dijangka turut hadir dan akan memberi ucaptama di konvensyen anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) itu.
"Kebiasaanya, NGO menyeru kerajaan supaya menyediakan dan melakukan sesuatu tetapi sekarang NGO akan sama-sama berganding bahu untuk memacu ekonomi negara," katanya.

Syed Ali Alattas berkata, NGO atau badan bukan kerajaan akan sedaya upaya untuk memberi kerjasama serta sokongan kepada penggerak ekonomi negara iaitu kerajaan dan sektor swasta.

Katanya, NGO akan bekerja sama bagi mempastikan MEB berjaya melonjakkan ekonomi negara untuk menjadi negara maju menjelang 2020 dan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat secara keseluruhan.

"Kita akan cuba untuk mewujudkan Pensyarikatan NGO yang akan menyumbangkan kepakaran dan idea bagi menjayakan MEB," katanya.
Syed Ali berkata, cabaran yang sedang dihadapi oleh negara sekarang sangat jauh berbeza dengan cabaran yang dilalui sewaktu berlangsungnya kongres-kongres yang diadakan sebelum ini.

Konvensyen pada kali ini adalah kesinambungan dari Kongres Melayu yang ke-empat yang telah diadakan buat kali terakhir pada 1999.

Kewujudan Majlis Amanah Rakyat, Bank Bumiputra, Bank Pembangunan, Pernas, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Yayasan Hartanah adalah idea yang dicetuskan melalui kongres sebelum ini.

Syed Ali Alattas berkata, konvensyen diadakan untuk mengenal pasti kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman terhadap kemajuan pembangunan usahawan Melayu.

Selain itu juga, Konvensyen akan membincangkan mengenai peranan yang mesti dimainkan oleh usahawan Melayu dalam model ekonomi baru, melihat semula kemudahan pinjaman.

Syed Ali berkata, konvensyen itu akan menggarap idea baru untuk dijadikan dasar utama pembangunan usahawan Melayu dalam MEB dengan matlamat meningkat ekonomi Melayu setanding dengan kaum lain menjelang 2020.

Beliau berkata, konvensyen akan menggubal rangka kerja pelaksanaan dasar pembangunan ekonomi Melayu dan menetapkan matlamat kuantitatif dan kualitatif pembangunan usahawan Melayu hingga 2020. - Bernama

Selangor tidak sokong bina loji jana kuasa nuklear

SHAH ALAM: Selangor tidak menyokong dan tidak akan membenarkan pembinaan loji janakuasa nuklear di negeri ini kerana berpendapat wujud sumber tenaga lain seperti tenaga solar yang boleh dibangunkan, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, Selangor juga bersedia mengurangkan penggunaan tenaga daripada segi lampu dan mengkaji teknologi baru yang menggunakan tenaga paling minimum daripada bergantung kepada loji janakuasa nuklear seperti yang dicadangkan.
"Saya rasa kita tidak perlu membuat lanjutan usaha untuk mempertingkatkan pengeluaran tenaga melalui loji janakuasa nuklear ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.
Isu pembinaan loji janakuasa nuklear ini serius dan perlu dibincangkan di Parlimen, kata Abdul Khalid, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, sebagai mengulas pengumuman kerajaan yang memberi lampu hijau kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk meneruskan rancangan bagi membina sebuah loji janakuasa nuklear negara pertama yang dijangka beroperasi menjelang tahun 2021.

"Kita sudah mempunyai satu loji janakuasa termahal yang dibina iaitu empangan Bakun... saya tidak melihat keperluan untuk membina loji janakuasa nuklear sebagai alternatif kepadanya," kata Menteri Besar Selangor itu. - Bernama

PM minta pandangan ramai mengenai tenaga nuklear

KUALA LUMPUR 5 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahukan pandangan orang ramai mengenai masa depan penjanaan tenaga elektrik di Malaysia khususnya penggunaan nuklear.
"Adakah sebarang alternatif yang belum dipertimbangkan, yang benar-benar boleh meletakkan Malaysia sebagai pelopor revolusi bumi hijau?,” katanya dalam blog www.1malaysia.com.my hari ini.
Najib berkata ini kerana kerajaan sedang melakukan satu kajian kebolehlaksanaan terhadap penggunaan tenaga nuklear untuk menjana tenaga elektrik.
"Saya sangat berminat untuk lebih memahami dan mengetahui hasil kajian tersebut, jika kita memutuskan untuk meneruskan dengan penggunaan tenaga nuklear, 12 ke 15 tahun akan berlalu sebelum tenaga dapat dihasilkan dengan menggunakan reaktor-reaktor kecil,” katanya.
Beliau berkata tidak dipertikaikan bahawa tenaga nuklear adalah efisien dan kos efektif, bagaimanapun, kerajaan perlu mengkaji sama ada ia pilihan yang tepat sebagai satu sumber baru tenaga di negara ini.
"Kita tidak akan bersendirian jika memilih untuk menggunakan tenaga nuklear, sebab itulah kita meninjau di seluruh dunia untuk belajar dari negara-negara lain dan mengambil perhatian daripada kemajuan teknologi dalam industri/sektor ini,” katanya.
Semalam, kerajaan telah memberi lampu hijau kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk meneruskan rancangan bagi membina sebuah loji janakuasa nuklear negara yang pertama yang dijangka beroperasi menjelang tahun 2021.
Najib berkata adalah penting untuk negara menyimpan dan menguruskan sumber semula jadi khususnya sumber semula jadi tidak boleh diperbaharui yang amat terbatas dan akhirnya bekalannya akan kehabisan.
"Dalam hal ini, penggunaan bahan bakar semasa untuk menjana tenaga terlalu menjurus kepada penggunaan gas asli dan arang batu - bahan bakar bagi kebanyakan penjanaan tenaga elektrik kita.
"Ketidakseimbangan sedemikian perlu diperbetulkan dalam usaha kita untuk menjadi sebuah ekonomi yang menghasilkan kadar karbon yang rendah. Ketepikan pertimbangan alam sekitar, penggunaan arang batu dan gas asli secara berterusan selepas 2020 amat mahal dan merugikan,” katanya.
Beliau berkata perkembangan ini menuntut penggunaan bahan bakar fosil secara bijaksana dalam jangka masa sederhana dan panjang serta berpindah kepada sumber tenaga alternatif yang lebih bersih dan cekap.
"Ini sebabnya kenapa inovasi menjadi sangat penting bagi kita menemukan kaedah baru supaya menjadi lebih efisien dalam usaha untuk menjadi sebuah negara maju.
"Selagi kita berkesempatan mempergunakan limpahan cahaya matahari yang terdapat di negara kita, jangan pula kita lupa akan peluang-peluang yang mungkin terdapat daripada biojisim,” katanya. - Bernama

Satu kematian akibat H1N1 dilapor hari ini

PUTRAJAYA 5 Mei - Satu kematian dilaporkan hari ini akibat jangkitan virus influenza A H1N1, membabitkan seorang lelaki berumur 40 tahun, menurut Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan hari ini.
Lelaki tanpa sebarang faktor risiko itu mengalami gejala demam dan batuk selama enam hari sebelum dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh Perak pada 27 April lepas.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata kematian terbaru itu menjadikan jumlah terkumpul kematian akibat A H1N1 dalam negara ialah 82 orang.
Sementara itu lapan kejadian kluster Penyakit Serupa Influenza (ILI) dilaporkan di lima negeri iaitu di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Selangor.
Di Kuala Lumpur, ia membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bintang Utara Taman Shamelin Perkasa dan SK Taman Midah Cheras manakala di Negeri Sembilan pula membabitkan Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Ulu Pari, Rembau serta sebuah keluarga di Taman Gemas Indah, Gemas.
Di Melaka pula membabitkan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Key Seng Bukit Baru dan di Johor dilaporkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sains Johor dan Klinik Kesihatan Batu Pahat.
Satu kes yang dilaporkan di Selangor membabitkan Sekolaha Agama Bersepadu Kota Damansara. - Bernama

Satu kematian akibat H1N1 dilaporkan hari ini

PUTRAJAYA: Satu kematian dilaporkan hari ini, akibat jangkitan virus influenza A(H1N1), membabitkan seorang lelaki berumur 40 tahun, menurut Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan, hari ini.

Lelaki tanpa sebarang faktor risiko itu mengalami gejala demam dan batuk selama enam hari sebelum dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh Perak pada 27 April lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata kematian terbaru itu menjadikan jumlah terkumpul kematian akibat H1N1 dalam negara ialah 82 orang.
Sementara itu lapan kejadian kelompok Penyakit Serupa Influenza (ILI) dilaporkan di lima negeri iaitu di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Selangor.

Di Kuala Lumpur, ia membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bintang Utara Taman Shamelin Perkasa dan SK Taman Midah Cheras manakala di Negeri Sembilan pula membabitkan Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Ulu Pari, Rembau serta satu keluarga di Taman Gemas Indah, Gemas.

Di Melaka pula, ia membabitkan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Key Seng Bukit Baru dan di Johor dilaporkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sains Johor dan Klinik Kesihatan Batu Pahat.

Satu kes yang dilaporkan di Selangor membabitkan Sekolah Islam Bersepadu Kota Damansara.
Dr Mohd Ismail berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes ILI yang masih dirawat di dalam wad seluruh negara 538 kes dan daripada jumlah itu 46 kes disahkan H1N1, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) seramai enam kes.

Beliau seterusnya mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan langkah pencegahan kerana penularan jangkitan H1N1 masih aktif di dalam komuniti. - Bernama

Indonesia lelong harta karun berupa emas, berlian petang ini


JAKARTA - Kerajaan Indonesia akan tetap menjalankan lelongan harta karun termasuk emas, berlian dan barangan seramik yang ditemui di dalam kapal yang tenggelam pada abad ke-10 di perairan Ceribon, Jawa Barat.

Pegawai Kementerian Wilayah Kelautan Indonesia, Ansori Zawawi berkata, lelong itu akan tetap dijalankan pada pukul 2 petang waktu Indonesia Barat, walaupun setakat ini tiada pihak yang membayar deposit ditetapkan iaitu kira-kira RM51 juta.
Kerajaan Indonesia berharap mendapat pendapatan kira-kira RM257 juta daripada hasil lelongan harta karun yang ditemui pada tahun 2004 itu. – Utusan

Menteri Kewangan Indonesia letak jawatan, sertai Bank Dunia


JAKARTA: Bank Dunia mengumumkan hari ini, pelantikan Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati sebagai pengarah urusannya. Laporan media dan sumber yang rapat kepada menteri itu, berkata beliau meletakkan jawatan daripada kabinet Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, tetapi masih belum ada pengesahan daripada Indrawati sendiri. Bank Dunia dalam kenyataannya, berkata ahli ekonomi dan bekas pegawai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pernah membimbing ekonomi terbesar Asia Tenggara berdepan dengan kegawatan ekonomi global dan diberikan penghormatan daripada rakan sejawatannya seluruh dunia. - AFP